Fikratul Ummah – Oktober 2010

Dari Lidah Pengarang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Pembaca budiman yang dirahmati oleh Allah Subhanahu wa Taala,

Ketika bumi Indonesia sekali lagi dilanda musibah tsunami dan letusan Gunung Merapi, di Malaysia pula kita dikejutkan dengan penganjuran Islamic Fashion Festival yang telah dijayakan oleh isteri Perdana Menteri Malaysia, Rosmah Mansor.  Islamic Fashion Festival yang telah dinaungi sendiri oleh Rosmah jelas mencemarkan Islam kerana memaparkan model-model seksi yang secara faktanya tidak menutup aurat dan apa yang malangnya lagi ianya dipromosikan sebagai busana Islam. Insiden tersebut hanyalah salah satu daripada isu-isu yang merendahkan martabat Muslimah dengan tujuan  untuk memperlekehkan agama suci ini. Tindakan Rosmah itu sebenarnya menonjolkan kejahilan beliau terhadap ajaran Islam itu sendiri. Nampaknya beliau sudah tidak mengenal manakah hak dan manakah yang batil. Bukahkah kelazatan akal itu adalah suatu anugerah Allah SWT kepada manusia agar mereka dapat membezakan perkara yang hak dengan yang batil hasil tuntunan wahyu? Oleh kerana itu sudah tiba masanya para Muslimah yang peka dan perihatin serta sayangkan Islam bangkit untuk melakukan muhasabah kepada golongan pemerintah mahupun kepada pihak yang hampir dengan pemerintah agar mereka tidak terus melakukan perkara-perkara yang menghina Islam samada dalam keadaan sedar ataupun tidak.

Alhamdulillah, Fikratul Ummah bulan ini memaparkan dua buah artikel dan sebuah artikel terjemahan.  Penyelamat Maruahku: Khilafah atau Koc Merah Jambu menjelaskan tentang kegagalan usaha murni pihak KTMB memisahkan koc lelaki dan wanita akibat tidak adanya penguatkuasaan undang-undang. Manakala artikel Tarikan antara Adam dan Hawa: Perlukah dirangsang atau dikekang? menjelaskan tentang naluri melanjutkan zuriat (gharizah an-nau’) yang dianggap sebagai satu keperluan manusia yang sangat penting sehingga mampu menjejaskan produktiviti manusia jika tidak dipenuhi sebagaimana yang dianuti oleh fahaman penganut Kapitalis dan Komunis. Artikel terjemahan yang berkisar tentang Dr Aafia Siddiqui menjelaskan tentang keperitan seorang Muslimah dek kekejaman musuh-musuh Islam tanpa pembelaan dari seorang Imam/Khalifah. Manakala Forum “Selamatkan Muslimah dengan Syariat” memaparkan aktiviti Muslimah terjun ke dalam masyarakat dengan penyelesaian tuntas menurut syarak ke atas isu-isu sosial yang melibatkan golongan wanita termasuk Muslimah.

Semoga paparan di atas akan memberi inspirasi kepada semua pembaca bahawa hanya dengan mengembalikan syariat Islam dan merujuk kepada sumber wahyu, manusia akan dapat melihat penyelesaian tuntas yang bakal memberi kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Wallahu ‘alam bisshawab.


Penyelamat Maruahku: Khilafah atau Koc Merah Jambu?

Seperti pisang goreng panas, koc wanita dengan tema ‘wanita sepanjang masa’ mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan sasarannya. Pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga tidak ketinggalan dalam meningkatkan langkah yang berterusan dalam mempromosikan perkhidmatan terbaru mereka itu. KTMB telah berjanji bahawa mereka akan mempertingkatkan promosi Koc Merah Jambu dan pada masa yang sama, mereka juga akan memastikan kakitangan menyelia di setiap perhentian untuk meninjau keadaan dan membantu penumpang supaya tidak tersalah masuk.

Walau bagaimanapun, sebulan selepas pengenalan koc merah jambu ini, pihak KTMB telah mengenal pasti beberapa masalah termasuk kedegilan sesetengah penumpang lelaki terutama warga asing seperti Bangladesh, Nepal dan Myanmar yang sengaja ‘menyelit’ di dalam koc khusus untuk wanita semata-mata mahu duduk. [Kosmo Online, 5 Oktober 2010]. Tambahan pula ada penumpang lelaki kurang sedar kewujudan koc khas yang ditampal pelekat merah jambu dengan tertera perkataan ‘Untuk Wanita Saja’ sehingga menyebabkan mereka masuk ke gerabak itu tanpa rasa bersalah. [http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Lelakisengajamasukkocmerahjambubolehdidakwa/Article/].

Terdapat juga insiden-insiden di dalam gerabak di mana terdapat penumpang wanita yang cuba mempertahankan hak mereka telah memarahi kaum lelaki yang memasuki koc wanita. Kemarahan ini ada yang membawa kepada pertengkaran antara dua jantina ini sehingga mencetuskan kekecohan di dalam gerabak, seterusnya menimbulkan keresahan dan rasa tidak aman dalam kalangan penumpang-penumpang lain.

Di tengah-tengah keghairahan golongan wanita menggunakan koc merah jambu, sebenarnya masih ada perkara penting yang masih terlepas pandang oleh pelbagai pihak. Tidak dapat dinafikan bahawa pengenalan koc wanita sepanjang masa ini mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak terutamanya golongan wanita sendiri. Maruah mereka seperti telah terbela kerana pemisahan koc ini dianggap telah menyelamatkan mereka daripada gangguan seksual daripada lawan jantina.  Hal ini telah diungkap di dalam Fikratul Ummah keluaran Mei yang lalu yang menjelaskan mengenai kedudukan ketaqwaan individu dan kawalan masyarakat di tengah-tengah masyarakat sebagai asas melaksanakan ‘amar ma’ruf dan nahi mungkar dalam menyelesaikan permasalahan keselamatan yang dialami oleh kaum Hawa. Namun, Islam sebagai cara hidup yang lengkap juga membebankan kewajipan ini kepada negara. Justeru, Fikratul Ummah keluaran kali ini akan mengupas tentang peranan penguasa atau negara dalam menguatkuasakan hukum syara’ dan memastikan undang-undang yang telah dibuat dilaksanakan dengan berkesan.

