Fikratul Ummah – November 2013

 

FU-Cover-2013november

MUQADDIMATUL KALAM

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wabarakatuh…

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinNya jua kita dipertemukan dengan tahun baru hijrah, 1435H. Bulan Muharam merupakan bulan yang amat bermakna kerana ia membawa erti sebuah perubahan atau hijrah yang perlu dihayati dengan benar oleh setiap individu Muslim.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah,

Lumrahnya, kemahuan untuk berubah daripada yang kurang baik kepada yang baik dan daripada yang baik kepada yang lebih baik, ada dalam diri setiap manusia yang sentiasa inginkan kebaikan dalam hidup dan masa depannya. Benarlah firman Allah S.W.T, “Manusia tidak jemu memohon kebaikan,…”  [TMQ Fussilat (41):49]. Tiada seorang pun dalam kalangan manusia yang sempurna akalnya memohon supaya dirinya beroleh atau ditimpa keburukan atau musibah. Persoalannya, bagaimana caranya untuk memperoleh kebaikan? Firman Allah S.W.T, “Katakanlah: “Wahai manusia, sesungguhnya teIah datang kepadamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhanmu, sebab itu barangsiapa yang mendapat petunjuk maka sesungguhnya (petunjuk itu) untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang sesat, maka sesungguhnya kesesatannya itu mencelakakan dirinya sendiri…[TMQ Yunus (10):108].

Daripada ayat di atas, dapat difahami bahawa manusia akan meraih kebaikan apabila mengikuti petunjuk yang diturunkan oleh Allah S.W.T melalui kitabNya. Walau bagaimanapun, masih ramai lagi umat Islam yang tidak memahami bagaimana petunjuk Al-Quran boleh memberi kebaikan kepada manusia. Oleh itu, FU edisi kali ini mengupas isu semasa dalam sistem pendidikan negara yang kononnya sedang melangkah kepada suatu fasa perubahan. Apakah kesan yang didambakan daripada perubahan ini sekiranya ia masih mengikut acuan tinggalan imperialis Barat? Ikuti kupasannya dan perbahasan dalam segmen lain yang mengajak para pembaca untuk memahami bagaimana petunjuk Al-Quran dijadikan sumber rujukan dalam kehidupan manusia demi meraih kebaikan.

Mudah-mudahan kedatangan tahun baru ini memberi peringatan kepada semua bahawa perubahan masa tidak mengubah seseorang sebaliknya perubahan pada masa sekarang yang akan menentukan masa depan terutamanya untuk menghadapi kehidupan di akhirat kelak. Semoga sedikit pencerahan daripada FU kali ini akan mampu membawa kepada sebuah kefahaman yang jitu dan seterusnya membawa kepada perubahan yang lebih besar. InsyaAllah.

Wallahu a’lam.
 


DOA PILIHAN
Doa Memohon Bersama Ora
ng Yang Soleh

 
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ‘Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami,dan matilah kami bersama orang-orang yang berbakti”  [TMQ ali-Imran (3):193]
 

ARTIKEL PILIHAN
BAGAIMANA MEMBANGUN SISTEM PENDIDIKAN?

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. Ini bukanlah kali pertama pelan sebegini diwujudkan. Sebelum ini, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah diperkenalkan. Ia berdasarkan kepada enam teras iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Biarpun enam teras dalam PIPP belum dibuktikan keberkesanannya, kini PPPM pula diwujudkan untuk tempoh 12 tahun akan datang yang mungkin juga bertujuan menggantikan PIPP yang perlu dipinda atas sebab tertentu.

Agenda Transformasi Pendidikan
PPPM mensasarkan 11 anjakan untuk dicapai, antaranya menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa, memastikan murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai, meningkatkan kualiti guru, memastikan pemimpin  berprestasi tinggi di setiap sekolah dan mengupayakan JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan. Selain itu, anjakan ini juga bertujuan untuk memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran, mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran, memperluaskan jalinan kerjasama antara ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, memaksimum pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan serta meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.

Dilaporkan pendekatan yang diambil dalam menghasilkan PPPM ini adalah suatu langkah berani dan julung-julung kali dilakukan. Pandangan pelbagai pakar dan agensi antarabangsa dikumpul untuk menilai dan mentaksir sistem pendidikan Malaysia (Ekshibit 1-2) termasuk agensi luar seperti Bank Dunia, UNESCO dan OECD. Kementerian juga merujuk dokumen dasar berkaitan yang disediakan oleh agensi lain termasuk Strategi Transformasi http://www.moe.gov.my/userfiles/file/PPP/Preliminary-Blueprint-BM.pdf. Persoalannya, adakah badan-badan antarabangsa seperti Bank Dunia, UNESCO dan OECD yang diwariskan penjajah ini layak dijadikan rujukan untuk menggubal sebuah sistem pendidikan negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim? Benarkah ia dapat melahirkan generasi soleh harapan umat dan negara?

Biarpun baru dilancarkan, PPPM telah mendapat reaksi negatif daripada pertubuhan Persatuan Cina seperti Dong Zhong dan juga parti politik dari Pakatan Rakyat (PR). Dong Zong yang dianggotai 77 persatuan Cina sebelum ini berkata tidak menolak kemungkinan untuk membawa isu berkenaan ke mahkamah kerana mereka mendakwa pelan berkenaan mengancam bahasa ibunda mereka. PR pula melihat terdapat enam aspek yang menjadikan pelan yang dilancarkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini bukan satu platform menyeluruh. Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Rakyat berkata ketiadaan maklum balas daripada Kementerian Pendidikan terhadap pendedahan spesifik sistem pendidikan gagal memberi keyakinan bahawa PPPM akan dilaksanakan dengan betul dan cekap.

