Fikratul Ummah – November 2014

alt
 

 

Oleh: Ketua Pengarang

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barokatuh..

Salam Maal Hijrah 1436H..

Seiring kita menadah tangan tanda bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izinNya juga kita berkesempatan menyambut Tahun Baru Hijrah sekali lagi. Oleh itu, wajarlah bagi kita seluruh umat Islam untuk mengenang kembali peristiwa dan menghayati makna sebenar hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat ke bumi Madinah yang bercahaya.

Para pembaca yang dikasihi sekalian,

Ramai dalam kalangan kaum Muslimin baik secara individu mahupun secara jemaah menginginkan tertegaknya semula sistem Islam yang pasti akan menjamin kesejahteraan seluruh alam. Hizbut Tahrir tetap berpegang pada satu jalan dakwah tanpa kekerasan yang merupakan metod syari’e yang telah ditunjukkan Rasulullah SAW dalam penegakan syariah dan Khilafah. Dakwah Hizbut Tahrir berfokus pada marhalah tatsqif (tahapan pembinaan) individu mahupun jemaah, marhalah tafa’ul ma’a al-ummah (tahapan berinteraksi dengan masyarakat) yang mana aktiviti thalab an-nusrah menjadi salah satu aktiviti wajibnya sehingga tahap akhir perjuangannya ialah marhalah istilam al-hukm (penerapan kekuasaan) yang semoga akan segera terealisasi dalam waktu terdekat ini.

Akhawati rahimakumullah,

Aktiviti thalab an-nusrah memainkan peranan yang sangat penting untuk menuju ke marhalah istilam al-hukm. Ia merupakan satu aktiviti yang menjadi batu loncatan kepada hijrahnya Rasulullah SAW dan para sahabat ke Madinah. Oleh itu, bersempena dengan Maal Hijrah 1436H ini, FU edisi kali ini membawakan kepada anda sebuah topik untuk difahami bersama mengenai kepentingan aktiviti thalab an-nusrah dalam menuju hijrah yang hakiki. Beberapa topik lain terkait peristiwa hijrah juga disediakan bertujuan untuk menyemai kesedaran dan menyuntik kebangkitan demi meneladani hijrah Rasulullah SAW dalam kehidupan kita pada hari ini.

Semoga tibanya tahun baru hijrah kali ini menerbitkan sinar baru bagi kehidupan umat Islam dengan tertegaknya semula Daulah Islam yang diimpi-impikan insyaAllah…

Wallahu’alam…

 



Oleh: Rahmah Nadzri (Ketua MHTM Perak)

Muqaddimah

Dakwah merupakan sebuah perjalanan. Berkat kesabaran para daie yang ikhlas, dakwah akan semakin berkembang dan produktif. Pada suatu keadaan, masyarakat semakin memahami kerosakan sistem yang diterapkan, kezaliman pemimpinnya serta bersekutunya mereka dengan pihak asing penjajah. Kepercayaan umat kepada pemimpin yang asalnya menjadi harapan akan semakin pudar.

Pada saat yang sama, boleh jadi umat masih belum memberikan kepercayaannya kepada Islam dan  para pejuangnya. Sememangnya keadaan sebegini menyulitkan usaha untuk mengubah sistem sekular yang rosak. Malah konspirasi untuk mempertahankan sistem buatan manusia ini terus menerus dilakukan. Di samping itu, tekanan yang dikenakan oleh pemimpin ke atas rakyatnya sendiri juga semakin meningkat. Kelompok dakwah dan para pejuang yang menyerukan tegaknya syariah dan Khilafah ditekan dan diancam serta dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam keadaan ini, sudah tentu dakwah memerlukan pertolongan dan perlindungan daripada pihak yang memiliki kemampuan untuk itu. Maka, aktiviti thalab an-nusrah (mencari pertolongan) merupakan aktiviti yang sangat penting dalam rangka mewujudkan kekuasaan Islam. Tanpa thalab an-nusrah, dakwah tidak akan sampai pada perubahan hakiki dengan tegaknya syariah dan Khilafah.

Kepentingan Thalab An-Nusrah
Dari segi bahasa ahlun-nusrah bererti pihak yang mempunyai kemampuan untuk memberikan pertolongan. Usaha dakwah untuk mencari dan mendapatkan ahlun-nusrah dikenali dengan istilah thalab an-nusrah. Usaha ini dilakukan oleh parti politik Islam pada penghujung tahapan kedua dakwah iaitu tahapan berinteraksi dengan umat (at-tafa’ul ma’a al-ummah). Ia bukanlah suatu tahapan (marhalah) dakwah, tetapi salah satu aktiviti dalam tahapan dakwah.

Thalab an-nusrah mempunyai dua tujuan. Pertama, mendapatkan himayah (perlindungan) bagi setiap individu yang menggalas tugas dakwah dan kegiatan dakwahnya. Sebagai contoh, Rasulullah SAW mendapat perlindungan daripada bapa saudaranya, Abu Thalib. Baginda juga mendapat jaminan keamanan daripada Muth’im bin Adi sekembalinya dari Thaif. Kedua, mendapatkan al-hukm (kekuasaan) untuk menegakkan hukum Allah SWT dalam Negara Khilafah. Contohnya, dahulu Rasulullah SAW menerima kekuasaan daripada kaum Ansar sehingga baginda kemudian dapat menegakkan Daulah Islamiyyah di Madinah.

Kewajipan thalab an-nusrah didasarkan pada teladan Rasulullah SAW dalam perjuangan baginda mencari perlindungan dan kekuasaan daripada ketua kabilah saat itu yang bermula empat tahun sebelum hijrah. Setelah wafatnya Abu Thalib, sikap masyarakat Mekah semakin keras. Perlindungan terhadap dakwah Nabi tidak sekuat ketika Abu Thalib masih hidup. Dalam keadaan demikian, Allah mewahyukan kepada baginda untuk mendatangi kabilah-kabilah Arab untuk meminta perlindungan dan pertolongan sehinggalah baginda berhasil mendirikan Daulah Islam pertama iaitu di Madinah.

