Fikratul Ummah – Oktober 2015

cov-fu-okt

Muqaddimatul Kalam

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barokatuh….

Berabad-abad lamanya, syariah Islam telah dilabelkan sebagai musuh hak-hak wanita yang melambangkan kebencian serta merendahkan martabat, memperhambakan dan menindas wanita. Beberapa tahun kebelakangan ini terdapat serangan tidak henti-henti oleh golongan feminis dan ahli politik sekular, media dan institusi yang menentang undang-undang sosial dan keluarga Islam yang tertentu termasuk pemakaian dalam Islam, undang-undang warisan dan hak-hak perkahwinan serta tanggungjawab yang telah digelarkan sebagai terkebelakang, tidak adil dan diskriminasi terhadap wanita.

Pandangan negatif begitu terhadap syariah berpunca dari percanggahan hukum Islam dengan aspirasi Barat seperti kesetaraan gender atau kebebasan.Walaubagaimanapun, terdapat juga kesan terhadap penindasan sebenar yang dideritai oleh wanita di beberapa komuniti Islam oleh kerana tradisi yang berlawanan dengan Islam seperti kahwin paksa atau pembunuhan bermaruah (honour killings), juga ketundukan mereka di bawah peraturan negara seperti Arab Saudi, Iran dan Sudan yang meneruskan sandiwara menerapkan syariah namun hakikatnya tidak ada penerapan syariahnya melainkan hanya memenuhi keinginan para Raja, teokrasi dan pemerintah diktator.

Oleh itu, FU kali ini mengeluarkan beberapa ulasan berita mengenai isu wanita yang kononnya dikatakan ditindas akibat daripada pelaksanaan hukum syara’ ke atas diri mereka. Kami akan membalas tuduhan melulu terhadap beberapa hukum Islam tertentu yang berkaitan dengan wanita, dan menjelaskan dasar, nilai-nilai dan undang-undang sistem sosial Islam yang unik dan impak positifnya terhadap wanita, anak-anak, kehidupan bekeluarga dan masyarakat secara keseluruhannya.

Kami juga akan membongkarkan  kebenaran di sebalik kenyataan kelompok feminis bahawa kononnya mereka menyediakan jalan ke arah pembebasan wanita dari penindasan. Melalui rujukan yang jelas dari kitab-kitab Islam dan dari sejarah serta institusi negara Khilafah yang bakal berdiri, kami berharap dapat membantu umat Islam dan juga mereka yang bukan beragama Islam mendapat gamabaran yang jelas mengenai kehidupan wanita di bawah pelaksanaan syariah yang sebenar dan bagaimana penerapannya di pelbagai lapisan masyarakat mampu untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi wanita pada hari ini.

Wallahu’alam..

DOA BERI KEFAHAMAN AGAMA PADA ANAK

Rasulullah SAW pernah membacakan doa ini kepada Ibnu Abbas RA semasa beliau kecil,

الًّلهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّين وَعَلِمْهُ التَّأوِيلَ

“ Ya Allah, fahamkanlah dia ilmu agama dan ajarilah di ta’wilnya” [HR Bukhari]

 

ARTIKEL PILIHAN
PERANAN HAKIKI WANITA MENURUT SYARIAT ISLAM
Oleh: Ukhti Farisha Aris (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Persamaan gender yang dipropagandakan oleh Barat dan golongan feminisme, ternyata telah menjadi racun yang mula meresap ke dalam tubuh kaum Muslimah saat ini. Mereka begitu mudah tertipu dengan agenda Barat ini, malahan tidak sedikit yang terpengaruh dan terjebak sepenuhnya dengan idea tersebut. Padahal Islam telah menggariskan peranan dan tanggungjawab wanita yang selayaknya menurut fitrahnya sebagai seorang wanita sebagaimana lelaki yang juga mempunyai peranan masing-masing. Mari kita telusuri peranan wanita yang telah meletakkan wanita itu pada kedudukan yang tertinggi dan mempunyai martabat yang sangat mulia. Subhanallah..

