Fikratul Ummah – September 2013

FU-Cover-April2013

MUQADDIMATUL KALAM
 

Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh….
 
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
 
Kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinNya jua dapat kita menikmati lagi kehidupan di dunia yang merupakan ladang untuk menyemai amalan sebagai bekal hidup di akhirat kelak. Alhamdulillah juga kerana pembaca sekalian masih setia mengikuti keluaran bulanan FU untuk bersama-sama meluruskan cara pandang hidup kita sesuai dengan syariat Islam.
 
Sidang pembaca yang dimuliakan,

Sudah menjadi satu acara wajib dalam kalendar Malaysia, sambutan bulan kemerdekaan akan dirai mulai pertengahan Ogos sehinggalah ke pertengahan September dan semangat yang dibawa tetap sama sehingga sekarang iaitu patriotisme dan nasionalisme. Saban tahun kedua-dua semangat ini semakin digilap dan disuburkan di mana sasaran utama adalah golongan muda pasca merdeka yang dikatakan sudah hilang semangat cintakan negara dalam diri mereka kerana kurangnya penghayatan terhadap sejarah negara sekaligus melupakan jerit perih generasi sebelum merdeka yang berjuang mendapatkan kemerdekaan untuk tanah air tercinta. Ini ditambah lagi dengan sambutan Hari Malaysia pada tanggal 16 September untuk memperingati sejarah penubuhan negara persekutuan Malaysia.
 
Sejarah dan sambutan kemerdekaan bukanlah alasan untuk menyuntik semangat patriotisme dan nasionalisme dalam minda generasi muda. Apa yang perlu difahami oleh seluruh umat Islam terutamanya generasi muda ialah maksud sebenar ‘nasionalisme’ dan ‘patriotisme’ itu sendiri.  Oleh itu, kupasan utama FU bulan ini mengajak pembaca sekalian untuk memahami realiti serta akibat daripada penyuburan semangat nasionalisme dan patriotisme ini.
 
Mudah-mudahan kita semua dipelihara oleh Allah S.W.T dengan kemampuan melihat kebenaran sebagai kebenaran dan kebatilan sebagai kebatilan kerana Allah S.W.T telah berfirman,
 
“Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan dan Allah mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan. Katakanlah: ‘Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan’” [TMQ al-Ma’idah (5): 99-100].
 


DOA MOHON PENYATUAN

Maksudnya:
 
“Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami  Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”   [TMQ al-Baqarah (2):128].

 



NASIONALISME RACUN PEMUSNAH KESATUAN UMMAH

 
Muqaddimah
Sambutan kemerdekaan baru saja berlalu. Kini menyusul pula Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun. Hari Malaysia disambut bagi memperingati penubuhan persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Persekutuan ini menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Singapura seterusnya telah keluar daripada Malaysia untuk menjadi sebuah republik pada 9 Ogos 1965. Bagi membolehkan Hari Malaysia dihayati sepenuhnya, tarikh 16 September diisytiharkan sebagai cuti umum.
 
Apabila dicermati, Hari Malaysia yang disambut ini menzahirkan lagi  perpecahan negeri umat Islam. Inilah racun nasionalisme yang berjaya disuakan oleh Barat kepada dunia  Islam sejak sekian lama. Hakikatnya dengan racun ini jugalah negara-negara umat Islam dicerai-beraikan menjadi lebih dari 50 buah negara. Setiap negara berasa bangga dengan batas sempadan negara masing-masing dan mempertahankan sistem pemerintahannya yang tidak syari’e.  Malah masing-masing penguasa menjaga batas sempadan palsu yang dilakar oleh penjajah ini dan mengambil sikap untuk saling tidak mencampuri urusan negara lain.
 
Wajarkah Hari Malaysia disambut dan diraikan tatkala urusan dan masalah umat Islam di “negara lain” tidak diendahkan? Saban hari kaum Muslimin berdepan dengan kezaliman dan  penganiayaan daripada musuh-musuh Islam tanpa henti, apatah lagi dengan peristiwa berdarah di Syria dan Mesir yang masih belum selesai. Tidakkah  terdetik rasa bersalah di hati apabila menyaksikan dan membiarkan saudara seakidah dizalimi sedemikian rupa sehingga diragut nyawa mereka,  namun kita di sini bersorak-sorai dan menghabiskan jutaan ringgit untuk meraikan hari pembentukan sebuah negara-bangsa yang diharamkan oleh Islam?

Akibat Nasionalisme
Hans Kohn, seorang pemikir mentakrifkan nasionalisme sebagai suatu keadaan pada individu ketika dia berasa bahawa pengabdian yang paling tinggi adalah untuk bangsa dan tanah air [sumber: http://ms.wikipedia. org/wiki/Sejarah_Singapura]. Dengan kata lain, nasionalisme adalah fahaman yang mengunggulkan dan mengutamakan rasa dan sifat “kebangsaan” melebihi dari yang lain. Bagi seorang nasionalis, bangsa dan tanah air adalah segala-galanya. Tidak ada yang lebih penting dalam hidupnya kecuali berjuang untuk membela dan memartabatkan bangsa dan tanah airnya.
 
