Filipina Pula Melarang Muslimah Memakai Kerudung

Selepas beberapa buah negara Eropah melarang pemakaian niqab dan burqa bagi Muslimah, termasuklah di Indonesia yang melarang para anggota polis wanita untuk memakai kerudung semasa menjalankan tugas, nampaknya larangan yang sama telah merebak ke negara Filipina. Cuma bezanya, pemerintah Filipina mewajibkan guru-guru beragama Islam yang berkerudung supaya membuka kerudung mereka semasa mengajar di dalam kelas.

Kementerian Pendidikan Filipinan berdalih dengan menyatakan bahawa peraturan sebegini dibuat bertujuan untuk membina hubungan yang baik antara guru dan para pelajar. “Peraturan ini merupakan sebahagian daripada reformasi pendidikan untuk menjadikan sekolah lebih sensitif terhadap agama,” kata Menteri Pendidikan Filipina, Armin Luistro kepada AFP sepertimana yang dipetik daripada laman sesawang Al-Arabiya.net pada hari Rabu baru-baru ini.

Alasan seperti ini langsung tidak munasabah dan tidak masuk akal sama sekali. Apakah kaitannya hubungan antara guru dan para pelajar apabila ia dikaitkan dengan kerudung yang dipakai oleh seseorang Muslimah? Adakah wanita yang menjaga aurat, maruah dan kehormatan dirinya dianggap satu gangguan yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia berbanding wanita yang bertelanjang di sana sini bagaikan perempuan murahan? Bukankah wanita yang mendedahkan aurat mereka lebih cenderung untuk merosakkan hubungan sesama manusia, merangsang nafsu syahwat, menimbulkan fitnah dalam masyarakat di samping menggalakkan hubungan sosial yang bebas tanpa batasan antara lelaki dan wanita? Lihatlah betapa rosak dan dangkalnya pemikiran pemerintah dan masyarakat jahiliyah Filipina. Ini semua tidak lain adalah antara agenda jahat pemerintah untuk menghalang amalan syariat Islam termasuklah penzahiran syiar Islam dalam negara tersebut.

Umat Islam di Filipina sentiasa berada di pihak yang ditekan dan ditindas sejak negara tersebut dikuasai oleh Amerika Syarikat. Dari segi sejarahnya, tanah Filipina dahulu adalah negara yang mana majoriti penduduknya adalah umat Islam. Kini, umat Islam telah menjadi kelompok minoriti setelah Amerika melancarkan kempen kristianisasi, pembunuhan dan juga pengusiran umat Islam daripada bumi Filipina, sama sepertimana yang berlaku di bumi India dan Arakan di Myanmar melalui penjajah British. Perkara seperti ini tidak mustahil juga akan berlaku di mana jua bumi umat Islam termasuklah di Malaysia dan Indonesia tatkala ideologi kufur masih dijadikan piawaian di dalam mengatur sistem kehidupan serta menjadikan negara Barat sebagai tuan dan juga kiblat dalam menentukan sesuatu perkara. Wahai umat Islam, adakah kalian masih belum sedar tentang perkara ini?

Sumber: salam-online.com