Fikratul Ummah – Oktober 2013

FU-Cover-Okt2013


MUQADDIMATUL KALAM

Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh….

Segala puji bagi Allah SWT yang mencipta dan mentadbir masa. Sesungguhnya manusia benar-benar dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal kebaikan. Mereka berpesan-pesan dengan kebenaran, dan mereka berpesan-pesan dalam kesabaran.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian,

Alhamdulillah, tahun 1434 Hijrah bakal melabuhkan tirainya dan kita akan menyambut ketibaan tahun baru 1435 Hijrah. Salah satu peristiwa yang memberikan impak besar kepada umat Islam ialah peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W dan para sahabat Baginda dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Peristiwa tersebut merupakan titik bermulanya lembaran baru perjalanan dakwah Rasulullah; dari sebuah kutlah dakwah kepada sebuah kepimpinan bernegara yang menerapkan seluruh hukum-hukum Islam dalam kehidupan umat. Sejak itu, Islam tersebar luas dengan politik luar negara, melalui dakwah dan jihad. Sesungguhnya hijrah ini perlu difahami da-lam konteks politik sebenar iaitu sebagai penghijrahan dari sebuah darul kufur (negara kufur) kepada darul Islam (negara Islam).

Kita juga harus memahami bahawa peristiwa besar yang melahirkan sebuah peradaban dunia baru itu terlaksana dengan adanya pengorbanan dari Rasulullah S.A.W dan barisan generasi sahabat terawal. Pengorbanan ini tidak terbatas kepada masa, tenaga, harta, malah nyawa dan darah sanggup mereka korbankan untuk dakwah Islam. Maka, tidak hairanlah Allah S.W.T merakamkan pujian, kemuliaan, pembelaan, keampunan dan ganjaran syurga kepada generasi tersebut. Oleh itu, Fikratul Ummah edisi kali ini akan mengetengahkan makna hakiki peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W dan erti pengorbanan untuk Islam dalam konteks yang lebih tepat dan terperinci.

Semoga pada tahun baru Hijrah nanti, kita dapat merealisasikan makna hijrah yang sebenar sekali lagi iaitu dengan berusaha untuk mengembalikan kehidupan Islam di atas muka bumi ini, sama seperti yang diwariskan oleh Rasulullah S.A.W. Semoga Allah S.W.T berkenan untuk memilih kita sebagai hamba-hambaNya yang istiqamah sehingga Islam kembali memayungi dunia di bawah Daulah Khilafah Ats-Tsaniyah ‘ala Minhajin Nubuwwah. Wallahu a’lam.
.
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wa barakatuh.


DOA PILIHAN
DOA PENGIKAT KASIH DAN MENYATUKAN KESEFAHAMAN


أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلّمَ عَلَّمَهُ أَنْ يَقُولَ هَذَا الدُّعَاءَ
اَللَّهُمَّ أَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبَنَا، وَاصْلِحْ ذَاتَ بَيْنَنَا، وَاهْدِنَا سُبُلَ السَّلاَمَِ
وَنَجِّنَا مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ،وَجَنِّبْنَا الْفَوَا حِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ
وَبَارِكْ لَنَا فِى أَسْمَا عِنَا وَأَبْصَارِنَا وَقُلُوبِنَا وَأَزْوَاجِنَا وَزُرِّيَتِنَا
وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ
وَاجْعَلْنَا شَاكِرِيْنَ لِنِعْمَتِكَ، مُثْنِيْنَ بِهَا وَقَابِلِيْهَا وَأَتِمَّهَا عَلَيْنَا
 
“Ya Allah, jalinkanlah hati kami dalam kasih sayang, dan damaikanlah selisih faham kami, dan bimbinglah kami ke jalan kesejahteraan serta bebaskanlah kami dari kegelapan kepada cahaya, jauhilah kekejian dari kami baik yang lahir mahupun yang batin dan limpahkanlah kepada kami keberkatan baik mengenai pendengaran , pengelihatan dan hati nurani kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang, serta jadikanlah kami orang-orang yang bersyukur atas nikmatmu serta sempurnakan-lah kiranya kurnia itu bagi kami.”
[HR Ahmad dan Abu Daud dari Ibnu Mas’ud].


ARTIKEL PILIHAN
HIJRAH YANG HAKIKI

InsyaAllah fajar 1 Muharam 1435 Hijrah akan muncul dan setiap kali tibanya 1 Muharam, maka perbincangan tentang Hijrah dan maksudnya pasti menjadi topik yang hangat dan popular. Lafaz “hijrah” mengandungi dua konotasi yakni dari segi bahasa dan juga syarak. Dari segi bahasa, hijrah bermaksud pindah atau pindah dari satu tempat ke tempat yang lain atau pindah dari satu keadaan kepada satu keadaan yang lain. Namun malangnya dewasa ini perbincangan tentang hijrah selalunya hanya terbatas kepada makna bahasa semata-mata. Malah maksud hijrah dijadikan lebih bersifat kontemporari dan mengikut kesesuaian semasa seperti hijrah ekonomi, hijrah minda, jiwa dan sebagainya lagi. Hijrah juga diaplikasikan sebagai perpindahan dari suatu keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih baik. Amat jarang sekali hijrah dikupas atau dibincangkan dari segi makna istilahnya. Justeru makna hijrah dari segi istilah perlu dikupas dan diberi pencerahan.

