Fikratul Ummah – Oktober 2008

Dari Lidah Pengarang
Syawal Yang Dinanti Syawal Yang Hakiki
Eidul Fitri, Tabarruj dan Ikhtilath
Penyatuan Tanpa Kesatuan?
 
 

Dari Lidah pengarang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Alhamdulillah kita masih lagi menyambut Syawal yang mana kehadirannya masih dirasakan dengan sambutan rumah-rumah terbuka di sana-sini. Adalah diharapkan agar kemeriahannya tidak sama sekali melalaikan kita dari kewajipan melaksanakan dakwah dan amar makruf nahi mungkar dengan mengambil kesempatan mengadakan perbincangan dan tazkirah sambil menjamu selera dengan ketupat, rendang, lemang serta kuih-muih aneka rasa. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan melainkan untuk menerangkan tentang isu-isu penting berkaitan dengan Syawal.

Fikratul Ummah kali ini mengemukakan dua tajuk dan satu artikel terjemahan berkenaan realiti umat Islam yang masih lagi menyambut Syawal tidak pada tarikh yang sama walaupun hakikatnya bulan hanya satu. Secara umumnya, tajuk-tajuk yang diutarakan adalah untuk memberi kefahaman tentang makna Syawal sebenar dan bukannya sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan umat Islam yang melihat Islam lebih kepada aspek ibadah ritual semata-mata. Selain itu, isu tabarruj dan ikhtilath juga sangat penting untuk difahami dan dijauhi oleh Muslimah yang mana ianya berleluasa di bulan syawal ini apabila muda-mudi bersama-sama ke majlis tanpa ditemani mahram.

Semoga kita akan dapat menghayati dengan lebih mendalam bahawasanya pemahaman akan makna takbir yang dilaungkan sewaktu kedatangan Syawal akan menghalang seorang Islam itu dari menjadi takbur seperti mengamalkan Sekularisme dengan menolak peranan Allah dalam pengaturan urusan keduniaan dan hanya menumpukan pada ibadah ritual semata-mata. Wallahu’alam bisshawab.



Syawal Yang Dinanti Syawal Yang Hakiki

Hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam yang diriwayatkan daripada Saad bin Aus Al-Ansari daripada ayahnya Radhiallahu anhu, Baginda bersabda yang maksudnya:
Apabila tiba Hari Raya Fitrah, berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru, pergilah wahai kaum Muslimin menghadap Tuhan yang pemurah yang memberikan kebajikan dan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan Qiamullail maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati Tuhan kamu maka kamu terimalah balasan kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru: ketahuilah bahawasanya Tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari Aljaizah (hari mendapat ganjaran)”.

Alhamdulillah, kita telah berjaya melepasi bulan Ramadhan dengan melakukan pelbagai amalan sunat disamping melaksanakan ibadah yang fardu dan berusaha untuk memperbaiki diri kita menjadi semakin baik dari hari ke hari. Tapi pada masa yang sama kita patut bersedih kerana pada bulan itu sajalah Allah memberi peluang digandakan ganjaran atas amalan kita dan diikat segala syaitan supaya tidak mengganggu manusia melakukan amalan pada bulan Ramadhan yang mulia itu. Tetapi Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Diberi peluang kepada manusia untuk meraikan kemenangan pada bulan yang seterusnya iaitu Syawal, yang mana pada hari pertamanya diharamkan untuk kita berpuasa dan seterusnya meraikan kemenangan. Akan tetapi, kemenangan apakah yang diraikan oleh kita? Pelbagai pendapat manusia yang dapat kita saksikan kenapa mereka meraikan hari raya Aidil Fitri ini. Tanpa perlu melihat dari aspek global, mari kita lihat senario yang terdapat di Malaysia.

Ramai dari kalangan kita maklum kenapa kita meraikan Aidil Fitri ini. Kebanyakkan jawaban dari rakyat Malaysia tentulah untuk meraikan kemenangan selama sebulan setelah penat berpuasa sepanjang Ramadhan. Bagi suri rumah peluang ini diambil untuk menukar alatan di rumah kepada yang serba baru. Bagi kanak-kanak inilah masa untuk mengumpul duit raya dan bagi yang bujang pula berpeluang mencari pasangan sambil memperagakan pakaian cantik dengan fesyen terkini. Selama sebulan Syawal itu juga setiap orang mengambil peluang mengadakan rumah terbuka, menjemput sahabat handai, rakan taulan, sanak saudara dan menggunakan peluang tersebut mengeratkan ukhwah dan mengenali rakan dengan lebih rapat. Kalau bernasib baik setiap hujung minggu selama sebulan Syawal anda tidak perlu memasak kerana mendapat jemputan rumah terbuka. Inilah antara pendapat kebanyakan rakyat Malaysia mengenai Hari Raya, tetapi ada juga yang mengambil peluang ini untuk memohon kemaafan, pulang ke kampung halaman untuk menziarahi keluarga yang telah lama ditinggalkan kerana mencari rezeki nun jauh diperantauan. Tidak hairanlah lagu dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad “….dalam dingin subuh, hatiku terusik, kenang nasib diri dirantauan, bergema takbir raya, menitis air mata, terbayang suasana permai desa….”  begitu menyentuh hati bagi yang tidak berpeluang berhari raya bersama keluarga di kampung halaman. Oleh yang demikian apabila tiba hari raya, lagu-lagu raya yang malar segar atau `evergreen’ pasti mengusik kenangan dan mengundang nostalgia hari raya di zaman kanak-kanak.

