Fikratul Ummah – April 2014




MUQADDIMATUL KALAM

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh…

Sidang pembaca yang dirahmati Allah S.W.T.

Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda. “Setiap kamu ialah pemimpin dan bertanggungjawab atas yang dipimpinnya. Pemerintah ialah penjaga (atas rakyatnya) dan lelaki ialah penjaga keluarganya, dan wanita pun penjaga dan bertanggungjawab atas urusan rumah suaminya dan keturunannya. Maka setiap kamu ialah penjaga dan bertanggung jawab atas apa yang dijaganya [HR Bukhari dan Muslim].

Anak-anak ialah salah satu anugerah daripada Allah S.W.T. Kehadiran seorang cahaya mata cukup membahagiakan ibu bapanya dan menguatkan kasih sayang dalam rumahtangga. Namun, anugerah yang diberikan itu datang bersama dengan suatu amanah berat yang wajib ditunaikan oleh ibu bapanya terutamanya bagi seorang bapa yang bertanggungjawab sebagai penjaga seperti yang telah disebutkan dalam hadis di atas.

Bapa bukan sekadar bertanggungjawab memberi nafkah makan, minum dan tempat tinggal. Ibu bukan sekadar bertanggungjawab menguruskan makan, minum dan pakaian anak-anak. Tetapi mereka juga bertanggungjawab untuk membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang dan memelihara mereka daripada perbuatan-perbuatan yang menjerumus kepada dosa. Namun, akhir-akhir ini, masyarakat kerap dihidangkan dengan berita-berita penderaan, kezaliman malah pembunuhan terhadap anak-anak yang dilakukan dengan pelbagai cara termasuklah yang tidak masuk akal.

Persoalannya di sini adalah bagaimana seseorang manusia itu boleh hilang peri kemanusiaannya sehingga sanggup menyiksa satu tubuh kecil tanpa segan silu? Adakah nasib anak-anak ini harus dibiarkan berterusan sebegitu rupa? Di sinilah FU edisi kali ini membawakan kepada anda kupasan terkait isu jenayah terhadap anak-anak dan hukumnya daripada sudut pandang Islam.

Pembaca sekalian, berdiam diri terhadap isu ini bukanlah satu tindakan bijak kerana tidak mustahil jenayah yang berlaku terhadap orang lain di luar sana akan mengetuk pintu rumah anda suatu masa nanti. Fahamilah isu ini dengan benar menurut pandangan Islam maka anda akan menemukan jalan penyelesaiannya, InsyaAllah.
Wallahu a’lam… 

 


ARTIKEL PILIHAN
SELAMATKAN ANAK-ANAK DARIPADA JENAYAH


Muqaddimah
Jenayah terhadap kanak-kanak sangat mengerikan. Saban hari pelbagai jenis media maklumat melaporkan jenayah dan kekejaman terhadap kanak-kanak yang semakin berleluasa. Manusia seolah-olah semakin hilang pertimbangan dan tersasar jauh dari norma-norma kehidupan kerana sanggup melakukan kekejaman terhadap insan kecil yang sepatutnya dipelihara dan dilindungi.

Realiti Kekerasan Terhadap Kanak-kanak
Cebisan berita-berita berikut hanyalah sebahagian daripada lambakan kisah jenayah yang berlaku terhadap kanak-kanak. Utusan Malaysia melaporkan pada 31 Januari lalu bahawa Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyifatkan trend jenayah pembunuhan kanak-kanak bawah 12 tahun pada tahap membimbangkan walaupun polis menganggapnya kes terpencil. Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye dipetik sebagai mengingatkan masyarakat setempat, ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa menjadi pelindung kepada kanak-kanak dan bukannya menganiaya mereka yang memerlukan kasih sayang. “Kejam sekali apa yang diperlakukan oleh manusia yang berhati binatang ini. Sepatutnya mereka yang mengeksploitasi kanak-kanak atau melakukan kekejaman yang melampau terhadap kanak-kanak ini dihukum semaksimum mungkin, seperti penjara maksimum dan sebat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Beliau mengulas mengenai trend kes pembunuhan kanak-kanak termasuk melibatkan seorang budak perempuan berusia dua tahun, Nur Syafiqah Adawiyyah Abdullah, yang ditemui mati dipercayai dibunuh di sebuah rumah kosong di Taman Permint, Seberang Paka, 22 Januari lalu. (www.utusan.com.my/utusan 1/2/2014)

Lebih menyayat hati, di Teluk Intan, Perak, anak berusia dua setengah tahun mati disyaki dibunuh oleh ibunya dan teman lelakinya (www.bharian.com 11/3/2014). Sementara di Gemencheh, Negeri Sembilan pula, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun menderita akibat didera keluarga angkatnya termasuk menggunakan seterika, kayu dan rotan sehingga tubuhnya dipenuhi kesan parut dan calar. (www.bharian.com 12/1/2014)

Islam itu ‘Rahmatan lil ‘aalamiin’
Terlalu sedih apabila difikirkan, kanak-kanak kini menjadi mangsa akibat perbuatan dan layanan ibu bapa sendiri, apatah lagi yang beragama Islam dan berada dalam kalangan masyarakat yang beragama Islam serta dalam sebuah negara yang diisytiharkan sendiri sebagai Negara Islam! Mungkin keadaan ini seolah-olah tidak dapat diterima akal tetapi hakikatnya inilah kenyataan pahit yang perlu ditelan. Bagaimana keadaan ini boleh terjadi, malah semakin parah dari hari ke hari?

Diakui atau tidak, realiti ini sebenarnya timbul kesan daripada pemikiran dan gaya hidup sekular iaitu pemisahan agama daripada kehidupan. Sistem Islam yang telah hilang daripada negara telah diganti dengan sistem demokrasi yang rosak lagi merosakkan. Bermula dari hilangnya Islam dalam pemerintahan, ia terus menular ke peringkat masyarakat dan individu. Benarlah sabda Rasulullah S.A.W dari Abu Umamah Al Bahili, baginda bersabda, “Sungguh ikatan Islam akan terurai simpul demi simpul. Setiap kali satu simpul terurai maka manusia akan berpegang kepada simpul berikutnya. Simpul yang pertama terurai adalah pemerintahan dan yang terakhir adalah solat”. [HR Ahmad]

Inilah apa yang telah berlaku, bermula dengan ikatan Islam yang telah terurai dari pemerintahan (negara), ikatan Islam ini selanjutnya terus terurai dari individu satu per satu. Maksudnya, manusia tidak lagi berpegang kepada Islam. Hasilnya, berlakulah pelbagai kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan sama ada oleh negara mahupun individu.