Memaknai Hijrah Secara Benar

Secara syar’i, hijrah bermaksud ‘keluar dari Darul Kufur menuju Darul Islam’ (An-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, II/276). Darul Islam dalam definisi ini adalah suatu wilayah (negara) yang menerap-kan syariat Islam secara menyeluruh (kaffah) dalam segala aspek kehidupan dan keamanannya berada di tangan kaum Muslimin. Dalam erti kata yang lain, hijrah berlaku seiring dengan pertukaran status sesebuah tempat atau negara yang asalnya Darul kufur (perasaan, pemikiran dan pengaturan/sistem yang tidak Islami) ke Darul Islam (perasaan, pemikiran dan pengaturan/sistem yang Islami).

Darul kufur yang dimaksudkan di sini ialah wilayah (negara) yang tidak menerapkan syariat Islam dan keamanannya bukan di tangan kaum Muslimin, sekalipun majoriti penduduknya beragama Islam. Definisi hijrah ini diambil dari fakta hijrah baginda Rasulullah S.A.W dari Makkah (yang pada saat itu merupa-kan darul kufur) ke Madinah (yang kemudian menjadi Darul Islam).

Realiti Pahit Menyelubungi Umat

Apabila keamanan tidak berada di tangan umat Islam, tidak hairanlah jika lenyapnya unsur keharmonian dalam negara yang justeru meningkat-kan kadar jenayah. Realiti di Malaysia sahaja jelas menunjukkan kadar jenayah saban hari semakin meningkat. Kes-kes seperti pem-bunuhan, rompakan, kecurian, samun, rogol, tembak menembak, rasuah dan pelbagai kes lagi semakin berleluasa di sana sini. Tidak terhenti setakat kes jenayah, moral dan akhlak umat Islam turut terjejas termasuklah kaum Hawa. Terbaru, berlangsungnya pertandingan ratu cantik Miss World yang dengan jelas mengeksploitasi tubuh wanita demi menampilkan kecantikan fizikal dalam rangka mendapatkan manfaat duniawi yang diharamkan.

Wajarkah sebuah negara yang mengaku sebagai ‘Negara Islam’ terlibat secara langsung dengan penganjuran aktiviti yang tidak ber-maruah seperti ini? Bukan setakat itu sahaja, idea kebebasan yang menjadi tunjang sebuah negara demokratik menjadikan hal ini lebih parah, tidak kira Muslim mahupun Muslimah, anda bebas untuk memilih cara hidup tersendiri atau memilih sama ada untuk terikat dengan hukum syarak atau tidak. Inilah ajaran demokrasi. Sedangkan Allah S.W.T berfirman,

Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) perempuan yang beriman, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ke-tetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah dan RasulNya maka sungguh dia telah sesat, sesat yang nyata” [TMQ al-Ahzab (33): 36].

Hakikatnya, walaupun Malaysia adalah salah sebuah negara yang dihuni oleh majoriti umat Islam seperti Indonesia, Brunei dan negara-negara Arab di Timur Tengah, negara-negara ini bukanlah Darul Islam kerana mereka didirikan atas dasar negara bangsa yang telah dipecahbelahkan oleh kuffar Barat dan mereka tidak menerapkan syariat Islam secara keseluruhan. Lebih kronik apabila pemimpin-pemimpin negara umat Islam ini terus menerus menipu, menindas dan melakukan kekejaman ke atas rakyatnya sendiri sama ada dari segi politik, ekonomi mahupun fizikal. Apabila menghadapi tekanan atau dilanda masalah, pemimpin-pemimpin ini meminta bantuan daripada pihak kufar Barat seperti Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sama ada bantuan kewangan mahupun ke-tenteraan. Sedangkan Allah S.W.T telah berfirman,

Wahai orang- orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan teman orang- orang yang di luar kalangan kamu (kafir) sebagai teman ke-percayaan kamu, (kerana) mereka tidak henti- hentinya menyusahkan kamu. Mereka mengharapkan ke-hancuranmu. Sungguh telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang tersembunyi dalam hati mereka itu lebih jahat lagi. Sesungguhnya telah Kami terangkan kepadamu ayat- ayat (Kami) jika kamu mengerti….” [TMQ Ali-Imran (3): 118].

Ironinya kesemua pemimpin umat Islam hari ini menjadikan Barat, yang diketuai oleh Amerika Syarikat, sebagai kiblat. Amat jelas kepada setiap insan yang mempunyai penglihatan bahawa pemimpin umat Islam sama sekali tidak pernah menyebelahi umat Islam, sebaliknya terus menerus memastikan hegemoni puak kuffar Barat ke atas umat Islam berterusan tanpa titik noktah.

Untuk mengaburi mata umat Islam, Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) sering diangkat sebagai penyatu dan pelindung umat Islam. Padahal realitinya, OIC langsung tidak layak untuk menjadi penaung kepada negeri-negeri umat Islam hari ini kerana sesungguhnya OIC tidak berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah umat Islam kecuali sekadar duduk ber-sidang di tempat-tempat mewah tatkala darah umat Islam terus menerus ditumpahkan tanpa henti. OIC juga tidak pernah membela nasib umat Islam yang saban hari tertindas, terbunuh dan menderita, baik di negara sendiri mahupun di negara kafir yang umat Islam menjadi minoriti.

