Gambar hamba abdi pada mata wang AS – inikah harga atas kebiadaban AS terhadap mereka selama ini?
Seorang bekas hamba yang bertukar menjadi pelopor penentang penindasan hamba abdi, Harriet Tubman diangkat sebagai wajah baharu pada wang kertas USD 20, sekali gus menjadi individu Afrika-Amerika pertama diabadikan dalam mata wang Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan, pertukaran wajah baharu mata wang itu yang akan dikeluarkan untuk edaran di AS dan seluruh dunia selama empat tahun.
Tinjauan terbuka melibatkan lebih 600,000 orang, memilih Tubman iaitu seorang wirawati kepada golongan Afrika-Amerika yang melarikan diri daripada perhambaan di Maryland pada tahun 1849 untuk projek pembinaan kereta api bawah tanah serta membantu membebaskan ribuan hamba sekitar abad ke-19.
“Seorang wanita, ketua dan pejuang kebebasan. Saya tidak dapat memikirkan pilihan yang lebih baik bagi wang kertas USD 20 kecuali Tubman,” kongsi Hillary Clinton di Twitter yang kini ingin menjadi Presiden wanita pertama AS.
Jika kita lihat dari satu sudut, pengabadian wajah Tubman dalam mata wang AS memang merupakan satu penghargaan, terutamanya kepada bekas hamba abdi di negara yang berlagak seperti polis dunia itu.
Namun, dari segi hakikat, penggunaan wajah Tubman itu sama sekali tidak dapat memaafkan semua kekejaman dan kesalahan AS terhadap golongan hamba abdi yang diseksa, dibunuh, dihina dan dilayan seperti binatang selama ratusan tahun oleh AS.
Sebenarnya sehingga sekarang sikap AS terhadap kaum Afrika-Amerika masih buruk dengan segala prejudis dan sentimen perkauman yang tinggi dan kebanyakan mereka masih didiskriminasi dan terpinggir daripada sudut ekonomi, politik dan sosial.
Jadi, “penghargaan” dengan memaparkan wajah Tubman pada wang kertas USD 20 itu sebenarnya sama sekali tidak merubah sikap AS terhadap warga kulit hitam dan tidak menjadikan nasib warga kulit hitam AS terbela dari diskriminasi kulit putih.
Itulah realiti di AS sejak dulu hingga kini, walaupun setelah Obama naik menjadi presiden yang pertama daripada kalangan Afrika-Amerika.
Penghargaan ini tidak lebih daripada satu taktik murahan yang AS ingin tonjolkan bahawa ia adalah negara pejuang kebebasan dan hak asasi manusia. Dalam keadaan AS akan menghadapi pilihan raya Presiden tidak lama lagi, tindakan meletakkan wajah warga kulit hitam itu lebih mudah untuk difahami hipokrasinya!
Walau apa pun yang AS lakukan dengan cubaan untuk memperdayakan seluruh manusia, AS sebenarnya sedang menuju kehancuran, baik dari dalam mahupun dari luar. Kejahatan yang AS lakukan, bukan sahaja terhadap kaum kulit hitam, malah kepada seluruh dunia, khususnya kaum Muslimin, akan pasti berakhir apabila tegaknya Khilafah sedikit masa lagi.