Fikratul Ummah – Mei 2011

 
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh…
 
Puji dan syukur ke hadrat Ilahi kerana telah memberi kekuatan dan ketabahan kepada warga penerbit Fikratul Ummah untuk terus istiqamah dalam dakwah melalui mata pena dan seterusnya dengan izin-Nya jua sekali lagi Fikratul Ummah menjadi tatapan para pembaca budiman di bulan Mei ini iaitu bulan yang penuh makna dalam kalendar masyarakat hari ini. Dua insan mulia yang penuh pengorbanan diraikan pada bulan ini, iaitu tidak lain mereka adalah insan yang bergelar ibu dan guru.  Peranan ibu dan guru amat signifikan dalam mendidik keluarga dan masyarakat.
 
Justru, FU bilangan ke-41 kali ini menyentuh peranan mereka berdua khususnya dalam menyambung perbincangan mengenai isu pendidikan seks yang diperkenalkan melalui kurikulum Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.  Keluaran bulan lalu telah mengajak anda memperhatikan faktor-faktor pengenalan PKRS ini dan juga membawa anda menyoroti sejarah pelaksanaan kurikulum pendidikan seks di Malaysia.  InsyaAllah keluaran bulan ini dan keluaran bulan-bulan akan datang akan memuatkan artikel berupa pengkajian yang lebih mendalam.
 
Artikel pertama yang diangkat pada keluaran kali ini ialah ’Wajarkah Pendidikan Seks Menjadi Kurikulum Pendidikan?’.  Artikel ini mampu memberi penjelasan yang lebih mendalam bagi merungkaikan persoalan kewajaran pengenalan PKRS di Malaysia di mana artikel ini akan membentangkan kepada para pembaca realiti pelaksanaan pendidikan seks di negara-negara Barat dan Eropah serta kesan buruk yang bakal dihadapi oleh masyarakat Malaysia jika mengambil mereka sebagai contoh dalam melaksanakan kurikulum pendidikan seks di negara ini.  Seterusnya artikel kedua bertajuk ’Peranan Ibu Bapa dalam Pendidikan Seks’akan memberi pencerahan tentang peranan ibu bapa dalam memberi pendidikan terkait dengan seks ini kepada anak-anak di rumah dan betapa pentingnya ibu bapa melakukan tugas ini serta kesan buruk jika mereka meninggalkannya.  Keluaran kali ini turut memuatkan satu artikel terjemahan oleh Abu Luqman as-Syami yang diterjemahkan dari majalah al-Waie (arab) edisi 284-285.
 
Segmen doa pula menampilkan doa yang dibaca khusus untuk ibu bapa.  Tidak ketinggalan Fikih Muslimah membahaskan hukum wanita haid iktikaf di masjid.  Semoga pembahasan Fikih ini memberi gambaran yang jelas pada anda dalam menilai status perbuatan dalam kehidupan sehari-harian.
 
Kami berharap agar usaha mengajak anda mengkaji secara bertahap mengenai isu PKRS ini diberkati oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala hendaknya dan semoga perbahasaan dalam keluaran kali ini boleh memberikan gambaran yang jernih pada anda untuk lebih memahami perbahasaan dalam keluaran akan datang, InsyaAllah.
 

 
Perkembangan ilmu pengetahuan, teknologi dan seni telah mendorong kepada perubahan sistem pendidikan Negara.  Elemen penting yang perlu ada dalam menghadapi perubahan ini ialah manusia berkualiti iaitu manusia yang beriman dan bertaqwa terhadap Tuhan Yang Maha Esa, berbudi pekerti yang luhur, berkeperibadian, mandiri, maju, cerdas, kreatif, berketrampilan, berdisiplin, mempunyai etika kerja, profesional, bertanggungjawab, produktif, serta sihat jasmani dan rohani.
 
Pendidikan merupakan hal yang sangat penting dan berkait secara langsung dengan segala aspek kehidupan yang lain dan meliputi setiap individu.  Hal ini kerana pendidikan berperanan dan berpengaruh secara langsung terhadap perkembangan manusia dalam seluruh aspek keperibadiannya.  Dengan kata lain, pendidikan menentukan model manusia yang akan dihasilkannya.
 
Apabila kurikulum pendidikan menjadi sesuatu yang tidak pasti, mangsa dari ketidakpastian tersebut adalah tidak lain iaitu pihak sekolah, ibu bapa dan murid.  Saban tahun ketidakpastian selalu timbul dan tidak pernah memungkinkan kepada sebuah kepastian yang justeru tidak berupaya membuat ketiga-tiga pihak tadi memasuki tahun persekolahan baru dengan tenang dan pasti.
 
Mengapa hal sebegini terjadi?  Jawapannya sangat mudah, perkara ini terjadi apabila pendidikan dikendalikan dengan kedangkalan makna. Pendidikan adalah sebuah proses menyeluruh, jadi melihat pendidikan mestilah dengan seluruh aspek.  Kurikulum sekolah yang sering berubah apabila memasuki tahun persekolahan baru membuatkan guru-guru sering diliputi dengan pelbagai pertanyaan.
 
Pelbagai persoalan bermain di benak guru-guru.  Antaranya adakah subjek-subjek yang akan berubah atau sama seperti tahun lepas?  Jika ada perubahan, apakah subjek yang akan berubah?  Jika ada, maka bahagian manakah yang perlu disiapkan? Justeru pertanyaan-pertanyaan yang selalu menghantui guru-guru ini jelas menjadikan mereka mangsa pertama atas perubahan ke atas polisi yang tidak berkesinambungan.  Setiap perubahan baru yang berlaku pasti membawa kesan baru.  Realitinya adalah polisi baru dalam dunia pendidikan tidak mudah diimplementasikan sebagaimana pada bidang yang lain.
 
Sistem pendidikan di Malaysia sering berubah-ubah mengikut keperluan semasa.  Misalnya, apabila kecoh di seluruh negara tentang kadar pengangguran dalam kalangan graduan meningkat secara mendadak, kajian ala-ala `mi segera’ dijalankan oleh pihak-pihak berkaitan bagi mencari puncanya.  Kesimpulan dari kajian yang dijalankan mendapati bahawa graduan kita menganggur kerana gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
 
Maka, PPSMI (Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) diperkenalkan.  Kononnya, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.  Haru-biru guru-guru di sekolah yang sudah berpuluh tahun mengajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu.  Tahun ini, PPSMI dimansuhkan untuk pelajar darjah satu dan tingkatan satu.  Guru-guru yang mengajar masih belum hilang pening kepalanya, bertukar pula cara pengajaran dengan alasan untuk memartabatkan bahasa melayu.
 
Sama halnya apabila sesuatu realiti negatif muncul, maka pihak pembuat dasar segera bertindak untuk mengatasi keadaan tersebut.  Sepanjang tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya, satu per satu mayat bayi ditemui.  Di sungai, dalam perangkap sampah, dalam tong sampah, ditanam di dalam kebun, dalam tandas sekolah dan di mana-mana sahaja.  Ramai pihak bersidang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.  Maka, mata pelajaran Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) atau dengan nama lain, pendidikan seks, diperkenalkan di semua sekolah kebangsaan.  Sekali lagi kononnya, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.  Ironinya kali ini, bukan sekadar guru-guru sahaja yang pening kepala, masyarakat juga ikut tepuk dahi. Pendidikan Seks untuk pelajar darjah satu? Apa yang diajar? Apa terasnya? Apa rasionalnya untuk pelajar darjah satu?  Persoalan demi persoalan yang diajukan, masih belum habis terjawab sehingga ke hari ini.
 
Apabila ramai murid kena langgar, kerajaan memperkenalkan mata pelajaran lalu lintas dan cetak buku aktiviti untuk murid-murid.  Apabila timbul kes jenayah seks, kerajaan wujudkan PKRS dan cetak lagi buku.  Bila kes pesakit mental meningkat, perkenalkan pula Modul Kesihatan Mental dan cetak buku lagi.  Tahniah, Malaysia memang cekap!  Tapi dalam konteks apa?  Begitulah keadaan kurikulum Pendidikan di Malaysia.  Berubah mengikut suasana dan perkembangan dunia.  Begitu juga dengan kurikulum PKRS ini.
 
Negara-negara yang Mengajarkan Pendidikan Seks di Sekolah.
 
Amerika Syarikat (AS): Kanak-kanak berusia antara 7-12 tahun diwajibkan mengikuti kelas Pendidikan Seks, namun kebanyakan sekolah mewajibkan kelas pendidikan seks bermula pada umur 5-6 tahun.  Dua bentuk utama pendidikan seks diajar di AS, iaitu bentuk komprehensif dan bentuk larangan.  Pendidikan seks secara komprehensif merangkumi segala-galanya tentang kontrasepsi (kaedah mencegah kehamilan) dengan teknik persetubuhan atau menggunakan alat pencegahan tertentu termasuk bahaya seks tanpa kondom.  Konsep ini tidak terkecuali dari diajarkan kepada anak-anak Malaysia.  Sementara pendidikan yang berbentuk larangan pula akan mendedahkan bahawa remaja harus tetap suci sehingga berkahwin dan menjauhi kontrasepsi.
 
Australia: Australia tidak mempunyai kurikulum pendidikan seks yang menyeluruh kerana pihak sekolah diberi kebebasan penuh untuk mengajarkan apa yang mereka inginkan dan pada tahap manakah sesuatu matapelajaran akan diterapkan.  Perbezaan pendapat dalam kalangan guru sering terjadi disebabkan bentuk pendidikan yang diberikan adalah berbeza-beza.
 