Realiti yang dipaparkan ini hanyalah secebis sahaja dari sekian banyak contoh kerosakan dan penderitaan hidup umat Islam yang suatu ketika pernah menggapai zaman kegemilangan yang melangkaui mana-mana tamadun pada zamannya. Untuk itu dan untuk keluar dari semua ini, adalah amat penting umat Islam hari ini memahami erti hijrah yang sebenar iaitu erti hijrah dari sisi hukum syarak.

Hijrah yang sebenar mampu menjadi garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan; antara Islam dan kekufuran. Hijrah yang sebenarnya juga seharusnya menjadi permulaan kepada kebangkitan Islam sekali gus menghilangkan segala bentuk penindasan ke atas orang-orang Islam. Aisyah r.a pernah menyatakan,

Dahulu ada orang Mukmin yang lari membawa agamanya kepada Allah dan Rasul-Nya kerana takut difitnah. Adapun sekarang (setelah hijrah) Allah S.W.T benar-benar telah me-menangkan Islam dan seorang Mukmin dapat beribadah kepada Allah S.W.T sesukanya” [HR al-Bukhari].

Apa yang pasti, Negara Islam yang diwarisi daripada Rasulullah S.A.W sudah tidak wujud lagi. Apa yang ada hanyalah negeri-negeri umat Islam yang terjajah dari segi mental dan fizikal dengan negara-negara bangsa yang bermunculan selepas kehancuran Khilafah yang terakhir iaitu Khilafah Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924. Sejak jatuhnya Khilafah, tidak ada lagi Negara Islam yang menjaga umat Islam dan yang bersifat “rahmatan lil ‘aalamiin” yakni sebuah wilayah yang membawa kesejahteraan untuk seluruh umat manusia.

Ke Arah Mewujudkan Kembali Makna Hakiki Hijrah

Antara kesan yang paling ketara setelah peristiwa 11 September 2001 adalah, Islam dan kaum Muslimin betul-betul menjadi ‘santapan lazat’ Amerika Syarikat dan sekutunya. Sejak peristiwa tersebut, Islam dan umatnya diserang habis-habisan dari segala aspek, tahun demi tahun, tanpa mendapat apa-apa pembelaan dari pemimpin umat Islam, satu peristiwa yang seolah-olah tiada peng-hujungnya. Sedangkan manifestasi daripada peristiwa Hijrah Nabi S.A.W adalah bangkitnya kaum Muslimin setelah sekian lama ditindas dan dizalimi (lebih kurang 13 tahun) di negeri mereka sendiri iaitu kota Makkah, setelah berdirinya Daulah Islam yang pertama di Madinah. Dengan adanya sebuah negara, barulah nasib kaum Muslimin terbela, Islam dan penganutnya menjadi mulia manakala kekafiran dan penganutnya menjadi hina.

Oleh itu, tidak ada jalan lain sekiranya kaum Muslimin benar-benar ingin kembali kepada kemuliaan dan kegemilangan Islam, maka makna Hijrah yang sebenar hendaklah direalisasikan, iaitu berpindah dari Darul Kufur menuju Darul Islam. Dengan kata lain, kaum Muslimin hendaklah berusaha mengembalikan semula Daulah Khilafah yang telah lenyap dari dunia Islam sejak sekian lama.

Saat ini di tengah-tengah umat, sistem Islam yang syumul tidak lagi diterapkan dalam peraturan/perundangan negara. Maka tugas seluruh kaum Musliminlah untuk mewujudkan kembali sistem Islam di tengah-tengah mereka. Caranya tidak lain adalah dengan mengubah negeri-negeri Muslim saat ini yang terpecah-belah dan berada dalam kongkongan sistem kufur, iaitu sistem kapitalisme-sekular, kepada menghimpunkannya semula dalam satu wadah negara, iaitu Daulah Islamiyah atau Khilafah Islamiyah.

Khatimah

Hanya dengan merealisasikan kembali makna hijrah yang hakiki sahajalah maka kekufuran akan lenyap dan di-gantikan oleh keimanan, kegelapan jahiliyyah akan hilang dan diganti dengan cahaya Islam, Darul kufur akan terkubur dan Darul Islam akan muncul dan masyarakat jahiliyyah pun akan berubah menjadi masyarakat yang Islami. Hanya dengan perubahan mendasar yang bersifat global ini, Insya Allah umat Islam saat ini akan berubah daripada umat yang tertindas dan terkongkong minda dan fizikalnya, menjadi umat yang akan meraih kembali posisi terbaik sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah S.W.T,

Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia; menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah.” [TMQ Ali Imran (3): 110].

Wallahu a‘lam.


NAFSIYAH
MANIFESTASI PENGORBANAN – HIJRAH MENUJU IMAN YANG SEMPURNA

Rasulullah S.A.W bersabda,

Perbaharuilah agama (iman) kalian” [HR Tirmidzi dan Ahmad].

Apakah yang perlu dilakukan oleh seorang Muslim agar imannya sentiasa diperbaharui? Tidak lain, antara kata kuncinya adalah “sentiasa merindukan syurga Allah” kerana dengan merindui syurgaNya yang seluas langit dan bumi akan menjuruskan setiap Muslim berlumba-lumba melakukan kebaikan yang justeru membuahkan iman yang sentiasa segar dan baharu. Secara lumrahnya manusia akan sentiasa di-goda dengan nikmat dunia yang se-mentara. Maka dalam hal ini Rasulullah S.A.W bersabda,

Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau bahkan seperti orang yang sekadar singgah sebentar” [HR Bukhari].