Peranan Wanita Dalam Keluarga

Sesungguhnya peranan utama dan kewajipan terbesar wanita ialah ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga). Wanita diamanahkan menjadi pendidik generasi yang mana ia sangat sesuai dengan fitrah seorang wanita. Ibu merupakan pemimpin dalam mendidik anak-anaknya, mengajarkan ilmu kepada mereka, membentuk akhlak mereka dan membina pemikiran mereka. Bagi membolehkan wanita memenuhi peranan ini, dia hendaklah menyiapkan dirinya dengan menuntut ilmu dan pengetahuan sesuai ketentuan syara’ dengan kadar yang diperlukannya. Di samping itu, institusi keluarga merupakan asas dalam penyebaran Islam, maka bermula daripada keluargalah, lahirnya pemimpin-pemimpin yang ikhlas berjihad di jalan Allah SWT dan berjuang meninggikan kalimat-kalimat Allah SWT. Peranan terbesar inilah yang seharusnya menjadi fokus utama kaum Muslimah. Dari Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“…Seorang wanita adalah pemelihara dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap apa yang menjadi tanggungjawabnya …” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Kemuliaan terbesar yang dianugerahkan Allah SWT kepada seorang wanita adalah menjadi seorang ibu. Seorang ibu dapat mencorakkan anak-anaknya menjadi orang yang baik, sebagaimana yang telah terbukti kejayaan para ibu ulama-ulama tersohor seperti Imam Syafie, Imam Ahmad, Imam al-Bukhari dan para ulama lainnya yang terhasil daripada didikan seorang ibu yang solehah. Oleh yang demikian, jika para wanita menyedari akan pentingnya peranan mereka dalam kehidupan keluarganya, nescaya mereka tidak akan mempunyai waktu untuk mengurusi hal-hal di luar keluarganya. Apatah lagi keinginan besar untuk mengambil alih posisi lelaki dalam mencari nafkah untuk keluarganya. Ini kerana hukum keluar bekerja bagi wanita hanyalah mubah (harus) tetapi menjadi kewajipan bagi lelaki untuk keluar mencari nafkah bagi keperluan keluarganya sebagaimana firman Allah SWT, “Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’ruf” [TMQ al-Baqarah (2):233].

Peranan Wanita Dalam Masyarakat Dan Negara

Di samping peranan wanita dalam keluarganya, mereka juga mempunyai peranan lainnya dalam masyarakat dan negara. Sebagaimana kewajipan menuntut ilmu, maka wajib juga baginya untuk mendakwahkan apa yang dia pelajari kepada kaum masyarakat lain. Begitu pula jika dia mempunyai ilmu dalam bidang tertentu, maka dia boleh menyumbangkan kepakarannya dalam bidang tersebut namun dengan batasan-batasan yang telah disyariatkan. Hanya sahaja, tugas hakikinya sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga) tidak diketepikan atau diabaikan olehnya. Apa yang perlu difahami, peranan yang dilakukan oleh kaum wanita dan lelaki dalam masyarakat dan negara adalah jelas berbeza kerana kedua-duanya mempunyai peranan masing-masing sebagaimana yang telah disyariatkan oleh al-Khaliq.

Khatimah

Jika kita perhatikan dengan teliti akan keutamaan yang dianugerahkan Allah SWT untuk kaum wanita, maka jelaslah bahawa wanita merupakan tunggak utama kemuliaan suatu masyarakat bahkan negara. Masyarakat atau negara yang baik terhasil daripada keperibadian unggul kaum wanitanya dan begitu jugalah sebaliknya. Ini kerana peranan wanita sama ada terhadap keluarga mahupun masyarakat merupakan peranan yang sangat agung yang tidak seharusnya diremehkan oleh kaum wanita itu sendiri. Persamaan gender yang dipropagandakan oleh Barat, tidak lain adalah untuk menghancurkan asas penting keIslaman seorang Muslimah, sehingga dia meninggalkan kewajipannya sebagai seorang wanita. Ingatlah, pemimpin-pemimpin yang adil dan generasi-generasi yang baik akan muncul seiring dengan keperibadian unggul kaum wanita pada waktu tersebut.

Wallahu’alam..