Eropah: Masyarakat Eropah berfikiran terbuka dalam pendidikan seks, bahkan kurikulum itu juga disokong oleh kerajaan.  Di Perancis, pendidikan seks telah menjadi sebahagian kurikulum sekolah dan mereka memperuntukkan antara 30-40 jam waktu kuliah atau aktiviti bagi mata pelajaran pendidikan seks.  Mereka juga mengagihkan kondom untuk tahun lapan dan tahun sembilan (peringkat menengah). Sementara di Sweden pula, pendidikan seks juga menjadi sebahagian pendidikan wajib di sekolah, dan diselitkan ke dalam mata pelajaran seperti Biologi dan Sejarah.  Hal yang sama berlaku di Finland di mana pendidikan seksual ini biasanya dimasukkan ke dalam pelajaran Biologi tetapi kemudian digabungkan dengan masalah kesihatan awam.  Manakala di Britain, pendidikan seks tidak wajib di sekolah kerana sebahagian ibu bapa menolak matapelajaran ini disebabkan pengaruh negatif yang hinggap pada anak-anak mereka. Di Jerman, pendidikan seks adalah di bawah perintah kerajaan.  Kajian menunjukkan bahawa di antara bangsa-bangsa Eropah, remaja Jerman paling mengetahui tentang kontrasepsi.  Di Belanda, kerajaannya memberikan subsidi pendidikan seks bagi kaum muda dan memberi mereka kemahiran untuk membuat keputusan sendiri berhubung dengan seksualiti dan kesihatan.
 
Cukuplah sekadar sekilas pandang untuk diketahui, namun cukup bererti untuk direnungi. Jika kita mengimbas kembali sedikit masa dahulu, kerajaan Malaysia pernah bercadang untuk memberi kondom secara percuma kepada penagih dadah agar jenayah dadah dan kes buang bayi dapat dicegah.  Disebabkan masih ada suara-suara yang bangkit menolaknya, maka cadangan itu ditangguhkan.  Apa yang perlu disedari di sini ialah, melalui pendidikan seks ini anak-anak kecil akan kenal apa itu kondom, dan pastinya mereka tercari-cari dan cuba untuk memakainya. Sekiranya pendidikan seks diteruskan, tidak keterlaluan untuk diramalkan bahawa suatu hari nanti sekolah-sekolah akan dibekalkan dengan kondom untuk dijadikan bahan eksperimen kepada para pelajar, dan akhirnya pada masa itu limpahan kondom akan berubah seperti belon bagi anak-anak kecil yang masih mentah dalam soal dosa dan pahala.
 
Ilmu tanpa amal tidak sah, teori tanpa praktikal tidak sempurna.  Justeru, tentu sekali pendidikan seks akan berubah menjadi gelombang zina yang cukup dahsyat, namun ketika itu kesedaran sudah hilang kerana anak-anak zina takkan lahir lagi hasil daripada praktikal pengetahuan pencegahan kehamilan.  Bukalah minda dan lihatlah dengan pemikiran yang jernih, tanyakan kepada diri sendiri, apa sebenarnya tujuan di sebalik pendidikan seks ini?  Adakah hukum Allah yang cuba ditegakkan?  Adakah syariat Islam yang cuba diterapkan?  Ternyata, jawapannya tidak, pendidikan seks yang sedang dikurikulumkan ini motifnya bukan sama sekali bertujuan untuk mengelakkan zina atau budaya berpasang-pasangan (coupling), tetapi kerajaan hanya berhasrat untuk membersihkan nama Malaysia dari fenomena kes buang bayi.  Setelah anak-anak kecil ini mahir bagaimana mengelakkan kehamilan, malapetaka perzinaan akan berleluasa bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, tapi tersorok di sebalik dahan pokok di mana ia tumbuh. Saat dan ketika itu tiada manusia yang sedar, apabila remaja wanita sudah ‘stand by’ dengan kondom di dalam poketnya apabila keluar dengan pasangan, remaja lelaki pula sudah mahir bagaimana “teknik semulajadi” agar kandungan tidak terhasil setelah persetubuhan, maka gembiralah si Yahudi dan si Nasara, bersoraklah si syaitan dan iblis lantaran fikiran umat Islam telah diperdayakan.  Apakah kalian tidak memikirkan?
 
Benarlah firman Allah…. 
 
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka,”[TMQ al-Baqarah (2): 120]
 
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [TMQ al-Baqarah (2): 208]
 
Lihatlah fenomena negara-negara barat yang dinyatakan di atas, itu adalah fakta.  Sekolah-sekolah mengagihkan kondom kepada pelajar agar mereka tahu menggunakannya.  Apakah kita mahu generasi kita juga sebegitu?  Pulang ke rumah bukan lagi membawa buku, tapi seplastik kondom untuk ditunjukkan kepada ayah dan ibu.  Kesan baik memanglah ada, tetapi buruknya seribu kali ganda.  Sejarah kegemilangan pemerintahan Islam yang menguasai satu pertiga dunia, tidak pernah mencatatkan kewujudan pendidikan seks.  Namun negara kuffar Barat yang Islam bukannya menjadi agama mereka telah memperkenalkannya.  Faktanya sekarang Malaysia sedang mengikuti jejak langkah mereka.
 
Apa yang dibongkarkan ini tidak mungkin terjadi dalam masa sebulan akan datang, tetapi lihatlah dalam masa 10 tahun akan datang.  Ketika itu semuanya sudah suram.  Apabila ditanya kepada remaja bilakah kali pertama kamu melakukan hubugan seks, tentu mereka akan menjawab segalanya bermula di sekolah rendah.  Ketika itu semuanya menerima padah.  Ramai yang masih belum melihat bagaimanakah rupa bentuk buku pendidikan seks yang telah diterbitkan oleh kuffar barat, sangat sukar untuk digambarkan di sini.  Justeru, isu ini bukanlah isu lapuk, jika ia dikatakan sudah lapuk, ingatlah apabila keburukan mula dilakukan maka penentangannya tidak akan berakhir sehingga ia berjaya dihapuskan.
 
Bantahan Terhadap Pengenalan Pendidikan Seks.
 
Pengenalan silibus pendidikan seks ini telah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak walaupun ia adalah idea yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.  Pihak-pihak tersebut berani menyatakan ketidakwajaran silibus ini diajarkan di sekolah-sekolah.  Antaranya adalah Pertubuhan Guru.  Mereka membantah cadangan memperkenalkan PKRS sebagai satu subjek di sekolah kerana ia disifatkan bukan penyelesaian kepada masalah sosial di kalangan remaja, sebaliknya hanya menambah beban guru.
 
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata kesatuan itu terkilan dengan gesaan mempercepatkan pelaksanaannya oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, tanpa berbincang atau mendapatkan pandangan daripada kesatuan guru atau peringkat akar umbi.  Pada pendapat beliau, pelaksanaan secara terburu-buru akan menimbulkan banyak masalah sehingga merugikan pelajar.  Guru ketika ini juga tidak mempunyai kemahiran khusus dalam bidang kesihatan reproduktif.  
 
“Usaha membanteras gejala buang bayi yang semakin berleluasa ketika ini harus berpaksikan pengukuhan pendidikan agama dan moral secara lebih mendalam.  Pegangan teguh kepada amalan agama dan nilai moral yang tinggi akan mencegah remaja daripada terpengaruh dengan gejala seks bebas yang menjadi punca utama peningkatan kes buang bayi,” katanya. [Berita Harian, 22/4/2010]
 
Sementara itu mantan Perdana Menteri Malaysia juga tidak terkecuali dari menyuarakan bantahan terhadap isu ini.  Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat bahawa pendidikan seks tidak perlu dijadikan sebagai subjek khas di sekolah-sekolah kerana sudah terdapat dalam pengajaran agama Islam.  Beliau mengatakan lagi bahawa subjek khas mengenai seks tidak perlu tetapi memadai dengan menjelaskannya dengan baik mengenainya supaya anak-anak faham dan tidak mudah terpengaruh dengan nafsu.  Menurut beliau, dalam subjek agama Islam boleh dimasukkan perkara-perkara yang mengajar anak-anak berdisiplin dan mengawal nafsu kerana ia sebahagian daripada ajaran Islam. “Akibat tidak mengawal nafsu bayi dibuang ke dalam tong sampah dan kerana itu dalam pembelajaran agama Islam perlu ditekankan tentang pentingnya pengawalan nafsu,” katanya pada satu sidang akhbar.
 
Seterusnya, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak bersetuju dengan pendidikan seks diajar di sekolah kerana menganggap langkah itu memberi lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada generasi muda.  Ia menggalakkan kanak-kanak di bawah umur mempelajari ilmu seks sesama mereka menyebabkan wujudnya gejala negatif seperti pembuangan bayi. “Dalam Islam sendiri sudah ada pengajaran seks iaitu antaranya kita diwajib mengasingkan tempat tidur apabila anak-anak meningkat umur tujuh tahun, mereka juga diminta hanya melihat bahagian muka dan telapak tangan sahaja apabila bertunang,” katanya.  Beliau menyelar tindakan sesetengah pihak yang mencadangkan pendidikan seks di sekolah dan menganggap tindakan itu seperti mengajar pencuri kaedah mencuri dengan betul.  Beliau juga mahu agar perbuatan zina dalam Islam dinyatakan sebagai ”zina” dan bukan ”seks bebas” seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak. 
 
Jelas di sini sebenarnya ramai pihak yang membantah pengajaran pendidikan seks di sekolah tetapi pihak kementerian masih beria sangat untuk melaksanakannya.  Tidak lain dan tidak bukan ia disebabkan desakan dan perancangan serta agenda Yahudi APCO (Syarikat Consultan luar Negara yang dimiliki oleh Yahudi) agar melaksanakan agenda Freemason mereka yang dinamakan ‘LIBARIM’.  Antara perancangan mereka adalah:
 
1. Melenyapkan etika klasik yang mengekang pergaulan muda-mudi, termasuk melalui penyebaran seks bebas.
2. Menghapuskan hukum yang melarang kahwin antara agama untuk mencipta generasi bebas agama (atheism dan freethinker).
3. Pengembangan pendidikan seks di sekolah-sekolah.
4. Persamaan hak antara lelaki dan perempuan dalam hal ‘kedudukan waris’ dan ‘pakaian’.
5. Menggembalakan pemuda-pemudi ke dunia khayalan, dunia muzik, dan narkotik. (Akademi Fantasia, Malaysian Idol, One in A Million dan sebagainya)
6. Mendirikan bait-satan (rumah syaitan) untuk menampung pemuda-pemudi ke alamnya.
7. Mengorganisasikan kaum gay, lesbian, lutherian serta menggalakkan perakuan menuntut hak mereka dalam hukum.
 