Walaupun mendapat reaksi yang negatif dan ketidakpuasan daripada sesetengah pihak, PPPM tetap akan diteruskan dan tiada sebarang tindakan dapat diambil untuk menghentikannya kerana ia telah dirasmikan1. Inilah realiti sistem pendidikan di Malaysia yang terpaksa melalui fasa trial and errornya   ke arah transformasi pendidikan negara.  Jika dicermati, tiada satupun anjakan atau teras yang terkandung dalam pelan-pelan mahupun akta pendidikan yang digubal selama ini meletakkan akidah Islam sebagai asasnya. Justeru apakah yang boleh diharapkan daripada pelan yang wujud daripada sistem pendidikan sekular dalam bingkai demokrasi ini?

Pelan Pendidikan Terbaik
Sesungguhnya model atau pelan pendidikan yang baik semestinya berupaya disediakan oleh negara. Ini kerana negaralah yang memiliki kemampuan untuk menyelenggarakan pendidikan yang bermutu, termasuk menyediakan dana yang mencukupi, kemudahan prasarana yang lengkap dan berkualiti. Terlebih dahulu perlu difahami bahawa untuk menyelenggara sebuah kehidupan bermasyarakat dan bernegara, pemerintah akan menumpukan kepada dua elemen besar iaitu ekonomi dan politik. Politik akan melahirkan polisi-polisi yang akan dilaksanakan dalam sesebuah kehidupan manakala ekonomi pula berperanan dalam pengelolaan sumber-sumber ekonomi dan dana kewangan. Dalam Islam, kedua-dua elemen ini akan saling melengkapi untuk melayani urusan umat (hak-hak asas) yang merupakan kewajipan negara terhadap setiap warganegaranya iaitu dalam aspek kesihatan, keselamatan dan pendidikan. Inilah yang akan direalisasikan oleh seorang pemimpin dalam pemerintahan Daulah Khilafah Islamiah.

Daulah Khilafah Islamiah tidak akan sesekali merujuk dan meminta nasihat daripada kalangan orang bukan Islam untuk menggubal sistem pendidikan dalam negaranya, apatah lagi membenarkan campur tangan pihak kuffar mahupun badan-badan asing bukan Islam. Mana mungkin pihak kuffar diberi ruang untuk membentuk sistem pendidikan negara umat Islam. Jika ini berlaku maka akan terbentuklah keperibadian generasi seperti yang Barat mahukan iaitu generasi yang berpegang kepada slogan kebebasan iaitu bebas dalam segala aspek kehidupan tanpa menjadikan akidah Islam sebagai asas berfikir dan bertingkah laku. Maka tidak hairanlah jika sistem pendidikan acuan sekular demokrasi ini melahirkan mereka yang cemerlang akademiknya dan menjawat jawatan professional tetapi amat rendah syakhsiyyah Islamnya. Golongan inilah yang kerap melakukan tindakan salah laku, melanggar etika, mengamalkan rasuah dan sebagainya. Ini tidak lain kerana sistem pendidikan sekular yang dilaksanakan selama ini ternyata gagal mewujudkan ketakwaan dan keimanan bagi generasi acuannya.

Dalam Islam, sistem pendidikan didasarkan pada sebuah kesedaran bahawa setiap Muslim wajib menuntut ilmu dan tidak boleh mengabaikannya. Sabda Rasulullah S.A.W, “Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap Muslim” [HR Ibnu Adi dan Baihaqi].

Allah S.W.T mewajibkan setiap Muslim untuk menuntut ilmu. Justeru, setiap Muslim wajib membekali dirinya dengan pelbagai macam ilmu yang diperlukan dalam kehidupan. Atas dasar ini, negara wajib menyediakan bukan sahaja pendidikan secara percuma malah menyelenggara sebuah sistem pendidikan yang berkualiti.

Akidah Islam pula hendaklah menjadi asas bagi sistem pendidikan. Akidah inilah yang akan melahirkan individu yang taat pada syariat Islam. Ini kerana, berhasilnya pendidikan dalam Islam dilihat dari segi keterikatan seseorang kepada syariat Islam, bukan semata-mata menguasai ilmu pengetahuan. Dengan meletakkan akidah Islam sebagai asas bagi ilmu pengetahuan, ini bukan bermaksud semua ilmu pengetahuan harus bersumber dari akidah Islam (kerana tidak semua ilmu pengetahuan lahir daripada akidah Islam). Yang dimaksudkan ialah akidah Islam harus menjadi ukuran yang mana ilmu pengetahuan yang bertentangan dengan akidah Islam tidak boleh dikembang atau diajarkan kecuali untuk dijelaskan kesalahannya.

Sistem pendidikan Islam juga mempunyai tujuan yang jelas dan tidak berubah-ubah mengikut keadaan, peredaran zaman atau situasi politik tertentu. Tujuan pendidikan Islam yang digali dari nas yang syari’e adalah untuk melahirkan generasi berkeperibadian Islam. Allah S.W.T yang Maha Luas ilmuNya telah berfirman, “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk kaum Muslimin”  [TMQ Fushilat (41):33]

Hakikatnya tujuan yang dimaksudkan di atas ialah kesan keimanan bagi seorang Muslim, iaitu dia harus memegang identiti keIslamannya dengan menjadikan cara berfikir (aqliyyah) dan bertingkah lakunya (nafsiyyah) sentiasa didasarkan kepada akidah Islam.

Selain itu, sistem pendidikan Islam juga bertujuan untuk melahirkan generasi yang menguasai tsaqafah Islam dengan menguasai ilmu fardhu ‘ain (ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap Muslim). Contohnya ilmu-ilmu berkaitan pemikiran dan hukum-hukum Islam merangkumi fiqh, bahasa Arab, sirah Nabawiyyah, al-Quran, al-Hadis dan sebagainya. Bukan itu sahaja, malah ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah (ilmu yang wajib dipelajari oleh salah satu atau sebahagian sahaja daripada umat Islam) juga perlu dikuasai oleh Muslim seperti ilmu-ilmu kehidupan yang mencakupi ilmu pengetahuan dan teknologi serta kemahiran seperti ilmu kimia, fizik, biologi, komputer, kedoktoran, pertanian, teknik dan sebagainya. Allah S.W.T telah berfirman,

Katakanlah (wahai Muhammad), apakah sama orang-orang yang berpengetahuan dan orang-orang yang tidak berpengetahuan”  [TMQ az-Zumar (39):9].