Rasulullah SAW melakukan thalab an-nusrah kepada banyak kabilah, baik di kampung-kampung mahupun ketika musim haji di Mekah. Baginda sentiasa menggunakan kesempatan yang ada untuk menemui para pemimpin kabilah Arab seraya mengajak mereka untuk beriman dan menyampaikan seruan bahawa baginda adalah utusan Allah SWT. Seterusnya baginda meminta mereka untuk membenarkannya sekaligus melindungi dirinya. Ibnu Hisyam menuturkan,

Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW setiap kali menemui kabilah-kabilah Arab. Ketika mereka berkumpul pada musim haji, baginda mendatangi dan menyeru mereka untuk beriman kepada Allah. Baginda justeru menawarkan dirinya untuk dilindungi oleh mereka. Baginda menjelaskan apa yang dibawanya berupa petunjuk dan rahmat. Apabila baginda mendengar seseorang yang mempunyai nama dan kemuliaan datang ke Mekah, pasti baginda mendatanginya, menyeru kepada Allah dan menawarkan Islam kepada mereka”.

Ibnu Saad dalam kitabnya at-Thabaqat menyebutkan 15 kabilah yang didatangi Rasulullah SAW dalam rangka thalab an-nusrah, di antaranya kabilah Kindah, Hanifah, Bani ‘Amir bin Sha’sha’ah, Kalb, Bakar bin Wail, Hamdan dan lain-lain. Kepada setiap kabilah ini, Rasulullah SAW mengajak mereka agar beriman dan memberi nusrah kepada beliau untuk memberikan kekuasaan demi tegaknya agama Allah (M. Abdullah al-Mas’ari, al-Mana’ah wa Thalab an-Nusrah, hal. 3-8). Inilah Golongan yang didatangi oleh Nabi Muhammad SAW dalam setiap aktiviti thalabun-nusrah.

Sungguh, usaha ini tidak semudah yang disangka. Penolakan demi penolakan datang silih berganti. Namun, Rasulullah SAW tidak mengubah cara ini atau menggantinya dengan cara lain. Baginda terus berpegang teguh pada cara ini dengan cekal walaupun sering menghadapi kegagalan dan penolakan. Ini merupakan qarinah (indikasi) yang jazim (tegas) bahawa thalab an-nusrah yang dilakukan Rasulullah SAW adalah suatu kewajipan dan perintah syar’ie iaitu perintah daripada Allah SWT.

Siapakah Ahlun-Nusrah?
Dengan mengkaji sirah Nabi SAW, kita dapat memahami bahawa ahlun-nusrah terdiri sama ada daripada pihak yang memiliki pengaruh, kekuatan dan kekuasaan secara langsung sehingga mereka dapat mengubah sistem kufur menjadi sistem Islam. Contohnya ialah penguasa sesebuah negara. Namun, apabila penguasa tadi tidak menerima perubahan, maka pada saat itu nusrah (pertolongan) berasal daripada pusat kekuatan yang ada di negeri iaitu pihak yang mampu merobohkan penguasa serta menyerahkan kekuasaan kepada pihak yang akan menerapkan Islam.

Berdasarkan sirah Nabi SAW, dapat disimpulkan beberapa isi penting mengenai ahlun-nusrah.

Pertama: Ahlun-nusrah haruslah sebuah kelompok (jemaah), bukan individu. Ini kerana Rasulullah SAW hanya meminta nusrah daripada kelompok, bukan daripada individu-individu, kecuali individu tersebut merupakan wakil daripada sebuah kelompok. Contohnya Rasulullah SAW mendatangi kabilah Tsaqif di Thaif, yang kedudukan kabilah itu setara dengan negara. Baginda juga mendatangi kabilah Kalb sebagai kelompok yang kuat dalam sebuah negara. Beliau juga mendatangi Bani ‘Amir bin Sha’sha’ah sebagai individu-individu yang mewakili sebuah negara (M. Muhsin Radhi, Hizb at-Tahrir Tsaqafatuhu wa Manhajuhu, hal. 311-313).

Kedua: Ahlun-nusrah haruslah terdiri daripada kelompok yang kuat, iaitu yang berkemampuan menyerahkan kekuasaan termasuk mampu mempertahankan Khilafah ketika telah tertegak. Thalabun-nusrah tidak boleh berasal daripada kelompok yang lemah. Rasulullah SAW pernah meminta nusrah daripada kabilah Bakar bin Wail. Namun, Rasulullah SAW kemudian membatalkannya setelah mendapat tahu kabilah itu tidak berkemampuan. Rasulullah SAW bertanya kepada kabilah Bakar bin Wail, “Berapa jumlah kalian?” Mereka menjawab, “Banyak, seperti butiran tanah”. Rasulullah SAW bertanya lagi, “Bagaimana kekuatan kalian?” Mereka menjawab, “Tidak ada kekuatan (laa mana’ah)”. “Kami berjiran dengan Parsi, tetapi kami tidak mampu melindungi diri kami daripada mereka”. Akhirnya Rasulullah SAW hanya mengajak mereka ingat kepada Allah dan mengkhabarkan kerasulan baginda (M. Abdullah Al-Mas’ari, Al-Mana’ah wa Thalab an-nusrah, hal. 4; M. Khair Haikal, Al-Jihad wa al-Qital, I/411).

Ketiga: Ahlun-nusrah wajib orang-orang Muslim. Hal ini nampak jelas daripada aktiviti Rasulullah SAW dalam thalabun-nusrah kepada pelbagai kabilah. Beliau meminta mereka beriman terlebih dahulu, setelah itu baru meminta mereka memberikan perlindungan kepada baginda. Hal ini hanya berlaku jika nusrah yang diminta berupa dukungan untuk memperoleh kekuasaan. Adapun jika untuk kepentingan perlindungan peribadi (himayah syakhsiyyah), maka ianya boleh berasal daripada non-Muslim, seperti halnya Rasulullah SAW yang mendapatkan perlindungan daripada bapa saudaranya, Abu Thalib yang non-Muslim (M. Khair Haikal, Al-Jihad wa al-Qital, I/408).

Keempat: Ahlun-nusrah haruslah orang-orang yang mendukung Syariah dan Khilafah, bukan orang yang memusuhi Islam seperti kelompok sekular, liberal dan sebagainya. Dahulu, Rasulullah SAW mendapatkan nusrah daripada kabilah Aus dan Khazraj setelah kedua-dua kabilah itu mempelajari Islam daripada Mushab bin Umair RA di Madinah. Jadi, ahlun-nusrah wajib mengikuti pembinaan terlebih dahulu sebagai pelajar (daris) dalam halaqah untuk mempelajari Islam dalam parti politik yang melakukan thalabun-nusrah, meskipun tidak disyaratkan harus menjadi anggota parti politik tersebut (M. Muhsin Radhi, Hizb at-Tahrir Tsaqafatuhu wa Manhajuhu, hal. 315).