Sejak berkurun lamanya, nasionalisme telah menghilangkan keprihatinan umat terhadap satu sama lain sehingga kaum Muslimin menjadi lemah. Padahal umat Islam di mana pun mereka berada, pada hakikatnya adalah saudara seakidah yang wajib di ambil peduli dan dibela nasib mereka. Akibat nasionalisme, Malaysia tidak begitu menghiraukan keadaan yang berlaku ke atas umat Islam yang dizalimi di Selatan Thailand mahupun Rohingya. Malah Indonesia juga tidak berasa prihatin ketika terdapat pelarian Rohingya yang terapung di perahu-perahu kecil di perairan Acheh yang meminta perlindungan sehingga akhirnya mereka tenggelam. Begitu juga Bangladesh, negeri majoriti   Muslim yang bersempadan dengan Myanmar, yang sepatutnya menyelamatkan pelarian ini tetapi telah mengusirnya dan membiarkan mereka terkapai-kapai di lautan sehingga meninggal dunia.
 
Akibat nasionalisme jugalah kisah Dr Afiaa Siddique (Pakistan) tidak dipedulikan. Sungguh menyayat hati mengenangkan nasib Muslimah ini yang telah diculik, diseksa dan dijatuhi hukuman penjara selama 86 tahun atas tuduhan tak berasas cuba menyerang askar Amerika dan sekumpulan ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Karachi. Walaupun ramai yang menyuarakan kesangsian tuduhan yang dikenakan ke atasnya, namun mahkamah tetap dengan keputusan yang dijatuhkan.
 
Beginilah nasib malang yang menimpa seorang Muslimah yang tidak berdaya. Bukan sekadar dipenjara, malah media telah memaparkan pelbagai penyeksaan yang dikenakan ke atasnya ketika berada dalam tahanan, daripada penjara Afghanistan sehinggalah ke Amerika Syarikat. Walaupun telah didera, dirogol dan dicederakan semasa dalam tahanan, namun mahkamah langsung tidak menghiraukan perkara tersebut. Walhal, pihak berkuasa Amerika tahu bahawa beliau didera dan pernah ditembak dalam siri penderaan tersebut.
 
Kesan daripada nasionalisme juga menjadikan Malaysia menolak untuk mencampuri urusan umat Islam di  Mesir. Pepatah Melayu ‘jangan jaga tepi kain orang’ nampaknya sudah sebati dengan pendirian yang selama ini dipegang kerajaan Malaysia.  Akhirnya apa yang berlaku di Mesir tidak lebih dari hanya sumber berita yang dipaparkan di media massa tanpa diambil apa-apa tindakan oleh pihak kerajaan bagi membantu kaum Muslimin yang dibunuh di negeri Anbiya’ tersebut.
 
Atas nama nasionalisme juga, kezaliman dan penganiayaan yang tidak terperi yang dihadapi kaum  Muslimin di Syria turut tidak dihiraukan. Saban hari mereka dibunuh,  muslimahnya dirogol, wanita dan anak-anak kecil ditembak dan seribu satu macam kezaliman yang tak dapat diterima dek akal, telah dan sedang berlaku.
 
Persoalannya, di manakah ke-prihatinan penguasa negara-negara umat Islam?. Tidakkah kezaliman dan pembunuhan luar biasa oleh rejim Basyar Assad laknatullah ini menyedarkan penguasa-penguasa Islam untuk bertindak? Belum cukupkah penderitaan yang dialami umat selama ini untuk mereka menggerakkan tentera-tentera Islam agar berjihad?
 
Hapuskan Nasionalisme, Bersatu di Bawah Khilafah
Islam telah mewajibkan kau  Muslimin untuk berjihad melawan orang-orang kafir yang menyerang umat Islam. Namun begitu, perang melawan orang kafir yang menyerang umat Islam tidak boleh didasarkan pada kecintaan pada tanah air (patriotisme) atau bangsa (nasionalisme). Seorang Muslim wajib mempertahankan negerinya kerana keimanannya, bukan kerana yang lain. Seseorang yang berperang melawan orang-orang kafir hanya kerana  patriotisme atau nasionalisme, maka peperangannya tidak dianggap ibadah kepada Allah S.W.T. dan jika ia mati, matinya adalah sia-sia. Sabda Rasulullah SAW,
 
Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada ‘assabiyyah, berperang atas dasar ‘assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) ‘assabiyyah  [HR Abu Daud].
 
Sesungguhnya umat Islam memiliki jutaan tentera dengan persenjataan yang lengkap. Negeri umat Islam juga memiliki ratusan juta penduduk yang bersedia membantu para tentera membebaskan negeri-negeri Islam dan menyelamatkan umat yang sedang menderita parah ini. Sesungguhnya ramai Muslim yang siap-sedia melaksanakan perintah Allah S.W.T untuk jihad fi sabilillah, merindukan syahid demi meninggikan  kalimah Allah sekaligus membebaskan wilayah-wilayah Islam yang terjajah dan membela kehormatan kaum Muslimin.
 
Apa yang tidak dimiliki umat Islam sekarang  ialah negara Khilafah yang akan menggerakkan pasukan tentera tersebut.  Sekiranya wujud negara Khilafah, Khalifah sudah pasti akan mengerah-kan bala tentera untuk berperang melawan musuh-musuh Allah ini berdasarkan keimanan dan aqidah yang benar. Namun, semua ini hampir mustahil dilakukan selagi nasionalisme masih berakar umbi di negeri-negeri umat Islam.
 
