Fikratul Ummah – November 2008

 
 

 

 


Dari Lidah Pengarang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Bulan haji telah tiba lagi. Menunaikan ibadah panggilan Baitullah. Tanah Suci Mekah. Ya Makkatul Mukarramah…. Bulan haji ini amat sinonim dengan ibadah korban. Pasti terbayang di benak kita binatang-binatang ternakan yang bakal disembelih untuk melaksanakan ibadat yang diilham dari peristiwa korban Nabi Ismail alaihissalam. Dinamakan Hari Raya Korban kerana pada hari tersebut umat Islam disunatkan mengerjakan ibadat korban dengan menyembelih binatang ternakan sebagai membesarkan hari tersebut. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Hajjayat 36: “Dan Kami jadikan unta yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu, pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu, oleh itu sebutlah nama Allah semasa menyembelihnya ketika ia berdiri di atas tiga kakinya. Maka apabila ia tumbang serta putus nyawanya, makanlah sebahagian daripadanya dan berilah bahagian yang lain kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikian Kami mudahkan dia untuk kamu menguasainya dan menyembelihnya supaya kamu bersyukur.”

Walaubagaimanapun, kebanyakan umat Islam menganggap pengorbanan yang perlu dilakukan hanya sebatas mengorbankan binatang. Masih ramai dalam kalangan umat Islam yang memikirkan maksud pengorbanan dengan pemahaman yang biasa difahami ini. Jauh sekali mengaitkannya dengan kewajipan berdakwah yang merupakan satu kewajipan kepada lelaki dan wanita, yang juga perlukan pengorbanan dan keikhlasan yang tinggi untuk melaksanakannya.

Bersempena dengan musim cuti sekolah juga, selain mengangkat isu pengorbanan, Fikratul Ummah kali ini juga ingin menyajikan suatu artikel bertajuk ’Peranan Ibu Muslimah dalam Memanfaatkan Cuti Sekolah’ agar kaum ibu akan terbuka mindanya dan menyedari bahawa musim cuti sekolah bukan bermakna anak-anak ’cuti’ dari menerima didikan dan bimbingan dari ibu-bapa khususnya dalam bidang agama. Fikratul Ummah juga menyajikan sebuah artikel terjemahan bertajuk ’Adakah Islam Menindas Wanita’ yang merupakan bahagian pertama dari keseluruhan dua buah artikel. Semuga ia dapat mencetuskan dalam minda wanita bahawa agama suci ini benar-benar menjaga kemaslahatan dan mengangkat martabat kaum Hawa melalui pelaksanaan hukum-hakam Islam yang diterapkan secara kaffah dalam sebuah negara iaitu DaulahIslamiyyah.

Wallahu ’alam bisshawab.
 


Pengorbanan dan Perjuangan

Labbaikallahummalabbaik Labbaikalla syarika laka labbaik… Innalhamda wanni’mata Laka walmulk La syarikalak….

Seruan ini bergema lagi. Seruan lambaian Ka’abah, meminta sang hamba menyahut seruan untuk menjadi tetamu Allah. Berakhirnya Syawal disambut dengan Zulqaedah. Bermulanya Zulqaedah maka bermulalah persiapan untuk menjadi tetamu Allah di bulan Zulhijjah. Zulhijjah akan menjelma lagi. Bagi yang akan menunaikan fardhu Haji, perasaan sedih dan gembira bercampur-baur di dada. Bagi yang sudah bergelar Haji dan Hajjah kedatangan Zulhijjah, pastinya mengundang seribu nostalgia. Satu kenangan yang tidak dapat dilupakan sewaktu di Tanah Suci. Ada yang berbangga dengan gelaran yang diperolehi. Golongan yang ikhlas iaitu para mukhlisin merasakan gelaran itu bukan ukurannya melainkan ianya satu martabat yang perlu dijaga dengan begitu teliti agar status haji mabrurnya tidak tercemar.

Itulah sepintas lalu gambaran perasaan umat Islam tatkala menyambut kedatangan Zulhijjah. Ironinya tidak kurang yang menganggap status haji dan hajjah itu adalah segala-galanya. Lengkap sudah dirinya bergelar Islam kerana kesemua rukun Islam telah dipenuhi. Tuntutan setelah gelaran itu diperoleh tidak dijaga. Apa yang dijaja ke sana sini hanyalah status, pengertiannya tinggal kosong. Walaupun ada golongan yang benar-benar mengerti tetapi golongan ini tidak ramai. Golongan yang lebih ramai adalah golongan yang mengejar status dan nama. Bagi yang berkemampuan, setiap tahun pergi haji dan umrah tetapi perangai masih tak berubah. Inilah stigma dalam masyarakat kita hari ini.

Tidak ketinggalan sesuatu yang paling sinonim dengan bulan Zulhijjah ialah “pengorbanan”. Di saat inilah pengorbanan tiga insan agung dalam Islam akan dikenang. Dalam mana-mana ceramah yang dihadiri, maka akan diceritakan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim alaihissalam dan isterinya Hajar serta anak mereka Nabi Ismail alahissalam. Jiwa-jiwa yang tulus-mulus akan merasakan betapa agungnya pengorbanan yang telah mereka lakukan demi Islam yang mana kisahnya dirakam dalam al-Qur’an, manfaatnya dikecapi oleh seluruh manusia sehingga ke hari kiamat.

Itulah kisah pengorbanan Nabi Ibrahim meninggalkan anak dan isterinya di padang pasir yang tandus sehingga wujudnya telaga zam-zam dan kisah bagaimana Nabi Ibrahim diuji oleh Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail. Sememangnya kisah ini perlu menjadi iktibar kepada seluruh umat Islam. Dihayati sepenuhnya untuk mencapai tahap keimanan yang tinggi di sisi Allah subhanahu wa Ta’ala. Persoalannya berapa ramaikah umat Islam hari ini yang sanggup berkorban demi agama Allah?

