Gejala Sosial Yang Begitu Membimbangkan
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki ditahan polis daerah Johor Bahru Utara, di sini kelmarin selepas dipercayai terbabit mencabul anak perempuannya sendiri di Taman Perling di sini, sejak dua tahun lalu. Lelaki berusia 44 tahun dan bekerja sebagai juruteknik itu ditahan polis selepas menerima laporan daripada mangsa yang berusia 17 tahun, kelmarin.
Kejadian terbabit dikatakan bermula sejak 2008 apabila bapa mangsa dikatakan sering meraba tubuhnya termasuk bahagian sulit ketika menemaninya tidur pada waktu malam. Mangsa yang ketika itu baru mencecah usia 15 tahun dipaksa tidur bersama bapanya di dalam sebuah bilik di rumah mereka di Taman Perling di sini dan walaupun enggan berbuat demikian, mangsa terpaksa melakukannya kerana bimbang berlaku kekecohan hingga mengejutkan ahli keluarga lain serta jiran.
Dia yang masih bersekolah pernah merancang untuk mendedahkan perbuatan bapanya itu kepada polis tetapi bimbang memikirkan beban bakal ditanggung keluarganya jika bapanya ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, mengesahkan menerima laporan daripada mangsa sebelum menahan suspek.
Sumber: Berita Harian, 15/02/2010
Gejala Sosial Yang Begitu Membimbangkan
Nampaknya perlakuan sumbang akibat kerakusan manusia yang langsung tidak memikirkan dosa dan keharaman ini terus berleluasa. Paling malang, kebanyakan jenayah ini berlaku di dalam keluarga muslim. Sepatutnya, kejadian seperti ini tidak wajar berlaku dengan adanya kempen dan seruan media massa yang memainkan peranan dalam memberi maklumat dan nasihat, namun ia tetap terus berlaku malah telah sampai ke tahap yang amat-amat menyedihkan. Tidak mustahil jika semua yang berlaku ini boleh menjadi salah satu punca kelahiran anak luar nikah dan seterusnya pembuangan, pembunuhan sehingga pembakaran bayi kerana timbulnya rasa malu.
Jika diperhatikan secara langsung, banyak faktor yang boleh dilihat menyumbang kepada terjadinya gejala ini. Ini termasuklah berleluasanya pendedahan kepada bahan lucah dari penjualan VCD dan sumber internet. Namun hakikatnya, punca yang lebih mendasar mengapa gejala seperti ini berlaku amat terkait dengan penerapan sistem sekular yang menyediakan platform dan galakan kemaksiatan di dalam masyarakat hari ini. Selagi hukum Allah tidak diterapkan secara syumul, maka selama itulah gejala seperti ini akan terus berleluasa. Hakikatnya, bukan hanya si pelaku sahaja yang mendapat dosa atas perbuatannya, kita juga berdosa selagi hukum Allah tidak diterapkan dan tidak diusahakan penerapannya. Islam adalah agama yang sempurna. Sistem sosial Islam( nizamul ijtima’e) telah menggariskan peraturan mengenai hubungan di antara lelaki dan wanita begitu juga antara mahram dan sebaliknya . Nizam ijtima’e juga menggariskan peraturan mengenai pemisahan bilik antara saudara lelaki dengan saudara perempuan, menggariskan batasan-batasan pergaulan, menetapkan batasan aurat dan sebagainya. Begitu juga dengan uqubat Islam ke atas pelaku kesalahan seks seperti ini. Semuanya tercantum dalam sistem yang lengkap dan teratur di bawah penerapan hukum Islam yang syumul.
Apabila hukum Allah mengenai perkara-perkara ini ditinggalkan, akan hilanglah dinding batasan pergaulan yang akhirnya menyebabkan berlakunya gejalan tidak sihat seperti yang dilihat hari ini. Manusia tidak lagi bertindak di bawah pengaruh taqwa bahkan bertindak di bawah pengaruh nafsu serakah.
Wahai kaum Muslimin!! Ayuh! Keluarlah dari kepompong yang selama ini membelenggu kita dan bebaskanlah diri kita dari sistem yang rosak ini. Laksanakanlah Islam, berusahalah untuk mengembalikan Islam dalam kehidupan kita agar kita benar-benar dapat menggapai semula gelaran umat terbaik!!