Fikratul Ummah – Januari 2009

Dari Lidah Pengarang
Konflik Gaza: Ada Apa Dengan Muslimah?
Perceraian: Berakhirkah Sebuah Kehidupan?
Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah (Bahagian1)
 

Dari Lidah Pengarang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Ketika ini, masyarakat dunia khususnya sebahagian umat Islam menanti dengan penuh harapan pelantikan Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat pada 20hb Januari 2009 akan membawa sinar baru ke arah penyelesaian kemelut, penindasan dan penderitaan  yang dialami oleh umat Islam di Gaza, Palestin. Sekali lagi umat Islam masih mengharapkan puak Kuffar untuk menjadi sang penyelamat, manakala pemimpin-pemimpin umat Islam tanpa segan silu masih ingin berbaik-baik dengan sang penyembelih. Malangnya mekanisme yang diambil oleh umat Islam termasuk Muslimah masih ditakuk lama. Mengisi tabung-tabung derma, boikot barangan dan menyertai demonstrasi yang dianjurkan banyak pihak. Hakikatnya, bantuan itu benar-benarkah dapat ‘membantu’ mereka?. 

Alhamdulillah, Fikratul Ummah kali ini akan mengangkat isu Gaza dengan sebuah artikel bertajuk Konflik Gaza: Ada Apa Dengan Muslimah yang mana tujuannya untuk menyedarkan kalangan Muslimah bahawa pembelaan nasib umat Islam di Gaza turut perlukan penglibatan Muslimah dalam usaha menegakkan Daulah Khilafah yang akan membela nasib mereka.

Memandangkan di dalam negara mutakhir ini rakyat digemparkan dengan kisah perkahwinan dan perceraian golongan artis dan selebriti,  Fikratul Ummah akan turut menyingkap isu ini melalui sebuah artikel bertajuk Perceraian: Berakhirkah Sebuah Kehidupan? Artikel ini diharap akan dapat menyedarkan Muslimah bahawa Islam memiliki seperangkat hukum-hakam untuk menyelesaikan masalah rumah tangga. Selain itu, artikel ini juga diharap akan membuka minda Muslimah bahawa nasib saudara seagama mereka di Palestin adalah lebih penting untuk diberi perhatian dan bukannya memberi tumpuan kepada gosip murahan.FU juga mengemukakan sebuah artikel terjemahan dengan tajuk Propaganda yang dilancarkan oleh Kapitalisme ke atas Wanita Muslimah (Bahagian 1).
Wallahu alam bisshawab.



KONFLIK GAZA: ADA APA DENGAN  MUSLIMAH?

Pada akhir Disember 2008 yang lalu, kita dikejutkan dengan serangan dan pembantaian Israel Yahudi Zionis ke atas kaum Muslimin di Gaza, Palestin. Sungguhpun si keparat Israel laknatullah telah membuat pengumuman akan mengundurkan bala tenteranya sebelum pelantikan Presiden Amerika ke 44 iaitu Barack Hussein Obama, banyak perkara yang boleh kita renungkan dari episod ngeri yang mendapat liputan meluas media cetak, elektronik dan internet. Dalam beberapa minggu kita menyaksikan kematian dan kecederaan yang dialami kaum Muslimin bertambah dari sehari ke sehari sejak bermula serangan Yahudi Zionis terhadap kaum Muslimin di Palestin.

Penguasa kaum Muslimin hanya berdiam diri dengan perlakuan kejam Yahudi Zionis malah mereka turut bersekongkol dan mendalangi apa yang berlaku terhadap kaum Muslimin seperti perlakuan keji Presiden Hosni Mubarak yang tidak segan silu berjabat tangan dengan Menteri Luar Negeri Israel, Tzipi Livni. Sikap keji ini membolehkan Yahudi Zionis bertindak sesuka hati dan melancarkan serangan habis-habisan terhadap umat Islam yang tidak lain bertujuan melenyapkan umat Islam di bumi anbiya’ ini dan seterusnya merealisasikan matlamat utama mereka untuk menguasai sepenuhnya tanah umat Islam Palestin. Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman: “Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama [dengan mereka]. Maka janganlah kamu jadikan di antara mereka penolong-penolong [mu], hingga mereka berhijrah pada jalan Allah. Maka jika mereka berpaling, tawan dan bunuhlah mereka di mana saja kamu menemuinya, dan janganlah kamu ambil seorangpun di antara mereka menjadi pelindung, dan jangan [pula] menjadi penolong.” [TMQ Surah an-Nisa’ (4): 89].

Ya Tuhan, saya tidak pernah melihat keadaan seteruk ini!! Sejak 18 hari lepas, kami menyaksikan berbagai perkara yang sangat menyayat hati; kami menguruskan mayat kanak-kanak yang ditembak, berkecai dan ada yang rentung. Tetapi, kali ini, anda tidak akan dapat membayangkan apa yang telah dilakukan oleh anjing-anjing Israel ke atas tubuh kanak-kanak ini.” – Dr Kayed Abu Aukal, Pegawai Perubatan [IINA, 14/1/2009]

Begitulah luahan dan gambaran oleh seorang doktor di Gaza. Beliau seakan tidak sanggup melihat tubuh seorang anak kecil perempuan berusia 4 tahun yang terkoyak-koyak akibat dimakan oleh anjing –anjing Israel yang keji. Arwah adik Shahd telah terkena sasaran peluru Israel yang menghujani belakang rumahnya ketika dia sedang asyik bermain. Walaupun keluarganya telah berusaha sedaya-upaya mencapai tubuh sikecil Shahd, jenazah puteri kesayangan mereka ini hanya mampu diselamatkan setelah 5 hari dengan keadaan yang mengerikan akibat dibaham oleh anjing-anjing tentera Israel. ”Anjing-anjing itu tidak menyisakan satu bahagian pun dari tubuh anak kecil ini” ujar beliau.

