Fikratul Ummah – Edisi Khas 2011

Dari Lidah Pengarang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dunia sedang menyaksikan pergolakan yang berlaku di belahan bumi para anbia.  Akibat kerakusan dan ketamakan para pemerintah, akhirnya umat bangkit menuntut hak mereka.  Kezaliman dan kekejaman Fir’aun berulang, itulah yang diperkatakan oleh sesetengah pihak tentang kebangkitan yang berlaku di Mesir.  Pelbagai analisis dilakukan, spekulasi dan jangkaan terus diramal oleh pemerhati politik.  Fikratul Ummah keluaran khas kali ini tampil menyalurkan maklumat untuk para pembaca yang sekaligus mampu memberi gambaran dari awal mengenai rentetan pergolakan yang berlaku.

Di samping mengutarakan rentetan pergolakan, kami di Fikratul Ummah ingin mengajak pembaca menghayati dengan pemikiran yang benar tentang revolusi dan perubahan seperti apakah yang seharusnya dan sepatutnya berlaku?  Perubahan yang dimaksudkan itu bukan hanya menjurus kepada Mesir dan Tunisia sahaja, malah ia mampu menyelesaikan masalah umat Islam secara keseluruhannya.  Di bumi mana sekalipun umat Islam berada, mereka perlu bersatu kerana mereka adalah  umat yang satu.  Usahlah lagi umat Islam disekat dengan mentaliti kotor yang telah lama tertanam di benak orang Islam hari ini dengan mengatakan itu urusan negara mereka, kita tidak ada hak untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran mereka.  Umat Islam seolah-olah lupa pesanan junjungan mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bahawa umat Islam itu adalah ibarat satu tubuh jika satu anggota badan terasa sakit maka keseluruhannya akan berasa sakit.  Ke manakah hilangnya semangat ukhwah yang sepatutnya menjadi asas kekuatan umat Islam?

Harapan kami semoga keluaran khas ini mampu memberi pencerahan kepada pembaca yang budiman bahawa perubahan yang seharusnya berlaku ialah sebuah perubahan mega yang mampu meruntuhkan hegemoni Barat ke atas umat Islam.  Perubahan ini pula hendaklah berlaku selaras dengan tuntutan syariat Islam iaitu dengan menegakkan semula kalimah La ilaha illallah di muka bumi ini kerana agama yang diredhai di sisi Allah ialah Islam [TMQ ali-Imran (3):19].  Islam mengajarkan kita tentang Tuhan yang satu, Islam menuntut kita berkiblat kepada kiblat yang satu, Islam mewajibkan kita berpetunjuk dengan al-Qur’an yang satu.  Sesungguhnya negara bagi umat Islam juga satu kerana umat Islam adalah umat yang satu. 
Wallahu a’lam.
 


MESIR: APAKAH YANG SETERUSNYA?
Kepanasan isu kebangkitan umat di Mesir membara dan menarik perhatian dunia.  Media massa seluruh dunia bukan sahaja melaporan fakta kejadian, bahkan turut berusaha untuk membentuk persepsi global sebaik mungkin.  Tidak ada yg terkecuali baik individu umum, para cendekiawan, para penguasa mahupun organisasi menyatakan analisis masing-masing terhadap isu ini.  Bahkan ada yang turut mencanangkan pelbagai bentuk solusi yang diharapkan cukup berpengaruh untuk diadopsi oleh rakyat Mesir dan negara Muslim lainnya yang turut mengalami gejolak yang sama.
 
Misalnya, BBC telah menggambarkan ElBaradei sebagai: “Mohamed ElBaradei, tokoh yang mengetuai pembangkang Mesir, telah bersama-sama menyertai ribuan penunjuk perasaan di Kaherah…”  Pihak BBC telah pun memberikan pengiktirafan kepada beliau “mengetuai pembangkang” sedangkan ElBaradei baru menjejakkan dirinya di bumi Mesir pada 27 Januari 2010.  Ini jelas menunjukkan bagaimana mungkin seseorang yang masih baru di Mesir dikatakan sebagai tokoh pembangkang Mesir.  Apakah tidak ada yang lebih layak dari beliau?  Namun, contoh di atas hanyalah sebahagian dari pelbagai persepsi yang disebarkan oleh media massa bagi menanam opini di kalangan rakyat Mesir, pemerhati politik seluruh dunia dan masyarakat dunia umumnya.
 
Persoalan demi persoalan bermain di minda dan di bibir setiap umat.  Antara yang utama ialah apakah yang terjadi selanjutnya di Mesir?  Ironinya, suatu persoalan yang tidak dapat tidak diajukan ialah siapakah watak-watak utama di sebalik tragedi ini, dari persoalan siapakah yang memulakan tragedi tersebut, sehinggalah kepada persoalan yang sangat penting iaitu siapakah yang akan menerajui tampuk kekuasaan pemerintahan Mesir yang seterusnya, dan apakah posisi terkini calon-calon berkenaan?
 
Antara calon yang dilihat sebagai paling berpengaruh untuk menggantikan Hosni Mubarak ialah anakandanya sendiri iaitu Gamal Mubarak.  Gamal Mubarak telah beberapa kali mengunjungi Amerika Syarikat (AS) dan menemui tokoh-tokoh utama Kongres Amerika termasuklah Senator John Kerry dan Howard Peerman.  Amerika dan parti yang berkuasa di Mesir telah mencipta beberapa keadaan untukmembantu menaikkan Gamal Mubarak sebagai presiden seterusnya bagi menggantikan ayahandanya.  Walau bagaimanapun, kebangkitan rakyat Mesir telah merosakkan rancangan mereka itu.  Ini kerana para penunjuk perasaan memprotes bukan sekadar agar Hosni Mubarak melepaskan tampuk kekuasaannya bahkan termasuklah menidakkan penerimaan mana-mana individu yang berkaitan dengannya sebagai pengganti.  Maka, tidak hairanlah sejurus setelah ditolak oleh rakyatnya, Gamal Mubarak bersegera meninggalkan negara terbabit.

Manakala Eropah pula telah lama ingin menapak di bumi Mesir dan telah secara terbuka menyokong Ayman Nour dari Parti Wafd.  Eropah dilihat sebagai pihak yang sangat menginginkan pembebasan Ayman Nour bilamana beliau telah ditahan kerana menyuarakan tuntutan pindaan terhadap Perlembagan Mesir.  Mereka menuntut agar beliau dibebaskan dan membantah terhadap penahanan beliau sejak dari hari pertama beliau ditahan.  Bahkan pihak Eropah meneruskan perhubungan peribadi dengan Ayman Nour sepanjang tempoh penahanan beliau.
 
Pada Februari 2007, Reuters melaporkan: “Edward MacMillan Scott, sebagai ketua Parlimen Eropah dan juga merupakan utusan khusus untuk “Demokrasi dan Hak Asasi Manusia” telah cuba untuk menemui Ayman Nour.  Namun, dia telah dihalang dari menemuinya walaupun setelah mereka membuatnya menunggu selama satu jam setengah.  MacMillan Scott seterusnya telah menghubungi Kesatuan Eropan (EU) agar mengambil tindakan yang lebih tegas dan memandang serius terhadap rejim Mesir serta turut menyatakan fakta bahawa rejim Mesir telah melanggar hak kebebasan Ayman Nour.”  
 
Mohamed El Baradei kembali ke Mesir pada 27 Januari 2011.  Kepulangannya telah mendapat liputan meluas dari pihak media Eropah. Sejak dari tahun 1997 iaitu ketika beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Badan Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan berkhidmat sebagai Wakil Tetap Mesir (the Permanent Missions of Egypt) di United Nations (UN) di New York dan di Geneva, dia bertanggungjawab atas masalah kawalan politik, undang-undang dan isu kawalan senjata api.  Elbaradei yang juga dikenali sebagai sekularis yang setia dan telah banyak menghabiskan masanya di luar Mesir.  Dia malah telah lama menyeru reformasi di Mesir.  Sebagai inspektor senjata, ElBaradei telah menggagalkan niat jahat kepimpinan Bush terdahulu dan mengkritik rejim Amerika Syarikat kerana tidak membenarkan pemeriksaan senjata diteruskan ketika Amerika Syarikat membina kes terhadap Iraq.
 
Amerika Syarikat telah lama mengkritik ElBaradei mengenai isu program senjata nuklear Iran.  Sehubungan dengan ketegangan hubungan di antara keduanya, AS turut memata-matainya.  Walau bagaimanapun, ElBaradei menyokong Obama bilamana Obama menerajui tampuk kekuasaan AS.  Berbeza dengan calon-calon yang lain, ElBaradei merupakan calon yang kurang popular kerana beliau tidak dikenali oleh sebahagian besar rakyat Mesir.  
 
Sementara itu gerakan Islam yang paling popular di Mesir, Ikhwanul Muslimin walau bagaimanapun mengambil langkah “low profile” di sepanjang tempoh demostrasi berlaku.  Mereka menyokong demostrasi terbabit, namun mereka menghalang ahli mereka daripada menyertai atau hadir ke tunjuk perasaan terbabit.  Helmi Gazzar, Ketua Ikhwanul Muslimin bagi Pejabat Daerah Parti di Utara Kaherah, memaklumkan kepada Wall Street Journal bahawa strategi tersebut, “…mencerminkan strategi organisasi di mana tujuan agama mereka mestilah diletakkan di belakang demi membakar semangat untuk mencapai demokrasi, apa yang kita inginkan ialah apa yang rakyat mahukan; sekarang ini kita mestilah memilki sebuah rejim yang sama sekali berbeza.  Kita mestilah memilki kebebasan dan pilihanraya umum yang bebas untuk memilih….” Beliau seterusnya menambah, “…kami menghormati Baradei dialah yang paling berpotensi untuk mencapainya (pemerintahan).”
 
Persoalannya ialah, mengapa organisasi terbesar di Mesir ini tidak mahu mengetuai penentangan terhadap Mubarak bilamana peluang telah datang dengan sendirinya???
 
Ini kerana Ikwanul Muslimin sendiri berada dalam keadaan tegang dan tertekan memandangkan terdapat di kalangan ahli organisasi yang diharamkan ini yang menduduki kerusi Parlimen sebagai ahli Parlimen bebas.  Ketegangan lebih buruk bila para pegawai AS juga sering mengatur pertemuan dengan ahli-ahli parlimen terbabit.   
 