Kembali kepada Fitrah

Aidil Fitri sering diterjemahkan sebagai ‘kembali kepada fitrah’. Secara bahasa, fitrah berarti al-khilqah (naluri, pembawaan) dan ath-thabî‘ah (tabiat, karakter) yang diciptakan Allah Subhanahu Wa Taala pada manusia. [Jamaluddin al-Jauzi, Zâd al-Masîr, VI/151; az-Zamakhsyari, al-Kasysyâf, III/463].
Dari segi bahasa Aidil Fitri diterjemahkan sebagai ‘kembali kepada naluri/pembawaan yang asli’. Di antara naluri/pembawaan manusia yang asli adalah adanya naluri beragama (gharîzah at-tadayyun) dalam dirinya. Dengan naluri ini, setiap manusia pasti merasakan dirinya serba lemah, serba kurang dan serba tidak berdaya sehingga ia memerlukan Zat Yang Maha Agung, yang berhak untuk disembah dan diminta pertolongan. Oleh yang demikian, secara fitrah, manusia akan sentiasa memerlukan agama yang membawa dirinya melakukan penyembahan (`ibâdah) terhadap Tuhannya dengan benar. Itulah Islam sebagai satu-satunya agama dari Allah, Tuhan yang sebenarnya. Sebagai hasilnya, sesuai dengan fitrahnya pula, manusia sejati senantiasa mendudukkan dirinya sebagai hamba di hadapan Tuhannya, Allah Subhanahu Wa Taala, Sang Pencipta manusia.
Dengan demikian, kita dapat menyimpulkan bahwa kembali ke fitrah adalah kembalinya manusia ke jati dirinya yang asli sebagai seorang hamba di hadapan Allah sebagai Tuhannya. Menurut Imam Ja’far ash-Shadiq, seorang Muslim yang mendakwa sebagai hamba Allah mesti menyedari bahwa: (1) apa yang ada pada dirinya bukanlah miliknya, tetapi milik Allah; (2) tunduk, patuh dan tidak pernah membantah setiap perintah Allah; (3) tidak membuat aturan sendiri kecuali aturan yang telah Allah tetapkan untuk dirinya. Oleh kerana itu, makna Aidil Fitri (kembali pada fitrah) adalah kembali mengembangkan potensi manusia untuk sentiasa bersedia menerima kebenaran. Kebenaran itu tidak lain adalah Islam. Kembali kepada fitrah sama dengan kembali pada akidah dan syariat Islam. Dengan kembali kepada fitrah, manusia akan selamat dari segala dosa dan azab Allah Azza wa Jalla.
Oleh yang demikian sudah sepatutnya umat Islam yang merayakan Aidil Fitri ini membuang jauh-jauh idea Sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan). Mengapa? Ini adalah kerana, Sekularisme itu menjauhkan diri manusia dari kedudukannya sebagai seorang hamba Allah. Bahkan Sekularisme itu menempatkan manusia sejajar dengan Tuhan. Sekularisme pada dasarnya adalah akidah yang hanya mengakui Tuhan dari segi kewujudan-Nya saja, tetapi tidak mengakui kekuasaan-Nya untuk mengatur manusia. Dengan kata lain, Sekularisme hanya mengakui dan mengiktiraf adanya agama, tetapi menolak kekuasaan agama untuk mengatur kehidupan. Dalam pandangan Sekularisme, hak mengatur manusia atau hak membuat aturan bagi kehidupan manusia adalah hak mutlak manusia itu sendiri, bukan pada Tuhan atau agama. Hak ini kemudian mereka wujudkan dalam demokrasi, yang menempatkan kedaulatan manusia (kedaulatan rakyat) di atas kedaulatan Tuhan. Dari sini lahirlah ideologi Kapitalisme yang mengandungi aturan yang khas, yang mengatur seluruh aspek kehidupan manusia. Pada masa sekarang Kapitalisme-lah yang diterap dan dilaksanakan di tengah-tengah kehidupan umat Islam saat ini dan bukannya Islam.
Sungguhpun fakta membuktikan bahawa peraturan–peraturan serta perundangan buatan manusia – yang terbit berdasarkan pada kecenderungan dan hawa nafsu mereka – telah melahirkan banyak unsur-unsur negatif, kerosakan dan kekacauan. Itulah yang terjadi pada masa kini kerana hak membuat peraturan dan hukum diberikan kepada manusia (rakyat) melalui mekanisme demokrasi. Allah  berfirman yang bermaksud: ”Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki. Siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maidah [5]: 50].
Oleh sebab itu, perayaan Aidil Fitri yang bermaksud kembali kepada fitrah itu sepatutnya dijadikan momentum untuk membuang Sekularisme, yang sememangnya telah menjauhkan manusia dari fitrahnya yang hakiki sebagai hamba Allah.

Hari Kemenangan

Kita sering mendengar dan memperkatakan bahawa Aidil Fitri merupakan Hari Kemenangan kepada mereka yang berpuasa. Benar, kita tidak menafikan kenyataan ini dilihat dari konteks pencapaian setelah berpuasa itu sendiri. Persoalannya, apakah umat Islam itu telah meraih kemenangan sebagaimana yang dimaksudkan itu? Apakah umat Islam itu benar-benar telah mencapai kemenangan sebagaimana kemenangan yang telah dicapai oleh Rasulullah dan para sahabat?

