Fikratul Ummah – Feb 2013

alt



MUQADDIMATUL KALAM

 
Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh….
 
Segala puji dan syukur khusus untukNya Yang Maha Agung, Maha Tinggi, Maha Suci dan bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan. Selawat dan salam  dititipkan ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam yang cahaya kebenarannya sentiasa menerangi alam ini. Syukur kepada Allah Subhanahu Wa Taala yang telah menjadikan kita  sebagai orang-orang Islam yang mengikuti sunnah Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam.
 
Alhamdulillah Fikratul Ummah (FU) kali ini dapat diterbitkan sekali lagi seperti bulan-bulan yang lalu.  Pada kali ini, FU menyentuh isu yang sangat dekat dengan para remaja iaitu sambutan Hari Valentine (Valentine’s Day). Hari Valentine yang disambut pada setiap 14 Februari bukan sahaja disambut oleh orang-orang Barat, malah turut diraikan secara besar-besaran oleh masyarakat Islam di Malaysia, walaupun hakikatnya kita telahpun didedahkan dengan hukum meraikannya mengikut pandangan Islam.  Apabila menjelangnya bulan Februari, kita akan banyak menemui simbol-simbol atau iklan-iklan yang tidak Islami ditayangkan dalam media elektronik dan media cetak untuk mempromosikan Hari Valentine. Berbagai tempat hiburan seperti kelab malam, hotel-hotel, syarikat-syarikat besar atau kecil pula berlumba-lumba menawarkan acara untuk merayakan Hari Valentine.  Ini adalah satu fenomena yang menunjukkan bahawa pengaruh Barat tidak pernah berhenti daripada membelenggu umat Islam.  Allah Subhanahu Wa Taala berfirman,
 
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk  Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”   [TMQ al-Baqarah (2) : 120].
 
Mengapa ini boleh berlaku? Marilah kita sama-sama mendalami penjelasan yang menyeluruh tentang isu hangat ini dalam edisi kali ini.  Harapan kami semoga pembaca sekalian terus setia menjadikan buku kecil ini sebagai salah satu rujukan dalam pengkajian.  Jazakumullahu khayran kathira.
 
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wa barakatuh.

[FU/Februari2013/Bil.52]
 


DOA JAUHI ZINA

alt 
Maksudnya:
   
Ya Allah ampunkanlah dosanya, bersihkanlah/sucikanlah hatinya, dan bentengilah kemaluannya”  [Musnad Imam Ahmad: 21629, Shaikh Muq’bil al-Wadi’e menyatakan ia hadis sahih. Lihat as-Sahih al-Musnad]

 


ARTIKEL PILIHAN: PENGUATKUASAAN KEHARAMAN HARI KEKASIH

Mukaddimah
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan hukum orang Islam menyambut perayaan Hari Valentine.  Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam.  Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam  (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-orang-islam-menyambut-perayaan-valentines-day, diakses pada 25/12/2012).      
 
Tidak diragukan lagi, umat Islam telah faham dan jelas bahawa hukum sambutan Hari Valentine atau juga disinonimkan sebagai Hari Kekasih ini adalah HARAM.  Hal ini sering dibicarakan oleh para ulama, ilmuan, ustaz dan ustazah baik di kelas-kelas pengajian, media cetak mahupun di media elektronik.  Persoalannya mengapakah setiap kali tibanya bulan Februari, umat Islam masih galak menyambut Hari Kekasih (baca: Hari Valentine) ini?  Kupasan berikut akan mengenalpasti punca mengapakah sambutan ini tetap subur dalam jiwa umat Islam, seolah-olah peringatan yang diberi bagaikan mencurahkan air ke daun keladi.  Seterusnya menuntun para pembaca menuju penyelesaian tuntas kepada isu ini.
 