Ramai juga yang membayangkan pengorbanan seumpama Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail itu tidak wujud lagi di zaman ini. Justeru pengorbanan yang bagaimana yang perlu dilakukan? Jika ditelusuri kisah-kisah para anbiya’, antara intipati penting peristiwa pengorbanan seorang nabi yang menyandang status ‘ulul azmi’ adalah sebagaimana berikut. Sebaik sahaja Nabi Ibrahim alaihissalam merebahkan Nabi Ismail untuk disembelih, Allah telah mengakui bahawa Nabi Ibrahim telah menyempurnakan apa yang dilihat dalam mimpi baginda dan telah menukarkan sembelihan itu dengan seekor kibas.

Maka, terjawab sudah persoalan pengorbanan itu tadi iaitu apa yang perlu dikorbankan adalah haiwan ternakan. Lazimnya, tatkala menyambut Hari Raya Haji atau Hari Raya Qurban, kariah-kariah masjid di seluruh Malaysia dan masyarakat secara umumnya melaksanakan ibadah qurban yang mana dagingnya akan diagih-agihkan kepada golongan miskin.

Itulah pengertian pengorbanan yang difahami oleh umat. Rata-ratnya hanya memberi fokus kepada acara kemuncak sambutan Hari Raya Qurban iaitu mengorbankan haiwan ternakan dan kemudian mengagih-agihkan daging sembelihan itu kepada yang memerlukan. Ironinya tidak kurang yang melakukan ibadah qurban untuk menunjuk-nunjuk atau hanya mengikut ‘trend’ sahaja. Untuk golongan ini, Allah memberi peringatan di mana Dia Subhanahu wa Taala berfirman yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan.” [Surah Al-Haj: 37]

Bagaimana pula golongan wanita melihat pengorbanan yang dilakukan oleh Hajar? Mungkin sahaja ramai yang bertanya kepada diri sendiri: apa yang akan dilakukan sekiranya ditinggalkan sendirian oleh suami bersama anak yang masih memerlukan belaian dan kasih sayang seorang ayah? Di padang pasir yang kering kontang, tiada berpenghuni baik haiwan mahupun tumbuhan, sanggupkah membiarkan suami pergi tanpa sebarang bekalan yang ditinggalkan?

Mungkin ramai yang akan menyatakan kesanggupan bergantung kepada kemampuan diri seseorang wanita itu. Justeru ramai yang menganggap bahawa masing-masing telah melakukan pengorbanan mengikut kemampuan diri mereka. Ada yang berpendapat pengorbanan wanita yang paling tinggi ialah mendidik anak-anak, menjaga rumah tangga, melayan suami dengan baik dan seumpamanya. Persoalannya apakah itu sudah memadai? Adakah wanita hanya dituntut untuk mendidik anak dan menjaga rumah tangga sebagai jalan melayakkannya menjadi penghuni Syurga Allah?

Untuk menjawab persoalan mengenai pengorbanan yang dituntut dari seseorang wanita, seorang penulis Hasbi Ashshiddieqy dalam bukunya Lapangan Perjuangan Wanita Islam, memulakan penerangan dengan memperincikan mengenai kewajipan kaum wanita, iaitu ia tediri dari 5 perkara:

i. Kewajiban meninggikan Islam (wajibat diniyah) dengan memiliki perilaku yang baik, ilmu dan kecerdasan, dan amal usaha dalam gerak perjuangan.

ii. Kewajiban kepada diri sendiri sebagai manusia (wajibat syahsiyyah) dengan menjaga keyakinan/keimanan terhadap Islam dan memelihara jasmani.

iii. Kewajiban terhadap keluarga dan rumahtangga.

iv. Kewajiban terhadap masyarakat dan pergaulan umum, serta

v. Kewajiban terhadap pembangunan pemerintahan dan Negara Islam iaitu Daulah Islamiyah.

Secara ringkas, ia boleh dikategorikan kepada dua kategori utama iaitu kewajiban berdakwah (seringkali di luar rumah) dan kewajiban rumahtangga. Dengan kata lain, pengorbanan yang perlu dilakukan oleh wanita adalah tidak lain, melainkan dalam rangka melaksanakan kewajipannya sebagai seorang Muslimah.

Sebagai misalnya kewajipan berdakwah, ia sering disalahertikan sebagai tidak terkena kepada wanita, sedangkan di dalam Al Quran dan hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassallam, banyak seruan kepada kaum Mukminin baik laki-laki maupun perempuan untuk berdakwah dan mengubah realiti yang jauh dari hukum Islam. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa-apa yang ada pada suatu kaum (qaumun) sampai mereka mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka” [Surah Ar Ra’d 13:11].

Dalam bahasa Arab, kata qaumun dalam ayat tadi mencakup laki-laki mahupun perempuan.

Begitu juga di dalam firmanNya:

Dan hendaklah ada diantara kamu sekelian suatu umat (ummatun) yang menyerukan al-khair (Islam) dan menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah dari segala kemungkaran“. [Surah Ali Imran 3:104].

Dalam ayat ini, terdapat juga petunjuk bahawa yang wajib melakukan dakwah kepada Islam dan amar ma’ruf nahi mungkar adalah laki-laki dan juga perempuan. Hal ini dapat difahami dari kata ummatun yang terdapat dalam ayat tersebut. Kata ummatun dalam bahasa Arab bukanlah milik spesifik laki-laki melainkan ia juga ditrujukan kepada perempuan samada yang masih bujang mahupun yang sudah bersuami.