Inilah yang terjadi di Barat apabila mula menjadikan Pendidikan Seks sebagai salah satu kurikulum pembelajaran di sekolah pada tahun 1970-an.  Akibatnya ia telah merosak dan menghancurkan nilai akhlak kemanusiaan di negara mereka.  Kenapa kita hendak memulakannya pula di negara kita?  Sedangkan semua kita tahu penyakit ini bermula di Barat dan apabila kita menelan ubat yang sama nescaya kita juga akan mewarisi kesan dan akibat serta penyakit yang sama.
 
Kurikulum Pendidikan dalam Islam.
 
Penyelesaian terbaik terhadap krisis kurikulum pendidikan di sekolah ini adalah menyelesaikan permasalahan remaja hari ini mengikut syariat dan tuntutan dalam Islam.  Islam adalah agama yang lengkap.  Segala permasalahan yang berlaku di dunia hari ini hanya akan dapat diselesaikan dengan penyelesaian secara Islam.  Kesempurnaan Islam jelas disebut melalui firman Allah:
 
“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu jadi agama bagimu.” [TMQ al-Maa’idah (5): 3]
 
Kebanyakan kes yang berlaku seperti zina dan pergaulan bebas adalah berpunca dari kejahilan mereka terhadap agama seperti hukum halal dan haram.  Remaja menganggap persoalan aurat dan pergaulan bebas adalah perkara remeh dan tidak penting.  Akibatnya mereka gagal mengawal diri mereka lalu menjerumuskan diri mereka ke lembah maksiat.
 
Pendidikan seks di dalam Islam merupakan bahagian integral dari pendidikan akidah, akhlak, dan ibadah.  Terlepasnya pendidikan seks dengan ketiga unsur itu akan menyebabkan ketidakjelasan arah dalam pendidikan seks itu sendiri, bahkan mungkin akan menimbulkan kesesatan dan penyimpangan dari tujuan asal manusia melakukan kegiatan seksual iaitu dalam rangka pengabdian kepada Allah.  Oleh karena itu, pelaksanaan pendidikan seks tidak boleh menyimpang dari tuntutan syariat Islam. 
 
Ibu bapa adalah pihak yang paling bertanggungjawab terhadap anak dalam masalah pendidikan, termasuk pendidikan seks.  Guru di sekolah hanyalah pembantu yang memangkin potensi anak-anak dalam pembelajaran.  Anak adalah generasi yang diciptakan untuk kehidupan masa depan.  Sepatutnya ibu bapalah yang memberikan bekal berupa pendidikan yang menyeluruh, termasuk pendidikan seks.  Ibu bapa manapun tentu selalu menginginkan anaknya menjadi anak yang baik.  Ibu bapa dituntut memiliki kepekaan, keterampilan, dan pemahaman agar mampu memberi informasi dalam keadaan tertentu, yang justru tidak membuat anak semakin bingung atau keliru.  Jadi, dalam hal ini, sesungguhnya tidak perlu diadakan kurikulum khusus tentang pendidikan seks di sekolah-sekolah. 

Khatimah
 
Pendidikan Islam sendiri sudah merangkumi pendidikan berkait dengan hubungan seks yang terdidik dengan hukum-hakam di sebalik pengajian ibadah, akhlak dan aqidah.  Malangnya, sistem pendidikan di sekolah-sekolah yang tidak menitikberatkan pendidikan Islam menjadi punca remaja terus berada dalam kejahilan bahkan modul pengajian Islam di sekolah-sekolah masih tidak mampu untuk melahirkan pelajar yang berakhlak mulia.  Ilmu agama hanya sekadar tempelan dan bukan menjadi ilmu teras.  Sekiranya pendidikan Islam diterapkan secara komprehensif dalam sistem pendidikan di sekolah InsyaAllah ia akan mampu membendung gejala maksiat dan zina.  Di samping itu, untuk melahirkan masyarakat Islami, semua pihak perlu memainkan peranan termasuklah institusi guru, keluarga dan masyarakat lebih-lebih lagi pihak penguasa yang perlu menguatkuasakan perundangan syariah secara menyeluruh.
 
Selagi sikap lepas tangan dan enggan kembali kepada penyelesaian secara Islam yang hakiki masih tegar diamalkan nescaya selama itulah masalah yang sama akan terus muncul dalam versi yang lebih dashyat dan tanpa disedari umat Islam sebenarnya berlegar dalam perangkap dan kerangka sekular Yahudi Freemason ini.  


Pengenalan
 
Subjek Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) digarap demi membendung gejala sosial yang membarah dalam masyarakat kita pada hari ini.  Terdahulu, kita menyaksikan drama tuding jari di mana ibu bapa menyalahkan pihak sekolah kerana gagal mengawal anak mereka manakala pihak sekolah pula menyalahkan ibu bapa yang melupakan tanggungjawab mendidik di rumah.  Tidak ketinggalan `orang agama’ dipersalahkan kerana tidak peka dengan masalah semasa, sementara masyarakat menyalahkan kerajaan yang hanya mengambil usaha seperti melepaskan batuk di tangga, drama tuding menuding ini diteruskan oleh `perang’ media dan sebagainya.  Seperti biasa perkara itu menjadi topik hangat untuk tempoh waktu yang `terhad’ dan akhirnya apabila berita mulai suam, masing-masing sebagai individu yang riuh tadi kembali senyap sepi seolah-olah masalah telah selesai atau mungkin ada pihak yang tidak senang lantas `memastikan’ media memainkan peranan untuk `mengalihkan’ perhatian masyarakat.
 
Apa sekalipun suasana drama di atas, silibus mata pelajaran pendidikan seks telahpun mula diguna pakai walaupun terdapat pelbagai pandangan pro dan kontra dari segenap lapisan masyarakat yang masih sedang hangat mendebatkannya.  Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Julaidi Bujang mengatakan bahawa kira-kira 500,000 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2011 diambil sebagai kumpulan pertama yang diajar pendidikan seks.  Silibus ini diperkenalkan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).  Antara lain, modulnya adalah seperti berikut:
 
  • Modul 1 : Aspek fizikal 
  • Modul 2 : Aspek Sosial 
  • Modul 3 : Peranan Gender
  • Modul 4 : Penyakit Hubungan Seks 
  • Modul 5 : HIV/AIDS
Ironinya, negara-negara Barat seperti Belanda, Amerika, Britain dan lain-lain terlebih dahulu menjadi mentor dalam ujikaji Pendidikan Seks yang diajarkan di sekolah-sekolah dan sebenarnya telah mengalami kegagalan dan kehancuran.  Pendidikan Seks di Barat bertujuan mengelakkan kehamilan yang tidak dirancang dan juga mencegah penyakit berjangkit tetapi bukan menghalang berlakunya zina.  Zina atau seks rela tetap dibenarkan mengikut panduan tahap umur.  Sebagai contoh remaja perempuan boleh melakukan zina tersebut dengan remaja lelaki seusianya, tetapi apabila ia dilakukan dengan seorang lelaki yang berusia 18 tahun ke atas maka lelaki tersebut dianggap merogol remaja tersebut biarpun dilakukan dengan rela.
 
Sudah terang lagi bersuluh, di Barat, pendidikan seks di sekolah telah gagal mendidik masyarakatnya dengan nilai moral dan sosial yang baik.  Persoalannya, adakah negara yang mempunyai majoriti umat Islam mahu menggunakan acuan yang sama dan mengulangi sejarah kegagalan pendidikan seks di Barat?  Selain dari peranan pihak sekolah, apa sebenarnya peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak?  Justru, fokus utama Fikratul Ummah kali ini antara lain membincangkan apakah peranan ibu bapa dalam menangani masalah ini.  Dengan kata lain, apakah fungsi ibu bapa dalam memahami isu Pendidikan seks.
 
Peranan ibu bapa untuk memahami isu ini adalah sangat penting kerana ibu bapa adalah orang yang paling hampir dengan anak-anak secara zahir dan batinnya.  Anak-anak merupakan anugerah serta rezeki kurniaan Allah kepada pasangan suami isteri yang secara fitrahnya berhajat dan sentiasa mengharapkan kurniaan ini.  Anugerah itu diturunkan beserta dengan kewajipan ke atasnya sebagaimana Hadis Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Salam yang bermaksud: ”Tidak ada seorang anak pun yang baru lahir kecuali dilahirkan dalam keadaan suci. Kedua orang tuanyalah yang menyebabkan anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”[HR Muslim]
 
Mengenal Anggota Tubuh dan Fungsinya; Perlu atau Tabu?
 
Kebanyakan ibu bapa sering keliru bagaimana untuk bersikap terhadap anak-anak.  Ada yang menganggap anak-anak sebagai ‘orang dewasa’ yang berbentuk mini.  Seorang anak yang berusia tujuh tahun memegang payudara ibunya dengan penuh perasaan ingin tahu, namun si ibu pula merasakan seolah-olah si anak tadi sedang memegang sambil menikmatinya kerana merasakan tarikan seksual sebagaimana gaya seorang lelaki dewasa.  Tindakan drastik dari si ibu adalah dengan memarahi serta menepis tangan si anak sambil menyatakan,; “Anak buat apa ni??  Tidak sopan nak! Awas, jangan kamu ulangi lagi perlakuan begini.” Si anak tadi pasti terpinga-pinga sebentar dengan bentakan ibunya kerana dia merasakan yang dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.
 
Sesungguhnya setiap anak akan melalui tahap ingin tahu tentang anggota tubuh sendiri secara terperinci.  Kemudian pada tahap yang seterusnya si anak tadi mahu mengetahui fungsi-fungsi organ tubuh badan dan mahu mengetahui kenapa ada perbezaan antara dirinya dan orang lain.  Apabila ini berlaku, tibalah satu tahapan di mana anak mulai banyak mengutarakan persoalan- persoalan yang lebih menjurus kepada organ-organ seksualnya (reproduktif). 
 
