Fikratul Ummah – Januari 2011
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Para pembaca yang dirahmati Allah SWT, segala puji dipanjatkan kepada Allah Yang Maha Pencipta kerana masih memanjangkan umur kita dan masih memberi peluang kepada kita menikmati segala nikmat dariNya. Sama ada sedar atau tidak kita semua telah menapak ke tahun baru 2011. Kesempatan yang diberikan oleh Yang Maha Esa kepada kita sebagai hambanya untuk terus menghirup udara di tahun baru ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya dengan iltizam, semangat dan azam yang padu bagi meneruskan perjuangan yang masih belum selesai untuk mencapai sebuah kehidupan Islam kaffah. Janji yang kita ikrarkan dan kita perbaharui setiap kali solat lima waktu, sesungguhnya solatku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah, hendaknya kita realisasikan dan buktikan dengan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi.
Bersempena tahun baru 2011, keluaran Fikratul Ummah terus segar dan diberi nafas baru di mana sidang redaksi FU dalam komitmen kerja-kerja dakwah dan penyeruan ke arah kehidupan Islam yang syumul akan menghidangkan beberapa pembaharuan untuk para pembaca kami yang setia. InsyaAllah bermula keluaran Januari 2011 FU akan menampilkan beberapa segmen baru. Segmen-segmen yang dimaksudkan ialah segmen isu semasa, segmen artikel terjemahan, segmen fikih wanita dan segmen doa pilihan.
Dalam keluaran kali ini, untuk segmen isu semasa kami menyediakan artikel bertajuk ISLAM MODERAT, WANITA TERJERAT. Artikel ini mengajak para pembaca sekalian berfikir dan merenungi realiti kehidupan masa kini yang sering dimanipulasi oleh pihak kufar Barat di mana agenda demi agenda disusun oleh mereka dalam rencana perang pemikiran mereka ke atas umat Islam. Seterusnya artikel kedua pula membincangkan isu malar segar yang tidak kurang pentingnya dalam kehidupan seharian kita. Artikel bertajuk SYARIAT ISLAM MENETAPKAN ADANYA PEMISAHAN LELAKI DAN WANITA DALAM KEHIDUPAN ISLAM akan membawa para pembaca yang budiman menghayati bahawa pengaturan hidup antara lelaki dan perempuan dalam Islam yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala semakin dilupakan dan tidak dipraktikkan dalam kehidupan seharian masyarakat dewasa ini. Peri pentingnya kita mengatur kehidupan antara lelaki dan perempuan menurut garis panduan yang disediakan oleh Islam turut dijelaskan dalam artikel ini. Seterusnya segmen artikel terjemahan, MENDIDIK ANAK SEBAGAI MUSLIM, daripada karya asal bertajuk RAISING OUR CHILDREN AS MUSLIMS. Artikel ini ditulis oleh seorang penulis Muslim yang tinggal di Barat. Penulis berkongsi pengalaman dan cabaran Muslim di Barat dalam membesarkan anak-anak mereka. Segmen fikih wanita pula membincangkan tajuk LARANGAN SYARAK’ BERKENAAN TABARRUJ (BERHIAS) KE ATAS WANITA dan doa pilihan untuk bulan ini bertajuk DOA PENEGUH TAUTAN HATI (DOA RABITOH).
Harapan kami semoga artikel yang disajikan mampu membawa para pembaca berfikir dengan terbuka bahawa perjuangan untuk menegakkan kehidupan Islam tidak semudah yang disangka tetapi mampu diraih dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan yakin akan janji Allah. Sokongan daripada para pembaca amat kami hargai. Wallahua’alam bisshawab. . fU
SYARIAT ISLAM MENETAPKAN ADANYA PEMISAHAN LELAKI DAN WANITA DALAM KEHIDUPAN ISLAM
Realiti hari ini menyaksikan kehidupan manusia baik lelaki mahupun wanita telah terkeluar daripada landasan agama, sebagaimana keluarnya anak panah daripada busarnya. Sifat, sikap, adab dan disiplin pergaulan jauh sekali berpandukan ajaran Islam. Dalam fenomena seperti ini, perkataan ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi) seakan-akan tidak wujud dalam kehidupan seharian. Di mana-mana sahaja, kita sering melihat pergaulan tanpa batas antara lelaki dan wanita, baik di sekolah, universiti, pejabat mahupun di tempat-tempat awam yang lain. Pergaulan tanpa batas seperti menjadi budaya dan semakin mendarah daging dalam masyarakat hari ini.