Banyak lagi hadis dan ayat-ayat lain yang seumpama dengan yang dimaksudkan di atas. Malah ianya mengandungi ancaman keras kepada siapa sahaja yang tidak melakukan dakwah dalam usaha untuk mengubah keadaan kekufuran dalam masyarakat dan mengembalikan kehidupan Islam (isti’nafi hayat islamiah). Allah Subhanahu wa Taala berfirman:

Dan peliharalah diri kamu sekelian dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim diantara kamu sekelian saja. Dan ketahuilah Allah Maha Keras siksa-Nya.”  [Surah Al Anfal 8:25].

Di dalam satu hadis Rasulullah mengesahkan hal ini dengan bersabda:

Demi zat yang diriku ada dalam genggaman tangan-Nya, sungguh-sungguh kalian (mempunyai dua pilihan, iaitu) melakukan amar ma’ruf nahi mungkar, ataupun Allah akan mendatangkan siksa dari sisi-Nya yang akan menimpa kalian. Kemudian setelah itu, kalian berdoa, maka (doa itu) tidak akan dikabulkan.” [Hadis riwayat Imam Tirmidzi].

Berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan di atas, jelas bahawa dakwah untuk melanjutkan kehidupan Islam itu bukan hanya wajib bagi golongan lelaki tetapi juga bagi perempuan. Sesiapa saja yang tidak menunaikannya akan merasakan balasannya kelak di Akhirat. Dan sesiapa saja yang berusaha untuk menghalang dakwah tersebut bererti dia berusaha untuk melarang seseorang dari mentaati Allah Subhanahu wa Taala dan Rasul-Nya.

Perhatikanlah dan renunglah sejenak. Akibat dari kealpaan kita kepada tuntutan dakwah, banyak permasalahan sosial yang dihadapi. Statistik bayi yang dibuang semakin meningkat, statistik bayi yang baru lahir tanpa butiran bapa semakin bertambah, kes-kes sumbang mahram semakin berleluasa dan bermacam lagi permasalahan lain yang tidak disenaraikan, yang kita semua tahu kewujudannya. Maka, tidakkah itu semua memanggil kita untuk menghayati semula kehidupan Islam yang syumul? Tidakkah itu semua membuat kita merasa rindu untuk bernaung di bawah kepimpinan Islam yang sebenar-benarnya agar semua masalah itu dapat diatasi dengan pelaksanaan Islam secara kaffah, secara keseluruhan?

Kembali kepada kehidupan Islam bukanlah perkara yang berlaku secara tiba-tiba melainkan ianya memerlukan pengorbanan. Memenuhi tuntutan kewajipan yang disebut di atas juga memerlukan pengorbanan. Bagi seorang wanita, sedarlah bahawa pengorbanan yang dituntut dari seorang wanita itu bukan hanya mencakup tugas sebagai pendidik kepada anak-anak dan pengatur rumah tangga malah tugas dan tanggung jawab dakwah juga dituntut dari setiap Muslimah.

Wahai Muslimah,
Bangkitlah untuk berjuang menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Hayatilah pengorbanan yang telah dilakukan oleh empat wanita Islam yang agung, yang mana hasil pengorbanan mereka kita dapat mengecap nikmat Islam hari ini. Mereka itulah yang disebut dalam satu hadis Rasulullah di mana diriwayatkan pada suatu hari Baginda membuat garis di atas tanah, Baginda pun bertanya kepada sahabat: “Adakah kamu sekalian mengetahui mengenai ini?” Sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Baginda pun bersabda: “Sebaik-baik wanita di dunia ini ada empat orang iaitu Maryam Binti Imran, Asiyah puteri Muzahim (isteri Firaun), Khadijah Binti Khuwailid dan Fatimah Binti Muhammad.”

Inilah ibu, para wanita yang kita sanjung-sanjungi. Perjuangan mereka dicatit dan diingati sehingga hari Kiamat. Mereka patut dicontohi sebagai tauladan kepada seluruh Muslimah terutamanya untuk ibu ibu yang ingin mendapat kejayaan seperti yang mereka perolehi di Akhirat. Ingatlah bahawa janji Allah itu benar, Allah akan menolong hambanya yang menolong agama Allah. Allah berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” [TMQ Muhammad (47):7].

 


Peranan Ibu Muslimah Dalam Memanfaatkan Cuti Sekolah

Musim cuti sekolah bermula lagi. Lazimnya, murid-muridlah orang yang paling gembira menjalani musim percutian. Mereka tidak perlu pergi ke sekolah. Tidak perlu bangun pagi. Boleh tidur hingga pukul 9 – 10 pagi. Malah dapat berehat dan menjalankan aktiviti lain di dalam atau di luar rumah.

Sewaktu musim cuti sekolah juga ada kalangan ibu bapa mengambil kesempatan untuk mengkhatankan anak-anak, membawa keluarga mereka melancong, berkelah atau makan angin sebagai memenuhi aktiviti musim cuti. Bukan itu sahaja, musim cuti ini juga dimanfaatkan oleh ramai pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan kerana inilah masa yang sangat sesuai memandangkan semua saudara mara dan ahli keluarga dapat berkumpul berbanding hari-hari biasa. Ada ibu bapa yang mengambil kesempatan, memohon cuti, agar dapat bersama-sama dengan anak-anak di rumah. Pendek kata, pelbagai aktiviti yang telah dirancang untuk memanfaatkan musim percutian ini dengan sebaik-baiknya.

