Fungsi Masjid Di Negara Kapitalis

ALOR SETAR 18 Okt. – Pihak pengurusan masjid di seluruh negara disarankan lebih berdikari dengan menceburi bidang keusahawanan bagi menjana pendapatan masjid seliaan mereka. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, bidang keusahawanan juga merupakan satu ibadah dan ia mampu menarik lebih ramai ahli masyarakat untuk mendekatkan diri dengan masjid.

“Contoh paling baik yang dapat kita lihat adalah Masjid Nabawi di Madinah serta Masjidil Haram di Mekah, di kelilingi gerai dan menarik perhatian.

“Kita mahu masjid di negara ini turut bergiat aktif dalam bidang perniagaan dan meningkatkan pendapatan untuk manfaat ahli-ahli kariah masjid,” katanya selepas merasmikan Seminar Pembangunan Usahawan untuk Kariah Masjid di sini hari ini.

Sumber : Utusan Online

Para kapitalis sentiasa memerhati peluang untuk menambah hasil material. Mereka tak pernah jemu berusaha untuk memuaskan hidup mereka dengan nikmat jasmani. Apapun bentuk eksploitasi, tanpa peduli halal dan haram, mereka tetap mencari dan terus mencari keuntungan duniawi. Kini, masjid pula disarankan sebagai saluran mengaut hasil. Paling tidak, mereka menjustifikasi, masjid akan mampu berdikari dari terus ditanggung oleh kerajaan kapitalis.

Masjid yang wujud hari ini tidak seperti dahulu. Masjid hanya menjadi tempat beribadah, itupun dalam konteks ibadah khusus semata. Di zaman Rasulullah dan para khulafa’ tidak timbul soal berniaga untuk menambah pendapatan masjid. Melalui fungsinya sebagai pusat komuniti, masjid benar-benar hidup tanpa perlu ada saranan agar ahli kariah berniaga. Aktiviti kaum Muslimin secara tabii berkisar di sekitar masjid, termasuklah aktiviti keusahawanan. Hakikatnya, untuk menarik masyarakat agar dekat dengan masjid bukanlah dengan menggalakkan keusahawanan, tetapi dengan benar-benar menjadikan masjid sebagai pusat komuniti umat. Namun hari ini, masjid dilarang oleh para penguasa sekular dari menjadi pusat komuniti kaum Muslimin seperti di zaman Rasulullah SAW dan para khulafa ar-rasyidin. Politik ditadbir di luar skop agama, begitu juga ekonomi, sosial, pendidikan, polisi luar negara dan sebagainya. Ini semua menjadikan agama sunyi dari politiknya dan masjid sunyi dari pengunjungnya.