Fikratul Ummah – Jun 2009

 
 alt
 
Lidah Pengarang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Di saat negara sedang dilanda pandemik Influenza A (H1N1), nampaknya serangan ke atas wanita masih tak kunjung padam. Jenayah ragut yang melibatkan wanita semakin menjadi-jadi sungguhpun rakyat dan pihak berwajib mengesyorkan pelbagai cara untuk mengatasinya. Jika jenayah ragut dan lain-lain gejala sosial dianggap sebagai serangan fizikal, serangan pemikiran yang lebih ‘halus’ turut rancak mengatur strategi memperdayakan wanita dengan fikrah Kufur supaya Muslimah semakin jauh tersasar.

Syukur Alhamdulillah, Fikratul Ummah bulan ini mengemukakan dua artikel dan satu artikel terjemahan dari Majalah Al-Waie versi bahasa Arab. Masih adakah kesejahteraan buatmu wanita mengungkap kisah-kisah duka mangsa-mangsa ragut yang mana 98% dari kalangan wanita. Harapan kami supaya para Muslimah khususnya menyedari bahawa Sistem Sekular-Kapitalis-Demokrasi yang menjadi tunjang pemerintahan negara tidak pernah memberi penyelesaian tuntas untuk membanterasnya dan ia bakal berterusan selagi tidak diterapkan perundangan Islam.

Artikel berjudul Awas! Feminisme & Kesetaraan Gender Musuh Umat Islam pula cuba mengupas serba sedikit tentang perjuangan golongan feminis ‘Islam’ untuk mengangkat martabat kaum Hawa setaraf dengan kaum Adam. Artikel ini bersama-sama dengan bahagian ke 4 artikel terjemahan bertajuk Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah diharapkan akan dapat menjelaskan kepada Muslimah khususnya bahawa serangan pemikiran oleh puak Kuffar melalui idea-idea kesetaraan gender itu lebih dahsyat impaknya kepada nasib Muslimah yang dianggap sebagai makhluk kelas kedua.

Adalah menjadi harapan kami semoga artikel-artikel di atas menjadi pencetus dan pemangkin kepada kaum Muslimah untuk berusaha mengembalikan sistem Islam dalam kehidupan sehingga pada akhirnya, kesejahteraan diraih bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Wallahu ‘alam bisshawab.
 


Masih adakah keamanan dan kesejahteraan buatmu wanita…??

Saban hari, masyarakat Malaysia dihidangkan dengan pelbagai ‘genre’ kisah jenayah yang kejam dan menggerunkan.  Kes-kes rogol, bunuh, samun, culik dan ragut yang tidak kunjung usai, menghiasi dada-dada akhbar dan kaca televisyen. Salah satu isu panas yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini ialah jenayah berkaitan isu ragut. Awal dekad ini, kes ragut dilaporkan masih terkawal. Walaubagaimanapun, menjelang tahun 2002 pernah dilaporkan bahawa jenayah ragut telah meningkat daripada 14,640 ke 15,798 kes pada 2003 . Perutusan Ketua Polis Negara sempena Peringatan Hari Polis ke 199 pada 25 Mac 2006 menyatakan bahawa jenayah ragut telah mengalami penurunan tertinggi pada tahun 2005 iaitu -16.63%. Ironinya, baru-baru ini, laporan daripada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah pula mendedahkan bahawa jenayah ragut meningkat kepada 99 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu. Kes jenayah yang dulunya dianggap kurang ‘popular’ seperti ragut, samun berkumpulan dan perseorangan tanpa senjata tapi kini menyumbang hampir 31 peratus dari keseluruhan indeks jenayah di Kuala Lumpur sahaja. [UM 16/4/2009]

Hakikatnya, umum mengetahui angka-angka statistik yang dilaporkan belum cukup untuk melegakan kebimbangan masyarakat, apatahlagi meyakinkan kita bahawa negara ini adalah negara yang aman dan selamat didiami. Mana tidaknya, jika dulu, kes-kes jenayah ini masih dikategorikan sebagai terpencil dan hanya melibatkan kehilangan sejumlah kecil wang, tetapi kini peragut seolah-olah telah hilang sifat kemanusiaannya sehingga tergamak mencederakan malah membunuh mangsa!. Kes-kes ini bukanlah kes yang pertama, kedua atau ketiga pernah berlaku di dalam masyarakat. Malah kes-kes seumpama ini sebenarnya telah banyak kali berlaku. Seperti biasa, sikap hangat-hangat tahi ayam yang diamalkan oleh pihak berkuasa sering menjadikan isu seperti ini ‘dilupakan’ setelah sekian waktu. Sudah terhantuk, baru terngadah. Jika bukan kerana desakan dari masyarakat umum atas faktor keselamatan ahli keluarga mereka, isu ini tidak mustahil akan diabaikan begitu saja.

Kita pernah dikejutkan dengan berita kematian Chin Wai Fun, 38, yang koma 18 jam akibat terhantuk pada benda keras ketika bergelut dengan peragut yang merampas beg tangan beliau di Brickfields. Begitu juga, kes kematian seorang kerani akhbar Nanyang Siang Pau, Chong See Cheng, 37 turut berlaku pada tahun yang sama (2004). Kes jenayah ragut yang berakhir dengan kematian turut menimpa mendiang Chang Shu Then, 18 yang ditemui orang awam terbaring kaku di tepi jalan Persisiran Perling Satu, Taman Perling, Johor Bahru pada Ogos 2006, dipercayai mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala. Seorang jurujual wanita yang mati akibat terjatuh dan koma 16 jam kerana diragut di Kompleks Berjaya Megamall menambahkan lagi ketakutan  dalam kalangan masyarakat ketika itu.

Lebih tragis lagi, baru-baru ini negara dikejutkan dengan insiden dua ibu hamil yang terkorban setelah menjadi mangsa jenayah ragut ketika menunggang motosikal. Pada 5 Mei, Jamilah Selamat, 31, yang hamil dua bulan meninggal dunia selepas koma dua hari akibat terjatuh dari motosikal dalam kejadian ragut di Batu Pahat, Johor. Sehari selepas itu, Saripah Mohd. Noor, 34, yang hamil empat bulan meninggal dunia apabila dirempuh kereta setelah diragut ketika menunggang motosikal di Kota Bharu, Kelantan (9/5/2009). Di Pulau Pinang pula dua lelaki bermotosikal di Kampung Besar,  Tasek Gelugor,  Seberang Perai Utara telah menyebabkan kematian seorang nenek berusia 86 tahun yang ditumbuk ketika cuba menyelamatkan anak perempuannya yang berusia 58 tahun dari diragut. Kes-kes terbaru ini mendapat liputan meluas dari pihak media serta menerima maklumbalas yang pelbagai dari segenap lapisan masyarakat. Kerajaan turut didesak untuk mewujudkan akta khusus berkaitan jenayah ragut, dengan harapan dapat membendung masalah ini daripada berleluasa [UM 9/5/2009].