Muslimah yang dirahmati Allah,
Menelusuri sejarah silam, Palestin mula bersinar di pentas sejarah kaum Muslimin sejak Allah menyatukan negeri ini dengan Baitullah al-Haram, iaitu ketika Dia Subhanahu wa Taala mengisra’kan Rasul-Nya dari Masjid al-Haram menuju Masjid al-Aqsa. “Maha Suci Zat Yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam, dari Masjid al-Haram menuju Masjid al-Aqsa, yang telah kami berkahi disekitarnya” [TMQ Al-Isra (17):1]. Selaku kiblat pertama kaum Muslimin, Palestin menduduki posisi mulia sungguhpun setelah berlaku
perintah menukar kiblat yang kedua iaitu Kaabah al-Musyarrafah 16 bulan setelah peristiwa Hijrah.

Kesejahteraan Palestin yang berlindung di bawah naungan Daulah Islamiyyah dapat kita rasai keindahannya pada tahun ke 15 Hijrah setelah Khalifah kaum Muslimin Umar bin Al-Khattab menerima kunci dari Uskup Agung Saphranius sejurus selepas memeterai Perjanjian Al-Umariyah, yang mana terkandung di dalamnya permintaan dari kaum Nasrani iaitu “Tidak boleh seorang pun kaum Yahudi tinggal di daerah Palestin” [Negeri-
negeri Muslim yang Terjajah, Pustaka Thariqul Izzah, 2005, hal 4-5].

Palestin hebat terlakar dalam lipatan sejarah. Negeri ini telah menjadi kuburan berskala besar pasukan tentera Salib (crusaders) dan Tartar. Akan tetapi bagaimanakah keadaan Palestin ketika ini? Apakah agaknya peranan yang mampu dimainkan oleh Muslimah dalam menanggapi kemelut berpanjangan di negeri pesisir Lautan Mediterranean yang sengsara dalam cengkaman Yahudi Zionis laknatullah?

Jika direnung sepintas lalu, amat berbeza situasi yang dialami oleh Muslimah di Gaza dan di Malaysia. Terbitnya fajar 2009, sebahagian ibu-ibu Muslimat di Malaysia agak sibuk menguruskan persekolahan anak-anak selain tugas seharian di rumah dan di tempat kerja. Penyembelihan ke atas umat Islam yang dilakukan rejim Zionis sungguhpun meninggalkan kesan mendalam dalam diri umat Islam termasuk Muslimah, akan tetapi jalan penyelesaian yang diambil lebih berdasarkan dorongan emosi yang bakal surut setelah isu ini kurang diperkatakan.

Apa yang umat Islam lakukan ketika ini hanya lah dengan membantah serangan dan pembantaian Yahudi Zionis terhadap umat Islam di Palestin iaitu dengan melakukan pelbagai demonstrasi yang rancak dianjurkan oleh pelbagai pihak seperti parti politik pemerintah dan pembangkang, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan disertai oleh orang awam. Usaha ini malah disokong sendiri oleh para penguasa kaum Muslimin. Mereka
melaungkan kata-kata mengutuk Yahudi Zionis, membuat sepanduk-sepanduk yang menunjukkan gambar-gambar kekejaman yang dilakukan Yahudi Zionis terhadap umat Islam Palestin, membakar bendera Israel dan boneka sekutu-sekutu Israel yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin Barat serta penguasa-penguasa pengkhianat umat Islam sendiri dan sebagainya.  

Selain itu, tidak kurang juga yang telah mewujudkan tabung dan dana seperti tabung Amal Palestin, juga Tabung NSTP untuk Gaza yang dilaporkan telah mencapai jumlah kutipan hampir RM2 juta. Hakikatnya, tiada kepastian adakah bantuan kewangan tersebut yang disalurkan akan dijamin sampai kepada umat Islam di Palestin atau sebaliknya. Pelbagai kempen pemboikotan secara besar-besaran produk-produk yang didakwa menyokong Israel dan Barat juga dilaungkan di sana-sini. Umat Islam diseru supaya memboikot produk-produk tersebut sehinggakan sebahagian mereka berusaha dan mengajak orang lain menolak 100% produk-produk khususnya makanan dan barang-barang keperluan harian. Di samping itu, ada juga yang menganjurkan solat hajat secara besar-besaran dan berzikir, memanjatkan berdoa ke hadrat Ilahi agar kekejaman Yahudi Zionis akan menerima balasan setimpal dari Nya.

Muslimah yang dimuliakan,
Apakah jalan yang penyelesaian yang dipilih oleh saudara-saudara seagama untuk membantu rakyat Palestin dapat menyelesaikan kekejaman yang tidak akan berakhir sungguhpun gencatan senjata telah disetujui kedua belah pihak? Adakah tabung dan kutipan derma yang diwar-warkan di seluruh negara malah di seluruh dunia ini dapat membantu mereka yang sengsara?Hakikatnya, amat sukar meramalkan bahawa rakyat Palestin akan meraih manfaat darinya.

Berdasarkan sepucuk surat yang ditulis oleh seorang Muslimah dari Gaza yang dikenali sebagai Ummu Taqi yang dibacakan di hadapan ribuan orang yang menyertai demonstrasi di Marble Arch, London pada tanggal 17 Januari 2009, yang turut dibacakan dalam rancangan Muslimah Dilemma terbitan Islamic Channel, UK, beliau mengatakan: “Sadaqah baik kalian tidak sampai kepada kami dan ketika mereka membuka perbatasan hanya segelintir orang yang mendapatkan (sumbangan) itu.”  [http://www.syabab.co/index.php?option=com_content&view=article&id=584:sebuah-surat-jeritan-tangis-dari-gaza-untuk-umat-islam-dunia&catid=23:akhbar-muslimin&Itemid=53]

Jika demikian, apakah agaknya penyelesaian paling tuntas untuk membantu mereka setelah kita menyedari bahawasanya kutipan derma dan pemboikotan barangan tidak sedikit pun mewujudkan perasaan gentar puak Kuffar Yahudi laknatullah itu terhadap kaum Muslimin?

