Forum Muslimah Selamatkan Wanita Dengan Syariat Oleh MHTM di Johor Bahru
Forum ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada muslimah yang hadir akan permasalahan wanita yang banyak menimpa muslimah masakini samada dalam dan luar negara. Di samping itu pelbagai isu yang berkaitan dengan wanita juga dibicarakan yang mana ianya memerlukan satu penyelesaian, bukan yang berbentuk temporari tetapi penyelesaian yang hakiki.
Forum yang bermula pada jam 9:00 pagi dan berakhir pada jam 1.00 tengahari ini telah dihadiri oleh pelbagai golongan muslimah tidak mengira peringkat usia dan latarbelakang. Forum kali ini telah menampilkan dua ahli panel iaitu Ustazah Hjh. Zainun dan Ustazah Hjh. Husna yang mana kedua-duanya adalah merupakan aktivis Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia.
Forum ini di dahului dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Ali Imran Ayat 102 – 110. Di antara intipati terjemahan adalah mengajak semua manusia untuk berpegang kepada tali Allah iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw serta sentiasa bersatu hati di dalam menegakkan yang haq dan yang batil dalam rangka usaha menyebarkan dakwah. Semoga kita semua mendapat petunjuk dari ayat suci itu.
Dalam forum pusingan pertama, Ustazah Hjh. Zainun selaku panel pertama telah membentangkan tajuk ‘Realiti Kesengsaraan Wanita’. Beliau telah membawakan kupasan realiti berkaitan wanita daripada perspektif wanita sebagai seorang remaja, isteri, ibu, pekerja dan muslimah yang mana memberi gambaran bahawa wanita keseluruhannya tidak mengira status sedang dihimpit dengan pelbagai masalah yang menyebabkan wanita itu sendiri sentiasa dalam kondisi tidak selamat. Saban hari kita didedahkan dengan pelbagai kisah yang menceritakan wanita sentiasa menjadi mangsa penganiayaan sama ada secara paksa atau sukarela yang membabitkan kes rogol, sumbang mahram, penderaan, masalah sosial remaja, ekploitasi, zina sehingga melahirkan anak luar nikah yang akhirnya membawa kepada gejala pembuangan bayi dan pelbagai lagi permasalahan. Dan yang terakhir sekali adalah tentang kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dibunuh, dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai. Disamping itu juga diceritakan tentang penderitaan muslimah warganegar Amerika Syarikat berbangsa Pakistan, Dr. Aafia Siddiqui yang menerima seksaan fizikal dan mental serta beliau dipenjarakan selama 86 tahun (Sila ikuti kisah lanjut beliau dalam SN 234)
Seterusnya panel kedua, Ustazah Hjh. Husna pula membentangkan tentang pandangan umum terhadap wanita yang dilihat dari perspektif barat bermula dari zaman perundangan Greek dan Rom yang memandang wanita sebagai seorang makhluk yang dijadikan semata-mata untuk berkhidmat untuk lelaki dan dijadikan sebagai barang dagangan. Seterusnya di zaman perundangan Inggeris dan Revolusi Perancis juga, nasib wanita tidak jauh berubah dan masih lagi ditindas dan dinafikan hak mereka di dalam undang-undang sivil.
Ini amat berbeza sekali bilamana dengan kedatangan Islam, Nabi Muhamad saw berjuang untuk menghapuskan berbagai bentuk kezaliman dan mengubah fenomena ini. Wanita tidak lagi diletakkan di tempat yang kedua selepas lelaki, namun mereka mendapat hak dan status yang sewajarnya sesuai dengan fitrah penciptaannya. Mereka dihargai dan dihormati sebagai seorang makhluk Allah. Nabi Muhamad saw datang dengan ajaran yang benar dari Allah swt, memperbetulkan yang salah dan mengangkat apa-apa yang sepatutnya diangkat, meletakkan wanita dalam perundangan Islam kena pada tempat dan keadaannya. Al-Quran dan Al-Hadith telah menentukan kedudukan yang sewajarnya bagi wanita dan menjamin hak-haknya supaya tidak disalahertikan oleh kaum lain.