Seterusnya, ketegangan memuncak ketika sebuah draft manifesto politik diterbitkan pada tahun 2007 yang mana organisasi tersebut telah mencadangkan penubuhan Majlis Penasihat Bimbingan Agama (religious guidance counsel) di Mesir untuk meluluskan kesemua undang-undang yang telah disahkan oleh lembaga awam negara itu.
 
Dalam sebuah wawancara bersama akhbar al-Masri al-Youm, Penasihat Agung (Supreme Guide) Ikhwanul Muslimin, Mohamed Mehdi Akef menjelaskan bahawa, “Majlis (Council) tersebut akan menjadi badan penasihat yang akan memberi pendapatnya kepada institusi-institusi negara; pendapat-pendapat ini kemudiannya tertakluk kepada persetujuan daripada Parlimen.” Elemen-elemen yang tidak dipersetujui di kalangan Ikhwanul Muslimin berkenaan isu ini jelas haram, bahkan sejak berlakunya perpecahan di kalangan ahli kumpulan telah memburukkan lagi keadaan mereka.  Akibatnya, organisasi tersebut tidak mampu untuk bergerak secara kolektif sebagai sebuah organisasi yang kukuh serta bersatu di dalam arah perjuangan yang sama.
 
Manakala pemain lain yang sangat penting dalam agenda politik Mesir ialah pasukan militannya.  Hosni Mubarak hanya kekal berkuasa selagi ketaatan pasukan militer Mesir masih setia padanya.  Walau bagaimanapun masa menentukan bahawa pasukan militer juga sama-sama berpihak dengan para penunjuk perasaan dalam menentukan masa depan Mesir.  Ini jelas apabila sebahagian daripada tentera Mesir telah menyertai tunjuk perasaan terbabit sejak dari bermulanya perbahasan rambang terhadap kepimpinan Hosni Mubarak semakin memuncak. 
 
Ketua Staf Mesir, Lt. Jen. Sami Annan yang berada di Washington pada 24 Januari 2011 telah mengetuai delegasi militari berpangkat tertinggi di saat perkumpulan demostrasi memuncak momentumnya.  Manakala Menteri Pertahanan, Marsyal Mohamed Hussein Tantawi, yang dinamakan sebagai Wakil Presiden, dalam masa yang sama tetap sebagai Ketua di bahagian Kementerian Pertahanan dan bertanggungjawab memantau dan mengawasi Presiden di barisan pertama pertahanan sebagai Ketua Pengawal (Garda) Republik bersama dengan Lt. Jen. Sami Annan bertindak sebagai penaggungjawab menguruskan peralihan ini dari belakang tabir.   
 
Rejim Mesir tampaknya telah muncul untuk menstrukturkan peralihan yang menyenangkan hati AS.  Omar Suleiman kemudiannya telah dilantik sebagai timbalan presiden oleh Mubarak.  Sejak tahun 1993, Suleiman telah mengetuai badan kerajaan yang digeruni umum iaitu Agensi Perisikan Mesir.  Dalam kapasiti tersebut, beliau merupakan orang pilihan CIA di Mesir untuk misi “melarikan” – misi rahsia yang mana CIA melakukan tangkapan terhadap suspek-suspek pengganas dari seluruh dunia dan mengembalikan mereka semula ke Mesir dan lain-lain tempat untuk tujuan interogasi (siasatan) yang dilaksanakan dengan cara yang kejam dan zalim.
 
Kedua-dua Menteri bahagian pertahanan, Marsyal Mohamed Hussein Tantawi dan Lt. Jeneral Sami Annan memiliki hubungan erat dengan pihak AS.  Jurubicara Jabatan Pertahanan AS, Geoff Morell telah memperakui bahawa Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates telah pun berbicara dengan Tantawi dan juga Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak pada 30 Januari 2011.  Jurucakap Laksamana Mike Mullen (US Joint Chiefs of Staff Chairman) berkata bahawa Mullen juga telah berbicara dengan Lt Jeneral Sami Annan pada hari yang sama.  Semua ini jelas menunjukkan bahawa tentera Mesir memilki kerjasama yang erat dengan pihak AS dan AS juga telah mengisyaratkan bahawa mereka menaruh kepercayaan terhadap ketua-ketua militari ini.
 
KHATIMAH

Setelah Hosni Mubarak memberikan ucapan di kaca televisyen bahawa dia tidak akan tampil sebagai calon dalam pemilihan presiden akan datang (pada bulan September), Mubarak tidak menyatakannya setelah pertemuannya dengan utusan AS, Frank Wisner. Frank Wisner dilaporkan telah berkata kepada Mubarak “inilah masa untuk pergi”. Kenyataannya adalah AS dan tentera Mesir telah mengesahkan adanya peralihan yang terancang dan kini akan menjamin kemunculan sebuah rejim yang akan turut melindungi kepentingan AS.  AS telah memainkan peranannya secara langsung dalam menentukan masa depan negara ini.  Obama turut menegaskan hal ini ketika beliau mengatakan adalah tidak benar bahawa negaranya berhak menentukan jalan bagi Mesir, namun setiap peralihan mesti menyertakan suara pembangkang dan mengarah kepada pilihanraya umum yang bebas dan adil.
 
Seruan untuk perubahan di Mesir telah menyebabkan banyak umat yang bangkit untuk sama-sama turun ke jalanan dengan harapan agar rejim Mubarak ditumbangkan dan digantikan dengan sistem yang adil.  Namun, ramai di kalangan mereka yang terlibat dalam memimpin protes tersebut; sama ada tidak mempunyai arah yang jelas tentang apa yang wajar dilakukan setelah Mubarak berjaya digulingkan, atau mereka juga memiliki misi dan cita-cita yang korupsi, bahkan terdapat sebahagian dari mereka yang masih terus menyandarkan harapan pada kuasa luar.  Tidak ada satu pun dari kalangan kumpulan-kumpulan yang memprotes ini menyeru agar dicabut akar sistem yang sedia ada untuk digantikan dengan sistem yang lebih baik (sistem Islam), yakni pembaikan terhadap  keseluruhan sistem negara Mesir.  Sebaliknya, kebanyakan dari mereka lebih tertumpu untuk merebut kedudukan Presiden sebaik sahaja Mubarak berjaya dijatuhkan.  Maka, terdapat kemungkinan yang nyata bahawa niat tulus Ummah akan dihalang dan dicarik oleh kekuatan asing yang turut menginginkan perubahan, namun sekadar perubahan pada wajah luarannya tetapi tidak pada intipati sistemnya.  Mereka akan terus menyuburkan intipati sistem yang korup dan kekal sama sebagai dasarnya demi melindungi kepentingan mereka.
 
Semua ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa perubahan yang SEBENAR hanya dengan menghapuskan keseluruhan sistem di Mesir sehinggalah ke akar umbinya dan sebagai alternatif penggantiannya ialah dengan mendirikan sistem Khilafah (Daulah Islam). Wallahu`alam.
 


MESIR: MASA DEPAN BARU
Ketika situasi di Mesir menjadi ekstrem setelah selama puluhan tahun berada di bawah penindasan beberapa rejim secara berturut-turut, kita kini berada dalam posisi di mana senario yang berpotensi ini boleh didiskusikan setelah penguasa Muslim itu digulingkan.  Sehingga sekarang peraturan zalim yang dilakukan oleh rejim korup itu telah berjaya mempertahankan kekuasaan mereka melalui layanan para ejen rahsia yang ditugaskan khas demi memastikan lumpuhnya setiap langkah atau usaha untuk mendapatkan momentum apapun.  Kejadian-kejadian yang berlaku di Tunisia telah menggaung di seluruh dunia Arab dan telah menyemarak hingga ke Mesir, yang merupakan negara terbesar di dunia Arab.
 
Bangkitnya rakyat di Mesir dengan menggembeleng untuk perubahan rejim, membuktikan dengan nyata bahawa telah tiba masanya rejim Mubarak dihapuskan dan kemudiannya rejim ini akan dilupuskan terus ibarat sampah dalam sejarah.  Jika tidak, maka akan timbul beberapa kemungkinan bahawa seruan perubahan ini telah dibajak oleh kekuatan-kekuatan asing.  Setiausaha Luar British, William Hague telah berada di Syria pada minggu ketika berlangsungnya protes terhadap kepimpinan Mubarak.  British merupakan di antara negara yang dijangka turut mencampuri urusan perubahan kepimpinan Mesir ini.  Mohamed ElBaradei (salah seorang calon presiden Mesir) juga telah dilaporkan kembali ke Mesir dengan beberapa misi dan cita-cita yang menimbulkan pelbagai persoalan.  Ketua Staf Mesir Lt. Jen. Sami Annan juga dilaporkan berada di Washington pada tanggal 24 Januari 2011 dengan mengepalai satu delegasi militer berpangkat tinggi.  Manakala perwakilan tertinggi Amerika untuk Timur Tengah, Jeffrey Feltman pula merupakan pegawai asing pertama yang tiba di Tunisia setelah Presiden Zine El Abidine Ben Ali digulingkan.
 
Mengambil kira hal-hal tersebut, tiga aspek utama dalam pemerintahan telah diberi perhatian untuk merancang wajah baru bagi Mesir, iaitu:
 
Kestabilan Ekonomi – Mesir telah mengalami salah urus besar-besaran selama beberapa dekad terakhir.  Menurut Bank Dunia, 40% dari penduduk Mesir, yakni sekitar 30.8 juta orang hidup dalam kemiskinan.  Ekonomi Mesir telah hancur dan sebahagian besarnya disebabkan oleh polisi rejim yang secara berterusan mengasak Mesir ke lembah kehancuran.  Mesir juga mengalami malapetaka di bawah reformasi ekonomi IMF dan Bank Dunia di mana Mesir dipaksa untuk memotong subsidi makanannya dan menstruksturkan semula ekonomi kepada sektor perkhidmatan dan perlancongan.  Perekonomian Mesir dan strukturnya merupakan masalah terbesar Mesir kerana ia tidak diarahkan kepada kekuatan sumber alam Mesir dan perkilangan.
 