Kedudukan Hukum
Majlis Fatwa Kebangsaan telah melaksanakan tugasnya dengan menjelaskan kepada umat bahawa hukum sambutan Hari Kekasih adalah haram.  Ironinya sambutan Hari Kekasih saban tahun tetap sahaja meriah.  Misalnya, ada syarikat menawarkan pakej istimewa bagi produk mereka sempena sambutan tersebut, diskaun atau potongan harga yang hebat, peraduan-peraduan tertentu yang menjanjikan hadiah berupa pakej pelancongan dan banyak lagi.  Sementara di setiap saluran televisyen, drama atau filem yang ditayangkan pasti akan berkisar cerita yang seiring dengan tema Valentine.  Apa yang pasti, kebanyakan cerita diklasifikasikan sebagai 18SX! Dengan kata lain, ini sebenarnya satu bentuk tayangan pornografi ringan yang dibenarkan.
 
Keadaan ini membangkitkan beberapa persoalan?  Sebenarnya, fatwa ini ditujukan kepada siapa?   Sudah pasti jawapannya ialah umat Islam.  Tapi, adakah umat Islam telah mematuhi fatwa ini atau wujudkah sebarang penguatkuasaan undang-undang oleh negara terhadap keharaman ini?  Apakah ada sebarang hukuman terhadap orang-orang yang melanggarnya?  Untuk menjawab persoalan ini, maka perlulah diperhatikan secara teliti pada realiti dan kesan penerapan undang-undang yang sedia ada di Malaysia.
 
Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.  Kesannya, mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan akan terbatal setakat mana ianya bertentangan.  Dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, diperuntukan jadual pembahagian kuasa antara kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri, juga satu Senarai Bersama antara keduanya.  Hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam diletakkan di bawah Senarai Negeri.  Inilah yang dinamakan sistem demokrasi berperlembagaan.
 
Ini bermakna pelaksanaan dan penguatkuasaan fatwa pengharaman sambutan Hari Kekasih adalah termasuk di bawah hal ehwal agama Islam iaitu di bawah bidang kuasa negeri.  Oleh itu, bagi negeri-negeri yang memilih untuk menerima fatwa ini, negeri tersebut hendaklah mewartakannya (gazzete) terlebih dahulu, maka barulah hukum pengharamannya akan dapat digunapakai secara sah dan berperlembagaan.  Dengan kata lain bagi negeri yang tidak mewartakan-nya, maka hukum pengharaman tidak akan dikuatkuasakan di negeri tersebut. 
 
Selanjutnya, apabila sesuatu fatwa diwartakan dan diterima pakai di sesebuah negeri, ia hanya akan mengikat orang-orang Islam di negeri tersebut sahaja.  Perkara ini banyak menimbulkan kekeliruan.  Misalnya sedikit masa dahulu, isu pengharaman Jom Heboh, merokok dan lain-lain hangat diperkatakan, ianya malah menjadi gurauan sinis sesetengah pihak.  Merokok di negeri ini berdosa tetapi merokok di negeri itu tidak dan seumpamanya lagi.  Perkara ini memberi imej negatif kepada agama Islam itu sendiri.  Ia menggambarkan satu keadaan yang tidak seragam (no uniformity) antara satu negeri dengan negeri yang lain dalam hal pelaksanaan hukum Islam. 
 
Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana sumber hukum bagi umat Islam adalah sama iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasulullah.  Maka tidak sepatutnya hukum yang berbeza dilaksanakan di tempat yang berbeza.  Perbezaan pendapat yang diraikan dalam Islam bukanlah terhadap perkara-perkara yang telah jelas keharamannya seperti keharaman menyambut Hari Kekasih ini.  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam telah lama mengingatkan/memberi amaran kepada umat baginda dalam sebuah hadis,
 
Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut”  [HR Abu Daud].
 