Sesungguhnya umat Islam memerlukan seorang Khalifah yang akan membuat keputusan politik dengan mengerahkan tentera bagi menyelamatkan negeri-negeri umat Islam, tanpa dibatasi oleh semangat kebangsaan, kesukuan, warna kulit atau keturunan dan tanpa menunggu perintah PBB yang menjadi alat penjajah Barat. Tentera wajib bergerak atas dasar aqidah Islam dan perintah Allah S.W.T untuk berjihad di jalanNya. Sekiranya tentera telah turun ke medan menyahut perintah Allah, maka musuh-musuh Allah tidak lagi akan memandang remeh terhadap umat Islam sepertimana sekarang.   Firman Allah S.W.T,
 
Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dari lelaki dan perempuan, Kami menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian adalah yang paling bertakwa di sisi Allah”   [TMQ al-Hujurat (49): 13].
 
Ayat ini menerangkan tentang  kepelbagaian bangsa, keturunan dan suku manusia agar manusia saling mengenal dan mengetahui nasab masing-masing. Tidak ada keutamaan satu suku atas suku yang lain serta satu bangsa atas bangsa yang lain kecuali dengan tingkat ketakwaan masing-masing kepada Allah. Dari arah mana pun, ayat ini sama sekali tidak menunjukkan pensyariatan nasionalisme, sebagaimana dakwaan sesetengah pihak yang keliru dan mengelirukan. Islam malah memerintahkan umatnya untuk bersatu dan mencampakkan sejauh-jauhnya ikatan-ikatan yang mengarah pada perpecahan seperti kebangsaan, suku dan latar belakang keturunan.
 
Nasionalisme bukan sahaja berbahaya bagi umat Islam, tetapi bagi seluruh umat manusia. Nasionalisme mengembalikan umat pada ikatan-ikatan ‘assabiyyah yang telah dihapuskan oleh Islam. Ikatan ‘assabiyyah inilah dalam banyak perkara, menjadi faktor penting dalam menciptakan konflik dan permusuhan antara negara, suku dan kelompok.
 
Nasionalisme juga bertentangan  dengan sifat dan karakter agama Islam. Islam adalah agama universal yang tidak hanya diperuntukkan bagi suku, keturunan, bangsa atau negara tertentu tetapi bersifat menyeluruh untuk seluruh umat manusia.  Nasionalisme bertentangan dengan Islam dilihat dari aspek mana sekalipun, termasuk dari segi politik yang mana Islam mewajibkan kepemimpinan tunggal (Khalifah) di seluruh dunia untuk seluruh umatIslam. Islam melarang adanya  dualisme kepemimpinan mahupun negara. Nabi S.A.W pernah bersabda yang ertinya
 
“Apabila dibaiat dua orang Khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari yang keduanya
”  [HR Muslim].
 
Jelas bahawa kaum Muslim wajib hidup di bawah satu kepemimpinan dan negara. Mereka dilarang mendirikan institusi negara lebih dari satu. Berbeza dengan nasionalisme, fahaman ini membolehkan adanya banyak negara dan kepemimpinan yang bukan sahaja bertentangan  dengan Islam, malah menjadi punca kepada banyak malapetaka di dunia.
 
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Keluarlah dari kesempitan nasionalisme dan patriotisme menuju keluasan dunia dengan Islam. Tanpa disedari, keadaan ini sebenarnya merupakan kezaliman yang diciptakan baik untuk diri sendiri mahupun kepada yang lain. Ayuh! Tinggalkanlah ikatan nasionalisme dan patriotisme yang datang seiring dengan sistem demokrasi yang wujud ini kerana ia tiada bermanfaat lagi hina.
 
Sudah pasti, adalah menjadi satu kewajipan ke atas umat Islam hari ini untuk mengembalikan kesatuan ini dalam bentuk asal seperti yang diwariskan oleh junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W yakni kehidupan di bawah naungan Khilafah Rasyidah ‘Ala Minhaj An-Nubuwwah. Itulah sebenar-benar kesatuan yang digeruni oleh kuffar Barat. Wallahu a’lam.
 
Rujukan:
1. http://sejarah11-jt.blogspot.com/2012/10/munculnya-paham-baru.html
2. http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/2393-sn234-siapa-yang-akan-membebaskan-dr-aafia-siddiqui
3. http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/2299-sn226-susah-sangatkah-untuk-bersatu
4. http://hizbut-tahrir.or.id/2013/03/31/ustadz-syamsuddin-ramadhan-an-nawi-nasionalisme-melemahkan-umat/
5. Terjemahan Al-Quran dan al-Hadis
 

 


HIDUPKAN UKHUWAH ISLAMIYAH, TINGGALKAN ASSABIYYAH!
 

Tafsir Ayat
 
Allah S.W.T berfirman:
 
 
(Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara). Berdasarkan ayat ini, dapat disimpulkan bahawa sebab utama yang menyatukan sesama individu Mukmin itu adalah atas dasar ukhuwah (persaudaraan) Islamiyah kerana persamaan akidah. Ayat ini juga turut menekankan bahawa ukhuwah kaum Mukmin atas dasar akidah ini adalah sangat kuat, malah lebih kuat daripada persaudaraan atas dasar nasab (ikatan darah). Hal ini dapat dilihat dari beberapa sudut: 

Pertama, penggunaan kata ikhwah dan kata ikhwan – yang merupakan jamak dari kata akh[un] (saudara). Kata ikhwah dan ikhwan dalam penggunaannya boleh saling menggantikan. Namun, umumnya kata ikhwah digunakan untuk merujuk saudara senasab, sedangkan kata ikhwan pula untuk merujuk kawan atau sahabat. Penggunaan kata ikhwah dalam ayat ini membuktikan bahawa ukhuwah sesama Muslim itu lebih dari sekadar persahabatan atau kawan-kawan biasa.