Wahai Muslimah,
Sesungguhnya, jalan penyelesaian yang wajib dilaksanakan adalah untuk tempoh jangka panjang dan berkesan yang mana Yahudi Zionis dan Kuffar Barat akan dapat dikalahkan dan dihancurkan oleh umat Islam Palestin dan umat Islam seluruh dunia. Penyelesaian untuk semua permasalahan kekejaman dan penindasan terhadap umat Islam di Palestin dan negeri kaum Muslimin di seluruh dunia adalah dengan tertegaknya Khilafah Islamiah dan seterusnya penerapan syariat Islam. Penegakan Khilafah hanya akan dapat direalisasikan dengan dakwah oleh umat Islam, sepertimana kaedah usul fiqh iaitu “Suatu kewajipan tidak akan terlaksana  tanpa sesuatu, maka sesuatu itu hukumnya menjadi wajib”

Maka, dakwah adalah suatu kewajipan yang dibebankan (taklifkan) ke atas umat Islam seluruhnya tidak kira sama ada lelaki atau perempuan, tingkat pendidikannya tinggi atau sederhana, bekerja atau hanya suri rumah, dakwah tetap wajib dilakukan. Bagaimanapun keadaan kita, walau sibuk dengan urusan seharian, namun dakwah wajib dilakukan. Kaum Muslimah juga tidak terkecuali untuk berdakwah sesama kaum Muslimah untuk menjelaskan yang haq tentang kewajipan berusaha menegakkan Khilafah Islamiyah agar syariat Islam dapat diterapkan dan seterusnya melangsungkan kehidupan Islam di muka bumi ini. Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman:
Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru manusia menuju (jalan) Allah.” [TMQ Al- Fushshilat [41]: 33].

Hendaklah ada di antara kalian sekelompok umat yang menyerukan kebaikan (Islam) dan melakukan amar makruf nahi mungkar.” [TMQ ali-Imran [3]: 104]

Rasulullah Salallahu alaihi wasallam bersabda:
Sampaikan lah dariku walaupun hanya satu ayat.” [HR At-Tirmidzi]

Siapa saja yang menyeru manusia pada hidayah, maka ia mendapatkan pahala sebesar yang diperoleh oleh orang-orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi sedikit pun pahala mereka.”[HR Muslim]

Dengan itu, maka akan terlihat oleh mata betapa indahnya hidup di bawah naungan Islam. Ini kerana dengan kewujudannya dan selama Khilafah Islamiah berdiri, maka Khalifah akan mengerahkan tentera-tentera kaum Muslimin untuk berjihad memerangi kaum Kuffar yang melakukan kekejaman terhadap kaum Muslimin.
Allah Subhanahu wa Taala berfirman:
Hai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka ialah neraka jahanam. Dan itu lah tempat kembali yang seburuk-buruknya.” [TMQ at-Taubah [9]: 73]

Allah Subhanahu wa Taala juga berfirman: “Wahai orang-orang beriman, perangilah orang-orang kafir di sekitarmu itu, hendaklah mereka menemui kekerasan daripadamu dan ketahui lah bahawasanya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.” [TMQ at-Taubah [9]: 123]

Khatimah
Muslimah yang dirahmati Allah,
Setelah menyedari bahawasanya hanya dengan dakwah untuk melanjutkan kehidupan Islam (isti’naf fial-hayati al-Islamiyyah) akan membuka jalan ke arah tertegaknya sebuah negara iaitu Daulah Islamiyyah yang bakal melindungi seluruh warga negara sama ada Muslim atau bukan Muslim, yang berkulit hitam, kuning atau merah, ketahuilah bahawa ia bukan satu perjalanan yang mudah. Saudara seagama kita di Palestin yang kita tangisi nasibnya itu perlukan pembelaan, yang mana usaha ke arah itu bukanlah semata-mata kewajipan kaum lelaki sahaja sebaliknya ia turut juga terbeban di atas bahu para Muslimah. Justeru, istiqamahlah kamu dengan dakwah. Janganlah kamu berhati walang dan mudah merasa lemah. Sepatah kata Umm Taqi dalam suratnya yang ditujukan kepada kaum Muslimin di seluruh dunia: “Tetaplah berjuang di Jalan Allah dan berdoalah agar kemenangan itu segera datang, InsyaAllah.”
Wallahu ‘alam bisshawab.


Perceraian: Berakhirkah Sebuah Kehidupan?

Kata orang, sedangkan lidah lagi tergigit. Inikan pula suami isteri. Walau ikhlas menganyam benih-benih harapan untuk bersama ke akhir usia, apakan daya jika panas yang diimpikan, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Mutakhir ini, kadar penceraian naik mendadak khususnya di kalangan pasangan beragama Islam. Sepanjang tempoh 12 bulan yakni setahun dalam tahun 2008, kita dapat menyaksikan pelbagai kes pergolakan dan masalah rumah tangga dari masalah kecil sehinggalah ke tahap yang paling kemuncak iaitu penceraian sering dipaparkan di dalam surat khabar, majalah dan media massa. Perkara yang dulunya dianggap ‘kiamat kecil’ bagi sebuah keluarga kini bukan lagi sebuah paparan dalam sinetron dan tele-novela. Apabila ada pasangan artis melakonkan watak hidup kisah perceraian di alam nyata, seluruh negara gamat memperkatakannya. Seolah-olah iklim ekonomi dunia yang kian merudum tidak lagi relevan untuk dibincangkan.