Istilah coupling sangat popular dewasa ini. Bila melihat sepasang couple yang sedang berjalan, berpimpin tangan, berpelukan dan bercium-ciuman, perkara itu sudah menjadi satu kebiasaan. Salah satu faktornya adalah keadaan anak-anak sudah diracuni dengan rancangan televisyen yang mempunyai unsur-unsur pergaulan bebas, sedangkan Islam membataskan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam yang bermaksud “Janganlah lelaki berduaan dengan perempuan (bukan mahram) kerana yang ketiganya adalah syaitan.” [HR. Abu Dawud].
Sabda baginda lagi dalam hadisnya “Tiap menjelang pagi hari dua malaikat berseru: ‘celaka laki-laki dari godaan wanita dan celaka wanita dari godaan laki-laki.“ [HR. Ibnu Majah dan Al Hakim]
Dua hadis ini menggambarkan bahawa Islam melarang keras pergaulan bebas antara laki-laki dan wanita. Justeru, Islam memberi garis panduan kepada umatnya bagaimana cara pergaulan yang dibolehkan dalam Islam.
Kehidupan Lelaki Dan Wanita Dalam Islam
Dalam konteks kehidupan Islam telah ditetapkan di dalam sejumlah nash syariat bahwa kehidupan kaum lelaki terpisah daripada kaum wanita. Ketentuan ini berlaku dalam kehidupan khusus, seperti di rumah, pejabat, dan yang sejenisnya ataupun dalam kehidupan umum seperti di pasar-pasar, di jalan-jalan umum dan sejenisnya. Ketentuan tersebut merupakan ketetapan yang diambil secara pasti daripada sejumlah hukum Islam yang berkaitan dengan lelaki, wanita, atau kedua-duanya. Juga diambil daripada seruan al-Quran kepada kaum wanita dalam kedudukannya sebagai wanita dan kepada kaum lelaki dalam kedudukannya sebagai lelaki. Sebagaimana Allah Subhanahu Wa Taala berfirman:
“Kaum lelaki dan kaum wanita yang gemar bersedekah, kaum lelaki dan kaum wanita yang gemar berpuasa, kaum lelaki dan kaum wanita yang senantiasa memelihara kehormatannya, kaum lelaki dan kaum wanita yang banyak menyebut nama Allah“. [TMQ al-Ahzâb (33): 35]. Kehidupan lelaki dan wanita yang terpisah semacam ini telah diamalkan oleh masyarakat Islam daripada zaman Rasulullah Sallallahu Alahi Wa Sallam dan seluruh kurun sejarah Islam.
Jika kita meneliti sejumlah dalil al-Quran dan as-Sunnah, kita akan menemukan ketetapan Allah Subhanahu Wa Taala bahawa kesaksian dua orang wanita sama dengan kesaksian seorang lelaki dalam perkara yang melibatkan jenayah. Ini kerana kaum wanita di dalam kehidupan Islam, terpelihara dari kehidupan (atau berada dalam wilayah) yang berkemungkinan atau mempunyai potensi berlakunya jenayah. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Taala yang bermaksud “Jika tidak ada dua orang lelaki maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan”. [TMQ. al-Baqarah (2):282]. Begitu juga sabda Rasulullah yang diriwayatkan dari Abdullah bin Umar dari Rasulullah Sallallahu Alahi Wa Sallam, beliau bersabda “kesaksian dua orang wanita sebanding dengan kesaksian seorang laki-laki”.