Undang-undang terus kekal sebagai tulisan semata-mata!

Bagi mengambil langkah lebih serius dalam menangani kedegilan penumpang lelaki sebegitu, Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr Aminuddin Adnan bertindak memberi kenyataan bahawa penumpang komuter lelaki yang dikenal pasti sengaja memasuki koc merah jambu dan melakukan gangguan terhadap penumpang wanita boleh dikenakan tindakan undang-undang. “Tindakan itu akan diambil sebaik saja akta berkaitan diwujudkan, sesuai dengan matlamat utama pengenalan koc khas itu iaitu untuk memastikan keselamatan penumpang wanita daripada risiko jenayah termasuk cabul dan ragut,” tambah beliau pada majlis taklimat Koc Wanita: Satu Langkah Pemodenan dan Manfaat Untuk Semua pada bulan Mei yang lalu. Walau bagaimanapun, pihak KTMB akan melihat sama ada akta tertentu pada peringkat kementerian boleh diwujudkan bagi mengekang mana-mana individu yang sengaja menimbulkan gangguan di koc terbabit,” katanya. [Berita Harian Online, 17 Mei 2010].

Apabila ditinjau dari sudut peruntukan undang-undang, gangguan seksual di negara kita dilihat sebagai satu kesalahan jenayah seperti yang terkandung di dalam undang-undang bertulis yang sedia ada. Terdapat tiga peruntukan berhubung kesalahan ini dalam Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 509 (perkataan atau isyarat yang bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang; Seksyen 354 (menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan); dan Seksyen 255 (menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak menjatuhkan kehormatan seseorang kecuali atas bangkitan marah yang besar). Namun, perkara yang menyedihkan adalah apabila mangsa cuba membawa si tertuduh kepada tindakan mahkamah,  mangsa mengalami kesukaran untuk mengemukakan bukti perbuatan jenayah itu atau mengenal pasti ‘pemangsanya’ kerana majotiti kes berlaku di tempat awam yang sesak. [Undang-Undang Gangguan Seksual di Malaysia, Ahmad Shamsul Abd Aziz]. Inilah kelemahan undang-undang ciptaan manusia. Undang-undang ini hanya tinggal sebagai teori di dalam buku dan tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana undang-undang lain seperti Kanun Acara Jenayah, undang-undang pembuktian, prosedur-prosedur di mahkamah dan lain-lain lebih menyulitkan keadaan sehingga penyelesaian di mahkamah bukan lagi menjadi pilihan masyarakat.

Terdapat pula Akta Pekerjaan 1955 yang bertujuan untuk melindungi wanita daripada gangguan seksual di tempat kerja. Ibarat seperti menegakkan benang yang basah, kerajaan melalui Menteri Sumber Manusia cuba pula  membuat pindaan kepada Akta Pekerjaan 1955 yang tidak lama lagi akan mewajibkan setiap majikan melantik pegawai khas untuk menanganinya. Walau bagaimanapun Pengarah Eksekutif Women’s Change for Change (WCC) Pulau Pinang, Loh Cheng Kooi berkata, pindaan itu tidak cukup untuk melindungi semua kejadian gangguan seksual. Loh berkata, masalah membabitkan peruntukan di bawah Akta Pekerjaan hanya dikhususkan kepada kejadian yang berlaku antara hubungan majikan dan pekerja. Oleh itu, undang-undang ini gagal melindungi manga-mangsa gangguan seksual yang berlaku di luar tempat kerja. Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA), Ivy Josiah pula menggesa supaya Akta Anti Gangguan Seksual diwujudkan. “Kami tidak akan gembira dengan cadangan pindaan itu. Akta ini langsung tidak menjelaskan tentang undang-undang tentang gangguan seksual atau penguatkuasaan terhadap mekanisme yang efektif di dalam sesebuah syarikat,” ujarnya. (Mstar Online, 1 Ogos 2010)

Tidak kurang juga ada pihak-pihak yang mencadangkan supaya suatu akta khusus menangani masalah ini diwujudkan. Sebuah gerakan yang mementingkan Hak Asasi dan sentiasa melihat sesuatu perkara berlandaskan Hak Asasi dan hak kesamarataan iaitu Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) mengeluarkan kenyataan media melalui koordinatornya, Nalini.E, tentang perlunya Akta Menghalang Gangguan Seksual yang akan melindungi wanita dan lelaki daripada gangguan seksual di mana-mana tanpa mengira samada di tempat kerja atau di tempat awam seperti yang terdapat di Amerika, Britain, Denmark, France, India, Filipina, Russia, Poland, Republik Czech Australia dan Pakistan. [http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=10708]

Sementara undang-undang yang diharapkan masih belum wujud sehingga hari ini, wanita hanya dilindungi di tempat kerja sahaja dan itu pun hanya dari segi pelaksanaan polisi, kod amalan atau kod etika.  Sekali lagi dibawakan bukti kebusukan undang-undang yang sedia ada. Kementerian Sumber Manusia mengeluarkan fakta (baca: kenyataan atau realiti semasa) bahawa sebanyak 276 kes gangguan seksual di tempat kerja dilaporkan kepada sejak Kod Amalan Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di tempat kerja dilancarkan pada 17 Ogos 1999. [Mstar Online, 15 Disember 2009].

Daripada kenyataan-kenyataan di atas, dapat kita simpulkan bahawa walaupun kumpulan-kumpulan wanita sudah lama berkempen untuknya  tetapi penyelesaian yang dicadangkan tidak konkrit dan tidak menyelesaikan masalah untuk selama-lamanya. Malah Ahli Parlimen wanita juga tidak terlepas daripada gangguan seksual di dalam Dewan Rakyat apabila hujah berunsur seksual dibuat oleh Ahli Parlimen lelaki dalam parlimen [http://www.dapmalaysia.org/all-archive/English/2004/sep04/bul/bul2491.htm]. Banyak pihak juga telah berusaha untuk memastikan semua rakyat Malaysia mematuhi peraturan penggunaan koc wanita ini dan berpendapat ini perlu sampai kepada tahap penguatkuasaan undang-undang.