Secara umumnya perasaan ingin tahu ini mulai aktif tatkala anak mulai menggunakan proses berfikir, walaupun begitu tetap saja ada perbezaan antara seorang anak dengan yang lain.  Ada anak yang seawal usia 2-3 tahun sudah mulai berfikir tentang fungsi alat reproduktifnya.  Proses ini adalah sesuatu perkara yang fitrah.  Menjelang usia sekitar 3-6 tahun, pemikiran si anak ini mula berkembang subur kerana perkembangan kebolehan komunikasi dan kebolehan motor badannya dalam berinteraksi bersama rakan sekelas.  Perkembangan ini, sama ada cepat atau lambat, bergantung kepada interaksi si anak dengan persekitarannya.  Pada saat si anak terbelenggu dengan persoalan dan pertanyaan, ibu-bapa sepatutnya lebih terbuka dan bersedia memberikan reaksi yang baik sehingga tidak merugikan si anak dalam perkembangan keperibadian mereka.  Sebagai ibu atau bapa banyak perkara yang memerlukan keduanya sentiasa berusaha dan bersiap sedia kepada respon anak.  Antara perkara tersebut adalah:
 
1.  Memahami Rasa Ingin Tahu Mereka.
 
Bukankah bayi yang lahir adalah dalam keadaan yang fitrah (knowledge zero)?  Tentulah ia suatu yang wajar apabila si anak sentiasa bersikap ingin tahu tentang apa sahaja yang dilihat dan dirasa.  Sebagai orang dewasa naluri ingin tahu itu masih juga wujud apatah lagi kepada si anak.
 
2.  Memberi Penjelasan Sesuai dengan Tahap Penerimaannya.
 
Di sini ibu-bapa perlu mahir untuk bermain kata-kata dengan anak-anak.  Ibu bapa perlu kreatif dan sangat terbuka untuk memberikan jawapan. Jawapan itu mestilah tidak terlalu ringan atau tidak pula terlalu berat buat si anak untuk menghadamnya.  Pada usia awal terutamanya, anak-anak hanya mempunyai daya pemikiran yang sangat asas.  Anak-anak di peringkat ini sekadar ingin tahu.  Sebagai contoh, berikan 
 
penerangan ringkas tentang fizikal payudara ibu yang besar kerana ia menyimpan air susu untuk bayi.  Ianya lembut dan gebu kerana dalam payudara tidak mempunyai tulang, ia punya puting agar mudah untuk bayi menghisapnya.  Ia akan menjadi lebih mudah jika anak dapat mencerap kerana mempunyai realiti di hadapan mereka.
 
3. Tidak Perlu Berbohong.
 
Biasanya ibu bapa akan menerangkan kepada anak lelaki yang dia memiliki ‘burung’ atau ‘bird’ dalam seluarnya.  Sebenarnya kenyataan sedemikian akan melahirkan pelbagai persoalan dan andaian oleh anak tersebut misalnya ada apa dengan ‘bird’?  Seolah- olah ada sesuatu yang disembunyikan di mana keadaan ini menjadi pemangkin kepada rasa ingin tahu anak.
 
Tidak salah untuk berterus terang dengan anak bahawa ‘alat’ tersebut adalah zakar atau penis atau apa-apa juga perkataan yang sesuai tanpa menghilangkan makna asal perkataan tersebut.  Berterus terang dengan anak tentang kenapa terdapat perbezaan anggota kelamin lelaki dan perempuan bukanlah sesuatu yang sepatutnya menjadi tabu (pantang larang).  Oleh itu ibu bapa tidak perlu mencipta sebuah cerita dongeng atau mengada-adakan sesuatu yang tidak wujud dalam usaha untuk memberi penerangan kepada anak-anak.
 
4. Mengelak atau Mengalihkan dari Menjawab, akan Membuat Anak Gelisah dan Ingin Mencari Jawapan Sendiri.
 
Tindakan sebahagian ibu bapa yang cuba mengelak atau mengalihkan dari menjawab mana-mana soalan sama ada dengan menyuruh anak diam atau tidak mengulangi pertanyaan tersebut hanya akan membuatkan si anak gelisah dan ingin mencari jawapan sendiri.   Sanggupkan ibu bapa membiarkan anak-anak mendapat informasi yang salah dan negatif dari sumber yang tidak terpercaya? Justru, ibu bapa mempunyai tanggungjawab dan perlu berperanan dengan efektif dan efisyen dalam menyediakan jawapan dan informasi yang betul dan tulus.  Ini boleh dilakukan dengan menjawab segala persoalan yang dikemukakan oleh anak secara hikmah dan bijaksana.
 
5.    Tenang, Terbuka dan Jangan Malu.
 
Tatkala si anak tadi memegang payudara ibunya dan meramasnya, reaksi spontan si anak adalah; “Umi… lembutnya, besarnya…” biasanya ibu akan merasa malu dan terusik egonya malah tidak kurang juga yang terkaku seketika.  Dalam situasi ini, ibu seharusnya lebih tenang dengan memberi reaksi bersahaja kepada anak.  Ini kerana reaksi yang kurang tepat misalnya terkejut dari si ibu akan membuatkan rasa ingin tahu anak lebih membara.  Hakikatnya, anak-anak kecil belum memahami atau dapat membayangkan fungsi seksual dari mana-mana anggota organ tubuh kerana mereka belum mengerti dan tidak merasainya.  Bagi si anak, memegang payudara atau anggota tubuh ibu adalah sesuatu yang bahagia dan menyenangkan.  Jadi, memberi pemahaman dan pengetahuan yang benar dalam menjawab persoalan mengenai anggota badan adalah suatu kemestian bagi setiap ibu bapa.  Inilah yang terbaik yang perlu dilakukan supaya anak mendapat kefahaman yang benar.
 
Oleh yang demikian, peranan ibu bapa dalam membentuk anak-anak adalah sangat penting.  Hal ini selaras dengan firman Allah Subhanahu wa Taala yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan” [TMQ at-Tahrim (66):6]
 
Wujudkah Pendidikan Seks Dalam Islam?
 
Sebagai seorang muslim yang mengimani Allah dan Rasul-Nya, adalah amat wajar dan perlu untuk kembali kepada fitrah Islam.  Dr Abdullah Naseh Ulwan dalam karya agungnya, ‘Tarbiyatul aulad’ ada menerangkan apakah yang di maksudkan dengan peranan ibu bapa dalam mendidik anak mengenai pendidikan seks, beliau menerangkan “Pendidikan Seks dalam Islam adalah mengajar anak-anak dengan memberi kesedaran dan berterus terang mulai ketika anak-anak mampu berfikir tentang permasalahan yang berhubungkait dengan seks, rangsangan atau apa-apa yang berkaitan dengan seks ataupun apa-apa yang berhubung kait dengan perkahwinan.  Sehinggalah anak menjadi dewasa dan semakin membesar dalam memahami urusan hidup, mengetahui apa yang halal dan haram. Dan menjadikan akhlak Islam yang cemerlang sebagai budi pekerti dan adat kebiasaannya, tidak menuruti nafsu syahwat, dan tidak dihumban ke kancah gaya hidup serba boleh (halal).”
 
Menurut Dr Abdullah Ulwan lagi, pendidikan seks yang perlu diberi perhatian ialah pada peringkat usia yang berikut:
Pada tahap umur sekitar 8-10 tahun yang dikatakan umur mumaiyiz, anak-anak diajar tentang adab meminta izin dan adab menjaga pandangan.
Pada tahap umur 10-14 tahun yang dinamakan usia remaja, anak-anak dijauhkan dari sebarang perkara yang boleh menimbulkan rangsangan.
Pada tahap usia 14-16 tahun yang dinamakan usia akil baligh, anak- anak diajar adab-adab yang berkaitan dengan hubungan seks sekiranya mereka sudah bersedia untuk berumah tangga.
Pada tahap usia selepas akil baligh yang dinamakan usia belia atau mulai dewasa, anak-anak diajar bagaimana menjaga kehormatan dirinya sekiranya masih belum mampu untuk berumah tangga. 
 
Panduan untuk Ibu Bapa
 
Berikut merupakan panduan pendidikan terkait dengan seks yang mesti diterapkan oleh ibu bapa kepada anak- anak:
 
1. Tanamkan Rasa Malu:  Rasa malu harus ditanamkan kepada anak sejak kecil.  Jangan biasakan anak-anak, walau masih kecil, bertelanjang di depan orang lain; misalnya ketika keluar kamar mandi, berganti pakaian, dan sebagainya.  Membiasakan anak perempuan sejak kecil berbusana Muslimah. Menutup aurat juga penting untuk menanamkan rasa malu sekaligus mengajar anak tentang auratnya.
 
2. Jaga Kebersihan:  Melatih anak-anak agar tidak mandi bersama khususnya antara anak lelaki dengan perempuan.  Membimbing anak-anak memahami topik-topik asas Islam seperti instinja’ dan thoharah
 
3. Memisahkan Tempat Tidur:  Usia antara 7-10 tahun merupakan usia saat anak mengalami perkembangan yang pesat.  Anak akan mula melakukan eksplorasi ke dunia luar.  Anak tidak hanya berfikir tentang dirinya, tetapi juga mengenai sesuatu yang ada di luar dirinya.  Pemisahan tempat tidur merupakan usaha untuk menanamkan kesedaran pada anak tentang kewujudan dirinya.  Pemisahan tempat tidur antara dirinya dengan ibu bapanya bertujuan untuk melatihnya berani mandiri.  Pemisahan tempat tidurnya dengan saudaranya yang berbeza jenis kelamin pula bertujuan untuk menanamkan kesedarannya tentang kewujudan perbezaan jenis jantina.  Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Salam“Suruhlah anak-anakmu untuk mengerjakan solat ketika mereka berusia tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan ketika sudah berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka”  [HR. Abu Dawud]
 
4. Ihtilam dan Haid:  Ihtilam tanda kanak-kanak lelaki sudah memasuki usia baligh.  Haid pula merupakan tanda kanak-kanak perempuan sudah memasuki usia baligh.  Berikan penerangan kepada anak yang dirinya akan dipertanggungjawabkan oleh Allah atas setiap pilihan yang dibuatnya.
 