Allah Subhanahu Wa Taala dengan jelasnya telah mewajibkan kaum wanita untuk mengenakan jilbab jika mereka hendak keluar dari rumah. Allah telah menjadikan seluruh tubuh wanita sebagai aurat kecuali wajah dan kedua telapak tangannya. Allah telah mengharamkan keatas wanita untuk memperlihatkan perhiasannya terhadap selain mahram-nya. Allah pun telah melarang kaum lelaki melihat aurat wanita meskipun hanya sekadar rambutnya. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alahi Wa Sallam kepada Asma’ binti Abu Bakar : “Asma sesungguhnya seorang wanita itu, jika telah baligh (mengalami haid), tidak boleh menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini (seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya)”. Manakala firman Allah Subhanahu Wa Taala. “Janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang biasa nampak pada dirinya”. [TMQ. an-Nur (24):31]
Selain itu, Allah juga telah melarang para wanita daripada melakukan perjalanan yang jauh walaupun untuk menunaikan ibadah haji, jika mereka tidak disertai oleh mahramnya. Seterusnya Allah Subhanahu Wa Taala juga melarang seseorang untuk memasuki rumah orang lain kecuali dengan seizin penghuninya. Allah Subhanahu Wa Taala tidak mewajibkan kaum wanita melakukan solat berjamaah, solat Jumaat, ataupun melibatkan diri dalam aktiviti jihad (perang). Sebaliknya, Allah mewajibkan semua aktiviti tersebut kepada kaum lelaki. Allah Subhanahu Wa Taala mewajibkan kaum lelaki berusaha mencari nafkah untuk menyara kehidupan keluarga, tetapi Allah tidak mewajibkan hal itu kepada kaum wanita.
Seluruh fakta-fakta di atas boleh dikaitkan dengan apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Beliau telah memisahkan kaum lelaki daripada kaum wanita, menjadikan shaf-shaf kaum wanita ketika menunaikan solat di dalam masjid berada di belakang shaf-shaf kaum lelaki, memerintahkan kaum wanita keluar lebih dahulu setelah selesai menunaikan solat berjamaah di dalam masjid kemudian disusuli oleh kaum lelaki. Dengan itu, keterpisahan antara kaum wanita dengan kaum lelaki sentiasa terpelihara.
Suatu saat, tatkala Rasulullah Sallallahu Alahi Wa Sallam mengajar di masjid, kaum wanita mengadu kepada beliau, “Kami telah dikalahkan oleh kaum lelaki. Oleh karena itu, hendaklah engkau menyediakan waktu khusus bagi kami satu hari saja”.
Semua hukum, keadaan, dan realiti yang terjadi itu menunjukkan tentang fakta kehidupan Islam di zaman Rasulullah dan para sahabat. Kehidupan Islam adalah kehidupan yang memisahkan antara kaum lelaki dan kaum wanita. Keterpisahan antara kedua-dua jantina dalam kehidupan Islam adalah bersifat umum, tidak dibezakan sama ada hal itu berkaitan dengan kehidupan khusus atau kehidupan umum. Ini kerana, kehidupan Islam pada zaman Rasulullah Sallallahu Alahi Wa Sallam telah memisahkan kaum lelaki daripada kaum wanita secara mutlak, baik dalam kehidupan khusus mahupun dalam kehidupan umum, tanpa pengecualian.
Perhubungan Yang Dibolehkan Dalam Islam
Di samping keterbatasan yang dibincangkan di atas, dalam beberapa keadaan tertentu, Allah Subhanahu Wa Taala telah menetapkan boleh berlakunya pertemuan atau hubungan di antara lelaki dan perempuan, baik dalam kehidupan khusus mahupun dalam kehidupan umum. Misalnya, dalam urusan muamalat, dibolehkan kaum wanita untuk melakukan jual beli seperti mengambil dan menerima barang, memiliki harta dan mengembangkannya. Dalam urusan ibadah pula, diwajibkan ke atas mereka untuk menunaikan ibadah haji, membolehkan mereka untuk hadir dalam solat berjemaah, berjihad melawan orang-orang kafir dan sejumlah aktiviti lain yang memang dibolehkan ke atas mereka. Semua aktiviti di atas dibolehkan oleh syariat Islam terhadap kaum wanita.
Jika pelaksanaan berbagai aktiviti di atas dibolehkan, ini bermakna, syariat Islam membolehkan berlakunya hubungan di antara lelaki dengan wanita. Akan tetapi hubungan yang dibolehkan tetap berada dalam batasan yang telah ditentukan oleh syariat dan berada dalam wilayah aktiviti yang dibolehkan ke atas mereka sahaja, seperti aktiviti jual-beli, pekerjaan, pendidikan, perubatan, pertanian, industri dan sebagainya. Sebab, dalil tentang bolehnya berlaku hubungan di antara keduanya sememangnya wujud atau terjadi karena adanya aktiviti-aktiviti semacam yang disebutkan itu.