Jelas di sini, peringatan yang diberikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam sudah tidak lagi menjadi tolok ukur perbuatan malah Perlembagaan yang dijadikan asas pegangan yang justeru menjadi sesuatu yang amat dipatuhi dan digeruni untuk dilanggar.  Inilah manifestasi keluhuran Perlembagaan.  Lord Reid telah berjaya dalam misinya meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan mengenepikan Al-Quran dan As-Sunnah.
 
Kemudian, apabila tiada penguat-kuasaan undang-undang maka persoalan mengenai hukuman akan terkubur begitu sahaja.  Satu-satunya institusi yang boleh mengenakan hukuman, tidak lain, adalah Negara.  Seorang individu tidak boleh mengenakan hukuman ke atas individu yang lain dengan sewenang-wenangnya. Justeru apabila negara tidak menjalankan hukuman tersebut, kesannya ialah setiap maksiat yang telah jelas keharamannya akan tetap menjadi amalan dalam masyarakat.  Hanya individu Islam yang ingat akan azab Penciptanya sahaja yang akan meninggalkan larangan tersebut kerana mereka yakin setiap pelanggaran hukum Allah pasti akan dikira sebagai dosa di sisi Allah Subhanahu Wa Taala.  Allah berfirman,
 
“…Sesungguhnya yang dapat kamu beri peringatan hanya orang-orang yang takut kepada azab Tuhannya (sekalipun) mereka tidak melihatNya dan mereka mendirikan sembahyang...”   [TMQ al-Faatir (35):18].

Penyelesaian
Persoalan yang dibincangkan tidak hanya terhenti pada keharaman Hari Kekasih.  Hari Kekasih adalah satu hari yang membawa kepada bencana dan kemaksiatan yang lebih besar iaitu pergaulan bebas, perzinaan, kelahiran anak luar nikah dan paling dahsyat adalah pembuangan bayi-bayi yang tidak berdosa.  Memang diakui bahawa pelbagai usaha telah dilakukan untuk membanteras gejala sosial.  Contohnya, kempen kesedaran, sesi kaunseling, operasi pencegahan maksiat, rumah perlindungan dan macam-macam lagi.  Namun persoalannnya, mengapa masalah ini terus berlaku malah lebih parah?
 
Hakikatnya penyelesaian-penyelesaian yang disebutkan di atas cuma penyelesaian masalah cabang.  Padahal yang patut diselesaikan adalah masalah akarnya. Segala kemaksiatan yang berlaku adalah kesan daripada tiadanya sistem pelaksanaan hukum Islam yang menyeluruh dalam kehidupan manusia.  Allah Subhanahu Wa Taala berfirman,
 
Apakah kamu beriman dengan sebahagian dari Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang melakukan demikian itu di antara kamu, kecuali kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari Kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab yang amat berat  [TMQ al-Baqarah (2):85].
 
Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpa-kan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik”   [TMQ al-Maaidah (5):49].

Masyarakat hari ini adalah umat yang semu dengan pemikiran yang telah dirosakkan oleh sistem demokrasi yang menolak peranan agama dalam mengatur kehidupan manusia seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.  Maka manusia bebas memilih atau menggubal mana-mana hukum yang sesuai dengan kehidupan mereka.  Pegangan aqidah sudah menjadi tidak jelas, pemikiran juga semakin merosot akibat ledakan globalisasi dan gaya hidup sekular yang bukan sahaja memisahkan agama daripada kehidupan umat Islam malah mencabut terus akar umbinya dari umat Islam.  Maka sistem inilah yang menjadi akar masalah yang harus dibuang dan digantikan dengan sistem Islam yang syumul.
 
Sebuah negara yang menjadikan Kitabullah dan Sunnatullah sebagai undang-undang tertinggi manusia bertanggungjawab untuk melaksanakan sistem pemerintahan Islam secara keseluruhan kerana Allah telah menetapkan peraturan hidup yang sempurna bagi hambaNya sebagaimana firmanNya:
 
Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu ke atas kamu, dan aku redha Islam itu sebagai agamamu”  [TMQ al-Maaidah (5):3].
 