5. Menjelaskan Identiti:  Secara fizikal  mahupun emosi, lelaki dan perempuan mempunyai perbezaan mendasar.  Perbezaan tersebut telah diciptakan sedemikian rupa oleh Allah Subhanahu wa Taala.  Adanya perbezaan ini bukan untuk saling merendahkan, namun semata-mata kerana fungsi dan tanggungjawab yang berbeza yang akan dipikulnya.  Berdasarkan perbezaan tersebut, Islam telah memberikan panduan agar fitrah masing-masing yang telah ada tetap terjaga.  Islam menghendaki agar lelaki memiliki keperibadian maskulin, dan perempuan memiliki keperibadian feminin.  Islam tidak menghendaki wanita menyerupai lelaki, begitu juga sebaliknya.  Untuk itu, harus dibiasakan dari kecil anak-anak berpakaian sesuai dengan jenis kelaminnya.  Mereka juga harus diperlakukan sesuai dengan jenis kelaminnya.  Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Salam yang bermaksud, “Rasulullah melaknat seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita dan melaknat seorang wanita yang menyerupai lelaki” [HR Abu Hurairah]
 
6. Kenalkan dengan Mahramnya:
Jelaskan kepada anak-anak bahawa tidak semua perempuan atau lelaki boleh dinikahi.  Mereka yang boleh dinikahi adalah mereka yang bukan mahramnya dan wajib ke atas mereka untuk menjaga batasan aurat dan pergaulan.  Firman Allah Subhanahu wa Taala“Dan janganlah kamu kahwini wanita-wanita yang telah dikahwini oleh ayahmu terkecuali pada masa yang telah lampau.  Sesungguhnya perbuatan itu amat keji dan dibenci Allah dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh).  Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu, anak-anakmu yang perempuan, saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapamu yang perempuan, saudara-saudara ibumu yang perempuan, anak-anak perempuan daripada saudara-saudara lelakimu, anak-anak perempuan daripada saudaramu yang perempuan, ibu-ibumu yang menyusui kamu, saudara perempuan sepersusuan, ibu-ibu isterimu, anak-anak perempuan isterimu dari isteri yang telah kamu campuri tetapi jika kamu belum campuri maka tidak berdosa kamu mengahwininya.dan (diharamkan bagimu) isteri-isteri anak kandungmu dan menghimpunkan dua perempuan yang bersaudara kecuali yang telah terjadi pada masa lampau.  Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ an-Nisaa’ (4):22-23]
 
7. Tutup Aurat: Ibu bapa perlu menjelaskan kepada anak-anak tentang batasan aurat mereka sebagai lelaki atau perempuan dan menjaganya dari terlihat oleh orang yang bukan mahram mereka.
 
8. Ajarkan Adab Masuk Rumah:  Ketika ingin masuk ke rumah seseorang, anak-anak diajarkan untuk meminta izin daripada tuan rumah sebelum masuk.  Firman Allah Subhanahu wa Taala. “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.  Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat.  Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin.  (Dan) jika dikatakan kepadamu : ‘kembalilah’, maka hendaklah kamu kembali.  Itu lebih bersih bagimu dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [TMQ an-Nur (24): 27-28]
 
9. Izin Masuk Bilik Ibu Bapa:  Tiga waktu anak-anak tidak dibenarkan masuk ke bilik orang dewasa kecuali dengan izin ialah sebelum Solat Subuh, waktu tengahari dan selepas Solat Isyak.  Aturan ini ditetapkan kerana ketiga-tiga waktu tersebut merupakan waktu aurat, yakni waktu ketika badan atau aurat orang dewasa banyak terbuka. Jika pendidikan semacam ini  ditanamkan kepada anak maka ia akan menjadi anak yang memiliki rasa sopan-santun dan etika yang luhur.  
 
Allah Subhanahu wa Taala  berfirman, “Wahai orang-orang  yang beriman, hendaklah orang-orang yang dimiliki tangan kananmu  dan mereka yang belum baligh di  antara kamu meminta izin kepada  kamu tiga kali iaitu sebelum solat subuh dan ketika kamu meletakkan pakaian kamu di waktu tengahari dan sesudah solat Isyak: tiga aurat buat kamu.  Tidak ada larangan atas kamu dan mereka selain dari tiga waktu itu.  Mereka pelayan-pelayan kamu, sebahagian dari kamu (berkeperluan) kepada sebahagian yang lainnya. Demikianlah Allah terangkan kepada kamu ayat-ayatNya kerana Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”  [TMQ an-Nur (24):58]
 
10. Jaga Pandangan:  Fitrah manusia tertarik kepada lawan jenisnya.  Jadi, ajarkanlah kepada anak-anak supaya menjaga pandangan dari melihat lawan jenisnya supaya naluri seksnya tidak terangsang.  Begitu juga gambar-gambar atau filem yang mengandungi unsur pornografi atau lucah.  

Firman Allah Subhanahu wa Taala“Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya serta janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak pada dirinya.  Hendaklah mereka pun menutupkan kain tudung ke dada mereka.  Janganlah menampakkan perhiasannya selain kepada suami mereka, ayah mereka, mertua lelaki mereka, anak-anak kandung mereka, anak-anak tiri mereka, saudara lelaki mereka, putera-putera saudara lelaki mereka, putera-putera saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam atau budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.  Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.  Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” [TMQ an-Nur (24):31]
 
11. Etika Berhias:  Berhias adalah usaha untuk mencantikkan atau mengindahkan diri agar penampilan menjadi menarik. Tujuan pendidikan seks dalam kaitannya dengan etika berhias adalah agar berhias tidak untuk perbuatan maksiat. “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan (bertingkah laku) seperti orang-orang jahiliyah dahulu.” [TMQ al Ahzab (33): 33]
 
12. Jauhkan dari Ikhtilat:  Ikhtilat adalah percampuran antara lelaki dengan perempuan bukan mahram tanpa ada keperluan yang dibolehkan.  Dalam seluruh aspek kehidupan dan di semua tempat sama ada di tempat khusus ataupun di tempat umum, interaksi antara lelaki dan perempuan secara umumnya adalah dilarang.  Ini bermakna ikhtilat dilarang tanpa ada keperluan yang dibolehkan oleh syarak.  

Diriwayatkan bahawa Aishah Radiallahu anha berkata: “Rasulullah mengahwiniku pada usia tujuh tahun dan kami mengadakan hubungan di usia sembilan tahun dan apabila aku berpindah ke Madinah, segolongan wanita mempersiapkanku untuk majlis perkahwinanku dan tidak pernah sekali-kali mereka mahupun aku, bercampur dengan lelaki di dalam rumah yang dipenuhi wanita.  Pihak wanita menyambutku dan pihak lelaki menyambut Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan kemudian kami masuk ke rumah”. [HR Abu Dawud]

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam juga bersabda, ”Usah berjalan di antara dua lelaki ataupun di antara dua wanita di satu lorong.” [HR Abu Dawud]. Kerana itu, jangan biasakan anak diajak ke tempat-tempat yang di dalamnya terjadi percampuran laki-laki dan perempuan secara bebas.
 
13. Hindarkan dari Khalwat:  Khalwat adalah berkumpulnya seorang lelaki dan perempuan bukan mahram secara berdua-duaan atau bersunyi-sunyian tanpa ditemani oleh mahram mereka atau orang lain.  Ini boleh terjadi di tempat khusus mahupun tempat umum dan berkhalwat adalah ditegah sama sekali di kedua-dua tempat.  

Antara dalil pengharamannya ialah “Tidak boleh berkhalwat seorang laki-laki dengan seorang wanita kecuali bersamanya seorang mahram” [HR Bukhari] dan “Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita yang tidak halal baginya karena sesungguhnya syaitan adalah orang ketiga di antara mereka berdua kecuali apabila bersama mahramnya.” [HR Ahmad].  

Sebagaimana ikhtilât, khalwat pun merupakan perantara bagi terjadinya perbuatan zina.  Anak-anak sejak kecil harus diajarkan untuk menghindari perbuatan semacam ini.  Jika bermain, bermainlah dengan sesama jenis.  Jika dengan yang berlainan jenis, harus diingatkan untuk tidak berkhalwat.
 
14. Galakkan Menikah Jika Telah Mampu:  Di kala cinta datang menggoda anak-anak, galakkanlah mereka untuk menikah jika telah mampu.  Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda: ”Wahai pemuda, barang siapa di antara kalian yang mampu (untuk menikah), maka menikahlah, kerana sesungguhnya menikah itu lebih dapat menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan.  Barang siapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa merupakan perisai bagi dirinya” [HR al-Bukhari]. Jikatidak mampu untuk menikah, ajaklah anak-anak mengalihkan perasaannya kepada puasa, taqarrub Ilallah, atau aktiviti positif lainnya. Laranglah anak-anak daripada bercinta (coupling) sebelum menikah kerana ia bukan ajaran dalam Islam.
 
Khatimah.
 
Cantiknya Islam, indahnya Islam.  Segala permasalahan dan jawapan atas segala permasalahan manusia pasti ada jawapannya.  Tatkala manusia masih mencari-cari arah tujuan, Islam telah menyediakan segalanya.  Janji Allah atas kesempurnaan Islam itu jelas telah dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagimu agamamu, dan telah Aku cukupkan nikmat Ku keatasmu dan Aku reda Islam itu sebagai agamamu..” [TMQ al-Maidah (5):3]
 
Oleh yang demikian, sebagai ibu bapa tidak ada istilah terlambat untuk bertatih kembali memahami dan mempelajari segala ilmu yang berkenaan “parenting skills”.  Tidak rugi untuk kembali kepada ajaran Islam yang mulia yang diwariskan oleh junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam. Sesungguhnya Islam telah merincikan hukum-hakam yang berkaitan dengan akhlak seorang individu muslim dan pergaulan antara lelaki dan perempuan sebagai aspek pencegahan dari masalah sosial yang membawa kepada segala masalah dan gejala seks. 
 
Wallahu’alam. 

 
Lenyapnya sistem pemerintahan Islam telah menjangkau usia 87 tahun sejak runtuhnya Khilafah Islamiah di Istanbul pada 28 Rejab 1342H.  Di manakah letaknya persoalan ini pada hari ini?  Bagaimana pula keadaan umat Islam akibat situasi ini?  Seterusnya di mana persoalan Islam dan Khilafah dalam kalangan umat, adakah ia diletakkan di hadapan atau di belakang mereka?

Mereka yang memperhatikan dengan teliti akan nampak bahawa keadaan umat Islam telah banyak berubah.  Hal ini disebabkan telah tampaknya tanda-tanda yang jelas kembalinya ruh dan daya hidup umat atau yang disebut sebagai kesedaran Islam.  Bahkan lebih dari itu ketika persoalan Islam dengan segala cabangnya menjadi isu politik antarabangsa yang utama.  Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ia menjadi isu antarabangsa yang utama, sama ada oleh negara-negara penjajah Amerika dan Eropah, juga Rusia atau oleh negara-negara pengikut yang lain di dunia ini. 