TUDUNG BUKAN DISKRIMINASI TAPI MANIFESTASI KETAATAN KEPADA ALLAH
Oleh: Ukhti Hidayah Muhammad (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Konvensyen Penghapusan Terhadap Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita atau Convention on The Elimination of  All Forms of Discrimination Against Women  (CEDAW) telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 18 Disember 1979 dan dikuatkuasakan pada 3 September 1981 bagi menghapuskan segala diskriminasi dan keganasan terhadap wanita. Ia juga mengesyorkan setiap Negara mengambil tindakan untuk mengubahsuai aspek sosial dan budaya yang menggalakkan diskriminasi. (http://www.ismaweb.net)

Antara Negara yang  meratifikasi konvensyen itu termasuk Malaysia. Dan NGO seperti  All Women’s Action Society Malaysia (AWAM), Sisters In Islam (SIS) dan lain-lain, menyokong penuh CEDAW. Seperti mana yang diketahui, NGO-NGO inilah yang  menyerukan idea-idea feminisme. Salah satu isu yang pernah SIS ketengahkan ialah isu “Hak seorang wanita untuk memilih pakaian”. Melalui laman sesawangnya, SIS telah menerbitkan sebuah artikel tulisan Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG). (http://sisterinislam.org.my/news.php?item.1252.120).

Mereka berpendapat bahawa seorang wanita tidak wajar disekat haknya untuk memakai tudung, namun pada masa yang sama juga, wanita yang tidak mahu memakai tudung tidak wajar disekat. Tidak menghairankan jika golongan-golongan ini menyuarakan idea-idea mereka kerana Malaysia negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang menanamkan nilai-nilai kebebasan beragama, berpendapat, bertingkah laku dan idea-idea kebebasan yang lain.

Idea kebebasan inilah yang berjaya masuk ke benak umat Islam. Menularnya pemikiran sekularisme sehingga menyebabkan segelintir umat Islam memandang bahawa kewajipan bertudung (menutup aurat) itu sebagai salah satu bentuk diskriminasi terhadap wanita. Sedangkan antara hikmah Islam mewajibkan menutup aurat bagi wanita adalah untuk menjaga kehormatan wanita. Dan dalam Islam, setiap individu Muslim, samada lelaki ataupun wanita terikat dengan hukum syarak dan tidak ada istilah kebebasan. Firman Allah SWT,

“Dan tidaklah patut bagi lelaki-lelaki yang beriman dan wanita-wanita mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan satu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata” [TMQ al-Ahzab (33):36].

Jika kita melihat isu pemakaian tudung ini dari perspektif Islam, maka telah jelas seorang wanita Muslim wajib memakai tudung dan menutup aurat secara sempurna. Sebagaiman firman Allah SWT,

“Katakanlah kepada perempuan yang beriman; ‘hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluaannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya…” [TMQ an-Nuur (24):31].

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka, yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha penyayang” [TMQ al-Ahzab (33):59].

Daripada dua ayat di atas, dapat kita fahami bahawa Islam telah memerintahkan wanita-wanita Muslim untuk menutup aurat dengan tudung/khimar serta jubah/jilbab. Pemenuhan terhadap perintah Allah SWT pula merupakan salah satu bukti keimanan seseorang wanita itu kepada Allah SWT, Sang penciptanya.

Wallahhu‘alam..

KAPITALISME MEMACU KADAR PENCERAIAN KELUARGA MUSLIM
Oleh: Ustazah Amani Mohamed (Ketua MHTM Cawangan Muar)

Realiti peningkatan kos sara hidup seperti kenaikan harga barangan, yuran pendidikan, kos kesihatan yang mahal, pelaksanaan cukai baru dan sebagainya, telah mengakibatkan kemelut kemiskinan dalam institusi keluarga semakin meningkat. Situasi ini bukan sahaja membebankan suami sebagai pencari nafkah tetapi turut mengheret para isteri mencari pekerjaan di luar rumah. Tidak kurang juga wanita terpedaya dengan arus materialistik dan hedonisme sehingga sanggup berhutang keliling pinggang bagi memenuhi kehendak mereka yang tidak terbatas.

Akibatnya, menguruskan rumah tangga menjadi tugas kelas kedua yang sering ‘terpaksa’ diabaikan oleh para wanita sehingga membawa kepada penceraian kerana telah hilang keharmoniannya. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaporkan 98% daripada 47,779 kes cerai pada tahun 2012 adalah melibatkan pasangan Muslim. Menurut sumber Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pula, antara penyebab berlakunya kes perceraian adalah masalah ekonomi keluarga, suami atau isteri yang tidak bertanggungjawab serta masalah akhlak.