Rasulullah dan para sahabat serta generasi gemilang sesudahnya sering mencatat prestasi gemilang pada bulan Ramadhan. Beberapa peperangan yang dimenangi kaum Muslim seperti Perang Badar, Fath Makkah (Pembukaan Mekah) atau Pembebasan Andalusia terjadi pada bulan Ramadhan. Kemenangan Perang Badar telah memperkuatkan kedudukan kaum Muslim di dunia antarabangsa pada ketika itu, terutamanya di Jazirah Arab; bahawa negara baru yang dibangunkan oleh kaum Muslim iaitu Daulah Islam, adalah negara kuat yang tidak boleh diperlekehkan. Keadaan ini tentu memberikan rasa aman kepada seluruh warga negara Daulah Islam. Bandingkan dengan keadaan umat Islam pada masa sekarang. Negeri-negeri Islam terpecah-belah menjadi beberapa negara kecil yang lemah. Senario ini memberi peluang kepada musuh-musuh Allah dengan mudah dan  sombong membantai dan membunuh kaum Muslim serta mengeksploitasi kekayaan alamnya dengan rakus tanpa ada perlindungan sama sekali.
Perang Badar juga secara internal telah membuat pihak-pihak di dalam negeri Daulah Islam iaitu orang-orang Yahudi, musyrik dan munafik takut untuk melakukan apa-apa tindakan terhadap Daulah Islam. Bandingkan dengan kewujudan orang-orang Kafir dan tali barut Barat pada masa kini di Dunia Islam. Mereka melakukan kejahatan dan kekejaman dengan sesuka hati. Di negeri-negeri umat Islam, orang-orang Kafir yang mendapat sokongan dari para penguasa yang menjadi tali barut Kuffar-Barat membuat pelbagai keputusan  yang merugikan rakyat tanpa batasan.

Futûhât juga telah memberikan kebaikan yang luar biasa bagi umat manusia. Melalui futûhât ini dakwah Islam diterima dengan mudah oleh manusia dan juga telah menjadi jalan untuk menerapkan syariat Islam di seluruh pelusuk dunia. Melalui penerapan syariat Islam inilah seluruh warga negara Daulah Islam, sama ada Muslim mahupun bukan Muslim mengecapi kebahagiaan, kesejahteraan dan keamanan. Peradaban Islam kemudiannya muncul sebagai peradaban unggul. Inilah kemenangan hakiki umat Islam sebagaimana yang telah ditunjuk dan diperintahkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Sudah pasti ia bukan sekadar kemenangan  dalam menunaikan ibadat puasa semata-mata.

Sehubungan dengan itu, periksalah dengan hati yang ikhlas: adakah takbir kita di pagi Aidil Fitri sebagaimana takbir Rasulullah? Ada sebahagian dari kita bertakbir dengan linangan air mata. Tetapi kerana apa? Sebahagiannya kerana mengingati kampung halaman, sedih kerana tidak dapat beraya di kampung. Sebahagian lagi sedih kerana mengingatkan sanak saudara yang telah pergi menemui Illahi. Sebahagian yang lain menangis kerana irama takbir yang sayu dan menyentuh perasaan. Inilah di antara kesedihan sebahagian dari umat Islam. Kita sepatutnya turut bersedih menyaksikan ‘kesedihan’ ini kerana kita mengharapkan air mata yang bercucuran adalah kerana mereka benar-benar memahami kalimah takbir, menyedari hakikat perpecahan umat Islam, menyedari bahawa kehinaan yang Allah timpakan kepada kaum Muslimin sekarang adalah natijah dari tidak diterapkannya hukum-hukum Allah. Kita mengharapkan air mata berlinangan tatkala takbir dikumandangkan kerana umat Islam menginsafi dosa-dosa mereka sendiri yang tidak berusaha untuk menegakkan agama Allah. Kita mengharapkan air mata bercucuran kerana umat Islam benar-benar memahami kalimah takbir – mereka sedar bahawa laungan takbir ini berkumandang di dalam keadaan umat Islam hari ini ‘mencapai’ kekalahan demi kekalahan, kelemahan demi kelemahan, kehinaan demi kehinaan. Kita mengharapkan mereka bersedih kerana kemenangan hakiki yang belum lagi dicapai. Kita inginkan air mata mengalir kerana bersedih mengumandangkan takbir  dalam kekalahan, bukan kemenangan. Sebagai Muslimah, wajarkah kita menganggap kemenangan telah ada dalam genggaman sedangkan pada hakikatnya, ramai wanita Muslimah yang dengan sengaja menzahirkan kemaksiatan iaitu pelanggaran hukum seperti gagal menutup aurat menurut hukum syarak yang dapat kita saksikan di bulan Syawal ini. Fakta ini belum mengambil kira kewajipan lain yang difardukan kepada Muslimat yang tidak dipedulikan oleh sebahagian Muslimah seperti kewajipan berdakwah dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar!

Wahai Muslimat yang dimuliakan!
Sedarlah bahawa kita bertakbir untuk membesar dan mengagungkan Allah Subhanahu Wa Taala. Malangnya, sebahagian dari umat Islam bertakbir dengan penuh perasaan di dalam masjid, tetapi apabila di luar masjid mereka takbur kepada Allah. Mereka berhukum dengan hukum selain Allah. Mereka mengambil sistem selain dari sistem Allah. Mereka berjuang dan mempertahankan sistem demokrasi ciptaan puak Kuffar. Mereka memperjuangkan Sekularisme, liberalisme, assabiyyah, wathaniyyah dan sebagainya. Mereka mengagungkan kekayaan, kekuasaan, dan kedudukan dengan meninggalkan syariat Allah. Mereka membesarkan hawa nafsu dan kepentingan peribadi. Mereka mementingkan kehidupan dunia yang rendah berbanding akhirat. Mereka memikirkan dunia dan takut akan kehilangan kenikmatan dunia yang sedikit dan lupa akan nikmat akhirat yang tidak terbatas. Kerana semua ini, mereka memilih untuk hidup selesa di dunia dan tidak memperdulikan perjuangan untuk menegakkan agama Allah. Islam diambil sebagai agama untuk kepentingan peribadi, bukan agama untuk  diperjuangkan. Malah lebih buruk, sebahagian dari mereka memandang serong golongan yang berjuang untuk mengembalikan syariat Islam. Inilah sebahagian sikap umat Islam yang takbur walaupun mereka melaungkan takbir kepada Allah. 