Kelima: Ahlun-nusrah harus berada sepenuhnya di bawah kendali parti politik yang mereka dukungi, bukan menjadi kekuatan terpisah dan diluar kawalan. Ini dapat dilihat bagaimana Rasulullah SAW mengendalikan sepenuhnya kabilah Aus dan Khazraj yang memberikan nusrah, Rasulullah SAW meminta kabilah Aus dan Khazraj untuk memilih 12 orang daripada mereka sebagai wakil untuk bermusyawarah dengan Rasulullah SAW. Baginda juga melarang kabilah Aus dan Khazraj untuk memerangi penduduk Mina. Ini menunjukkan semua urusan ahlun-nusrah berada sepenuhnya di bawah kendali Rasulullah SAW (M. Muhsin Radhi, Hizb at-Tahrir Tsaqafatuhu wa Manhajuhu, hal. 315).

Keenam: Ahlun-nusrah tidak dibenarkan meminta balasan atau manfaat tertentu sebagai imbalan melakukan thalabun-nusrah, misalnya meminta jabatan tertentu setelah Khilafah berdiri. Ini nampak jelas daripada penolakan Rasulullah SAW terhadap permintaan kabilah Bani ‘Amir bin Sha’sha’ah yang mensyaratkan agar setelah baginda meninggal dunia, kekuasaan haruslah diserahkan kepada mereka (M. Khair Haikal, Al-Jihad wa al-Qital, I/411).

Ketujuh: Ahlun-nusrah disyaratkan tidak terikat dengan perjanjian antarabangsa yang bertentangan dengan dakwah, sementara mereka pun tidak mampu melepaskan diri daripada perjanjian tersebut. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah membatalkan permintaan nusrah baginda daripada kabilah Bani Syaiban kerana mereka masih terikat perjanjian dengan Kerajaan Parsi untuk tidak saling menyerang, sedangkan mereka tidak mampu melepaskan diri daripada perjanjian itu (M. Khair Haikal, Al-Jihad wa al-Qital, I/414).

Khatimah
Sesungguhnya aktiviti thalabun-nusrah adalah kewajipan dalam marhalah dakwah demi ter-realisasinya kekuasaan Islam dengan tegaknya Syariah dan Khilafah. Ianya merupakan salah satu daripada aktiviti dakwah. Dengan kata lain, aktiviti pembinaan dalam halaqah murakkazah (intensif) atau aktiviti pembinaan umum seperti seminar, tabligh akbar, masirah (demonstrasi aman) dan sebagainya akan tetap berjalan.

Wahai Muslimah yang kini menghayun langkah-langkah perjuangan demi melakukan perubahan! Marilah mempersiapkan suasana nusrah, iaitu dengan bersungguh-sungguh mewujudkan kesedaran umum sehingga terbentuknya public opinion (pengetahuan umum) iaitu dengan wujudnya keinginan yang kuat dalam kalangan umat untuk diatur dan diperintah dengan kekuasaan Islam. Ingatlah apabila keinginan kuat ini muncul dan umat telah disiapkan ke arah menyokong penerapan hukum dan sistem Islam, ancaman dan tekanan fizikal mungkin sahaja muncul baik daripada pihak penguasa mahupun daripada pihak penjajah asing. Satu-satunya pihak yang mampu mengatasi halangan tersebut adalah ahlun-nusrah yang sememangnya memiliki kemampuan dan kekuatan. Begitulah pentingnya peranan ahlun-nusrah dalam perubahan masyarakat menuju tegaknya Syariah dan Khilafah.

Rujukan:
1.    Al-Waie, No. 142 Tahun XIII, 1-30 Jun 2012/1433H
2.     http://hizbut-tahrir.or.id/2011/05/04/thalabun-nushrah-kunci-perubahan/ – diakses pada 30 September 2014
3.    http://irfanabunaveed.com/2013/09/12/thalabun-nushrah-bagian-dari-metode-dakwah-rasulullaah-saw-2/ –  diakses pada 30 September 2014
4.    http://wahyudiibnuyusuf.blogspot.com/2011/10/thalabun-nushrah-metode-menegakkan.html – diakses pada 30 September 2014

 


Oleh: Insyirah Ameer (Ketua MHTM Cawangan Sandakan)

Muqaddimah
Perjalanan mereka bukan dengan pacuan 4 roda yang mampu mencecah 160 kilometer sejam dengan teknologi auto-drive. Perjalanan hanya berdua merentasi lembah pasir gersang, lebih kurang 400 kilometer tanpa lebuh raya tiga laluan, tanpa kenderaan yang dilengkapi penghawa dingin dan halwa telinga pengubat ngantuk. Perjalanan mereka tanpa line, tiada wifi, tiada data plan, tanpa facebook untuk perkongsian pengalaman perjalanan. Perjalanan mereka hanya semata-mata menunggang unta, perlahannya memang membosankan. Berjalan dan terus berjalan, memakan masa bukan tiga hari, bahkan hampir tiga minggu!  Dari rumah Abu Bakar, Rasulullah SAW telah mengambil laluan asing menuju ke selatan (Yaman), tidak mengambil jalan kebiasaan arah utara ke Madinah demi untuk mengelirukan musuh.  Rasulullah berjalan sejauh lima kilometer dengan berkaki ayam sehinggalah sampai ke Bukit Thur yang tinggi, pendakiannya sukar dan berbatu-batu sehingga mengakibatkan telapak kaki Rasulullah melecet.  Bayangkan betapa panasnya pasir di padang pasir di waktu tengahari yang membakar kaki Rasulullah SAW.

Abu Bakar boleh saja memilih untuk menjadi ‘Ibnu Khaldun’ pada RasulNya, pencatat detik-detik penting sepanjang tiga minggu perjalanan yang penuh getir dan cabaran. Namun ditinggalkan sharing itu, maka tiada kita temui catatan terperinci tentang apa yang berlaku antara Thur dan Quba. Tiada sejarawan pun mampu merekodkan dengan terperinci diari harian hijrah mereka berdua. Memadailah Allah SWT menjadi saksi apa yang mereka berdua lalui. ‘La tahzan, innallaha ma’ana’, jika itulah ungkapan sebelum bermulanya hijrah, maka itulah penegasan Rasul pada sahabatnya itu sepanjang misi hijrah.