Antara penyebabnya ialah industri media dan hiburan yang tidak akan melepaskan peluang mengaut keuntungan hasil “menjual” dan “menjaja” cerita-cerita sensasi golongan artis dan selebriti. “Bila tengok rancangan Melodi di TV3, rasa meluat juga dengan segmen Terjah yang kononnya memaparkan kehebatan para wartawan hiburan ini membongkar rahsia artis walaupun dengan cara yang agak kurang ajar. Lagak mereka sama seperti lagak Paparazi di Barat malah mereka jugalah yang sering menjadi punca sesuatu masalah itu menjadi lebih besar dan heboh diperkatakan orang. Dari orang tidak tahu akhirnya mereka tahu. Dengan pengaruh media, masalah rumah tangga yang boleh selesai cara baik akhirnya menjadi lebih buruk [http://syukran.wordpress.com/2008/11/11/media-massa-punca-kes-perceraian-artis-malaysia-meningkatdan-ini-memalukan-islam/]. Penulis di laman web ini juga melahirkan kebimbangan tentang isu perceraian artis yang perlu di muhasabah supaya tidak terus menjadi modal hidup kepada wartawan hiburan. Dipihak artis dan selebriti pula, ada di kalangan mereka yang sengaja mendedahkan keaiban sendiri untuk mengekalkan glamor dan populariti. Maka, pakatan strategik (strategic alliance) atau perkongsian bijak (smart partnership) antara media dan artis turut menyebabkan kisah-kisah perceraian menjadi isu sensasi yang menutup pemikiran sebahagian umat Islam untuk merenungkan isu-isu kritikal yang sedang melanda umat Islam masa kini.

Dalam tempoh lima tahun antara 1999 hingga 2004, kadar perceraian pasangan Islam nyata jauh lebih tinggi dari bukan Islam di negara ini. Mengikut statistik yang disebut oleh Ketua Wanita MCA Datuk Dr Ng Yen Yen, seramai 69,000 pasangan Islam bercerai dalam tempoh itu manakala bukan Islam sebanyak 13,000 kes. Pada tahun 2005 sahaja seramai 16,500 pasangan Islam yang bercerai berbanding dengan penceraian di kalangan pasangan bukan Islam yang mencatat sejumlah 3,000 pasangan yang bercerai
[http://www.yadim.com.my/Keluarga/KeluargaFull.asp?Id=157].

Perceraian adalah suatu perkara yang digeruni khususnya dalam kalangan wanita kerana status ‘janda’ dianggap pembawa sial dan nasib malang. Melalui penceraian, pelbagai kesan buruk di semua pihak akan dapat dilihat. Ia  ibarat mimpi buruk bagi setiap anak, menyebabkan kecelaruan dan perasaan  rendah diri, tekanan malahan kebencian pada jantina tertentu. Bagaimana pula penjagaan dan perlindungan anak-anak setelah ikatan kasih terlerai? Dipihak ibu bapa sendiri, penceraian dapat menimbulkan gangguan emosi dan hilang keyakinan kepada orang lain. Kerenah birokrasi turut menambah derita penceraian kerana mengambil masa yang lama untuk menguruskan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak. Demi menghindari status yang dianggap hina ini, kaum wanita khususnya berusaha sedaya upaya mengelakkan perceraian sungguhpun mereka terpaksa menanggung penderitaan zahir batin apabila bahtera yang dilayari tidak lagi membenihkan sakinah, mawaddah wa rahmah.

Sebab-sebab Perceraian
1.    Suka cara yang termudah (tinggalkan pasangan) ketika timbul masalah dalam perkahwinan
2.    Gangguan perhubungan (walaupun lama bercinta sebelum berkahwin) misalnya kerana jarang berjumpa.
3.    Wujudnya pihak ketiga yang merenggangkan hubungan suami isteri.
4.    Longgarnya pergaulan dengan bukan mahram sehingga berlaku perbuatan curang dan syak wasangka.
5.    Masalah tanggungjawab nafkah.
6.    Tidak ujud lagi persefahaman, berbeza prinsip dalam kehidupan.
7.    Memandang remeh penceraian, mudah lafaz talak secara main-main atau ketika marah.

Apakah itu Talaq (perceraian)?
Perceraian yang dikenali dalam bahasa Arab dengan istilah talaq. Menurut istilah bahasa Arab ia bererti: melepaskan ikatan. Manakala dari istilah syarak: melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz talaq atau sebagainya. Talaq disebut dalam Al-Quran dan Sunah dengan perkara berikut:

Talaq itu dua kali, sesudah itu suami diberi kelonggaran untuk rujuk semula dengan baik atau (kalau tidak ingin rujuk semula) hendaklah dilepaskan dengan baik” [TMQ Surah Al-Baqarah [2]: 229]

Tidak ada sesuatu  perkara yang halal yang paling dibenci oleh Allah selain dari talaq.” [Hadis Riwayat Abu Daud]

Benarkah Talaq Bisa Dielak?
Hasil kajian peringkat kebangsaan pada tahun 2006 menyimpulkan bahawa alasan utama penceraian ialah kegagalan memahami hak dan tanggungjawab sebagai pasangan yang berkahwin serta kegagalan berkomunikasi secara sihat antara kedua-dua pasangan [Berita Harian, 15 Disember 2006]. Memahami hakikat perkahwinan dengan memerhatikan perkara-perkara di bawah boleh membantu menyelamatkan perahu yang hampir karam.
  
Jadilah Sahabat yang Menyenangkan
Pernikahan pada dasarnya merupakan akad antara lelaki dan perempuan untuk membangun rumah tangga sebagai suami-isteri sesuai dengan ketentuan syariat Islam. Sesungguhnya kehidupan rumah tangga dalam Islam adalah kehidupan persahabatan. Suami adalah sahabat karib bagi isterinya, begitu juga sebaliknya. Keduanya benar-benar seperti dua sahabat karib yang bersedia bersama ketika suka dan duka dalam menjalani kehidupan pernikahan mereka demi meraih tujuan yang diredai Allah Subhanahu wa Taala. Isteri bukanlah sekadar pasangan kerja bagi suami, tidak juga orang bawahan atau pegawai yang bekerja pada suami. Isteri adalah sahabat, belahan jiwa, dan tempat curahan hati suaminya. Islam telah menjadikan isteri sebagai tempat yang penuh ketenteraman bagi suaminya. Allah Subhanahu wa Taala. berfirman: “Di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenis kalian sendiri supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya”. [TMQ Surah ar-Rum (30): 21].