Tidak usah meraba-raba dalam kegelapan lagi. Sesungguhnya tugas penguatkuasaan undang-undang penggunaan koc wanita ini adalah terletak pada bahu pihak kerajaan sendiri sebagai badan pemerintah negara yang mempunyai kuasa untuk menetapkan undang-undang.

Keamanan dan keselamatan rakyat adalah tanggungjawab negara

Isu yang kita bincangkan ini berkait rapat dengan keperluan asas seorang rakyat yang hidup di dalam sesebuah negara. Keperluan asas menurut Islam ada dua bahagian iaitu keperluan asas untuk setiap individu rakyat, dan keperluan asas untuk semua rakyat. Keperluan asas manusia (untuk setiap individu) adalah makanan, pakaian dan tempat tinggal, manakala keperluan asas untuk rakyat adalah keselamatan, kesihatan dan pendidikan. Negara bertanggungjawab ke atas keselamatan, kesihatan dan pendidikan rakyatnya. Ini berdasarkan hukum-hakam berkaitan dengan ri’ayah (pemeliharaan) rakyatnya.

Sabda Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud, “Imam itu pemelihara dan dialah yang bertanggungjawab terhadap rakyatnya” [HR Mutafaq Alaih]. Juga hadis Rasulullah yang bermaksud “Siapa sahaja yang pada waktu paginya merasakan aman pada kelompoknya, sihat tubuh badannya dan tersedia makanan rujinya pada hari itu, maka seolah-olah dia telah memiliki dunia”.

Nas-nas syara’ di atas ini meletakkan bahawa keamanan, dan kesihatan sama tarafnya dengan makanan. Ini menunjukkan bahawa keduanya menjadi keperluan asas untuk rakyat. Menghilangkan bahaya terhadap rakyat adalah tanggungjawab pemerintah berasaskan hadis “Tidak boleh membuat bahaya kepada diri sendiri, dan tidak boleh membahayakan orang lain” [HR Muslim].

Penguasa boleh mengeluarkan undang-undang untuk menjaga kemaslahatan rakyat

Islam sebagai cara hidup yang lengkap mempunyai sistem hukuman (sistem ‘uqubat) yang menyeluruh melingkupi empat jenis iaitu hudud, jinayat, ta’zir dan mukhalafat. Setiap jenis adalah berbeza daripada jenis-jenis yang lain. Hudud adalah hukuman atas kemaksiatan yang telah ditetapkan kadarnya dan menjadi hak Allah. Hudud adalah hak Allah dan kerana itu tidak ada pemaafan atau pengampunan samada dari hakim (qadhi) atau orang yang mendakwa. Jadi, tidak ada seorang pun berhak menggugurkannya pada keadaan apa pun termasuk penguasa. Penguasa hanya berkewajipan untuk melegalisasikan hudud dalam pemerintahannya.

Jinayat pula merujuk kepada penganiayaan atau penyerangan terhadap badan yang mewajibkan qishash (balasan setimpal) atau diyat (denda). Berbeza dengan hudud, hukuman bagi pelaku penganiayaan boleh digugurkan jika pelakunya dimaafkan oleh shahibul haq (pemilik hak). Manakala ta’zir adalah hukuman bagi kemaksiatan yang di dalamnya tidak ada had dan kafarat. Bentuk hukuman dalam ta’zir tidak ditetapkan secara spesifik oleh Allah tetapi ditetapkan oleh penguasa.

Adapun mukhalafat adalah hukuman yang dijatuhkan oleh penguasa kepada orang yang menentang perintah penguasa; samada Khalifah atau selain Khalifah seperti Mu’awin, para Wali, ‘Ummal dan lain-lain. Mereka memiliki kekuasaan untuk memberi perintah dan perintah mereka wajib ditaati berdasarkan beberapa dalil di bawah:

“Taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu.” [TQS An-Nisa’ (4):59].

Dari Husain Al-Ahmasiyyah, ia pernah mendengar Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam bersabda: “Dengarkanlah dan taatilah walau kalian dipimpin oleh budak Habsyi, selama mana ianya menegakkan Kitabullah ‘azza wa jalla.”

Dari Salamah bin Abdurrahman bahawa ia pernah mendengar Abu Hurairah ra berkata, bahawa Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam bersabda: “Barangsiapa taat kepadaku maka ia (bererti) taat kepada Allah. Barangsiapa bermaksiat kepadaku maka (bererti) ia bermaksiat kepada Allah. Barangsiapa taat kepada amirku, maka (bererti) ia taat kepadaku. Barangsiapa bermaksiat kepada amirku maka (bererti) ia telah bermaksiat kepadaku.

Dalam riwayat lain disebutkan: “Barangsiapa mentaati amir sungguh ia telah taat kepadaku. Barangsiapa bermaksiat kepada amir sungguh ia telah bermaksiat kepadaku.”

Mukhalafat tidak termasuk dalam bab ta’zir kerana mukhalafat bukan tergolong dalam pelanggaran terhadap perintah Allah Subhanahu wa Taala. Mukhalafat adalah pelanggaran terhadap perintah Allah Subhanahu wa Taala untuk mentaati penguasa. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa mukhalafat adalah hukuman khusus yang ditetapkan oleh penguasa sesuai dengan hukuman yang dijatuhkan atas pelanggaran terhadap perintah dan larangannya.