Namun, masih ramai juga di antara kita yang sentiasa sibuk dengan tugas seharian. Terutama bagi ibu bapa yang bekerja, kesibukan ini menghalang mereka untuk meluangkan masa bersama anak-anak mereka di rumah. Dalam masyarakat tradisional, suami-isteri mempunyai peranan khusus iaitu suami bekerja dan isteri menjadi suri rumah. Apabila masyarakat bertambah maju dan tenaga wanita diperlukan, ramai isteri dan ibu-ibu yang keluar bekerja. Kehidupan pada zaman moden yang semakin canggih ini menuntut kos hidup yang semakin tinggi. Oleh itu, ramai ibu yang bekerja bagi menambah pendapatan keluarga. Tanpa pendapatan yang mencukupi kehidupan keluarga akan menjadi lebih sukar, terutama bagi keluarga yang punya ramai anak.

Maka, apabila kedua-dua ibu bapa keluar bekerja, anak-anak ditinggalkan dengan pengasuh atau pembantu rumah. Setelah pulang dari kerja pula, ibu bapa terlalu letih untuk bermesra, bermain atau bersuka ria bersama anak-anak mereka. Keadaan ini menyebabkan anak-anak tidak dapat merasai hubungan yang erat dengan ibu bapa mereka.

Jadi untuk menghabiskan masa cuti sekolah mereka, ramai anak-anak yang suka menonton televisyen, bermain komputer atau melayariinternet, melepak dan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat. Televisyen dan komputer berfungsi menjadi teman karib anak-anak. Kanak-kanak sangat mudah terpengaruh dengan iklan-iklan di televisyen.

Rancangan kanak-kanak sering diselang-selikan dengan iklan-iklan yang mempromosikan makanan yang kurang berkhasiat serta minuman berkarbonat atau kordial manis yang tidak baik untuk kesihatan mereka Kanak-kanak ini kemudiannya memujuk atau kalau tidak berjaya, mereka akan mendesak ibu bapa supaya membeli mainan atau makanan yang diiklankan.

Walaupun minda kanak-kanak berkembang menerusi pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi internet, namun tanpa pengawasan ibu-bapa, kanak-kanak mungkin terlalu bebas mendapatkan maklumat yang tidak memanfaatkan mereka. Ada juga anak-anak yang mungkin menjadi ketagih komputer dan menghabiskan berjam-jam dengan berbual kosong menerusi “chat-line” yang disediakan.

Anak-anak remaja pula yang kurang pengawasan ibu-bapa terutama yang tinggal di bandar-bandar, menghabiskan masa mereka dengan melepak di kompleks-kompleks membeli belah serta melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti berpoya-poya, merempit, mengusik di jalanan, terlibat da;a, pergaulan bebas, ketagihan dadah dan sebagainya. Ini terbukti dari laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2003 dan statistik dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menunjukkan penglibatan dalam gejala sosial bermula seawal umur 10 tahun. Menurut perangka yang dikeluarkan oleh PDRM pada tahun 2005, sebanyak 76,403 kes jenayah yang dilaporkan di Malaysia melibatkan jenayah yang berbentuk kekerasan dan jenayah harta benda.

Begitu juga dengan kes merempit. Kematian yang tinggi dilaporkan setiap tahun akibat kegiatan lumba haram. Bermula dari tahun 2001 hingga 2004, jumlah tangkapan yang dijalankan oleh PDRM adalah sebanyak 5,332 kes di seluruh Malaysia. Sepanjang tempoh tersebut, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 1,041 kes. Dalam satu operasi pencegahan yang dijalankan didapati kebanyakan yang ditahan dalam lingkungan umur 16 hingga 28 tahun.

Sebagai ibu Muslimah, sanggupkah perkara tersebut terjadi kepada anak-anak kita, atau anak-anak seluruh kaum Muslim? Jika tidak sanggup, apakah persediaan kita bagi menangani gejala sosial tersebut? Perkara tersebut berlaku kerana terdapat banyaknya masa senggang anak-anak yang tidak di isi dengan kerja-kerja yang bermanfaat, atau ibu bapa tidak pernah mahu mengambil tahu tentang kegiatan anak-anak mereka. Ingatlah, sesungguhnya anak-anak itu amanah Allah. Tanpa perancangan yang rapi, sukar bagi para ibu untuk mendidik anaknya menjadi anak yang soleh/solehah.

Jadi sebagai ibu Muslimah, marilah kita sama-sama meluangkan sedikit masa untuk memenuhi musim cuti sekolah ini bersama-sama dengan anak-anak kita. Marilah kita membuat perancangan yang sempurna untuk anak-anak bagi memenuhi masa rehat mereka di rumah agar musim cuti mereka dari persekolah di menfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti berfaedah. Walau apa pun, sebagai ibu semestinya kita tidak mahu anak kita lalai dengan masa rehat yang mereka perolehi, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, “Ada dua nikmat di mana kebanyakan manusia sering tertipu dengannya, nikmat sihat dan masa lapang (senggang).” [Hadis riwayat Bukhari].

Justeru, sempena cuti sekolah ini, luangkanlah masa cuti ini untuk bersama dengan anak-anak kita. Perlu diingat bahawa percutian ini hanyalah penangguhan sementara pemergian mereka ke sekolah, namun pendidikan dan pentarbiyahan terhadap mereka perlu diteruskan sehingga mereka menjadi insan yang benar-benar berjaya dunia dan akhirat. Ingatkan kepada anak-anak kita, bahawa tidak ada istilah istirehat dalam menuntut ilmu, dan kewajipan menuntut ilmu itu sentiasa dibebankan ke atas setiap individu sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim (samada Muslimin mahupun Muslimah)”. [HR.Ibn Majah].