PENYELESAIAN AKAL
Umum sedia maklum, kes-kes seperti ini sering dikaitkan dengan wanita memandangkan lebih daripada 98 peratus kejadian menjadikan wanita sebagai kelompok sasaran. Akibatnya, wanita dihujani kebimbangan untuk keluar dari rumah bagi menunaikan aktiviti-aktiviti harian mereka, termasuklah bekerja. Masalah ini mendapat perhatian dari pelbagai pihak yang cuba untuk mencadangkan pelbagai solusi jangka pendek kepada kelompok ini. Ironinya, ‘mangsa’ adalah pihak pertama yang disongsong ke ‘kandang pesalah’. Sama ada kerana keluar berseorangan, berpakaian kurang sesuai atau akibat tidak menjaga harta peribadi mereka sebaik mungkin.

Maka, timbullah saranan agar para wanita menggunapakai tips-tips keselamatan yang dicadangkan oleh pihak berkuasa seperti berpakaian sesuai agar mudah untuk menyelamatkan diri ketika berada dalam situasi berbahaya, tidak menggunakan beg tangan bertali nipis atau mengelakkan penggunaan beg tangan biasa yang memudahkan mangsa diragut, berjalan di lorong yang bertentangan dengan arus lalulintas, keluar secara berkumpulan atau jika menaiki motosikal, perlu memastikan beg tersebut diletakkan di tempat yang tersembunyi dan tidak mudah dicapai oleh peragut. Isu yang sama turut dibincangkan oleh pihak kerajaan, khasnya melalui Mesyuarat EXCO Puteri UMNO pada Mei lepas di mana salah satu program yang cuba dilaksanakan ialah dengan menggalakkan wanita untuk mendalami ilmu mempertahankan diri untuk memastikan mereka mampu berhadapan dengan situasi kecemasan seperti jenayah ragut ini. [http://www.puteri.net.my/modules.php?name=News&file=print&sid=2418]

Persoalannya kini, haruskah penyelesaian masalah yang kronik seperti jenayah ragut ini dibataskan pada skop individu semata-mata?. Memang benar, mencegah lebih baik dari mengubati. Tetapi, bagaimanakah kaedah pencegahan yang perlu dilakukan? Satu fakta yang sangat jelas jika diperhatikan secara mendalam adalah masyarakat kita saban hari ‘disuapkan’ dengan anggapan bahawa masalah-masalah jenayah berlaku kerana kesalahan individu (baca; mangsa), keluarga atau masyarakat semata-mata, sedangkan pihak kerajaan pula adalah pihak yang telah ‘sedaya upaya’ menjaga keselamatan masyarakat dengan mengeluarkan statistik-statistik terbaru bagi membuktikan keberkesanan dan kesungguhan pihak berkuasa membasmi masalah-masalah jenayah hari ini.

Maka, tidak hairanlah jika kes-kes jenayah yang membawa kepada kematian sering berakhir dengan adegan ‘tuding menuding jari’ sesama sendiri di kalangan manusia-manusia penggubal hukum di dewan parlimen sana. Akhirnya, penyelesaiannya dikembalikan kepada individu atau masyarakat dan mereka berlepas tangan begitu saja!.. Pandai-pandailah kalian (baca: rakyat) menjaga diri sendiri!. Formula yang sama turut digunakan ketika mereka (pihak berkuasa dan kerajaan) menyelesaikan masalah kes rogol, culik dan bunuh yang pernah menggegarkan negara beberapa tahun lepas. Perhatikan saja kes Nurin Jazlin, si cilik kecil yang menjadi mangsa kekejaman penjenayah yang masih gagal dikesan sehingga ke hari ini. Kesalahan akan dikembalikan kepada individu, ibubapa, keluarga atau guru sekolah. Di mana pula peranan pemimpin dan pihak berkuasa dalam menangani masalah ini?

Dari segi perundangan pula, ternyata undang-undang yang dicipta, digubal dan diterapkan hasil dari akal manusia semata-mata tidak akan mampu menyelesaikan masalah yang berlaku selama ini. Undang-undang ini bukan saja gagal mencegah kes-kes jenayah dari terus berleluasa, malah sedikit pun tidak menggetarkan dan mengecutkan hati para penjenayah ini. Ini malah menyebabkan mereka tidak teragak-agak untuk bertindak nekad mencederakan dan membunuh mangsa sekiranya kehendak mereka tidak dituruti. Kenyataan ini diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang yang berkata, sudah sampai waktunya kerajaan menggunakan pendekatan perundangan yang serius bagi membendung jenayah ragut. Menurutnya, sebelum ini, peragut akan didakwa di bawah kesalahan merompak mengikut Seksyen 390 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau kedua-duanya. ”Sekiranya melibatkan kematian mereka akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan sekiranya bersalah akan dihukum mati”. Jadi, tiada pendekatan perundangan khusus untuk jenayah ragut dan ia perlu diwujudkan untuk memberikan penerangan jelas mengenai kesalahan dan bentuk hukuman akibat ragut,” katanya. [UM 7 Mei 2009].

Inilah padah dari sistem Sekular Kapitalisme yang menjadikan akal sebagai satu-satunya timbangan dalam menentukan hukum yang patut diterapkan dalam masyarakat. Perlembagaan Kufur yang lahir dari rahim peradaban Barat yang ditinggalkan penjajah barat masih dipuja-puja. Realiti pula dijadikan ‘indikator’  untuk menilai sama ada undang-undang akal buatan manusia itu sesuai atau tidak untuk tetap diimplementasikan. Jika keadaan semakin meruncing, undang-undang baru pula akan digubal, akta dipinda, hukuman ditukar ganti. Hakikatnya, dewan parlimen yang bersidang saban tahun dan memperdebatkan isu ini tidak pernah mampu menyelesaikan permasalahan ini dengan sekadar retorik belaka. Hasilnya, pi mai, pi mai tang tu juga!

Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita perlu kembali
Dari sini, kita perlu memahami bahawa setiap pihak ditaklifkan oleh Allah dengan kewajiban masing-masing. Walaupun ibu bapa, sekolah, jiran-jiran dan masyarakat berperanan untuk mencegah dan menghapuskan jenayah ini, tetapi kita perlu sedar setakat manakah taklif dan ‘kuasa’ yang ada pada mereka? Jadi soalnya sekarang ialah, apakah lagi daya seseorang itu jika ia telah melakukan sebaiknya, tetapi jenayah tetap berlaku dalam masyarakat? Jawabnya, kita hanya melakukan apa yang Allah taklifkan kepada kita dan kita telah lepas dari dosa jika berbuat demikian. Jadi, jika berlaku lagi maksiat, maka Negara (kerajaan)lah pula yang sewajibnya memainkan peranan untuk menghukum pelaku maksiat tersebut. Di sinilah tugas Negara. Peranan mereka adalah untuk mencegah maksiat dengan menerapkan sistem Islam (bukan sistem akal), dan jika maksiat tetap berlaku, maka mereka wajib pula menghukum mengikut hukum Islam (uqubat), bukan hukum akal. Malangnya, inilah apa yang tidak dilakukan oleh kerajaan.

Dan hendaklah engkau memutuskan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, bahawasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.” [TMQ Al- Maidah:49].