Pada tahun 1960, Mesir memiliki keluasan jelapang gandum, biji-bijian dan lain-lainnya yang sudah mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk Mesir.  Walau bagaimanapun, pada tahun 1990, di bawah tekanan IMF dan Bank Dunia, Mesir dipaksa untuk menstrukturkan semula ekonominya dengan meningkatkan sektor eksport dan mengurangkan kebergantungan pada sektor pertanian.  Manakala sejak tahun 2000, Mesir menderita akibat pelbagai bentuk rusuhan makanan.  Hal ini berlaku apabila negara yang pernah memiliki simpanan makanan persendirian dan dapat menampung keperluan makanan sendiri bagi rakyatnya ini, kini terpaksa menjadi negara yang bergantung kepada sumber makanan yang diimport, yang mana tidak mencukupi untuk menampung keperluan makanan rakyatnya.  Kebergantungan kepada makanan import juga menyebabkan rakyat Mesir turut terkena musibah kenaikan harga sumber makanan.  Ini kerana pasaran kewangan telah berpindah kepada spekulasi ke atas komoditi.  Pada masa ini Mesir mengeluarkan 8 juta ton gandum per tahun, suatu nilai yang sangat jauh dari keperluan sebesar 14 juta ton untuk diberi makan kepada 80 juta penduduknya. Kekurangan ini dipenuhi dengan mengimport gandum dari Amerika Syarikat (AS), yang dibiayai oleh sumber kewangan bantuan.
 
Di bawah naungan sistem Khilafah, kedudukan strategik Terusan Suez yang mana 5% dari minyak dunia menggunakan laluan ini yang sekaligus dianggap sebagai titik laluan utama, akan mampu mengukuhkan ekonomi Mesir.  Di sini, Mesir boleh mengenakan bayaran kepada kargo yang menggunakan laluan ini serta melakukan penyulingan minyak mentah yang melewati pelabuhan-pelabuhannya.  Ini akan menyumbang kepada pendapatan negara yang mencecah sehingga jutaan dolar.  Pada hari ini Mesir memiliki 9 buah kilang minyak yang menghasilkan 710,000 barel minyak mentah sehari.  Jumlah ini justru sangat berpotensi untuk diitngkatkan.
 
Sementara itu di sektor pertanian pula, tanah pertanian gurun yang ditawarkan secara teratur pada aras dan harga yang berbeza dihadkan hanya kepada kelompok elit yang dipilih dengan sangat berhati-hati, yang kemudiannya meraih keuntungan yang diambil dengan menjual secara retail tanah-tanah pertanian gurun yang luas.  Hal ini mengubah tanah pertanian gurun menjadi kawasan pelancongan.  Sistem Khilafah akan meningkatkan produksi pertanian tempatan dan mengakhirkan peranan Mesir sebagai pasaran bagi sektor pertanian AS.  Ini jelas berbeza dengan pemerintah Mesir hari ini yang telah membuatkan Mesir bergantung kepada sektor import.
 
Pemerintah yang bertanggungjawab – Pada tahun 1880-an, Mesir tidak mampu untuk menjelaskan hutang dan akibatnya, Kerajaan British sebagai negara pemberi pinjaman, menggunakan alasan ini untuk menduduki Mesir selama setengah abad berikutnya. British telah mengangkat penguasa yang terdiri daripada kaki tangan yang setia kepadanya.  Sehinggalah Amerika muncul sebagai kekuatan dunia setelah Perang Dunia ke 2 kemudiannya mendapatkan pengaruh ke atas Mesir dan seterusnya mendapatkan taat setia daripada penguasa Mesir secara berturut-turut. 
 
Rejim Mesir turut bersikap terbuka dengan Israel, yang justru menormalisasikan hubungannya dengan Israel dan sekaligus menekan segala tanda-tanda kebangkitan Islam.  Selama kekuasaan para penguasa Mesir yang lama itu, mereka sering didokong oleh kekuatan-kekuatan luar.  Oleh yang demikian mereka tidak pernah bertindak sebagai perwakilan bagi rakyatnya dan tidak pernah mahu bertanggung jawab terhadap rakyatnya sendiri.  Sudah jelas bahawa kekuatan-kekuatan asing telah membiayai dan mempersenjatakan rejim itu serta menjaga kesetiaan rejim Mesir agar terus bersama mereka.  Hal ini menyebabkan para penguasa menggunakan tenaga rakyatnya demi kepentingan sendiri dan hakikatnya telah mengabaikan kebajikan rakyatnya.
 
Di bawah naungan sistem Khilafah, penguasa dipilih oleh rakyat dan mewakili rakyat.  Setiap pengaruh asing akan menyebabkan dia diganti.  Secara praktikalnya, tanggungjawab ini dilaksanakan oleh Majlis Ummah, sebuah dewan yang para anggotanya adalah yang terpilih.  Ahli Majlis Ummah boleh terdiri daripada kaum Muslim, dan non-Muslim, baik laki-laki mahu pun perempuan. Para anggota Majlis mewakili kepentingan rakyat atau badan yang memilih mereka dalam Khilafah. Walau bagaimanapun, Majlis tidak memiliki kekuasaan legislatif tetapi memiliki banyak kekuatan yang bertindak untuk mengimbangi kekuasaan eksekutif Khalifah.  Majlis juga memiliki hak untuk membuat daftar calon bagi  jawatan Khalifah.
 
Visi – Kaum Muslim memiliki sejarah yang terkenal di Afrika.  Inilah yang menyebabkan 52% penduduk Afrika saat ini terdiri dari orang-orang Islam.  Islam datang ke Afrika Utara setelah Al Sham berada di bawah naungan Islam.  Islam hadir di benua itu bermula dengan pembesasan Mesir.  Mesir ketika itu dihuni oleh pelbagai bangsa dan jenis manusia, seperti Kristian Koptik, Yahudi dan Romawi.  Demikian juga di Afrika Utara yang merupakan sebuah wilayah di mana orang Barbar hidup di bawah dominasi Romawi. 
 
Bangsa Rom memandang Afrika sebagai koloni mereka dan melalui para penguasa yang didominasi mereka, mereka mempertahankan cengkamannya ke atas benua tersebut.  Operasi untuk membuka Afrika Utara bermula pada tahun 663.  Sejurus kemudian, kaum Muslim berjaya menguasai kota-kota besar di Libya. Tripoli kemudiannya berjaya dimiliki pada tahun 666 dan seterusnya pada tahun 670, kaum Muslim berjaya membuka Tunisia.  Wilayah Maghribi pada hari ini yang kini terdiri dari Libya, Tunisia, Algeria, dan Marocco serta secara kolektifnya dikenali sebagai empayar Bizantium (Byzantine) wilayah Afrika, akhirnya menyerah dan mengirimkan gelombang kejutan ke seluruh wilayah Romawi.  Maka, kejatuhan Mesir yang merupakan keranjang roti bagi Empayar Romawi, merupakan kerugian yang terbesar Romawi dan tidak pernah berjaya dipulihkan mereka.
 
Selain itu, kaum Muslim telah membangunkan Kota Qairouan (kira-kira lapan puluh kilometer di selatan kota Tunisia moden).  Kota ini telah menjadi ibu kota Islam Afrika.  Pada awalnya ia merupakan lokasi pengkalan militer.  Namun, seperti kebanyakan pangkalan-pangkalan militer, ia kemudian membangun menjadi kota-kota dan pusat-pusat ilmu pengetahuan.  Masjid Al Qayeawm (Jamil Uqba) juga telah dibangunkan oleh umat Islam dan menjadi pusat ilmu pengetahuan di seluruh wilayah Islam.  Kaum Muslim Baru Afrika Utara juga merupakan pihak yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam ke Eropah.  Selepas itu, ramai bangsa Barbar telah menganut agama Islam.  Misalnya, Tariq Bin Ziyad.  Beliau kemudiannya memimpin pasukannya melintasi Selat Gibraltar yang mulai terkenal dalam sejarah Islam di Eropah. Anehnya, para penguasa saat ini di Afrika Utara secara berterusan bertindak menjual rakyatnya untuk kepentingan Barat.  Berbeza dengan masa lalu di mana Islam telah menjadikan wilayah tersebut sebagai sebuah pusat ilmu pengetahuan dan pintu masuk ke Eropah.  Justru bertambah ironi apabila kini Afrika digelar sebagai negara kelas ketiga, antara negara termiskin dan tidak bertamadun!
 
Hanya visi Khilafah yang akan mampu membawa Mesir amnya dan seantero wilayah Islam lain amnya ke arah kegemilangan sebagaimana yang terjadi di masa lalu.  Khilafah tidak akan menjadi hamba yang tunduk patuh kepada kekuasaan Imperial tetapi memiliki cita-cita global sebagaimana yang terjadi di masa lalu dengan memberikan visi dunia bagi penduduk di wilayah itu.

KHATIMAH
Pada saat ini, tekanan-tekanan telah dilakukan ke peringkat yang belum pernah terjadi sebelumnya di dunia Muslim.  Sekarang rejim-rejim itu menawarkan remah-remah untuk memenuhi tuntutan rakyat dan berusaha membeli mereka, dengan harapan agar mereka merasa cukup puas untuk sesuatu yang sifatnya kosmetik (palsu) yang akan muncul seolah-olah seperti kemenangan, namun hakikatnya ia hanya akan mempertahankan status quo rejim yang rosak lagi buruk itu! Barangkali rejim itu akan menawarkan reformasi, beberapa beg berisi wang atau makanan, pelbagai janji pemilihan malah juga wajah baru untuk menggantikan seorang penguasa zalim yang telah tua, namun wajah baru itulah yang akan terus menindas mereka dan mencegah solusi nyata atas situasi bencana yang muncul.
 
Perubahan yang nyata tidak akan datang melalui perubahan wajah semata-mata. Ia juga takkan hadir melalui reformasi yang cuai dan lemah, melainkan melalui perubahan yang tiba-tiba, menyapu bersih, tanpa kompromi dan bersifat komprehensif.  Perubahan yang sebenarnya adalah untuk menghapuskan sistem-sistem kafir di negeri-negeri Muslim secara menyeluruh.  Perubahan yang sebenarnya adalah untuk mengembalikan suatu sistem di mana penduduk di wilayah itu telah hidup di bawah Khilafah selama lebih dari seribu tahun.  Perubahan-perubahan yang sesungguhnya adalah agar umat bangkit demi membebaskan dirinya dari belenggu penindasan dan kembali lagi untuk hidup di bawah naungan negara Khilafah Islam.
 