Pelaksanaan Islam secara keseluruhan oleh negara akan menghasilkan individu bertakwa yang sentiasa takutkan Allah serta masyarakat yang sentiasa mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.  Sebuah negara Islam menerapkan hukuman dalam Islam yang bersifat zawajir (pencegah) dan jawabir (penebus dosa).
 
Zawajir bermakna sesuatu hukuman itu jika dilaksanakan maka ia akan mampu mencegah orang lain dari berkeinginan untuk melakukan kesalahan yang sama.  Allah Subhanahu Wa Taala berfirman,
 
Dan dalam hukuman qisas iu terdapat kehidupan bagi kalian wahai orang-orang yang berakal supaya kamu bertakwa”   [TMQ al-Baqarah (2) : 179].
 
Jawabir
bermakna hukuman yang dijatuhkan di dunia atas kejahatan yang dilakukan itu akan dapat menghapuskan hukuman di akhirat yang jauh lebih berat dan dahsyat.  Rasulullah S.A.W bersabda, “Hukuman di dunia telah menjadi kafarah bagi hukuman di akhirat”   [HR Bukhari].
 
Khatimah
Apa yang dapat disimpulkan adalah sesuatu keharaman yang telah jelas dalam Islam tidak akan dipandang berat oleh masyarakat jika Negara yang mengeluarkan kenyataan keharaman tersebut tidak melaksanakan Islam secara serius bermula dari akarnya.  Umat sebenarnya telah nazak hidup dalam sistem yang mematikan jiwa, fitrah dan akal mereka.  Jadi, perkara yang menjadi dambaan umat Islam seluruh dunia saat ini adalah untuk hidup dalam sebuah Negara yang melindungi mereka daripada kerosakan dan kesengsaraan serta memimpin mereka kepada kebaikan dan kesejahteraan.
[FU/Februari2013/Bil.52]
 


SERIKANDI TAULADAN: UMMU SYURAIK, WANITA DA’IYAH

Dalam kita meneliti satu per satu kisah para sahabiyah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, terselit sebuah kisah yang bakal menyuntik semangat umat Islam dalam menjalankan kewajipannya  sebagai hamba Allah sekaligus menyedarkan kita bahawa bebanan dakwah juga wajib dipikul oleh insan yang bergelar wanita.
 
Beliau adalah Ghaziyah binti Jabir Bin Hakim atau lebih dikenali sebagai Ummu Syuraik.  Seorang wanita dari Quraisy dan berasal dari Bani Amir Bin Lu’ai dan pernah menjadi isteri Abu al-Akr ad-Dausi.  Cahaya iman mula menerangi hatinya sejak Rasulullah SAW menyampaikan risalah Islam di Makkah.  Sejak itu, beliau begitu yakin dengan kebenaran risalah Rasulullah SAW sehingga hatinya beriman dengan aqidah Islamiyah serta membenarkannya dengan utuh (tashdiquljazim).  Beliau bukan sahaja memiliki keimanan yang mantap malah sangat memahami kewajipannya untuk berdakwah sehingga beliau sanggup mengorbankan dirinya demi menyebarkan dakwah tauhid, meninggikan kalimah Allah serta mengibarkan panji Laa Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah.
 
Ummu Syuraik mula melebarkan sayap dakwahnya kepada wanita-wanita Quraisy secara rahsia.  Tanpa kenal erti penat dan jemu, beliau mengajak mereka mengenal Islam serta bersama-sama masuk ke dalam Deen yang mulia ini.  Beliau melakukannya dengan penuh keikhlasan mengharapkan keredaan Allah Subhanhau Wa Taala semata-mata.  Dalam pada itu, beliau sangat sedar akan risiko yang bakal dihadapinya baik pengorbanan dari segi jiwa mahupun harta.               
 