Sesungguhnya kita sebagai umat Islam yang menikmati pelbagai kenikmatan dan kesenangan terutama sekali di bumi Malaysia ini, wajib memanjatkan kesyukuran terutama sekali apabila menjelangnya Syawal. Kita dikurniakan Allah dengan limpahan pelbagai jenis makanan, aneka jenis kuih muih dan pakaian cantik serba baru. Adakah kita masih lagi mencari alasan untuk tidak melakukan kewajipan utama kita sebagai hamba Allah di dunia ini. Walaupun tanggungjawab asas Muslimah adalah ibu dan pengatur rumahtangga, kewajipan memastikan agama Allah terpelihara dan segala hukum-hakam-Nya dilaksanakan turut dibebankan atas bahu wanita. Adakah begitu sukar untuk memulakan langkah ke arah itu? Hayatilah firman Allah ini: “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya”.[TMQ. al-A’raf (7): 96]
 



Eidul Fitri, Tabarruj dan Ikhtilath

Setelah sebulan berpuasa inilah saat yang ditunggu oleh umat Islam di seluruh dunia iaitu kedatangan bulan Syawal. Inilah bulan dimana umat Islam menjadikannya sebagai bulan kemenangan setelah berjaya mengharungi kewajipan di bulan Ramadhan dengan jayanya. Bulan ini juga dijadikan momentum untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan kembali silaturrahim. Setelah setahun tidak berjumpa inilah masanya untuk bersama-sama keluarga. Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan: gembira ketika hari berbuka (Aidilfitri) dan gembira ketika bertemu Tuhanmu.”
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam mengajarkan beberapa hal berikut dalam menyambut Aidil Fitri :
Pertama: Disunatkan mandi dan mengenakan pakaian yang terbaik dari yang dimiliki. Khusus kepada kaum lelaki, mereka disunatkan memakai wangi-wangian. Sedangkan bagi wanita, memakai wangi-wangian atau berhias di luar rumah diharamkan kerana akan menimbulkan fitnah. Hasan Ash-Shibit berkata: “Rasulullah memerintahkan kami agar pada hari ‘eidain (Aidil Fitri dan Aidil Adha) mengenakan pakaian yang terbaik, memakai wangian yang terbaik, dan melaksanakan ibadah kurban (pada Aidil Adha) dengan haiwan yang paling berharga“[HR Al-Hakim]. Ibnul Qayyim mengatakan, pada kedua hari raya itu, Rasulullah biasa mengenakan pakaian yang terbaik bahkan beliau menyediakan satu pakaian khusus untuk hari raya dan solat Jumaat.

Kedua: Disunatkan makan dahulu sebelum berangkat ke tempat solat. Berkata Anas bin Malik,”Sesungguhnya Rasulullah tidak berangkat (ke tempat solat) pada hari Aidil Fitri sebelum makan beberapa butir kurma dengan jumlah yang ganjil“[HR Ahmad dan Bukhari].

Ketiga:. Disunatkan seluruh kaum Muslimin berserta keluarganya untuk hadir di tempat solat. Khusus bagi wanita yang sedang haid, dia tidak ikut mengerjakan solat, hanya hadir sahaja. Ummu ‘Athiyyah menjelaskan, “Kami diperintahkan untuk mengeluarkan semua gadis yang dipingit dan termasuk wanita yang haid pada kedua hari raya agar mereka dapat menyaksikan kebaikan hari itu dan mendapatkan doa dari kaum muslimin. Hanya saja wanita-wanita yang haid meninggalkan tempat solat (di saat orang lain solat)” [Muttafaq ‘alaih]

Keempat:. Ketika bertemu sesama Muslim dianjurkan untuk saling mendoakan. Doa yang sering diucapkan oleh para sahabat Radhiyallahu anhum adalah: Taqabballahu minna wa minkum (Semoga Allah menerima (ibadah) dari kami dan dari anda).

Walaubagaimanapun, di bulan yang mulia ini, seringkali yang kita saksikan ialah majlis sambutan Aidil Fitri menjadi medan umat Islam khususnya muda-mudi melakukan kemaksiatan iaitu apabila berlaku ikhtilath yang sering dirujuk sebagai ‘menjalin silaturrahim’ sesama Muslim. Selain itu, ada kalangan wanita Islam yang turut juga melakukan satu lagi keharaman di bulan Syawal ini ketika berkunjung menziarahi sahabat-handai dan saudara-mara iaitu bertabarruj. Kita menyedari bahawa dalam dunia serba canggih kini, fitnah boleh datang dalam pelbagai bentuk dan jenis dan tidak semestinya bermula dan berakhir dengan lisan seseorang. Terlalu banyak alat dan makhluk yang boleh memulakan fitnah. Cuma menunggu masa yang sesuai. Maka untuk bebas dari fitnah, kita mesti menjauhkan diri dari zina dan mukadimahnya yang mana antaranya ialah tabarruj dan ikhtilath yang menyalahi syarak. Dua permasalahan yang melibatkan kaum wanita. Rasulullah telah mengisyaratkan masalah ini sebagaimana maksud hadis: “Aku tidak tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi lelaki selain (fitnah) wanita.” [H.R. Bukhari dan Muslim]. Mengapakah wanita dianggap sebagai sumber fitnah? Sebenarnya, ia tidak mudah berlaku jika seorang wanita masih memelihara sebahagian dari hartanya  yang paling berharga iaitu rasa malu dan harga diri. Sebaliknya jika wanita melepaskan pakaian malunya dan tidak lagi menjaga harga diri serta kewanitaannya, natijah buruknya akan menimpa keluarga dan masyarakat. Jika wanita tidak lagi mengenakan khimar (tudung) dan jilbab sebagaimana yang telah ditentukan Islam, ditambah dengan pelanggaran batas hubungan antara laki-laki dan wanita, maka kerosakan akan terjadi. Hal ini kerana syahwat manusia adalah sesuatu yang berbahaya jika tidak dikendalikan sesuai dengan syarak. Imam Muslim meriwayatkan dari Jabir bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Wanita itu dari depan nampak seperti bentuk syaitan dan dari belakang nampak seperti bentuk syaitan. Kalau salah seorang di antara kalian melihat wanita hendaklah mendatangi isterinya kerana hal itu akan meredakan apa yang di dalam dirinya.” Justeru, untuk mengelakkan diri terjebak dalam dua jenis kemaksiatan ini, amat penting memahami apakah tabarruj dan ikhtilath yang haram.