Seharusnya setiap Muslim memahami hadis ini. Tatkala hadis ini difahami dengan sebenar-benarnya, maka amat mudah untuk seseorang Muslim itu sedar bahawa keberadaannya di dunia ini tidak ubah seperti seorang pengembara yang sekadar lalu atau singgah sekejap di sesuatu tempat dan akan meneruskan perjalanan menuju destinasinya.

Diriwayatkan bahawa pernah suatu ketika Ibnu Mas’ud melihat Rasulullah S.A.W tidur di atas tikar yang lusuh sehinggakan corak anyaman tikar itu berbekas di pipi baginda. Ibnu Mas’ud kemudian menawarkan kepada Rasulullah S.A.W sebidang tilam lalu Rasulullah S.A.W bertanya kepada Ibnu Mas’ud,

Apakah ada bagiku (kecintaan) pada dunia? Aku di dunia ini tidak lain hanyalah seperti seorang pengembara yang mencari tempat berteduh di bawah pohon, lalu aku berehat, kemudian aku meninggalkannya” [HR Tirmidzi].

Jika diteliti hadis ini, seorang Muslim pasti mampu mengenal pasti sifat atau ciri-ciri seorang pengembara. Secara lumrahnya seorang pengembara tidak akan berasa selesa sehinggalah dia sampai ke tempat yang dituju misal-nya ke kampung halamannya atau ke rumahnya. Dengan kata lain, seorang Muslim yang benar-benar sedar hakikat kehidupan dunia, pasti akan merindui kampung halaman abadinya yakni alam akhirat. Jika hal ini sentiasa tersemat di benak setiap Muslim, maka pasti setiap Muslim merindukan pertemuan dengan Allah dan RasulNya yang mana jambatannya adalah kematian. Justeru kematian bukanlah sesuatu yang menakutkan bagi seseorang Muslim kerana kematian adalah pintu yang akan menghantarnya kepada sebuah pertemuan yang dinantikan sekian lama. Hal ini berbeza dengan orang-orang bukan Islam kerana kematian bagi mereka adalah jurang yang akan memisahkan mereka dengan segala perkara yang mereka cintai, termasuklah keluarga dan hartanya bahkan kematian adalah titik noktah kepada segala kemewahan dunia yang mereka kecapi.

Sungguhpun anjuran Rasulullah S.A.W melalui hadis-hadis di atas lebih menjurus kepada focus kehidupan akhirat berbanding kehidupan dunia yang sementara, ini bukanlah bererti seseorang Muslim perlu mengabaikan kehidupan dunianya. Islam tetap menuntut penganutnya agar melaksanakan setiap amanah yang telah diberikan oleh Allah S.W.T kepada manusia untuk mentadbir bumi ini sebagai khalifah fil ardh – khalifah di muka bumi. Dengan kata lain, Rasulullah S.A.W memotivasikan umat baginda agar sentiasa memper-baharui iman dengan cara merindukan syurga Allah dan mengingati kematian dan sentiasa waspada dengan godaan dunia yang sementara.

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah mengingatkan kaum Muslimin tentang kehidupan dunia melalui doanya,

Ya Allah, jadikanlah dunia di tangan kami, bukan di hati kami”.

Ucapan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a ini selaras dengan hadis Rasulullah S.A.W yang mana baginda bersabda,

Tidaklah dunia ini apabila dibandingkan dengan akhirat kecuali hanya seumpama salah seorang dari kalian memasukkan satu jarinya ke dalam lautan maka hendaklah dia melihat apa yang dibawa oleh jari tersebut apabila dikeluarkan” [HR Muslim].

SubhanAllah! Begitu sempurna perumpamaan yang digambarkan oleh Rasulullah S.A.W tentang harga se-buah dunia dan isinya. Apabila seseorang memasukkan jarinya ke dalam lautan yang begitu luas, apakah yang tertinggal atau tersisa di jarinya apabila diangkat keluar jarinya tadi dari lautan yang luas? Apa yang ada di jarinya itulah dunia yang semua manusia berebut-rebut untuknya sedangkan laut yang luas itu adalah kenikmatan (syurga) yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya yang beriman. Oleh yang demikian, amat wajarlah bagi setiap Muslim berusaha bersungguh-sungguh meng-hijrahkan diri menjadi bukan sekadar Muslim pada nama dan keturunan sahaja bahkan menjadi Mukmin yang bakal menghuni syurga Allah S.W.T.

Generasi para sahabat Rasulullah S.A.W telah membuktikan bahawa mereka adalah benar-benar Mukmin dan layak menghuni syurga Allah yang Maha Luas. Antara kisah para sahabat yang boleh dijadikan motivasi ialah kisah yang masyhur tentang Handzalah bin Abu Amir r.a, seorang pengantin baru yang sedang men-jalani lailatul zafaf (malam pertama) dengan isterinya. Namun, tatkala beliau sedang bersama dengan isterinya, terdengar seruan Rasulullah S.A.W untuk berperang di medan Uhud. Tanpa berfikir panjang, Handzalah terus bergegas menyambut panggilan jihad dan bergabung dengan pasukan tentera Islam untuk melawan musyrikin Quraisy. Beliau mara ke hadapan medan Uhud dan berdepan langsung dengan komandan pasukan musuh, Abu Sufyan bin Harb.