Bagaimana umat pada hari ini sampai kepada kebangkitan ini dan berfikir-fikir ke arah mengembalikan semula tugas memikul tanggungjawab dakwah?  Apakah tahap-tahap yang telah dilalui oleh mereka?
 
Ketika Khilafah diruntuhkan, umat berada dalam keadaan terpecah dan terpisah-pisah disebabkan seruan-seruan nasionalisme yang disuakan oleh penjajah dan yang berubah menjadi realiti sama ada di negara Arab atau Turki.  
 
Ia merupakan satu perkara yang ditanamkan oleh penjajah Barat di negara-negara umat Islam melalui gerakan-gerakan yang dipelopori oleh para pemimpin dan pemerintah.  Bahkan juga oleh tokoh-tokoh umat Islam seperti al-Husain bin Ali Syarif Makkah, Mustafa Kamal yang digelar sebagai at-Taturk, iaitu Bapa Turki dan Muhammad Ali Junah yang digelar sebagai Pemimpin Agung.
 
Mengenai tahap pemikiran, umat pernah sampai pada tahap keyakinan terendah terhadap Islam, pemikiran-pemikirannya dan hukum-hakamnya.  Perkara ini merosakkan keyakinannya terhadap dirinya sendiri sebagai umat unggul, pemilik risalah ketuhanan yang mulia.  
 
Ini semua menyumbang kepada tersebarnya seruan-seruan kufur serta pemikiran-pemikirannya di tengah-tengah umat seperti sosialisme, demokrasi, komunisme, ba’ath, kapitalisme dan pembebasan wanita hingga tidak kelihatan lagi sebarang pengaruh Islam dan pemikirannya dalam kehidupan umum apatah lagi kehidupan politik dan hal-ehwal pemerintahan.  
 
Islam telah dipinggirkan ke dalam kawasan masjid dan menjadi urusan para agamawan semata-mata.  Konsep agamawan telah dipromosikan seperti yang terdapat pada kaum Yahudi dan Nasrani.  Pemisahan antara agama dan politik serta antara agama dan kehidupan menjadi amalan umat Islam hingga demokrasi dan kapitalismelah yang diterapkan ke atas umat Islam.  
 
Perkara itulah yang mendominasi masyarakat mereka sama ada dari kalangan orang awam atau dari kalangan syeikh dan mereka yang faham agama, semuanya meredhai keadaan tersebut dan menerimanya dengan tenang.  Keadaan-keadaan ini jugalah yang menambah buruknya situasi yang kadangkala berlaku ke atas Islam atau umat Islam.
 
Maka muncullah keraguan terhadap kemampuan Islam untuk memerintah dan kekuasaannya untuk membentuk kehidupan baru.  Ia dituduh tidak pernah diterapkan melainkan dalam beberapa tahun sahaja, iaitu pada zaman kenabian dan beberapa waktu semasa zaman Khilafah Rasyidah, dan terhad kepada hukum-hukum Khilafah, jihad, wanita dan hudud.  
 
Dalam kalangan manusia, berlegar tuntutan agar meniru kuffar Barat yang dianggap pemimpin dan contoh ikutan dalam setiap perkara hinggakan kepercayaan terhadap Islam sampai kepada tahap yang paling rendah.  
 
Pengaruh Islam dalam kehidupan manusia menjadi surut bahkan mereka yang komited dengan hukum-hakamnya hatta rukun-rukunnya menjadi sangat sedikit.  Masjid kosong dari pemakmurnya bahkan tidak lagi dialu-alukan.  Agama menjadi urusan sesetengah orang tua, sedangkan para pemuda menjadi ‘zuhud’ dari agama dan tidak mahu mengkaji dan mempelajarinya bahkan mereka dialu-alukan untuk mempelajari ilmu dunia seperti kedoktoran dan kejuruteraan serta ilmu-ilmu tamadun Barat seperti pendidikan dan undang-undang hingga agama pada sebahagian besar massa menjadi urusan orang miskin dan lemah atau begitulah keadaannya mereka dilihat.
 
Natijah paling besar dari situasi tersebut ke atas umat Islam ialah hilangnya konsep kesatuan umat, maka berlakulah penderaan ke atas etnik-etnik Muslim tertentu, satu demi satu tanpa dapat dirasakan oleh yang lain.  Pada masa Cyprus Yunani menyeksa kaum muslimin Turki di Cyprus, Abdun Nasir dan orang Arab berada di pihak Yunani menentang saudara-saudara Islam mereka.  
 
Begitu juga ketika Soviet Union menyeksa umat Islam di Qofaz dan Asia Tengah, tiada seorang muslim pun mengendahkan saudara-saudara mereka serta penderitaan mereka.  Bahkan komunis dilihat sebagai penolong bangsa yang ditekan.  Demikian juga yang berlaku semasa penyembelihan muslim di India dan Kashmir, tiada seorang pun saudara-saudara muslim merasai musibah mereka bahkan mereka memandang Nehru sebagai pemimpin dan ketua dalam melawan penjajahan dan imperialisme Barat.
 
Demikianlah keadaan umat yang menjadi mundur di setiap peringkat.  Bilakah kemunduran ini akan berhenti dan bilakah akan bermulanya peningkatan?
 
Situasi-situasi tersebut berterusan dalam kemunduran yang menjengkelkan selepas runtuhnya Khilafah selama tiga dekad hingga muncullah di kalangan umat Islam satu pimpinan yang menunjukkan jalan kepada mereka, menentukan matlamatnya, memahami pemikirannya dan risalah utusannya.  
 
Pada ketika itu umat mula kembali percaya pada dirinya dan risalahnya.  Dari tengkuk mereka dicabut tuntutan-tuntutan Jahiliyah seperti nasionalisme dan patriotisme.  Demikian juga, tuntutan kufur seperti sosialisme dan komunisme serta demokrasi, semuanya dicampakkan ke tanah.
 
Munculnya Hizbut Tahrir adalah petanda yang paling menonjol untuk tahapan ini.  Ciri-ciri era ini yang paling menonjol adalah pertembungan pemikiran yang jelas lagi nyata dan perjuangan politik yang pahit yang ditelannya sejak ia memulakan perjalanannya pada tahun 1953, menentang semua pemikiran yang meracuni umat Islam serta kuasa-kuasa politik agen asing dalam masa yang sama.  
 
Hal ini menyebabkan kita menegaskan dengan penuh keyakinan bahawa kemunduran umat telah menemui titik akhir dan titik mula peningkatannya telah bermula sejak tarikh itu.  Antara natijah langsungnya adalah menyerang kuasa-kuasa tersebut dan mencarik-cariknya, bahkan menjadikannya suatu yang memalukan dan keji pada pemiliknya juga helaian hitam pada usia umat.  Perintis kepada semua pelaksanaan ini adalah parti yang ikhlas dan sedar ini.
 
Tetapi apakah semua itu tanda-tanda zahir yang menunjukkan peningkatan ini?  Bilakah pula umat akan sampai di jalannya? Adakah ia di permulaannya, atau akhirnya atau apa?
 
Kembalinya kepercayaan umat terhadap Islam merupakan tanda yang jelas pada parti ini. Hal ini telah tergambar sejak ia mula mengumumkan dakwahnya, iaitu ketika umat menerima idea-ideanya. Bahkan mereka berjalan bersama-sama parti ini. Pada awalnya ia menjatuhkan semua penguasa zalim yang ada dalam umat, iaitu kalangan agen dan pengikut (Barat) secara menggoncang kedudukan mereka. 
 
Permulaan kejatuhan para penguasa ini adalah apabila umat mula berundur dari sisi mereka. Hal ini telah pun terjadi ketika dakwah Khilafah belum pun sampai seabad usianya, iaitu ketika pemikiran dan kekuatan politik tersebut mula hadir di benak umat.menukar kulit dan slogan seruan umat (nasionalisme, patriotisme dll-pent.) yang telah memperdaya umat dari hakikat sebenar seruan parti ini.
 
Tetapi semua itu tidak mampu menghentikan mahupun melambatkan usaha parti ini untuk menghilangkan terus slogan-slogan tersebut. Semua itu berlaku kerana saki-baki kebaikan dalam diri umat masih ada dan parti ini mampu untuk menzahirkannya. Oleh itu respon umat terhadap hizb, iaitu parti ini adalah positif.
 
Selain itu, tanda-tanda fizikal bermulanya kebangkitan umat antaranya adalah percubaan-percubaan dakwah khilafah untuk sampai kepada pihak pemerintah, mengetuk pintunya dengan kuat, seperti di Mesir, Syam dan Iraq.  Ditambah pula dengan usaha meruntuhkan slogan nasionalisme dan meninggikan syiar Islam hingga Mesir berjuang dalam peperangan pada tahun 1973 pada bulan Ramadhan dengan nama Allah dan takbir dan kemudian diikuti oleh tanda-tanda yang menunjukkan kebangkitan Islam yang baru.  
 
Pimpinan yang memikul syiar Islam di semua negaralah yang mewakili perasaan majoriti manusia seperti yang muncul di Iran, Afghanistan, Algeria, Palestin, Jordan, Lubnan dan Turki.  Hingga konsep umat Islam yang satu kembali hidup dan tampak bagi semua yang melihat.  Dalam semua isu, Islam dan umat Islam adalah sama.  
 
Sejak tiga dekad, isu-isu Afghanistan, Algeria dan Chechnya menjadi isu-isu Islam dan direspon oleh umat Islam.  Respon ini adalah jelas, bukan dengan perasaan semata bahkan dengan perbuatan yang zahir terindera yang menunjukkan bahawa umat Islam mengambil isu-isu ini dengan menganggapnya sebagai isu-isu mereka seperti yang terlihat pada jihad penduduk Afghanistan melawan Rusia dan di Chechnya serta Bosnia dan Herzegovina.  
 
Seterusnya juga jihad penduduk Afgahanistan melawan kuasa penjajah Barat, iaitu kafir penipu yang diwakili oleh negara-negara Amerika dan Eropah wakil negara-negara NATO.
 