Definisi Tabarruj

Menurut bahasa, tabarruj adalah wanita yang mempamerkan keindahan dan perhiasannya kepada lelaki [Ibnu Manzhur dalam Lisanul Arab]. Tabarrajatil mar’ah ertinya wanita yang menampakkan kecantikannya, lehernya dan wajahnya. Ada yang mengatakan, maksudnya adalah wanita yang menampakkan perhiasannya, wajahnya, kecantikannya kepada lelaki dengan niat untuk membangkitkan nafsu syahwatnya.

Menurut syarak, tabarruj adalah setiap perhiasan atau kecantikan yang ditujukan wanita kepada mata-mata lelaki bukan mahram termasuk wanita berpurdah yang membungkus wajahnya dengan warna-warnanya mencolok (terang atau ‘striking’) dan dilakukan agar dinikmati orang lain. Ini termasuk tabarruj jahiliyah terdahulu seperti yang diterangkan oleh ayat “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.” [TMQ Al-Ahzab: 33]

Allah melarang para wanita bertabarruj dengan memerintahkan mereka menetap di rumah tetapi apabila ada keperluan yang memerlukan mereka keluar rumah, dia tidak boleh keluar dengan mempertontonkan keindahan dan kecantikannya kepada lelaki asing yang bukan mahramnya. Walaupun lumrah di Hari Raya umat Islam mahu kelihatan cantik dan bergaya dengan fesyen terkini terutamanya di depan lawan jenis, kepada kaum wanita  Allah juga melarang mereka bertabarruj seperti yang dicontohkan oleh Qatadah yang berkata, “Wanita dahulu kalau berjalan berlenggak-lenggok genit. Allah melarang hal ini.” Muqatil bin Hayyan berkata, “Maksud tabarruj adalah wanita yang menanggalkan tudungnya lalu nampaklah kalung dan lehernya. Inilah tabarruj terdahulu di mana Allah melarang wanita-wanita beriman untuk melakukannya”. Ibnu Abu Najih meriwayatkan dari Mujahid, “Janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu”. Dia (Mujahid) berkata, “Wanita dahulu berjalan-jalan di hadapan kaum (lelaki). Itulah tabarruj Jahiliyah.”

Al-Qur’an memberikan perintah kepada wanita tatacara untuk mereka berkelakuan, bersuara dan bergaul dengan lawan jenisnya. Allah berfirman “Hai isteri-isteri nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.” [Surah Al-Ahzab: 32]

Definisi Ikhtilath

Ikthtilath adalah percampuran antara laki-laki dan wanita. Ikhtilath adalah lawan dari infishal (terpisah). Pada dasarnya, Islam telah mewajibkan pemisahan antara wanita dan laki-laki. Pemisahan ini berlaku umum dalam semua keadaan sama ada dalam kehidupan umum mahupun khusus, kecuali ada dalil-dalil yang mengkhususkannya. Pada dasarnya, ikhtilath itu dibenarkan dalam aktiviti-aktiviti yang dibolehkan oleh syarak terutamanya aktiviti yang di dalamnya memerlukan adanya interaksi atau pertemuan lelaki dan wanita seperti dalam aktiviti jual beli atau ibadah haji [Taqiyuddin an-Nabhani, an-Nidzam al-Ijtimaa’iy fi al-Islaam]. Sebelum membahas tentang ikhtilath, kita mesti memahami terlebih dahulu kaedah-kaedah interaksi (ijtima’) antara lelaki dengan wanita yang mana kaedah interaksi keduanya dapat dihuraikan seperti berikut:
   
Pertama: Jika suatu aktiviti memang memerlukan adanya interaksi antara pemuda dan wanita, maka dalam hal seperti ini, seorang lelaki dan wanita dibolehkan melakukan interaksi, namun hanya terbatas pada kepentingan itu sahaja seperti aktiviti jual-beli. Interaksi antara kedua lawan jenis hanya sebatas urusan yang menyempurnakan tujuan interaksi itu. Hal lain yang mesti diperhatikan adalah, meskipun seorang wanita dibolehkan berinteraksi dengan lelaki dalam aktiviti-aktiviti seperti itu, akan tetapi dia tetap wajib memperhatikan hal-hal yang berhubungan dengan infishal (pemisahan). Misalnya, tatkala seseorang wanita hendak membeli barang keperluan menyambut Syawal dari seorang lelaki, maka dia tetap wajib memperhatikan jarak antara dirinya dan penjual. Dia tidak boleh terlalu dekat dalam keadaan seperti menghimpit lelaki tersebut ketika hendak membeli barangnya.

Kedua: Jika suatu aktiviti sama sekali tidak memerlukan adanya interaksi antara keduanya, maka seorang lelaki dan perempuan tidak dibenarkan melakukan interaksi atau pertemuan dalam aktiviti tersebut. Contohnya bertemasya, berjalan ke sekolah, kedai atau masjid. Seorang lelaki diharamkan berjalan bersama-sama dengan wanita bukan mahramnya dan melakukan interaksi sepanjang perjalanan tersebut sebab interaksi dalam hal-hal seperti ini tidak dibenarkan dan bukan merupakan pengecualian yang dibolehkan oleh syarak. Maka, ketika berziarah di Hari Raya, haram bagi wanita dan lelaki bukan mahram berjalan atau menaiki kenderaan peribadi tanpa ditemani mahram.