Berdasarkan ayat di atas, kita sebagai hamba yang diciptakan olehNya wajib juga mengatur segala paksi hidup kita berlandaskan kepada aturan dan sistemNya. Sistem Islam yang telah disampaikan oleh insan mulia Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Salam melalui Al-Quran dan sunnahnya. Sistem ini telah dilegalisasikan selama lebih 14 abad; bermula sejak berdirinya Daulah Islam pertama di Madinah dan disambung oleh generasi sesudahnya melalui Daulah Khilafah. Sejarah menyaksikan sistem ini telah melalui satu fasa yang cemerlang dalam ‘menterjemahkan’ Islam bukan sekadar pengatur kepada hubungan manusia dengan Al-Khaliq (berkaitan dengan hal akidah dan ibadah), malah mengatur juga hubungan manusia dengan dirinya sendiri dan dengan manusia sesamanya. Sistem kehidupan Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan, termasuklah politik, sosial, pendidikan, uqubat, ekonomi, dan politik luar negeri.

Berbalik kepada kes jenayah ragut, sistem perundangan dan hukuman dalam Islam menawarkan kaedah penyelesaian yang bersifat penebus dan pencegah. Kes ragut tidak akan dihukum seperti pencuri ‘biasa’ yang dikenakan hukuman hudud (jika cukup syarat) atau hukuman ta’zir (jika tidak cukup syarmutuskanat). Ragut dikategorikan sebagai qutha’i ath-thurq (pencuri/perompak jalanan). Firman Allah Subhanahu Wa Taala yang berkaitan dengan kes  diatas adalah seperti berikut: “Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan berbuat kerosakkan dimuka bumi, mereka hanya akan dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka secara bersilangan, atau mereka akan dibuang negeri.” [TMQ Al Maidah:33].

Imam Syafi’ie rahimahullah meriwayatkan dalam musnadnya, dari Ibnu Abbas yang berkaitan dengan masalah qutha’i ath-thurq (pencuri/perompak jalanan) maksudnya: “Jika mereka membunuh dan merampas harta benda mereka akan dihukum bunuh dan disalib. Jika mereka membunuh tetapi tidak merampas harta, mereka akan dihukum bunuh tetapi tidak disalib. Jika mereka mengambil harta benda tanpa membunuh mereka akan dihukum potong tangan dan kaki secara bersilangan. Dan jika mereka sekadar menakut-nakutkan orang dijalanan tanpa merampas harta benda maka usirlah (hukuman buang negeri).

Wahai Muslimat yang dirahmati Allah,
Bagi Negara (pemerintah), mereka adalah qiyan tanfizi (institusi pelaksana) yang wajib menerapkan hukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Mereka wajib menjaga dan memelihara rakyat, sesuai dengan kehendak Allah Subhanahu wa Taala, bukan mengikut kehendak dan kepentingan sendiri. Jika berlaku apa jua kemaksiatan (pelanggaran hukum Allah) dalam Negara, maka Negara wajib menyelesaikannya mengikut hukum syara’. Ini adalah kerana taklif hukum yang Allah letakkan ke atas Negara adalah memerintah dengan hukum-hakam Allah, bukannya hukum British atau hukum akal sendiri! Jadi, usaha kerajaan dalam meletakkan bebanan kesalahan kepada pihak lain ternyata merupakan suatu ‘escapism’ dari taklif hukum yang Allah telah letakkan di bahu mereka. Setiap kali berlaku kekecohan, kerajaan tidak pernah mengaku salah, namun dalam masa yang sama cuba mencadangkan langkah-langkah penyelesaian. Jika adapun ‘cadangan’ (bukan pengakuan) oleh kerajaan, ia adalah pengulangan-pengulangan cadangan yang membosankan seperti, ‘perkasakan institusi keluarga, pulihkan Rukun Tetangga, pasang CCTV, tebas semak-samun, beratkan lagi hukuman’ dan pelbagai cadangan dangkal lainnya. Persoalannya, apakah ini semua merupakan penyelesaian Islam, penyelesaian yang datangnya dari al-Quran dan Sunnah? Adakah jika diberatkan lagi hukuman bermaksud kerajaan telah terlepas dari taklif yang telah Allah letakkan? Contohnya, jika hukuman maksima bagi penzina sekarang ialah denda RM5,000, 3 tahun penjara dan 6 kali sebatan, diberatkan kepada RM50,000, 10 tahun penjara dan 50 kali rotan? Adakah ini satu cadangan yang sesuai dan lebih baik? Yang lebih penting, adakah ini hukum Allah? Wahai para pemimpin! Ingatlah bahawa kekuasaan yang Allah letakkan atas bahu kalian adalah satu amanah. Amanah untuk apa? Amanah untuk menjalankan hukum Allah, bukan hukum sendiri

Kesimpulan
Sekiranya umat mahu keselamatan dan keamanan mereka terjamin dengan utuh dan berpanjangan sentosanya, umat perlu bangkit dari pemikiran dan sistem yang ketika ini umpama hidup dalam sistem dan zaman ‘jahilliyyah’ versi moden. Keamanan dan keselamatan kita tiada jaminan sepadu. Marilah umat.. kita bangunkan kembali satu era yang amat gemilang, terbilang dan cemerlang dengan mengembalikan serta melaksanakan Islam sebagai agama malah sebagai satu sistem yang mengatur segala aspek kehidupan melalui Sistem Khilafah yang agung, Sistem yang telah diwariskan oleh Junjungan Mulia kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Salam.
Sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Salam:
Islam itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi darinya...” [Muttafaqun Alaih]

Jadi, apa yang kita tunggu lagi wahai umat… Kembalilah.. Kembalilah kita kepada Islam yang mulia. Hanya itu satu-satunya penyelesaian ampuh yang kita miliki….
 


Awas! Feminisme & Kesetaraan Gender Musuh Umat Islam

Tak semena-mena nama Sisters In Islam (SIS), sebuah badan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1990 hasil ilham Dr Amina Wadud berkumandang di media arus perdana tanahair. Segalanya bermula pada 7hb Jun 2009 dalam Muktamar PAS 2009 ke-55 di Stadium Melawati Shah Alam apabila usul PAS Shah Alam diterima tanpa bahas. Usul itu mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal, seterusnya mengharamkan SIS sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya. Laporan www.malaysiakini.com pada 12 Jun 2009 menyebut bahawa Mutfi Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria juga anggota MFK menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menyiasat kenyataan ganjil SIS. Antaranya berhubung isu poligami dan pembahagian harta pusaka yang membelakangkan ayat al-Quran. Akhbar Berita Harian pada tarikh yang sama memetik bahawa “usul itu mengundang pelbagai persepsi daripada masyarakat termasuk Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang kelmarin menyertai kira-kira 322 NGO dan individu membantah gesaan PAS supaya SIS diharamkan” [Berita Harian, 12 Jun 2009].

Adalah penting bagi umat Islam melihat senario ini-bukan dari apa isu panas yang dimainkan oleh media serta respon ‘suam-suam kuku’ yang akan sejuk setelah isu tidak lagi diperkatakan. Sebaliknya melihat dengan jelas – apakah perjuangan SIS yang mesti dibongkar kebatilannya dan bukan kerana ia menjadi mainan politik pihak pro kerajaan dan parti pembangkang. Juga, adakah pengharaman NGO yang berdaftar atas nama SIS Forum Berhad, sekiranya dilaksanakan akan dapat membendung idea feminisme ke akar umbi?