Hijrah Rasul: ‘Buah’ Ketakwaan Sahabat
Perintah hijrah diturunkan hanya selepas 10 tahun Rasulullah dan para sahabat berdakwah secara terang-terangan dan terpaksa menghadapi segala kesulitan, kesakitan, pemboikotan malah bukan sedikit yang kehilangan nyawa. Allah SWT boleh dan mampu untuk memenangkan umat Islam seawal tahun pertama kerasulan, semudah kun fayakun (jadi, maka jadilah). Tidak perlu Rasulullah dan para sahabat berhijrah meninggalkan kampung halaman yang dicintai, sanak-saudara dan harta benda yang disayangi. Tidak perlu Saidina Ali mempertaruh nyawa saat beliau menggantikan Rasulullah di katil baginda. Tidak perlu Rasulullah dan Saidina Abu Bakar berlari dan bersembunyi di Gua Thur selama 3 hari untuk menyelamatkan diri daripada kafir Quraisy. Tidak perlu kesejukan, kelaparan dan kegelapan. Tidak perlu adanya pengorbanan seorang wanita bernama Asma’ binti Abu Bakar yang sarat mengandung, memanjat gunung demi menghantar bekalan makanan pada sang ayah dan Rasul tercinta. Tidak perlu Abu Bakar menahan pedihnya sakit saat digigit oleh kala jengking di dalam gua. Tidak perlu segala rasa takut dan bimbang. Tidak perlu segala kesusahan dan pengorbanan.
 
Namun, kemenangan dakwah tidak semudah itu untuk diperoleh di dalam genggaman tanpa ada ketakwaan yang menyanggupi perjuangan dan pengorbanan. Sesungguhnya sehingga tidak terbukti sifat sabar, maka kemenangan adalah sangat jauh. Bagaimana mungkin generasi sahabat terawal sanggup mengorbankan harta, keluarga dan nyawa semata-mata untuk dakwah jika mereka tidak memiliki keimanan dan keyakinan yang tinggi terhadap janji Allah dan RasulNya? Ketakwaan inilah hasil utama daripada madrasah kenabian semasa fasa terawal dakwah Rasulullah di Mekah. Allah SWT berfirman,

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu,harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya,dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya” (azab seksaNya) Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik”  [TMQ at-Taubah (9):24].

Memaknai Hijrah Dengan Benar
Secara literal (bahasa), hijrah bererti berpindah tempat. Daripada segi syara’ pula, para fuqaha’ mendefinisikan hijrah sebagai keluar dari Darul kufur menuju Darul Islam (An Nabhani, Asy-Syakhsiyyah Islamiyyah, II/276). Darul Islam dalam definisi ini adalah sebuah wilayah (negara) yang menerapkan syariat Islam secara total dalam segala aspek kehidupan dan keamanannya berada di tangan kaum Muslimin. Definisi hijrah ini diambil daripada fakta hijrah Rasul sendiri dari Mekah (yang ketika itu merupakan Darul kufur) ke Madinah (yang kemudiannya menjadi Darul Islam). Maka, peristiwa hijrah dapat digambarkan seperti berikut:

Pertama, pemisah antara kebenaran dan kebatilan; antara Islam dan kekufuran serta antara Darul Islam dan Darul kufur. Demikianlah menurut Umar bin al-Khattab ketika beliau menyatakan bahawa hijrah itu memisahkan antara kebenaran dan kebatilan. Kedua, tonggak berdirinya Daulah Islamiyyah (Negara Islam) yang pertama di Madinah yang menerapkan syariat Islam dalam setiap sendi kehidupan masyarakatnya. Ketiga, awal kebangkitan Islam dan kaum Muslimin buat pertama kalinya setelah selama 13 tahun sejak kelahirannya, Islam dan kaum Muslim terus diperlekehkan dan ditindas secara zalim oleh orang-orang kafir Mekah. Demikianlah sebagaimana pernah diisyaratkan oleh Aisyah RA,

“Dulu ada orang Mukmin yang lari membawa agamanya kepada Allah dan RasulNya kerana takut difitnah. Adapun sekarang (setelah Hijrah.) Allah SWT benar-benar telah memenangkan Islam, dan seorang Mukmin dapat beribadah kepada Allah SWT sesuka dia[HR Bukhari].

Setelah hijrahlah penindasan dan kezaliman terhadap umat Islam berakhir. Setelah hijrah pula Islam bangkit dan berkembang pesat hingga menyebar ke seluruh Jazirah Arab serta mampu menembus berbagai pelosok dunia.

Mencontohi Hijrah Rasul Dalam Kehidupan Hari Ini
Hari ini, setelah 1426 tahun pasca hijrah Rasulullah, umat Islam wajar memuhasabah kembali akan pelajaran terbesar daripada peristiwa tersebut. Peristiwa hijrah Rasul tidak lain merupakan titik yang menandai perubahan masyarakat jahiliyyah ketika itu menjadi masyarakat Islam. Hijrahnya Rasul dan para sahabat bukanlah untuk melarikan diri demi menyelamatkan nyawa dan iman semata-mata seperti fitnah yang disebarkan oleh para orientalis barat. Malah, ia membawa misi lebih besar iaitu bermulanya sebuah Negara Islam di Madinah al-Munawwarah. Maka, makna terpenting daripada peristiwa hijrah sebenarnya adalah menggambarkan momentum perubahan sebuah masyarakat berbanding perubahan individual. Kegagalan kita untuk memahami sekaligus mewujudkan makna terpenting dalam realiti kehidupan saat ini akan mengakibatkan sambutan Tahun Baru Hijrah hanya sekadar rutin tahunan yang kosong tanpa makna.

Merujuk makna hijrah di atas, adalah sangat wajar bagi kaum Muslimin hari ini untuk memuhasabah kembali makna hijrah Rasul.  Kaum Muslim hari ini tinggal di dalam Darul kufur, bukannya Darul Islam. Natijahnya, pemikiran, perasaan dan sistem kehidupan masyarakat berorientasikan akidah sekularisme (pemisahan agama dengan kehidupan) yang mendasari ideologi kapitalisme. Kehidupan kita dibelenggu oleh sistem kufur dan pemikiran-pemikiran kufur yang mendominasi masyarakat seperti demokrasi, hak asasi manusia (HAM), liberalisme, feminisme, nasionalisme, hedonisme, kapitalisme dan lain-lain. Tiada sebuah negara pun yang menerapkan walau secuil daripada hukum Islam dalam bernegara dan bermasyarakat, melainkan hanya meninggalkan sebahagian kecil hukum Islam terkait pernikahan, perceraian, warisan dan hadhanah kepada mahkamah syariah.