Dalam kitab an-Nidzam al-Ijtimaa’iy, Sheikh Taqiyuddin an-Nabhani menyatakan bahawa “Oleh kerana itu, keterpisahan antara laki-laki dan wanita dalam kehidupan Islam adalah fardu. Keterpisahan laki-laki dan wanita dalam kehidupan khusus wajib dilakukan secara sempurna, kecuali yang diperbolehkan oleh syarak. Sedangkan dalam kehidupan umum, pada dasarnya hukum asal antara laki-laki dan wanita adalah terpisah (infishal). Seorang lelaki tidak boleh berinteraksi (ijtima’) di dalam kehidupan umum, kecuali dalam hal yang diperbolehkan, disunnahkan, atau diwajibkan oleh Syaari’ (Allah Subahanahu wa Taala) dan dalam suatu aktiviti yang memestikan adanya pertemuan antara laki-laki dan perempuan, baik pertemuan itu dilakukan secara terpisah (infishal), misalnya, pertemuan di dalam masjid, ataupun pertemuan yang dilakukan dengan keadaan bercampur (ikhtilath), seperti ibadah haji dan dalam aktiviti jual beli.”

Bahaya Tabarruj dan Ikhtilath yang Haram

1. Tabarruj dan ikhtilath adalah maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa bermaksiat kepada Allah akan merasakan akibatnya. Nabi bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang tidak mahu”. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, siapakah yang tidak mahu?”Sabda baginda,“Barangsiapa taat kepadaku akan masuk syurga dan barangsiapa bermaksiat kepadaku ia orang yang tidak mahu.” [HR Bukhari]
2. Tabarruj dan ikhtilath termasuk dosa besar. Ini adalah kerana kedua hal ini merupakan jalan paling cenderung kearah perbuatan zina. Dalam riwayat yang sahih dari Ahmad diceritakan bahwa Umaimah binti Raqiqah datang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam untuk berbaiat kepada baginda dalam membela Islam. Beliau bersabda: “Aku membaiatmu agar kamu tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anakmu, tidak melakukan kebohongan dari hadapanmu (kerana perbuatan lisan dan kemaluan), tidak meratapi (orang mati), dan tidak tabarruj dengan tabarruj jahiliyah pertama.” [HR Bukhari]. Disini Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam mengaitkan tabarruj dan dosa-dosa besar seperti syirik, mencuri, dan berzina.

3. Tabarruj dan Ikhtilath mendatangkan laknat. Dalam Mustadrak Al-Hakim dan Musnad Imam Ahmad dari Abdullah bin Umar, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Akan datang di akhir umatku nanti laki-laki yang naik pelana (mewah) layaknya laki-laki yang turun ke pintu-pintu masjid, wanita-wanita mereka mengenakan pakaian namun telanjang, di kepala mereka seperti punuk unta kurus. Kutuklah wanita-wanita itu kerana sesungguhnya mereka itu terkutuk. Jika setelah kalian ada kaum, tentu wanita-wanita kalian akan melayani wanita-wanita mereka sebagaimana wanita-wanita kaum terdahulu melayani kalian.”

4. Tabarruj temasuk sifat Penghuni Neraka. Abu Hurairah berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Ada dua golongan penduduk neraka yang belum aku lihat sekarang ini. Satu kaum yang bersama mereka cambuk-cambuk seperti ekor sapi yang dipakai untuk memukul orang. Wanita-wanita mereka berpakaian namun telanjang, bergaya pundak mereka dan berpaling dari kebenaran. Kepala mereka seperti punuk unta kurus, mereka tidak masuk surga dan tidak mencium baunya. Padahal baunya tercium dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” [HR Muslim]

5. Tabarruj adalah Kemunafikan yang akan Mendatangkan Kegelapan di hari Kiamat. Al-Baihaqi meriwayatkan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. dengan sanad sahih: “Sebaik-baik wanita, kalian adalah yang penyayang, yang banyak melahirkan, yang serasi (dengan suaminya) jika mereka bertakwa kepada Allah. Dan seburuk-buruk wanita adalah yang bertabarruj dan sombong. Mereka itulah orang-orang munafik. Tidak akan masuk syurga salah seorang di antara mereka kecuali seperti gagak putih.” [HR Baihaqi].

6. Tabarruj dan ikhtilath menodai kehormatan keluarga dan masyarakat. Diriwayatkan dari Nabi bahawa baginda bersabda:  “Ada tiga orang yang, kamu jangan bertanya kepada mereka seseorang yang keluar dari jamaah dan derhaka kepada imamnya lalu mati dalam keadaan bermaksiat, seorang hamba perempuan dan lelaki yang lari (dari tuannya) kemudian dia mati, dan seorang wanita ditinggal keluar oleh suaminya dan telah dicukupi kebutuhan dunianya lalu ia bertabarruj setelah itu. Maka jangan bertanya kepada mereka.” [HR Ahmad]

7. Tabarruj adalah sunnah Iblis. Jika menutup aurat dan berhijab serta menjaga diri dan kehormatan adalah sunnah Nabi, maka tabarruj dan ikhtilath adalah sunnah Iblis di mana sasaran godaan pertama terhadap manusia adalah agar auratnya terbuka. Allah mengingatkan kita agar tidak terfitnah oleh tipu daya Iblis. Allah berfirman: “Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari surga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.” [TMQ Al-A’raf:27].