KRISIS MESIR: AKHIRNYA SEMUANYA TUNDUK PADA KEHENDAK AMERIKA.
Seperti yang dilaporkan Republika Online (6/2/2011) Ikhwanul Muslimin yang sebelumnya menolak terlibat dalam rundingan antara kerajaan dan kumpulan-kumpulan pembangkang, akhirnya berubah sikap.  Seorang juru bicara organisasi itu berkata kumpulan yang secara rasmi dilarang beraktiviti di Mesir itu telah mengubah keputusan.
 
Organisasi yang paling solid di Negeri Piramid itu akan dihubungi terus oleh wakil Presiden Mesir Omar Suleiman. “Kami memutuskan untuk terlibat dalam dialog untuk mengetahui keseriusan kerajaan dalam menanggapi dan memenuhi tuntutan rakyat,” kata juru bicara organisasi tersebut seperti dilaporkan pejabat berita Reuters.
 
Hal ini selari dengan kehendak Amerika untuk krisis politik Mesir.  Republika Online (06/2/2011) melaporkan Menteri Luar Negeri Amerika Syarikat, Hillary Clinton, menyokong peralihan politik di Mesir yang dipimpin oleh wakil presiden baru.  Namun utusan khas Amerika untuk Mesir, Frank Wisner, mengatakan bahawa Presiden Hosni Mubarak mesti tetap memangku jawatan supaya peralihan itu berjaya.
 
Di hadapan persidangan keamanan di Munich pada hari Sabtu (5/2/2011), Wisner mengatakan bahawa Mubarak diperlukan untuk menggalakkan perubahan.  Bercakap melalui sidang video, dia mengatakan peranan Mubarak sangat penting..Dalam komennya pada persidangan itu, Hillary menekankan bahawa sebuah peralihan damai mungkin akan memakan masa.  “Prinsipnya sangat jelas namun, butiran pelaksanaanya sangat sukar,” katanya.

Wakil Presiden Mesir, Omar Suleiman, bertemu dengan ahli-ahli pembangkang pada Sabtu (5/ 2/2011).  Mereka membincangkan rancangan-rancangan membentuk kerajaan sementara dan Omar yang berkemungkinan memimpin kerajaan sementara tersebut.
 
Omar diketahui mempunyai hubungan istimewa dengan Central Intelligence Agency (CIA) dan terlibat melakukan penyiksaan terhadap tahanan perang melawan keganasan ala Amerika.  Omar juga rapat dengan pemimpin Israel.  Selama memegang jawatan Ketua Badan perisikan Mesir, Omar bertanggungjawab terhadap pelanggaran Hak Asasi Manusia (HAM) yang terjadi di Mesir berupa penangkapan dan penyiksaan terhadap lawan-lawan politik Mubarak.
 
Jaringan diplomatik terbaru terbitan Wikileaks mengenai krisis Mesir menyebut kerajaan Amerika Syarikat (AS) sejak awal memang telah menyiapkan Ketua Badan Perisikan Mesir, Omar Suleiman, sebagai Presiden Mesir yang seterusnya.
 
Omar Suleiman disiapkan sebagai calon utama untuk mengambil alih negara jika sesuatu terjadi kepada Presiden Hosni Mubarak.  Pada hari Sabtu (29/1/2011) lalu maklumat ini terbukti benar ketika Mubarak memilih Suleiman untuk memegang jawatan naib presiden.
 
Akhirnya, semua tunduk kepada kemahuan Amerika yang kemudiannya mempertahankan kepentingan Amerika dan Israel di Mesir.  Ianya langsung bukan untuk kepentingan rakyat Mesir.  Siapapun rejim yang menggantikan Mubarak, tanpa perubahan sistem yang mendasar, akan tetap mengangkat agen-agen Amerika.
 
Perubahan hakiki di Mesir dan dunia Islam hanya berlaku dengan perubahan sistem iaitu dengan kembali berpaksi kepada syariah dan pemerintahan Islam.  Perubahan sistem secara mendasar ini ini akan membuat negeri Islam bukan hanya mampu memerdekakan diri dari pengaruh dan penjajahan Amerika, malah sekaligus melepaskan diri sepenuhnya dari penguasa boneka yang menjadi orang suruhan Amerika.  Justru umat seharusnya sedar bahawa sistem penjajah kapitalis dan keberadaan penguasa boneka inilah yang sebenarnya menjadi sumber penderitaan dan masalah dunia Islam.
 


SURAT DARI BANGLADESH TENTANG RPOTES DI MESIR: AKHIRNYA AMERIKA DAN BARAT TIDAK BOLEH MENIPU KITA LAGI
 
Saya mulakan dengan memuji Allah Subhanahu wa Ta’ala, yang mempunyai kawalan ke atas semua urusan.
 
Kisah Tunisia dan kemudian Mesir, Algeria, Yaman, Jordan dan peningkatan kesan domino pada umat di Asia Barat dan Timur Tengah (greater Arab) adalah sesuatu yang tidak ada taranya selama beberapa dekad. Ramai berpendapat bahawa rakyat Tunisia telah menghidupkan semula harapan baru dan maruah rakyat merentasi Timur Tengah supaya turun ke jalanan dan menunjukkan protes, memberikan tekanan dan kemudian menggulingkan rejim mereka. Ramai juga berpendapat bahawa ketakutan di kalangan rakyat telah terhapus dan kini mereka bersedia untuk menentukan hidup mereka sendiri. Yang pasti, rata-rata bersetuju bahawa Timur Tengah yang telah kita saksikan selama 60 atau 70 tahun kebelakangan ini telah berubah sama sekali. Beberapa bulan lalu, tiada siapa dapat membayangkan suasana sedemikian di jalan-jalan Tunisia, Mesir, Yaman, dan tempat-tempat lain di timur tengah. Sesungguhnya inilah titik mula berakhirnya hidup sang tirani dan boneka Amerika dan Barat Insya’Allah.
 
Realiti Di Tunisia
 
Sebaik sahaja Ben Ali meninggalkan negara, teman setianya, Mohamed Ghannouchi membentuk kerajaan dengan wajah lama yang sama dengan membawa perubahan kosmetik tertentu dalam apa yang disebut kerajaan perpaduan. Kerajaan Ghannouchi telah menunjuk menteri-menteri yang setia kepada Ben Ali dalam kementerian yang utama antaranya kementerian dalam negara, luar negara, kewangan, dan penerangan. Maka realitinya kroni Ben Ali telah mempertahankan “kesinambungan” pemerintahannya dan pemerintahan partinya, meskipun setelah ia dipecat dan menjadi pelarian! Namun rakyat meneruskan tuntutan mereka. Mereka masih di jalanan, mengharapkan Ghannouchi akan beredar dan membentuk satu sistem kerajaan baru yang radikal. Menariknya, Amerika hanya berdiam diri sepanjang berlakunya Revolusi Melur ini. Ben Ali adalah seorang yang pro-Barat, bekerja sebagai hamba yang patuh menjalankan tugasnya menindas rakyat.

Kerajaannya bolehlah dikatakan di barisan hadapan dalam perang Amerika menentang Islam. Pada bulan Jun 2010, Jeneral William E. Ward, komander US AFRICOM, berada di Tunisia untuk membincangkan bagaimana untuk memperhebatkan lagi perang salib mereka terhadap Islam.
 
Setelah berdiam diri selama seminggu, akhirnya Amerika muncul dengan taktik yang meragukan. Setiausaha Negara, Hillary Clinton membuat panggilan kepada Perdana Menteri Tunisia, Mohammed Ghannouchi pada 23 Januari, menyatakan sokongan yang berterusan kepada rakyat Tunisia, seterusnya merompak gerakan rakyat dengan mangatakannya sebagai keinginan kepada masyarakat yang lebih demokratik. Yang benarnya, AS tidak ada lagi boneka setia untuk dinaikkan sebagai wajah baru di Tunisia. Sebabnya, walaupun setiap orang di wilayah yang hampir 100% penduduknya Muslim itu mahu Ghannouchi beredar, Amerika sebaliknya mengatakan bahawa mereka menyokong usaha kerajaan kononnya perpaduan itu. Boleh jadi Amerika akan dapat mencari atau mencipta boneka baginya dalam kerajaan perpaduan yang baru ditubuhkan itu. Tambahan lagi, Hilary menegaskan bahawa Amerika bersedia untuk membantu masyarakat Tunisia memenuhi cabaran di depan, dan meyakinkan Perdana Menteri bahawa Amerika Syarikat akan bersama mereka dalam melukis hala tuju baru negara mereka. Dengan demikian, Amerika benar-benar telah melaksanakan peranan munafiknya itu.
 
Realiti Di Mesir
 
Realiti di Mesir pula agak luar biasa. Hanya beberapa bulan lalu telah berlaku pilihan raya umum yang telah dipalsukan sehabis-habisnya. Kerajaan Mesir dipimpin oleh Hosni Mubarak (dianggap oleh Obama dan Amerika sebagai simbol kestabilan serantau) telah memerintah negara ini selama lebih dari tiga dekad. Mubarak melaksanakan peraturan darurat dan menekan hak-hak rakyat untuk menyuarakan keprihatinan tentang hal-hal seperti makanan, pakaian, tempat berteduh , pekerjaan, pendidikan dan kesihatan. Sebagai salah satu negara terkaya di rantau Arab, penguasa Mesir ini adalah simbol Si Firaun dari segenap sudut. Protes massa yang terinspirasi dari Tunisia beberapa hari sebelum itu menemui dimensi baru Jumaat lalu (4/2) di mana ribuan demonstrator turun ke jalanan dengan hanya satu tuntutan iaitu `turunkan rejim ini ‘. Lebih dari seribu telah ditahan dan 100 lebih telah terbunuh. Ibu pejabat parti pemerintah telah dibakar. Setelah berdiam diri selama dua hari, Mubarak selepas membubarkan kerajaan tanpa mengundurkan diri. Dia dijangka akan mengumumkan kerajaan baru, sesuatu yang telah dilakukannya berkali-kali sebelum ini.  Akan tetapi, permintaan rakyat hanyalah satu, `Turun Mubarak turun!”
 