Sepintas lalu, apabila dilihat tujuan penubuhan SIS, agenda mereka adalah menegakkan prinsip keadilan, kebebasan dan maruah manusia sama ada lelaki atau wanita, khususnya hak wanita Islam. NGO “Islam” yang dipelopori seorang aktivis feminis yang  memeranjatkan dunia kerana mengimami solat Jumaat di sebuah gereja di New York pada 18hb Mac 2005 ini begitu komited dalam memperjuangkan Musawah (kesetaraan/kesaksamaan). Menurut Kerangka Kerja Tindakan Musawah di laman web rasminya iaitu www.musawah.org, Musawah adalah satu gerakan global bagi menuntut kesaksamaan dan keadilan dalam keluarga Islam. Ia mengisytiharkan bahawa kesaksamaan dalam keluarga sangat diperlukan memandangkan banyak aspek dan amalan dalam Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) masa kini tidak adil dan tidak berlandaskan realiti kehidupan individu serta pengalaman keluarga Islam. Secara ringkasnya, mereka beranggapan bahawa kezaliman dan ketidakadilan yang menimpa wanita Islam akan dapat diselesaikan jika wujud kesaksamaan atau kesetaraan (musawah/equality) antara gender. Jadi untuk mewujudkan kesetaraan gender ini, mereka memperjuangkan feminisme. Justeru, sebelum kita melihat dalam perspektif syarak tentang isu kesaksamaan atau kesetaraan yang diperjuangkan oleh SIS ini, marilah kita halusi dahulu apakah itu feminisme.

Apa itu Feminisme?
Menurut Wikipedia, feminisme ialah himpunan teori sosial, gerakan politik, dan falsafah moral yang sebahagian besarnya didorong oleh atau berkenaan dengan pembebasan perempuan daripada pengetepian oleh kaum lelaki. Dalam istilah yang mudah, feminisme merupakan kepercayaan kepada kesamaan sosial, politik, dan ekonomi antara kedua-dua jantina, serta kepada sebuah gerakan yang dikendalikan berdasarkan keyakinan bahawa jantina harus tidak merupakan faktor penentu yang membentuk identiti sosial atau hak-hak sosiopolitik dan ekonomi seseorang [http://ms.wikipedia.org/wiki/Feminisme]. Kamla Bashin dan Nighat Said Khan dalam “Persoalan Pokok Mengenai Feminisme dan Relevansinya” (1995) mengatakan bahawa feminisme adalah “Suatu kesedaran akan penindasan dan pemerasan terhadap perempuan dalam masyarakat, di tempat kerja, dan dalam keluarga, serta tindakan sedar oleh perempuan mahupun lelaki untuk mengubah keadaan tersebut.”

Apa itu Feminisme Islam?
Menurut Yunahar Ilyas dalam “Feminisme dalam Kajian Tafsir Al Qur’an Klasik dan Kontemporer” (1977), selain mesti memenuhi kriteria tersebut iaitu memiliki kesedaran akan ketidakadilan gender (gender inequalities), yang menjadi “benang merah” pengikat semua fahaman feminisme, dia mestilah beragama Islam dan mempersoalkan ajaran Islam. Menurut laman web www.sistersinislam.org.my, Sisters In Islam (SIS) yang mendakwa mereka sebagai pergerakan feminisme Islam berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keIslaman, khususnya prinsip keadilan (al-adala), kesetaraan (al-musawah), kebebasan (al-hurriya), kemartabatan (al-karama) dan kasih sayang antara insan (mu’asyarah bil’ruf). Ini adalah kerana di dalam masyarakat, lelaki dan wanita mempunyai tanggungjawab yang sama dan saling bertanggungjawab. Feminis Islam seperti SIS menganggap amat penting menegaskan bahawa perjuangan mereka adalah untuk meraih keadilan, kesetaraan, kebebasan, kemartabatan dan kasih sayang antara insan kerana berpendapat bahawa terjadinya ketidakadilan gender adalah hasil dari anggapan-anggapan bersifat teologi bahawa perempuan memang diciptakan lebih rendah darjatnya daripada lelaki kerana golongan Hawa itu tidak boleh terlibat dalam aspek pemerintahan dan kekuasaan dan hanya membatasi aktivitinya di rumah dan di dapur. Menurut Ali Asghar Engineer yang juga seorang feminis Muslim dalam “Hak-Hak Perempuan dalam Islam” (1994), tanggapan-tanggapan ini iaitu wanita diciptakan dengan darjat lebih rendah adalah hasil penafsiran kaum lelaki terhadap Al-Quran untuk mengekalkan dominasi kaum Adam ke atas kaum Hawa. Dia kemudiannya mengajukan konsep kesetaraan sebagai jawapan kepada masalah kesetaraan antara lelaki dan wanita dalam Al Quran yang mesti memenuhi dua syarat:
i)    Dalam pengertian umum, konsep kesetaraan hendaklah ada penerimaan martabat kedua jenis kelamin dalam ukuran yang setara.
ii)    Manusia mesti mengetahui bahawa laki-laki dan perempuan mempunyai hak-hak yang setara dalam bidang sosial, ekonomi dan politik, seperti kesetaraan hak untuk mengadakan akad nikah atau memutuskannya, kesetaraan hak untuk memiliki atau mengatur harta miliknya tanpa campur tangan pihak lain, kesetaraan hak untuk memilih atau menjalani cara hidup, dan kesetaraan hak dalam tanggungjawab dan kebebasan.

Memetik kata-kata Sheikh Taqiuddin an-Nabhani dalam buku Nizamul Ijtima’ie fil Islam (Sistem Sosial dalam Islam), dapat disimpulkan secara ringkasnya bahawa idea feminis Muslim ini adalah menjadikan kesetaraan (al-musawah/equality) sebagai batu loncatan untuk meraih hak-hak perempuan. Dengan kata lain, idea dasar feminisme itu adalah kesetaraan kedudukan laki-laki dan perempuan. Sementara idea cabang yang dibangun di atas dasar itu ialah kesetaraan hak-hak antara laki-laki dan perempuan. 
Berdasarkan tanggapan bahawa prinsip keadilan dan kesaksamaan yang dipromosikan oleh Al-Quran tidak terlaksana disebabkan para mufassirin yang terdiri daripada lelaki telah menghasilkan tafsir al-Qur’an yang mendukung doktrin yang mengangkat martabat kaum lelaki dan menjustifikasi superiority kaum lelaki, feminis Muslim berusaha meraih kesetaraan yang diimpikan itu dengan membatalkan dan menggantikan idea dan hukum Islam yang mereka anggap tidak sesuai dengan konsep kesetaraan hak antara lelaki dan wanita. Akan tetapi mereka tidak menyebutnya sebagai ‘penggantian’ atau ‘pembatalan’ hukum Islam sebaliknya menggunakan perkataan ‘penafsiran semula’, ‘rekonstruksi syariah,’ ‘re-reading the sacred text’ dsb seolah-olah hukum-hakam Islam itu keliru atau ditafsirkan secara keliru sehingga perlu diluruskan oleh feminis Islam. Para mufassir atau mujtahid yang mengistinbath hukum-hukum yang didakwa mengekalkan ketidaksetaraan gender tersebut dianggap berniat untuk mengekalkan dominasi lelaki dan penindasan ke atas wanita. Bahkan, ada yang bertindak lebih jauh dari itu dengan membuat kesimpulan bahawa hukum-hukum dalam al-Qur’an memberi kelebihan kepada kaum lelaki, terutamanya dalam masalah harta pusaka dan perwarisan, pemerintahan dan kekeluargaan, semata-mata kerana ingin mengambil hati dan mendapatkan sokongan daripada masyarakat Arab ketika itu yang mengamalkan patriarki.