8. Tabarruj dan Ikhtilath adalah Permulaan Zina. Setiap kali penyimpangan terjadi akan melahirkan penyimpangan lain yang lebih besar. Ketika wanita tidak menutup auratnya dan tidak menjaga kehormatannya dengan bercampur bersama laki-laki yang bukan mahramnya, terlebih dandanan yang menyebar fitnah, rasa malu sudah sirna dan ghairah laki-laki mulai tiada, maka hal-hal haram menjadi mudah dilakukan bahkan dosa-dosa besar menjadi hal yang biasa dan wajar termasuk zina. Di tengah masyarakat kita sekarang terjadi perbezaan persepsi tentang zina. Ada yang tidak menganggap zina sebagai kejahatan kecuali terkait dengan hak-hak asasi manusia.

9. Tabarruj dan Ikhtilath mengundang Siksaan Allah. Dalam hadis riwayat Ibnu Majah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Tidaklah nampak kebejatan di antara kaum Luth sampai mereka terang-terangan (melakukannya) kecuali setelah itu tersebarlah penyakit kolera dan kelaparan yang belum pernah terjadi pada pendahulu mereka.” [Ibnu Majah]. Secara umum, kemaksiatan kerap kali menjadi penyebab terjadinya pelbagai musibah seperti yang diterangkan Allah dalam Al-Quran:“Dan jika kami hendak membinasakan suatu negeri, maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah selayaknya berlaku terhadap mereka perkataan (ketentuan kami), kemudian kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” [TMQ  Al-Isra’: 16]

Khatimah

Dalam keghairahan menyambut Syawal, setiap Muslimah itu tetap terikat pada hukum syarak. Selain memastikan dia menutup aurat sempurna di depan umum, dia juga hendaklah memastikan hal berkaitan ikhtilath dan tabarruj dihindari. Umum mengetahui bahawa setiap manusia mahukan yang terbaik. Maka, jadilah yang terbaik dengan terikat dengan hukum Islam. Sambutan Hari Raya mesti dilakukan dengan memerhatikan kedua aspek ini (ikhtilath dan tabarruj) yang boleh menjadi muqaddimah zina jika diabaikan. Kita tidak akan rugi jika memastikan diri terpelihara. Kita tidak akan sakit jika kita menjaga diri dari perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah.  Jika mampu melakukan ini,  Insya’Allah kita tidak akan menyesal dalam menjalankan perintah Allah malah mampu tersenyum puas di kemudian hari, dan berbangga kerana dapat melawan bisikan syaitan dan hawa nafsu. Sesungguhnya, meninggalkan maksiat adalah lebih berat daripada mengerjakan taat (yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya) kerana mengerjakan taat senang dibuat oleh setiap orang tetapi meninggalkan syahwat (maksiat) hanya dapat dilaksanakan oleh para siddiqin (orang-orang yang benar.” Wallahu’ alam bisshawab.

 



Penyatuan Tanpa Kesatuan?

Pada bulan Ramadhan,samada Hari Raya Aidil Fitri mahu pun Aidil Adha, kita dapat menyaksikan umat Islam dari segenap pelusuk dunia memulakan atau menyambut Ramadhan pada hari yang berlainan dan juga tamat pada hari yang berbeza-beza. – ada yang menyambut Lebaran (1 Syawal 1429H) pada 30 September, 1 Oktober dan selainnya meraikannya pada hari Khamis 2 Oktober 2008.

Perbezaan ini menunjukkan bahawa ada sesuatu yang “hilang” dan sememangnya terdapat satu MASALAH apabila kaum Muslimin tidak dapat bersatu dalam menentukan permulaan Ramadhan atau detik menyambut lebaran pada SATU tarikh yang sama di seluruh dunia, sebagai satu kesatuan umat muslimin.  Walaupun kita berkali-kali mengatakan bahawasanya kita semua adalah umat Islam, satu Ummah, memegang teguh satu akidah-tauhid yang sama dan kita semua adalah saudara seIslam, tetapi MENGAPAKAH agaknya wujud perbezaan di antara kita di seluruh dunia?

Rasulullah Sallallahu alaihi Wa Sallam bersabda, “Sesungguhnya Umat Islam itu adalah satu umat khusus yang tidak terdapat pada yang lain. Tanah mereka Satu, Peperangan mereka Satu, Keamanan mereka Satu, Kepercayaan mereka Satu dan Kehormatan mereka Satu.” [HR Ahmad]

Hilal (anak bulan) boleh di lihat oleh semua dan sebagai hasilnya permulaan dan penamat bulan itu boleh di ketahui oleh semua juga. Rasulullah juga mengajar kita bagaimana mengetahui bilakah terbit hilal dan bagaimana juga ia berakhir.  Baginda juga mengingatkan kita akan apa yang sepatutnya dilakukan sekiranya anak bulan tidak kelihatan.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi Wa Sallam bersabda,  “Janganlah kamu berpuasa sehingga ia(anak bulan) kelihatan dan janganlah kamu berbuka (Aidil Fitri) sehingga ia(anak bulan) kelihatan.” 

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah Sallallahu alaihi Wa Sallam bersabda, “Sekiranya ia (hilal) kelihatan maka berpuasalah dan sekiranya ia (hilal) kelihatan maka berbukalah(Aidil Fitri).  Tetapi, seandainya ia tidak kelihatan, maka lakukanlah perkiraan untuknya.”

 Di dalam satu lagi riwayat, Nabi bersabda,”Satu bulan adalah 29 malam.  Oleh itu, janganlah berpuasa sehingga kamu melihatnya (anak bulan).  Tetapi sekiranya ia tidak kelihatan, maka cukupkanlah bulan itu sebanyak 30 hari.”