Dalam  keadaan  yang  luar   biasa ini, datanglah Amerika menyeru Mubarak supaya mendengar tuntutan masyarakat. Namun mereka masih mendakwa bahawa kerajaan Hosni Mubarak adalah stabil. Hilary Clinton mengatakan bahawa, keganasan bukanlah jawapan bagi pergolakan di Mesir sementara Obama pula berkata, sejurus selepas ucapan  Mubarak kepada seluruh Mesir, ‘Amerika Syarikat akan terus membela hak-hak rakyat Mesir dan bekerjasama dengan kerajaan mereka dalam mengejar masa depan yang lebih adil, lebih bebas, dan lebih harapan ‘. Honestly this is similar to what has been America’s response to Tunisia. Ucapan ini mirip sekali dengan respon Amerika kepada Tunisia.
 
Beberapa Persoalan Yang Tidak Pasti
 
Tatkala umat di Mesir, Tunisia, Yaman dan beberapa tempat lain di rantau ini menyeru perubahan radikal, dunia Barat sedang cuba untuk merompak buah dari gerakan-gerakan ini dengan menyesatkan perbincangan melalui media dan sarana lain yang mereka miliki.
 
Pertama sekali mereka melabel demonstrasi luar biasa ini sebagai bukti aspirasi demokrasi di Timur Tengah, sedangkan merekalah yang menjadi punca dan meletakkan pemerintah-pemerintah kuku besi ini kepada umat di dunia Muslim baik di Timur Tengah mahupun di bahagian lain.
 
Ben Ali, Hosni Mubarak, Ali Abdullah Saleh dan lain-lain dari kalangan penguasa di dunia Muslim semuanya tiran yang melaksanakan kerjasama dengan Washington dan Eropah serta menjarah kekayaan ummat. Para penguasa inilah yang menyokong Amerika dan sekutu-sekutunya dalam perang salib mereka melawan Islam dan penindasan Islam politik, iaitu aspirasi alami ummat. Umat sudah muak dengan usaha mendemokrasikan Iraq dan Afghanistan melalui penjajahan selama 10 tahun terakhir ini. Umat Islam memahami jenayah Israel yang demokratik yang menyingkap maksud sebenar seruan demokrasi Barat.
 
Oleh itu, rakyat Mesir, Tunisia, Yaman dan lain-lain di rantau ini bukanlah menyeru demokrasi, sebaliknya mereka mahukan sebuah sistem pemerintahan di mana pemerintah akan bertanggung jawab kepada mereka, bukan kepada Amerika dan kekuatan Barat. Mereka mahukan sumber daya yang melimpah-ruah di tanah air mereka digunakan untuk peluang ekonomi bukannya untuk menambah simpanan di akaun bank para penguasa dan syarikat multinasional Barat. Mereka menyeru kepada sistem yang tidak melindungi kepentingan Israel dalam bentuk kononnya perjanjian damai dengan rejim Zionis, sebaliknya ummat mahukan tentera Mesir mara ke Gaza, mengakhiri penjajahan lantas membebaskan Palestin. Mereka mahukan ikatan ‘pernikahan’ antara pemimpin tanah mereka dengan kuasa penjajah Barat diputuskan. Itulah tuntutan mereka. Dengan demikian, tuntutan ummat adalah kembalinya Islam. Amerika  sangat  memahami perkara ini. Bahkan dalam beberapa kaji selidik termasuk kaji selidik Pew Corporation untuk `pandangan umum sedunia’ menunjukkan bahawa lebih dari 85% telah menyuarakan tuntutan mereka untuk mengembalikan Islam dalam kehidupan praktis mereka. Mereka mahu politik penjajah berakhir selama-lamanya.
 
Oleh itu, kaum muslimin di Mesir, Tunisia   dan   Yaman   tahu   bagaimana  bagaimana demokrasi hanya membawa wajah-wajah lama sama dengan cara yang kononnya lebih sah demi melayani kepentingan Amerika dan Barat. Bukan itu sahaja, ummat memahami bahawa demokrasi juga adalah sebuah kilang yang terus-menerus menghasilkan agen Barat, baik bergaji mahupun tidak bergaji.
 
Mari kita ambil contoh Bangladesh, negara Muslim ketiga terbesar di dunia, yang popular dengan gelaran ‘Demokrasi Muslim Moderat’. Pada tahun 1990, pemberontakan rakyat telah menumbangkan penguasa tentera yang disokong AS, General Ersyad. Namun, janji reformasi, peluang politik dan ekonomi, dan tipuan-tipuan lain yang ditabur oleh demokrasi dalam proses yang mengambil masa 20 tahun ini hanya menghasilkan penguasa-penguasa yang menjual tanah air mereka kepada puak musyrikin dan salibin India-AS-Inggeris demi kelangsungan politik mereka. Sedangkan umat pula hidup dalam kemiskinan yang amat, pengangguran dan kekacauan. Apalagi, dengan demokrasi jugalah, Amerika dan kuasa Barat dengan jayanya telah membahagikan umat di Bangladesh kepada dua kubu, yang pertama dipimpin oleh Shiekh Hasina dan yang lagi satu dipimpin oleh Khaleda Zia. Kedua-dua penjahat ini saling bersaing untuk mendapatkan kuasa, maka secara alaminya mereka menyerahkan sumber daya kepada si salibin. Peralihan demokrasi telah membolehkan Amerika dan kuasa-kuasa Barat yang lain mempermainkan rakyat dengan membawa seorang pemimpin bagi tempoh lima tahun diikuti seorang lagi untuk lima tahun seterusnya. Maka aspirasi untuk perubahan radikal dan menyeluruh menjadi lebih sukar. Sebaik sahaja rakyat menyuarakan bangkangan terhadap Perdana Menteri yang sedang memerintah, Amerika dan barat dengan segera akan menjadikan pembangkang sebagai alternatif yang berkredibiliti dan merombak ingatan rakyat menggunakan media massa milik mereka. Jadi umat di Timur Tengah dapat memahami mengapa Amerika dengan cepat melabel perkembangan ini sebagai `Aspirasi Demokratik’ dan pastinya mereka tidak akan jatuh ke dalam perangkap Amerika untuk melalui proses selama 20-30 tahun hanya untuk memahami demokrasi adalah kemunafikan. Sememangnya umat memahami bahawa demokrasi adalah sistem di mana ahli politik ‘memperkosa orang awam’.
 
Pada saat ini, Amerika dan kuasa Barat faham bahawa mereka tidak ada lagi hamba yang tersisa di Tunisia, Mesir atau di Yaman. Mereka memahami akibat dari perubahan dan keinginan ummat. Kalaulah ada pilihan di tangan mereka, protes dan demonstrasi dengan kadar hanya 10% berbanding dengan tahap ketika ini pun sudah cukup untuk menggulingkan kerajaan Ben Ali, Mubarak dan Saleh. Dunia telah melihat begitu banyak pemberontakan yang dirancang oleh Amerika pada masa lalu. Namun tanpa pembangkang kecuali parti politik Islam seperti An-Nahda, Al-Ikhwan Al-Muslimun, dan yang paling penting parti Islam antara bangsa Hizbut Tahrir (parti pembebasan) berjuang di medan dengan kesediaan untuk memerintah negara, dunia Barat tidak mahu mengambil risiko.
 
Ketidakpastian kedua adalah persoalan, siapa yang akan memerintah negeri ini? Siapakah orangnya menggantikan Ben Ali, Mubarak atau Saleh? Dengan pertanyaan ini, media Barat ingin mencipta kekecewaan dan kekosongan dalam minda masyarakat sehingga pada akhirnya mereka (Barat) tidak akan gagal dengan sendirinya. Inilah sebenarnya apa yang dikatakan oleh pembuat dasar Amerika beberapa hari lalu di Al-Jazeera `biarkan mereka gagal sendiri’.
 
Barat menyangka bahawa umat Islam tidak ada calon yang lebih baik dari para pengkhianat yang busuk itu. Namun, tujuan pertanyaan ini sebenarnya adalah untuk menjauhkan umat dari memegang tampuk kekuasaan dan hak mereka sendiri. Dengan pertanyaan inilah, mereka menemukan kesempatan untuk membawa seseorang seperti El-Baradei misalnya di Mesir untuk mengalihkan perbincangan dari isu-isu nyata.
 
Sesungguhnya umat di timur dan dunia Arab hari ini menyedari bahawa masing-masing dari mereka mampu menjalankan pemerintahan sendiri. Setiap individu di jalanan itu faham dan percaya bahawa, mereka sendiri jauh lebih baik sebagai penguasa daripada para pengkhianat ini, iaitu agen-agen yang dibayar oleh Amerika, Eropah dan Israel. Jadi persoalan sebenarnya bukan siapa yang akan memerintah sebaliknya dengan apa yang mereka akan memerintah. Apakah mereka akan diperintah oleh seorang individu lain yang menggunakan polisi-polisi lama yang didrafkan dari Washington dengan perubahan kosmetik; ataukah mereka akan diperintah oleh Quran dan Sunnah yang bukan sahaja memulangkan kembali hak politik kepada rakyat bahkan mewajibkan rakyat melaksanakan hak-hak politik mereka dan memperkirakan penguasa mereka.
 
Isunya bukanlah persoalan adakah Mubarak akan membuat beberapa pembaharuan demi memenuhi tuntutan rakyat dengan mengadakan peluang ekonomi. Sebaliknya mereka hendaklah diperintah oleh Quran dan Sunnah yang bukan sahaja memberikan peluang ekonomi hinggakan rakyat dapat memenuhi keperluan mereka terhadap makanan, roti, pakaian, tempat tinggal, pekerjaan dan rawatan perubatan. Bahkan juga Quran dan Sunnah akan mewajibkan pihak yang berkuasa untuk memenuhi keperluan asas ini, bukannya menganggapnya sebagai peluang ekonomi.
 
Isunya adalah apakah kita akan diperintah oleh sistem demokrasi yang menganggap melontarkan kemarahan terhadap Barat terutamanya Amerika dan Kesatuan Eropah (EU) sebagai perkara yang tidak mungkin, ataukah kita akan dikuasai oleh sistem politik Islam di mana adalah wajib bagi penguasa untuk melontarkan kemarahan dan terus-menerus melemahkan kekuatan Barat sehingga ummat memperoleh kembali kemuliaan dan martabatnya, sebagai mana yang mereka cuba dapatkan kini di jalanan.