Khalifah hanya melaksanakan aktiviti pengaturan urusan rakyat dan mengatur kemaslahatan rakyat sesuai dengan hukum syara’. Khalifah tidak boleh menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Khalifah juga tidak boleh mewajibkan yang mubah, mengharamkan yang makruh, memubahkan yang haram atau mewajibkan yang haram. Dia juga tidak boleh mengharamkan yang wajib atau yang mubah. Contoh-contoh mukhalafat adalah Khalifah boleh menetapkan jarak halaman rumah, dan jalan-jalan umum, serta batas tertentu, dan melarang masyarakat untuk membina atau menanam sesuatu disekitarnya pada sesuatu jarak. Perkara-perkara seperti ini diserahkan kepada Khalifah untuk mengeluarkan arahan-arahan yang berbentuk undang-undang yang mengikat dan arahan ini wajib dilaksanakan oleh kaum Muslim. Perbuatan menentang atau melanggarnya adalah perbuatan maksiat dan harus dikenakan hukuman. (Sistem Sanksi dan Hukum Pembuktian dalam Islam, Abdurrahman Al-Maliki dan Ahmad Ad-Da’ur)

Di sinilah perkara berkaitan pemisahan lelaki dan perempuan dalam kenderaan awam boleh dijadikan undang-undang yang dikeluarkan oleh penguasa. Penguasa boleh mengeluarkan arahan supaya tempat lelaki dan wanita dipisahkan dalam kenderaan awam untuk mengelakkan ikhtilath (percampuran antara lawan jenis) dan mencegah perbuatan berupa gangguan kepada golongan wanita. Perkara yang sangat penting adalah, penguasa boleh melakukan penguatkuasaan ke atas hukum hakam yang mesti dipatuhi oleh ahli masyarakat termasuk menyediakan ruangan khusus seperti koc berwarna merah jambu yang dilakukan oleh KTMB dan memperuntukkan hukuman kepada sesiapa yang menentang atau melanggarnya.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa cadangan pemisahan lelaki dan wanita dalam gerabak yang berbeza pernah dibangkitkan di Parlimen yang membahaskan tentang sesuatu cadangan undang-undang. Dalam konteks ini, Fikratul Ummah tidak mengatakan bahawa pemerintah boleh membuat segala jenis undang-undang yang difikirkannya sesuai demi kemaslahatan rakyat. Ini kerana perkara-perkara yang termasuk dalam hukuman jenis hudud, haram hukumnya bagi penguasa untuk membuat undang-undang sendiri kerana hudud adalah hak Allah dan Allah telah menetapkan kadarnya dan tiada seorang manusia pun boleh menggugurkannya dalam situasi apa pun. Perkara yang hendak ditekankan di sini adalah pemerintah yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan undang-undang mengenai perkara yang termasuk dalam jenis mukhalafat seperti pengasingan gerabak ini.

Merujuk kepada laporan dalam Mstar Online pada 9 April 2007, seorang anggota Parlimen telah mencadangkan supaya penumpang lelaki dan wanita yang menggunakan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) diasingkan di dalam gerabak tren berbeza bagi mengelakkan masalah yang boleh menyebabkan ketidakselesaan penumpang. Cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) dan disokong penuh Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) dikemukakan semasa Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Douglas Uggah Embas menggulung perbahasan usul menjunjung kasih Titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena perasmian sidang Parlimen, bagi kementeriannya di Dewan Rakyat. Mohamad berkata masalah gesel-menggesel antara lelaki dan perempuan sering kali berlaku khususnya pada waktu puncak, apabila penumpang bersesak-sesak di dalam gerabak dan telah menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan penumpang itu sendiri. Chong yang meminta penjelasan daripada Douglas turut menyokong saranan Mohamad kerana perkara itu juga merupakan satu bentuk gangguan seksual dan membabitkan maruah khususnya kaum wanita. Walau bagaimanapun, Douglas mengambil keputusan bahwa perkara itu akan disampaikan oleh pihaknya kepada syarikat pengendali LRT, Rapid KL Sdn Bhd untuk tindakan lanjut.

Wahai muslimah yang prihatin!

Tidakkah anda terasa seperti anda telah dikhianati apabila mengetahui perkara ini? Penguasa kita seperti melepaskan batuk di tangga dalam hal yang menjadi kemaslahatan kepada rakyat. Dengan mudahnya mereka melepaskan tanggungjawabnya untuk memikirkan masalah rakyat dengan menyerahkan tugas itu kepada pihak bukan kerajaan yang langsung tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang! Maka kerana itulah, terjadinya banyak insiden-insiden tersalah masuk atau sengaja masuk tanpa mematuhi peraturan yang dikeluarkan oleh pihak KTMB. Penumpang-penumpang seperti ini tidak memandang peraturan itu sebagai suatu arahan yang wajib dipatuhi atau mereka tidak nampak perbuatan mereka itu sebagai suatu kesalahan kerana tiada hukuman yang berkuatkuasa bagi penumpang yang gagal mematuhinya.

Khatimah

Wahai muslimah yang rindukan kesejahteraan!

Sedarlah bahawa syariat Islam adalah sistem yang ditetapkan oleh Allah melalui Rasulullah Solallahu ‘alaihi Wasallam untuk mengatur kehidupan manusia secara keseluruhan demi kerahmatan umat manusia disepanjang masa dan dimana jua. Pelaksanaan Islam secara sempurna hanya dapat dijalankan dalam Daulah Khilafah Islamiyah yang mengikut metod Rasulullah dan negara kita saat ini tidak pun mampu menjadikan Islam sebagai undang-undang tertinggi dalam pemerintahannya apatah lagi menguatkuasakannya dalam kehidupan seluruh rakyat. Tidak lain dan tidak bukan, puncanya adalah kerana sistem pemerintahan demokrasi  yang dilahirkan oleh undang-undang sekular adalah hasil benih akal fikiran manusia tanpa panduan wahyu dari Allah iaitu Al-Quran dan As-Sunnah yang sudah pasti ianya akan melahirkan suatu bentuk undang-undang yang serba lemah lagi zalim sesuai dengan sifat manusia itu sendiri. Padahal, Islam mestilah diterapkan didalam kehidupan dan agar akidah Islamiyah dapat menjadi dasar negara dan dasar perlembagaan serta undang-undang. Ini kerana akidah Islamiyah adalah akidah aqliah (akidah yang menjadi dasar pemikiran) dan  akidah siyasiyah (akidah yang menjadi dasar politik) yang melahirkan aturan untuk memecahkan permasalahn manusia secara keseluruhan. “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [TMQ An-Nisa’ (4):59].