Perhubungan Yang Tidak Dibenarkan Dalam Islam
Di dalam kehidupan Islam, syariat Islam sama sekali tidak membolehkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram menjalinkan perhubungan di antara keduanya seperti berjalan bersama-sama di jalan-jalan umum, pergi bersama-sama ke masjid, ke pasar, mengunjungi kaum keluarga atau bersuka ria seperti makan dan minum bersama. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Taala:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang biasa nampak daripadanya. “ [TMQ. an-Nur (24):30-31]
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam,
“Wahai Ali, janganlah pandangan yang kedua menuruti pandangan yang pertama, kerana sesungguhnya pandangan pertama itu adalah bagi kamu sedangkan yang kedua itu dosa ke atasmu”. [HR Ahmad, Abu Dawud, Tirmidzi]
Oleh yang demikian, pertemuan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram dalam perkara-perkara di atas dipandang sebagai perbuatan dosa, meskipun hal itu dilakukan dalam kehidupan umum.
Atas dasar inilah, adanya pemisahahan antara lelaki dan wanita merupakan suatu kewajipan dan keterpisahan antara keduanya dalam kehidupan khusus mesti dilakukan secara sempurna, kecuali dalam perkara-perkara yang dibolehkan oleh syariat.
Manakala dalam kehidupan umum, pada dasarnya status keduanya adalah terpisah. Keduanya tidak boleh melakukan pertemuan dan perhubungan selain yang telah dibolehkan, diharuskan, atau disunnahkan bagi wanita. Pengecualian ini berlaku bagi wanita dalam sejumlah aktiviti yang sememangnya menuntut adanya pertemuan dan perhubungan dengan lelaki, iaitu dilakukan secara terpisah seperti halnya di dalam masjid, atau disertai dengan adanya ikhtilâth (campur-baur), sebagaimana dalam aktiviti ibadah haji atau jual beli.
Khatimah
Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Taala:
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. [TMQ Al Maaidah (5):3]
Sebagai Agama yang sempurna, Allah Subhanahu Wa Taala telah menjadikan manusia sebagai penghuni di bumi ini, Allah Subhanahu Wa Taala jugalah yang telah menetapkan hukum-hakam yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Hanya manusia yang benar-benar bertakwa sahajalah yang akan sentiasa mengikuti petunjuk Allah. Sebagaimana Firman Allah “Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan RasulNya, jika Rasul menyeru kalian kepada sesuatu yang memberikan kehidupan kepada kalian”. [TMQ: an-Anfal (8):24]. Wallahua’lam. fU
Muslim sama ada dalam kapasiti sebagai satu umat mahupun kapasiti individu, mempunyai tanggungjawab yang utama dalam menjalani kehidupan ini mengikut peraturan dan ajaran Islam seperti yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah. Islam telah datang membawa garis panduan yang jelas dalam semua aspek kehidupan dan salah satu tanggungjawab yang utama adalah mendidik anak–anak seperti mana yang dituntut oleh ajaran Islam. Tanggungjawab ini menjadi amat berat apabila norma-norma masyarakat tidak berteraskan Islam, seperti yang berlaku di Barat. Walau bagaimanapun, hidup di Barat atau di mana sahaja di dunia ini, bukanlah alasan untuk meremehkan standard mahupun menghilangkan identiti Islam itu sendiri.
Keluarga Muslim di Barat terdedah kepada pengaruh nilai-nilai sekular yang kuat dan sentiasa dimanifestasikan dalam seluruh aspek kehidupan harian. Kesukaran untuk mengekalkan identiti anak-anak bermula dari saat mereka dilahirkan.
Namun, tanpa menghiraukan cabaran-cabarannya, Islam telah memberikan panduan yang jelas cara-cara untuk mendidik anak-anak untuk menjadi pemimpin-pemimpin yang kuat dan soleh. Untuk mencapai matlamat ini, adalah perlu untuk mempunyai keyakinan yang padu tentang kebenaran Islam dan mematuhi segala ajaran dan aturan Islam tanpa menghiraukan halangan–halangan yang ditempuhi atau hasil yang dicapai.
Bila perlu bermula?