Syariat Islam telah meletakkan kewajipan ke atas seorang suami (sebagai ketua keluarga) untuk memberi nafkah (menyara) anak-anak dan isterinya.  Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Dan mereka (para isteri) mempunyai hak diberi rezeki dan pakaian (nafkah) yang diwajibkan ke atas kamu sekalian (wahai para suami)” [HR. Muslim No. 2137].

Berdasarkan hadis tersebut dapat difahami bahawa adalah wajib bagi seorang suami atau ayah untuk memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya.  Pemberian nafkah tersebut meliputi keperluan makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal dengan cara yang ma’ruf. Allah SWT berfirman, “Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma’ruf” [TMQ al- Baqarah(2):233].

Jika tiada seorang pun yang berkewajipan memberikan nafkah kepadanya, maka syara’ mewajibkan nafkah diambil dari Baitul Mal. Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Siapa sahaja yang meninggalkan harta, maka harta itu menjadi hak para ahli warisnya.  Siapa sahaja yang meninggalkan orang yang sebatang kara, maka ia menjadi kewajipan kami” [HR Muslim].

Seterusnya apabila di dalam Baitul Mal tidak terdapat harta sama sekali, maka kewajipan itu berlaku atas seluruh kaum Muslimin. Negara mesti mewajibkan cukai ke atas harta orang-orang yang kaya, dan menyerahkan kepada para fakir miskin. Nabi SAW bersabda,

“Siapa sahaja yang menjadi penduduk suatu daerah, lalu di antara mereka terdapat seseorang yang kelaparan, maka perlindungan Allah SWT telah terlepas dari mereka” [HR Ahmad].

Oleh itu, jelaslah bahawa kesempurnaan syariat di atas tidak akan dapat dinikmati dengan sempurna seandainya sistem Kapitalisme yang zalim ini masih terus dilaksanakan. Rumah tangga setiap pasangan Muslim berhak merasai sakinah, mawaddah wa rahmah di bawah sistem Khilafah Islam.

Wallahhu’alam…

PENGORBANAN IBU MENGORBANKAN ANAK
Oleh: Pn. Rahmah Nadzri (Ketua MHTM Perak/Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Ummun wa rabbatul bait. Itulah posisi teristimewa yang Islam telah letakkan bagi seorang wanita iaitu sebagai ibu sekaligus pengatur rumah tangga. Seorang ibu yang melahirkan anak secara fitrahnya mempunyai perasaan yang mendalam terhadap anaknya sekaligus merekalah insan yang paling utama mengasuh dan mendidik anak-anaknya seawal di rumah lagi. Anak-anak akan merasa tenang dengan layanan dan asuhan daripada seorang ibu.

Namun fakta pada hari ini menunjukkan keadaan yang sebaliknya. Tekanan hidup di dalam sistem kapitalis telah memaksa wanita keluar bekerja. Tanggungjawabnya sebagai pengatur rumah tangga kini telah ditambah sebagai pencari nafkah bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga. Namun bukan itu sahaja faktor penyebab wanita keluar bekerja. Keinginan wanita untuk keluar bekerja semakin tinggi apabila idea-idea golongan feminis telah berjaya meresap masuk ke dalam pemikiran kebanyakkan wanita zaman kini. Golongan ini mengatakan wanita perlulah diberi hak untuk menjawat pelbagai jawatan sepertimana hak untuk mereka mendapatkan akses pendidikan. Malah golongan lelaki dan wanita perlu disamaratakan hak dan peranan mereka agar tampak lebih adil dan rasional.

Tanpa disedari, kesibukan wanita keluar bekerja telah menyebabkan urusan pengasuhan anak terabai. Mahu tidak mahu, wanita yang bekerjaya perlu mencari pengasuh atau mengontrak pengasuh buat anak-anaknya. Anak-anak akan dihantar ke pusat pengasuhan dan berkongsi kasih dan sayang dengan kanak-kanak lain yang senasib dengannya.