Kedudukan Wanita dan Lelaki di Hadapan Syariat
Islam datang dengan membawa taklif syarak yang dibebankan ke atas lelaki dan wanita berupa hak, tanggungjawab dan kewajipan yang boleh dibahagi kepada 3 domain utama:
i)    Domain khas lelaki.  Sang Pencipta telah menetapkan hukum-hakam yang khusus untuk lelaki. Antaranya lelaki adalah pemimpin dalam rumah tangga melalui Surah An-Nisa (4): 34 – “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita”. Para ulama dan mufassirin telah menafsirkan perkataan qawamah dengan tafsiran yang berbeza: al-Tabari menafsirkan kalimat tersebut sebagai pelaksana tugas (nafizi al-amr) dan pelindung (protectors).[Tafsir at-Tabari, 8:290] Ibn Kathir mengatakan qawamah bermakna lelaki adalah ketua dan penguasa rumah tangga kerana lelaki lebih baik dari wanita [Tafsir Ibn Kathir, 2:292]. Selain dari aspek qawamah, Islam juga menetapkan bahawa hanya kaum lelaki boleh terlibat dalam aspek pemerintahan (ruling) manakala wanita dilarang menjadi pemimpin tertinggi negara berdasarkan hadis Nabi “Tidak akan beruntung satu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada perempuan.” [HR Bukhari, An-Nasa’i, dan Ahmad melalui Abu Bakrah] termasuk menjadi Qadhi Mazalim iaitu qadhi dalam Mahkamah Mazalim yang merupakan satu-satunya mahkamah yang dapat bertindak untuk mengadili kesalahan dan penyalahgunaan kuasa. Lelaki juga boleh menikahi maksimum empat wanita dalam satu masa, menjadi imam dalam solat, menjadi wali dalam pernikahan, memiliki hak menjatuhkan talak dalam perceraian berdasarkan maksud firman Allah “..kerana Allah telah memberikan kelebihan kepada sebahagian mereka atas sebahagian yang lain” [TMQ an-Nisa (4):3]. Lelaki juga wajib memberi mahar dan nafkah dalam perkahwinan sebagaimana firmanNya “…kerana mereka telah memberikan nafkah dari harta-harta mereka [TMQ an-Nisa (4):3]

ii)    Domain khas wanita. Allah menetapkan hukum-hakam yang spesifik kepada wanita seperti hukum-hakam tentang kelahiran, penyusuan, penjagaan anak (hadhanah). Kesaksian satu orang wanita juga diterima dalam urusan yang tiada penglibatan kaum lelaki seperti jenayah di tempat permandian wanita, isu keperawanan, janda atau persusuan. Allah juga menetapkan hak pewarisan harta separuh dari yang diterima oleh saudara lelaki dalam keadaan tertentu, manakala nafkah hidupnya disara oleh saudara lelaki sungguhpun saudara lelaki itu fakir dan wanita itu mampu bekerja. Wanita juga wajib mengenakan pakaian tertentu iaitu khimar (tudung), memakai jilbab di tempat umum serta dilarang bertabarruj.

iii)    Domain umum. Hukum-hakam berbentuk umum ini dipertanggungjawabkan kepada lelaki dan wanita atas kapasiti mereka sebagai manusia. Dalam hal ini, kita tidak menemukan perbezaan taklif hukum. Sebagai contoh, tidak ada diskriminasi kepada lelaki dan wanita dalam menyeru manusia kepada keimanan, mengemban dakwah, menuntut ilmu dan mengajarkannya. Dalam aspek ibadah, Islam menetapkan bahawa solat, puasa, mengerjakan haji dan membayar zakat sebagai beban yang perlu dipikul oleh lelaki dan wanita. Begitu juga dengan aspek jual beli, pekerjaan (ijarah), perwakilan (wakalah), pertanggungjawaban (kafalah) dan hukuman (uqubat) seperti hudud, jinayah, takzir ke atas kedua jantina atas pelanggaran hukum Allah. “Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang Muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut [nama] Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” [TMQ al-Ahzab (33):35].

Kesetaraan Gender menurut Islam

Hukum-hakam yang ditetapkan Allah Subhanahu wa Taala selaku As-Syari’ iaitu Sang Pembuat Hukum  adalah untuk mengatur aktiviti manusia sama ada lelaki atau wanita sesuai dengan tujuan penciptaan keduanya iaitu untuk beribadat kepada Sang Pencipta Allah Azza wa Jalla.“Barangsiapa yang mengerjakan amal-amal soleh, sama ada lelaki atau wanita sedang ia orang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak akan dianiaya walau sedikit pun” [TMQ an-Nisa (4):124]. Taklif syarak yang dibebankan di atas batu jemala manusia adalah dalam rangka untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku antara kedua jantina ini tanpa melihat sama ada ia masalah lelaki atau masalah wanita kerana penyelesaian masalah diusahakan oleh manusia untuk aktiviti atau peristiwa yang terjadi, bukan semata-mata demi kepentingan lelaki atau wanita sahaja. Oleh sebab itu, persoalan tentang wujud aspek kesetaraan gender antara lelaki dan wanita tidak pernah ditemukan dalam wacana syariat Islam.

Apa yang ada ialah hukum syarak tentang peristiwa yang terjadi yang dihadapi oleh manusia sama ada lelaki atau wanita. Justeru, isu kesetaraan gender yang menjadi salah satu ‘perjuangan’ golongan feminis bukanlah satu perkara yang perlu dibahas atau didiskusikan dan bukan topik pembahasan dalam wacana sistem interaksi atau sistem pergaulan antara lelaki dan wanita (an-nizam al-ijtimaie) kerana kedudukan lelaki atau wanita yang dianggap ‘sama’ atau ‘setara’ tidak mempengaruhi kehidupan sosial yang perlu diberi perhatian. Ia tidak pernah berlaku dalam kehidupan Islam sebaliknya ia muncul dan lahir di tengah masyarakat Barat. Ia muncul dalam kalangan Muslim yang telah ‘terbius’ dek pemikiran Barat yang secara de facto telah ‘merenggut’ hak-hak asasi wanita selaku manusia. 