Maka dari itu, sewajarnya suami akan merasa tenteram dan damai jika ada isteri di sisinya, demikian pula sebaliknya. Suami akan selalu cenderung dan ingin dekat dengan isterinya. Di sisi isterinya, suami akan selalu disuntik dengan semangat baru untuk terus bergiat di jalan dakwah, begitu juga sebaliknya. Keduanya akan saling tertarik dan cenderung kepada pasangannya, bukan saling menjauh. Keduanya akan saling menasihati, bukan mencela; saling menguatkan, bukan melemahkan; saling membantu, bukan bersaing.

Keduanya pun selalu sedia bersama meningkatkan kualiti ketakwaannya demi meraih kemuliaan di sisi-Nya. Kedua mereka berharap, Allah Subhanahu wa Taala. akan menemukan keduanya di syurga kelak. Ini bererti, tabiat asli kehidupan rumah tangga dalam Islam adalah ithmi’nân/tuma’ninah (ketenangan dan ketenteraman). Walhasil, kehidupan pernikahan yang ideal adalah terjalinnya kehidupan persahabatan antara suami dan isteri yang mampu memberikan ketenangan dan ketenteraman bagi keduanya.

Untuk menjamin teraihnya ketenangan dan ketenteraman tersebut, Islam telah menetapkan serangkaian aturan tentang hak dan kewajiban suami-isteri. Jika seluruh hak dan kewajiban itu dijalankan secara benar, Insyallah akan ujud keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah.

Bersabar atas Kekurangan Pasangan
Keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah bukan bererti tidak pernah menghadapi onak dan duri kehidupan. Apa yang penting ialah keluarga yang dibangunkan atas landasan Islam, iaitu suami-isteri sama-sama menyedari bahawa mereka menikah sebagai satu ibadah dan untuk menjadi tunggak yang mengukuhkan perjuangan Islam. Mereka bersedia menghadapi apa jua masalah yang menimpa rumah tangga mereka kerana memahami jalan keluar yang mesti ditempuh adalah menurut hukum Islam.

Islam telah mengajarkan bahawa manusia bukanlah malaikat yang selalu taat kepada Allah, tidak pula maksum (terpelihara dari melakukan maksiat iaitu sebarang bentuk pelanggaran hukum) seperti halnya para nabi dan para rasul. Manusia adalah hamba Allah yang memiliki peluang untuk melakukan kesalahan dan menjadi tempat berkumpulnya banyak kekurangan.

Pasangan kita sama ada suami atau isteri juga memiliki banyak kekurangan. Kerana itu, kadangkala apa yang dilakukan dan dizahirkan oleh pasangan kita tidak seperti gambaran ideal yang kita harapkan. Dalam keadaan begini, maka sikap yang mesti diambil adalah bersabar!

Sabar adalah salah satu akhlak yang mulia, iaitu wujud ketaatan hamba terhadap perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Taala. Sabar adalah sebahagian daripada hukum syariat yang diperintahkan oleh Islam. “Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan [kepada Allah] dengan sabar dan [mengerjakan] solat, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar“. [TMQ Surah al-Baqarah (2): 153]; “Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu”. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas” [TMQ Surah az-Zumar (39): 10].

Makna kesabaran yang dimaksudkan adalah kesabaran seorang Mukmin dalam rangka ketaatan kepada Allah; dalam menjalankan seluruh perintah-Nya; dalam usaha menjauhi seluruh larangan-Nya; serta dalam menghadapi ujian dan cubaan, termasuk pula pada masa kita berhadapan dengan ‘kekurangan’ pasangan (suami atau isteri) kita.

Namun demikian, kesabaran dalam menghadapi ‘kekurangan’ pasangan kita mesti dicermati dahulu faktanya. Pertama: Jika kekurangan itu berkaitan dengan kemaksiatan yang menunjukkan adanya pelalaian terhadap kewajipan atau justeru melanggar larangan Allah Subhanahu wa Taala. Dalam hal ini, wujud kesabaran kita adalah dengan menasihatinya secara makruf serta mengingatkannya untuk tidak melalaikan kewajipannya dan agar segera meninggalkan larangan-Nya. Contoh pada suami: suami tidak melayani isterinya secara makruf, tidak menghargai isterinya, bukannya memuji tetapi justeru suka mencela, tidak menafkahi isteri dan anak-anaknya, enggan melaksanakan solat fardu, enggan menuntut ilmu, atau malas dalam berdakwah. Contoh pada isteri: isteri tidak taat pada suami, melalaikan pengasuhan anaknya, melalaikan tugasnya sebagai pengurus rumah tangga (robbatul bayt), sibuk bekerja, atau mengabaikan kewajipan menuntut ilmu dan melaksanakan aktiviti amar makruf nahi mungkar. Sabar dalam hal ini tidak cukup dengan berdiam diri sahaja atau menerima apa jua yang dilakukan oleh pasangan kita, tetapi kita mesti ada usaha maksimum menasihatinya dan mendakwahinya. Satu hal yang tidak boleh dilupakan, kita sentiasa mendoakan pasangan kita kepada Allah Subhanahu wa Taala.

Kedua: Jika kekurangan itu berkaitan dengan hal-hal yang harus (mubah) maka hendaklah berkomunikasi secara makruf di antara suami-isteri. Contoh: suami tidak terlalu romantik; miskin akan pujian terhadap isteri, padahal sang isteri mengharapkan itu; isteri kurang pandai mengurus rumah, walaupun sudah berusaha maksimum tetapi tetap kurang estetikanya, sementara sang suami adalah orang yang teliti dan rapi; isteri kurang pandai memasak walaupun dia sudah berusaha sedaya upaya menghasilkan yang terbaik; suami “cara bicaranya” kurang lembut dan cenderung bernada tinggi sehingga kerap menyinggung perasaan isteri; isteri tidak biasa berdandan untuk suami, fesyen rambutnya tidak cantik, hasil cucian dan seterikaannya kurang rapi; dan sebagainya.