Tidak cukup dengan itu, umat Islam di pelbagai pelosok dunia seperti Syria, Palestin, Kashmir, Selatan Thailand, kaum Rohingya di Myanmar dan kaum Uighur di Xin Jiang, China masih terus ditindas dan dizalimi. Di wilayah lain, kaum Muslim saat ini hidup tertekan dalam ‘penjara besar’ iaitu negara mereka sendiri yang telah dikuasai oleh sistem kufur dan dikawal oleh pemimpin boneka negara-negara kafir Barat imperialis. Sebaliknya, di negara yang majoriti penduduknya Muslim sekalipun, hukum-hukum Islam tidak mampu ditegakkan. Kaum Muslimin yang berpegang teguh pada aturan-aturan Allah disisihkan. Mereka yang konsisten dalam perjuangan menegakkan syariat Islam terus-menerus difitnah dengan berbagai gelaran yang membawa percitraan negatif seperti ekstremis, radikal, fundamentalis, bahkan teroris! Akibatnya, aspirasi Islam dibungkam dan para pejuangnya pun diburu, dihumban ke penjara, bahkan dibunuh.  Posisi umat Islam yang pernah mengalami masa kejayaannya selama lebih 14 abad kini hanya tinggal kenangan.

Maka, kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah masyarakat jahiliyyah menjadi masyarakat Islam kerana itulah makna hakiki peristiwa hijrah Rasul yang wajib kita realisasikan kembali saat ini. Caranya tidak lain adalah dengan menentang segala dominasi pemikiran, perasaan dan sistem sekular di tengah-tengah masyarakat saat ini. Kemudian menggantinya dengan dominasi pemikiran, perasaan dan sistem Islam. Tanpa berusaha mengubah ketiga unsur tersebut di tengah masyarakat jahiliyyah saat ini, masyarakat Islam yang kita cita-citakan tentu tidak akan pernah dapat diwujudkan. Seluruh usaha ini memerlukan bekal ketakwaan yang tinggi demi mendepani segala cabaran, mehnah dan dugaan di jalan dakwah.

Khatimah
Sesungguhnya, hanya dengan mewujudkan kembali ketiga makna hijrah di ataslah kekufuran akan lenyap digantikan oleh keimanan, kejahilan akan musnah tertutup cahaya Islam, Darul kufur akan terkubur oleh Darul Islam dan masyarakat jahiliyyah pun akan berubah menjadi masyarakat Islam. Hanya dengan itu pula, insyaAllah umat Islam saat ini akan berubah daripada umat yang terhina menjadi umat yang akan meraih kembali posisi terhormat sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT,

Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, melakukan amar makruf nahi mungkar dan beriman kepada Allah” [TMQ Ali-Imran (3):110].

Wallahu’alam..
 


Oleh: Farisha Aris (Aktivis MHTM)

Definisi Assabiyyah
Dari segi bahasa, assabiyyah ialah lafaz yang diambil daripada kata ‘asabah. Dalam bahasa Arab, ‘asabah bererti kerabat daripada sebelah bapa. Menurut Ibn Manzhur, assabiyyah ialah seseorang yang mengajak untuk membela keluarga, tidak kira sama ada keluarganya zalim mahupun tidak daripada siapa pun yang menyerang mereka. Menurutnya, penggunaan kata assabiyyah dalam hadis sama ertinya dengan orang yang menolong kaumnya, sementara mereka itu zalim. Pandangan ini sama dengan pandangan al-Manawi ketika menjelaskan maksud hadis,

Tidak termasuk umatku siapa sahaja yang menyeru orang pada assabiyyah[HR Abu Daud].

Beliau menyatakan, ‘maksudnya, siapa yang mengajak orang untuk berkumpul atas dasar assabiyyah, bermaksud bahu-membahu untuk menolong orang yang zalim’.

Imam Muslim meriwayatkan dengan sanadnya dari Jundab ibn ‘Abdillah al-Bajali, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Siapa sahaja yang mati terbunuh di bawah bendera ‘immiyyah, mengajak kepada assabiyyah atau membantu (kerana) assabiyyah maka ia mati dalam jahiliyyah [HR Muslim, al-Imaarah, No. 3440].

Oleh sebab itu, orang yang berperang kerana faktor ‘immiyyah  (kebutaan) iaitu kiasan kepada puak yang berhimpun atas perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil [Al-Sindi dalam Syarah Ibn Majah] atau assabiyyah itu, menurutnya, ialah orang yang berperang bukan demi memenangkan agama atau menjunjung tinggi kalimah Allah SWT. 

Bahaya Assabiyyah
Orang-orang yang mempunyai sifat assabiyyah terhadap bangsanya, sukunya atau kaum kerabatnya, hal ini sama seperti menganggap dirinya itu diciptakan daripada tanah yang istimewa yang berbeza daripada tanah yang menciptakan manusia lainnya. Akibatnya orang seumpama ini menyombongkan dirinya dan membangga-banggakan orang-orang sekelompoknya, memandang rendah kedudukan kelompok lainnya serta merasakan dia dan kelompoknya lebih mulia. Inilah yang seringkali  menimbulkan konflik di antara manusia, malah antara sesama kaum Muslimin kerana cara berfikir yang rendah, rosak dan penuh dengan kecelaruan.

Assabiyyah
  telah mengubah bangsa Arab menjadi saling bermusuhan antara satu sama lain. Oleh kerana assabiyyah ini juga, semenanjung Arab telah berubah menjadi medan pertikaian dan peperangan sehinggalah kedatangan Islam yang mempersatukan semula mereka. Allah SWT telah mengkhabarkan kepada kita tentang keadaan mereka,

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara[TMQ Ali-Imran (3):103].

Hukum Islam Terhadap Assabiyyah

Banyak hadis Nabi SAW yang memberi peringatan tentang bahaya dan keharaman assabiyyah. Diriwayatkan dalam sahih Muslim daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda,

Barangsiapa keluar dari ketaatan dan memecah belah jemaah, lalu ia mati, maka matinya (seperti) mati jahiliyyah. Dan barangsiapa berperang di bawah panji assabiyyah, marah kerana assabiyyah atau menyeru kepada assabiyyah atau menolong kerabat (dalam kezaliman), kemudian ia mati, maka matinya adalah mati jahiliyyah…” [HR Muslim].