Kedua, ayat ini dimulakan dengan kata. Walaupun secara ter-minologi bahasa, kata innama tidak semestinya membawa maksud hasyr (pembatasan), tetapi dalam ayat ini, kata innama membawa makna hasyr.  Maksudnya, tidak ada persaudaraan kecuali antara sesama Mukmin, dan tidak mungkin ada persaudaraan antara Mukmin dan kafir.  Ini mengisyaratkan bahawa ukhuwah Islam adalah lebih kuat daripada persaudaraan nasab. Persaudaraan nasab boleh terputus kerana perbezaan agama. Sebaliknya, ukhuwah Islam tidak boleh (malah hukumnya haram) terputus kerana perbezaan nasab. Bahkan, persaudaraan nasab dianggap tidak wujud jika ia tidak disertai dengan persaudaraan (akidah) Islam. 
 
Hal ini dapat dibuktikan dengan  melakukan penelitian dalam beberapa hukum-hukum syarak, seperti dalam masalah pewarisan. Tidak ada hak waris antara Mukmin dan kafir dan sebaliknya. Jika seorang Muslim meninggal dunia dan dia hanya memiliki saudara senasab yang kafir, saudaranya yang kafir itu tidak layak mewarisi hartanya.  Malah, hartanya itu akan menjadi milik kaum Muslimin. Sebaliknya, jika saudaranya yang kafir itu meninggal dunia, dia tidak boleh mewarisi harta saudaranya itu.
 
Contoh yang lain dapat dilihat dalam hal kekuasaan. Umat Islam tidak boleh menjadikan orang kafir sebagai wali (pemimpin), sekalipun ia adalah bapa-bapa dan saudara-saudara mereka [lihat TMQ at-Taubah [9]: 23].

Kemudian, Allah S.W.T berfirman:
 
(kerana itu, damaikanlah di antara kedua saudara kalian). Lumrahnya sebagai saudara, kehidupan mereka akan diliputi rasa cinta, kasih sayang dan perdamaian. Jika terjadi persengketaan dan peperangan antara mereka, sesungguhnya itu adalah tindakan penyimpangan. Maka, wajib untuk mengishlahkan (memperbaiki hubungan) mereka yang bersengketa, iaitu dengan mengajak mereka untuk mencari penyelesaiannya dengan kembali kepada  hukum Allah dan RasulNya.

Perkataan akhawaykum (kedua saudara kalian) menunjukkan jumlah minimum individu Muslim yang berkemungkinan terlibat dalam persengketaan. Jika dua orang Muslim sahaja yang bersengketa sudah wajib untuk didamaikan, apatah lagi jika jumlahnya lebih dari dua orang!
 
Kata akhaway (dua orang saudara) yang digunakan dalam ayat ini memberikan makna, bahawa persengketaan atau pertikaian  antara mereka tidak akan mengeluarkan mereka dari tubuh kaum Muslim. Mereka tetap sahaja disebut sebagai saudara seakidah. Ayat sebelumnya juga menyebut dua kelompok yang saling berperang sebagai Mukmin. Perkataan akhaway yang di-mudhaf-kan dengan kum (kalian – pihak yang diperintahkan) adalah lebih menegaskan kewajipan islah (mendamaikan) itu, sekaligus menunjukkan takhsis (pengkhususan) atasnya. Maka, segala persengketaan antara sesama Mukmin adalah persoalan internal umat Islam yang wajib diselesaikan sendiri oleh mereka.

Selanjutnya Allah S.W.T berfirman:
 
(dan bertakwalah kalian kepada Allah supaya kalian mendapat rahmat). Takwa wajib dijadikan panduan dalam melakukan islah dalam semua perkara. Ketika melakukan islah, kaum Mukmin wajib terikat dengan kebenaran dan keadilan,  tidak berbuat zalim dan tidak cenderung kepada salah satu pihak.
 
Hal ini kerana mereka semua adalah bersaudara yang kedudukannya sama di sisi Islam. Maka, persengketaan itu wajib diselesaikan sesuai dengan    ketentuan hukum-hukum Allah, iaitu ber-tahkim pada syariat. Semoga dengan itu, mereka akan beroleh    rahmat dari Allah S.W.T.
 
Meninggalkan ‘Assabiyyah
Jelas sekali, ayat ini mewajibkan umat Islam agar bersatu dengan akidah Islam sebagai landasan penyatuan mereka. Islam menolak setiap pemikiran yang tidak didasarkan oleh akidah Islam. Nasionalisme contohnya, adalah haram di sisi Islam kerana ia termasuk dalam perbuatan ‘assabiyyah (fanatik golongan). Rasulullah S.A.W bersabda,

“Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada ‘assabiyyah, berperang atas dasar ‘assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) ‘assabiyyah”
  [HR Abu Daud].

Seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W, “Apakah seseorang mencintai kaumnya termasuk ‘assabiyyah?” Beliau menjawab: “Tidak, akan tetapi termasuk ‘assabiyyah jika seseorang menolong kaumnya atas dasar kezaliman [HR. Ibnu Majah].

Nasionalisme adalah pemikiran yang menjadikan persamaan bangsa sebagai dasar penyatuan individu dalam sebuah masyarakat. Pemikiran ini termasuk sebahagian daripada seruan-seruan jahiliyah (da’wa al-jahiliyyah). Nasionalisme menjadikan ketaatan dan pembelaan terhadap bangsa berada di atas ketaatan dan pembelaan terhadap Islam. Halal-haram pun akan dikalahkan ketika bertembung dengan ‘kepentingan nasional’. Akibatnya, kepentingan bangsa, walaupun menyalahi syariat, akan dibela. Jelaslah, fahaman ini termasuk ‘assabiyyah yang diharamkan dalam Islam.
 