Dalam hal ini kita dituntut bersabar untuk berkomunikasi dengan memberikan masukan (input), serta mencari jalan keluar bersama pasangan kita. Jika usaha maksimum telah dilakukan tetapi belum juga ada perubahan, maka terimalah dengan lapang dada seraya terus mendoakannya kepada Allah Subhanahu wa Taala. Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, [maka bersabarlah] kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak. “[TMQ Surah an-Nisa’ (4): 19].
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Janganlah seorang suami membenci isterinya. Jika dia tidak menyukai satu perangainya maka dia akan menyenangi perangainya yang lain.” [HR Muslim].

Khatimah

Perceraian sebagaimana pernikahan dan poligami adalah jalan keluar atau jalan penyelesaian akan masalah yang menimpa manusia. Perceraian ada hukum-hakam di dalamnya yang mesti dipatuhi setiap pihak yang terlibat. Perceraian sebagaimana status janda atau duda yang dianggap ‘taboo’ oleh sebahagian anggota masyarakat tidak menjadikan seseorang hina, kerana mulia atau hina seseorang tidak dinilai oleh status perkahwinannya, melainkan ketaqwaannya semata-mata sebagaimana firman Allah: “Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang paling bertakwa di kalangan kamu“. [TMQ Surah Hujurat:13].

Sebuah pernikahan yang membahagiakan adalah impian semua manusia. Akan tetapi, jika perceraian tidak mampu dielak, ia bukan berakhirnya sebuah kehidupan kerana manusia boleh berusaha serta memanjatkan doa agar dapat melayari bahtera rumah tangga hingga ke akhir hayat. Hakikatnya, hanya di tangan Allah sahajalah kuasa untuk menentukan kesejahteraan berpanjangan di kala rumah tangga di tiup ombak dan badai. Selain dari itu, tujuan manusia dijadikan Allah bukanlah untuk meraih kasih-sayang manusia semata-mata.

Justeru, perceraian yang tidak dapat dielak bukanlah suatu musibah jika seorang Islam itu memahami bahawasanya, apa jua ujian yang menimpanya, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui hikmah di sebaliknya.  “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi mu, dan boleh jadi [pula] kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi mu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. “[TMQ Surah Al-Baqarah (2):216].
Wallahu alam bisshawab.



Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah (Bahagian1)

Muqaddimah
Wanita Muslimah telah menjadi subjek propaganda yang dilakukan dengan hebatnya oleh negara-negara Kapitalis Barat. Mereka bermaksud hendak mengeluarkan wanita Muslimah ini dari cara hidup mereka yang murni dan hubungan suci di antara mereka agar menjadi barang dagangan dan objek untuk melampiaskan nafsu syahwat semata-mata. Propaganda ini telah bermula sejak awal ia dilancarkan ke atas umat, tetapi langkah dan gayanya kian bertambah akhir-akhir ini terutamanya selepas peristiwa 11/9. Bagaimanakah pandangan dunia terhadap wanita pada masa sebelum Islam dan pada zaman moden?  Apakah rancangan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam masalah ini….Inilah yang akan kami perjelaskan insyaAllah Ta’ala.

Sejak Allah Ta’ala mengutuskan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam dengan risalah Islam kepada seluruh manusia, bermulalah pertentangan antara kaum Muslim dan kafir. Ia berterusan dalam pelbagai bidang dan dalam semua tingkat kehidupan. Orang kafir sentiasa melemparkan tuduhan berbahaya dan pembohongan keji kepada Islam. Namun agama ini dengan kehendak Allah Subhanahu wa Ta’ala dan juga melalui tangan-tangan kaum Muslimin yang ikhlas dan sedar tetap jua menang dan mengatasi sebahagian besar agama-agama yang lain sejak beberapa kurun lamanya.

Dalam kurun ke-19 masehi, ketika keupayaan berfikir umat mulai lemah dan tahap kemunduran mereka mencecah tahap yang tidak selayaknya, serangan kafir terhadap Islam mulai gencar. Sumbernya adalah Kapitalis Eropah. Api konflik secara ketenteraan, politik dan pemikiran antara umat Islam dan kuffar mula menyala sehingga lah Daulah Khilafah diruntuhkan pada tahun 1924 masehi. Para kapitalis telah memperoleh kemenangan dari segi politik dan ketenteraan ke atas kaum Muslim. Penentangan terhadap pemikiran umat tetap mereka teruskan. Idea-idea Islam dan hukum-hakamnya diserang; jihad, hukum uqubat dan hudud, hukum sistem sosial dalam Islam “pada hari ini mereka menamakannya sebagai urusan individu” termasuk isu poligami, talak, warisan, pakaian serta hukum-hukum yang lain yang berkaitan dengan wanita. Mereka menyeru kepada percampuran antara lelaki dan wanita. Dek kerana kelemahan dari sudut politik dan rendahnya tahap berfikir mereka, mereka telah membahagikan kepada tiga bahagian dalam rangka menjawab tuduhan-tuduhan tersebut. Pertama, mereka yang menolak serangan ini dan bersenjatakan idea Islam. Mereka ini bilangannya sedikit. Kedua, mereka yang redha Islam menjadi pihak tertuduh lalu mempertahankan Islam dengan cara yang salah. Mereka amat memberikan perhatian terhadap usaha penyesuaian Islam dengan hadharah kapitalis. Ketiga, mereka yang merasa cukup dan berpuashati dengan seruan hadharah Barat yang rosak itu lalu menyeru agar mengambilnya dan membuang hukum Islam dengan alasan bahawa ia tidak lagi sesuai dengan zaman sekarang dan peranannya telah pun berakhir.