Bukan sedikit kisah penganiayaan dan penderaan yang dilakukan oleh pengasuh ke atas anak-anak ini. Malah di tahap yang serius kezaliman yang acapkali berlaku ini berakhir dengan kematian anak-anak akibat penderaan yang terlalu kejam dilakukan. Apakah dosa anak-anak kecil yang terpaksa membesar dan melalui masa-masa berharganya dengan keadaan yang sangat menyedihkan? Biarpun sesetengah mereka tidak mengalami penderaan daripada sudut fizikal, namun sedikit sebanyak emosi dan mental anak-anak ini tentunya terganggu kerana ketiadaan ibu disisi sewaktu mereka benar-benar memerlukannya. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, kesannya pada anak-anak bukan sahaja daripada aspek gangguan mental dan perkembangan fizikal, namun yang lebih dikhuatiri adalah masalah tingkah laku kerana anak-anak ini lebih mudah terdedah dan terjebak ke kancah maksiat apabila meningkat dewasa kelak.

Wahai ummun wa rabbatul bait, sedarlah dari keadaan yang leka dan lalai. Sesungguhnya masalah yang melanda wanita dan anak-anak pada hari ini adalah masalah yang sistemik. Apabila hukum Islam tidak diterapkan secara menyeluruh, maka masalah demi masalah melanda kehidupan kita secara bertali arus. Ketahuilah para Muslimah, idea hak asasi manusia, kesetaraan gender, kapitalisme, demokrasi, sekularisme dan hedonisme, semuanya adalah idealisme yang dibawa Barat yang telah mengakar umbi dalam kehidupan manusia khususnya umat Islam. Ianya tidak mampu mengekang mahupun menyelesaikan masalah yang ada, malah menambah parahkan lagi masalah. Allah SWT berfirman,

“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maidah (5):50].

Wallahu ‘alam..

INSPIRASI MUSLIMAH

Segmen: Bicara Tokoh
Sumayyah Amar: Pendidik Anak Dan Masyarakat

Melibatkan diri dalam dakwah untuk mendirikan Khilafah bukanlah sebatas pilihan bagi orang yang memiliki waktu, namun ia merupakan sebuah kewajipan yang sangat mendesak bagi semua orang yang beriman. Baru-baru ini team Fikratul Ummah telah menemu ramah salah seorang pejuang Khilafah, Dr. Sumayyah Amar bagi mengulas serba sedikit perihal situasi Umat Islam masa kini. Berikut merupakan bual bicaranya.

FU: Boleh Dr. ceritakan serba sedikit latar belakang Dr.?

Dr. Sumayyah: Saya seorang ibu kepada dua orang anak perempuan. Alhamdulillah, saya baru sahaja menamatkan pelajaran saya di peringkat doktor falsafah dalam bidang Kejuruteraan Sel Fuel di Universiti Kebangsaan Malaysia.

FU: Sudah berapa lama bergiat dalam dakwah bersama Hizbut Tahrir (HT)?

Dr. Sumayyah: Saya mula mengenal Parti Politik Hizbut Tahrir pada tahun 2002. Setelah membuat pengkajian, pada tahun 2003 saya mula mengikuti Halaqah dan aktiviti bersama HT.

FU: Setelah Dr. melakukan pengkajian, apakah yang membuatkan Dr. memilih untuk berjuang bersama HT?

Dr. Sumayyah: Matlamat yang jelas dan thariqah (metod) dakwahnya yang mengikut manhaj kenabian membuatkan saya amat yakin dan ingin terus berjuang untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dalam naungan Khilafah.

FU: Sejauh mana penglibatan Dr. dalam dakwah bersama HT?

Dr. Sumayyah: Saya merupakan Wakil Pejabat Media Pusat HT di bahagian Asia Tenggara Saya bertugas untuk melaporkan dan menganalisa keadaan umat Islam di Asia Tenggara. Isu-isu yang berkaitan dengan Muslimah akan cuba dirungkai dan diberikan penyelesaian melalui pelbagai uslub (kaedah) seperti seminar, forum, pameran termasuklah diskusi bersama tokoh dan pihak media. Menyampaikan maklumat yang benar merupakan tugas penting kami di Pejabat Media Pusat.

FU: Sebagai wakil CMO (Pejabat Media Pusat) di Malaysia, apakah yang Dr. boleh gambarkan keadaan umat Islam masa kini?