Pendidikan Mengembalikan Martabat Manusia
Lihatlah bagaimana Allah S.W.T memuliakan manusia kerana akalnya. Ini kerana dengan akalnya, manusia memiliki kelebihan berbanding makhluk ciptaan Allah yang lain. Berkaitan hal ini, Allah S.W.T telah berfirman:

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang berakal”  [TMQ Ali Imran (3):190].

Maka bertakwalah kepada Allah, wahai orang-orang yang berakal, agar kamu beruntung”  [TMQ al-Maidah (5):10].

Allah S.W.T telah menyeru manusia menggunakan akalnya agar dapat merenungi ciptaanNya sehingga meningkatkan keimanan terhadap kekuasaan dan keagunganNya. Justeru semakin banyak ilmu yang dipelajari manusia semakin menjadikannya tunduk dan mengakui kelemahan serta kekerdilannya di hadapan Allah. Akhirnya dia akan berusaha mengikat diri sepenuhnya dengan seluruh hukum yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Demikianlah tujuan sistem pendidikan dalam Islam. Ia hanya dapat direalisasikan di bawah kepimpinan seorang penguasa Islam yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam melayani urusan umat dalam bidang pendidikan.

Namun, apa yang menyedihkan ialah, umat Islam di negara ini masih didominasi oleh sistem demokrasi sekular. Dek kerana sistem warisan penjajah ini jugalah berlakunya krisis multidimensi di tengah-tengah masyarakat dalam segala aspek kehidupan. Kemiskinan, kezaliman, kejahilan, penindasan dan ketidakadilan dalam segala bidang dan pelbagai bentuk penyakit sosial bertubi-tubi menyerang generasi Muslim hari ini.

Khatimah
Sidang pembaca yang dimuliakan! Sesungguhnya memang sukar untuk melahirkan generasi bersyakhsiyyah Islam dan menguasai pelbagai cabang keilmuan selagi sistem pendidikannya tidak berteraskan akidah Islam. Ini kerana akidah Islamlah yang menjadi tunjang dan dasar bagi seluruh sistem kehidupan yang diterapkan bagi mencetak generasi yang berilmu sekali gus beriman dan bertakwa. Justeru, bangkitlah dan berusahalah untuk berjuang mengembalikan kehidupan Islam dalam bingkai Khilafah Islamiyah. Yakinlah dengan kemampuan akal dan kudrat yang dianugerahkan Allah, untuk sama-sama menyongsong kembali tegaknya Khilafah yang akan menghapuskan segala pelan atau sistem pendidikan khususnya serta sistem kehidupan umumnya yang tidak berteraskan akidah Islam.

Rujukan:
1.    http://bm.malaysia-chronicle.com
2.    Muhammad Ismail Yusanto, dkk (2004) Menggagas Pendidikan Islam, Al-Azhar Press.
3.    Abu Yasin, (2004) Strategi Pendidikan Negara Khilafah, Pustaka Thariqul Izzah,
4.    http://www.moe.gov.my/v/pelan-pembangunan-pendidikan-malaysia-2013-2025
5.    Al-Waie No.59 Tahun V,1-31 Julai 2005 : Politik Pendidikan Islam halaman 13-18.
6.    Terjemahan Al-Quran dan Al-Hadis.
 


TAFSIR AL-QURAN
TIADA LAGI HIJRAH PADA ZAMAN INI?

Kini, lebih 1430 tahun peristiwa hijrah Rasulullah telah berlalu. Peristiwa ini merupakan titik momentum perubahan masyarakat Islam dan permulaan sejarah keemasan umat. Ironinya, sebahagian besar kaum Muslimin masih kurang memahami pengertian sebenar di sebalik hijrah Rasulullah S.A.W dan menganggapnya tidak lebih daripada fakta sirah (sejarah). Pengertian hijrah ini juga telah disempitkan sedemikian rupa sehingga maknanya hanya terbatas kepada makna bahasa, iaitu perpindahan dari satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, jika seseorang yang gagal, lalu berusaha sehingga berjaya, maka itu dikatakan hijrah. Sekiranya seorang yang miskin berusaha gigih, lalu menjadi kaya, maka itu dikatakan hijrah. Jika seorang selebriti berubah daripada pemakaian yang tidak syar’i kepada pemakaian yang syar’i, maka ini dikatakan hijrah. Inilah makna-makna hijrah yang telah berjaya ditanamkan dalam pemikiran umat Islam, sehingga mengaburkan makna sebenar hijrah Rasulullah yang wajar difahami oleh umat Islam. Pengaburan makna ini merupakan salah satu kesan kemunduran berfikir umat Islam, sama seperti pengaburan makna istilah-istilah seperti jihad, kemerdekaan, Negara Islam dan lain-lain. Sedangkan, secara syar’i, para fuqaha mendefinisikan hijrah sebagai: keluar dari darul kufur menuju Darul Islam (An-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, II/276). Menurut definisi ini, Darul Islam adalah suatu wilayah (negara) yang menerapkan syariat Islam secara total dalam segala aspek kehidupan dan keamanannya berada di tangan kaum Muslimin.

Pengertian hijrah dari segi syara’ ini diambil daripada lafaz ‘hijrah’ dan lafaz ‘Muhajirin’ yang disebut dalam Al-Quran itu sendiri dan juga hadis-hadis. Antaranya firman Allah,

“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata, ‘Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?’ Mereka menjawab, ‘Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi’. Malaikat bertanya lagi, ‘Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?’ Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” [TMQ an-Nisa’ (4):97-99].

