Gaza: 55 terkorban, di mana tentera Muslimin?

Sekurang-kurangnya 55 orang maut, manakala lebih 2,700 orang lagi umat Islam cedera akibat ditembak tentera rejim haram Israel di sempadan Gaza dalam tunjuk perasaan yang diadakan bagi membantah perpindahan pejabat kedutaan Amerika Syarikat (AS) ke Baitulmaqdis. Dilaporkan terdapat puluhan umat Islam Palestin terkorban dalam siri bantahan dan pertempuran terdahulu di sepanjang sempadan Gaza yang diadakan sejak 30 Mac lalu. [Sumber astroawani.com]

Tahun ini menandakan genap 70 tahun semenjak entiti haram Israel ditubuhkan di atas tanah umat Islam Palestin yang dirampas. Tanggal 15 Mei setiap tahun merupakan hari ulang tahun memperingati detik hitam yang menyaksikan ribuan umat Islam Palestin terpaksa meninggalkan tanah air mereka dan menjadi pelarian di negara-negara Muslimin berhampiran, sehari selepas tertubuhnya entiti haram Israel pada tahun 1948. Dianggarkan sejumlah 750,000 orang telah diusir daripada kediaman mereka pada tahun tersebut. Tarikh tersebut dikenali sebagai Hari Al-Nakbah yang bermaksud malapetaka atau kehancuran. Pada hari ini, jumlah pelarian Palestin dianggarkan melebihi lima juta orang.

Sepanjang tempoh tujuh dekad ini juga kita telah menyaksikan pelbagai kekejaman dan kezaliman diperlakukan terhadap umat Islam di sana. Tanah-tanah mereka dirampas oleh pendatang haram Yahudi, manakala kebun-kebun zaitun mereka dimusnahkan bagi membuka ruang kepada pembinaan penempatan haram tersebut. Dalam tempoh tersebut juga kita telah menyaksikan tragedi pembunuhan demi pembunuhan yang dilakukan ke atas umat Islam di sana.

Sesungguhnya penjajahan ke atas Baitul Maqdis dan tanah di sekitarnya oleh rejim Yahudi bukan sekadar masalah domestik penduduk Palestin. Kemelut ini juga bukanlah sekadar krisis kemanusiaan semata-mata. Bahkan tragedi ini berkait rapat dengan akidah kita selaku seorang Muslim, kerana Baitul Maqdis merupakan tanah suci yang ketiga buat umat Islam.

Sampai bila kita ingin membiarkan malapetaka ini terus berlaku ke atas umat Islam? Tergamakkah kita membiarkan saudara seakidah kita berterusan ditindas dan dibunuh tanpa sebarang pembelaan? Di manakah kita di saat mereka memerlukan?

Wahai tentera kaum Muslimin, kalian mempunyai kekuatan bagi membebaskan Palestin daripada penjajahan Yahudi Zionis sekali gus mengajar kebiadapan dan keangkuhan mereka. Malangnya, kelengkapan persenjataan dan latihan yang rapi kalian tidak sedikitpun digerakkan bagi berbuat demikian. Sebaliknya ada antara kalian yang saling bercakaran dan berbunuhan sesama sendiri.

Sudah tiba masanya untuk kalian bangkit membebaskan belenggu yang menghalang kalian daripada melaksanakan kewajipan ini. Ayuh, bersatulah di bawah naungan Khilafah Rasyidah yang akan menggerakkan segenap kekuatan bagi membebaskan bukan hanya Palestin, bahkan melakukan pembelaan terhadap umat Islam yang tertindas dan dizalimi di seluruh dunia.

Muhammad Fauzi
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia