Gaji Minima Talian Hayat Dalam Kapitalis
Di dalam sistem Kapitalis, jumlah gaji yang dibayar kepada pekerja akan menentukan kos pengeluaran yang harus ditanggung oleh majikan. Jika kos pengeluaran meningkat disebabkan perlaksanaan tersebut, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada harga barangan. Jadi, apalah gunanya jika gaji ‘dinaikkan’ kepada jumlah minima dan pada masa yang ‘harga barangan juga naik’. Sungguhpun kerajaan berjanji akan mengawal kenaikan harga barangan, namun kebiasaannya kenaikan tetap berlaku. Selagi kapitalis memandang tenaga kerja hanya daripada aspek material dan alat untuk meraih manfaat semata-mata, selagi itulah tujuan mendasar melaksanakan gaji minima ini tidak akan dapat dicapai. Tambahan lagi, bagi pekerja bawahan yang hidup di kota-kota besar, adakah jumlah yang dicadangkan itu benar-benar dapat menampung kos kehidupan mereka? Sedangkan ramai golongan pekerja pertengahan seperti penyelia dan juruteknik pun tidak dapat mengecapi kehidupan yang makmur dan sejahtera di tengah-tengah kota raya.
Di dalam Islam, tenaga kerja tidak dianggap sebagai objek atau alat untuk meraih manfaat semata-mata tetapi setiap pekerja dipandang sebagai seorang manusia yang mempunyai keperluan dan tanggungjawab untuk dipenuhi. Bagi pekerja yang gajinya rendah dan tidak mampu untuk memenuhi keperluan diri dan keluarganya, negara akan menjamin semua aspek pemenuhan samada ia melibatkan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal serta juga keperluan lain seperti elektrik, air, pendidikan dan kesihatan. Jadi, dengan semua jaminan yang diberikan itu, tidak ada sebab untuk negara Islam melaksanakan gaji minima kerana di dalam Islam jumlah gaji bukan satu penanda aras kepada kesejahteraan dan kemakmuran. Kesejahteraan dan kemakmuran sesebuah negara ditentukan melalui kaedah dan hukum berkaitan pengagihan dan pemilikan kekayaan negara.
Sumber : Utusan Malaysia 8/3/2012