Marilah kita renungkan sejenak. Adakah kita hanya mahu selamat di dalam gerabak komuter sahaja padahal gangguan seksual dan ancaman jenayah lain tidak hanya berlaku di dalam komuter tetapi di mana-mana sahaja tidak kira di tempat kerja, di sekolah, di universiti, di jalan raya, di kedai kopi atau di tepi jalan? Adakah pihak Rapid KL pula perlu menyediakan bas merah jambu? Atau di setiap tempat awam perlu diwujudkan zon merah jambu?

Ketaqwaan individu dan kawalan daripada masyarakat untuk memastikan setiap rakyat negara ini hidup aman dan sejahtera di tempat umum mahupun di tempat khusus tanpa ancaman perbuatan jenayah tidak akan dapat mencegah dan menyelesaikan sepenuhnya kemaksiatan dan kemungkaran yang bermaharajalela di dalam masyarakat tanpa adanya penguatkuasaan undang-undang dan hukuman oleh negara mengikut panduan Islam. Tidak mungkin syariat Islam itu dapat ditegakkan dengan cara yang bathil, iaitu dengan memperjuangkan undang-undang hasil tangan demokrasi yang jelas sekali membelakangkan Allah Subhanahu Wa Taala sebagai as-Syari’ (Sang Pembuat Hukum). “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” [TMQ Al-Baqarah (2): 42].

Penguatkuasaan yang bertujuan untuk menjaga kemaslahatan masyarakat contohnya cara penampilan dan pakaian di tempat awam, larangan bertabarruj, larangan ikhtilath dan hukum-hukum lain yang telah disyariatkan ke atas umat Islam mampu mencegah masalah-masalah manusia secara keseluruhannya. Malahan, adanya ketaqwaan di dalam individu dan masyarakat juga hanya dapat diwujudkan melalui penerapan Islam yang kaffah.

Oleh itu, ayuhlah muslimah sekalian! Marilah bersatu bersama-sama dengan kelompok yang bergerak ditengah-tengah kalian, dan bersama-sama dengan pejuang yang berjuang untuk menjadikan Islam sebagai permasalahan utamanya, serta memimpin umat untuk mendirikan kembali sistem Khilafah dan menegakkan hukum yang diturunkan Allah dalam realiti kehidupan. “Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. [TMQ Ali-‘Imran (3):85].

Janganlah kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi dan orang-orang yang disebut oleh Rasulullah dalam Hadis berikut. Na’uzubillahi min zaalik! Aku hairan (melihat) orang yang yakin terhadap kematian kemudian dia (masih) bergembira, aku hairan (melihat) orang yang yakin terhadap neraka kemudian dia (masih) ketawa, aku hairan (melihat) orang yang yakin terhadap kadar ketentuan Allah kemudian dia (masih) kecewa, aku hairan (melihat) orang yang melihat bagaimana dunia memutar belitkan penghuninya kemudian dia (masih) tenang hati terhadap dunia, aku hairan (melihat) orang yang yakin terhadap wujudnya hari hisab kemudian dia (masih) tidak beramal. [HR Ibn Hibban]. Wallahu ‘alam bisshawab.


Allah Subhanahu wa Taala menjadikan setiap kehidupan di alam semesta ini berpasang-pasangan. Gelap dan terang, sihat dan sakit, suka dan duka, tua dan muda. Hatta, atom juga mempunyai pasangan iaitu elektron dan proton. Hanya Allah Azza wa Jalla sahaja yang tidak mempunyai sekutu.

Keinginan untuk berteman, bercanda, mencurahkan isi hati dan menumpahkan kasih sayang mendorong manusia untuk mempunyai pasangan. Justeru, Allah Subhanahu wa Taala menggariskan pelbagai saranan untuk memenuhi keinginan manusia untuk berpasang-pasangan yang disebut di dalam al-Quran dengan istilah “zawaj”. “Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu…” [TMQ An-Nur (24):32]

Namun apabila kita tidak mampu, kita dianjurkan oleh Allah Subhanahu wa Taala untuk menunda perkahwinan. “Dan orang-orang yang tidak mampu kahwin hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, sehingga Allah memampukan mereka dengan kurnia-Nya.” [TMQ An-Nur (24):33].

“Wahai pemuda, sesiapa sahaja daripada kamu yang mampu berkahwin, hendaklah berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan. Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa, kerana ia boleh menjadi perisai” [HR Ibnu Mas’ud].

Perkara yang menjadi persoalan adalah sama ada naluri yang lahir daripada tarikan kepada lawan jenis ini mesti dipenuhi atau tidak? Untuk menentukan hal ini, terdapat pelbagai pendapat yang dikemukakan oleh banyak pihak.

Pandangan Barat tentang Hubungan Jenis antara Lelaki dan Wanita

Teori Motivasi Maslow

Berdasarkan Atan Long ( 1976 : 131 ), Maslow (1954) telah menjelaskan bahawa keperluan-keperluan manusia itu berperingkat-peringkat. Sesuatu peringkat keperluan yang lebih tinggi tidak mungkin diperolehi sebelum keperluan yang lebih rendah peringkatnya dipenuhi terlebih dahulu. Pada peringkat yang paling asas terdapat keperluan hayat ataupun keperluan fisiologi. Setelah keperluan ini dipenuhi baharulah keperluan keselamatan, diikuti keperluan kasih-sayang, seterusnya peringkat penghargaan kendiri atau penghormatan diri dan peringkat tertinggi atau puncak bagi keperluan manusia adalah peringkat keperluan bagi penyempurnaan kendiri. Teori Maslow mendakwa bahawa seks adalah satu keperluan yang mana kekurangan seks menyebabkan seseorang individu tidak dapat melakukan tugasan lain kerana keperluan ini adalah keperluan utama yang mesti dipenuhi terlebih dahulu.

Teori Seksual Sigmund Freud

Sigmund Freud (1856- 1939) yang merupakan seorang pakar neurologi Austria berbangsa Yahudi pula berpandangan bahawa realiti psikologi bermula dengan organisme yang bertindak dan berperilaku demi untuk kelangsungan hidup (survival) dan untuk berkembang-biak. Hal ini mendorong manusia untuk memenuhi tuntutan tubuh apabila lapar, dahaga, mengelak kesakitan dan memenuhi kehendak seksual. Freud melihat bahawa perilaku manusia didorong oleh rangsangan atau naluri yang mana ia mewakili tuntutan saraf terhadap keperluan manusia. Pengalaman klinikal yang dilalui oleh Freud menyebabkan beliau beranggapan bahawa seks sebagai sesuatu yang sangat penting untuk mencapai  ketenangan “jiwa” (pysche) yang dinamik lebih dari lain-lain keperluan kerana sebagai makhluk sosial, seks adalah keperluan sosial yang sangat penting.