Selepas Tentera Salib Barat musuh pertama bagi Islam dapat melenyapkan Daulah Khilafah pada awal kurun yang lalu, negeri-negeri kaum Muslimin telah dibahagi-bahagikan kepada beberapa negara kecil yang miskin. Di setiap negeri tersebut dilantik pemerintah yang bersekutu dengan umat  secara nama sahaja. Sedangkan kepada umat diterapkan hukum-hukum kufur dalam segenap aspek kehidupan sehingga kaum kuffar dan boneka-bonekanya berani menikam setiap bahagian agama ini dan bahkan dalam kebanyakan perkara agama yang telah diterima pakai oleh umat ini.

Pertembungan budaya kapitalis yang menyerbu secara tiba-tiba ke dalam pemikiran sebahagian umat Islam menyebabkan berlaku pula kekusutan dalam memahami dalil-dalil syarak dan berlaku penyimpangan.  Sepatutnya mereka menghadkan pengambilan madaniyyah Barat sebatas bentuk-bentuk materinya sahaja, yang sebenarnya boleh sahaja untuk diambil dengan menganggapnya sebagai wasilah dan uslub yang diharuskan. Sebaliknya mereka mula menyeru agar mengambil hadharah Barat serta konsep-konsepnya  seperti sistem demokrasi yang sangat bertentangan dengan hadharah Islam serta konsep-konsep Islam itu sendiri.

Semuanya itu disebabkan mereka telah tertawan dengan madaniyyah Barat. Ia juga disebabkan oleh kepimpinan berfikir dan politik hasil didikan Barat dan disusup masuk dalam barisan kaum Muslimin. Ia dipakaikan dengan pakaian ilmu syarak dengan alasan perbaikan (islah) terhadap umat yang teruk dan mundur ini. Antara yang mereka serukan adalah memberikan hak-hak dan persamaan dengan kaum lelaki kepada kaum wanita seolah-olah dalam Islam wanita tidak mempunyai hak dan berada pada tahap dan keadaan yang lebih rendah dari lelaki.

Mereka mahu wanita Muslimah menjadi seperti wanita Barat yang keluar dari rumahnya dan menjadi sebahagian daripada barang yang bermanfaat dalam hadharah mereka. Mereka ini hanya dilihat sebagai barang dagangan atau tempat untuk melampiaskan hawa nafsu. Jika keadaan kaum wanita mereka adalah seperti ini, yang menjadi tidak berkeluarga dan tidak mempunyai sebarang hak yang sesuai, maka bagaimana pula keadaan wanita Muslimah dalam hal demikian. Khususnya bahawa Islam telah menempatkannya pada posisi yang sesuai untuknya?! Adakah benar bahawa wanita Muslimah dizalimi seperti yang mereka dakwa?

Adakah juga benar mereka tidak mempunyai hak hingga datang musuh umat dan agama ini meminta supaya mereka ini diberikan hak yang telah dirampas, untuk menyamakannya dengan wanita di Barat seperti yang mereka tuduh itu?! Dan adakah benar bahawa wanita di Barat menikmati hak yang terbaik?! Ataupun ada udang di sebalik batu?! Mereka ini sebenarnya mahu keluarga Muslim dihancurkan yang mereka tahu ia tidak akan terjadi melainkan dengan merosakkan wanita Muslimah, tiang asasnya terlebih dahulu.

Di bawah seruan-seruan yang keji dan penuh tipu daya ini, kafir Barat berusaha memusuhi umat untuk meruntuh dan membinasakan aspek sosial kaum Muslimin dengan segenap kekuatan. Perkara tersebut mereka usahakan selepas menghancurkan Daulah Khilafah dan memecah-belahkan negeri-negeri mereka dan menjadikan mereka berada di bawah bangsa yang lain.

Inilah yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini. Di tambah pula propaganda ketenteraan yang diketuai oleh Amerika sehingga kepada propaganda pemikiran kapitalis, antaranya kempen menuntut persamaan hak dengan kaum lelaki, lebih jauh lagi persamaannya dengan wanita di Barat. Adakah benar ada isu wanita Muslimah yang tidak dapat diselesaikan oleh Islam?! Mengapakah semua isu yang diperbesarkan ini berkisar tentang wanita Muslimah?! Mengapa isu ini dijadikan bentuk rasmi dalam pertubuhan negara-negara Islam yang diambil pula oleh pihak sistem pemerintah. Media-media massa rasmi memperkatakannya pagi dan petang dan kemudiannya seminar-seminar pun diadakan untuk membincangkan isu tersebut di samping dana-dana pun dibelanjakan untuknya.  Sesungguhnya keraguan terhadap aqidah Islam dan hukum-hakam syarak yang terpancar daripadanya merupakan satu cara perang yang diumumkan terhadap Islam. Barat berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menanggalkan umat ini dari agamanya secara pemikiran dan aqidah selepas pengikut-pengikutnya daripada kalangan para pemerintah Islam sendiri dan yang seumpamanya tidak mampu melakukan hal tersebut.

Topik ini tidak meliputi semua jenis serangan pemikiran Barat. Ia dibataskan hanya kepada apa yang dikehendaki terhadap wanita Muslimah khususnya seruan dusta mereka mengenai persamaan hak. Ia merupakan seruan bias yang menginginkan agar wanita Muslimah keluar dari rumahnya dengan alasan persamaan hak itu tadi. Supaya wanita tersebut menjadi seperti wanita Barat yang menjadi barang dagangan murahan yang dimanfaatkan.

Mereka bermaksud mempengaruhi kehidupan bermasyarakat umat Islam demi merobohkan struktur kekeluargaan yang masih tinggal pada mereka, dan mengisytiharkan kemenangan sempurna mereka.Barat telah menyedari dengan yakin bahawa ia tidak akan dapat dikalahkan dalam kehidupan dan pertentangan ini melainkan oleh umat Islam dan kaum Muslimin kerana tidak terdapat dalam dunia ini suatu umat yang memiliki pilar-pilar kebangkitan berupa pemikiran yang lengkap mengenai seluruh aspek kehidupan seperti yang dimiliki oleh umat Islam.