Di sudut dunia yang lain, isu Baitul Maqdis dinamakan isu Palestin.  Tetapi Barat dan para pemerintah kedua-duanya tidak boleh lagi menamakannya sebagai isu Palestin kerana setiap hari keislamannya ditampakkan ke atas semua penipu dan pengkhianat dengan cara umat Islam meresponnya dan menjadikannya fokus utama mereka.  Ia satu perkara yang menjadi mimpi yang mengerikan kepada Amerika, para kuffar dan munafik yang telah terancam kemaslahatan dan kewujudan mereka di negara-negara umat Islam secara keseluruhannya.  Kesedaran ini menjadi peringatan yang terang dan jelas sama ada kepada orang Amerika atau Eropah ataupun para pemerintah Islam.
 
Isu-isu Islam tidak lagi menjadi urusan kurang penting dalam kehidupan umat.  Syiar Islam sebagai penyelesaian masalah adalah sesuatu yang diingini oleh jutaan manusia, bahkan oleh bangsa-bangsa Islam secara umum hingga suasana dipenuhi dengan syiar-syiar ini dan ia menjadi impian umat.  Mempertahankan simbol-simbol Islam menjadi isu umat Islam secara umum sepertimana isu hijab dan isu Perancis serta tindakan negara-negara Eropah memerangi hijab.  
 
Tidak terkecuali juga isu lukisan keji yang menunjukkan kebencian terhadap Rasul yang mulia, Nabi Muhammad s.a.w.  Begitu juga penolakan kuat kaum muslimin terhadap Pope Rome kerana permusuhannya terhadap Islam dan Rasulullah s.a.w.  Semua peristiwa ini dan yang seumpamanya menegaskan hakikat telah kembalinya keyakinan umat Islam terhadap Islam, risalah mereka dan umatnya yang mulia sebagai umat Islam.
 
Berkenaan fenomena kesedaran Islam dan tanda-tanda kebangkitan Islam di tengah-tengah kaum muslimin, ia merupakan satu fenomena yang jelas dan banyak terjadi.  
 
Antaranya pertambahan pemakmur-pemakmur masjid secara meluas sama ada dari kalangan pemuda, kanak-kanak apatah lagi orang tua.  Juga tersebarnya pengetahuan Islam dan penerimaan meluas terhadapnya hingga ia menjadi topik yang paling popular terutamanya di tengah-tengah para pemuda.  
 
Penerimaan terhadap Islam dan kebudayaannya serta komitmen terhadap hukum-hakam ini meliputi semua, lelaki dan wanita, pemuda dan pemudi.  Pakaian syarie bagi wanita, iaitu khimar dan jilbab tersebar dan meluas di bandar dan desa serta ibu kota, di sekolah dan universiti hinggakan ciri dominan bagi pelajar universiti di kebanyakan negara umat Islam adalah lambang Islam sama ada di fakulti-fakulti perubatan, kejuruteraan, farmasi dan sains, apatah lagi fakulti-fakulti syariah.
 
Seterusnya bertambahnya pembinaan masjid secara besar-besaran dan meluas hingga jumlahnya meningkat berkali ganda walaupun realitinya kerajaan-kerajaan yang zalim di negara-negara umat Islam masih meletakkan kekangan dan hambatan terhadap pembinaan masjid selain memerangi masjid yang telah sedia ada, mempersempitkannya serta tidak memberikannya pembiayaan.
 
Sementara ibadat haji dan umrah menjadi suatu musim yang besar bagi umat Islam terutamanya bagi para pemuda sebelum meningkat usia setelah sebelumnya hanya terhad kepada sesetengah orang tua sahaja.  
 
Orang kafir dan para pemerintah mula melakukan tipu daya terhadap persoalan haji dan meletakkan hambatan terhadap penerimaan para pemuda terhadapnya dengan dakwaan bohong.  Ibadat umrah dilakukan sepanjang bulan-bulan yang diizinkan oleh keluarga Saud dan bertambah setiap tahun dengan jutaan umat Islam yang bangga menziarahi Baitullah al-Haram dan masjid Rasulullah s.a.w.
 
Antara fenomena besar kesedaran Islam yang diberkati ini adalah komitmen orang Islam yang tinggal di negara-negara Barat terhadap Islam dan intima’ (penggabungan) mereka dengan umat Islam yang telah menggoncang keselesaan Barat.  Orang Barat mula melarang hijab bahkan jilbab (jubah) dan khimar (tudung) serta memaksakan nilai-nilai jahatnya atas generasi kita, menyempitkan masjid dan menghina Islam dan umat Islam.
 
Lebih jauh lagi, ada umat Islam di Barat yang mengemban tamadun Barat ke negara-negara umat Islam, berubah menjadi pengemban dakwah Islam kepada jantung Barat. 
 
Mengenai kebangkitan Islam politik di bidang pemerintahan dan negara, Islam politik menjadi isu antarabangsa pertama bagi Barat.  Peringatan akan bahayanya terhadap situasi-situasi penjajahan di negara-negara umat Islam menjadi urusan penting yang disibukkan oleh kuffar dan negara-negara mereka, ahli politik mereka serta para pemikir mereka dan menjadi fokus pembahasan dan kajian bagi mereka.
 
Dakwah khilafah yang dipelopori oleh Hizbut Tahrir menjadi impian umat secara keseluruhannya.  Kajian-kajian dan pusat-pusat penyelidikan menegaskan hal ini hinggakan jutaan umat Islam pelbagai bangsa memberi respon terhadap perkara tersebut dan mereka menjadi penolong-penolongnya di seluruh dunia, dari China, India, Indonesia hingga Morocco dan di negara-negara Barat Eropah dan Amerika serta hingga ke Rusia dan Australia. 
 
Dakwah ini dengan izin Allah mampu mengumpulkan pengikutnya dan penolongnya dalam beberapa kesempatan berulang kali dan di pelbagai negara dalam keadaan semuanya menyeru kepada Khilafah dan nusrah serta menzahirkan agama.
 
Sesungguhnya mereka yang ingin menyelidik fenomena kebangkitan Islam dan membuat statistik serta memutuskannya tidak cukup dengan satu artikel yang mengandungi beberapa halaman, hatta tidak juga satu majalah atau buku. 
 
Tetapi kita telah tunjukkan beberapa fenomena dan topik-topiknya yang menonjol agar berita gembira ini berada di hadapan kemenangan dan khilafah bagi mereka yang memperjuangkannya dan seterusnya adalah dakwah kepada semua umat Islam secara umum untuk bergabung dengan perjuangan Khilafah yang diberkati agar mereka mempunyai sumbangan dalam membina perkataan Islam yang agung dan berjaya dengan ganjaran pejuang yang awal dari kalangan muhajirin dan ansar.  
 
Maka pada hal tersebut berlumba-lumbalah orang yang berlumba-lumba. Allah Taala berfirman yang maksudnya: “Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Mekah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. Dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu kerjakan.” [TMQ al-Hadid (57): 10]
 
Oleh: Abu Luqman as-Syami
 
(Terjemahan majalah al-Waie (arab) edisi 284-285 http://www.al-waie.org)
 

 
Soalan:  Bolehkah wanita haid yang sudah memakai tuala wanita beriktikaf di dalam masjid? Kawasan apakah yang termasuk masjid? Adakah tingkat bawah masjid (basement) termasuk masjid?
 
Jawapan: 1. Hukum Wanita Haid Duduk di Masjid
 
Jumhur ulama, antaranya imam mazhab yang empat, sepakat bahawa wanita yang haid tidak boleh berdiam (al-lubts) atau iktikaf di dalam masjid, kerana ada hadith Nabi Saw yang mengharamkannya.  Meskipun Imam Dawud Azh-Zhahiri membolehkan wanita haid dan orang junub iktikaf di masjid [1], namun pendapat yang kuat adalah pendapat jumhur yang mengharamkannya [2].  Dalilnya ialah sabda Rasulullah Saw: “Sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid bagi wanita yang haid dan orang junub.” [HR. Abu Dawud] 
 
Yang dimaksudkan berdiam (Bahasa Arab: al-lubtsu, atau al-muktsu) ialah berdiam atau tinggal di masjid, misalnya duduk untuk mendengar pengajian, atau tidur di dalam masjid.  Tidak ada bezanya sama ada dia duduk, berdiri, atau berjalan mundar-mandir (at-taraddud) di dalam masjid, semuanya tidak dibolehkan bagi wanita haid.
 
Akan tetapi jika seorang wanita haid sekadar melalui atau melintasi (al-murur) masjid kerana sesuatu keperluan, maka itu tidak mengapa.  Dengan syarat wanita itu tidak berasa khuatir akan mengotorkan masjid [5].  Dalilnya, Nabi Saw pernah memerintahkan `A`isyah untuk mengangkat khumrah (seakan sejadah) yang berada di dalam masjid.  Lalu `A`isyah memberitahu, “Sesungguhnya aku sedang haid.” Rasul bersabda, “Sesungguhnya haidmu itu bukan berada di tanganmu.” [HR. Muslim] [6].  Selain itu, ada riwayat lain bahawa Maimunah RA pernah berkata, ”Salah seorang dari kami pernah membawa sejadah ke masjid lalu membentangkannya, padahal dia sedang haid.” [HR. An-Nasa`i]. [7].
 
Berdasarkan penjelasan di atas, sesungguhnya hukum syara’ dalam masalah ini telah jelas, iaitu wanita haid haram hukumnya iktikaf di masjid.  Adapun jika sekadar lalu atau melintas, hukumnya boleh dengan syarat tidak ada kekhuatiran akan mengotorkan masjid.
 
Sebahagian ulama memang ada yang membolehkan wanita haid iktikaf di masjid asalkan ia berasa aman (tidak khuatir) akan mengotorkan masjid, misalnya dengan memakai tuala wanita.  Dalam Syarah Al-BajuriJuz I hal. 115 dikatakan, bahawa kalau wanita haid tidak khuatir akan mengotorkan masjid, atau bahkan berasa aman, maka pada saat itu tidak diharamkan baginya masuk masjid, tetapi hanya makruh saja.
 