Wahai ibu Muslimah,
Ingatlah bahawa anak itu adalah harta paling berharga bagi ibu bapa. Bahkan bagi seluruh umat. Bagi orangtua, anak adalah buah hati di dunia, bahkan di akhirat. Kerana anak-anak, seorang ibu sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Allah agar anak-anak mereka menjadi solehsolehah. Adapun bagi umat yang mulia ini, anak-anak adalah penerus generasi untuk menerapkan, membela serta memperjuangkan Islam. Untuk mendapat anak yang soleh, seseorang ibu itu mestilah menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak-anak mereka. Ibu adalah guru dan orang terdekat bagi si anak memahami segala perbuatan yang dituntut oleh agama. Kerananya orang tua diharap dapat bekerja keras untuk memberikan contoh dalam memelihara ketaatan serta ketekunan dalam beribadah dan beramal soleh.

Wahai ibu Muslimah,
Menjadi orang tua di era globalisasi ini bukanlah mudah. Apalagi jika kita mengharapkan anak kita bukan sekadar menjadi anak yang pintar dalam bidang akademik, tapi juga taat dan soleh. Menyerahkan pendidikan sepenuhnya kepada sekolah tidaklah cukup. Mendidik sendiri dan membatasi pergaulan di rumah juga tidak mungkin. Membiarkan mereka lepas bergaul di lingkungannya cukup berisiko. Jadi bagaimanakah caranya untuk menjadi ibu yang bijak dan arif untuk menjadikan anak-anaknya taat pada syariah?

Tanamkan Akidah dan Syariah sejak usia kecil.

Menanamkan akidah yang kukuh adalah tugas utama orang tua. Orangtualah yang akan mempengaruhi perkembangan sendi-sendi agama dalam diri anaknya. Sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam:Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibu dan bapanyalah yang menjadikannya Yahudi,Nasrani atau Majusi.” [HR al-Bukhari]

Oleh itu, persoalan yang mesti diutamakan ialah dengan mengenalkan Allah subhanallah wa Taala sebagai Penciptanya, Allah sebagai Tempat kembalinya, Allah sebagai zat yang akan menghisab segala perbuatan, sama ada baik atau buruknya amalan itu, dan perlu juga diajar tentang sifat-sifat Allah.

Adapun mengenai Rasulullah , anak mestilah diajar tentang, Rasulullah sebagai manusia pilihan, Rasulullah sebagai manusia yang membawa wahyu Allah, sifat-sifat dan keperibadian Rasulullah, perjuangan dan pengorbanan Rasulullah untuk Islam dan umatnya dan Rasulullah sebagai suri teladan bagi manusia.

Pengenalan anak-anak kepada Allah dan Rasulullah bertujuan untuk menanamkan rasa cinta mereka kepada Allah dan Rasulullah dan bukan sekadar mengenal nama atau cerita semata. Menanamkan rasa cinta hanya boleh dilakukan dengan cinta juga. Ketika orangtua hendak mendarahdagingkan kecintaan kepada Allah dan Rasulullah dalam setiap aliran darah anak-anaknya, maka dia mestilah terlebih dahulu menanamkan rasa cinta ke dalam jiwanya kepada anak-anaknya. Gagal memiliki kecintaan dalam mengenalkan anak kepada Allah dan Rasulullah merupakan tanda utama kegagalannya.

Pada sisi lain, setiap ucapan atau perilaku yang ditujukan untuk mengenalkan anak kepada al Khaliq dan Rasulullah haruslah mengandungi ‘ruh’. Ertinya, ucapan dan perilaku kita sebagai ibu mesti lahir dari rasa cinta kita kepada Allah dan Rasulullah. Mungkinkah orang yang tidak mencintai Allah dan Rasulullah dapat menanamkan kencintaan sang anak kepada Allah dan RasulNya? Mungkinkah orang yang mengenal Allah dan Rasul secara ala kadar dapat melahirkan generasi yang kecintaan kepada keduanya luar biasa?

Ammar bin Yasir sangat cinta kepada Allah dan RasulNya kerana ayah-ibunya iaitu Yasir dan Sumayah adalah para pencinta Allah dan Rasul. Begitu juga, Abdullah bin Zubair. Dia dibimbing oleh orangtuanya iaitu Asma binti Abu Bakar dan Zubair Al Awwam.

Para ibu perlulah mengetahui, anak-anak sebenarnya mengharapkan asuhan dan didikan yang sempurna dari seorang ibu. Ibu lebih rapat hubungannya dengan anak-anak daripada seorang bapa. Bagaimanakah asuhan dan didikan yang sempurna dapat diberikan sekiranya ibu-ibu sentiasa sibuk berperanan di luar urusan rumahtangga mereka ?

Para ibu hendaklah juga menyedari bahawa anak-anak merupakan generasi masyarakat akan datang. Kegagalan dan kelalaian para ibu dalam memberikan pendidikan yang sempurna akan menyebabkan masyarakat menjadi porak peranda. Seorang ibu yang solehah ialah ibu yang mengasuh dan mendidik anak-anaknya dengan rasa keghairahan dan harapan untuk menanam dan mempertahankan konsep kehidupan Islam. Adalah menjadi tugas seorang ibu Muslimah apabila anaknya sudah pandai bertutur, mengajarkannya ucapan syahadat dan ucapan-ucapan lain yang baik-baik yang banyak dianjurkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam di dalam hadisnya.

Demikian pula apabila anak-anak sudah berumur tujuh tahun. Ibu-ibu hendaklah menggesa anak-anak mereka menunaikan sembahyang. Jika dia cuai menunaikan sembahyang apabila berumur 10 tahun, maka dia boleh dipukul. Bagaimanapun mendidik anak-anak mengerjakan ibadah hendaklah disertai dengan keterangan yang jelas supaya mereka mengetahui serta memahami tujuan sebenar ibadah yang mereka laksanakan.