Isunya adalah, apakah Amerika akan berjaya untuk mengilhami kemudian merompak aspirasi umat ini untuk membawa dasar penjajah untuk menipu umat? Ataukah umat akan berpegang teguh untuk menyeru perubahan yang mendasar dan menyeluruh dalam sistem lalu melaksanakan sistem Khilafah Islam untuk memerintah diri mereka sendiri. Dengan itu kekayaan dan sumber daya umat tidak akan jatuh ke tangan syarikat multinasional atau kerajaan dan penguasa Barat; sebaliknya jatuh ke tangan umat untuk menciptakan lapangan kerja melalui pengindustrian besar-besaran. Isunya adalah apakah ummat akan memberikan Amerika kesempatan lagi untuk menipu mereka melalui kononnya perjanjian persahabatan antara Israel dan Mesir demi menyelamatkan anak temuan Barat iaitu Israel; ataukah umat akan mempunyai sistem yang akan menghantar tentera Mesir, membongkar negara Israel dan menyelamatkan Gaza sekaligus. Jadi isunya bukanlah siapa, tetapi prinsip apa.
 
Apa Yang Harus Kita Lakukan?
Umat di Tunisia telahpun menunjukkan apa ertinya jika rakyat mengekspresikan Khair (kebaikan) iaitu dengan memuhasabah pemerintah yang zalim. Mereka telah menunjukkan tahap tertinggi dalam memerintahkan yang baik dan melarang kejahatan (amar ma’ruf nahy munkar). Alhamdulillah kesan domino telah menggoncang banyak ibu kota dunia Arab. Namun, untuk umat dunia Arab kembali memposisikan diri untuk memimpin bukan sahaja dunia Muslim bahkan seluruh dunia, maka hal-hal berikut ini adalah sangat penting.
 
1. Buat satu tuntutan iaitu `Islam dan Khilafah tuntutan kami’.

2. Tetaplah di jalanan (teruskan demonstrasi) dan berdoalah kepada Allah secara berjamaah seperti telah anda tunjukkan di Kaherah dan tempat-tempat lain di Mesir untuk melembutkan hati dan fikiran pasukan keselamatan.

3. Apabila anda berada di jalanan, parti politik Islam Hizbut Tahrir sedang mengadakan hubungan dengan pihak tentera untuk memenangi sokongan mereka bagi pihak anda. Parti ini mempunyai pemahaman Islam yang jelas tentang sistem Khilafah dan mereka mempunyai lebih dari 50 tahun pengalaman. Sokonglah parti ini. Serulah “Tahrir” (“Merdeka”) dari dataran Tahrir. Fahamilah bahawa sememangnya tentera akan memainkan peranan penting dalam membentuk negara anda. Oleh kerana itu bantulah Hizbut Tahrir untuk memenangi sokongan daripada tentera anda di pihak anda.

4. Gunakan masjid di seluruh negeri untuk menyampaikan mesej umum kepada masyarakat bahawa mereka mahukan perubahan radikal. Perubahan radikal ini hanya mungkin dengan membina sistem Khilafah Islam yang akan memenuhi semua impian anda, seperti menamatkan hubungan dan pergantungan pada Amerika dan negara-negara penjajah lain demi memberi anda kuasa ekonomi dan politik.

5. Janganlah sekali-kali jatuh ke dalam perangkap Amerika dan kuasa asing Barat lain atau proksi mereka. Ingat, seruan kepada demokrasi hanya akan memberikan Amerika tali perangkap seperti sarang lelabah yang nantinya secara perlahan tapi pasti akan memakukan anda pada masa depan seperti halnya di Bangladesh, Indonesia atau tempat lain di dunia Muslim. Fahamilah bahawa Amerika tidak mempunyai kekuatan untuk melakukan campur tangan ketenteraan pada hala tuju anda. juga mereka tidak memiliki sebarang alat politik. Kerana itulah mereka kini menyerukan hak asasi manusia dan kebebasan untuk menipu anda.

6. Janganlah sekali-kali mengaku kalah dengan hanya mendengar bahawa ada pilihan raya yang adil yang diumumkan oleh kerajaan atau kerajaan sementara atau kerajaan perpaduan jenis apa pun. Sebaliknya pastikan bahawa anda memutuskan semua gangguan penjajah Barat dan meletakkan Islam pada kekuasaan. Islam itu sendiri mempunyai kuasa untuk membawa kepimpinan baru.

7. Siapkanlah mental umat supaya menjadi kuat untuk memimpin umat Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam. Tentunya ini adalah tanggung jawab yang diberkati.

8. Berdoalah kepada Allah sebagai mana kami juga sedang mendoakan dari kejauhan.

9. Semoga Allah menganugerahkan umat kemenangan yang diredhai-Nya Subhanahu wa Ta’ala. Dan semoga Kaherah, Tunisia, Sana’ atau Al-Maghreb menjadi titik awal kembalinya Khilafah ala minhajin Nubuwah.
 
Ingatlah hadis Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, dari Al-Nu’man b. Bashir, yang mengatakan: “Kami sedang duduk di masjid Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan Bashir adalah orang yang tidak bercakap banyak, jadi Abu Tha’labah Al-Khashnee datang berkata: “Oh, Bashir bin Sa’ad, apakah anda  hafal  kata – kata Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam tentang para penguasa?” Huthayfah menjawab, “Aku telah hafal kata-katanya.” Jadi Abu Tha’la duduk dan Huthayfah berkata, “Rasulullah berkata “Zaman kenabian itu ada di tengah-tengah kalian, adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendakan untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendakan untuk mengangkatnya. Selanjutnya akan muncul      zaman      kerajaan     yang menggigit (Mulkan ’Adhan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendakan untuk mengangkatnya. Setelah itu, akan muncul zaman kerajaan yang sombong (Mulkan Jabariyyan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendakan untuk mengangkatnya. Selanjutnya akan muncul Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam.” [HR Ahmad]
 
Daripada:
Jafar Muhammad Abu Abdullah
Dhaka, Bangladesh
(29 Januari 2011).
 


SEPUCUK SURAT DARI KAHERAH: SAKSI PERISTIWA PROTES DI MESIR
Saya bertanya pada diri sendiri apakah cara terbaik untuk saya mulakan pengakuan sebagai saksi peristiwa hari Jumaat 28 Januari 2011 di Kaherah ini.  Namun, apa yang lebih penting ialah adakah kata-kata saya akan memberi keadilan kepada peristiwa hari bersejarah itu?
 
Percayalah bahawa memori hari Jumaat itu akan tetap bersama saya selama beberapa waktu yang akan datang, mungkin juga untuk seumur hidup.  Ia bukan hanya kenangan berharga, malah ia adalah sebuah peringatan, sumber harapan yang akan memberi kekuatan pada saat saya ragu-ragu atau ketika keputusasaan membelenggu saya.  Walaupun ada banyak peristiwa dalam sejarah kita, baik sekarang ataupun di masa lampau yang memberikan ketenangan dan inspirasi yang sama, yang satu ini istimewa kerana ia adalah yang paling hebat, mungkin kerana orang mengatakan ia ‘tidak boleh dilakukan’, atau mungkin kerana sifat musuh atau mungkin itu hanya kerana kenyataan bahawa pada hari itu, saya ada di sana.
 
Pada hari Khamis tanggal 27 Januari, saya bertemu dengan beberapa teman rapat di sebuah kedai kopi tempatan untuk membincangkan tentang aktiviti pa yang akan dijalankan di Mesir dan merancang logistik kami untuk demonstrasi hari Jumaat, yang sudah digelar Jumaat Al Shuhada’a.  Kami tahu bahawa aktiviti ini adalah aktiviti yang besar, kami tahu bahawa kami tidak boleh menolak dari menyertainya dan kami tahu pasukan keselamatan akan melakukan apa sahaja kepada aktiviti ini. Orang-orang di kalangan kami yang berada di rangkaian yang dipilih telah mengalami masalah dengan telefon dan perkhidmatan Blackberry mereka dan ketika berita ini sampai kepada kami bahawa dari jam dua belas tengah malam pada hari Khamis semua rangkaian telefon bimbit, telefon tetap dan perkhidmatan internet akan berhenti berfungsi di Mesir, kami tahu bahawa Jummat Al Shuhada’a bukan hanya nama melainkan gambaran hari yang akan datang.
 
Jika saya mengatakan bahawa kami ketawa dan bergurau, adakah anda akan percaya?  Itu adalah kenyataan, kerajaan melakukan segalanya yang ia mampu untuk menakutkan dan menghalang orang dari menyertainya, dan apa yang kami boleh lakukan adalah ketawa dan berjenaka tentang Mubarak yang sedang dalam keadaan tertekan, dan kami tidak bersendirian.  Di setiap meja di kedai kopi, semua orang berada dalam keadaan tenang dan berbincang mengenai politik seolah-olah mereka tidak tahu apa-apa lagi selain dari yang itu.  Mereka dipolitikkan, dilibatkan dan semangat Sawrat Al Yasmin (Revolusi Yasmin) telah terasa sepanjang jalan-jalan Mesir dan menghilangkan bau apatis dan bau keputusasaan yang telah membusuk di Mesir selama tiga dekad terakhir.  ‘Kesan Domino’ itu berjalan dengan baik.
 
Kami tidak tahu ke mana kami akan pergi, kami sepakat untuk bertemu pada jam 9 pagi pada hari Jumaat dan menuju ke salah sebuah masjid utama untuk Solat Jumaat.  Pada pagi hari Jummat Al Shuhada’a, kami memutuskan untuk berdoa di Muhandiseen, sebuah pinggir kota popular di Kaherah iaitu di masjid yang tidak seorang pun daripada kami yang pernah mengunjunginya dan tidak tahu bagaimana untuk memenuhi tujuan itu.  Namun, ia merupakan sebuah masjid yang terkenal, kami diberitahu ia terletak bersebelahan Dataran Tahrir, jadi adakah saya harus terangkan lagi?  Kami sebenarnya memang sedang menuju ke Dataran Tahrir.
 