Mengikut Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, tugas untuk mengasuh dan mendidik anak-anak bermula di saat mereka dilahirkan dengan melaungkan azan di telinga kanannya dan membaca iqamat di telinga kirinya. Memberi nama yang baik-baik kepada bayi yang baru dilahirkan adalah hak ibu bapanya kerana nama tersebut akan kekal sehingga akhir hayat anak tersebut dan akan memainkan peranan dalam menentukan tempatnya dikalangan umat Muslim. Dalam hal memberi nama kepada anak yang baru lahir, hakikatnya ialah memberi nama bukan Muslim bukanlah satu tiket untuk hidup dengan mudah di Barat. Menyembunyikan identiti anak kerana khuatir akan didiskriminasi atau hidup dibelenggu kesusahan adalah bertentangan dengan kepercayaan kita bahawa rezeki dan hidup telah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wa Taala dan bukannya manusia. Hanya Allah Subhanahu Wa Taala yang harus ditakuti, bukan manusia.
Pembinaan Asas: Kepatuhan kepada Allah Subhanahu Wa Taala sahaja.
Anak-anak yang sedang membesar harus diajar bahawa segala perbuatan mereka hanya berdasarkan hukum syariah dan bukan yang lain darinya. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman:
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah ia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah: Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya.” [TMQ al-Hashr (59):7]
Mungkin persoalannya ialah bagaimana cara yang paling efektif untuk melakukan perkara ini? Segelintir ibu bapa menggunakan kuasa mereka sebagai ibu bapa dalam menyuruh anak mereka melaksanakan perintah agama. Dengan pendekatan sebegini, anak-anak ini akan solat, berpuasa, berhijab, merendah diri, dan sebagainya berdasarkan kepada takut kepada ibu bapa mereka. Namun, terdapat risiko untuk mereka mempersoalkan asas kepercayaan Islam mereka tadi ketika mereka terdedah kepada masyarakat yang berfikiran liberal melalui rakan–rakan sebaya, media dan sistem pendidikan. Malahan, segelintir dari mereka mungkin akan memberontak menentang ibu bapa mereka. Anak-anak, terutamanya remaja mungkin akan terfikir bahawa ibu bapa mereka adalah manusia biasa seperti mereka, maka mengapa harus dipatuhi?
Jika hukum diperkenalkan sebagai sesuatu yang bermanfaat atau keburukan, maka ia adalah sesuatu yang berbahaya. Ini akan mengajar anak tersebut untuk mematuhi hukum apabila bermanfaat kepada mereka dan menolaknya jika sebaliknya. Sebagai contoh, jika berpuasa diajar kepada anak-anak sebagai satu manfaat keatas kesihatan mereka, mereka mungkin tidak akan berpuasa jika mereka yakin bahawa sebaliknya akan berlaku, iaitu puasa adalah sesuatu yang tidak menyihatkan. Begitu juga, jika berhijab diajar sebagai satu perkara yang sopan, mereka mungkin akan menanggalkannya jika mereka merasakan hanya dengan berpakaian longgar juga adalah satu bentuk kesopanan.
Bagi menghindarkan anak-anak kita dari terbelenggu dalam situasi begini, adalah sangat penting bagi kita untuk mengajar anak-anak kita bahawa hanya akidah Islam rujukan utama kita. Mereka harus memahami bahawa hanya Allah Subhanahu Wa Taala sahaja sebab mengapa mereka harus melakukan atau meninggalkan sesuatu perkara itu. Ibu bapa perlu memastikan realiti bahawa Allah Subhanahu Wa Taala itu wujud dan Dia mempunyai segala pengetahuan tentang sesuatu itu dan yang paling penting adalah kedua-dua ibu bapa dan anak yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala ke atas segala perbuatan mereka di Hari Pembalasan nanti. Anak-anak perlu diajar bahawa ibu bapa mereka juga akan turut dipertanggungjawabkan sepertimana mereka. Oleh yang demikian, anak tersebut akan belajar berpuasa, membayar zakat, meninggalkan riba, memakai hijab kerana kecintaannya terhadap Allah Subhanahu Wa Taala dan Rasulnya Sallallahu Alaihi Wa Sallam.
Sekali bibit ini tersemai di dalam diri anak-anak kita yang ia adalah satu-satunya perspektif di dalam membuat pilihan dan keputusan, mereka akan sentiasa merasa takut kepada Allah Subhanahu Wa Taala di dalam setiap langkah dan perbuatan. Hanya dengan rasa takut kepada Allah Subhanahu Wa Taala sahaja yang dapat menjadi perisai diri kepada anak-anak kita. Mereka akan menyedari bahawa walaupun mereka dapat lepas dari pandangan mata ibu bapa mereka, mereka tidak akan dapat lari dari Allah Subhanahu Wa Taala. Membesar di bumi yang tidak Islami menuntut sesuatu yang kritikal bahawa anak-anak seharusnya diajar supaya melakukan sebarang perbuatan kerana takutkan Allah Subhanahu Wa Taala, bukan kerana takut kepada ibu bapa, budaya kekeluargaan, manfaat atau sesuatu yang lain.