Hijrah Masih Berterusan
Di samping penyempitan makna hijrah kepada makna bahasa semata-mata, ramai cendekiawan Islam terkeliru mengatakan bahawa hukum hijrah dari segi syar’i sudah tidak berlaku lagi. Walhal, sesungguhnya hijrah dari negeri kufur ke negeri Islam adalah kekal, tidak pernah terputus. Antara hujah mereka adalah diambil dari hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari di mana Rasullulah S.A.W bersabda,

“Tidak ada lagi hijrah selepas pembukaan kota Mekah”
“Tidak ada lagi hijrah selepas terjadinya fathu (pembukaan)”
“Sesungguhnya hijrah telah berhenti, tetapi jihad dan niat (tetap berterusan)”,
dan juga apa yang diriwayatkan oleh Sufyan bin Ummayyah, ketika telah memeluk Islam dan dikatakan kepadanya,

Tidak sempurna agama seseorang yang tidak berhijrah, lalu beliau pun datang (berhijrah) ke Madinah’ Selepas itu, Nabi SAW bertanya kepadanya, ‘Gerangan apakah yang membawa kamu ke sini wahai Abu Wahab?’ Beliau menjawab, ‘Katanya, tidak sempurna agama bagi sesiapa yang tidak berhijrah.’ Baginda kemudian menjelaskan, ‘Kembalilah wahai Abu Wahab ke tengah-tengah Mekah. Tetaplah tinggal di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya hijrah telah berhenti, tetapi jihad dan niat (tetap berterusan). Jika kamu diminta berperang, maka berperanglah”

Memang benar, kesemua hadis di atas menafikan adanya hijrah selepas pembukaan kota Mekah. Walau bagaimanapun, mesti difahami bahawa penafian ini disertai dengan illat (punca pensyariatan hukum) yang diistinbat (digali) dari hadis-hadis itu sendiri. Apabila Rasulullah bersabda, “selepas pembukaan Mekah” ia berupa ungkapan yang mengandungi illat-ma’lul (sebab-akibat). Dalam kes lain, contohnya mengenai keharaman khamar, Rasulullah S.A.W bersabda,

Janganlah kamu campur adukkan tamar dan anggur semuanya agar menjadi khamar  [HR Ibn Hibban].

Perkataan jami’an (semuanya) dinyatakan dalam bentuk yang mengandungi illat-ma’lul (sebab-akibat), maka ia merupakan illat (punca pensyariatan) larangan membuat khamar, bukannya larangan mencampuradukkan tamar dan anggur itu sendiri. Ini membawa makna bahawa penaklukkan Mekah merupakan illat penafian hijrah yang bererti bahawa illat ini akan berputar bersama ma’lulnya (iaitu) ada dan tidaknya, dan tidak dikhususkan untuk Mekah sahaja, tetapi meliputi pembukaan mana-mana negeri sekalipun. Dalilnya terdapat dalam riwayat lain,

Tiada hijrah selepas terjadinya pembukaan.”

Ia dikuatkan oleh hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dari Aisyah, apabila baginda ditanya mengenai hijrah, baginda berkata,

“Hari ini tidak ada lagi hijrah. Orang Mukmin sememangnya pernah berhijrah untuk melindungi agamanya menuju kepada Allah dan RasulNya, kerana takutkan fitnah (ujian). Adapun ketika ini, Allah benar-benar telah memenangkan Islam, yang mana orang Mukmin boleh menyembah Tuhannya dengan senang hati.”

Ini adalah antara hadis yang menerangkan bahawa hijrah orang Islam adalah (berlaku) sebelum terjadinya pembukaan (futuhat) untuk menyelamatkan agamanya kerana takutkan fitnah dan kemudiannya dinafikan (tidak adanya hijrah) setelah terjadinya pembukaan, kerana orang Islam telah menjadi berkemampuan untuk menzahirkan agamanya dan melaksanakan hukum-hukum Islam. Oleh itu, ‘pembukaan’ yang membawa akibat kepada semua perkara di atas tadi merupakan illat penafian hijrah dan bukan hanya ‘pembukaan Mekah’ sahaja. Oleh yang demikian, yang dimaksudkan dengan hadis di atas adalah tidak ada hijrah setelah terjadinya pembukaan (iaitu) tidak berlaku penghijrahan dari suatu negeri yang telah dibuka. Adapun mengenai sabda Rasulullah S.A.W kepada Sufyan bahawa hijrah telah berakhir (hijrah dari Mekah selepas ia dibuka), ia bermaksud bahawa apabila sesebuah negeri telah dibuka, maka negeri tersebut telah (bertukar) menjadi darul Islam, maka negeri kaum kuffar dan darul kufur tadi sudah tidak ada lagi. Oleh itu, tidak ada lagi hijrah. Demikianlah halnya dengan tiap-tiap negeri yang telah dibuka, maka tidak ada lagi hijrah dari sana kerana ia telah (bertukar) menjadi darul Islam. Ini dikuatkan lagi oleh hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad melalui Mu’awiyah, ia berkata,

Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, “Hijrah tidak akan berakhir selama taubat masih lagi diterima dan taubat masih terus diterima sehingga matahari terbit dari Barat.

Ahmad juga telah meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W bersabda,

Hijrah itu tidak akan berakhir, selama masih lagi ada jihad.”

Dalam riwayat yang lain,

Hijrah itu tidak akan berakhir, selama orang kafir masih lagi wajib diperangi.”

Kesemua hadis ini menunjukkan pengertian bahawa hijrah dari negeri kufur ke negeri Islam ialah kekal dan hukumnya masih lagi berjalan.