Dr. Sumayyah: Jika kita melihat nasib wanita Islam ketika ini, kebanyakannya hidup dalam keadaan yang tertindas jauh sekali dari keadaan sejahtera. Wanita Islam telah ditindas daripada pelbagai sudut seperti politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Wanita Islam Rohingya, Kemboja, Xiangyang, Vietnam dan Selatan Thailand terutamanya ditindas oleh pemerintah kufur. Hak mereka dinafikan, bahkan ada di antara mereka yang dihalau dari tanah air. Penindasan dari segi ekonomi dan sosial dialami oleh wanita di kebanyakan negara termasuklah wanita di Indonesia dan Malaysia. Kemiskinan yang menjerut dibebankan di bahu wanita. Wanita terpaksa dikerahkan bekerja bagi mengatasi masalah kemiskinan yang berpunca dari kerakusan para kapitalis yang meragut semua hasil bumi Asia Tenggara.

Ironinya, walaupun penindasan ini telah meragut kesejahteraan yang sepatutnya diperoleh oleh wanita, namun wanita hanya membiarkan dan pasrah dengan nasib yang menimpa mereka. Kenapa? Ini kerana wanita Islam kurang menyedari hak mereka seperti yang ditawarkan oleh syariah Islam.

Selain itu, serangan ideologi kufur yang bertubi-tubi telah banyak meracuni pemikiran wanita Islam. Ramai dalam kalangan kita tidak sedar bahawa pelbagai idea yang dibawa masuk dari Barat terutamanya, merupakan racun yang telah melemahkan pemikiran kita. Sebagai contoh, konsep kebebasan atau liberalisme yang diperkenalkan pihak Barat penjajah telah merosakkan sistem sosial dan institusi keluarga Muslim. Budaya kebebasan sedikit demi sedikit telah mengubah corak kehidupan kita dan menghakis identiti Islam dari kehidupan kita. Melalui hujah kebebasan, anak-anak kurang rasa hormat terhadap ibu bapa mahupun ahli keluarganya yang lain. Mereka mahu mengatur hidup mereka sendiri tanpa campur tangan sesiapa dan dengan hanya pendidikan agama yang sedikit mereka mudah hanyut dalam arus kemodenan yang tidak berpaksikan Islam.

Konsep kebebasan yang diamalkan juga sering mengundang pelbagai ideologi dan fahaman-fahaman songsang yang masuk ke dalam kehidupan umat Islam sama ada melalui media massa mahupun alam maya. Serangan pemikiran ini sebenarnya telah menewaskan umat Islam dan seterusnya merosakkan pemikiran generasi kita. Justeru, kita sebagai Muslimah perlu bangkit dengan mempersiapkan benteng bagi menangkis segala idea-idea kufur dan tidak Islami agar tidak mempengaruhi generasi kita. Caranya dengan mengukuhkan kefahaman kita dengan tsaqafah Islam dan membuang segala idea-idea kufur kemudian menggantikannya dengan Islam.

FU: MasyaAllah, besar sungguh peranan dan tanggungjawab yang digalas oleh Dr. Siapakah tokoh pilihan Dr. yang memberi motivasi kepada Dr. dalam berdakwah?

Dr. Sumayyah: Saya sangat mengagumi keteguhan iman Sumayyah binti Khabath. Sumayyah adalah hamba Abu Huzaifah bin Mughirah. Tuannya mengahwinkan Sumayyah dengan Yasir bin Amir, perantau dari Yaman ke Mekah. Apabila Allah mengurniakan mereka seorang anak yang diberi nama Amar, Abu Huzaifah pun membebaskan Sumayyah daripada menjadi hambanya. Apabila Islam mula tersebar, keluarga Yasir antara golongan pertama memeluk agama suci itu. Sumayyah tidak gentar dengan amaran musyrikin Quraisy yang menyeksa dan membunuh sesiapa yang memeluk Islam.