Hakikat ini menyebabkan masyarakat Barat menuntut ‘hak-hak’ ini dikembalikan sekali gus menjadikan tuntutan itu sebagai wacana kesetaraan gender untuk mendapatkan hak-hak mereka. Islam mempunyai sistemnya sendiri untuk menjamin keutuhan dan ketinggian komuniti dalam masyarakat dengan menetapkan kepada kaum wanita dan lelaki hak-hak serta kewajipan-kewajipannya. Perbezaan taklif tidak menjadi sesuatu jantina itu lebih ‘superior’ dari jantina yang lain.“Bagi kaum lelaki ada bahagian dari apa yang diusahakannya. Bagi kaum wanita pun ada bahagian dari apa yang diusahakannya [TMQ an-Nisa (4):32]. Wanita diberi tugas khas untuk membesarkan anak (child bearing) kerana keistimewaan dan keunikan kaum Hawa ini yang tidak dimiliki oleh kaum Adam dari segi biologi, mental dan emosi. Kualiti dan sifat penyayang dan penyabar ini sangat penting dalam membesarkan anak. Antara hikmah perbezaan antara dua jantina ini akan menghasilkan kerjasama, kesempurnaan dan keharmonian. Sekiranya kedua jantina ini memiliki keistimewaan yang sama, keadaan ini akan menghilangkan perasaan saling memerlukan menyebabkan kerjasama dan keharmonian sukar dijalinkan. Pada masa yang sama, ketika Islam menetapkan lelaki selaku pemimpin rumah tangga dan wanita sebagai rabbatul bayt iaitu pengurus rumah tangga, ia sama sekali tidak bertujuan untuk merendahkan martabat wanita. Falsafah kepimpinan dalam Islam tidak dikaitkan dengan kemuliaan atau kerendahan, sebaliknya kepimpinan adalah tanggungjawab berat yang bakal dihisab di Akhirat kelak. Menurut Sayid Qutb, kepimpinan dalam sebuah keluarga adalah sangat penting seperti dalam organisasi atau institusi demi meraih kejayaan di dunia dan akhirat. Tanpa kepimpinan, tidak wujud bidang kuasa dan tidak ada tanggungjawab.

Dalam hal ini, ulama-ulama bersepakat bahawa seorang suami bertanggungjawab memastikan keluarga menjalankan seluruh perintah dan larangan-Nya. Seorang isteri juga bertanggungjawab mentaati suaminya selama tidak bercanggah dengan hukum syarak. Justeru, sangat penting ditegaskan bahawa kepimpinan lelaki hendaklah atas dasar kasih sayang dan kerjasama, bukan kuku besi, sebagaimana pesanan Rasululllah Sallalahu Alaihi Wa Salam sewaktu menunaikan Haji Wida’ pada tahun 10 Hijrah iaitu: “…Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah lemah dan pembantu kamu yang setia….”

Khatimah
Isu kesetaraan gender yang diperjuangkan oleh golongan feminis lahir disebabkan pejuangnya tidak memahami bahawa manusia lahir dengan ciri-ciri maskulin dan feminin kerana masing-masing lelaki dan wanita memiliki fungsi dan peranan yang berbeza. Perbezaan yang wujud antara lelaki dan wanita bukan bermakna ketidakadilan kerana ia diciptakan oleh Sang Pencipta semata-mata demi kemaslahatan, kelestarian dan kesucian hidup manusia dengan cara saling melengkapi dan bekerjasama sesuai dengan aturan-Nya. Munculnya cara berfikir sedemikian adalah pengaruh prinsip ‘individualistik’ yang amat sinonim dengan pemikiran demokrasi yang beranggapan bahawa masyarakat terdiri daripada individu-individu yang mana lelaki dan wanita di tempatkan di posisi yang berbeza. Ketika timbul permasalahan yang berkaitan dengan wanita seperti diskriminasi dan penindasan, ia dipandang secara sebahagian iaitu ia adalah masalah dalaman wanita yang mesti diselesaikan oleh wanita sahaja. Hakikatnya, kezaliman seperti penindasan, diskriminasi dan kekerasan turut dialami oleh kaum lelaki menjadikannya satu permasalahan dalam masyarakat, bukan permasalahan kaum wanita sahaja. Justeru penyelesaian apa jua permasalahan hendaklah diambil secara total iaitu dengan hukum-hukum syarak yang diturunkan Allah untuk mengatur aktiviti manusia. Selain dari itu, sebagai umat Islam, amatlah penting bagi kita untuk menghakimi suatu kelompok atau gerakan berdasarkan inti pati perjuangannya – adakah sesuai atau bertentangan dengan hukum syarak, bukan berdasarkan nama atau label semata-mata. Pada akhirnya, amat penting memahami bahawa isu kesetaraan gender yang diperjuangkan oleh feminis Islam di dalam dan di luar negara tidak pernah wujud dalam Islam kerana perbezaan taklif syarak antara kedua jantina tidak menjadikan suatu jantina atau ‘gender’ itu lebih baik atau lebih ‘superior’. “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal [TMQ al-Hujurat (49):13]. Wallahu’alam bisshawab.
 


Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah (Bahagian 4)

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu serta Pelbagai Organisasinya Berkhidmat Untuk Amerika Bagi Memerangi Wanita Muslimah…

Amerika Syarikat sebagai ketua Kafir Barat mendokong idea kebebasan wanita muslimah daripada segala ikatannya, persamaan haknya dengan lelaki dengan segenap kekuatan dan pengaruh, dan dengan semua cara berupa insentif dan intimidasi atas nama memelihara kebebasan dan demokrasi. Mereka menggunakan dua institusi yang mempunyai peranan masing-masing dalam  urusan wanita Muslimah. Kedua-dua institusi ini adalah:
  * Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) dengan berbagai-bagai organisasinya.
  * Amerika Syarikat sendiri sebagai pembawa panji globalisasi dan demokrasi.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB): Perhatiannya dalam isu-isu wanita muslimah zaman moden dan dewasa ini nampak jelas sejak pertengahan abad yang lalu. Perhimpunan Agung PBB telah menganjurkan beberapa seminar yang berkaitan dengan wanita dan mengeluarkan beberapa ketetapan dan deklarasi antarabangsa seperti (Ketetapan Khas Mengenai Hak-hak Politik Bagi Wanita Tahun 1952). (Dan Deklarasi Khas Tentang Penghapusan Diskriminisasi Terhadap Wanita Tahun 1967). (Deklarasi Tehran Mengenai Hak-hak Wanita Tahun 1968). Usaha berterusan telah dilakukan untuk mengadakan seminar antarabangsa bagi tujuan tersebut. Seminar pertama adalah pada tahun 1975 di Mexico yang dinamakan (Tahun Wanita Sedunia) merupakan seminar yang menyerukan persamaan hak, pembangunan dan perdamaian. Setelah itu seminar Copenhagen bagi wanita tahun 1980, seminar Nairobi pada tahun 1985, kemudian seminar keempat yang ditujukan untuk wanita, iaitu seminar Pekin yang diadakan pada tahun 1995. Ia diikuti oleh seminar Kaherah dan kemudiannya seminar Oman. Semua seminar ini telah bersepakat di dalam beberapa perkara utama berkaitan wanita iaitu:

Pertama: Kerana ia mengiktiraf agama sebagai salah satu bentuk sikap berat sebelah kepada lelaki berbanding wanita dan menyerukan penolakan kepada agama.

Kedua: Kerana ia melakarkan untuk wanita Muslimah gaya hidup wanita Barat yang sepatutnya ia lalui supaya ia bebas daripada berat sebelah agama dan menikmati kebebasan dan persamaan mutlak dengan kaum lelaki.