Sememangnya, tindakannya ini amat dibenci oleh kaum musyrik Quraisy dan akan menyebabkan dirinya diseksa oleh pembesar-pembesar Quraisy sebagaimana penyeksaan yang dilakukan kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW yang lain.  Namun, baginya iman bukanlah sekadar ucapan lisan, tetapi hakikatnya iman itu memiliki risiko dan beban amanah yang memerlukan kesabaran dalam menghadapinya.  Beliau telah bersedia dengan pilihannya itu, kerana kebahagiaan baginya adalah apabila melihat syi’ar Islam tersebar di muka bumi.  Begitu juga, beliau sangat yakin dengan janji Allah, bahawa Allah Azza wa Jalla tidak akan pernah membiarkannya keseorangan malah Allah SWT pasti akan menolongnya di dunia dan akhirat. 
 
Sebagaimana yang dijangkakan, tidak beberapa lama kemudian takdir Allah telah menetapkan ujian buat Ummu Syuraik. Ibnu Abbas RA menuturkan, “Hati Ummu Syuraik tersentuh dengan Islam sejak masih tinggal di Makkah, kemudian dia pun memeluk Islam. Kemudian, dia mulai mendatangi wanita-wanita Quraisy secara diam-diam untuk mengajak mereka memeluk Islam. Tetapi, kegiatannya diketahui oleh para pemuka Makkah, sehingga mereka menangkapnya dan berkata, “Seandainya tidak mempertimbangkan kaum kerabatmu, kami akan   tangani sendiri. Akan tetapi, kami akan menyerahkan kamu kepada mereka.”   
 
Ummu Syuraik berkata, “Maka datanglah keluarga Abu al-Akr (keluarga suaminya) kepadaku.  Kemudian mereka berkata, “Jangan-jangan engkau telah masuk kepada agamanya (Muhammad)?” Aku menjawab, “Demi Allah, aku telah masuk agama Muhammad”.  Kemudian mereka berkata, “Tidak, demi Allah, sungguh kami akan menyeksamu   dengan seksaan yang pedih. Mereka membawaku ke satu tempat dengan menunggang seekor unta yang lemah. Mereka memberiku makanan dan madu, tetapi tidak memberiku air walaupun setitis. Mereka tinggalkanku di padang pasir dan di tengah teriknya matahari hingga hampir hilang akalku, pendengaranku dan penglihatanku. Mereka melakukan hal itu kepadaku selama tiga hari berturut-turut dan pada hari ketiga, mereka berkata kepadaku, “Tinggalkanlah agama yang telah engkau pegang!” Ummu Syuraik berkata, “Aku sudah tidak dapat lagi mendengar perkataan mereka, kecuali satu kata demi satu kata dan aku hanya memberikan isyarat dengan telunjukku ke langit sebagai isyarat tauhid”.
 
Penyeksaan yang ditanggung oleh Ummu Syuraik tidak menggugat keimanannya terhadap Allah, malah keimanannya semakin utuh walaupun ketika itu nyawanya seakan-akan sudah berada di tenggorok.  Sehingga pada satu ketika, disaat beliau berusaha untuk bertahan daripada seksaan itu, kekuasaan Allah berlaku kepadanya.
 