Menurut pemahaman kami, pendapat itu tidak dapat diterima.  Sebab pendapat tersebut tidak mempunyai landasan syar’i yang kuat.  Pendapat tersebut menjadikan “kekhuatiran mengotorkan masjid”, sebagai illat(alasan penetapan hukum) bagi haramnya wanita iktikaf di masjid.  Jadi, jika kekhuatiran itu sudah lenyap (dengan memakai tuala wanita), maka hukumnya tidak haram lagi.  Padahal, hadith yang ada tidak menunjukkan adanya illat bagi haramnya wanita haid untuk iktikaf di masjid.  Jadi tidak dapat dikatakan bahawa keharamannya disebabkan adanya kekhuatiran akan menajiskan masjid.  Sehingga jika kekhuatiran itu lenyap (dengan memakai tuala wanita) maka hukumnya tidak haram.  Tidak boleh dikatakan demikian, kerana nas yang ada tidak menunjukkan adanya illat itu.  Nabi Saw hanya mengatakan, “Sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid bagi wanita yang haid dan orang junub.”  Nas ini jelas tidak menunjukkan adanyaillat apa pun, baik illat secara sarahah (jelas), dalalah (penunjukan), istinbat, atau qiyas.
 
Lagi pula nas tersebut bersifat mutlak, bukan muqayyad.  Jadi yang diharamkan iktikaf di masjid adalah wanita haid, secara mutlak.  Baik wanita haid itu akan mengotorkan masjid, atau tidak akan mengotorkan masjid.  Memakai tuala wanita atau tidak memakai tuala wanita.  Jadi, selama tidak ada dalil yang memberikan taqyid (batasan atau sifat tertentu) – misalnya yang diharamkan hanya wanita haid yang dapat mengotorkan masjid – maka dalil hadith tersebut tetap berlaku untuk setiap wanita haid secara mutlak.  Hal ini sesuai dengan kaedah usul fiqh:
 
Al-muthlaqu yajriy ‘ala ithlaaqihi maa lam yarid daliil at-taqyiid
 
“(Lafaz) mutlak tetap berlaku dalam kemutlakannya selama tidak ada dalil yang menunjukkan adanya taqyid (pemberian batasan/sifat tertentu)”.
 
2. Batasan Masjid
 
Setelah jelas wanita haid tidak boleh iktikaf di masjid, maka pertanyaan berikutnya adalah, apakah batasan masjid itu?  Masjid adalah tempat yang ditetapkan untuk mendirikan solat berjamaah bagi orang umum.  Yang dimaksudkan solat berjamaah ialah terutamanya solat berjamaah lima waktu dan solat Jumaat.  Namun termasuk juga solat sunat berjamaah seperti solat Tarawih dan solat Aidil Fitri atau Aidil Adha.  Di Malaysia, jika hanya untuk berjamaah lima waktu tetapi tidak digunakan solat Jumaat, tempat itu biasanya tidak disebut masjid, tapi disebut surau.  Manakala istilah masjid atau masjid jami`, biasanya digunakan untuk tempat yang digunakan untuk solat Jumaat.  Sebenarnya, semua itu termasuk kategori masjid, menurut definisi di atas.  Kerana yang penting tempat itu digunakan solat berjamaah untuk orang umum.  Maka, terhadap surau, berlaku juga hukum-hukum untuk masjid, misalnya wanita haid tidak boleh iktikaf di dalamnya.  Walaupun tidak dinamakan masjid.  Adapun jika sebuah tempat disiapkan untuk solat berjamaah, tapi hanya untuk orang tertentu (misal penghuni sesuatu rumah), maka tempat itu tidak dinamakan masjid, dan tidak diterapkan hukum-hukum masjid padanya.  Demikian pula jika sebuah tempat hanya digunakan untuk solat secara sendiri, bukan untuk solat jamaah, maka itu juga bukan dinamakan masjid.
 
Definisi di atas adalah definisi umum, iaitu untuk membezakan masjid dengan bangunan yang bukan masjid. Ada definisi khusus, iaitu masjid dalam pengertian tempat-tempat yang digunakan untuk solat (mawadhi’ ash-salat), atau tempat-tempat yang digunakan untuk sujud (mawdhi’ as-sujud).  Definisi khusus ini untuk membezakan berlakunya hukum masjid bagi sebuah kompleks bangunan masjid yang luas dan terdiri dari beberapa bangunan atau ruang untuk pelbagai keperluan.  Sebab adakalanya sebuah kompleks masjid itu memiliki banyak ruang, atau mungkin mempunyai dua tingkat, mempunyai bilik khusus untuk penjaga masjid, mempunyai bilik seminar / mesyuarat, kedai,parking dan sebagainya.  Bahkan ada masjid yang tingkat bawahnya kadang-kadang digunakan untuk acara kenduri pernikahan, pameran, dan sebagainya.  Apakah semua ruangan itu disebut masjid dan berlaku hukum-hukum masjid?  Menurut pemahaman kami, jawapannya tidak.  Dalam keadaan ini, berlakulah definisi khusus masjid, iaitu masjid sebagai mawadhi` ash-solat (tempat-tempat solat).
 
Maka dari itu, basement (ruang legar/lobi) masjid bukanlah masjid, jika basement itu memang tidak digunakan untuk solat jamaah.  Jika digunakan untuk solat berjamaah, maka termasuk masjid.  Demikian pula bahagian masjid yang lain, misalnya bilik mesyuarat, bilik seminar, bilik penjaga masjid, tempat parkir (tempat letak kereta) dan sebagainya.  Semuanya bukan masjid jika tidak digunakan untuk solat berjamaah.  Ringkasnya, semua tempat atau ruang yang tidak digunakan untuk solat berjamaah, tidak dinamakan masjid, meski pun merupakan sebahagian dari keseluruhan bangunan masjid.
 
Bagaimana andaikata sesuatu tempat di masjid (misalnya tingkat bawah) kadang-kadang digunakan untuk solat jamaah dan kadang-kadang tidak?  Jawapannya adalah seperti berikut.  Yang diperhatikan adakah sesuatu tempat itu lebih kerap digunakan untuk solat berjamaah, atau lebih kerap tidak digunakan untuk solat berjamaah.  Jika lebih kerap digunakan untuk solat berjamaah, maka dihukumi masjid.  Jika lebih kerap tidak, maka tidak dianggap masjid.
 
Yang demikian itu bertolak dari sesuatu prinsip bahawa hukum syara’ itu didasarkan pada dugaan kuat (ghalabatuzh zhann).  Dan dugaan kuat itu dapat disimpulkan dari kenyataan yang lebih banyak/dominan (aghlabiyah). Ini sebagaimana metod para fuqaha ketika menetapkan pensyariatan Musaqah (akad menyiram pohon) – bukan Muzara’ah (akad bagi hasil pertanian) – di tanah Khaybar.  Mengapa?  Kerana tanah di Khaybar(sebelah utara Madinah) pada masa Nabi Saw sebahagian besarnya adalah tanah-tanah yang berpohon kurma.  Sedang di sela-sela pohon kurma itu, yang luasnya kurang, ada tanah-tanah kosong yang boleh ditanami gandum.  Hal ini dapat diketahui dari riwayat Ibn Umar, bahawa hasil pertanian Khaybar yang diberikan Nabi kepada para isteri beliau, jumlahnya 100 wasaq, iaitu 80 wasaq buah kurma dan 20 wasaq gandum [HR. Bukhari].  Oleh sebab yang lebih banyak adalah hasil kurma, bukan gandum, maka akad yang ada di Khaybar adalah Musaqah, bukan Muzara`ah.
 
Penjelasan di atas menunjukkan contoh kes bahawa hukum syara’ itu dapat didasarkan pada kenyataan yang lebih banyak (aghlabiyah).  Maka dari itu, ketika kita menghadapi fakta adanya ruang basement masjid yang kadang-kadang digunakan untuk solat dan kadang-kadang tidak digunakan untuk solat berjamaah, kita harus melihat dahulu, manakah yang aghlabiyah (yang lebih banyak/kerap).  Jika lebih kerap digunakan untuk solat berjamaah, maka basement itu dihukumi masjid.  Dan jika lebih kerap tidak digunakan untuk solat berjamaah, maka basement itu dianggap bukan masjid.  Wallahu a’lam.  [Muhammad Shiddiq al-Jawi]
 
Catatan: 1 wasaq = 130,560 kg gandum.
 
Nota Kaki
 
1. Muhammad bin Abdurrahman, Rohmatul Ummah fi Ikhtilaf Al-A`immah, hal. 17.
2. Lihat Ash-Shan’ani, Subulus Salam, I/92.
3. Hadith ini sahih menurut Ibnu Khuzaimah. Lihat Subulus Salam, I/92. Menurut Ibn al-Qaththan, hadith ini hasan, Kifayatul Akhyar, I/80.
4. Taqiyuddin Al-Husaini, Kifayatul Akhyar, I/80.
5. Lihat As-Suyuhti, “Al-Qaul fi Ahkam Al-Masajid”, Al-Asybah wa An-Nazha`ir, hal. 241, dan “Bab Al-Haidh”, Al-Asybah wa An-Nazha`ir, hal. 247; As-Sayid A’lawi, Bughyatul Mustarsyidin, hal. 14.
6. Lihat Dr. Mustopha Diibul Bigha, Fiqih Syafi’i (At-Tahdzib), hal. 76; M. Shalih Al-Utsaimin, Al-Fatawa An-Nisa`iyah (Fatwa-Fatwa Tentang Wanita), hal. 44.
7. Lihat Dr. Mustopha Diibul Bigha, Fiqih Syafi’i (At-Tahdzib), hal. 77.
8. Taqiyuddin Al-Husaini, Kifayatul Akhyar, I/78.
9. KH. Moch Anwar, 100 Masail Fiqhiyah : Mengupas Masalah Agama yang Pelik dan Aktual, hal. 51.
10. Lihat Wahbah Az-Zuhaili, Ushul Al-Fiqh Al-Islami, I/208; Imam Asy-Syaukani, Irsyadul Fuhul, hal. 164.
11. Lihat Hasbi Ash-Shiddieqy, Pedoman Sholat, hal. 274-275; Koleksi Hadith-Hadith Hukum, III/368; Ibrahim Anis dkk, Al-Mu’jam Al-Wasith, hal. 416.
12. Lihat Ash-Shan’ani, Subulus Salam I/92 & 152.
13. Ibid.
14. Lihat Taqiyuddin An-Nabhani, Muqaddimah Ad-Dustur, hal. 319.