Nabi Ibrahim Alaihi Salam : Menyembah Allah Subhanahu Wa Taala dari masa mudanya.
Sebagai ibubapa, kita gemar bercerita tentang kisah nabi-nabi kepada anak–anak kita. Oleh yang demikian, kisah Nabi Ibrahim Alaihi Salam adalah sangat penting kerana ia memberikan satu pandangan bagaimana seorang anak memperolehi kefahaman tentang kewujudan Allah yang Satu. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman:
“Ketika malam telah menjadi gelap, dia melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: “Inilah Tuhanku”. Tetapi, tatkala bintang itu tenggelam dia berkata: “Saya tidak suka kepada yang tenggelam.” Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata: “Inilah Tuhanku”. Tetapi setelah bulan itu terbenam dia berkata: “Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang-orang yang sesat”. Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, dia berkata: “Inilah Tuhanku, ini yang lebih besar”, maka tatkala matahari itu telah terbenam, dia berkata: “Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan.” Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cenderung kepada Agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.” [TMQ al-An’aam (6): 76 – 79]
Apabila menceritakan kisah ini kepada anak-anak, adalah penting untuk menekankan bahawa tanda-tanda kekuasaan Allah sentiasa ada di sekeliling kita di mana juga kita berada.
Sahabat RadhiAllahu anha: Anak muda yang menolak masyarakat jahiliyah
Anak-anak kita di Barat akan mempelajari Islam sepertimana yang diajarkan kepada mereka. Tambahan kepada pengajaran rukun-rukun Islam (termasuk asas-asas Islam yang lain), adalah penting untuk mereka memahami warisan Islam. Ini bermula dengan Sirah Rasulullah Sallalahu Alaihi Wa Sallam, kehidupan para sahabat, dan termasuklah sejarah Khulafah Ar-Rasyidin. Hati anak-anak kita harus diisi dengan rasa cinta dan hormat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam dan para sahabat.
Tambahan pula, adalah penting untuk ditekankan kepada anak-anak kita bagaimana untuk menghadapi cabaran yang serupa seperti mana yang pernah ditempuhi oleh para sahabat. Para sahabat membesar dalam masyarakat jahiliyah Mekah. Walaupun begitu, ketika seruan Islam datang, mereka terus menyedari kebenarannya. Mereka menyakini bahawa Allah Subhanahu Wa Taala wujud, al-Quran diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam itu sebenarnya adalah utusanNya.
Berdasarkan keyakinan ini, mereka merujuk sepenuhnya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, malah meninggalkan pandangan-pandangan dan amalan-amalan yang diamalkan oleh masyarakat di sekeliling mereka. Para sahabat tidak merasa gentar kecuali kepada Allah Subhanahu Wa Taala kerana mengetahui bahawa hidup dan rezeki mereka telah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wa Taala. Mereka diajar untuk mematuhi hukum-hukum Islam dalam segala perbuatan mereka. Cara Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam mendidik teman-teman baginda telah melahirkan personaliti-personaliti yang pada mulanya berjuang memuja sesama manusia bertukar memuja Allah Subhanahu Wa Taala.
Salah satu contoh adalah Musab ibn Umair, seorang individu yang sangat kaya dan mewah. Walau bagaimanapun, setelah menerima Islam, dia secara terbuka mencabar amalan-amalan masyarakat Mekah. Ibunya cuba memberi tekanan kepada Musab supaya meninggalkan Islam dengan menahannya di rumah dan memberhentikan elaunnya, tetapi, Musab tetap berpegang teguh dan taat kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam.
Kita harus menjelaskan kepada anak–anak bagaimana kisah-kisah para sahabat relevan dengan cabaran-cabaran yang mereka hadapi semasa berinteraksi dengan masyarakat. Mereka seharusnya dapat mengambil iktibar daripada pengajaran-pengajaran para sahabat dan mendapat motivasi seperti mana yang diperolehi oleh para sahabat, serta menolak segala amalan jahiliyah yang diamalkan oleh masyarakat di sekeliling kita (seperti zina, berpakaian tidak senonoh, minum arak dan sebagainya) dan menghina Allah Subhanahu Wa Taala dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Apabila anak-anak telah meningkat dewasa dan mula berdepan dengan konsep-konsep berkaitan politik (seperti demokrasi) dan sistem ekonomi (seperti kapitalis), kita harus mengajar mereka untuk menolak konsep-konsep tersebut yang bukan daripada akidah Islam.