Ummu Syuraik berkata, “Demi Allah, tatkala aku dalam keadaan yang memberatkan itu, tiba-tiba aku merasakan sesuatu yang dingin dari langit menitis di atas dadaku (beliau dalam keadaan berbaring).  Setelah ku teliti, ternyata itu adalah titisan air dari sebuah wadah.  Lantas, aku segera meminumnya sedikit, kemudian wadah itu terangkat dan kembali semula ke arahku.  Aku mengambilnya lagi dan minum sedikit darinya.  Kejadian itu berulang beberapa kali.  Aku minum sehingga puas serta membasahkan seluruh tubuh dan pakaianku.  Setelah itu, orang-orang Quraisy itu keluar dan melihatku seraya berkata, “Dari mana engkau dapatkan air itu wahai musuh Allah?”  Beliau menjawab, “Sesungguhnya musuh Allah itu adalah selain dari diriku yang menyimpang dari agama Allah.  Adapun pertanyaan kalian dari mana air itu, maka itu adalah dari sisi Allah yang dianugerahkan kepadaku”.  Mereka segera memeriksa wadah-wadah air yang mereka bawa dan mendapati ia masih tertutup rapat.  Lalu mereka berkata, “Kami bersaksi bahawa Rabbmu adalah Rabb kami dan kami bersaksi bahawa yang telah memberikanmu rezeki di tempat ini adalah Tuhan yang mensyari’atkan Islam”.  Akhirnya, saat itu juga, orang-orang musyrik Quraisy yang membawa Ummu Syuraik itu memeluk agama Islam dan berhijrah bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam.    
 

Demikianlah perjuangan Ummu Syuraik dalam mempertahankan aqidahnya serta berpegang teguh dengan syari’at Allah Subhanahu Wa Taala.  Beliau tidak pernah berasa lemah dan berputus asa dengan rahmat Allah Subhanahu Wa Taala walaupun dirinya diseksa sebegitu zalim sehingga layaknya beliau mendapat rahmat dan pertolongan Allah.
 
Pertolongan Allah yang berupa wadah air minuman dan juga masuknya Islam oleh orang-orang musyrik itu, cukup menguatkan lagi keyakinan Ummu Syuraik terhadap janji Allah kepada orang-orang yang beriman bahawa Allah tidak akan mensia-siakan amal perbuatan hamba-hambanya walau sekecil zarah sekalipun.  Akibat keteguhan hatinya dalam mempertahankan Deen Allah ini, beliau menjadi perantara bagi orang-orang musyrik memeluk agama Islam dan itu menjadi kebahagiaan baginya yang tidak boleh ditukar ganti dengan harta dunia sekalipun.
 
Rasulullah SAW telah bersabda, “Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk, maka ia akan mendapatkan pahala yang sama seperti orang-orang yang mengikuti petunjuknya, tanpa mengurangi sedikit pun pahala-pahala mereka.  Dan siapa yang mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat balasan dosa yang sama seperti dosa orang-orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi sedikit pun dosa-dosa mereka”   [HR Muslim].
 
Begitulah setiap muslim dari kita khususnya muslimah, sejatinya harus ada semangat yang bergelora untuk mengembalikan syi’ar Allah sekaligus menghilangkan kesyirikan-kesyirikan yang berlaku di muka bumi ini.  Hal ini hanya akan berlaku dengan kembalinya sebuah Daulah Islam yang dapat menyatukan dan mensejahterakan umat Islam seluruh dunia.  Dakwah dalam menegakkan kembali Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah bukanlah tugas sesetengah jemaah Islam atau segolongan umat sahaja, tetapi ia menjadi kewajipan yang wajib digalas oleh bahu setiap orang yang bergelar muslim.  Sesungguhnya usaha mulia ini memerlukan pengorbanan yang amat besar dari kita berupa harta dan jiwa raga yang balasannya merupakan syurga Allah seluas langit dan bumi.
 
Firman Allah Subhanahu Wa Taala:
 
 “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dengan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.  Nescaya, Allah mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang agung”   [TMQ as-Saff  (61):10-12].
 
Rujukan:
• kitab Nisaa’ Haular Rasuul, karya Mahmud Mandi al-Istanbuli dan Musthafa Abu an-Nashr asy¬Syalabi, Potret Salaf Menjemput Rezeki Yang Barokah, Abdul Malik al-Qasim, Penerbit as Salam Publishing, Hal.151-155
• http://kisahislam.net/2012/03/13/ummu-syuraik-bila-allah-hendak-memberinya-rezeki-maka-tak-seorangpun-dapat-menghalangi nya/ diakses pada 18/12/2012.