Sesungguhnya Allah telah menghilangkan dari kalian kesombongan seperti jahiliyyah dan kebanggaan kalian dengan nenek moyang. (Yang ada adalah) orang beriman yang bertakwa dan orang jahat yang sengsara. Kalian adalah anak cucu Adam dan Adam dicipta daripada tanah. Maka, hendaklah orang-orang meninggalkan kebanggaan mereka terhadap kaumnya sebab mereka hanya (akan) menjadi bahan bakar Jahannam atau di sisi Allah mereka akan menjadi lebih hina daripada serangga yang mendorong kotoran dengan hidungnya [HR Abu Daud, dihasankan oleh Albani].

Abu Daud juga meriwayatkan dengan isnad sahih daripada Abdullah bin Mas’ud RA, beliau berkata,
“Barangsiapa menolong kaumnya bukan di atas kebenaran, maka ia seperti unta yang dikendala dengan ditarik ekornya [HR Abu Daud, Albani mengatakan hadis ini sahih Mauquf].

Sesungguhnya kelompok yang tolong-menolong berasaskan sikap assabiyyah sangat menyalahi ajaran Islam. Umat Islam dilarang sama sekali memiliki sikap assabiyyah yang bukan sahaja haram, bahkan jelas merupakan ikatan yang rosak dan tidak sesuai dengan martabat manusia kerana ikatan ini tidak mampu mengikat sesama manusia menuju kebangkitan dan bersifat emosional semata-mata.

Seorang Muslim yang mengakui Allah SWT sebagai Rabbnya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad SAW sebagai Rasul-Nya akan sentiasa mengisi hatinya dengan cinta kepada Allah SWT dan cinta kepada orang-orang yang dicintai Allah SWT, semata-mata kerana Allah dan bukannya kerana persamaan bangsa atau suku. Dia juga akan membenci orang-orang yang dibenci oleh Allah SWT, yang melanggar perintah Allah dan memaksiati Allah, walaupun orang itu sama bangsa dengannya atau daripada kaum kerabatnya sendiri sekalipun.

Sebuah kelompok atau jemaah yang dituntut oleh Islam adalah kelompok yang selalu berada di atas landasan Islam, tanpa mengira bangsa dan suku mana pun yang ada dalam kelompok tersebut. Hanya dengan Islam, orang-orang Mukmin boleh menjadi umat yang bersatu manakala dengan assabiyyah, sebagaimana yang dapat kita saksikan, kaum Muslimin terpecah belah dan bermusuh-musuhan, tidak ubah seperti orang-orang di zaman jahiliyyah. Umat Islam saling tolong-menolong, berkawan dan saling berkasih sayang antara mereka semata-mata dengan Islam. Rasulullah SAW bersabda,

Orang-orang Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut berjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya) [Muttafaq‘alaih].

Ukuran kemuliaan dalam Islam tidak diukur daripada bangsa, warna kulit mahupun daerah asal seseorang, tetapi diukur daripada ketakwaan dan kebaikannya. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa antara kamu [TMQ al-Hujurat (49):13].

Al-Qur’an sebenarnya telah menggambarkan kepada kita bagaimana agar boleh terhindar daripada keburukan assabiyyah ini. Allah SWT berfirman, “…dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai” [TMQ Ali-Imran (3):103].

Allah SWT memerintah kita agar berpegang teguh dengan ikatan Islam, bukan berpegang teguh dengan ikatan assabiyyah dan lain-lain. Setiap ajakan kepada assabiyyah sudah pasti menghilangkan sikap berpegang teguh kepada ikatan (agama) Allah SWT. Ini kerana orang yang mengajak kepada assabiyyah bererti mengajak untuk berpecah-belah dan menjadikan umat Islam saling bermusuhan, padahal Allah SWT telah mengingatkan kita akan kesalahan sikap mengikat diri dengan ikatan assabiyyah melalui firman-Nya,

“…dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara[TMQ Ali-Imran (3):103].

Oleh kerana itu, setiap Muslim harus sedar bahawa sikap bangga atau fanatik terhadap bangsa (assabiyyah) akan memecah-belah, menghinakan dan melemahkan umat ini, serta membuat musuh-musuh Islam semakin berkuasa dan akhirnya akan dapat menghancurkan umat Islam. Inilah apa yang kita hadapi sekarang yang mana hakikatnya terlalu banyak kejadian yang boleh menjadi iktibar kepada kita.

Justeru, kita memohon kepada Allah SWT agar sentiasa menyatukan hati-hati kita dan menghilangkan perasaan permusuhan, dendam, benci, dengki dan irihati daripada dada-dada kita terhadap sesama Mukmin.

Wallahu’alam….

Sumber:
1)    Al-Quran dan Terjemahan
2)    Peraturan Hidup Dalam Islam; Sheikh Taqiyuddin An-Nabhani; HTI-Press, Jakarta Selatan; 2012
3)    Tafsir Ibnu Kathir; Pustaka Jiwa, Kuala Lumpur; 2007
4)    http://ms.wikipedia.org/wiki/Asabiyyah
5)    http://arabiyy.wordpress.com/2009/11/17/apa-itu-asabiyyah/
 


Oleh: Hidayah Muhammad (Aktivis MHTM)

Muqaddimah
Perjuangan menegakkan Islam secara kaffah (keseluruhan) adalah sesuatu yang bukannya mudah. Ia boleh dilihat pada sirah Rasulullah SAW dalam menegakkan Daulah Islam yang pertama di Madinah. Setelah 13 tahun berdakwah di Mekah penuh dengan tekanan dan seksaan, perintah hijrah daripada Allah SWT menjadi titik tolak bagi Islam dan kaum Muslimin bagi kehidupan yang sejahtera. Allah SWT berfirman,

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu, mengharapkan rahmat Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang[TMQ al-Baqarah (2):218].

Imam Ibnu Qayim berkata, “Gema syukur dan takbir terdengar di seluruh pelosok kampung Bani Amr bin Auf. Kaum Muslimin melantunkan takbir sebagai ungkapan bahagia atas kedatangan Rasulullah SAW. Hari itu merupakan hari yang paling meriah yang dialami oleh penduduk Madinah sepanjang sejarah. Sementara orang-orang Yahudi menyaksikan kebenaran berita yang dikhabarkan melalui kitab mereka”.