Khatimah
Sesungguhnya darul Islam ialah Daulah Khilafah dan ia sudah tidak lagi wujud di dunia ini semenjak kejatuhannya pada 28 Rajab 1342H yang lalu. Sejak itu hingga kini, umat Islam kesemuanya tinggal di darul kufur dan diperintah oleh undang-undang dan sistem kufur. Dan sesungguhnya perjuangan untuk menegakkan semula Daulah Khilafah ini amat terkait rapat dengan persoalan hijrah. Justeru, hakikat dan hukum hijrah hendaklah difahami dengan benar agar apabila tertegaknya Khilafah sedikit masa lagi, umat Islam di seluruh dunia tidak akan terkeliru dalam usaha mereka untuk berhijrah menuju darul Islam (Khilafah) yang baru muncul ini. Ayuhlah wahai saudaraku semua, kita berhijrah dengan menukar darul kufur yang kita diami ini kepada darul Islam (Khilafah) kerana hanya dengan cara inilah kita akan dapat menikmati kemanisan iman dan merasai hakikat sebenar hijrah sebagaimana yang telah dirasai oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya dengan penuh kemuliaan dan keredhaan daripada Allah Azza wa Jalla.
 


SERIKANDI TELADAN
ASMA’ BINTI UMAIS : DZATUL HIJRATAINI

Hembusan Kebenaran

 “Wahai orang yang berselimut, bangunlah lalu berikanlah peringatan dan agungkanlah Tuhanmu” [TMQ al-Muddatstsir (74):1-3].

Setelah turunnya ayat ini, Nabi S.A.W mula mengajak masyarakat Mekah memeluk agama Islam, menerima ke-Esaan Allah S.W.T sebagai al-Khaliq dan al-Malik yang tidak ada sekutu bagiNya serta menerima kepemimpinan baginda sebagai utusan Allah S.W.T. Walau ke mana sahaja baginda pergi, sama ada di pasar-pasar atau di rumah-rumah, baginda hanya melakukan dua perkara sahaja iaitu mengajak orang masuk Islam serta membangun keimanan dan pemahaman tentang kalimah Laa ilaaha illa Allah kepada setiap orang yang menerima seruannya. Tahapan dakwah yang Rasulullah S.A.W lakukan ini  dikenali sebagai tahapan pembinaan dan pengkaderan (marhalah tastqif wat taqwin) dan ianya berlangsung selama tiga tahun di Mekah. Saban hari, berkat usaha gigih dan doa daripada Rasulullah S.A.W serta para sahabat, khabar berita tentang deen-ul-Islam semakin tersebar luas di Jazirah Arab itu. Jumlah masyarakat Mekah yang memeluk agama Islam juga turut bertambah dan terus bertambah hari demi hari. 

Seiring dengan berhembusnya angin Islam ke kota Mekah, datanglah Asma’ binti Umais bersama suaminya berjumpa dengan Rasulullah S.A.W untuk mengikrarkan keIslaman mereka berdua setelah didakwahi oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. Asma’ binti Umais bin an-Nu’man bin Ka’ab bin Malik bin Quhafah bin Khats’am turut dikenali sebagai Ummu Abdillah dan merupakan isteri seorang asy-syahid dalam perang Mu’tah iaitu Ja’far bin Abi Thalib. Ja’far bin Abi Thalib merupakan sepupu Rasulullah S.A.W yang diberi gelaran sebagai Dzil Janahain (si pemilik dua sayap). Asma’ juga ialah salah seorang sahabiyah yang memeluk agama Islam pada awal kenabian kerana keIslamannya berlaku sebelum Rasulullah S.A.W masuk ke Darul Arqam (rumah Arqam bin Abi Arqam al-Makhzumi r.a). Hal ini merupakan satu kenikmatan yang tiada taranya apabila menjadi sabiqun awwalun kerana mereka mempunyai timbangan amal dan kebaikan yang sangat besar sebagaimana firman Allah S.W.T yang telah termaktub di dalam al-Quran iaitu ayat 10-12 Surah al-Waqiah (56) yang bermaksud, “Dan orang-orang yang paling dahulu (beriman), merekalah yang paling dahulu (masuk syurga), mereka itulah orang yang paling dekat (kepada Allah), berada di dalam syurga kenikmatan”.

Hijrah Pertama
Sahabiyah ini bukan sahaja termasuk dalam golongan sabiqun awwalun, tetapi beliau juga menjadi antara wanita yang melakukan hijrah pertama ke Habsyah (Ethiopia). Hijrah ini berlaku pada bulan Rajab, tahun kelima Nabi Muhammad S.A.W diangkat menjadi Rasul. Sepanjang usaha Rasulullah S.A.W dan para sahabat berdakwah di Mekah, pelbagai tekanan dan ancaman luar biasa telah dilakukan oleh kafir Quraisy terhadap umat Islam. Rasulullah S.A.W khuatir kaum musyrikin Quraisy akan melanjutkan tekanan ke atas umat Islam dengan menggunakan kekuatan fizikal untuk memaksa mereka yang telah masuk Islam agar meninggalkan agama yang baru mereka peluk itu. Ibnu Ishaq berkata, ketika Rasulullah S.A.W melihat penderitaan yang dialami sahabat-sahabatnya, sementara baginda tidak mampu melindungi mereka daripada penderitaan itu, maka baginda bersabda kepada mereka, “Bagaimana jika kalian berhijrah ke negeri Habsyah, kerana rajanya tidak akan mengizinkan walau seorang pun dizalimi di dalamnya dan negeri tersebut adalah negeri yang benar, hingga Allah S.W.T memberi jalan keluar bagi penderitaan yang kalian alami sekarang?”

Maka, hal inilah yang menjadi penyebab hijrahnya Asma’ binti Umais ke Habsyah bersama suaminya serta beberapa Muslimah lain yang kebanyakan daripadanya mengikuti suami masing-masing. Penghijrahan para Muslimah ini bukan untuk bersuka-suka mahupun bersenang-lenang, tetapi ia merupakan perintah daripada Rasulullah S.A.W yang menjadi ujian berat bagi keimanan mereka. Mereka terpaksa hidup di negeri orang serta berjauhan daripada kaum keluarga dan ditambah dengan keselamatan yang belum sepenuhnya terjamin dengan perjalanan yang sangat jauh membelah Laut Merah. Namun, segala kepayahan dan keperitan penghijrahan ini tidak terasa apabila hati-hati mereka sudah terpaut dengan cinta Allah dan Rasul sehingga tahap hubbul-akhirah (cintakan akhirat) mereka melebihi hubbud-dunya (cintakan dunia). Kerana taat kepada Allah dan RasulNya, mereka redha dan bersedia untuk berhijrah menempuh segala ranjau perjalanannya.