Situasi ini sebenarnya sangat berbeza dengan kehidupan pada zaman Islam. Kerana di dalam Islam, seluruh kehidupan manusia diatur dengan hukum Allah yang penuh kebaikan dan keberkatan. Islam diterapkan di peringkat negara, masyarakat dan juga individu. Penerapan Islam oleh negara (melalui sistem pemerintahan, ekonomi, pergaulan, pendidikan, uqubat dan lain-lain) secara automatik menjadikan masyarakat terikat dan hidup dalam suasana Islam dan seterusnya menjadikan individu turut mengamalkan Islam. Ketiga-tiga tiang ini (negara, masyarakat dan individu) perlu berdiri utuh dalam menegakkan syariat Islam, tidak boleh sama sekali salah satu daripadanya runtuh atau dibiarkan begitu sahaja.

Apabila Islam sudah hilang dari negara, masyarakat dan individu kemudian diganti dengan kehidupan yang sekular, maka hilanglah sifat Islam sebagai ‘rahmatan lil alamin’. Ini kerana, rahmat itu hanya wujud dengan Islam dan bersama Islam. Kedua-duanya berjalan seiring. Apabila hilangnya Islam daripada diri seseorang, maka kita menyaksikan bagaimana hati manusia itu bertukar menjadi binatang, malah lebih buruk lagi, kerana seekor binatang sekalipun masih ada ‘perasaan’ sayangkan anaknya.

Uswatun Hasanah
(tauladan terbaik) yang ada pada diri baginda tidak terhad pada kehidupan peribadi sahaja tetapi mencakupi cara hidup yang menyeluruh. Allah S.W.T berfirman, “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan menjadi rahmat bagi sekalian alam..[TMQ al-Anbiyaa’ (21):107]

Islam Mesra Kanak- kanak
Islam bukan sekadar agama yang bersifat ritual yang hanya mengatur hubungan manusia dengan Allah S.W.T semata-mata. Islam ialah sebuah agama sekali gus ideologi (way of life) yang mengatur kehidupan manusia dengan manusia lainnya dan mengatur manusia dengan dirinya sendiri. Islam mempunyai jawapan terhadap setiap persoalan dan permasalahan. Begitu juga halnya dalam mengatur urusan atau layanan ke atas kanak-kanak, interaksi dengan insan kecil ini, tanggungjawab sebagai ibu bapa serta ahli keluarga dan lain-lain. Ajaran dalam Islam bukan sekadar teori tetapi aplikasi yang perlu diadaptasi oleh penganutnya.

Dalam Islam, anak-anak adalah amanah yang perlu dijaga dengan baik, dibentuk, dididik dan diberi kasih sayang sepenuh hati. Lebih dari itu, anak-anak adalah suatu pertanggungjawaban yang akan ditanya di akhirat kelak. Sebagaimana sabda baginda Rasulullah S.A.W dari Abu Hurairah r.a, “Anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang akan mencoraknya menjadi Yahudi, Nasara atau Majusi”.   [HR Bukhari dan Muslim]

Dari segi layanan kepada anak kecil, Rasulullah S.A.W telah memberi gambaran yang jelas sebagaimana dalam sabda baginda, “Bukan dari kalangan kami orang yang tidak belas kasihan terhadap anak-anak”.  [HR Bukhari]

Jelaslah bahawa Islam melayan anak-anak dengan sikap belas kasihan, berkasih sayang dan berlemah lembut, apatah lagi jika mereka belum mencapai umur baligh. Dalam riwayat yang lain pula, Rasulullah S.A.W juga telah menunjukkan bahawa baginda adalah contoh yang terbaik dalam melayan anak-anak. Abu Hurairah r.a meriwayatkan suatu ketika Rasulullah S.A.W mencium cucu baginda, Hassan dan ketika itu yang duduk bersama baginda adalah Al-Afra bin Habis At-Tamimi. Al-Afra lalu berkata: “Aku ada sepuluh orang anak tapi aku tak pernah mencium seorang pun daripada mereka”. Maka Rasulullah S.A.W pun bersabda, ” Sesiapa yang tidak menyayangi anak-anak tidak akan disayangi dan dirahmati Allah”.  [HR Bukhari]

Kelembutan Rasulullah S.A.W dalam melayan anak-anak tidak dapat dinafikan. Walaupun bergelar Rasul dan pemimpin negara dan sibuk dengan pelbagai urusan, baginda tetap menunjukkan akhlak dan adab yang baik apabila bersama-sama kanak-kanak. Baginda menjelaskan bahawa anak-anak kecil merupakan individu yang sangat istimewa, sebagaimana sabda baginda, “Anak-anakmu adalah penduduk-penduduk kecil syurga”  [HR Ahmad, Bukhari dan Muslim]

Sekiranya ibu bapa benar-benar mengamalkan ajaran Islam dan mencontohi peribadi Rasulullah S.A.W di dalam melayan anak-anak, maka Insya Allah tidak akan berlaku penderaan ke atas anak-anak, sebaliknya anak-anak akan dijaga dan dididik dengan penuh kasih sayang. Namun, ibu bapa yang baik semata-mata tidak akan dapat memastikan anak-anak terlepas dari jenayah kerana masih ramai manusia di luar sana yang berpotensi melakukan kejahatan. Maka di sinilah perlu ada sebuah masyarakat yang baik sebagai faktor pencegah kepada kejahatan yang boleh menimpa anak-anak, khususnya apabila anak-anak berada di luar rumah. Manakala masyarakat yang baik pula tidak akan terwujud sekiranya masyarakat tersebut tidak diatur oleh Islam. Apa yang pasti pula ialah, tidak akan wujud masyarakat yang diatur oleh Islam sekiranya negara tidak menerapkan Islam di dalam mengatur kehidupan masyarakat. Ringkasnya, negara memainkan peranan penting di dalam memastikan “rantaian” keselamatan tercipta untuk anak-anak dan negara (pemerintah) akan berdosa apabila tidak mempedulikan hal ini. 