Mewujudkan Ukhuwah Islamiyah

Ukhuwah Islamiyyah wajib untuk diwujudkan secara nyata dalam kehidupan. Hukum-hukum syariat Islam telah banyak menyebutkan sikap dan perilaku sebagai lambang kepada ukhuwah Islamiyyah ini. Misalnya, sikap saling mencintai sesama Muslim. Rasulullah S.A.W bersabda,

Kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman dan belum sempurna keimanan kalian hingga kalian saling mencintai…[HR. Muslim].

Kaum Muslimin juga wajib saling bersikap dzillah iaitu berkasih sayang, belas kasihan dan lemah lembut [lihat TMQ al-Ma’idah (5): 54]; bersikap rahmah terhadap umat Islam [lihat TMQ al-Fath (48): 29]; dan rendah hati kepada kaum Mukmin [lihat TMQ al-Hijr (15): 88].

Kaum Muslimin juga diperintahkan untuk tolong-menolong, membantu keperluan dan menghilangkan kesusahan saudaranya, melindungi kehormatan, harta dan darahnya, menjaga rahsianya, menerima permintaan maafnya dan saling memberikan nasihat.  Perlu juga ditekankan bahawa ukhuwah Islamiyyah ini tidak hanya bersifat individual, tetapi juga perlu diwujudkan dalam sistem kehidupan untuk memastikan ia dapat dimanifestasikan dalam komuniti Muslim.  Di sinilah Islam telah mewajibkan umatnya agar memiliki hanya sebuah negara dan satu kepimpinan yang dipimpin oleh seorang Khalifah.  Rasulullah S.A.W bersabda,

Jika dibaiat dua orang khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya  [HR. Muslim].

Islam juga melarang setiap usaha untuk memisahkan diri daripada Khilafah.  Allah S.W.T memerintahkan Khalifah untuk memerangi kaum penentang (bughat) hingga mereka kembali tunduk kepada Khilafah [lihat TMQ al-Hujurat (49): 9]. Nabi S.A.W pernah bersabda,
Siapa saja yang datang kepada kalian sedangkan urusan kalian berada di tangan seseorang (Khalifah), lalu dia hendak memecah-belahkan ikatan kesatuan dan mencerai-beraikan jamaah kalian, maka bunuhlah dia”  [HR Muslim dari Ar Fajah].

Islam menetapkan bahawa penyatuan umat dan negara merupakan salah satu qadhiyyah masiriyyah (perkara utama) untuk diselesaikan.  Dengan penyatuan itu, kaum Mukmin menjadi kuat, sebagaimana sabda Rasul S.A.W.
 
“Mukmin dengan Mukmin lainnya bagaikan satu bangunan; sebahagian menguatkan sebahagian lainnya  [HR. Bukhari, at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ahmad].
 
Ukhuwah Islamiyah wajib dimanifestasikan secara nyata dalam kehidupan dan tidak hanya disebut dengan lisan sahaja. Kaum Muslimin wajib saling bersikap kasih-sayang, lemah lembut dan rahmah terhadap sesama Muslim. Islam menuntut supaya kita memuliakan saudara kita, membangunkan rasa tanggungjawab, iaitu sense of responsibility ketika melihat saudara kita teraniaya meskipun mereka jauh dari pandangan mata kita.
 
Tidak kira di mana mereka berada, sama ada di Palestin, Rohingya, Syria atau di belahan dunia mana sekalipun, hatta walaupun tidak ada pertalian darah dan nasab dengan kita. Islam juga menuntut supaya kita menolong mereka, menghilangkan kesusahan mereka dan melindungi kehormatan, harta dan darah mereka.
 
Khatimah
Islam mewajibkan umatnya agar bersatu dengan akidah Islam sebagai  landasan penyatuan mereka. Islam menolak setiap fahaman selain akidah Islam sebagai dasar penyatuan umat.  Realitinya pada hari ini, kaum  Muslimin berada dalam keadaan yang amat mendukacitakan kerana mereka sedang terpecah belah kepada banyak negara yang menyebabkan mereka menjadi umat yang lemah, terpecah-belah, dan mudah diadu-domba. Dalam keadaan begini, kaum Muslimin mudah dikuasai musuh-musuh mereka. Keadaan ukhuwah umat Islam juga sedang berada dalam keadaan kacau-bilau yang wajib untuk diperbetulkan segera.
 
Tidak ada jalan penyelesaian lain lagi untuk mempersatukan umat Islam   kecuali dengan penegakan semula Daulah Khilafah Islamiyyah. InsyaAllah, dengan tertegaknya Daulah Khilafah, ukhuwah Islamiyyah yang hakiki sudah pasti dapat  dikembalikan semula.  Kaum  Muslimin pasti dapat meraih semula kejayaan dan kegemilangan seperti yang telah dikecapi oleh mereka yang terdahulu daripada kita. Allahu Akbar!
 