Apabila bangsawan Quraisy mengetahui Sumayyah sudah memeluk Islam, mereka menyerbu rumahnya. Keluarga Amar ditangkap dan dibawa ke khalayak untuk diseksa. Mereka diseksa di tengah-tengah padang pasir yang panas membahang. Mereka diikat pada batu yang sangat panas. Namun, keimanan mereka tidak luntur bahkan seksaan yang pedih ini telah meningkatkan lagi keimanan mereka. “Saya beriman dengan Allah sahaja”, kata Sumayyah dan kata-kata inilah yang telah meningkatkan lagi kemarahan Abu Jahal.

Berita penyeksaan keluarga Yasir sampai ke pengetahuan Nabi SAW sehingga baginda dan Abu Bakar keluar bagi menyelamatkan keluarga tersebut daripada seksaan kejam Abu Jahal dan pengikutnya. Namun, mereka dihalang oleh orang-orang Quraisy yang menyaksikan seksaan terhadap keluarga Yasir.

Hati Abu Jahal semakin sakit melihat reaksi Yasir, Sumayyah dan Amar yang kelihatan cukup tenang dan masih enggan menerima berhala sebagai tuhan mereka. Dia mengarahkan pengikutnya memakaikan baju besi kepada ketiga-tiga ahli keluarga tersebut agar bahang matahari semakin menyeksa mereka. Namun, seksaan ini langsung tidak menggugah keimanan mereka sekeluarga.

Seksaan demi seksaan ke atas Yasir menyebabkan fizikalnya menjadi lemah kerana usianya yang sudah lanjut. Akhirnya, Yasir menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan menyebut nama Allah tanpa menerima agama berhala Abu Jahal. Walaupun hati Sumayyah hancur melihat suaminya mati akibat seksaan Abu Jahal yang kejam, dia gembira kerana suaminya mati dalam menegakkan agama Allah.

Abu Jahal cuba sekali lagi memaksa Sumayyah untuk meninggalkan agama suci Islam, namun Sumayyah tetap juga menolak. Keengganan Sumayyah ini telah mengundang kemarahan Abu Jahal. Abu Jahal mengambil tombak dari tangan kanannya lalu membunuh Sumayyah. “Allahu Akbar”!!. Begitulah kata terakhir Sumayyah sebelum menghembuskan nafasnya akibat tikaman tombak Abu Jahal.

Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid dalam sejarah Islam. Kematian Sumayyah dengan nama Allah di mulutnya demi mempertahankan keimanan pada Allah merupakan inspirasi kepada saya untuk tetap teguh mengembalikan kehidupan Islam sesuai dengan Bisyarah Rasulullah SAW,

“… Kemudian akan kembali Khilafah ala minhaj Nubuwwah..” [HR Ahmad]

FU: Untuk yang terakhir, apakah harapan Dr. pada Umat Islam di luar sana?

Dr. Sumayyah: Islam telah memuliakan wanita dengan amanah yang harus dipikul sebagai ibu dan pengurus rumah tangga. Tugas utama tidak boleh dipandang ringan ataupun beban kepada wanita. Bahkan tugas inilah yang kemudian menjadikan wanita sangat mulia di hadapan Rabb-nya. Tugas ini sebenarnya merupakan sebuah penghormatan di mana disebalik lahirnya generasi yang cemerlang terdapat ibu yang hebat. Tugas utama ini juga ditunjangi dengan beberapa peranan dalam kehidupan bermasyarakat yang telah diatur sesuai dengan ketentuan syariah.

Namun, tidak bermakna peranan utama wanita sebagai ibu dan pengurus rumah tangga (ummun wa rabbah al-bait) menjadikan dirinya tidak memiliki peranan di dalam kalangan masyarakat. Allah SWT berfirman:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Kaum Mukmin dan Mukminat, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka melakukan amar makruf nahi mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat serta mentaati Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [TMQ at-Taubah (9):71].

Justeru, marilah kita bersama kembali kepada fitrah penciptaan wanita. Kedudukan utama wanita adalah sebagai ibu pendidik generasi masa hadapan. Ibu yang cerdas, beriman dan sedar akan tugas utamanya, akan melahirkan generasi-generasi pejuang yang akan memperbaiki nasib umat Islam ketika ini.

Wallahu’alam.