Jadilah guru dan sahabat kepada anak anda
Apabila anak-anak meningkat dewasa, secara semulajadinya mereka akan meminta perlindungan daripada orang tuanya dan menjadikan kedua-duanya tempat rujukan, serta mengikuti langkah-langkah ibu bapa mereka. Dalam fasa ini, ibu bapa harus sentiasa berjaga-jaga dengan merebut peluang untuk memberikan bimbingan yang benar ke jalan Allah. Kadangkala kita mengambil perkara ini sambil lewa dan melepaskan peluang tersebut. Fenomena kecuaian dan kesilapan ini yang sering dilakukan oleh ibu bapa di Barat.
Kehidupan berkeluarga dan hubungan kekeluargaan yang luas seperti hubungan dengan makcik dan pakcik (ibu saudara dan bapa saudara) dan hubungan kekeluargaan yang lain adalah amat sukar diamalkan memandangkan tidak ada hubungan sosial yang erat dalam kejiranan, malah pemikiran-pemikiran dan norma-norma Islam tidak wujud dalam budaya hidup seharian mereka. Peranan ibu bapa dalam membimbing anak-anak muda ini sebenarnya tidak semudah yang disangka. Dengan tekanan yang dihadapi di dalam sistem kapitalis dan bebanan komitmen yang berterusan dalam mengejar kejayaan kewangan untuk menjamin masa depan yang “lebih baik” membuatkan kita mudah goyah dan hilang arah, lalu anak-anak menjadi mangsa.
Oleh yang demikian, menjadi contoh kepada anak-anak bukanlah tugas separuh masa mahupun tugas di hujung minggu. Tugas ini merupakan satu proses yang berterusan, perlahan-lahan serta berusaha mendengar dan berkomunikasi dengan bersistematik dan membina kepercayaan anak-anak kita. Kita perlu berkerja keras untuk meraih kepercayaan anak-anak kita khususnya dan para remaja amnya, agar kita dapat menjadi sahabat baik dan contoh ikutan. Kita harus sentiasa memperlihatkan rasa hormat kepada mereka dan sama sekali tidak mengaibkan atau memperlekehkan mereka. Pada masa yang sama kita mesti bertegas serta tidak bertolak ansur dalam menjalani kehidupan yang dikehendaki oleh Islam. Kita perlu mengajar mereka untuk memimpin, bukan semata-mata mengikut dan menjadikan mereka sedar bahawa tujuan hidup mereka adalah untuk berdakwah dan mencari keredhaan Allah Subhanahu Wa Taala.
Semoga Allah Subhanahu Wa Taala membantu kita dalam mendidik anak-anak kita tentang Islam dan memberi petunjuk dalam mengekalkan kepercayaan kita ketika menghadapi saat-saat sukar serta menunjukkan jalan dalam menegakkan kembali Khulafah Ar Rasyidin iaitu daripada segala kesengsaraan dan kezaliman yang kita lalui sekarang kepada keadilan Islam. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” [TMQ at Tahrim (66): 6]
Sumber : Terjemahan dari artikel berbahasa Inggeris bertajuk “Raising Our Children as Muslims”
YA ALLAH,
Engkau mengetahui hati-hati ini
telah berkumpul kerana mengasihiMU,
bertemu untuk mematuhi perintahMU,
bersatu memikul beban dakwahMU,
hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk
mendaulat & menyokong syariatMU,
maka eratkanlah YA ALLAH akan ikatannya…
Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini
akan jalanNYA yang sebenar,
Penuhkanlah hati ini dengan cahaya RabbaniMu
yang tidak kunjung malap,
Lapangkanlah hati-hati ini dengan
limpahan iman dan keyakinan
dan keindahan tawakkal kepadaMU,
Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan
ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentangMU,
Jika Engkau mentakdirkan mati,
maka matikanlah pemilik hati-hati ini
sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMU,
Engkaulah sebaik-baik sandaran
dan sebaik-baik penolong,
YA ALLAH,
Perkenankanlah permintaan ini…