Diriwayatkan bahawa Handzalah r.a nyaris mampu membunuh Abu Sufyan, namun tiba-tiba beliau di-tikam oleh anak buah Abu Sufyan, Syaddan bin al-Aswad hingga syahid di medan Uhud. Khabar tentang gugurnya Handzalah di Medan Uhud sampai ke pengetahuan Rasulullah S.A.W dan baginda pun bersabda, “Sesungguhnya sahabat kalian Handzalah dimandikan oleh malaikat, maka tanyakanlah bagaimana khabar keluarganya”.

Mendengar sabda Rasulullah S.A.W, para sahabat menjadi kehairanan sejenak, mengapa Handzalah dimandi-kan malaikat, sedangkan orang yang gugur (syahid) di medan perang tidak perlu dimandikan. Para sahabat kemudian menemui isteri Handzalah, dan isterinya berkata, “Ketika mendengar panggilan untuk ber-perang, suamiku terus menyahut seruan itu sedangkan dia dalam keadaan junub”.

Ketika para sahabat kembali memberi perkhabaran tersebut kepada Rasulullah S.A.W, baginda menjawab dengan ringkas, “itulah sebabnya dia telah dimandikan oleh malaikat” (petikan sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam). Begitu jelas di sini bahawa keyakinan Handzalah akan syurga Allah beserta kenikmatannya yang seumpama lautan itu terpampang nyata di hadapan Handzalah sehinggakan kenikmatan dunia ber-sama isterinya seolah-olah tidak terasa baginya. Beliau bersegera menuju syurga Allah sebagai manifestasi keimanannya dan keyakinannya akan janji Allah.

Kisah para sahabat yang mulia adalah satu teladan dan sekali gus menjadi motivasi kepada generasi hari ini yang telah berselang jauh dari generasi Rasulullah S.A.W dan para sahabat. Walaupun Rasulullah telah lama pergi tanpa sempat menemui generasi umatnya masa kini, namun pesanan-pesanan Rasulullah S.A.W seharusnya tetap tersemat di dalam hati sanubari setiap Mukmin bagi menjadi bekal untuk meneruskan hidup di dunia yang sementara ini.

Antara perkara yang amat ditakuti ialah pesanan baginda Rasulullah S.A.W tentang penyakit ‘wahn’ – cintakan dunia dan takut akan kematian. Penghidap penya-kit ‘wahn’ iaitu mencintai dunia dan takutkan mati meletakkan Allah dalam senarai terakhir selepas mendahului dengan anak, suami, isteri, rumah, kekayaan-nya dan lain-lain lagi. Na’uzubillah! Tidak cukup dengan itu, penghidap penyakit ‘wahn’ juga men-jadikan manusia lupa pada realiti yang ada di hadapannya dan realiti yang harus dihadapinya iaitu umurnya yang semakin singkat dan kematiannya yang semakin hampir.

Jadi, setiap manusia seharusnya men-jauhi sifat ketidakpedulian. Ketidakpedulian yang paling ketara adalah apabila manusia menyangka dia masih mempunyai banyak masa untuk melakukan ibadah sedangkan nyawa di kerongkongnya akan tercabut pada bila-bila masa jika Allah meng-hendakinya.
Oleh yang demikian, seorang Muslim perlu berhijrah menjadi Mukmin dan sentiasa memperbaharui keimanannya kepada Allah S.WT. Ingatlah bahawa manusia hanyalah perantau dan pengembara, bermusafir di bumi Allah dalam perjalanan menuju akhirat. Apa yang pasti, si pengembara akan pulang ke kampung halamannya yang kekal abadi apabila tiba masanya. Allah S.W.T berfirman,

Setiap yang bernyawa pasti merasai mati…” [TMQ al-Anbiya’ (21): 35].

Wallahu a’lam…

Rujukan :
1. Sirah Nabawiyah Ibnu Hisham.
2. Min Muqqawwimat an –Nafsiyyah Al-islamiyyah


SERIKANDI TELADAN
AL-UMMU MADRASAH AL-ULA: HARGA SEBUAH PENGORBANAN

Al-ummu madrasah al-ula

Ibu adalah sekolah pertama bagi anak-anaknya. Apabila engkau telah persiapkan mereka dengan baik maka sesungguhnya engkau telah memper-siapkan sebuah generasi yang baik dan kuat”.

Bait kata yang indah ini telah memberi gambaran awal kepada kita bahawasanya seorang ibu itu sememangnya memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk generasi yang akan datang. Jika lurus didikannya, maka luruslah jalan yang diambil oleh si anak. Jika bengkok didikannya, maka bengkoklah ia.

Justeru, seorang ibu bukan hanya menjadi ‘sekolah pertama’, tetapi sejatinya seorang ibu itu juga menjadi ‘sekolah utama’ bagi anak-anaknya. Lumrahnya, kita akan berasa bangga dengan susuk tubuh yang telah berjaya seperti para ‘alim ulama, para ilmuan, tokoh-tokoh ternama dan para pahlawan. Bahkan, mereka mendapat tempat yang terhormat dalam kalangan masyarakat. Namun, terfikirkah kita bahawa di belakang tokoh-tokoh besar itu, pasti ada seseorang yang hebat. Seseorang yang lembut lisan dan sikapnya serta indah akhlaknya.

Di sebalik kelembutan itu pula, tersimpan sebuah kekuatan besar yang sentiasa memberikan motivasi, dorongan dan galakan kepada mereka sehingga dapat menjadi seorang yang berkeperibadian unggul. Dialah seorang insan yang digelar ibu, tempat berteduh kasih bagi anak-anak.