Adalah menjadi peranan ibu-ibu Muslimah untuk menceritakan kepada anak-anak mereka tentang kehebatan perjuangan tokoh-tokoh Islam di masa lalu supaya menjadi perangsang kepada mereka untuk dicontohi. Seterusnya para ibu hendaklah sentiasa peka dan mengawasi anak-anak daripada membaca buku, majalah-majalah atau menonton filem-filem yang kurang sihat kerana ini boleh mempengaruhi jiwa dan mengakibatkan gejala yang tidak baik terhadap perkembangan peribadi anak-anak.

Anak-anak kita memang lahir melalui kita, tetapi mereka bukan milik kita secara mutlak. Seringkali orang tua menghendaki anaknya menjadi sebagaimana yang diharapkan, tetapi rasa sulit untuk mencapainya. Sebagai ibu, kita tidak perlu cepat mengalah apalagi menyerah. Berusaha terus. Jangan lupa bahawa ada senjata untuk ibu yang sangat utama: Doa. Setiap kali selesai solat, doakanlah anak-anak kita agar mereka mengenal dan mencintai Rasulnya serta menjauhi segala perbuatan yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya. Mintalah dengan kesungguhan dan titisan airmata kecintaan. Lebih afdhal lagi jika dilakukan di tengah malam saat para malaikat turun ke langit dunia. Setelah solat malam, berdoalah ”Ya Allah, jadikanlah anak-anak kami mengenal serta mencintai Mu dan Rasul Mu”’.

Sembilan cara mendidik anak taat pada hukum syarak
1. Tanamkan kecintaan pertama dan utama hanya kepada Allah.
2. Mengajar anak supaya menjadikan Rasulullah sebagai idola.
3. Mengajar anak supaya terbiasa menghafal, membaca dan memahami Al Quran.
4. Tanamkan kebiasaan beramal untuk meraih Syurga dan kasih sayang Allah.
5. Sediakan penghargaan dan hukuman yang mendidik untuk amal baik dan amal
buruknya.
6. Sebagai ibu, anda merupakan teladan dalam beribadah dan beramal soleh.
7. Ajarkan secara bertahap hukum-hukum syarak sebelum usia baligh.
8. Hidupkan rumah, surau, masjid dalam kawasan tempat tinggal kita dengan kajian
Islam yang mana kita dan anak kita berperanan aktif.
9. Ajarkan anak bertanggung jawab terhadap kewajiban-kewajiban untuk dirinya,
keluarganya, tempat tinggalnya dan dakwah Islam.

Khatimah
Dari apa yang dijelaskan di atas, ibulah orang yang paling berperanan dalam mendidik anak-anaknya menjadi anak yang soleh/solehah. Anak adalah amanah Allah kepada ibubapa. Seandainya anak ini tidak di didik dengan sempurna, maka meranalah ibu bapa dunia dan akhirat. Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang mempunyai anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup mereka bukan sahaja hidup di dunia bahkan di Akhirat juga. Doa daripada anak-anak yang soleh tetap tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun kedua-duanya telah meninggal dunia sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu alaihi Wasallam yang bermaksud: “Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya” [HR.al-Bukhari].
 


Terjemahan – Adakah Islam Menindas Wanita (Bahagian 1)

Ini adalah kenyataan: Lebih Islami sesebuah negara itu, lebih terkongkong wanitanya…” – Peter Hitchens – [Mail, Ahad].

Hijab….dengan serta-merta menunjukkan satu sistem kepercayaan dimana wanita adalah lebih rendah mertabatnya dari lelaki dan ini tidak boleh ditoleransi di sini.” – Minette Marrin – [The Times]

(Berkenaan pakaian Islam)…kepada saya, nilai yang cuba ditonjolkan dengan berpakaian begini adalah menjijikan dan mengaibkan. Saya mendapati bahawa berpakaian sebegini merupakan satu manifestosatu amalan tradisi lapuk…yang menindas dan menjadikan wanita mangsa, adakalanya sangat hina, zalim dan kejam.” – [Deborah Orr – The Independent]

Sejak berabad, jika tidak berzaman, “wanita Muslim” telah dijadikan “poster–girl” lambang penindasan wanita secara global. Ungkapan “syariah” apabila dikaitkan dengan perkataan “Wanita”, sering dilabelkan sebagai warga kelas kedua (second-class citizen), diskriminasi, tidak adil, ganas, lebih rendah martabatnya dari lelaki, dikuasai oleh kaum lelaki, tidak penting kepada masyarakat, dan hamba kepada lelaki. Walau bagaimanapun, fakta yang nyata adalah secara global wanita lebih banyak memeluk Islam dibandingkan dengan lelaki (di beberapa negara Barat, nisbahnya 4:1); malah apa yang nyata adalah pertambahan wanita yang memakai hijab dan jilbab, walaupun di Barat.

Malah, dalam tinjauan terhadap pendapat umum di dunia Islam dalam beberapa tahun kebelakangan ini menujukkan pertambahan bilangan wanita Islam berharap penerapan undang-undang syariah di negara mereka, setidak-tidaknya semua ini boleh mempersoalkan persepsi tentang layanan terhadap wanita dalam Islam. Oleh yang demikian, adakah Islam menindas wanita dan jika tidak, dari manakah persepsi mengenai layanan wanita itu timbul? Dalam penulisan ini, bahagian pertama dari dua bahagian artikel, kita akan mengkaji dua hujah yang dibawa oleh Barat sebagai bukti bahawa Islam menindas wanita:
1) Ketidakadilan yangdihadapi oleh wanita di dunia Islam dan komuniti Islam di Barat;
2) Pembatasan Islam terhadap kebebasan berpakaian, hubungan dan cara hidup oleh wanita.