Ini menunjukkan bahawa orang-orang Barat yang merupakan penganut ideologi Kapitalis dan orang-orang Timur yang menganut ideologi Komunis beranggapan bahawa hubungan lelaki dan wanita dipandang sebagai bersifat seksual, semata-mata untuk mencari pemuasan. Hal ini menyebabkan mereka sengaja menciptakan fakta-fakta yang dapat dijangkau oleh pancaindera berserta pemikiran-pemikiran yang merangsang syahwat di hadapan lelaki dan wanita yang kemudiannya perlu dipuaskan kerana berdasarkan kepada dua pendapat di atas iaitu Teori Motivasi Maslow dan teori seksual Sigmund Freud, naluri seksual yang tidak dipenuhi akan membahayakan fizikal dan minda, seolah-olah manusia hanya akan dapat beraktiviti dan menjadi individu cemerlang seandainya naluri seksualnya dipenuhi. Manakala individu yang tidak dapat memenuhi naluri seksualnya akan sentiasa dirundung kegelisahan dan tidak dapat menjalani kehidupan yang produktif.
Pandangan berat sebelah yang turut menjangkiti minda sebahagian umat Islam menyebabkan seseorang manusia itu dipandang dari status perkahwinannya. Kejayaan atau kegagalan dalam hidup menurut perspektif masyarakat seolah-olah ditentukan dari status ini, walhal Islam telah menyatakan dengan jelas bahawa mulia dan hinanya manusia hanya diukur dengan taqwa. “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu” [TMQ Al Hujurat (49):13].

Pandangan Islam tentang Hubungan Jenis untuk Melanjutkan Keturunan

Islam memandang bahawa hubungan jenis antara lelaki dan wanita adalah semata-mata untuk melanjutkan keturunan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Hakim yang bermaksud: “Berkahwinlah kamu dan beranak-pinaklah kamu dengan banyaknya, sesungguhnya aku akan berbangga dengan kamu berbanding umat-umat lain pada Hari Akhirat nanti” [HR Abu Daud].

Perkahwinan merupakan suatu institusi sosial yang akan membentuk anak-anak dan zuriat keturunan dalam sesebuah kelompok keluarga. Keadaan ini seterusnya akan membentuk masyarakat dan berkembang membentuk sebuah negara sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala yang bermaksud: “Dan tiap jenis Kami ciptakan berpasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami)” [Surah Al-Zariyat (51) : 49].

Justeru, Islam menggariskan landasan yang terperinci agar perkembangan manusia di muka bumi ini berlaku dengan baik dan mengikut kaedah syariat Islam, seperti menjaga kehormatan manusia, kesucian zuriat, keturunan yang mulia dan supaya terjalin kasih-sayang yang harmoni. Contohnya kasih-mengasihi dan bertanggungjawab terhadap rumahtangga yang sama-sama mereka bina sesuai dengan saranan Al-Quran.

“Dan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya diantara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”
[TMQ Ar-Rum (30) : 21]

Memandangkan hubungan jenis antara lelaki dan wanita dalam Islam adalah semata-mata untuk melanjutkan keturunan, ini bermakna naluri untuk melanjutkan keturunan (gharizah an-nau’) bukanlah suatu perkara yang akan muncul secara automatik. Naluri ini hanya akan muncul dalam dua keadaan; i) Adanya realiti atau fakta yang boleh diindera seperti mata melihat sosok tubuh yang menggiurkan, dan ii) Pemikiran yang membayangkan hal-hal sehingga mengundang berahi dan ghairah terhadap seks.

Naluri melanjutkan keturunan ini sama seperti lain-lain naluri seperti naluri beragama yang akan dapat dirangsang dan dibangkitkan bila adanya  fakta atau realiti seperti ketika mendengar laungan azan, berada dalam  majlis ilmu, menziarahi jenazah dan sebagainya. Memandangkan gejolak berlaku hasil daripada rangsangan luaran dan bukan aktiviti dalaman organ seperti rasa lapar dan sejuk, ini bermakna bangkitnya naluri ini adalah dalam kawalan  manusia. Manusia itu sendiri yang membuat pilihan sama ada untuk merangsang atau mengekang gejolak nalurinya.

Perkara yang mesti difahami oleh umat Islam adalah tentang pandangan masyarakat tentang hubungan lelaki dan wanita. Adakah Sang Pencipta menciptakan naluri ini untuk melanjutkan keturunan, atau hanya fokus kepada pemuasan naluri seksual semata-mata? Apabila kelompok masyarakat memandang bahawa hubungan antara lelaki dan wanita diatur berdasarkan tujuan penciptaan naluri seksual iaitu melanjutkan keturunan, maka perlu dilakukan usaha untuk menjauhkan realiti, pemikiran dan khayalan-khayalan seksual daripada kedua-dua kaum Adam dan Hawa. Tujuannya adalah untuk memastikan naluri ini tidak bergejolak melainkan dalam kehidupan suami isteri atau dengan pemilikan hamba sahaya (milku  al-yamin).

Antara usaha memastikan tidak munculnya gejolak syahwat ini adalah melalui pelbagai hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Taala seperti di bawah:

i)    Perintah menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat” [TMQ An Nur (24):30],
ii)    Larangan berkhalwat. “Mana-mana lelaki tidak akan berdua-duaan (berkhalwat) dengan perempuan, melainkan pasti syaitan akan menjadi yang ketiga.” [HR At Tirmizi],
iii)    Larangan bertabarruj, berhias dan berwang-wangian di hadapan lelaki bukan mahram. “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu” [TMQ Al Ahzab (33):33] dan hadis riwayat Abu Dawud dan Tirmizi: “Wanita apabila memakai wangi-wangian kemudian berjalan melalui majlis (laki-laki) maka dia itu begini dan begini iaitu pelacur”.