Di Habsyah, suami Asma’ r.a menjadi juru bicara kaum Muslimin bagi menyampaikan keinginan mereka kepada Raja Najasyi untuk mendapatkan keizinan tinggal di sana di samping menyampaikan seruan daripada Rasulullah S.A.W. Sememangnya Allah S.W.T telah memberikan beliau keistimewaan iaitu hati yang tenang, akal fikiran yang cerdas, jiwa yang mampu meramal situasi dan percakapan yang baik sehingga akhirnya dengan kata-kata beliau itu dapat melembutkan dan menundukkan hati Raja Najasyi untuk mengakui keagungan dan kemuliaan agama Islam. Asma’ turut memainkan peranan dengan membantu suaminya menyebarkan Islam ke seluruh penjuru negeri Habsyah itu. Kaum Muslimin di sana tidak pernah meluangkan masa walau sedikit pun untuk beristirehat. Mereka mengambil peluang keamanan negeri itu untuk melebarkan sayap dakwah dengan membawa debunga-debunga Islam.

Untukmu Dua Hijrah
Kerinduan Asma’ r.a kepada sepupu suaminya itu membuak-buak sehinggalah suatu ketika pada tahun ke-7 H, Rasulullah S.A.W memerintahkan para Muhajirin itu untuk meninggalkan negeri Habsyah dan berhijrah menuju ke Daulah Islam yang pertama iaitu Madinah al-Munawwarah. Asma’ r.a begitu girang mendengarkan pengkhabaran ini kerana beliau merasakan perjuangan mereka selama ini telah berjaya mendapatkan hasilnya di Madinah. Tambahan pula, berita itu menandakan bahawa beliau bakal berjumpa dengan kekasih Allah yang sekian lama beliau rindukan. Jelas sekali, impian untuk membina sebuah Daulah Islam bukan satu mimpi ataupun utopia (angan-angan) belaka, tetapi ia satu perkara yang pasti akan berlaku kerana janji Allah dan Rasul itu sifatnya pasti.

Begitulah kisah Asma’ r.a keluar berhijrah untuk kali yang kedua dari negeri Habsyah menuju ke Madinah al-Munawarah bersama sebahagian rombongan muhajirin dengan menaiki kapal. Tatkala rombongan Muhajirin tiba di Madinah, berita tentang kemenangan kaum Muslimin di Perang Khaibar kedengaran. Laungan takbir bergema di setiap penjuru menunjukkan rasa gembira dengan kemenangan tersebut di samping kegembiraan menyambut kedatangan kaum Muhajirin dari Habsyah. Hal ini telah diperkatakan oleh Ibnu Hisyam dalam kitab Sirah Nabawiyahnya. Menurutnya, Sufyan bin Uyainah berkata dari al-Ajlah dari asy-Sya’bi yang berkata, “Ja’afar bin Abi Thalib r.a tiba di tempat Rasulullah S.A.W pada hari penaklukan Khaibar. Baginda mencium di antara kedua mata Ja’afar r.a serta mendakapnya. Lalu baginda bersabda, ‘Demi Allah aku tidak tahu mana yang lebih menggembirakan kemenangan  Khaibar atau  kedatangan Ja’afar’”.

Penghijrahan kedua Asma’ ini diperakui sendiri oleh Rasulullah S.A.W. Ketika Asma’ r.a menziarahi Hafshah binti Umar, beliau bertemu dengan Saidina Umar al-Khattab. Umar bertanya kepada Hafshah, “Siapakah wanita ini?” Hafshah menjawab, “Dia adalah Asma’ binti Umais.” Umar bertanya, “Inikah wanita yang datang dari negeri Habsyah di seberang lautan?” Asma’ menjawab, “Benar.” Umar berkata, “Kami telah mendahului kalian dalam berhijrah bersama Rasulullah, maka kami lebih berhak terhadap diri baginda daripada kalian.” Kemudian Asma’ berkata, “Ya, sungguh benar kamu bersama Rasulullah memberi makan orang-orang yang lapar di antara kamu dan mengajar orang yang masih jahil di antara kamu, sementara kami jauh dan terusir, tetapi semua itu adalah demi ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.” Kemudian, Asma’ r.a diam sejenak, selanjutnya berkata, “Demi Allah aku tidak akan makan dan minum sehingga aku bertanyakan hal ini kepada Rasulullah S.A.W.” Tatkala berjumpa dengan Rasulullah S.A.W, Asma’ bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar aduan daripada Asma’ itu, Rasulullah S.A.W bersabda, “Tiada seorang pun yang lebih berhak atas diriku melebihi kalian, adapun dia (Umar) dan para sahabatnya berhijrah satu kali, akan tetapi kalian ahlus safinah (yang menumpang kapal) telah berhijrah dua kali”.

Wanita pilihan inilah yang pernah menjadi pendamping hidup tiga tokoh sahabat yang dijanjikan syurga iaitu Ja’far bin Abi Thalib, Abu Bakar al-Siddiq dan Ali bin Abi Thalib tidak pernah memberi banyak alasan untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri, ibu serta sebahagian daripada umat Islam. Gelaran sebagai isteri dan ibu tidak pernah menghalangnya untuk menuntut ilmu Islam dengan lebih mendalam serta menjalankan dakwah. Malah, kedudukan ummun wa rabbatul bait itu dijadikan sebagai satu tiang penguat bagi dirinya untuk berdiri teguh menghadapi masyarakat yang mana beliau menjadikan sang suami sebagai tempat berkongsi pendapat dan masalah dakwah ilal Islam serta menjadi teman setia dalam perjuangan ini.