Seperti peranan sebuah sekolah, ibu adalah umpama gudang ilmu, pusat peradaban dan wadah yang meng-himpun sifat-sifat dan akhlak yang mulia. Hanya dari ‘sekolah’ seperti inilah yang melahirkan anak-anak yang soleh, cerdas, alim, berakhlak mulia, memiliki semangat jihad yang tinggi dan seluruh sifat-sifat agung yang ada pada seorang Mukmin yang bertakwa. Persoalannya, sudahkah para ibu di luar sana menjadi sekolah pertama dan utama bagi anak-anak?.

Ibu Cetakan Kapitalisme

Beberapa tahun lalu, terpapar di se-buah dada akhbar kisah seorang ibu, Susan Levy berasa bangga kerana anaknya, Dr. Brooke Magnanti yang merupakan seorang saintis, mengaku pernah menjadi pelacur semata-mata bagi mencari wang untuk menyiapkan tesis kedoktoran pada tahun 2003 di London (http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1119 &pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_1 0.htm). Inilah yang menjadi kebanggaan para ibu di Barat, sebuah negara penganut aqidah sekular-kapitalis yang sentiasa berbangga dengan konsep-konsep kebebasannya yang penuh kerosakan. Bagaimana pula dengan ibu-ibu kaum Muslimin? Layakkah kebanggaan si kafir yang bermaksiat seperti ini menjadi inspirasi kepada ibu-ibu kaum Muslimin? Na’udzubillahi min dzalik!

Malangnya, hari ini kita menyaksikan sendiri situasi yang sama turut berlaku terhadap para ibu di sebuah negara yang telah diberi pengiktirafan sebagai negara Islam contoh iaitu Malaysia. Terlalu ramai para ibu di negara ini yang berbangga ketika melihat anak-anak mereka tampil di pelbagai jenis reality show. Mereka bukannya berusaha untuk mendidik anak-anak agar taat kepada Allah S.W.T, tetapi mereka turut serta menyokong anak-nya meraih prestasi dalam aktiviti maksiat kepada Allah S.W.T. Mereka sanggup mengorbankan masa, wang dan tenaga semata-mata untuk melihat anak mereka berjaya di atas pentas persembahan. Sedari kecil, anak telah pun dikenalkan dengan pelbagai hiburan yang melalaikan, diberi gala-kan untuk menyertai program-program mencari bintang seperti ‘Bintang Kecil’, ‘Idola Kecil’, ‘Lantai Cilik’ dan lain-lain lagi. Lebih mengecewa-kan lagi apabila terdapat sebahagian golongan ibu turut sama tenggelam dengan arus hedonism ini dengan menyertai program seperti ‘Kilauan Emas’. Nastaghfirullahal’adzim…

Sahabiyah, Ibu Teladan Sepanjang Zaman

Dalam Islam, kewajipan yang paling utama bagi seseorang wanita adalah sebagai ibu dan pengurus rumah tangga. Rasulullah S.A.W bersabda,

Seorang wanita adalah pengurus rumah tangga suaminya dan anak-anaknya, dan ia akan diminta pertanggungjawaban atas peng-urusannya” [HR Muslim].

Ibu ialah tonggak bagi sebuah keluarga bahagia, sekali gus menjadi pencetak generasi masa hadapan. Namun, dalam sistem kapitalis, fungsi ini tidak ditekankan sebagai perkara yang penting malah ia dijadikan sebagai pilihan, bukannya kewajipan, kerana kemajuan wanita hanya diukur berdasarkan kepada keupayaan dalam meraih nilai material (kebendaan) semata-mata.

Hal ini berbeza sekali dengan teladan yang ditunjukkan oleh para sahabiyah. Apabila ditelusuri satu per satu, begitu banyak kisah teladan para sahabiyah sepanjang sejarah kegemilangan Islam yang patut menjadi contoh ke-banggaan kita sebagai generasi umat yang terbaik. Antaranya, kisah Kabsyah binti Rafi’, seorang sahabiyah yang hidup dan tampil men-jadi penolong agama Allah, menjadi ibu kepada dua anak yang gugur sebagai syahid, dua pahlawan Islam yang diberkahi iaitu Amr bin Mu’adz dan Saad bin Mu’adz. Dialah ibu yang ‘Arsyar-Rahman bergegar kerana kematian anaknya. Dialah juga ibu yang memutuskan perkara dengan hukum Allah S.W.T. Anak beliau ialah penjaga Rasulullah S.A.W ketika Perang Badar, pemegang panji daripada golongan Ansar, serta salah seorang ahli majlis syura Rasulullah S.A.W ketika itu. Anak beliau ialah As-siddiq kedua setelah Abu Bakar r.a. Anak beliau jugalah wakil Rasulullah S.A.W dalam Perang Buwath.

Begitu juga halnya dengan Saidatina Asma’ binti Abu Bakar yang sentiasa merangsang anaknya Abdullah bin Zubair agar tidak menjadi seorang pengecut dan terus berjuang hingga ke hujung nyawa. Dalam didikannya, keperibadian Abdullah bin Zubair dibentuk. Beliau ialah susuk seorang ibu yang sangat memahami peranannya dalam mendidik generasi utama yang berkualiti serta menjadi-kan kecintaan kepada Allah dan RasulNya mengatasi segala-galanya, sama ada harta, isteri, keluarga mahupun segala jenis perbendaharaan dunia. Beliau mencetak keperibadian generasi yang siap berjuang demi meninggikan kalimah La ilahaillallah Muhammad Rasulullah.