Naluri bukan Keperluan Jasmani yang mesti Dipenuhi

Allah Subhanahu wa Taala  sebagai Zat Yang Maha Tinggi menjadikan manusia iaitu lelaki dan wanita dengan sebab tersendiri. “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal”[TMQ Al Hujurat(49):13]. Sungguhpun matlamat penciptaan manusia iaitu lelaki dan wanita sesuai dengan matlamat penciptaan makhluk itu sendiri iaitu untuk beribadah kepadaNya sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Az-Zariyat: 56, “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”. Akan tetapi penciptaan Allah Azza wa Jalla ini datang dengan pakej lengkap iaitu naluri-naluri (ghara’iz) dan keperluan jasmani (hajatul udhuwiyyah). Allah juga telah menetapkan perundangan dan hukum-hakam untuk mengatur naluri-naluri dan keperluan jasmani ini tadi agar tidak menyimpang dari jalan yang diredhai Sang Pencipta hingga menimbulkan kekeliruan, kekacauan dan kesengsaraan.

Keperluan jasmani seperti makan, minum, tidur dan membuang air akan memberi kesan kepada fizikal dan organ tubuh, malah, boleh menyebabkan kematian apabila tidak dipenuhi. Manakala naluri-naluri seperti naluri melanjutkan keturunan (gharizah an-nau’) yang telah disebutkan di atas dan lain-lain naluri seperti naluri beragama (gharizah at-tadayyun) dan naluri mempertahankan diri (gharizah al-baqa’) apabila tidak dipenuhi akan menyebabkan kegelisahan, kesedihan atau kemurungan,  tetapi tidak menyebabkan kerosakan organ tubuh dan membawa kematian.

Pandangan Barat seperti dakwaan Sigmund Freud bahawa pemenuhan naluri seksual adalah sangat penting terbukti salah kerana ada manusia yang tidak memenuhi naluri seksual sepanjang hayatnya. Begitu juga dengan pandangan Abraham Maslow yang mengatakan seolah-olah keperluan seks mesti dipenuhi sebelum seseorang mampu melakukan tugasan lain Ini ternyata tidak benar kerana masih ramai yang mampu melakukan tugasan dengan baik walaupun naluri ini tidak dipenuhi, tetapi dialihkan kepada perkara lain.

Khatimah

Sesungguhnya sangat jelas pandangan Islam tentang hubungan lelaki dan wanita dengan menjelaskan bahawa pemuasan naluri untuk melanjutkan keturunan (gharizah an-nau’) adalah melalui pernikahan atau pemilikan hamba sahaya sahaja. Sekiranya bukan dengan jalan yang dihalalkan syarak ini, maka segala usaha akan dilakukan untuk mengalihkan realiti dan pemikiran-pemikiran yang membawa kepada gejolak asmara. Hanya dengan Islamlah kerosakan dan gejala sosial yang melanda masyarakat dapat diselesaikan dan akhirnya, pemuasan naluri melanjutkan keturunan menurut syarak ini tadi akan melahirkan manfaat, kedamaian dan ketenangan di tengah-tengah masyarakat. Wallauhu ‘alam bisshawab.


Hukuman penjara selama 86 tahun yang dijatuhkan keatas Aafia Siddiqui oleh Mahkamah Manhattan bukan satu perkara yang mengejutkan. Ketua bagi “dunia bertamadun” iaitu Amerika Syarikat yang bersama–sama dengan konconya, Pakistan, telah menunjukkan satu ketidakadilan yang keterlaluan. Pastinya hukuman ini bukanlah sesuatu yang amat memeranjatkan kerana ia adalah satu perbicaraan dusta yang menunjukkan segala kecacatan dalam  “Perang keatas Keganasan”.

Penyeksaan dan pemerkosaan sistematik keatas banduan–banduan di Pangkalan udara Bagram, Teluk Guantanamo dan Abu Gharib, bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sistem Kapitalisme sememangnya mempunyai nilai moral yang buruk malah sanggup berbuat apa saja cara yang ekstrim untuk mengekalkan cengkamannya. Perkara yang serupa juga boleh diperkatakan tentang sistem buatan manusia yang lain seperti Komunisme Rusia yang terkenal dengan pelbagai taktik kejam terhadap musuh-musuh politik dan ideologinya.  Sama seperti masyarakat Quraisy jahiliah melepaskan kemarahan mereka keatas para sahabat yang sentiasa menegakkan dan meninggikan agama Allah Subhanahu Wa Taala. Ungkapan ‘Ahad! Ahad! sentiasa bermain dibibir Bilal bin Rabah apabila batu besar diletakkan kedadanya. Begitu juga ketika Ammar bin Yassir disebat sehingga darah mengalir dari tubuhnya. Melihat akan kekejaman ini, Rasulullah Sallalahu Alaihi Wa Sallam hanya mampu menangis sambil memberi kata-kata semangat menambah keimanan.

“Wahai keluarga Yasir, bersabarlah, Jannah (syurga) menantimu disana.”

Oleh yang demikian, kita tidak harus melihat segala kesengsaraan yang dialami oleh umat ini ditangan kufar tidak ada persamaan langsung dengan perbuatan yang dilakukan oleh pemimpin Quraisy berabad lalu kerana, sepertimana pemimpin-pemimpin Quraisy ini, pemimpin-pemimpin hari ini juga tidak berupaya untuk menghalang kebangkitan Islam lalu menggunakan pelbagai kekejaman untuk menghalangnya.

Aafia Siddiqui (Semoga Allah memberi kesabaran kepadanya), bukanlah muslimah yang pertama menderita kerana muslimah yang pertama syahid dalam Islam adalah Sumayyah binti Khabbab yang diikat dilantai dan disula oleh Abu Jahal kerana mempertahankan kebenaran bahawa Allah Subhanahu Wa Taala itu satu dan Muhammad Sallalahu Alaihi Wa Sallam itu pesuruhNya.