Menghayati peristiwa hijrah Rasulullah SAW berserta kaum Muslimin dari Mekah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawarah merupakan suatu momentum yang baik untuk kita menyedari kepentingan hijrah dan peranan Muslimah di dalamnya. Hijrah ke Madinah menjadi kunci bagi perkembangan pesat Islam. Di situlah bermulanya penerapan hukum-hukum Allah secara kaffah dan  kegemilangan umat Islam. Para Muslimah juga tidak ketinggalan dalam menyumbang kepada kegemilangan tersebut.

Sahabiyah Ahli Ibadah Dan Syuhada’
Apabila Ummu Waraqah mendapat khabar kedatangan Rasulullah SAW, kebahagian telah meliputi ruang hatinya kerana Nabi SAW yang sudah lama didengari dan diimani risalahnya kini telah tiba di hadapannya. Ummu Waraqah binti Abdullah al-Harits al-Anshariyyah RA ialah seorang sahabiyah yang telah masuk Islam sejak pertama kali mendengarnya dan telah berbai’at kepada Rasulullah SAW. Beliau juga meriwayatkan hadis-hadis baginda sehingga layak digolongkan sebagai orang-orang yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmanNya,

Orang-orang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar[TMQ at-Taubah (9):100].

Ketika iman mula menyentuh lubuk hatinya dan berbai’at kepada Rasulullah SAW, Ummu Waraqah mulai menekuni ayat-ayat Allah SWT. Beliau selalu membacanya di sepanjang hari dan malam sehingga menjadi seorang wanita yang pandai membaca al-Quran, sekaligus memahami dan menghafalnya dengan baik sekali. Lebih daripada itu, Ummu Waraqah berusaha menghimpun ayat-ayat al-Quran dan menulisnya pada tulang, kulit dan lain-lain sehingga ia berhasil menghimpun seluruh ayat-ayat yang turun pada masa itu. Setelah Rasulullah SAW wafat dan Abu Bakar RA membuat keputusan untuk menghimpunkan al-Quran, Ummu Waraqah adalah salah seorang yang menjadi tempat rujukan penting. Dengan keperibadian tersebut, Ummu Waraqah tampil sebagai seorang ahli ibadah yang tekun berpuasa dan solat malam serta tidak pernah lelah untuk memainkan peranannya dalam menyebarkan Islam.

Rasulullah SAW sendiri sangat menghormati Ummu Waraqah dan mengagumi ketakwaannya. Diriwayatkan bahawa baginda juga sering mengunjungi rumahnya dan melantik seorang muazin khusus baginya. Ummu Waraqah juga seorang wanita yang sukakan jihad dan mendambakan syahid di jalan Allah SWT. Ketika beliau mengetahui bahawa Rasulullah SAW menyerukan jihad dalam Perang Badar, beliau segera berjumpa dengan Rasulullah SAW dan memohon agar beliau boleh turut serta sebagai petugas kesihatan untuk mengubati pasukan yang tercedera. Akan tetapi Rasulullah SAW  tidak membenarkan dengan sabdanya, “Tinggallah di rumahmu, sesungguhnya Allah menganugerahkanmu kesyahidan”

Akhirnya, Ummu Waraqah RA menerima anugerah yang paling besar yang ditunggu-tunggu dalam hidupnya iaitu mati syahid.  Dalam riwayat Abu Daud yang mengisahkan kematian Ummu Waraqah, “Ummu Waraqah mempunyai seorang hamba lelaki dan seorang hamba perempuan. Kedua-dua budak itulah yang membunuhnya dengan menutup wajah Ummu Waraqah dengan kain hingga mati, lalu mereka melarikan diri.  Umar RA mendapat khabar tersebut dan terus mengumumkan supaya mencari kedua-dua budak tersebut. Akhirnya mereka dijumpai dan Umar RA menjatuhkan hukuman ke atas mereka”. Itulah kisah seorang serikandi teladan yang zuhud. Beliau menghabiskan seluruh hidupnya menuju syurga Allah dan tidak pernah sedikit pun tergoda dengan keindahan-keindahan dunia yang fana.

Ummul Mukminin: Isteri Solehah Dan Cintakan Syahid
Sahabiyah seterusnya yang tercatat dalam sejarah penting pasca hijrah ialah Ummu Salamah RA. Imam adz-Zahabi menjelaskan keperibadian Ummu Salamah RA bahawa, “Dia ialah seorang wanita terhormat, berhijab dan suci. Namanya Hindun binti Abu Umayyah bin Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzhum bin Yaqzhah bin Murrah al-Makhzumiyah. Beliau ialah sepupu kepada Khalid al-walid RA (pedang Allah).”

Ummu Salamah hidup dalam keluarga yang terpercaya dan mulia kerana sifat dermawan dan gagah. Sejak kecil, beliau sudah menampakkan keperibadian yang kuat dan wanita yang terhormat selain memiliki rupa paras yang cantik. Setelah dewasa, Ummu Salamah dinikahi oleh Abdullah bin Abdul Asad (Abu Salamah RA) dan melalui hari-hari mereka dengan penuh kebahagian. Ketika peristiwa hijrah ke Madinah, Ummu Salamah RA bersama suaminya mengalami peristiwa yang sangat memilukan. Abu Salamah boleh berhijrah ke Madinah tetapi Ummu Salamah dan anak mereka harus tinggal di Mekah apabila Ummu Salamah ditahan oleh keluarganya dan anak mereka ditahan oleh keluarga Abu Salamah.

Sejak peristiwa itu, Ummu Salamah RA menangis setiap pagi. Setelah setahun berlalu, keluarganya membenarkan Ummu Salamah pergi mengambil anaknya daripada Bani Asad dan terus pergi menyusul suaminya di Madinah tanpa ditemani oleh sesiapa. Begitulah kesabaran dan ketabahan Ummu Salamah selama berpisah dengan suami dan anaknya. Setelah Daulah Islam pertama tegak di Madinah dan kaum Muslimin diperbolehkan untuk berjihad, Abu Salamah RA segera bergabung dengan barisan pasukan mujahidin yang berjuang di jalan Allah dan menjadi antara orang yang berjasa besar dalam perang Badar dengan kegagahannya. Setahun kemudian, perang Uhud pula menyaksikan kesetiaan Abu Salamah RA di barisan hadapan kaum Muslimin sehingga akhirnya terkena panah yang menembusi lengannya.