FIKIH
HUKUM KAHWIN DI USIA MUDA
Oleh: Pn. Rahmah Nadzri (Ketua MHTM Perak/Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Berkahwin di usia muda bukanlah budaya yang baharu. Ia adalah satu kebiasaan dalam kalangan nenek moyang kita sejak dahulu lagi. Jika dikaji, ramai anak-anak gadis dan remaja lelaki yang berkahwin muda lantaran adat mahupun kemahuan daripada orang tua mereka. Ianya tidaklah menjadi satu masalah yang besar dan isu yang hangat diperkatakan ketika itu.

Namun perkahwinan sepasang remaja di alaf baru yang terdiri daripada seorang gadis berusia 17 tahun serta suaminya 15 tahun di Malaysia yang berlangsung tahun lepas, mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Pelbagai pandangan masyarakat dilontarkan di media cetak mahupun elektronik. Masing-masing memberikan justifikasi atas pandangan yang diutarakan.

Sisters in Islam (SIS) juga tidak ketinggalan bersuara dalam hal ini. Pengurus Program Sisters In Islam (SIS), Suri Kempe berkata, perkahwinan diawal usia ini adalah bertentangan dengan apa yang terbaik untuk remaja berkenaan dan akan menyebabkan kemudaratan jangka masa panjang bukan sahaja kepada pasangan berkenaan tetapi juga anak mereka. Jelasnya, dari sudut praktikal, apakah peluang pekerjaan yang wujud untuk remaja yang berusia 15 tahun yang baru sahaja menduduki PMR bagi menampung nafkah diri dan keluarga. SIS juga berharap ibu bapa remaja muda akan menasihatkan anak mereka supaya menangguhkan hasrat untuk berkahwin. Malah dalam satu kenyataan, SIS menggesa kerajaan untuk menghentikan perkahwinan di awal usia dan menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi semua rakyat Malaysia.

Dalam hal ini, SIS membantah pasangan remaja yang mengambil keputusan untuk berkahwin muda dengan hujah akal semata-mata iaitu kebimbangan akan masa depan pasangan muda ini dalam soal ekonomi dan sebagainya. Tidakkah SIS sepatutnya juga merasa bimbang dengan gejala sosial seperti pergaulan bebas, perzinaan, pembuangan serta pembunuhan bayi yang meningkat secara mendadak saban tahun? Tidakkah gejala sosial ini lebih serius dan patut diberi perhatian serius?

Inilah nilai liberalisme (kebebasan) yang  sedang ditanam secara halus dalam generasi umat Islam. Bebas melakukan kemaksiatan dan kemungkaran (perzinaan), namun bila ingin berkahwin dibantah dan dicemuh pula! Jika SIS prihatin dalam isu kahwin muda, sikap yang sama juga sepatutnya ditunjukkan terhadap nasib remaja-remaja yang hanyut dalam arus kebebasan dan kerosakan akhlak akibat dari terdedahnya mereka kepada pengaruh-pengaruh negatif dan nilai kebebasan yang dibawa Barat. Mengapa SIS diam membisu?

Persoalan utama di sini adalah, bilakah seseorang itu layak berkahwin menurut pandangan Islam? Untuk tujuan berkahwin, Rasulullah SAW bersabda, Wahai generasi muda, siapa saja di antara kalian yang telah mampu serta berkeinginan untuk menikah, maka hendaklah ia menikah. Sesungguhnya pernikahan itu dapat menundukkan pandangan mata dan memelihara kemaluan [Muttafaq‘alaih].

Islam menjadikan perkahwinan sebagai satu penyelesaian bagi memenuhi gharizah an-Nau’ (naluri berkasih sayang) yang dianugerahkan Allah kepada setiap manusia. Perkahwinan merupakan satu ikatan suci yang membenarkan naluri ini disalurkan dengan jalan yang dibenarkan syarak. Ianya merupakan satu wadah bagi melahirkan generasi soleh yang berkeperibadian Islam sekaligus merupakan aset berharga bagi sebuah negara Islam. Ianya dapat direalisasikan apabila seluruh hukum-hukum Islam dilaksanakan secara menyeluruh.

Sebagai kaum Muslimin, marilah kembali berhukum dengan dalil-dalil yang diwahyukan Allah dan bukannya akal manusia dalam menangani isu ini. Allah SWT berfirman, “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya” [TMQ an-Nisa’ (4): 65].

Wallahu’alam bisshawab.