Sesungguhnya umat ini, dengan Islam, bukan sahaja layak untuk berhadapan dengan pemikiran-pemikiran kapitalis Barat, bahkan ia juga layak untuk mengalahkan mereka dan mencabut mereka daripada akar-akarnya daripada setiap penjuru dunia.

Sementara isu mengenai hak-hak kaum wanita dan persamaannya dengan kaum lelaki serta seminar-seminar yang telah dan sedang diadakan untuk tujuan tersebut tidak lain adalah sebahagian dari peperangan yang diumumkan terhadap Islam. Mereka tidak menujukannya kepada wanita Muslimah semata bahkan terhadap Islam dan kaum Muslimin juga. Hanya perasaan kebangkitan yang mula merayap dalam diri umat ini dan perasaan untuk segera kembali kepada pemikiran Islam yang benar, diambil dan didakwahkan akan menolak tipu daya mereka kembali kepada mereka semula dan segala rancangan mereka akan rosak. Allah Ta’ala berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُواْ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّواْ عَن سَبِيلِ اللّهِ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ وَالَّذِينَ كَفَرُواْ إِلَى جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan. Dan ke dalam neraka Jahanamlah orang-orang yang kafir itu dikumpulkan.” (TQS: Al-Anfaal:36).

Wanita Dalam Dunia Sebelum Islam
Manusia secara semulajadinya adalah makhluk yang hidup secara bermasyarakat, iaitu bersosial. Ia tidak suka hidup sendiri dan melakukan kerja-kerja mereka seorang diri. Ia suka untuk hidup dalam sebuah masyarakat atau dalam satu kelompok. Sunatullah Ta’ala telah menentukan bahawa mereka ini terdiri daripada lelaki dan wanita. Setiap daripada mereka cenderung secara fitrahnya kepada jenis yang lain untuk memelihara kelestarian jenis manusia. Melalui percampuran antara lelaki dan wanita timbullah beberapa perkara dan permasalahan umpamanya: institusi keluarga, penyusuan, penjagaan anak, wasiat, wali, talak, hak-hak seorang bapa dan anak dan sebagainya.

Sejak Allah Subhanahu wa Ta’ala menciptakan manusia dan diturunkannya ke muka bumi, diwakilkan untuk mengimarahkan bumi ini, hiduplah masyarakat manusia di tempat-tempat yang berbeza di atas dunia ini. Mereka mendirikan tamadun masing-masing. Tamadun ini dikenali dengan nama-nama tempat dan negara yang ada kerana ia bukanlah tamadun berdasarkan ideologi. Di negeri sebelah Timur wujud tamadun Cina, India, Farsi, Jepun, Turki dan Arab (sebelum Islam). Di sebelah Barat pula muncul beberapa tamadun yang lain dan antara yang penting adalah tamadun Yunani dan Rom. Demikian juga lahir tamadun antara dua sungai; di Mesir wujud dua jenis tamadun yang dikenali sebagai tamadun antara dua sungai dan tamadun lembah Nil.

Berdasarkan perbezaan tamadun ini maka berbeza pula lah pandangan mereka terhadap wanita. Begitu juga kedudukan wanita di sisi mereka saling berbeza. Hal ini juga terjadi kepada cara pergaulan mereka dengan wanita dari satu tamadun ke tamadun yang lain dan dari satu masyarakat kepada masyarakat yang lain. Cuma, secara umumnya wanita tidak memperolehi pemeliharaan yang sesuai selain tidak memperolehi hak-hak melainkan sedikit sekali. Kebanyakan mereka memandang rendah pada wanita.

Wanita Dalam Tamadun Yunani
Dalam tamadun Yunani, pemikiran yang mendominasi tentang wanita dalam masyarakat Yunani adalah mereka itu rendah dan akal mereka cetek, dikuasai oleh emosi dan syahwat. Aristotle telah menggelar wanita sebagai “unsur tidak berakal dalam jiwa kemanusiaan.” Ia melihat bahawa  wanita wajib tunduk kepada lelaki yang memiliki unsur akal. Wanita merupakan bahagian negatif dalam kehidupan lalu dia mesti mendengar dan taat kepada lelaki. Mereka berada pada martabat pertengahan antara lelaki Yunani merdeka dan hamba yang dibebaskan. Mereka tidak dibenarkan untuk memilih calon suami ketika telah sampai usia untuk berkahwin. Keluarganya lah yang akan memaksanya untuk berkahwin dengan sesiapa yang mereka kehendaki. Mereka hidup tersingkir dari medan politik dan pemerintahan. Siapa lah mereka di sisi lelaki Athens melainkan ketua khadam dan tempat untuk melahirkan anak serta wasilah untuk merealisasikan kenikmatan dan juga kebahagiaan bagi lelaki.

Wanita Dalam Tamadun Rom
Dalam tamadun Rom, wanita dianggap sebagai orang yang kurang akalnya. Mereka tiada keahlian untuk memiliki harta atau melakukan akad atau tugas pewasiatan atau melaksanakan kesaksian atau pun memegang jawatan. Undang-undang Rom menukilkan perkara tersebut. Kewanitaan bagi mereka bermaksud tiadanya kelayakan. Menurut undang-undang, amanat wasiat untuk kaum wanita dalam pandangan tamadun ini adalah untuk kaum kerabatnya dari kalangan adik-beradik kemudian kepada anggota keluarganya. Kaum lelaki sahaja yang memiliki hak kekuasaan serta hak mengelola wanita yang dimilikinya. Dia boleh menjual wanita yang berada dalam rumah mereka, menyiksa atau bahkan membunuh mereka.

[Bersambung]