Selama menjalani proses penyembuhan, Ummu Salamah RA sentiasa menemani suaminya. Saat Abu Salamah terbaring, berlangsung sebuah dialog yang sangat mengharukan mereka. Ummu Salamah berkata, “Aku mendengar bahawa jika seorang isteri ditinggal mati oleh suaminya, sementara suaminya itu menjadi penghuni syurga, lalu isterinya tidak bernikah lagi, maka Allah akan mengumpulkan mereka kembali di dalam syurga. Kerana itu, aku akan bersumpah bahawa engkau tidak akan menikah lagi (seandainya aku yang mati dulu) dan aku tidak akan menikah lagi setelah engkau mati.” Abu Salamah berkata, “Apakah engkau mahu taat kepadaku?” Ummu Salamah menjawab, “Ya”. Abu Salamah berkata lagi, “Jika aku mati dulu, maka menikahlah lagi. Ya Allah, jika aku mati dulu maka berikan Ummu Salamah seorang suami yang lebih baik daripadaku yang tidak akan membuatnya sedih dan tidak akan menyakitinya”. Maka setelah Abu Salamah wafat, Rasulullah SAW datang untuk meminangnya dan hidup Ummu Salamah dilimpahi berkah kerana menjadi Ummul Mukminin.

Muslimah Yang Berani Menyatakan Kebenaran

Kisah sahabiyah yang bernama Ummu Sulaim juga dapat kita jadikan teladan dan motivasi dalam usaha untuk memperjuangkan agama Allah. Ummu Sulaim atau nama sebenarnya Ghumaisha binti Milhan bin Khalid bin Zaid bin Hiram bin Jundub al-Ansyariyyah merupakan ibu kepada Anas bin Malik iaitu pelayan Rasulullah SAW.

Ketika Islam datang ke Tanah Arab, Ummu Sulaim termasuk antara wanita-wanita yang tidak menunda-nunda waktu untuk masuk Islam. Ketika itu suaminya Malik bin Nadhar sedang bermusafir. Apabila dia pulang, dia mendapati isterinya telah masuk Islam dan meninggalkan agama nenek moyang mereka lalu dia marah dan meminta supaya Ummu Sulaim kembali kepada agama asal. Namun Ummu Sulaim tetap dengan pendiriannya. Malah beliau mengajarkan anaknya Anas mengucapkan kalimah syahadah dan diketahui oleh suaminya. Maka bertambah marahlah suaminya lalu keluar dari rumah. Di luar rumah, dia bertemu dengan musuhnya, mereka berkelahi dan akhirnya terbunuh. Ummu Sulaim menerima perkhabaran itu dengan tabah. 

Detik yang bermakna dalam hidup Ummu Sulaim bermula apabila beliau mendengar berita yang telah tersebar di setiap pelusuk Madinah bahawa Nabi SAW sedang dalam perjalanan menuju Madinah. Kaum Muslimin termasuk Ummu Sulaim dan Anas sangat bahagia mendengar khabar tersebut kerana akhirnya sampai juga Nabi SAW di kota Madinah. Setelah beberapa hari Rasulullah SAW tiba di Madinah, Ummu Sulaim berjumpa dengan Rasulullah SAW dan berkata, “Ya Rasul, anakku ini (Anas) yang masih kecil biarlah ia menjadi pelayan anda. Sudilah kiranya anda berdoa untuknya.” Rasulullah SAW pun bersabda, “Ya Allah, perbanyakkanlah harta dan anaknya”. Ia merupakan suatu kebanggaan buat Ummu Sulaim apabila anaknya menjadi pelayan kepada seorang manusia pilihan Allah SWT.

Apabila sebahagian besar orang tidak henti-henti membicarakan tentang Ummu Sulaim dan Anas, Abu Thalhah RA memberanikan diri untuk meminang Ummu Sulaim dan bersedia memberikan mas kahwin yang paling mahal. Tetapi Ummu Sulaim menolaknya dengan memberikan jawapan, “Tidak patut saya menikah dengan lelaki musyrik. Wahai Abu Thalhah, tidakkah engkau tahu bahawa Tuhan-tuhan yang kalian sembah adalah hasil pahatan seorang budak? Bukankah Tuhan-tuhan itu jika engkau dekatkan dengan api maka pasti ia terbakar?” Abu Thalhah terasa sesak kemudian meninggalkan rumah Ummu Sulaim.

Dikesempatan lain, Abu Thalhah datang lagi dan Ummu Sulaim berkata, “Orang seperti kamu memang tidak patut ditolak. Akan tetapi kamu orang kafir sedangkan saya seorang Muslimah. Tidak patut bagi saya untuk menikahimu. Aku tidak ingin emas dan perak menjadi maharku tetapi aku ingin engkau masuk Islam”. Maka Abu Thalhah pun menerima permintaan Ummu Sulaim dan pergi menemui Rasulullah SAW untuk menyatakan keIslamannya. Begitulah kata-kata tegas penuh ketakwaan daripada Ummu Sulaim yang menggugah pemikiran Abu Thalhah. Beliau bukan sahaja membuktikan kepatuhan kepada hukum Islam tetapi beliau juga berani menyatakan kalimah yang hak sehingga Abu Thalhah masuk Islam. Tidak cukup dengan itu, beliau juga seorang sahabiyah yang cintakan syahid. Dikisahkan dalam Perang Hunain, Ummu Sulaim membawa tombak pendek semata-mata untuk melindungi Rasulullah SAW.

Khatimah
Begitulah kisah tiga sahabiyah pilihan (semoga Allah meredai mereka) yang sanggup berkorban apa sahaja demi menjadi Muslimah solehah, hamba Allah yang taat dan pengikut RasulNya yang setia. Semoga keperibadiaan mereka ini dapat dijadikan teladan dan inspirasi untuk kita menjadi wanita-wanita bertakwa dan berpendirian teguh dengan Islam dalam kehidupan sekarang yang tidak diatur dengan sistem Islam. Marilah sama-sama kita membawa dan menyebarkan risalah Islam ini di setiap penjuru dunia dalam rangka menegakkan Daulah Khilafah Islamiyah sepertimana yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabiyah terpilih.

Wallahu’alam…
 
Rujukan:
1. Terjemahan al-Quran
2. Sirah Nabawiyah, karangan Ibnu Hisyam
3. Mahmud al-Mishri, 35 sirah sahabiyah jilid 1&2. Jilid 1, m.s 240; 250-251; 260. Jilid 2, m.s 146-147; 151. al-I’tishom, cetakan ke 8, 2012.
4. http.//matasalman.com/ummu-waraqah-bint-al-harist-shabiyah-yang-dijamin-syahid/
5. fikratulummah.blogspot.com