(1) Ketidakadilan yang dihadapi oleh wanita di dunia Islam dan komuniti Islam di Barat:

Tidak disangkal lagi, realiti saat ini yang dihadapi oleh berjuta wanita Muslim di dunia Islam termasuk beratus di Britain ini adalah saturealiti yang menyakitkan – kahwin paksa; pembunuhan terhormat (honour killing), beribu wanita dimasukkan ke hospital setiap tahun kerana muka mereka disimbah dengan asid kerana membantah untuk dijodohkan atau bertelagah dalam perkahwinan dan pemberian mas kahwin. Islam sering dikenal pasti sebagai faktor utama kepada semua ketidak-adilan terhadap wanita, walaupun satu kajian ringkas mengenai peraturannya akan menunjukkan perbuatan –perbuatan tersebut adalah dibenci oleh agama.

Perkara–perkara ini adalah akibat dari adat resam suku kaum yang tidak Islami atau budaya tradisi yang diamalkan oleh sesuatu kelompok masyarakat. Tambahan pula, amalan–amalan ini telah menyediakan tapak– tapak yang subur untuk berkembang-biak oleh rejim–rejim diktator di dunia Islam. Pemerintah–pemerintah ini telah menutup sebelah mata terhadap budaya tradisi yang kejam ini dengan membiarkan jenayah ini tanpa hukuman. Malahan, semua ini telah memulakan ketidak-adilan terhadap wanita yang mana mangsa rogol meringkuk di dalam penjara, wanita menghadapi kemiskinan tegar, tidak berpeluang dalam bidang pendidikan, kesihatan, pekerjaaan dan hak berpolitik.

Sebahagian dari negeri- negeri ini telah dikaitkan dengan Islam, tetapi, jika diteliti secara dekat pada struktur pemerintahan, undang-undang dan perlembagaan mereka, telah memperlihatkan pemerintahan beraja, sistem kesukuan, pemerintahan diktator sekular atau republik – struktur yang telah meletakkan kedaulatan undang-undang itu ditangan–tangan manusia dan oleh itu pasti akan bercanggah dengan sistem pemerintahan Islam, Khilafah yang meletakkan kedaulatan undang – undang ditangan Sang Pencipta dimana peraturan dan hukumhakamnya berasal dari nas-nas Syarak. Jika dibandingkan, hak wanita dalam Islam adalah jelas: hak untuk belajar, bekerja, mengundi, berpolitik, mempunyai pilihan dalam perkahwinan dan hak untuk bercerai, hak sebagai warganegara setara dengan lelaki dalam masyarakat dan yang paling penting adalah hak kehidupan dan maruahnya mesti dihormati dan dilindungi.

Walau bagaimanapun, tidak seperti masyarakat Barat dimana wanita sering berlawan dengan sistem untuk mendapatkan hak-hak mereka, sejarah Islam telah menjelaskan bahawa hak-hak wanita diberi kepada mereka berlandaskan kepada hukumhakam Islam iaitu Sistem Khilafah. Apabila sistem ini menjadi lemah dan dihapuskan pada tahun 1924, hak-hak wanita tidak lagi mendapat jaminan dan wanita Islam tidak mendapat keadilan dalam aspek budaya kesukuan, menjadi mangsa regim autokratik serta tafsiran dan penerapan hukum-hakam Islam yang salah.

(2) Batasan Islam tentang kebebasan memilih bagi wanita:

Diantara hujah-hujah yang dibawa oleh Barat tentang Syariah hukum Islam yang didakwa sebagai menindas wanita adalah mengenai hukum-hakam yang membatasi wanita, tidak menjamin kebebasan peribadi dan seksual mereka, serta menafikan pilihan mereka tentang cara berpakaian, pemisahan dan larangan bersosial diantara lawan jenis, dan hukuman berat bagi zina atau persetubuhan haram. Masalah pokok disini adalah ‘method’ atau kaedah pembelajaran tentang Islam. Sesetengahnya telah mengkaji hukum-hukum Syarak secara berasingan dari sistem Islam yang komprehensif untuk masyarakat. Sebahagian lain telah mentafsir nilai-nilai dan hukum-hakam Islam berlatarbelakangkan standard, nilai dan peraturan Sekular-Barat. Sebarang perbezaan sentiasa dilabelkan sebagai penindasan tanpa mengkaji dan membandingkan keseluruhan kesan nilai-nilai dan
peraturan–peraturan tersebut keatas masyarakat. Berdasarkan kepada sejarah, terdapat satu keutamaan mempelajari Islam melalui kaca mata “Euro–centric”.

Di dalam perbahasan berkenaan Islam dan wanita, terdapat petikan kata-kata dari seorang penjajah: Lord Cromer, Konsul Jeneral British di Mesir di abad ke 19, pernah menulis, “Orang-orang Mesir seharusnya dipujuk atau dipaksa untuk menerima peradaban Barat yang sebenar dan untuk mencapainya, adalah amat penting untuk menukar posisi wanita didalam Islam, kerana Islam sendiri merendahkan martabat wanita dengan bertudung dan memisahkan lelaki dan perempuan yang menjadi halangan utama bagi orang-orang Mesir untuk pencapaian yang tinggi dalam pemikiran dan peribadi yang sepatutnya mengiring peradaban Barat”.