Rujukan :
1. Terjemahan Al Quran oleh Yayasan Penyelenggara Pen-terjemah/Pentafsir Al Quran Menteri Agama Indonesia. 
2. English Translation Tafsir Ibn Kathir (Abridged) Darussalam.
3. Al-Alusi, Ruh al-Ma’ani, 13/303; Abu Hayyan   al-Andalusi, Tafsir al-Bahr  al-Muhith, 8/111.
4. Wahbah az-Zuhayli, Tafsir al-Munir, 25/239.
5. Abdurrahman al-Maliki, Nizham al-‘Uqubat, hlm. 79, Dar al-Ummah, Beirut. 1990.
6. Abdul Qadim Zallum, Kayfa Hudimat al-Khilafah, hlm. 197, Dar al-Ummah, Beirut. 1990.
7. Rokhmat S. Labib, Persaudaraan Islam Yang Hakiki,  Publikasi 31/05/2005 hayatulislam.net
 

 


 
 RUBAI’ BINTI MA’UDZ: WANITA YANG DIHARAMKAN NERAKA BAGINYA

 Ar-Rubai’ binti Ma’udz bin al-Harits bin Fifa’ah bin al-Harits bin Sawad bin Malik bin Ghanam bin Malik al-Anshariyah an-Najariyah merupakan seorang sahabiyah yang mulia; lahir di tengah-tengah jemaah di Madinah al-Munawwarah dan antara yang terlebih dahulu masuk Islam daripada kalangan Ansar. Beliau termasuk sahabiyah yang hidup dalam lindungan Islam, tumbuh dengan pertumbuhan yang baik dari pohon yang mengeluarkan buah yang diberkahi.
 
Bapanya adalah Ma’udz bin al-Harits, salah seorang daripada pahlawan Perang Badar yang telah menyingkap tabir sejarah Islam dengan langkah beraninya menghapuskan Fir’aun umat pada ketika itu iaitu Abu Jahal bin Hisyam. Bukan itu sahaja,  neneknya Afra’ binti Ubaid  merupakan seorang wanita, Muslimah dan bonda yang mempunyai ciri-ciri yang amat hebat, yang berasa gundah gulana sekiranya kesemua anak-anak beliau tidak mendapat syahid, –Subhanallah.  Afra’ r.a memiliki tujuh anak dan kesemuanya ikut terjun di medan Badar.  Alhamdulillah. Sesungguhnya keluarga Afra’ dilindungi dengan kemuliaan iman dan Islam yang menjadi kebahagiaan buat sang pendamba cinta Ilahi.
 
Kisah di Bawah Pohon
Ar-Rubai’ r.a meneruskan kesinambungan keluarganya dalam urusan dakwah dan jihad. Beliau seorang wanita yang bersegera dalam beramal dan beriman kepada Allah S.W.T, maka tidak mustahil jika beliau menjadi salah seorang wanita yang memiliki keutamaan dan kemuliaan daripada Allah S.W.T dan kekasihNya. Hal ini kerana beliau merupakan antara kaum Muslimin yang turut serta dalam peristiwa pembai’atan di bawah pohon. An-Nawawi rahimahullah menceritakan berkenaan perihal Ar-Rubai’ ini dengan berkata, “Dia termasuk orang-orang yang berbai’at kepada  Rasulullah S.A.W di bawah pohon, iaitu Baiat ar-Ridhwan.” [Tahdzibul-Asma’ wal-Lughat, 2/343, al-Ishabah, 4/293, Usdul Ghabah, no. 6910]
 
Allah S.W.T telah berfirman dalam surah al-Fath (48) ayat 18 yang bermaksud, “Sungguh, Allah telah meredhai orang-orang Mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu (Muhammad) di bawah pohon. Dia mengetahui apa yang ada dalam hati mereka, lalu Dia memberikan ketenangan atas mereka dan memberi balasan dengan kemenangan yang dekat”.  [TMQ Al Fath 48:18]
 

Menurut tafsir at-Tabari, janji setia (bai’at) yang dimaksudkan adalah janji setia para sahabat Rasulullah S.A.W di Hudaibiyah yang berjanji untuk melawan tentangan daripada kaum kafir Quraisy, sabar dan tidak melarikan diri ketika dalam medan peperangan yang mana syurga menjadi ganjaran bagi mereka yang taat pada perintah Allah dan Rasul itu. Bai’at ini terjadi di bawah pohon yang diberkahi iaitu pohon Samurah. Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa jumlah mereka yang berbai’at adalah sekitar 1400 orang daripada kalangan Muhajirin dan Ansar. Mereka bukan sahaja mempunyai jiwa yang redha dan tenteram pada hari persaksian nanti, malah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W sungguh amat menyenangkan hati mereka. Sabda baginda S.A.W,
 
Tidak akan masuk neraka seorang pun dari mereka yang ikut membai’at di bawah pohon [HR Muslim No. 2496].
 
Wanita Pejuang Yang Berani
Khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W itu merupakan satu janji yang pasti berlaku. Namun, Ar-Rubai’ r.a tidak pernah berasa senang dengan apa yang dimilikinya ketika itu. Beliau tidak pernah berasa cukup dengan kebaikan yang telah dilakukan sebelumnya, malah beliau merasakan sangat perlu untuk ikut serta secara langsung dalam medan pertempuran. Sungguh, beliau benar-benar ingin mengikut jejak langkah ayahnya dengan meneruskan perjalanan jihad bersama Rasulullah S.A.W. Selain Ibnu Kathir, Imam al-Bukhari juga turut menceritakan perihal ini. Daripada Rubai’ binti Ma’udz, ia berkata,
 
“Kami telah ikut keluar ke medan perang bersama Rasulullah S.A.W. Kami memberikan minuman kepada para Mujahidin dan membantu mereka.  Di samping itu, kami membawa pulang mereka yang terluka dan gugur ke Madinah”  [HR Bukhari].
 