Majlis berhenti rehat bagi memberikan ruang pada tayangan multimedia yang memaparkan realiti permasalahan wanita yang menjadi bukti kerosakan Sistem Kapitalisme dan perlunya umat Islam untuk kembali kepada Sistem Khilafah sebagai satu-satunya sistem yang layak bagi umat manusia. Peserta juga disajikan dengan pameran yang berkaitan dengan tema forum dan juga jualan buku-buku dan bahan-bahan bacaan terbitan Hizbut Tahrir.
Dalam pusingan yang ke dua pula, Ustazah Hjh. Zainun mengupas tentang terjadinya permasalahan-permasalahan wanita tadi adalah berpunca dari Sistem Kapitalisme yang bertunjangkan kepada sekularisme iaitu memisahkan agama daripada kehidupan secara total yang mana impaknya sistem rosak ini telah melenyapkan kemuliaan dan merendahkan martabat wanita. Sistem yang rosak ini pula cuba mencari penyelesaian kepada permasalahan ini dengan memberikan penyelesaian ‘tampal sulam’ yang tidak menyelesaikan masalah malah lebih memburukkan lagi keadaan seperti memperjuangkan hak-hak wanita, melancarkan kempen-kempen kesedaran, menubuhkan rumah/pusat perlindungan wanita dan juga memperkenalkan pendidikan seks di sekolah-sekolah.
Pembentangan diteruskan oleh Ustazah Hjh. Husna yang memberikan penyelesaian dari sisi perspektif Islam yang mana hanya Islam sahaja yang dapat menuntaskan segala permasalahan wanita ini dengan sebaik-baiknya. Syariat Islam telah memuliakan dan meninggikan martabat wanita serta menjamin keselamatan wanita. Syariat Islam telah menggariskan segala peraturan dan hukum- hakam berkaitan wanita seperti keterbatasan pergaulan lelaki dan wanita, menghalalkan hubungan lelaki dan wanita hanya dengan pernikahan, pengaturan pakaian Muslimah iaitu jilbab dan khimar (tudung), larangan bertabarruj dan perintah kepada lelaki supaya menundukkan pandangan serta memberikan hak kepada wanita untuk berpolitik. Wanita juga mempunyai kewajipan dan hak dalam Islam iaitu wanita berkewajipan menuntut ilmu dan mempunyai hak untuk berpolitik. Ini kerana kedua-duanya merupakan sesuatu yang sangat penting. .
Setiap wanita mestilah menuntut ilmu dan mengajarkan ilmu/menyampaikan Islam kepada orang lain. Seterusnya dengan ilmu itulah, wanita mampu berpolitik iaitu dengan mengambil tahu urusan umat dan mengatur urusan umat dengan Islam. Sesungguhnya permasalahan umat kini hanya dapat diselesaikan dengan menerapkan Syariat Islam secara keseluruhannya. Syariat Islam pula hanya boleh diterapkan dengan adanya negara iaitu Khilafah Islamiyah yang mengatur dan mengurusi urusan umat melalui Sistem Pemerintahan, Sistem Pendidikan, Sistem Sosial, Sistem Uqubat, Sistem Ekonomi dan lain-lain yang berlandaskan kepada hukum Syara’. Oleh yang demikian, mendirikan Khilafah Islamiyah sehingga terterapnya hukum Syara’ adalah suatu kewajipan bagi setiap wanita dan umat Islam keseluruhannya.
Seminar diakhiri dengan sesi soal jawab untuk memberi peluang kepada peserta mengutarakan persoalan kepada kedua-dua orang ahli panel.
Dikesempatan ini, MHTM cawangan Johor Bahru ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para peserta yang hadir serta jawatankuasa yang bertungkus lumus meluangkan tenaga dan masa demi merealisasikan gerakkerja dakwah dalam mendekati umat ini.
Semoga segala usaha ini diberkati dan diredhai Allah SWT dan dikira sebagai amal soleh sebagaimana firmanNya : “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [TMQ Muhammad(47):7].