[FU/Februari2013/Bil.52]

 


FIKIH: HUKUM DATING DENGAN TUNANG

Soalan:
 
Bolehkah seorang lelaki dan wanita yang sudah bertunang, duduk atau berjalan berdua, sama ada di tempat terbuka atau di tempat persendirian?
 
Jawapan:
 
Maksud pertunangan dalam Islam
 

Pertunangan menurut Islam adalah muqaddimah kepada perkahwinan.  Ia diharuskan (mubah) dalam Islam bagi memberi peluang kepada si lelaki atau perempuan untuk mengenali calon pasangan masing-masing dengan lebih dekat lagi.  Dalam bahasa Arab, bertunang disebut sebagai khitbah.  Khitbah yang diterjemah maknanya ke Bahasa Melayu bermakna “melamar” wanita untuk dijadikan bakal isteri.  “Melamar” bermakna meminta persetujuan pihak wanita untuk menjadi isteri kepada pihak lelaki.  Khitbah melibatkan ‘tempoh’ berdasarkan kebiasaan atau adat yang masyhur dipegang oleh masyarakat. Khitbah juga bermakna proses lelaki meminta daripada pihak perempuan untuk berkahwin dengan cara-cara yang diketahui masyhur di tempat masing-masing.
 
Hukum syara’ berkaitan interaksi antara lelaki dengan perempuan
 

Islam menerangkan hukum-hukum yang mengatur hubungan antara lelaki dengan wanita dengan begitu jelas dan terperinci.  Menurut ajaran Islam, prinsip asas interaksi antara lelaki dengan perempuan bukan mahram adalah terpisah.  Ini bermakna, berkumpul (ijtima’), bercampur-baur (ikhtilath) ataupun berdua-duaan (khalwat) antara lelaki dan wanita bukan mahram sama ada bertunang ataupun tidak, hukumnya adalah haram.
 
Banyak dalil yang menunjukkan pemisahan antara dua jantina ini, dan banyak hadis yang menjelaskan hukum yang berkaitan hal ini sama ada di tempat umum mahupun khusus.  Tempat umum adalah seperti masjid, lorong-lorong dan tempat berjual beli yang mana, sesiapa sahaja boleh berada di tempat itu tanpa keizinan sesiapa. Tempat khusus seperti rumah pula tidak boleh dimasuki orang luar tanpa keizinan pemiliknya, meskipun hanya untuk menjenguk apa yang ada di dalamnya. Ini berdasarkan firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.  Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu selalu ingat.  Jika kamu tidak menemui seseorang di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin.  Dan jika dikatakan kepadamu: ‘pulang sajalah’ maka hendaklah kamu  pulang.  Itu lebih bersih bagimu dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”   [TMQ an-Nur (24):27-28].
 
Berkenaan dengan larangan ijtima’ dan ikhtilath di tempat umum, Abu Dawud telah meriwayatkan hadis-hadis seperti di bawah:  “Rasulullah melihat kaum lelaki dan perempuan di luar masjid bergerak bersebelahan antara satu sama lain.  Baginda menahan kaum perempuan lalu berkata, ‘Adalah tidak elok untuk kalian berjalan di tengah-tengah laluan ini, adalah lebih baik bagi kalian untuk berjalan mengikuti tepi-tepi dinding.”  [HR Abu Dawud].

 Nabi Muhammad SAW bersabda, “Usah berjalan di antara dua lelaki ataupun di antara dua wanita di satu lorong.”   [HR Abu Dawud].
 
Ini bermakna, hukum asal dalam Islam ialah wanita dan lelaki bukan mahram adalah terpisah.  Namun hukum syara’ juga membenarkan perempuan melaksanakan sebahagian aktiviti yang memerlukan ijtima’ di tempat umum.  Misalnya Allah membolehkan wanita untuk melakukan jual-beli serta mengambil dan menerima barang, memiliki harta dan mengembangkannya, bekerja dan mengupah pekerja, memberi dan menerima rawatan, belajar dan mengajar, dan terlibat dalam memiliki, menguruskan dan melaksanakan sektor pertanian dan industri.
 
