Biarpun Harga Enjin F-5E RM1, Tapi Ia Tetap Wang Rakyat.

altNilai sebenar enjin F5-E RM303,570: Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menjelaskan nilai sebenar sebuah enjin pesawat F5-E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk “afterburner” ialah RM303,570.

Beliau berkata, nilai itu adalah berdasarkan kontrak pembelian pada tahun 1972 dengan mengambil kira nilai tukaran mata wang negara pada masa itu.

“Bagi pesawat yang mempunyai dua enjin pula, nilai sebenar adalah antara RM3.895 juta hingga RM28.047 juta bergantung kepada kecanggihan peralatan pada ketika itu,” katanya di sini, hari ini.   “Saya ingin menegaskan bahawa kontrak pembelian kes Foreign Military Sales dalam siri MF-D-SAV telah dibuat pada tahun 1972. Harga sebuah enjin ketika itu termasuk “afterburner” bernilai AS$121,428 dan kadar pertukaran mata wang Malaysia pada ketika itu ialah RM303,570,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai membetulkan laporan media hari ini yang antara lain menyebut enjin tersebut bernilai antara RM8.5 juta sehingga RM28 juta.

Isu harga enjin itu timbul selepas ada laporan media sebelum ini yang menyebut nilai dua enjin pesawat F-5E milik TUDM yang dicuri itu adalah RM50 juta.   Beliau berkata, nilai RM50 juta itu mungkin anggaran pihak lain berasaskan harga enjin baru pada masa ini, memandangkan kementeriannya dan pihak yang membuat siasatan tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Namun, tempoh yang lama diambil (untuk menjelaskan nilai enjin sebenar) sehingga tindakan mahkamah dilakukan adalah kerana lazimnya mengikut prosedur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) siasatan dalaman perlu dilakukan terlebih dulu.

“Oleh kerana kes ini membabitkan barangan teknikal, maka suatu tempoh yang panjang diambil bagi memperoleh semua maklumat dan dokumen yang berkaitan,” katanya.
Semalam, dua orang iaitu seorang anggota TUDM berpangkat sarjan dan seorang pengarah syarikat pembekalan dihadapkan di mahkamah atas dakwaan terbabit dalam mencuri dan menjual enjin pesawat itu.

Sumber : Berita Harian, 07/01/10

Biarpun Harga Enjin F-5E RM1, Tapi Ia Tetap Wang Rakyat.

Nampaknya kebusukan bau kehilangan enjin F-5E terus menyusuk hidung umat dengan berbagai skrip yang cuba dicoretkan untuk meredakan kemarahan rakyat. Dari kenyataan yang sebelum ini dipaparkan bahawa tiada pegawai atasan yang terlibat, kini Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tampil denagn fakta baru berkenaan  harga enjin pesawat itu. Hakikatnya, bagi kita bukannya isu harga yang perlu difokuskan tetapi isunya adalah mengenai pengkhianatan mereka yang melakukan perbuatan tersebut. Yang perlu difokuskan juga adalah perlunya pihak yang berkenaan dibertanggungjawabkan atas apa yang berlaku. Kementerian sewajarnya menilai kembali di manakah kepincangan dan kelompongan yang wujud dalam institusi ketenteraan sehingga perkara seperti ini boleh berlaku. 

Apakah kita masih boleh mengharapkan anggota tentera bershakhsiah rendah untuk dijadikan sandaran bagi mempertahankan Islam dan umat Islam? Mungkin bagi Zahid Hamidi, nilai RM303,570 itu adalah nilai yang terlalu sedikit jika ingin dibandingkan dengan habuan dunia yang diperoleh para kroni dalam urusan jual beli peralatan ketenteraan, namun persoalannya di sini adalah amanah dan kejujuran dalam membelanjakan wang milik rakyat. Maka apakah dengan nilai baru yang dinyatakan oleh Zahid Hamidi itu akan dapat menggula-gulakan rakyat? Hanya mereka yang tertidur dan terlena sahaja yang akan terus ditenggelamkan dengan fakta-fakta baru ini. Apakah mungkin suatu hari nanti Kapal Selam KD Tunku Abdul Rahman milik Tentera Laut Diraja Malaysia yang harganya RM 3.4 billion itu pula akan hilang dari pandangan kita? Ianya sesuatu yang tidak mustahil dalam dunia Kapitalisme ini. Jika amanah tidak berada di tangan orang-orang yang beriman dan yang bertakwa kepada Allah SWT segalanya serba mungkin.