Kanak-kanak dalam Negara Islam
Negara yang menerapkan ajaran Islam sepenuhnya akan menjamin kehidupan yang baik bagi kanak-kanak. Jika dilihat dari lipatan sejarah kegemilangan Islam, dapat difahami yang Negara Islam benar-benar mengaplikasikan tugas hakiki sebagai penjamin kepada keperluan asas (kebajikan) kanak-kanak dalam segenap aspek. Kita tidak pernah mendengar kisah kanak-kanak yang terbiar atau dizalimi sebagaimana yang kita dengar dan saksikan pada hari ini.

Dalam Negara Khilafah, kanak-kanak membesar dalam suasana yang penuh Islami. Dari awal usia, anak-anak dididik dengan ilmu dan tsaqafah Islam. Mereka dididik dengan pembelajaran akidah yang mantap, mengenal Allah, menghafaz Al-Quran dan banyak lagi. Buktinya jika ditelusuri tokoh-tokoh ilmuwan Islam seperti Ibnu Sina, Imam Syafi’e, Ibnu Batuta, al Khawarizmi dan lain-lain lagi kesemua mereka sejak kecil menjadi penghafaz Al-Quran walaupun bidang kajian yang mereka dalami adalah berbeza. Mereka hidup dalam naungan Negara Khilafah. Bayangkan pada usia di antara 7-10 tahun, tokoh-tokoh ini telah pun bergelar huffaz. Selain usaha dan kecerdasan yang mereka miliki, kita tidak boleh menafikan faktor “sistem” yang mengatur tokoh-tokoh ini ialah sistem Khilafah Islam. Mereka hidup pada zaman di mana sistem Islam dilaksanakan. Itulah secebis kehebatan Negara Khilafah yang mencakna generasinya yang telah memberi sumbangan besar kepada ketamadunan manusia.

Selain kehebatan Negara Khilafah menjaga dan menjamin segala keperluan asas (kebajikan), pendidikan dan kesihatan rakyatnya secara percuma, Negara Khilafah melestarikan hukum syara’ secara kaffah (menyeluruh). Dengan ini keseluruhan sistem benar-benar berdasarkan kepada al-Quran dan as- Sunnah, justeru konsep pencegahan dan penguatkuasaan dijalankan secara serentak. Dengan kata lain, ruang kebaikan disediakan dan dalam masa yang sama ruang kejahatan ditutup rapat dan jika ada yang bolos, maka hukuman dari Yang Maha Mencipta, Adil lagi Bijaksana akan dilaksanakan. “Pakej” Islam yang lengkap ini memastikan yang kesemua rakyat khususnya anak-anak, membesar dengan baik dan terjaga dari sebarang kejahatan.

Penutup
Kehidupan perlu diatur oleh sistem Islam kerana hanya dengan cara hidup Islam, kanak-kanak akan terjamin hak dan keperluannya melalui peranan institusi negara. Manakala pesalah yang melakukan kekejaman, penganiayaan dan kekerasan terhadap kanak-kanak akan mendapat balasan yang setimpal Akal yang waras sudah pasti dapat membandingkan bagaimana sistem Islam dapat menghindarkan jenayah ke atas kanak-kanak dan bagaimana sistem sekular-demokrasi yang diamalkan sekarang tidak pernah dapat menjamin keselamatan kanak-kanak khususnya dan manusia umumnya. Sistem yang rosak ini wajib dicampak oleh setiap Muslim dan apa yang pasti ialah, usianya telah hampir sampai ke liang lahad. Negara yang menaungi seluruh rakyatnya dengan naungan Islam pasti akan muncul. Negara tersebut pasti muncul kerana ia telah dikhabarkan oleh baginda Rasulullah S.A.W dalam hadisnya yang panjang yang diakhiri dengan, “…Kemudian akan ada Khilafah atas jalan kenabian…” [HR Ahmad]

Wallahu a’lam



TAFSIR
Peliharalah Dirimu dan Ahli Keluargamu daripada Api Neraka!


﴿يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ قُواْ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَاراً وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـئِكَةٌ غِلاَظٌ شِدَادٌ لاَّ يَعْصُونَ اللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ﴾

Terjemahan
Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”  [TMQ at-Tahrim (66):6]

Tafsir Ayat
Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya ada menyatakan bahawa `Ali bin Abi Talhah ada meriwayatkan daripada Ibn `Abbas mengenai ayat ini : ﴿قُواْ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَاراً﴾  (..peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka..). Katanya, “Berusahalah dalam mentaati Allah, elakkan daripada derhaka kepada Allah dan suruhlah ahli keluargamu supaya sentiasa ingat kepada Allah, maka Allah akan menyelamatkan kamu daripada api neraka”.

Mujahid juga ada menjelaskan mengenai ayat ini : ﴿قُواْ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَاراً﴾  (..peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka..). Katanya, “Bertakwalah kamu kepada Allah dan suruh ahli keluargamu supaya bertaqwa kepada Allah”. Qatadah pula menyatakan “Kamu menyuruh taat kepada Allah, jangan derhaka kepada Allah, kamu menyuruh ahli keluarga untuk mentaati perintah Allah dan kamu membantu mereka untuk mengerjakannya. Jika seseorang melihat kederhakaan berlaku, maka dia perlu berusaha untuk menghentikan kederhakaan tersebut dan berusaha untuk menghalang kederhakaan itu daripada berulang lagi”.

Perkara yang sama juga dijelaskan oleh  Ad-Dahhak dan Muqatil, “Adalah menjadi kewajipan bagi seseorang Muslim untuk mengajar ahli keluarganya, termasuk para hamba sahayanya, sama ada lelaki atau pun perempuan, mengenai kewajipan-kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas mereka dan mengenai larangan-larangan Allah ke atas mereka”.

Terdapat juga hadis yang menjelaskan maksud ayat ini.  Imam Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Ar-Rabi` bin Sabrah berkata bahawa bapanya berkata, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda,

“Suruhlah oleh kamu akan anak-anak dengan solat apabila telah sampai umurnya tujuh tahun dan apabila telah sampai umurnya sepuluh tahun, maka pukullah dia (untuk mendidiknya) jika dia enggan” [HR Abu Daud]. At-Tirmizi menyatakan hadis ini bertaraf hasan.

Ulasan dan Pengajaran

Firman Allah ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya, iaitu memerintahkan supaya menjaga dirinya daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu. Ayat ini juga mengingatkan kita sebagai kaum Muslimin mengenai amanah dan tanggungjawab besar yang telah diamanahkan oleh Allah S.W.T kepada kita. Kita diperintahkan supaya memelihara diri kita, ahli keluarga kita serta orang yang berada di bawah amanah dan tanggungjawab kita agar semuanya terselamat daripada api neraka.

Rasulullah S.A.W bersabda, “Setiap kamu ialah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu. Seorang Imam (ketua) ialah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang lelaki ialah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Isteri ialah pemimpin dalam rumah tangga suaminya dan dia akan ditanya mengenai tanggungjawab kepimpinannya. Seorang pembantu ialah pemimpin harta majikannya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang anak ialah pemimpin harta bapanya dan dia bertanggungjawab mengenai kepimpinannya. Maka setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya
[HR Bukhari dan Muslim]

Hadis ini jelas menegaskan kewajipan setiap Muslim untuk menjaga orang yang dipimpinnya, khususnya ahli keluarganya sendiri.  Setiap individu Muslim, keluarga dan ahli masyarakat perlu dididik supaya kita semua tahu dan faham asal kejadian kita, di mana kita berada, kewajipan yang perlu kita lakukan sekarang, destinasi kita selepas kehidupan dunia ini dan persediaan-persediaan yang perlu kita lakukan kini bagi menghadapi hari akhirat kelak. Semua persoalan ini akan terjawab dengan betul sekiranya kita kembali kepada ajaran Islam yang bersumber daripada al-Quran dan as-Sunnah. Persoalan besar ini perlu benar-benar diketahui dan difahami dengan terang lagi jelas agar ia menjadi pegangan hidup yang kukuh di sepanjang hayat kita.

Kepentingan Mendidik Anak-anak dengan Islam Sejak Kecil
Anak merupakan harta yang paling berharga bagi ibu bapanya dan di tangan keduanyalah, anak-anak membesar dan pembentukan dibentuk peribadinya yang bermula dari rumah. Rasulullah S.A.W bersabda, “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang akan menjadikannya seorang yahudi atau seorang nasrani atau seorang majusi [HR Bukhari]

Maka sebagai ibu bapa yang menginginkan anaknya menjadi anak soleh, mereka pasti tidak akan mensia-siakan umur mereka sejak kecil lagi untuk mengajarkan tentang disiplin, adab pergaulan, solat dan mengaji serta akhlak dan sopan santun. Ini kerana bagi kanak-kanak, didikan itu akan lebih mudah diserap pada fasa tersebut berbanding mengajari mereka pada usia remaja.

Inilah antara kaedah pendidikan anak dalam Islam. Namun, ketika ini, kaedah ini diremehkan oleh kebanyakan ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga lupa tanggungjawab yang paling besar iaitu pendidikan anak-anak untuk mengenal Tuhannya atau pendidikan Islam yang merupakan faktor utama kebangkitan sebuah umat. Allah S.W.T berfirman,

Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya di waktu ia memberikan pelajaran kepadanya: ‘Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang nyata”  [TMQ Luqman (31):13]

Hadis dari Ibnu Abas bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Rapatilah anak-anakmu dan didiklah akhlak mereka”.

Pendidikan Islam sangat penting kerana dalam kehidupan hari ini, umat Islam sedang dilanda kejahilan yang sangat dahsyat sehingga ramai yang tidak mengenali Islam sebagai sistem kehidupan yang perlu dilaksanakan secara praktikal dalam kehidupan mereka. Masyarakat hidup dan dibesarkan di bawah sistem sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan. Natijahnya, banyak kewajipan yang tidak dilaksanakan sehingga umat Islam kini ditimpa dengan pelbagai musibah dan masalah yang tidak berkesudahan.

Kembalikan Kehidupan Islam
Dalam usaha membina diri dan anak-anak ke arah menjadi generasi yang berjati diri Muslim sejati serta mewarisi dakwah dan perjuangan Islam, maka ada tiga tunggak utama yang perlu diberi penekanan.  Pertama; ilmu dan kefahaman mengenai tsaqafah Islam (agar dapat mengamalkan Islam sebagai sistem dan cara hidup yang lengkap lagi sempurna). Kedua; ilmu dan kefahaman dalam bidang kemahiran hidup yang dipilih (sebagai alat untuk mencari nafkah hidup). Ketiga; ilmu, kefahaman dan kemahiran dalam bidang dakwah serta perjuangan Islam. Ketiga-tiga tunggak utama ini perlu wujud dan dimiliki agar setiap individu boleh memainkan peranannya dengan berkesan dalam usaha untuk mengembalikan semula sistem kehidupan Islam.

Ilmu dan kefahaman mengenai Islam tidak akan diperolehi melainkan kita berusaha untuk mendapatkannya. Allah S.W.T berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri [TMQ ar-Ra’d (13): 11]

Seseorang yang bijak pasti menginginkan dirinya, isteri, anak-anak dan keluarga yang dicintainya menjadi manusia yang solehin dan beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Keinginan ini sudah  tentu perlu disertai dengan usaha untuk mewujudkannya.  Maka  keimanan dengan akidah yang betul perlu dibina serta dijaga agar terhindar dari kerosakan.

Seterusnya pelaksanaan amal yang menjadi tuntutan keimanan, baik menyangkut hubungan manusia dengan Al-Khaliq, dengan dirinya sendiri mahupun dengan sesama manusia, mesti disempurnakan. Segala perintah Allah wajib dilaksanakan dan larangan-laranganNya wajib dijauhi. Dalam kehidupan ini, terikat dengan syariat adalah wajib. Menerapkannya dalam kehidupan juga wajib; termasuk di dalamnya hukum-hukum yang menyangkut urusan pemerintahan, ekonomi, pendidikan, sosial, perundangan dan dasar luar negara.

Khatimah
Kita diperintahkan supaya memelihara diri kita, ahli keluarga kita serta orang yang berada di bawah amanah dan tanggungjawab kita, agar kita semua terselamat daripada api neraka. Jadi, siapa sahaja yang tidak ingin mati dalam su’u al-khatimah (kesudahan yang buruk), maka dia tidak boleh menunda-nunda kewajipan yang perlu dilaksanakannya. Dia wajib segera bangkit dan turut serta berjuang untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan cara menegakkan Daulah Khilafah Islamiyyah yang akan menerapkan syariat Islam dan mengembang dakwah Islam ke seluruh dunia.

Wallahu a’lam

Rujukan :
1. Terjemahan al-Quran oleh Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir al-Quran Menteri Agama Indonesia. 
2.  English Translation Tafsir Ibn Kathir (Abridged) Darussalam. 1. Al-Alusi, Ruh al-Ma’ani, 13/303; Abu Hayyan al-Andalusi, Tafsir al-Bahr al-Muhith, 8/111.
3.  Tafsir Jalalain (Terjemahan  PESANTREN PERSATUAN ISLAM 91 TASIKMALAYA Versi 2.0 Digital).
4.  Daulah Islam oleh Sheikh Taqiyuddin Nabhani (Terjemahan).
5.  Islam Bangkitlah oleh Abdul Rahman al-Baghdadi – Gema Insani Press.
6.  Siri Majalah al-Waie.

 



SERIKANDI TELADAN
DIDIKAN IBU SEHARUSNYA SETANDING ‘AFRA BINTI UBAID R.A

Daripada Abdurrahman bin Auf bahawa dia berkata, “Ketika aku berdiri dalam barisan tentera pada saat perang Badar, aku melihat di kanan dan kiriku, ternyata aku berada di antara dua anak muda dari kaum Ansar, padahal sebelumnya aku berangan-angan berada bersama dua orang yang lebih kuat daripada mereka berdua.

Kemudian salah seorang daripada keduanya memberi isyarat kepadaku dengan matanya seraya berkata, “Wahai bapa saudaraku, apakah kamu mengetahui orang yang bernama Abu Jahal?” Aku menjawab, “Ya, lantas apa keperluanmu dengannya wahai anak saudaraku?

Dia menjawab, “Aku mendapat khabar bahawa dia telah mencela Rasulullah S.A.W. Demi Dzat yang jiwaku berada di tanganNya, jika aku melihatnya maka aku tidak akan berpisah daripadanya sampai ada antara kami yang menemui ajalnya.” Lalu seorang lainnya memberi isyarat kepadaku dengan matanya seraya bertanya dengan pertanyaan yang sama. Tidak lama setelah itu, aku melihat Abu Jahal bergerak dalam kerumunan orang sehingga aku berkata kepada keduanya, “Tidakkah kalian lihat, itulah orang yang kalian tanyakan kepadaku tadi.”

Abdurrahman melanjutkan, setelah itu mereka berdua segera memburunya dan menghunuskan pedang mereka hingga akhirnya mereka berdua berjaya membunuh Abu Jahal. Setelah membunuhnya, keduanya kembali menemui Rasulullah S.A.W dan mengkhabarkan kepada baginda, maka baginda pun bertanya, “Siapakah antara kalian berdua yang telah membunuhnya?” Masing-masing daripada mereka menjawab, “Akulah yang telah membunuhnya!” 

Baginda bersabda, “Apakah kalian berdua telah membersihkan pedang kalian?” Mereka berkata, “Belum.” Lantas baginda melihat kedua pedang itu sambil bersabda, “Kalian berdua telah membunuhnya.” Kemudian baginda memberikan harta yang diambil daripada musuh yang terbunuh kepada Mu’adz bin ‘Amru bin Jamuh. Sedangkan kedua anak muda itu adalah Mu’adz bin ‘Amru bin Jamuh dan Mu’adz bin ‘Afra” [HR Muslim No. 3296].

Dalam riwayat lainnya telah dikisahkan bahawa saudara Mu’adz iaitu Mu’awidz bin ‘Afra turut bekerjasama membunuh Abu Jahal. Sehingga Rasulullah S.A.W  berdiri di hadapan Abu Jahal seraya berdoa, “Semoga Allah memberikan rahmatNya kepada kedua anak ‘Afra. Sungguh, mereka telah bersekutu dalam membunuh Firaun umat dan pemimpin orang-orang kafir”.

Susuk Tubuh Di Sebalik Putera-Putera ‘Afra
Segmen serikandi teladan kali ini bukan ingin menceritakan tentang keberanian dua bersaudara seperti yang dinyatakan hadis di atas dalam menghapuskan musuh Allah dan RasulNya itu. Namun, penulis ingin membawa para pembaca menelusuri dan mengenali keperibadian seorang wanita yang tetap berdiri teguh di belakang para pemuda pejuang agama Allah ini, yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada putera-puteranya agar gugur syahid di jalanNya.

Beliau ialah ‘Afra binti Ubaid Ibnu Tha’labah an-Najjariah al-Ansariah, ibu kepada Mu’adz, Mu’awidz dan Auf daripada Bani Harith. Beliau menetap di Madinah sebelum kemunculan agama Islam dan mula memeluk agama yang suci ini setelah anaknya Auf ibn ‘Afra yang membawa risalah itu kepada kaumnya di Madinah. Jika diperhatikan, ramai dalam kalangan Muslimah yang memiliki kemuliaan yang menunjukkan keperibadian dan keistimewaan tersendiri baik pada masa hayat mereka mahupun sesudah wafat mereka. Dan cukup menjadi satu kemuliaan bagi diri ‘Afra apabila anak-anak  hasil daripada pernikahannya dengan Harith ibn Rifa’ah al-Najjari ini dinisbahkan kepadanya. 

Ibu kepada Tujuh Anak
Setelah bercerai dengan Harith ibn Rifa’ah, beliau berpindah ke Mekah lalu bernikah dengan Bukair Ibnu Abdu Yalail al-Laithi. Daripada pernikahan itu, beliau melahirkan empat orang lagi putera yang bernama  Iyyas, Aqil, Khalid dan Amir. Mereka berempat adalah termasuk kelompok yang pertama berjanji setia dengan Rasulullah S.A.W di Mekah di dalam rumah Arqam ibn Abu Arqam r.a dan turut sama tergolong dalam golongan Muhajirin. Hal yang cukup membanggakan bagi ‘Afra apabila menjadi ibu kepada tujuh orang sahabat yang turut serta bertempur dalam peperangan Badar bersama Rasulullah S.A.W. Mu’awiyah ibn Abu Sufyan menunjukkan rasa bangga dengan keempat anak ‘Afra daripada Bukair di hadapan kaum Ansar. Katanya, “Tidak ada empat orang bersaudara menghadiri perang Badar bersama Rasulullah kecuali mereka”.

Menambah kekaguman terhadap sahabiyah ini lagi apabila tiga antara putera-puteranya itu syahid dalam perang Badar. Mereka ialah Aqil, Auf dan Mu’awwidz. Sedangkan kebanyakan anak-anak ‘Afra yang lainnya, mereka gugur sebagai syuhada dalam perang-perang yang berbeza. Khalid ibn al-Bukair gugur dalam perang ar-Raji’, Amir ibn al-Bukair gugur bersama-sama empat puluh orang sahabat Nabi S.A.W dalam peristiwa Bi’ru Maunah manakala Iyyas ibn al-Bukair pula gugur dalam perang Yamamah iaitu peperangan antara kaum Muslimin dengan para pengikut nabi palsu.

Sikap Yang Mulia
‘Afra datang kepada Rasulullah S.A.W ketika kedua-dua anaknya, Auf dan Mu’awwidz gugur syahid dalam perang Badar dan yang tinggal hanyalah Mu’adz. Lalu beliau bertanya, “Ya Rasulullah, apakah yang tinggal itu adalah anakku yang jahat?” Rasulullah S.A.W menjawab, “Tidak wahai ‘Afra, seboleh-bolehnya kamu mengharapkan agar semua anakmu mendapat kehormatan untuk mati syahid di jalan Allah”.  Jawapan Rasulullah itu merupakan satu pujian buat ‘Afra binti Ubaid yang sentiasa mencita-citakan kesyahidan anak-anaknya serta tidak akan pernah tenang selagi kesemua putera-puteranya itu tidak keluar berjihad.

Subhanallah! Sungguh mulia susuk tubuh wanita ini. Sungguhpun kisah hidup sahabiyah ini jarang kita dengar dalam lakaran sejarah para sahabiyah Rasulullah S.A.W, namun syakhsiyah Islamiyah (keperibadian Islam) yang jelas terpancar pada dirinya harus dijadikan teladan buat para ibu khususnya dan kaum Muslimah umumnya. Kekuatan imannya dan keyakinannya pada janji-janji Allah dan Rasul telah mendorongnya untuk mengorbankan anak-anaknya di jalan Allah. Hal ini jelas kelihatan melalui kejayaannya dalam mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh dan turut berjuang bersama Rasulullah S.A.W demi meninggikan kalimah Allah. Kita bukan mendapati hanya seorang atau dua orang anaknya yang terjun ke medan jihad, malah kesemua puteranya memainkan peranan yang hebat dalam pertempuran walaupun berada dalam usia remaja. 

Khatimah

Akhwati rahimakumullah!

Inilah yang dikatakan sebagai cinta yang hakiki. Sememangnya cinta adalah sebuah perasaan yang paling kuat dorongannya terhadap segala gerak langkah kita. Perasaan cinta yang kuat terhadap Allah dan Rasul telah membuatkan ‘Afra memanifestasikannya dengan mengorbankan segala apa yang ada pada dirinya termasuk juga anugerah Allah yang tidak ternilai iaitu anak-anak. Bahkan beliau sentiasa mendidik anak-anaknya agar terus berada di jalan Allah S.W.T supaya sentiasa hidup di bawah naungan dan keredaan Allah kerana harapan yang sentiasa terbuku di dalam hati ibu itu adalah untuk melihat anak-anaknya kembali menghadap Allah dengan hati yang puas lagi tenang sebagaimana firman Allah S.W.T,

Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu”  [TMQ al-Fajr (89):27-30]

Wahai para ibu! Berapa orang puterakah yang Allah S.W.T amanahkan buat kalian? Satu, dua, tiga atau bahkan lebih? Tidakkah kalian rasa bersyukur atas nikmat tersebut? Namun, sudahkah kalian mempersiapkan mereka untuk menjadi mujahid penegak syariah dan Khilafah? Menjadi mujahid yang sentiasa bersedia berjihad meninggikan kalimahNya. Ayuhlah para ibu sekalian! Sebar-sebarkan cinta kita ke dalam keluarga dan masyarakat sekeliling. Biarkan cinta itu bergerak laju membimbing langkah kita untuk menyebarkan cahaya Ilahi kerana yang pastinya dakwah adalah sebuah manifestasi cinta kita terhadap Allah dan RasulNya.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
1)    70 Wanita Terbilang Di Zaman Nabi Muhammad SAW. Abu Azka al-Madani, Harun Arrasyid Hj Tuskan. Al-Hidayah.
2)    Sirah Nabawiyah ibnu Hisyam. Jilid I dan II. Darul Falah.
3)    Al-Quran dan terjemahannya.
 


FIKIH
HUKUM MEMUKUL ANAK DALAM ISLAM

SOALAN:
Kes pasangan Malaysia di Sweden yang di tahan dan didakwa kerana dikatakan memukul anak yang tidak solat telah menjadi berita hangat. Pasangan tersebut kini sedang menjalani hukuman penjara walaupun anak-anak mereka telah berjaya dibawa pulang. Banyak perbincangan telah dibuat mengenai isu ini. Terkait dengan isu kanak-kanak yang dipukul di Sweden ini, apakah sebenarnya hukum memukul anak dalam Islam?