Kami tiba di sana awal dan membuat keputusan untuk menikmati sedikit kopi, “Bagaimana dengan sedikit sarapan, kawan-kawan? Boleh jadi yang terakhir bagi kita”, salah seorang dari kami berjenaka.  Kedai kopi itu penuh dengan pemuda Mesir dari seluruh lapisan masyarakat.  Suasana santai dan bersemangat.  Ada yang membawa kamera, yang lain-lain dengan tas dipenuhi dengan sesuatu yang kelihatan seperti botol cuka dan kola bersoda yang dibeli dari kedai runcit tempatan, jadi tidak ada sebarang syak lagi bahawa mereka adalah pemuda-pemuda Mesir yang telah hidup di bawah rejim Mubarak sejak lahir dan mereka di sini untuk memperdengarkan suara mereka.  Mereka adalah peserta yang bersama kami padahal pada hari-hari biasa kami tidak akan ada peersamaan lain selain usia, tetapi hari ini itu semua tidak penting.  Di saat tips dan nasihat mula dikatakan, cuka dan kola bersoda mulai memainkan peranan, ia adalah ubat untuk merawat kesan gas pemedih mata; cuka disiram pada selendang anda untuk meneutralkan gas pemedih mata ketika menghirup asap, dan kola untuk mencuci mata dan wajah anda dari toksin.  Percayalah tidak ada topeng yang boleh anda beli dari kedai bekalan tentera di sini seperti di Barat, orang-orang di sini menggunakan cara lama.
 
Memandangkan waktu Solat Jumaat semakin hampir, kami mula menuju ke masjid.  Di situ, pasukan keselamatan telah pun berada di kedudukan masing-masing untuk mengelilingi masjid.  Telah ada ketegangan di sini, tebal, berat dan menjelekkan.  Polis berpakaian rusuhan mereka dan van rusuhan serta lori pemadam  kebakaran telah  ditempatkan dengan strategik untuk  satu – satunya  tujuan  iaitu penahanan. 

Kami mengambil tempat duduk kami di jalan kerana masjid telah penuh sesak.  Di sekeliling kami hanyalah lautan hitam – seragam hitam, kayu hitam dan kasut but hitam.  Ia tiba-tiba menjadi kenyataan.  Saya tidak tahu apa yang saya harapkan pada hari itu, anda akan nampak perkara yang berbeza apabila anda menonton mereka di skrin, anda berada entah berapa batu daripada tempat kejadian.  Kalau saya katakan bahawa saya tidak bimbang, ia adalah satu dusta.  Terus terang, saya berfikir bahawa saya akan menerima kejutan dalam hidup saya.  Saya berfikir bahawa mereka akan mengebumikan kami di masjid ini.
 
Imam masjid itu memulakan khutbahnya dengan sebuah jenaka, “sebelum saya memulakan khutbah, saya ingin meminta supaya anda semua mematikan telefon anda”, semua orang ketawa, bahkan polis sendiri.  Padahal kerajaan telah mematikan semua telefon bimbit kami malam sebelumnya.  Itu adalah permulaan yang baik, syabas syeikh.  Kemudian dia mulakan khutbahnya dengan bersungguh-sungguh.  Saya harus mengakui bahawa pada awalnya saya rasa takut, saya menjangkakan berita buruk akan keluar di Azhar TV Channel, mengutuk demonstrasi dan menuduh para pemprotes menghancurkan negara dan menuduh mereka menjadi agen.  Inilah bezanya dengan badan keagamaan yang sah di sisi kerajaan, tetapi orang ramai tidak akan percaya pada berita buruk itu kerana badan-badan itu mendedahkan diri mereka sendiri sebagai agen rejim yang digelar sebagai ‘ustaz untuk duit’ seperti yang orang ramai selalu katakan.
 
Tetapi sepanjang Imam itu meneruskan khutbahnya, saya dapat rasakan udara segar, dia berbicara tentang perbandingan kehidupan dunia ini dengan kehidupan seterusnya, dia berbicara tentang keadilan dan menyatakan kebenaran, dia mempersoalkan untuk berapa lama rakyat harus menderita dan yang paling penting dia mengatakan bahawa hari ini dia berdiri bersama pemuda-pemuda.  Semua orang bersorak dan bertepuk tangan ketika dia menaikkan semangat mereka dengan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis. 
 
Dia mengatakan bahawa teruslah memerhatikan bahawa akan ada beberapa orang antara kamu yang akan cuba untuk membahayakan usaha kamu hari ini dengan melakukan kekerasan, mereka ingin kamu dianggap sebagai pemberontak, mereka ingin kamu nampak tak terkawal dan ganas sehingga pasukan keselamatan dapat menjustifikasikan kekerasan mereka terhadap kamu tetapi saya tahu bahawa kamu adalah orang-orang yang takut akan Allah dan orang-orang yang baik yang mencintai negeri kamu dan  tidak tahan lagi menanggung segala penindasan dan ketidakadilan.  Kamu bukan pemberontak dan kamu bukan penjenayah dan kamu berhak untuk menuntut keadilan dan Allah bersama dengan kamu.

Kami mengangkat tangan kami dalam doa, kami berdoa sejurus selepas laungan bermula.  Para peserta dikerahkan.  Mereka melaungkan kata-kata “rakyat menuntut pengunduran rejim”. Mereka melaungkan “keluar”, “pergi”, ”pencuri” dengan merujuk kepada Mubarak.  Mereka melaungkan “Cukup, pembantaian” dengan merujuk kepada 30 tahun kezaliman di bawah kekuasaan Mubarak.
 
Mereka memanggil saudara-saudara mereka untuk bergabung dengan mereka, mereka meminta tentera untuk bergabung dengan mereka, mereka menjerit-jerit “ya Rab”, semua ini membuatkan pasukan keselamatan tidak boleh berbuat apa-apa kecuali melihat.  Di sana ada pemuda-pemuda, ada yang tua, ada perempuan, kanak-kanak, saya bahkan melihat ada seorang wanita bertongkat dan seorang lelaki duduk di kerusi roda, ada rakyat dari semua lapisan masyarakat, selebriti, usahawan, orang kelas pertengahan dan orang-orang miskin bersatu untuk satu tujuan iaitu Mubarak harus berundur.  Jika ada orang yang takut, perasaan itu akan hilang berterbangan ke udara kerana laungan-laungan terus menggempakan seluruh dataran.  Polis tidak dihiraukan, tongkat mereka kelihatan seperti penyedut minuman dan halangan mereka menjadi seperti sarang labah-labah yang nipis dan ditolak ke tepi oleh laungan-laungan orang ramai.  Bilangan kami mula bertambah-tambah kerana lebih ramai orang bergabung dengan barisan kami apabila kami maju merentasi halangan untuk menempuh perjalanan yang jauh ke Dataran Tahrir.  Ini adalah demonstrasi aman yang diadakan kerana keinginan terhadap keadilan, didorong oleh rasa sakit peserta-peserta. Ia adalah kemuncak kejutan, keganasan dan penindasan selama 30 tahun yang telah menolak bangsa ke jurang keputusasaan, tapi mereka telah selamat kerana bangsa itu telah bangun dan sekarang menuntut penebusan.
 
Kami beribu-ribu orang berbaris, kami melaung-laung, kami membawa Kaherah ke sebuah perhentian dengan melalui jambatan pertama selepas satu jam perarakan aman dan terkawal (kami perlu menyeberangi dua jambatan untuk sampai ke Dataran Tahrir).  Selama itulah saya berfikir pasti inilah ia, polis hanya memerhatikan, mereka tidak boleh mengawal keseluruhan demonstrasi.  Hanya sedikit yang saya tahu bahawa mereka memiliki sesuatu yang dirancang iaitu mereka sedang menunggu kami di semua jambatan yang mengarah ke Dataran Tahrir, di mana mereka dapat mengawal dan mengurung kami dalam kesesakan secara berkesan.

Apabila jambatan pertama telah kelihatan, kami melihat tabung gas pemedih mata buatan Amerika Syarikat (AS) ditembak ke udara, udara dipenuhi dengan asap tebal, orang di barisan hadapan bergegas meredah kesesakan, beberapa orang tidak dapat bernafas dan yang lain batuk keras, ada yang mengeluh bahawa mereka tidak dapat melihat dan orang mulai dekat dengan mereka dan mengucapkan tahniah kepada mereka kerana keberanian mereka.  Setelah mereka pulih, yang lain mengambil tempat mereka, bergerak maju dan terus mara.  Bahkan ada beberapa orang polis menanggalkan seragam mereka dan bergabung dengan demonstrasi, orang ramai bersorak dan melaungkan takbir.
 
Tidak ada yang dapat menghentikan orang ramai kerana kami harus ke Dataran Tahrir dengan melalui jambatan pertama.  Jadi kami redahi gas pemedih mata dan maju untuk melepasinya.  Setelah lebih kurang 1 jam bergerak, orang ramai terus maju.  Tiga bas rusuhan dan dua van yang ditempatkan di jambatan.  Setakat ini pasukan keselamatan hanya menggunakan gas pemedih mata dan meriam air dan van rusuhan sesekali cuba untuk merempuh orang ramai itu.  Ia adalah pengalaman yang tidak akan saya lupakan kerana saya merasakan saya adalah salah seorang sasarannya.  Sungguh menakjubkan apa yang kami dapati tentang diri kami pada saat-saat bahaya sebesar itu.  Saya sendiri mendapati bahawa ketika itu saya mampu untuk merempuh balik van rusuhan itu.
 
Kami terus bergerak maju ke hadapan di atas jambatan dan melalui dua puluh atau lebih polis rusuhan yang telah berundur (mereka yang meninggalkan lori mereka ketika kami melintasi mereka).  Beberapa peserta melepaskan kemarahan mereka terhadap polis-polis itu, yang lain-lain melindungi mereka dengan berkata “mereka adalah sebahagian dari kami, walapun banyak yang mereka tak tahu, tapi kami tahu” dan orang ramai meninggalkan mereka sendirian.  Ini adalah sifat protes kami, rasa kemanusiaan kami mengalahkan rasa sakit dan marah dan kami ingat pada saudara-saudara kami walaupun mereka lupakan kami.
 
Setelah kami melalui jambatan pertama, kami meneruskan perjalanan dalam beberapa batu lagi dengan perbarisan yang aman sehingga kami tiba ke sebuah dataran sebelum rintangan terakhir iaitu jambatan kedua yang menjadi pintu masuk ke Dataran Tahrir yang simbolik.
 