Tidak kalah hebat juga adalah pengorbanan yang telah dilakukan oleh sang ibu para syuhada, Tumazhir binti ‘Amru bin Sulami atau lebih dikenali sebagai al-Khansa’. Beliau berkahwin dengan Rawahah bin Abdul Aziz As-Sulami. Daripada per-nikahan itu beliau dikurniakan empat orang anak lelaki. Sungguh, tangan yang disangka lembut menghayun buaian itu, mampu menggoncangkan dunia! Setelah melalui pembinaan dan pendidikan daripada tangannya, keempat-empat anak lelakinya itu telah menjadi pahlawan-pahlawan Islam yang terkenal. Berkat dorongannya juga, mereka telah gugur syahid di medan Qadisiyah. Subhanallah!.

Ibu yang bertakwa akan mendidik anak-anaknya dengan penuh ketakwaan sehingga anak-anak mereka bercita-cita menjadi syuhada’. Hal ini bukan sahaja menjadi kebanggaan bagi sang ibu, tetapi juga kebanggaan bagi seluruh kaum Muslimin daripada satu generasi ke generasi lainnya. Hari ini, kaum Muslimin merindukan para ibu seperti layaknya para sahabiyah yang sedar akan tanggungjawabnya sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga), sentiasa mendidik anak-anaknya agar mentaati Islam, sekali gus menjadi ummu madrasah al-ula (ibu sekolah pertama bagi anak-anaknya). Sesungguhnya taklif (beban tanggungjawab) ini me-merlukan pengorbanan yang besar daripada sang ibu yang mana harga sebuah pengorbanan itu amatlah ber-harga dan hanya layak di bayar dengan ganjaran pahala dan syurgaNya sahaja. Allah S.W.T ber-firman dalam surah al-Anfal (8) ayat 28 yang bermaksud,

Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar”.

Khatimah

Kini, kaum Muslimin termasuk kaum ibu dan anak-anak berada dalam sebuah ancaman yang amat dahsyat iaitu ancaman ideologi Kapitalisme. Ideologi kufur ini sudah tentu tidak boleh dibiarkan berkuasa di muka bumi ini. Sudah seharusnya kaum Muslimin kini sedar akan keburukannya dan mencampakkan ideologi ini sejauh-jauhnya daripada pemikiran dan juga kehidupan mereka. Berpegang teguhlah wahai Muslimah sekalian kepada Islam sahaja yang dengan demikian akan lahir kembali susuk-susuk ibu seperti pada zaman para sahabiyah. Dari sinilah akan lahirnya generasi baru, generasi yang sanggup berjuang dan berkorban demi Islam. Insya Allah.

Wallahua’lam.

Sumber:

1. Wanita yang dijamin syurga. Ah-mad Khalil Jam’ah. DarulFalah.
2. 70 Wanita Terbilang Di Zaman Nabi Muhammad S.A.W. Abu Azka al-Madani.Harun Arrasyid HjTuskan. Al-Hidayah Publication.
3. Tafsir al-Qur’an
4. http://www.mykhilafah.com/srikandi-tauladan/2796-khansa-ibu-para-syuhada diakses pada 1/9/2013
5. http://www.sinarharian.com.my/nasional/najib-kerajaan-sedia-ubah-perkara-yang-halang-wanita-untuk-maju-1.126263 diakses pada 2/9/2013
6. http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1119&pu b=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm diakses pada 1/9/2013 
 

FIKIH
TEMPOH MASA QASAR DAN JAMA’ SOLAT

Soalan:

Apakah hukum menqasarkan dan menjama’kan solat ketika bermusafir dan berapa harikah dikira sebagai musafir?

Jawapan:

Allah S.W.T telah memberi kelonggaran/keringanan kepada umat Islam dalam mengerjakan ibadah solat dalam situasi tertentu khususnya ketika bermusafir. Kelonggaran ini dinamakan rukhsah Solat. Sabda Rasulullah S.A.W, “Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci dilakukan maksiat kepadaNya” [HR Ahmad].

Hukum Qasar

Solat Qasar bererti solat yang diringkaskan, iaitu daripada empat rakaat menjadi dua rakaat. Apabila berada dalam perjalanan menuju suatu tempat yang jauh, kita dibenarkan untuk meringkaskan solat atau qasar. Sebagaimana Allah S.W.T berfirman,

Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu mengqasarkan solatmu, jika kamu takut diserang orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu musuh yang nyata bagimu” [TMQ an-Nisaa’ (4):101].