Salah satu cadangan adalah kepemimpinan daripada konferensi ini ditaja oleh isteri raja-raja dan presiden dari negara masing-masing. Ia bertujuan untuk menampakkan keseriusan kepada perkara yang sedang dikaji dan lebih jauh lagi melaksanakan keputusan-keputusannya kerana mereka ini dekat dengan para pembuat keputusan.

Daripada seminar-seminar ini muncul pula seminar peringkat nasional yang membincangkan topik-topik khusus mengenai wanita seperti: wanita dan media, wanita dan pendidikan, wanita dan pembangunan dan sebagainya. Semua itu adalah topik-topik yang dirancang untuk menyesatkan wanita, khususnya wanita Muslimah untuk mengambil tamadun barat yang menyerukan kepada persamaan mutlak antara kedua-dua jantina ini dan kepada kebebasan seksual dan menghalalkan pengguguran. Istilah “gender” yang dimunculkan dalam seminar Pekin tiada lain merupakan seruan yang jelas kepada hubungan sesama jenis. Banyak usaha telah dilakukan untuk menyebarkan pemikiran ini di negara umat Islam dengan pelbagai cara. Ia adalah untuk memaksa masyarakat untuk menerima hubungan sesama jenis dan tidak menganggap mereka bersalah. Inilah yang diterjemahkan ke dalam banyak undang-undang negara Barat.

Sementara organisasi di bawah payung PBB telah memainkan peranan penting dalam bidang ini. Tabung Pembangunan Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFEM) telah bekerja sama dengan organisasi wanita di beberapa negara Arab dengan mengadakan bengkel untuk memperkenalkan kepada para peserta lelaki dan wanita dengan konsep “gender”, dan memasukkannya ke lembaga/yayasan kerajaan dan bukan kerajaan dengan pelbagai cara yang meningkatkan percampuran antara kedua-dua jantina ini dan mempamerkan kecantikan wanita serta menelanjangkannya dan menghinakannya dengan keterlibatannya dengan perbuatan keji. Apa yang dimaksudkan dengan “gender” adalah persamaan mutlak antara lelaki dan wanita dan mengenepikan semua perbezaan fizikal antara kedua-duanya sehingga ke aspek biologi yang ada pada wanita, seperti kehamilan dan penyusuan.

Demikian juga organisasi Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) telah memilih untuk mengemukakan isu bahaya perkahwinan usia muda – yang merupakan antara pesanan seminar tersebut – untuk mendesak golongan muda supaya enggan berkahwin awal, mengehadkan kelahiran, memakan pil pencegah kehamilan, membolehkan pengguguran dan seterusnya, yang membawa kepada meningkatnya usia perkahwinan di kebanyakan negara. Banyak pusat yang ditaja oleh organisasi asing secara sukarela telah ditubuhkan dengan mengagihkan pil pencegah kehamilan untuk para remaja dan mereka yang telah berkahwin secara percuma. Kempen kesedaran mengenai kelahiran berfungsi untuk menyeru kepada pembatasan dan pengurangan kelahiran. Demikian juga Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia serta organisasi Amnesti antarabangsa mempunyai sumbangan masing-masing dalam hal-ehwal wanita untuk menggalakkan amalan tersebut. Merekalah yang mengelolakan pembiayaan kebanyakan seminar dan ketetapan serta pusat-pusat pemulihan para penzina dan memelihara anak-anak zina. Usaha-usaha yang digembelingkan dan bantuan kewangan yang diberikan untuk perkara ini amat banyak.

Amerika Syarikat: Telah mengeksploitasi peristiwa 11 September 2001, dan reaksi seterusnya sebagai alasan untuk melaksanakan perubahan-perubahan besar daripada aspek ketenteraan, politik serta ekonomi dalam negara Islam khususnya negara Arab dengan alasan memerangi keganasan. Tidak cukup hanya dengan bidang tersebut justeru ditambah dengan satu lagi bidang yang penting, iaitu yang berkaitan dengan wanita. Maka ditubuhkan pejabat khas dalam Kementerian Luar dan dilantik kepimpinan utamanya para koordinator bagi menangani isu-isu wanita sedunia. Aktivitinya dimulakan dengan lawatan ke negara-negara Islam untuk menyampaikan ucapan. Pertama sekali adalah ucapan yang disampaikan di Istanbul. Di sana mereka menetapkan tujuan-tujuan yang dilontarkan oleh Amerika Syarikat dan berusaha untuk merealisasikannya di negara kaum Muslimin, iaitu:

o    Mengemukakan konsep utama mengenai hak wanita dan membolehkan wanita untuk menyertai aktiviti politik.
o    Mendorong wanita untuk sentiasa menuntut kebebasan peribadinya yang diperakui oleh sistem kapitalis.
o    Membentuk kerjasama dan perjanjian dengan kerajaan lain dan yayasan antarabangsa serta organisasi bukan kerajaan untuk mengetahui apa yang telah dilakukan oleh mereka dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan wanita untuk mengambil manfaat daripadanya.

Di samping penjelasannya terhadap tujuan-tujuan tersebut program kerja juga telah ditetapkan, dan mengehadkan cara-cara untuk melaksanakan tujuan-tujuan ini dan menyebutkan bahawa kerajaannya telah melakukan pemantauan untuk tujuan ini dengan peruntukan sebanyak 29 juta dolar.

Antara “keprihatinan” Amerika mengenai wanita Muslimah menurut ucapan wakil penasihat keselamatan negara (dalam pentadbiran Bush): “Sesungguhnya presiden Bush menegaskan semula pendirian Amerika Syarikat di samping perkara yang dinamakannya sebagai ‘tuntutan martabat manusia’ yang tidak menerima adanya tawar-menawar, iaitu hukum undang-undang, persamaan di hadapan pengadilan, dan penghormatan terhadap wanita”, dia juga berkata: “Terdapat permulaan yang menjanjikan reformasi dan keterbukaan di kedua-dua dunia arab dan dunia Islam  terutamanya di Bahrain, Jordan, Maghribi, Qatar dan Afghanistan.”

Semua usaha ini membawa kepada berlakunya beberapa perubahan dalam bidang-bidang yang dikhususkan untuk wanita, yang berkaitan dengan perkongsian politik, hal-ehwal peribadi dan sebagainya.

Dalam bidang perkongsian politik, wanita telah memperolehi hak pencalonan dan mengundi serta berkongsi pemerintahan di beberapa buah negara di samping mengikut sebahagian posisi yang penting.

Sementara itu, dalam bidang hal-ehwal peribadi, sebahagian negara dunia seperti Mesir dan Maghribi mula mengusahakan perubahan dan pindaan sebahagian hukum syarak yang berkaitan wanita. Di Mesir telah dibincangkan undang-undang hal-ehwal peribadi dalam majlis rakyat sejak tahun 2000 untuk mengadakan perubahan yang berkaitan dengan Khulu’, dan pertelingkahan berkaitan safar wanita, dan perceraian dan membentuk mahkamah sivil untuk keluarga di samping perkara-perkara lain yang ingin mereka pinda.
 