Muslimah ini juga telah berjaya menterjemahkan cintanya yang mendalam kepada Islam. Kehebatan cintanya ini membuatkan beliau tidak takut kepada ancaman-ancaman musuh serta berani mengatakan yang haq dan menidakkan yang batil.  Peribadi ini dapat dilihat dalam sebuah perdebatan yang berlaku antara beliau dan ibu Abu Jahal, Asma’ binti  Mukharribah. Kisah ini telah diriwayatkan sendiri oleh beliau. Asma’ binti Mukharribah merupakan seorang wanita yang menjual minyak wangi di Madinah.
 
Suatu hari, Asma’ mendatangi ar-Rubai’ di rumahnya bersama beberapa wanita lain sambil membawa minyak wangi. Ketika kelibat Ar-Rubai’ kelihatan, Asma’ berkata, “Engkau adalah puteri pembunuh tuan besar (Abu Jahal)!” Ar-Rubai’ membalas, “Ya benar. Aku adalah puteri pembunuh hamba sahaya yang hina.” Mendengar kata-kata itu, Asma’ menjadi marah lalu berkata, “Haram bagiku menjual sedikit pun minyak wangi ini kepadamu.” Namun, dengan wajah yang tenang Ar-Rubai’ membalas, “Haram bagiku membeli sedikit pun dari minyak wangimu. Aku tidak melihat minyak wangi yang lebih busuk selain daripada minyak wangimu.” Beliau sengaja membidas kata-kata Asma’ itu dengan ayat yang sangat sinis semata-mata untuk menaikkan lagi kemarahannya.
 
Pengajaran Buat Muslimah
Akhwati rahimakumullah! Sesungguh-nya, peribadi Muslimah sebeginilah yang seharusnya didambakan bagi setiap insan bergelar wanita. Wanita yang mendambakan syurga Allah, akan sentiasa memperhiasi dirinya dengan perhiasan takwa. Mereka akan mempersiapkan dirinya dengan pelbagai persiapan untuk menghadap sang Pencipta. Namun, perlu disedari bahawa persiapan untuk bertemu dengan Allah S.W.T itu tidak cukup hanya sekadar melakukan ibadah mahdhah sahaja, tidak cukup juga hanya dengan memperbaiki akhlak semata.
 
Seharusnya, kita mempersiapkan diri kita dengan setiap amalan yang boleh mendatangkan redha Allah kepada kita termasuklah dengan berjuang bersama kaum Muslimin seluruh dunia mengembalikan kedaulatan hukum syara’ di muka bumi ini dengan penegakan semula Daulah Khilafah Islam. Aktiviti inilah yang menjadi taruhan hidup dan mati Rasulullah S.A.W dan para sahabat. Ketika mana baginda dihalang daripada meneruskan usaha dakwahnya, apa yang dijawab baginda adalah

Demi Allah! Seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan urusan (dakwah) ini, maka sekali-kali aku tidak akan meninggalkannya hingga Allah memenangkannya atau aku yang binasa (mati) kerananya”.
 
Khatimah
Sesungguhnya hal ini (dakwah menegakkan Khilafah) merupakan aktiviti yang bersifat ‘urgent’, yang memerlukan pengorbanan dari segi masa, harta dan tenaga daripada kita. Ia juga memerlukan kesabaran yang tinggi dalam menghadapinya kerana perjalanannya amat-amat mencabar dan menguji keimanan.  Perjuangan yang bersifat global serta mendunia ini, menggambarkan kepada kita  bahawa umat Islam itu sentiasa disatukan di bawah satu kalimah tauhid iaitu ‘La ilaha illallah, Muhammadur  Rasulullah’ yang mempunyai satu pemikiran, satu perasaan dan satu peraturan tidak kira di mana pun umat Islam itu berada.
Wallahua’lam.
 
Rujukan:
1. Wanita yang dijamin Surga. Ahmad Khalil Jam’ah. Darul Falah
2. 70 Wanita Terbilang Di Zaman Nabi Muhammad SAW. Abu Azka al-Madani. Harun ar-Rasyid Ht Tuskan
3. Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam. Jilid II. Darul Falah.
4. Syamil al-Quran. Ms. 1024

 



HUKUM WANITA MENGERJAKAN HAJI DAN UMRAH TANPA MAHRAM ATAU DENGAN “MAHRAM TUMPANG”
 

Soalan:
Saya berhasrat untuk pergi menunaikan umrah tidak lama lagi bersama rakan-rakan. Tetapi saya belum berkahwin serta tidak mempunyai saudara-mara lelaki yang boleh menemani saya. Bolehkah saya pergi menunaikan umrah dengan ‘menumpang’ mahram rakan saya yang ditemani suaminya?
 
Jawapan:
Kini kita semakin menghampiri bulan Zulkaedah yang sangat sinonim sebagai bulan haji yang amat  dinanti-nantikan oleh umat Islam yang ingin mengerjakan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji di Baitullah. Umat Islam sama ada lelaki mahupun wanita, masing-masing merebut peluang berharga ini untuk menjejakkan kaki di Baitullah bagi menunaikan ibadah haji.  Di bulan Zulkaedah dan bulan-bulan lain juga, ada sebahagian umat Islam yang mengerjakan umrah ke Baitullah. Kewajipan menunaikan ibadah haji berdasarkan dalil-dalil berikut:

Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. barangsiapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam”  [TMQ Ali-‘Imran (3): 97].
 
Dan serulah kepada manusia  untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan  mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh”  [TMQ al-Hajj (22): 27].
 