Jika perbuatan itu menuntut interaksi lelaki-perempuan untuk disempurnakan, maka ikhtilath untuk melaksanakan urusan ini dibenarkan kerana perbuatan ini sendiri dibenarkan.  Manakala jika perbuatan ini boleh disempurnakan tanpa interaksi lelaki dengan perempuan, maka pemisahan wajib dilakukan contohnya dengan memisahkan kawasan lelaki dan perempuan di masjid dan di kelas pengajian.  Tidak dibolehkan ikhtilath dalam melaksanakan sesuatu yang boleh disempurnakan tanpa interaksi lelaki dengan perempuan yang bukan mahram.  Contohnya bersiar-siar, berjalan bersama-sama ke masjid, pasar, temasya, atau menziarahi keluarga, walaupun dilakukan di tempat umum.
 
Selain melarang ijtima’ dan ikhtilath antara lelaki dengan perempuan pada perkara yang tidak dibenarkan di tempat umum, interaksi antara lelaki dengan perempuan bukan mahram dalam keadaan berkhalwat iaitu bersunyi-sunyian di tempat khusus juga haram, kecuali jika perempuan itu ditemani mahramnya (contohnya bapa dan adik-beradik lelakinya).  Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah seorang laki-laki ber-khalwat dengan seorang wanita kecuali dia disertai mahramnya,kerana yang ketiga di antara keduanya adalah syaitan.”  [HR Muslim, dari jalur Ibn Abbas].
 
Berdasarkan dalil-dalil di atas, tidak ada pengecualian kepada calon suami-isteri daripada melakukan perkara yang diharamkan antara lelaki dengan perempuan bukan mahram seperti menampakkan aurat dengan sengaja kepada bakal pasangan, berkhalwat, dan sebarang perbuatan yang mendekati zina.  Sebabnya, seperti yang diketahui umum, antara lelaki dengan perempuan yang bertunang belum ada apa-apa ikatan yang sah.  Hukum larangan ijtima’, ikhtilath dan khalwat tetap terkena pada lelaki dan perempuan yang akan atau sudah bertunang kerana keumuman hukum-hukum tersebut.

Khatimah
Islam adalah agama yang sempurna dan lengkap.  Setiap permasalahan dapat diselesaikan jika kaum muslim sentiasa berfikir berpandukan hukum Allah.  Islam datang dengan seperangkat hukum termasuklah hukum pergaulan antara lelaki dengan wanita.  Lelaki dan wanita yang bukan mahram sama sekali  tidak dibenarkan duduk berdua-duaan baik di tempat umum mahupun di tempat khusus tanpa ditemani oleh seorang mahram.  Jika umat Islam mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh syara’ nescaya tidak akan berlaku kes-kes zina, hamil luar nikah, pengguguran dan pem-buangan bayi yang tidak diingini.  Oleh itu, kami menyeru kepada muslimin dan muslimat supaya kembali kepada hukum Allah.  InsyaAllah jika kita kembali pada hukum Allah, kita akan selamat di dunia dan di akhirat.
 
Rujukan
• Al-Quran dan tafsir terjemahannya
• Sunan Abu Dawud Jil. 4, ms 370, hadis no. 5273
• An-Nidzam Al-Ijtima’i fi Al-Islam. Oleh Taqiyuddin An-Nabhani. Cetakan ke-4 2003. Lubnan: Darul Ummah.
• Sistem Pergaulan Dalam Islam (Edisi Mu’tamadah). Oleh Taqiyuddin An-Nabhani. 2007. Jakarta: HTI Press.
• Fikih Sunnah jilid 6. Oleh Sayid Sabiq
 
 [FU/Februari2013/Bil.52]

 
 
 
 
 
 

 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.