Khatimah
Wahai Muslimah yang dirahmati Allah S.W.T sekalian! Adakah kisah sahabiyah ini sekadar cukup dijadikan lipatan sejarah yang hanya perlu dipuji serta dikagumi? Adakah kita tidak  mahu mencontohi dan berusaha untuk menjadi sehebat dan sekental serikandi ini? Tidak sekali-kali! Seharusnya sifat-sifat mahmudah yang ada pada sahabiyah ini diteladani oleh setiap Muslimah kerana setiap orang Mukmin itu perlu meraih potensi untuk menjadi khoiru ummat (sebaik-sebaik ummat). Firman Allah S.W.T, “Kamu (wahai Umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia, kerana kamu menyuruh yang makruf, mencegah yang mungkar dan beriman dengan Allah…” [TMQ Ali-Imran (3):110].

Jika bukan bermula daripada kita, siapa lagi yang kita harapkan untuk menjadi pencetus kebangkitan umat ke arah kebangkitan Islam berdasarkan aqidah Islamiyah? Sedarlah wahai Muslimah yang dikasihi bahawa masyarakat Islam tidak mungkin akan terbina dan Daulah Islam tidak akan tertegak jika wanitanya tidak memahami Islam, tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan, tidak berdakwah ke jalan Islam, tidak melahirkan generasi pejuang Islam, tidak mengasuh anak-anak dengan fikrah Islam yang hakiki dan tidak menyokong suaminya yang berjuang menerapkan Islam. Di sinilah terdapat banyak hal yang menuntut peranan dan pengorbananmu, wahai Muslimah!

Wallahhu a’lam.

Rujukan:
1)    70 Wanita Terbilang Di Zaman Nabi Muhammad SAW. Al-Hidayah. 109-116.
2)    Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam. Jilid I dan II. Darul Falah.
3)    Bagaimana Membangun Kembali Negara Khilafah. Pustaka Thariqul Izzah.
4)    Al-Quran berserta terjemahan.
 



FIKIH
HUKUM HIJRAH YANG WAJIB DIFAHAMI OLEH UMAT ISLAM

 

Definisi Hijrah
Pengertian hijrah secara bahasa bererti berpindah tempat. Adapun secara syar’i, fuqaha mendefinisikan hijrah sebagai keluar dari darul kufur (negeri kufur) menuju ke darul Islam (negeri Islam). Pengertian ini diambil dari lafaz ‘hijrah’ dan lafaz ‘Muhajirin’ (orang-orang yang berhijrah) yang disebut di dalam Al-Quran itu sendiri dan juga hadis-hadis. Antaranya firman Allah:

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata, ‘Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?’ Mereka menjawab, ‘Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi’. Malaikat bertanya lagi, ‘Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?’ Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) daripada kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun  [TMQ an-Nisa’ (4):97-99].

Hijrah dalam Islam berlaku sebelum terjadinya pembukaan (futuhat) kota Mekah. Setelah berlakunya futuhat kota Mekah, maka ‘tidak ada lagi hijrah’ yang terjadi kerana orang Islam telah mencapai tahap berkemampuan untuk menzahirkan agamanya dan melaksanakan hukum-hukum Islam di negeri tersebut. Daripada Ibnu Abbas r.a katanya:

Ketika peristiwa pembukaan Kota Mekah, Rasulullah S.A.W bersabda: (maksudnya) “Tiada lagi hijrah (dari Mekah ke Madinah) selepas pembukaan Mekah, tetapi yang ada hanyalah jihad dan niat. Apabila kamu dipanggil oleh pemerintah untuk berperang, maka berangkatlah”  [Riwayat Bukhari dan Muslim].
 
Apabila sesebuah negeri telah dibuka oleh Islam, maka negeri tersebut telah bertukar dari darul kufur menjadi darul Islam, maka secara automatiknya darul kufur tadi sudah tidak ada lagi. Oleh itu, tidak ada lagi tuntutan hijrah ke atas penduduk Muslim di situ. Demikianlah halnya dengan tiap-tiap negeri yang telah dibuka oleh Islam, maka tidak ada lagi hijrah daripada negeri tersebut kerana ianya telah (bertukar) menjadi darul Islam.
 
Hukum Berhijrah
Walaupun disebutkan bahawa sudah tidak ada lagi hijrah (dari darul kufur menuju darul Islam), namun perlu difahami bahawa tuntutan/hukum hijrah dari darul kufur ke darul Islam adalah kekal dan hukumnya tetap berjalan sepanjang zaman dan hukum ini akan berlaku tatkala muncul sebab-sebab yang membawa kepadanya. Secara rincinya, hukum mengenai hijrah ini boleh dilihat dalam beberapa situasi, yakni terkait dengan orang yang mampu dan yang tidak mampu untuk berhijrah. Menurut Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani dalam kitab Syakhsiyyah Islamiyyah, jilid II, beliau mengatakan hukum berhijrah itu berlaku dalam keadaan-keadaan berikut:-

(i) Orang Yang Tidak Mampu Untuk Melakukan Hijrah
Allah mengampunkan mereka daripada kewajipan hijrah dan orang tersebut tidak dituntut untuk melakukannya. Ini adalah kerana kelemahannya untuk melakukan hijrah, sama ada kerana sakit, atau dipaksa untuk menetap atau dhaif (lemah) seperti orang-orang tua, kaum wanita dan anak-anak dan yang seumpama mereka.

(ii) Orang Yang Mampu Untuk Berhijrah Dan Pada Masa Yang Sama Dia Tidak Mampu Menzahirkan Agamanya Serta Melaksanakan Hukum-Hakam Islam Yang Dituntut Daripadanya (Di  Darul Kufur Tersebut)
 
Ketika mana Daulah Islamiyyah (Daulah Khilafah) yang menerapkan Islam secara kaffah (menyeluruh) tidak wujud dan kaum Muslimin menerima tekanan yang hebat terhadap aqidah dan amal ibadah mereka di wilayah tempat mereka tinggal, maka WAJIB bagi mereka berhijrah ke wilayah lain yang mana mereka akan kembali merasa aman dalam memelihara aqidah serta amal ibadah.
 