Dari Ibnu Abbas ra., ia berkata: “Rasulullah S.A.W berkhutbah di  hadapan kami, seraya bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kamu menunaikan haji.” Maka berdirilah Al Aqra’ bin Khabis seraya berkata: “Apakah dalam setiap tahun, wahai Rasulullah?” Beliau bersabda: “Seandainya aku mengatakannya, ia menjadi wajib. Kewajipan haji sekali dan selebihnya adalah sunat  [HR. Imam lima selain Tirmidzi/Bulughul Maram: 741].
   
Hukum Safar dengan Mahram Tumpang
Seorang wanita wajib ditemani  mahram untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah. Di antara syarat-syarat seseorang mahram ialah seorang lelaki, baligh, berakal dan beragama Islam. Selain suami, mahram yang dimaksudkan di sini ialah mahram kekal, iaitu yang tidak boleh dikahwini selama-lamanya seperti bapa, datuk, adik-beradik lelaki dan seumpamanya.  Seorang wanita tidak dibolehkan melakukan ibadah haji tanpa mahram, meskipun dia berangkat bersama para wanita dan seorang lelaki yang dipercayai. Hadis sahih telah melarangnya, seperti sabda Rasulullah S.A.W,
 
Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian seorang lelaki dengan seorang wanita  melainkan bersama wanita itu mahramnya”. Tiba-tiba seorang     lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku akan keluar untuk berperang dan isteriku pula hendak pergi menunaikan haji.” Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: “Pergilah kamu bersama isterimu (menunaikan haji)”  [Muttafaqun alaihi – HR Bukhari dan Muslim].
 
Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah S.A.W tidak meminta penjelasan kepada lelaki tersebut adakah isterinya itu dalam keadaan aman atau tidak dan apakah ada para wanita dan lelaki yang dipercayai bersamanya atau tidak, padahal keadaannya menghendaki demikian itu, sedangkan suaminya telah menetapkan dirinya untuk ikut berperang.  Maka Rasulullah S.A.W memerintahkan kepadanya agar meninggalkan perang dan keluar untuk menunaikan haji bersama isterinya.
 
Sesungguhnya ahli ilmu telah menyebutkan bahawa wanita ketika tidak memiliki mahram maka dia tidak wajib haji, walaupun sehingga dia mati, tidak perlu berhaji atas namanya (menggantikannya) dengan harta peninggalannya, kerana dia tidak mampu melakukannya. Allah S.W.T hanya mewajibkan haji bagi mereka yang mampu. Mampu di sini termasuklah berkemampuan mengerjakan haji dengan ditemani mahramnya. Rasulullah S.A.W bersabda,
 
“Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk keluar tiga hari atau lebih, melainkan bersama-samanya bapanya atau saudara kandung lelakinya atau suaminya atau anak lelakinya atau mana-mana mahramnya[HR Bukhari dan Muslim] (di dalam riwayat lain ada dinyatakan satu hari satu malam dan ada yang menyebut dua hari dua malam).

Sehubungan dengan itu, ia sekaligus menolak istilah “mahram tumpang” yang sering diamalkan untuk menunaikan haji dan umrah. Perkara ini bukan menutup peluang wanita untuk mengerjakan haji atau umrah, bukan juga merupakan satu diskriminasi kepada kaum wanita. Tetapi hukum ini adalah hukum yang telah ditetapkan oleh Islam untuk kemashlahatan wanita itu sendiri. Sebagai seorang Muslim, kita telah sedia maklum bahawa apa-apa ketetapan yang dibuat oleh Allah dan RasulNya, adalah hukum yang wajib dipatuhi.  Adalah jelas sekiranya syarat mahram tidak dipenuhi maka hukum wajib haji dan umrah kepada seseorang wanita tidak berlaku.
 
Setiap orang Islam perlu melakukan ibadah yang terbaik dan ibadah yang terbaik ialah menepati syariat. Maka mestilah difahami dengan benar bahawa dalam bab mahram, Islam tidak memiliki istilah “mahram  tumpang”. Oleh itu, dalam melaksanakan ibadah kepada Allah S.W.T, perkara-perkara yang melibatkan tatacara dan hukum-hakam ini mestilah dipatuhi secara tauqifiyyah (seadanya, tanpa menambah-nambah) bagi memastikan hukum terpelihara dan tidak mendapat kemurkaan Allah S.W.T.
 
Khatimah
Oleh yang demikian, seorang wanita yang benar-benar bertakwa kepada Allah Azza wa Jalla, dan hendaknya dia tidak mengerjakan haji dan umrah kecuali bersama mahramnya. Adapun kaum lelaki yang telah dijadikan oleh Allah S.W.T sebagai pemimpin bagi wanita, juga wajib bertakwa kepada Allah Azza wa Jalla dan tidak membiarkan wanita-wanita mereka keluar untuk  mengerjakan haji dan umrah tanpa mahram. Dan janganlah sampai agama Allah ini sirna dari diri-diri mereka, kerana seseorang akan dimintai pertanggungjawaban (dihisab)  tentang isterinya dan  keluarganya  kerana Allah S.W.T telah menjadikan keluarganya sebagai amanah untuknya. Allah S.W.T berfirman:
 
Wahai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah ter-hadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperintah-kan”  [TMQ at-Tahrim (66):6].
 
Wallahu a’lam.

 
Rujukan:
• Al-Quran
• http://www.alhusna.info/?p=1016
• http://fadhlihsan.wordpress. com/2010/11/09/hukum-wanita-pergi-haji-tanpa-mahram/
• http://ensiklopedi-alquran.com/index.php/haji-umrah/163-dalil-kewajiban-haji
 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.