FORUM MUSLIMAH: Peranan Besar Muslimah Dalam Mencapai Misi Hijrah – Dulu dan Kini

Kuala Lumpur, Ahad 2 November 2014- Sempena Kempen Ihya’ Hijrah yang sedang berlangsung, Khilafah Centre dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) Kuala Lumpur telah menganjurkan Forum Muslimah yang bertajuk ” Peranan Besar Muslimah Dalam Mencapai Misi Hijrah: Dulu Dan Kini.

Forum yang menampilkan dua orang ahli panel iaitu Ustazah Aisyah Rahmat (Ketua MHTM Kuala Lumpur) dan Puan Syifa’ Buhari (Aktivis MHTM) serta Dr Izzah Ibrahim (Aktivis MHTM) selaku moderator telah berlangsung sebanyak tiga pusingan.

Dalam pusingan pertama, Aisyah telah menjelaskan definisi Hijrah daripada perspektif syarak dan hukum-hukum hijrah yang bergantung kepada keadaan dan situasinya iaitu wajib, sunat dan haram. Aisyah dan Syifa’ juga memberi gambaran kepada peserta berkenaan realiti umat Islam masa kini dalam memahami  konsep hijrah.  

Dalam pusingan kedua, Syifa’ berkongsi kisah pengorbanan besar Asma’, Ummu Salamah, Ummu Waraqah dan para sahabiyyah terdahulu agar dapat direalisasikan oleh Muslimah masa kini dalam menghayati erti hijrah yang sebenarnya. Aisyah seterusnya menjelaskan bahawa individu, masyarakat dan negara mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam merealisasikan makna hijrah yang hakiki iaitu hijrah secara keseluruhan daripada sistem kufur kepada sistem hidup Islam.

Dalam pusingan ketiga, Syifa’ dan  Aisyah menggariskan langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh Negara dalam merealisasikan makna hijrah dan bukan hanya di tangan umat sahaja.

Peserta forum memberikan respon yang sangat positif ketika sesi kuiz interaktif diadakan di akhir setiap pusingan. Ini jelas menunjukkan Muslimah  memahami isi-isi yang dibincangkan oleh ahli panel dan mereka benar-benar ingin mengetahui dan ingin menjadi Muslimah yang memahami konsep hijrah yang hakiki.

Para peserta diseru untuk memainkan peranannya dalam mencapai misi hijrah pada masa kini sepertimana peranan para Sahabiyyah suatu masa dahulu iaitu dengan bersatu bersama kelompok dakwah untuk berusaha menegakkan Daulah Islam yang kedua.

MHTM merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada semua yang hadir memeriahkan majlis ini.