Hal ini merupakan kurniaan Allah kepada hambaNya. Oleh sebab itu mereka harus menerimanya dengan penuh syukur dan berterima kasih. Manakala alasan “kerana khuatir gangguan” sebagai illat dibenarkan untuk mengqasar itu tidak terpakai berdasarkan keterangan daripada Ya’la bin Umaiyah, katanya, “Dari Ya’la bin Umaiyah, ia berkata, ‘pernah aku bertanya kepada Umar r.a, ‘maka tiadalah dosa atasmu jika kamu memendekkan solat apabila kamu takut akan dibinasakan oleh orang-orang kafir padahal sesungguhnya manusia telah aman. Umar menjawab, ‘Aku benar-benar sangat tercengang tentang hal itu, lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W., maka beliau S.A.W menjawab, itu (solat Qasar) yang merupakan kurnia Allah S.W.T kepadamu, maka terimalah olehmu kurnia-Nya” [HR Muslim]. (Fiqih Madzhab syafi’i. edisi lengkap, buku 1, ibadah)

Hadis ini menunjukkan bahawa mengqasarkan solat adalah hadiah Allah kepada orang yang bermusafir. Rasulullah S.A.W dan para sahabat seperti Abu Bakar r.a, Umar r.a dan Uthman r.a tetap saja mengambil hadiah Allah ketika mereka bermusafir. Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W,

Dari Ibnu Umar berkata: Aku menemani Rasulullah S.A.W dalam safar dan baginda tidak pernah menambah atas dua rakaat sampai wafat, kemudian aku menemani Abu Bakar dan beliau tidak pernah menambah atas dua rakaat sampai wafat, kemudian aku menemani Umar dan beliau tidak pernah menambah atas dua rakaat sampai wafat, kemudian aku menemani Utsman dan beliau tidak pernah menambah atas dua rakaat sampai wafat. Dan Allah SWT berfirman: Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (Al-Ahzaab:21)”. [HR. Bukhari dan Muslim].

Hukum Jama’

Solat jama’ bererti mengumpulkan atau melaksanakan dua waktu solat, seperti Zohor dengan Asar, Maghrib dengan Isyak dalam satu waktu. Jama’ terdiri atas dua jenis yaitu jama’ takdim dan jama’ takhir. Jama’ takdim ialah mengerjakan solat pada awal waktu, misalnya solat asar dilakukan pada waktu zohor. Adapun jama’ takhir ialah menjama’kan solat dalam waktu akhir, misalnya solat zohor dikerjakan pada waktu asar.

Antara sebab yang membolehkan menjama’ solat ialah apabila mengadakan perjalanan jauh, sejauh perjalanan yang membolehkan solat qasar. Ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W, “Dari Ibnu Umar r.a. ia berkata, “Rasulullah S.A.W apabila terburu-buru dalam perjalanan, baginda menjama’ solat Maghrib dalam solat Isyak” [HR Bukhari dan Muslim].

Apabila seseorang berjalan jauh atau dalam perjalanan, ia boleh menjama’kan serta mengqasar sekaligus. Dalam sebuah hadis disebutkan, “Dari Ibnu Umar r.a. ia berkata, ‘Pernah Rasulullah S.A.W menjama’ antara solat Maghrib dan Isyak dengan Qasar. Baginda mengerjakan solat Maghrib tiga rakaat dan Isyak dua rakaat dengan satu kali qamat” [HR Abu Dawud dan Tirmizi].

Tempoh Masa Qasar dan Jama’ Solat

Seorang musafir itu boleh terus mengqasarkan solatnya selama ia masih dalam keadaan safar. Jika ia bermukim di suatu tempat kerana sesuatu keperluan yang hendak diselesaikan, maka ia tetap boleh mengqasarkan, sebab ia masih dikira dalam safar walaupun bermukimnya di sana bertahun-tahun lamanya. Ini berdasarkan sejumlah hadis-hadis Rasulullah S.A.W yang tidak pernah membataskan jangka masa bermusafir.

Nabi S.A.W bermukim di Tabuk selama dua puluh hari dan selalu mengqasar solatnya” [HR Imam Ahmad dalam Musnadnya].

Miswar bin Makhramah berkata, “Kami bermukim dengan Sa’ad di salah satu desa di wilayah Syam selama empat puluh hari, selama itu Sa’ad tetap mengqasar tapi kami mencukupkan”.

Ibn Abbas meriwayatkan, bahawasanya Rasulullah S.A.W tinggal di Mekah selama sembilan belas hari dan mengqasar solat [HR Bukhari]. Nafi’ rahimahullah meriwayatkan, bahawasanya Ibn Umar tinggal di Azerbaijan selama enam bulan dan mengqasar solat [HR Baihaqi dengan sanad shahih].

Daripada dalil-dalil di atas, jelaslah bahawa Rasulullah S.A.W tidak memberikan batasan waktu tertentu untuk diperbolehkan mengqasar solat bagi musafir selama mereka mempunyai niat untuk kembali ke tempat tinggalnya dan tidak berniat untuk menetap di perantauan.

Kesimpulan

Solat Jama’ dan Qasar adalah rukhsah (keringanan) yang diberikan oleh Allah kepada hambanya yang melakukan perjalanan. Daripada perbincangan di atas ternyata Rasulullah S.A.W dan para sahabat sentiasa merebut hadiah yang Allah berikan sebagai tanda kesyukuran. Jadi kita selaku umat Muhammad seharusnya mencontohi perbuatan Rasulullah dan para sahabat dalam segala hal termasuklah dalam melakukan solat dalam mengharungi perjalanan yang jaraknya melebihi 2 marhalah atau lebih 80 km. (jarak yang membolehkan seseorang melakukan jama’ dan Qasar solat) .

Rujukan:
1. Fiqih Madzhab Syafi’I (Edisi lengkap) buku 1 bab ibadah. Oleh Drs.HIbnMas’ud, Drs. H. ZainalAbidin S
2. Fikih Sunnah, jilid 2 olehSayid Sabiq.
3. Shahih Bukhari jilid 2 bab solat qasar dan jama’
4. Fiqh empat madzhab. Bahagian Ibadah (Shalat 11) oleh Syeikh Abdul Rahman Al-Juzairi