Garis panduan untuk melakukan maksiat?
Pihak yang bertanggungjawab memberikan kelulusan untuk mana-mana konsert perlu sentiasa mengingatkan penganjur agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, banyak pihak seolah-olah melupakan garis panduan itu yang dibuat untuk menghalang perkara tidak diingini seperti yang berlaku dalam konsert K-Pop baru-baru ini. “Kebenaran untuk mengadakan konsert bukan di bawah kuasa Jakim, tetapi untuk tujuan proaktif Jakim telah mengeluarkan garis panduan supaya tidak berlaku hal-hal yang tidak diingini.
Itulah jawapan Menteri Agama yang mewakili Jakim terhadap kes peluk antara remaja bertudung dengan artis K-pop yang menjadi viral di internet sejak ia disiarkan minggu lepas.
Jawapan tersebut hanya mencerminkan betapa lemahnya penguatkuasaan agama di Malaysia di samping keanehan cara berfikir dan bertindak, pihak berkuasa agama terhadap pesta hiburan di Malaysia.
Konsert hiburan yang begitu banyak, sama ada oleh artis tempatan mahupun luar, ternyata telah banyak melalaikan dan merosakkan akhlak umat Islam, khususnya muda-mudi. Dalam konsert hiburan ini juga, selain berlakunya ikhtilat (percampuran) antara lelaki-perempuan yang diharamkan oleh Islam, pengambilan dadah dan arak juga turut dikesan, sehingga kita masih ingat lagi konsert Future Music Festival Asia yang berakhir dengan kematian.
Justeru, apa yang patut dilakukan oleh kerajaan dan Jakim sebagai agensi yang “menjaga” Islam, adalah sepatutnya tidak membenarkan sebarang penganjuran pesta maksiat seperti ini, bukannya berlepas diri dengan menyalahkan penganjur semata-mata.
Sungguh aneh dan mendukacitakan, bagaimana mungkin Jakim boleh mengeluarkan garis panduan untuk melakukan maksiat? Sedangkan apa yang patut Jakim lakukan ialah mendesak kerajaan agar tidak melakukan keharaman, bukan sebaliknya memberi garis panduan kepada mereka yang ingin melakukan keharaman.
Walaupun artis yang terlibat bukan beragama Islam sekalipun, persoalannya di sini ialah penganjuran pesta maksiat dalam sebuah negeri Muslim. Sama seperti pesta gay atau lesbian, apakah kita akan membenarkan ia berlaku di Malaysia jika yang terlibat semuanya adalah non-Muslim?
Tidak berapa lama dulu, sekumpulan non-Muslim ditangkap di Pulau Pinang kerana mengadakan pesta bogel di sebuah pantai. Apakah kita boleh membenarkan hal ini hanya kerana semua yang terlibat adalah non-Muslim?
Jika inilah ‘mentaliti’ pihak berkuasa agama di Malaysia, maka tidak hairanlah kenapa kita ada pusat judi terbesar, kilang arak terbesar, bank-bank ribawi terbesar, pesta hiburan terbesar dan lain-lain keharaman lagi, kerana segala-galanya dibolehkan, asalkan mematuhi peraturan dan garis panduan yang dikeluarkan!