JAWAPAN:
Ramai dalam kalangan masyarakat tidak selesa dengan kewujudan undang-undang yang ada di Sweden, di mana ibu bapa hilang hak mendisiplinkan anak-anak dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Sebenarnya, Malaysia juga sudah lama menguatkuasakan Akta Kanak-Kanak 2001 dan memasukkan pelbagai peruntukan undang-undang untuk melindungi kanak-kanak. Di Malaysia, jika ibu bapa atau penjaga mendera anak-anak, mereka tetap akan ditahan polis dan dikenakan tindakan undang-undang yang boleh membawa hukuman denda dan penjara (rujuk seksyen 31).

Kebolehan Memukul Dalam Rangka Ta’dib (Mendidik)
Hakikatnya, membesarkan anak sehingga menjadi seorang yang berkeperibadian Islam bukanlah sesuatu yang mudah. Ibu bapa sudah tentu inginkan anak-anak mereka mendapat kesejahteraan dunia dan akhirat. Sesungguhnya, hal ini memerlukan kesabaran, kerja keras, kesungguhan dan kebijaksanaan agar anak-anak menuruti apa yang diajarkan oleh ibu bapanya.

Pukulan merupakan salah satu cara agar anak istiqamah dalam mengerjakan ibadah dan ia bukan merupakan tujuan akan tetapi hanya digunakan jika si anak terus menerus menentang dan menolak ajaran orang tuanya. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W berpesan kepada ibu bapa agar mengajar anak sehingga anak tersebut menurutinya.
   
Daripada Ibn Abbas r.a, daripada Rasulullah S.A.W bersabda,

Gantungkan pecut (rotan) di tempat yang dapat dilihat keluarga, kerana itu merupakan pendidik bagi mereka[HR. Thabrani].

Syariat Islam telah menetapkan kewajiban bagi suami untuk mendidik (men-ta’dib) isteri dan anak-anaknya agar taat kepada Allah S.W.T. Hal ini sesuai dengan firman Allah S.W.T,

Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”  [TMQ at Tahrim (66):6].

 Imam Ath-Thabari dalam tafsirnya tentang ayat ini berkata,

Wahai orang yang benar keimanannya terhadap Allah dan RasulNya, ‘peliharalah diri kalian’ hendaklah satu sama lain saling mengajarkan sesuatu yang membuatkan kalian dapat berlindung dan terhindar daripada neraka, iaitu apabila mereka beramal dalam ketaatan kepada Allah. Sedangkan firmanNya ‘dan (lindungi) keluarga kalian daripada neraka’, maksudnya adalah ajarkan keluarga kalian amal ketaatan kepada Allah yang dapat melindungi mereka daripada api neraka[Tafsir Ath-Thabari, 28/165].

Oleh yang demikian, suami mestilah bersungguh-sungguh dalam melakukan ta’dib kepada isteri dan anak-anak kerana suamilah yang bertanggungjawab dalam membentuk rumah tangga yang sejahtera. Sekiranya suami berjaya membentuk isteri dan anak-anaknya sehingga mereka menjadi individu yang mempunyai keperibadian Islam maka suami dikatakan berjaya menggalas amanahnya sebagai qawwam yakni pemimpin dalam rumah tangga.

Syariat Islam memberikan bimbingan yang sangat mudah dan jelas dalam melakukan ta’dib. Secara umumnya banyak nas yang memerintahkan para suami dan ibubapa supaya berlemah-lembut dalam melakukan ta’dib. Walau bagaimanapun, Islam juga memberi kebenaran berupa kebolehan untuk memukul dalam keadaan tertentu.

Ibnu Amr bin al-’As menuturkan bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda,

Suruhlah anak-anakmu solat apabila berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika sudah berumur sepuluh tahun (jika tetap enggan solat) dan pisahkanlah tempat tidur mereka (anak lelaki dengan anak perempuan)[HR Abu Daud dan al-Hakim].

Dalam hadis ini, Rasulullah S.A.W menggunakan ungkapan murruu (suruhlah) untuk anak yang berusia di bawah 10 tahun dan idhribuu (pukullah) untuk anak yang telah mencapai 10 tahun. Maka dengan ini, jelas bahawa Rasulullah S.A.W membolehkan anak yang berusia 10 tahun dipukul jika enggan solat. Namun, bagi anak yang usianya di bawah 10 tahun, tidak dibolehkan memukulnya jika enggan solat, apalagi dalam masalah selain solat. Kebolehan memukul ini juga bukan bererti wajib.

Pukulan Ta’dib: Bukan Kekerasan
Memukul isteri atau anak dalam rangka ta’dib tidak boleh diterjemahkan sebagai ‘kekerasan dalam rumah tangga’, kerana kekerasan adalah bentuk jenayah (jarimah). Pengertian jarimah dalam Islam adalah tindakan melanggar hukum syariat Islam dan termasuk dalam kategori kejahatan. Kejahatan dalam Islam adalah perbuatan tercela (al-qabih) yang juga ditetapkan oleh hukum syariat, bukan oleh yang lain. Setiap yang dianggap sebagai tindakan kejahatan mestilah berdasarkan dalil-dalil syar’ie. Kebolehan memukul dalam rangka ta’dib telah dijelaskan dengan dalil yang wadhih (jelas) sehingga tidak termasuk kategori kekerasan atau kejahatan.

Adalah menjadi lumrah manusia, ada kalanya sikap tegas diperlukan dalam rangka untuk menangani masalah. Setiap insan mempunyai rasa marah apabila perintahnya tidak ditaati, apatah lagi perintah untuk mengerjakan kebaikan. Islam justeru mengajar manusia agar menyalurkan rasa marah ini dengan cara yang baik dan efektif.

Misalnya, ada isteri yang tidak berubah menjadi baik atau sedar akan kesalahannya dengan nasihat, malah tetap dalam keadaan nusyuz (derhaka) terhadap suami walaupun setelah dinasihati. Sedangkan, dengan nasihat suami, isteri sepatutnya  berasa takut terhadap ancaman Allah atau terhadap kemudaratan akibat ancaman terputusnya nafkah.

Bahkan jika hajr (pemisahan tempat tidur) dengan maksud suami ‘tidak menyentuhnya’ agar isteri insaf, juga tidak membawa perubahan pada dirinya, pada ketika inilah Islam membenarkan cara yang lebih tegas untuk memperbaikinya, iaitu dengan pukulan. Demikian juga dengan anak, apabila pengajaran tidak mampu lagi diberikan dengan cara memberikan nasihat, arahan, petunjuk, kelembutan ataupun suri teladan, maka dalam keadaan seperti ini cara ‘pukulan’ sebagai sebuah bentuk ketegasan dibenarkan oleh Islam.

Namun harus diperhatikan, ta’dib kepada isteri dan anak dalam bentuk ‘pukulan’ ini bukanlah sebagai penghinaan atau penderaan ke atas mereka, bukan pula sebagai balas dendam atau penyeksaan, tetapi dalam rangka mendidik, memperbaiki dan meluruskannya. Pukulan ini disertai rasa kasih sayang suami kepada isteri atau ibu bapa kepada anaknya, bukan pukulan yang meninggalkan bekas atau keras sehingga membuat isteri lari daripada suaminya, anak menjauhkan diri daripada orang tuanya atau sehingga menumbuhkan kebencian dan membunuh rasa cinta anak terhadap ibu bapanya.

Dalam fikih, pukulan ada yang diistilahkan sebagai dharb mubarrih dan dharb ghairu mubarrih.

1. Dharb mubarrih: pukulan yang keras hingga dikhuatiri akan mematahkan tulang, menghilangkan nyawa atau mengakibatkan anggota badan menjadi cacat. Pukulan seperti ini dilarang oleh syariat dan termasuk dalam perkara yang diharamkan.

2. Dharb ghairu mubarrih: pukulan ringan yang tidak mengeluarkan darah serta tidak dikhuatiri menimbulkan kebinasaan jiwa atau cacat pada tubuh, patah tulang dan sebagainya.

Pukulan jenis kedua ini menurut syariat boleh diberikan kepada isteri yang berbuat nusyuz, bermaksiat dan melakukan pelanggaran syariat, setelah dilakukan mau’izhah dan hajr  [An-Nusyuz, Asy-Syaikh Shalih bin Ghanim As-Sadlan].

Para fuqaha’ mengatakan, dharb ghairu mubarrih adalah pukulan yang tidak melukai si isteri, tidak mematahkan tulangnya, tidak berbekas pada tubuhnya dan tidak boleh diarahkan pada wajah kerana pukulan pada wajah adalah dilarang oleh nas. Pukulan tersebut juga harus diarahkan pada tubuhnya (tidak diarahkan hanya pada satu tempat). Tidak boleh satu tempat dipukul terus-menerus, agar tidak menimbulkan bahaya yang besar pada bahagian tubuh tersebut. Di antara fukaha’ ada yang menyatakan, “Sebaiknya pukulan dilakukan dengan menggunakan sapu tangan yang dililit atau dengan tangan si suami, tidak boleh dengan rotan dan tongkat”.

Atha’ rahimahullah berkata: Aku pernah bertanya kepada Ibnu Abbas r.a , “Apakah yang dimaksudkan pukulan ghairu al-mubarrih?” Ibnu Abbas r.a menjawab, “Memukul dengan siwak (sejenis dahan, batang atau akar sejenis tumbuhan yang biasa digunakan untuk bersugi) dan semisalnya (bahan yang lembut, tidak keras, sehingga tidak menyakitkan)”.

Menolak Tuduhan
Ternyata hukum Islam sebenarnya adalah sesuai dengan fitrah manusia, di samping  mampu memberikan penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi oleh para suami dan ibu bapa dalam mendidik isteri dan anak-anak. Demikianlah keunggulan syariat yang lahir daripada akidah Islam. Saat syariat Islam ini difahami dan diamalkan dengan sungguh-sungguh sebagai wujud ketaatan kepada Sang Khaliq, maka Insya Allah terurailah semua masalah yang dihadapi oleh manusia.

Berdasarkan dalil serta fakta yang diberikan di atas, jelas menolak tuduhan sesetengah pihak bahawa Islam membenarkan kekerasan dalam rumah tangga. Tuduhan tersebut semata-mata muncul kerana kesalahfahaman atau kebencian mereka terhadap hukum Islam. Dalam pandangan golongan liberal sebagai contoh, ketika seorang isteri menolak melayani suami dengan alasan bahawa setiap isteri mempunyai hak ke atas tubuhnya secara peribadi, maka ini adalah hak isteri yang harus diakui. Suami tidak berhak memaksa apalagi men-ta’dib dengan pukulan.

Begitu pula ketika seorang anak yang sudah baligh tetapi tidak mahu menjalankan aturan agama, dianggap sebagai hak kebebasan menentukan pilihan sang anak yang sedang mencari jati diri. Ibu bapa tidak berhak memaksa apalagi men-ta’dib-nya dengan pukulan. Pandangan kaum liberal semacam ini tentu tidak layak diambil dan dijadikan dasar perbuatan bagi seorang Muslim kerana hakikatnya pandangan ini langsung tidak memiliki landasan kecuali akal semata dan yang lebih penting, pandangan liberal ini adalah bertentangan dengan nas.

Khatimah
Islam adalah agama/ideologi yang syumul (menyeluruh) meliputi aspek kerohanian dan pengurusan kehidupan manusia. Islam diturunkan oleh Allah S.W.T bagi menyelesaikan semua permasalahan manusia daripada sekecil-kecil masalah sehingga kepada sebesar-besar masalah. Ini termasuklah cara mendidik anak yang merupakan tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan anak menjadi insan yang mempunyai aqliyyah (pola fikir) dan nafsiyyah (pola sikap) Islami sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam.

Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapanyalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi …” [HR Bukhari dan Muslim]

Wallahu a’lam

Rujukan:
1)    1100 Hadits Terpilih. Sinar Ajaran Muhammad, Dr. Muhammad Faiz Almath
2)    Fikih Rumah Tangga. Pedoman Membangun Keluarga Bahagia, Syamsuddin Ramadhan
3)    Al-Wa’ie. Kebolehan Memukul Dalam Rangka Ta’di