(iii) Orang Yang Mampu Untuk Berhijrah Tetapi Dalam Masa Yang Sama Dia Mampu Menzahirkan Agamanya Serta Melaksanakan Hukum Syarak Yang Dituntut Daripadanya Tanpa Mengalami Tekanan Penguasa Wilayah Kediamannya (Di Darul Kufur Tersebut)
 
Hukum hijrah dalam keadaan seperti ini adalah sunat dan bukan fardhu. Hukum sunat ini diambil daripada hakikat bahawa Rasulullah S.A.W telah mendorong kaum Muslimin agar berhijrah dari Mekah sebelum terjadinya pembukaan Mekah, ketika ia masih lagi berstatus negeri kufur. Ini disabitkan pada dalil syara’ yang menyebut:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” [TMQ Al-Baqarah (2): 218].

Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan” [TMQ At-Taubah (9): 20].

Dalil As-Sunnah di mana Rasulullah S.A.W membiarkan Nu’aim an-Nuhham tinggal di Mekah setelah beliau mendapat halangan daripada berhijrah bersama Rasulullah S.A.W ke Madinah. Nu’aim dikatakan mampu membiayai kehidupan para janda dan anak yatim, sedang beliau juga tidak menghadapi tekanan dalam mengamalkan Islam.
 
(iv) Orang Yang Mampu Untuk Menzahirkan Agamanya Serta Mampu (Berpeluang) Melaksanakan Hukum Syarak Yang Dituntut Daripadanya Dan Dia Juga Mempunyai Kemampuan Untuk Mengubah Darul Kufur Yang Didiaminya Menjadi Darul Islam, Seterusnya Menggabungkannya Ke Dalam Daulah Islamiyyah (Sama Ada Mempunyai Kemampuan Kerana Kekuatannya Sendiri Ataupun Kerana Bergabung Dalam Kumpulan Kaum Muslimin Yang Ada Di Darul Kufur Tersebut, Atau Dengan Bekerjasama Dengan Daulah Islamiyyah, Atau Dengan Jalan Lain) (Ketika Mana Daulah Islamiyyah Telah Wujud)

Wajib dia berusaha untuk menjadikan (menukar) darul kufur tadi menjadi darul Islam dan hukum berhijrah baginya adalah haram, kerana tuntutan untuk menyeru kepada Islam itu lebih diutamakan. Ini berdasarkan dalil bahawa adalah wajib bagi kaum Muslimin (yang diperintah oleh orang kafir atau oleh hukum-hukum kufur) untuk mendakwahkan penduduknya kepada Islam. Malah dalam keadaan di mana usaha dakwah telah dijalankan, namun pemerintah di negeri tersebut masih berdegil dan terus menerapkan hukum kufur, maka adalah menjadi kewajipan bagi kaum Muslimin di negeri tersebut untuk memerangi penguasanya sehingga hukum Islam diterapkan di tempat tersebut.

Namun perlu diingat di sini bahawa, hukum yang terakhir ini hanya berlaku ketika Daulah Khilafah telah pun wujud dan Muslim tersebut masih tinggal di darul kufur di mana sistem kufur dilaksanakan ke atasnya sedangkan dia berkemampuan untuk mengubahnya. Dalam keadaan seperti ini, hijrahnya Muslim tersebut daripada  darul kufur yang menerapkan hukum kufur dianggap sebagai melarikan diri daripada jihad di satu tempat di mana ia diwajibkan atau pun melarikan diri daripada memerangi orang yang memerintah dengan kekufuran yang nyata. Kedua-duanya adalah merupakan dosa besar di sisi Allah S.W.T. Oleh kerana itu, tidak dibenarkan bagi orang yang berkemampuan untuk mengubah darul kufur kepada darul Islam, untuk berhijrah daripada sana, selagi dia mempunyai kemampuan untuk mengubahnya menjadi darul Islam.

Khatimah
Kita hendaklah sedar bahawa semua negeri saat ini adalah darul kufur, sama ada kerana ia tidak melaksanakan hukum Islam, atau kerana keselamatannya bukan di tangan orang Islam. Berdasarkan nas yang jelas, kita wajib menukar darul kufur ini kepada darul Islam iaitu menukarnya menjadi Daulah Khilafah melalui jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Hukum-hukum hijrah yang diterangkan oleh Allah S.W.T dan RasulNya tidak akan dapat dilaksanakan selagi mana Daulah Khilafah masih belum ditegakkan. Oleh yang demikian, kita hendaklah bersedia dan hendaklah memahami hakikat dan hukum hijrah dengan benar agar bila tertegaknya Khilafah, umat Islam di seluruh dunia tidak akan terkeliru dalam usaha mereka untuk berhijrah menuju darul Islam (Khilafah)  kerana dengan izin Allah S.W.T, Daulah Khilafah yang kita usahakan ini akan segera wujud dalam masa terdekat.

Justeru itu, kita perlu berusaha untuk menukar darul kufur yang kita diami ini kepada darul Islam (Khilafah) kerana hanya dengan cara inilah kita akan dapat menikmati betapa indahnya hidup di bawah naungan Daulah Khilafah yang diterapkan di dalamnya Syariat Islam dan merasai hakikat sebenar hijrah sebagaimana yang telah dirasai oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya dengan penuh kemuliaan dan keredaan dari Allah Azza wa Jalla.

 
Rujukan:
•    Al-Quran
•    Wikipedia Ensiklopedia Bebas
•    Syakhsiyyah Islamiyyah, jilid II oleh Sheikh Taqiyuddin An-Nabhani (Terjemahan)
•    Daulah Islam oleh Sheikh Taqiyuddin An-Nabhani (Terjemahan)