Oleh itu, kita haruslah melihat bahawa perbicaraan palsu keatas saudara kita Aafia sebagai sebahagian dari usaha global untuk menentang agama Allah. Satu usaha untuk memadamkan cahaya Islam dari dunia. Tidak sukar bagi kita untuk memberikan contoh bagaimana pemimpin-pemimpin diktator di dunia Islam didalangi oleh Barat; pendudukan Palestin dibiarkan terus berlaku, penyelewengan kekayaan ummah sengaja tidak dipedulikan dan penyeksaan ngeri  yang bertopengkan satu persembahan yang hebat. Sebagai Muslim, kita mengetahui realiti sebenarnya, tetapi, malangnya ramai lelaki, wanita dan kanak-kanak yang merintih kesengsaraan di dalam tahanan-tahanan pemimpin-pemimpin yang kejam kerana tiada yang melindungi mereka dan Aafia Siddiqui juga merasai penderitaan akibat kesan buruk apabila tidak ada sebarang perlindungan baginya.

Rentetan peristiwa yang membawa kepada pemenjaraan Aafia.

Pada bulan Mac 2003, Aafia telah ditangkap oleh agen-agen perisikan Pakistan dibawah arahan pembelot Pervez Musharaf dan dipindahkan ke Pangkalan Udara Bagram di Afghanistan dimana beliau menerima “layanan baik” Amerika termasuk penderaan fizikal, penyeksaan dan pemerkosaan yang ditanggungnya selama bertahun-tahun. Pada ketika inilah dia telah diberi jolokan ‘Grey Lady of Bagram’ lantaran jeritan serta ratap tangisnya kedengaran disepanjang malam akibat seksaan dan perkosaan yang dideritainya.

Pemenjaraannya telah dinafikan oleh agensi-agensi Pakistan dan Amerika sehinggalah laporan-laporan media menghebahkan kesnya, dimana dia diperlihatkan seperti terlibat dengan keganasan, malah direka cerita yang menyatakan beliau telah merampas sepucuk senapang dan cuba menembak anggota tentera Amerika.

Pada tanggal 7 Ogos 2008, sebuah artikel  dari The News telah mendedahkan “layanan”  yang diterimanya  ketika dalam tahanan Amerika.

-    Satu dari ginjalnya telah dibuang;
-    Giginya dicabut secara paksaan;
-    Hidungnya dipatahkan dan tidak diperbetulkan dengan baik.
-    Yang terkini adalah luka tembakannya tidak dirawat dengan baik hingga menyebabkan pakaiannya dibasahi darah.

Pada 11 Ogos 2008, Reuters  melaporkan bahawa beliau menghadiri perbicaraannya dengan menggunakan sebuah kerusi roda dan peguam-peguam beliau telah merayu kepada hakim supaya memastikan beliau mendapat rawatan perubatan yang sewajarnya. Elizabeth Fink, salah seorang dari peguamnya telah memberitahu hakim bahawa:

“Beliau telah berada di sini selama seminggu dan tidak mendapat rawatan doktor, walaupun  pihak berkuasa Amerika mengetahui yang beliau telah ditembak.”

Sesiapa yang mempunyai keimanan didada pasti akan merasa sebak membaca berita-berita yang sedemikian. Malangnya airmata tidak akan dapat membantu saudara kita Aafia. Bagi memahami perkara ini, kita perlu mengimbau sejarah lampau dimana seorang wanita Muslim telah ditawan oleh tentera Rom disatu tempat yang bernama Amuriyyah. Bukan hanya menawan wanita tersebut, malah mereka cuba memperkosanya. Bersendirian dan ketakutan wanita tersebut menyeru Khalifah, “Ya Mu’tasim, Oh Mu’tasim.”  Seorang lelaki melihat kejadian tersebut dan bersegera  menemui Khalifah untuk memaklumkan kejadian tersebut. Sebaik sahaja mendengar kesusahan wanita tersebut, khalifah berkata. “ Labbaik [ Aku mendengar panggilan kamu].”  Beliau dikatakan sedang minum secawan air ketika itu dan apabila mendengar sahaja berita yang wanita tersebut menyeru namanya, beliau lantas meletakkan cawan dan memerintahkan seangkatan bala tentera untuk menyerang balas perbuatan tentera-tentera Rom tersebut.

Satu lagi contoh pemimpin yang kompeten adalah respon Hajjaj ibn Yusuf Ath Thaqafi terhadap rintihan lelaki, wanita dan kanak-kanak yang telah ditawan oleh lanun ketika sebuah kapal dagang Muslim sedang belayar pulang di pesisiran pantai India.  Mereka telah dibawa kedaratan disatu tempat bernama Sindh dan dipenjarakan. Hajjaj adalah gabenor Umayyah di Iraq dan apabila berita kejadian tersebut diterimanya, beliau terus mengutus surat kepada Raja Dahir (pemerintah kawasan tersebut) menuntut  supaya kesemua tawanan dibebaskan dan para lanun dihukum, tetapi Dahir menolak permintaan tersebut. Penolakan itu telah membawa kepada peperangan kerana ia adalah tanggungjawab khilafah untuk melindungi warganya. Hajjaj telah menghantar 7,000 pasukan askar berkuda yang berpengalaman dibawah pimpinan salah seorang Jeneral Perang, Muhamad bin Qasim, seorang pemuda yang berusia 17 tahun. Walaupun Hajjaj terkenal dengan seorang pemerintah yang zalim, beliau masih merasakan bahawa menguruskan pasukan perang bagi membebaskan tawanan adalah satu kewajipan. Amat menghairankan melihat bagaimana pemimpin–pemimpin Muslim seperti dipijak-pijak, membisu seribu bahasa, tanpa sepatah kutukan atau ancaman terhadap layanan buruk saudara kita Aafia. 

Kita hendaklah berdoa kepada Allah  Subhanahu Wa Taala agar Dia membangkitkan umat yang mulia ini sekali lagi dengan menjadikan seseorang antara kita membawa panji-panji kekhilafahan  dan melindungi yang teraniaya dan tertindas antara kita. Amin.

“Imam itu adalah perisai, dibelakangnya mereka berjuang dan kepadanya mereka meminta perlindungan.” [Sahih Al Bukhari, Vol. 4, Buku 4, Nombor 204]