Walau bagaimanapun, nilai-nilai liberal ini mempunyai masalah-masalah tersendiri. Contohnya, mereka diberi lesen untuk mengeksploitasikan tubuh wanita melalui industri pornografi, iklan dan hiburan. Apabila martabat wanita direndahkan, perbuatan seperti gangguan seksual, penderaan dan rogol mungkin kurang dibenci oleh sebahagian lelaki seperti yang terbukti dari peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat Barat. Menurut Kajian Jenayah British 2007, 230 wanita telah dirogol setiap hari di UK. Menurut Kajian Jenayah British 2004, satu diantara empat wanita di UK pernah mengalami beberapa gangguan seksual semenjak berumur 16 tahun. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat juga pernah melaporkan data mengenai serangan seksual di Amerika Syarikat, menunjukkan setiap 2 minit, seorang wanita akan mengalami serangan seksual. Di dalam masyarakat seperti ini, ujudkah pilihan untuk tidak merasa takut atas sebarang gangguan dan bahaya untuk berpergian, bekerja dan belajar?

Bahkan, kebebasan seksual telah melahirkan satu budaya perlakuan hubungan jenis secara rambang, malah peningkatan kadar kehamilan remaja, penguguran, penyakit jangkitan seksual atau sexuallytransmitted disease (STD) dan penzinaan, mengakibatkan runtuhnya institusi perkahwinan dan kekeluargaan. Menurut satu kumpulan penasihat kerajaan tentang kesihatan seksual, terdapat 63% peningkatan STD sepanjang abad lalu. Ditambah pula, jika masyarakat memupuk sikap hak atau kebebasan peribadi melebihi segala yang lain, dia mesti memahami konsekuensinya – ‘pilihan’ oleh seorang lelaki untuk menjadi bapa kepada anak-anak yang berlainan ibu dan tidak bertanggungjawab dari segi fizikal dan mental keatas anak dan ibu; ‘pilihan’ oleh ibubapa untuk mengabaikan anak-anak mereka untuk mengejar impian sendiri; ‘pilihan’ seseorang individu itu untuk mengabaikan orang tua atau saudaranya kerana terlalu fokus dalam keinginan-keinginan mereka dalam hidup.

Islam tidak mempercayai kebebasan individu tetapi bertujuan untuk melindungi nilai-nilai di dalam masyarakat – nilai-nilai seperti kesucian, maruah dan kehormatan lelaki dan wanita, perkahwinan yang kukuh, kekuatan kekeluargaan dimana setiap anak dilahirkan didalam ikatan perkahwinan, mengetahui ibu dan bapa mereka, dan mengetahui tanggungjawab kewangan, fizikal dan kebajikan mental. Ia juga mempercayai kerjasama diantara lelaki dan perempuan didalam masyarakat disegi pendidikan, ekonomi, politik dan kehidupan sosial amnya. Ia tidak melihat apakah yang boleh memaksimakan keseronokan individu dalam masyarakat tetapi, apakah yang terbaik untuk kehormonian, keselamatan dan kehormatan untuk masyarakat keseluruhannya.

Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam pernah bersabda, “Perumpamaan orang-orang yang menjaga hukum-hukum Allah (hudud) dan orang-orang yang meninggalkannya adalah umpama orang-orang yang berkongsi satu bahtera. Sebahagian akan duduk di tingkat atas dan sebahagian lagi di tingkat bawah. Orang–orang yang duduk ditingkat bawah perlu naik ketingkat atas jika memerlukan air. Jika mereka berkata, kenapa tidak dibuatkan lubang di tingkat kita supaya mudah mendapat air dan tidak perlu menyusahkan mereka yang ditingkat atas. Jika mereka yang di tingkat atas membiarkan perkara ini berlaku, kesemua penumpang kapal akan tenggelam. Tetapi, jika mereka dilarang melakukannya, maka kesemua mereka pasti akan terselamat.”

Islam yakin bahawa kebebasan seksual dan keseksualan masyarakat boleh melahirkan satu budaya hubungan seks secara rambang dan perzinaan yang akan membahayakan nilai-nilai yang ingin dilindungi dalam masyarakat. Oleh yang demikan, Islam telah menetapkan pelbagai undang-undang, hukumhakam dan batasan untuk mengatur hubungan diantara lelaki dan perempuan dalam masyarakat, berusaha dan memastikan bahawa keinginan dan hubungan seksual adalah terbatas iaitu hanya dengan wujudnya ikatan perkahwinan dan dijauhkan dari kehidupan umum.

Hukum tentang berpakaian (khimar dan jilbab), larangan bersosial diantara berlainan jantina, larangan lelaki dan perempuan berdua-duaan di tempat yang sunyi dan hukuman yang berat bagi zina, dan fitnah adalah diantara hukum dan peraturannya. Islam tidak mempercayai idea bahawa seseorang wanita itu boleh dipandang menurut “kebebasan” atau ‘pilihan” oleh lelaki tetapi, mewajibkan masyarakat untuk memuliakannya dan menghormati pandanganya.

Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam pernah bersabda, “Dunia dan seluruh benda didalamnya adalah berharga tetapi yang paling berharga didalam dunia ini adalah seorang wanita yang suci.” Menggunakan tubuh wanita untuk menjual sebarang produk atau servis adalah diharamkan. Matlamatnya ialah untuk melahirkan satu masyarakat yang mana wanita boleh berinteraksi dengan lelaki dan mempunyai kehidupan umum yang aktif tetapi juga selamat serta saling menghormati.

Di dalam Bahagian 2 (di keluaran yang akan datang), kita akan mengkaji hujah yang menyatakan Islam mendiskriminasikan wanita serta ketidak-samarataan gender akibat perbezaan hak, tanggungjawab dan hukum-hakam untuk lelaki dan perempuan dalam beberapa isu seperti peranan dan hak dalam perkahwinan dan hidup berkeluarga, hukum perceraian, hukum harta pusaka, hukum berpakaian, poligami dan larangan perempuan menjadi ketua sebuah negara.