Sementara di Maghribi, yang paling jelas dapat dicapai secara khusus – apa yang diusahakan oleh Barat berupa tujuan-tujuan mengenai hal ehwal wanita Muslimah yang dinamakan (rancangan nasional untuk integrasi wanita dalam pembangunan), langkah ini sebahagian daripada rancangan antarabangsa dengan tujuan memaksakan keluarga Muslimah agar mencontohi Barat. Dalam langkah ini dilaksanakan perkara-perkara berikut:
•    Meningkatkan tahap usia anak perempuan yang dibolehkan berkahwin iaitu dari usia 15 tahun kepada 18 tahun.
•    Pembahagian hak milik/harta antara suami isteri selepas perceraian.
•    Menghapuskan poligami secara terus terang.
•    Kedua-dua suami dan isteri menafkahi keluarga secara berkongsi berdasarkan sumbangan masing-masing.
•    Membolehkan kaum wanita hak menuntut cerai.
•    Memberi hak kepada kaum wanita untuk berkahwin sendiri tanpa persetujuan wali.
•    Persamaan hak dan kewajipan bagi suami isteri.

Sementara di Jordan: peraturan di sana, sejak dahulu lagi adalah melaksanakan keinginan Barat. Usaha yang berterusan sentiasa dilakukan terhadap persoalan wanita. Selain itu usaha juga dilakukan untuk mengiktiraf suara wanita dan penyertaan mereka dalam seluruh aspek kehidupan tanpa membezakannya dengan lelaki. Dalam erti kata lain ia adalah seruan kepada persamaan gender. Dalam kaitan ini untuk mencari keredaan Amerika dan kaum kufar, mereka melakukan tindakan-tindakan untuk melaksanakan politik pembatasan kelahiran. Antaranya adalah:
 
•    Mewujudkan pengkhususan baru di Fakulti Perubatan, Universiti Hashimite, iaitu perubatan dan kesihatan reproduksi. Kesihatan reproduksi dan pengaturan keluarga adalah dua istilah yang diberikan untuk mempraktikkan pembatasan kelahiran.
•    Menyediakan peluang di institusi-institusi, persatuan-persatuan serta organisasi antarabangsa untuk melaksanakan program yang berkaitan pencegahan kehamilan seperti yayasan (Hopkins) Amerika, yang mampu mempromosikan melalui pemberian berbentuk harta dari organisasi pemudi untuk tujuan-tujuannya. Yayasan ini telah mengeluarkan sebuah buku yang bertajuk (asas teknologi sebagai cara untuk mencegah kehamilan – petunjuk bagi para pengamal perubatan di klinik-klinik), buku ini telah sempurna dikaji oleh para pengamal perubatan yang menggunakan semua maklumat wanita Jordan dan pengumpulan maklumat penduduk dengan kerjasama organisasi kesihatan sedunia dan perwakilan Amerika bagi pembangunan antarabangsa.
•    Mewujudkan majlis tertinggi penduduk, tujuannya adalah untuk membataskan kelahiran  dan pemandulan (dengan alasan membaiki taraf ekonomi penduduk).
•    Mewujudkan mahkamah keganasan rumahtangga yang terdiri daripada qadhi, doktor dan pendakwa am.
•    Pembentukan dan pelaksanaan seminar-seminar dan juga biro-biro wanita serta nadwah-nadwah khusus mengenai kesihatan dan reproduksi.
•    Pembukaan klinik-klinik, pemantauan harta dan pembentukan delegasi wanita terlatih untuk melakukan lawatan berulang terhadap kaum wanita di rumah mereka dan menggalakkannya agar membataskan kelahiran dengan menggunakan pil-pil pencegah kehamilan dan dengan cara-cara yang lain (sebahagian besarnya dengan dana luar yang mempunyai objektif tertentu). 
•    Mengaitkan pertumbuhan ekonomi dengan pertambahan penduduk, dan mengaitkan kemiskinan dan pengangguran dengan pengembangan keluarga, untuk merealisasikan sesuatu yang mereka namakan sebagai keseimbangan antara kadar pendapatan dengan bilangan ahli keluarga. Sedangkan statistik rasmi menyangkal dakwaan ini. Keputusan rasmi pada tarikh 17 Mac 2004 yang telah dikeluarkan menyatakan bahawa kadar reproduksi pada tahun 1976 telah mencecah 7:4 dan baru-baru ini mencapai jumlah 2:1. Jika mereka menafikan kadar yang tinggi ini, adalah sewajarnya masalah ini telah diselesaikan, maka selesailah hal tersebut. Kemajuan yang pesat telah meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi namun pengangguran, kadar kemiskinan dan kelemahan anggaran tahunan pula kian bertambah.
•    Menyertai seminar-seminar antarabangsa dan menjadi tuan rumah seminar-seminar khas untuk wanita. Daripada seminar tersebut dikeluarkan keputusan-keputusan yang membenarkan dan memberikan hak kepada kaum wanita dalam kebebasan berfikir, berperasaan, beragama, berakidah dan mengawal hal-hal berkaitan kesihatannya, khususnya yang berkaitan dengan kesuburannya dan juga memperbaiki kesihatan reproduksi dengan alasan bahawa wanita mempunyai hak untuk menikmati kebebasan peribadinya. 

Bahawasanya propaganda kaum kafir terhadap wanita Muslimah di bawah pimpinan Amerika semuanya adalah untuk merealisasikan beberapa tujuan. Antaranya: menjauhkan wanita Muslimah daripada agamanya, mengeluarkannya dari rumahnya, menghapuskan keluarga Muslimah dan pendidikan anak-anak, kemudian menggalakkannya untuk melakukan pengguguran dan menelan pil pencegah kehamilan yang berakhir dengan kemandulan bertujuan untuk mengehadkan kelahiran di kalangan umat Islam.

Perkara-perkara inilah yang dikehendaki oleh Amerika untuk kita. Sementara para pemikir di negara mereka pula menginginkan yang lain. Satu kajian yang telah dijalankan oleh Universiti Harvard (salah sebuah universiti terkemuka Amerika) menasihatkan para wanita di Amerika Syarikat agar ‘meniru wanita Muslimah dalam akhlak mereka dengan mengajak semua wanita Amerika supaya cuba meniru tingkahlaku wanita Muslimah sebagai satu-satunya cara untuk menyelamatkan masyarakat Amerika daripada penyesalan dan kekecewaan yang tidak berpenghujung disebabkan oleh keruntuhan akhlak dan tersebarnya penyakit yang diakibatkan oleh hubungan tidak syarie antara lelaki dan wanita di sana’.  Institusi nasional kajian kesihatan di Maryland yang melakukan kajian khas mengenai Islam dan syiarnya telah menegaskan bahawa jika umat Islam menjaga pelaksanaan syiar Islam, dia akan menjadi seorang yang berperibadi baik daripada sudut jiwa dan kesihatannya. Dia akan melalui kehidupannya dengan jiwa yang halus dan tidak akan berhadapan pula dengan sebarang masalah kejiwaan. Hal tersebut berlawanan dengan seorang Muslim yang tidak menjaga pelaksanaan syiar-syiar Islam ataupun jika dia  seorang non-Muslim.

[bersambung]

– Majallah al-wa’ie (edisi bahasa Arab). 2006. Bil. 228.hal. 21-24
.