Ad-Dar Qutni dan Abu Daud meriwayatkan sebuah hadis sahih dari Ibnu Umar yang berkata bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi Wa Sallam bersabda, “Mereka cuba melihat anak bulan, dan aku memberitahu Nabi Sallallahu alaihi Wa Sallam yang aku melihatnya.  Maka Baginda mula berpuasa dan menyuruh semua orang berpuasa.” Hadis ini menjelaskan bahawa jika ada seorang pun yang terlihat anak bulan, ianya sudah memadai untuk memulakan puasa di bulan Ramadhan.

 Maka dari kejadian ini, kita dapat menyimpulkan bahawa pendapat yang benar adalah sekiranya anak bulan telah kelihatan walaupun hanya di satu negeri kaum Muslimin, adalah mencukupi untuk semua Muslimin berpuasa atau menyambut lebaran.  Tidak perlu di pedulikan di mana anak bulan itu telah kelihatan dan menjadi kewajipan bagi semua kaum Muslimin untuk mengikutinya.  Ini adalah bertepatan dengan Hadis “Berpuasalah apabila ia (hilal) kelihatan dan berbukalah(Aidil Fitri) apabila ia kelihatan.”

Frasa kata “apabila ia kelihatan” adalah bermakna di mana-mana anak bulan kelihatan di salah satu negeri kaum Muslimin.   Dan Allah Maha Mengetahui. 
Ketika kita semua sibuk melakukan persediaan untuk menyambut Aidil Fitri, ingatlah pada kaum Muslimin di serata dunia yang sedang ditindas akibat dari kekejaman Zionis dan kaum Kuffar – pembunuhan beramai-ramai kaum Muslimin di Bosnia, Palestin, Kashmir, Gujerat (India), Afghanistan Somalia, Sudan Pakistan dan Iraq. Juga anak-anak yatim yang kehilangan ibu-bapa di Afghanistan dan Iraq.

Saudara perempuan seIslam kita dirogol dan diseksa di Kashmir, Gujerat, Iraq dan Bosnia, Kaum Muslimat dinafikan hak asas pendidikan mereka di Tajikistan, Turki, Denmark, Jerman, Italy dan Perancis kerana memakai pakaian Muslimah mereka (tudung, purdah dan jubah).  Senarainya amat panjang dan tiada bernoktah sedangkan penyelesaian pada semua permasalahan ini amat jauh sekali.

Allah azza wa jalla berfirman, “Sesungguhnya orang-orang kafir itu, menafkahkan harta mereka untuk menghalangi orang dari jalan Allah.  Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan.  Dan ke dalam neraka Jahanamlah orang-orang yang kafir itu dikumpulkan.” [TMQ al-Anfal 8:36]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda “Setitik darah seorang Muslim adalah lebih bernilai dari seluruh Kaabah dan sekelilingnya” [Riwayat Bukhari dan Muslim].

Namun begitu mengapa kita kaum Muslimin tidak mempunyai ikatan asas kesatuan di antara kita semua sedangkan Aqidah kita sangat kuat ikatannya? Tanah kaum Muslimin dan sekelilingnya di kawal oleh dunia Barat yang berada di situ untuk melakukan segalanya kecuali membela nasib kaum Muslimin.  Para pemimpin kaum Muslimin di permainkan oleh tangan-tangan musuh Islam dan memerintah berdasarkan apa yang menguntungkan mereka bukannya berlandaskan apa yang di tetapkan oleh Al Quran dan As Sunnah.  Sesungguhnya situasi kita pada masa ini dalam keadaan terpecah kepada 58 negeri-negeri kecil yang dipisahkan oleh sempadan maya yang direka oleh mereka yang menghancurkan Daulah Khilafah pada tahun 1924 adalah sesuatu yang amat menyedih dan mengecewakan.

Keadaan dan situasi pada hari ini sememangnya langsung tidak boleh diterima dan dibiarkan  begitu sahaja. Kita semua sebagai satu Ummah berkewajipan untuk mendapatkan kembali kekuasaan kita dari pemimpin-pemimpin ini dan menegakkan semula kepimpinan Islam yang akan menerapkan hukum syarak melalui Daulah Khilafah.

Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan saudara-saudari semua tanggungjawab kita terhadap Allah Subhanahu wa Taala sebagaimana sabda Nabi, “Simpulan-simpulan Islam akan terputus satu demi satu, simpulan yang pertama akan terputus adalah pemerintahan dan yang terakhir adalah simpulan solat.” [Riwayat Muslim].

Simpulan pemerintahan Islam telah putus pada tahun 1924 dengan kemusnahan Daulah Khilafah dan nampaknya sekarang tali simpulan solat juga berada dalam keadaan bahaya. Begitu juga dengan tali simpulan sambutan hari lebaran – maka, apa lagi yang masih tinggal?

Wahai kaum Muslimin,
Marilah kita menjadi sebahagian dari satu tubuh kesatuan Muslim Ummah, kita tidak boleh dicerai-beraikan  antara satu sama lain dan kita juga tidak boleh membiarkan mana-mana kumpulan (puak-puak sekuler, moderat dll kumpulan yang mengampu kaum Kuffar seperti anjing-anjing) atau mana-mana individu (bangsawan dan usahawan) peluang untuk memisahkan kita dari satu Kesatuan Ummah.

Marilah kita berusaha untuk menerapkan Tauhid(Aqidah) dan Syariah Islam iaitu Daulah Khilafah dan bersatu dalam menyambut Hari Lebaran sebagai umat yang satu, umat yang kuat dan Umat Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam yang tidak mengenal erti takut dan gentar.

Khilafah adalah satu-satunya jalan untuk membawa dan menyampaikan Islam kepada semua manusia. Islam melalui Khilafah adalah satu-satunya doktrin (Aqidah dan Tauhid) yang akan membawa Kebebasan, Keamanan dan Kesejahteraan kepada semua umat manusia. ” Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah Subhanahu wa Taala dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan.” [TMQ al-Anfal 8:24]