Di sini, acara mula kelam kabut dan kami menghadapi tentangan yang sepenuhnya daripada polis keselamatan, pentungan, gas pemedih mata, meriam air, peluru getah, dan peluru hidup dari penembak tepat ditempatkan di bumbung bangunan. Orang mulai rebah di sekeliling saya, dan jeritan meminta bantuan doktor mula bergema di udara.  Saya dan salah seorang saudara yang bersama saya berlari untuk memberi bantuan.  Lelaki yang terbaring di atas lantai ini terkena lima lubang di dadanya.  Dia menjerit kesakitan, jatuh dan tidak sedarkan diri, denyut nadinya terhenti dan kelihatannya dia tidak akan bertahan.  Kawannya mula menjerit memanggil ambulans dan orang mula membentuk bulatan di sekitar kami untuk melindungi kami dari peluru getah dan pasukan keselamatan. 
 
Ironisnya, orang yang pertama membantu kami adalah seorang sarjan polis yang bergegas datang membantu dengan kereta polis.  Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan, menyerahkan lelaki ini kepada orang yang sama yang menembak dia atau membiarkan dia mati dalam pelukan kami.  Kami memutuskan untuk memasukkan dia ke dalam kereta polis tetapi beberapa peserta tidak membiarkan kami.  Ia semacam permusuhan terhadap pasukan keselamatan bahawa mereka tidak boleh dipercayai.
 
Jumlah mangsa yang tercedera semakin bertambah, mereka yang tercedera tetapi tidak dibawa ke hospital, atau mereka yang mati ketika sampai di hospital walaupun luka ringan, dan mereka yang hanya dibiarkan mati menderita menanggung kesakitan mereka. 
 
Namun apa yang boleh kami lakukan, kami hanya boleh berharap pegawai ini adalah benar dan takut pada Allah, tetapi orang ramai tetap tidak membenarkan kami.  Lalu saya ternampak sebuah ambulans bergegas menuju ke dataran, jadi saya melepaskan saudara dan berlari mendapatkan dia kerana ada lima dari kami memegangnya.  Saya sampai ke ambulans, tapi pemandu tidak mahu menunggu, dia hanya menempatkan seorang mangsa tembakan di bahagian belakang, tidak ada ruang untuk yang lain, aku memohon dengan dia dan menyepitkan lengan saya di celah pintu supaya dia tidak boleh tutup.  Peserta-peserta lain menyertai protes saya dengan petugas ambulans sehingga yang lain berjaya membawa mangsa pertama kami melalui kerumunan orang, tetapi dia tetap menolak.  Kawan-kawan mangsa pertama sekarang membawanya berseorangan dan mula menangis dan menjerit “dia akan mati, dia akan mati” dan dibantu oleh kawannya dengan sebelah lutut apabila dia melepaskan tangan kanannya untuk menampar pemandu ambulans.  Itu adalah adegan yang tidak boleh dilupakan.
 
Akhirnya mereka mengalah dan memasukkan dia ke dalam ambulans dan mula untuk menyedarkan dia sambil menggeleng-gelengkan kepala mereka dan berkata dia telah meninggal.  Mereka telah pergi.  Saya tidak pernah bertanyakan nama, saya berharap saya pernah bertanya, dia adalah seorang lagi mangsa yang tidak berdosa yang menjadi korban rejim Mubarak.  Dia adalah seorang dari ramai lagi tapi saya berharap saya tahu namanya hanya untuk menceritakan tentang keberaniannya.
 
Tidak lama selepas ambulans berlalu, ada seorang lagi terbaring di atas lantai satu meter dari situ yang terkena peluru di belakangnya, kami tinggalkan dia dengan orang ramai yang mengelilinginya, kemarahan membuatkan kami terus bergerak.  Pada saat itu, seseorang itu tidak lagi berilusi, bahawa hidupnya berada di tangan Allah, konsep ajal memberitahu anda bahawa ada begitu banyak perkara yang tak dapat anda lakukan padanya tetapi hanya tertumpu pada tugas yang diamanahkan dan kami lakukannya.  Kami maju dan terus maju sampai kami menguasai jambatan itu.  Setiap beberapa minit, empat penunjuk perasaan akan berjalan kembali ke arah yang bertentangan dengan membawa orang tercedera dan yang lain akan melaungkan “Hero”.  Kemudian kami mendengar Azan Asar dan laungan itu membuatkan segalanya berhenti jadi kami mula solat berjemaah di jambatan dengan membahagikan kepada tiga jemaah.  Apabila kami selesai solat, kami mengangkat tangan berdoa, dan kami berdoa untuk kemenangan bagi mengakhiri kezaliman dan penindasan, untuk menjadikan kami teguh dan cekal serta ada di antara kami berdoa supaya ‘kaum Ansar’ datang untuk membantu kami seperti yang mereka lakukan untuk Nabi kami yang tercinta Muhammad SAW.
 
Tidak lama setelah kami selesai solat dan doa, pasukan keselamatan menyerang dari setiap arah, mereka bahkan menyerang kami dari bot-bot polis yang berada di atas sungai di bawah jambatan, sehingga memaksa kami berundur dan mereka menguasai semula jambatan itu.  Mereka telah memecahkan kami dengan mengejar kami dari arah yang berbeza, kami kehilangan pegangan dan kekuatan kerana kami telah kekurangan orang, protes aman itu musnah menjadi keganasan, dan beberapa peserta melemparkan batu ke arah orang ramai secara melulu dengan harapan batu itu akan terkena pasukan keselamatan, walaupun seringkali mencederakan orang mereka sendiri.
 
Mereka terus menyerang, dan selepas tujuh jam konfrontasi berlalu semuanya menjadi suatu pengajaran.  Begitu banyak telah diajarkan kepada kami bahawa fikiran seseorang akan sesuai dengan situasi, misalnya anda tahu anggaran berapa banyak langkah yang perlu anda ambil untuk mengelakkan kesan daripada gas pemedih mata, atau jika peluru terbang melalui udara akan mempengaruhi anda berdasarkan pada beberapa perhitungan yang cepat hanya dengan melihat pada elevasi dan kelajuan ia bergerak, atau berapa saat anda ada ketika sebiji tabung mendarat di kaki anda untuk mengelakkan kesan gas.  Semuanya menjadi pengajaran yang sangat beguna.
 
Akhirnya kami didesak kembali ke jambatan pertama kerana serangan oleh pasukan keselamatan begitu kerap dan kuat sehingga mereka menimbulkan rasa panik dan terus memecahkan bilangan kami apabila beberapa peserta didesak menuju ke jalan yang berbeza.  Saya telah kehilangan salah seorang saudara yang bersama saya sehingga ke serangan terbaru itu, saya hanya mampu berdoa supaya dia selamat dan sekarang didesak pergi ke barisan lain.  Saya pergi mencarinya kerana bimbang akan keselamatannya dan kerana ibunya sedang menunggu dia di rumah saya.  Kami mencari dia selama hampir dua jam, tapi masih tidak menjumpai dia dan akhirnya kami cuma berharap dia berjaya kembali ke rumah dan membuat keputusan untuk pergi ke sana untuk melihat adakah dia berada di sana atau tidak kerana keadaan sekarang nampaknya memberi kami alasan untuk berhenti.  Satu-satunya harapan kami adalah gerakan masih lagi kuat di beberapa jalan masuk ke Dataran Tahrir oleh peserta lain. 
 
Apabila kami sampai di rumah saya, dia tidak ada di sana, kami meyakinkan ibunya bahawa dia dalam keadaan yang baik dan insyaAllah akan pulang tak lama lagi.  Dua jam kemudian saudara kami itu pulang, selamat dan sihat, gembira dan memberitahu kami bahawa dia pergi ke Dataran Tahrir untuk melihat samada kami mencari dia di tengah-tengah puluhan ribu peserta yang berbaris sepanjang jalan dari Giza dekat Piramid, yang memandu lebih dari satu jam perjalanan untuk bergabung dengan kempen kami di jambatan. 
 
Dia mengatakan kepada kami bahawa dia menuju ke titik pertemuan ketika lautan peserta bergegas ke jambatan dan menjerit “kami berjalan sepanjang jalan dari Giza dan kami tidak akan pulang sehingga Mubarak muncul. Maju ke Dataran Tahrir!.” Dan yang lain-lain adalah sejarah seperti apa yang mereka katakan.
 
Jummat Al Shuhada’a adalah sejarah yang sedang dilakar.  Ia adalah hari di mana rasa hormat saya pada saudara-saudara saya di Mesir terpatri di hati saya.  Saya terinspirasi dengan keberanian mereka, dan tergerak dengan tekad mereka.  Ia adalah hari di mana Firaun dicabar dan dikehendaki, ia adalah hari di mana orang ramai mengatakan kepada dunia bahawa kami tidak takut mati dalam perjuangan kami menuntut keadilan. 
 
Saya telah mencuba dengan bersungguh-sungguh untuk menyampaikan apa yang saya lihat pada hari yang tidak mungkin akan dilupakan itu, tapi saya tahu bahawa kata-kata saya tidak boleh menyampaikan keadilan yang sebenar, kata-kata saya tidak akan mampu menggambarkan suasana kemenangan atau bunyi jantung yang berdebar penuh dengan kegembiraan dan kebanggaan, saya boleh menceritakan kepada anda tentang air mata tetapi anda perlu melihat sendiri bagaimana orang asing boleh saling berpelukan seolah-olah mereka adalah saudara yang telah lama hilang, saya boleh menceritakan kepada anda tentang harapan dan keyakinan yang saya lihat pada wajah mereka tetapi anda perlu melihat ke dalam mata mereka dan melihat kilauannya dengan mata anda sendiri. 
 
Tidak, kata-kata ini tidak akan pernah memberi keadilan kepada hari itu.  Saya berdoa semoga semua ini tidak sia-sia dan semoga keseluruhan rejim yang menindas dan menipu itu mengambil pelajaran dan tahu bahawa zaman pemerintahan mereka akan segera berakhir, tetapi yang lebih penting adalah saya berdoa semoga akan ada perubahan yang sebenarnya dan semoga momentum itu berterusan dan kami bersatu menjadi satu dan hidup di bawah keadilan yang sejati,  Keadilan Allah, Sistem  Allah dan Naungan Allah.
 
Saudaramu,
Abu Ubaidah
Jumaat Al-Shuhada’a, 
28 Januari 2011.