Gelombang Penentangan Rakyat Mula Merebak

Umat Islam Bangun Menentang Penguasa

KEHERAH: Tiga dilaporkan maut selepas tercetus protes besar-besar membabitkan lebih 10,000 orang di ibu negara Mesir dan beberapa wilayah bagi menuntut Presiden Hosni Mubarak berundur selepas mendapat inspirasi kebangkitan rakyat Tunisia, baru- baru ini.

Dua peserta perhimpunan, Ahmed Soliman Gaber dan Mustafa Ragab, meninggal dunia di bandar Suez selepas berlaku pertempuran antara polis dan kumpulan penunjuk perasaan.

Seorang anggota polis, Ahmed Aziz, pula meninggal dunia selepas cedera parah di Kaherah apabila lebih 10,000 penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Tahrir untuk menuntut Mubarak berundur selepas lebih 30 tahun berkuasa.

Di beberapa bandaraya termasuk Cairo dan Suez, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang mula bertindak ganas, termasuk membaling batu.

Perhimpunan itu dianggap terbesar dalam sejarah Mesir yang padat penduduk itu sejak insiden penunjuk perasaan pada 1977.

Lebih 20,000 hingga 30,000 anggota polis sudah dikerah untuk berkawal di tengah Bandaraya Kaherah apabila penunjuk perasaan berarak dengan membawa sepanduk yang mahu rejim pemerintahan sekarang digugurkan.

Berdekatan bangunan Parlimen pula, polis terpaksa melepaskan meriam air apabila penunjuk perasaan mula membaling batu. – AFP

Sumber: Berita Harian 26/1/2011
 
Gelombang Penentangan rakyat mula merebak

Setelah apa yang berlaku di Tunisia, masyarakat dunia mula dikejutkan dengan siri demonstrasi di beberapa negeri Arab, sekali gus menunjukkan terdapat  tanda-tanda  akan wujudnya kebangkitan rakyat . Sejarah politik dunia membuktikan bahawa kezaliman dan penindasan akan pasti runtuh dan digantikan dengan pemerintahan yang baru. Itulah yang bakal terjadi kepada rejim-rejim boneka di negara kaum  muslimin ketika ini, samada mereka kembali menerapkan Islam dan menegakkan keadilan atau mereka akan disingkirkan oleh rakyat. Segala penindasan dan kezaliman yang selama ini dialami  telah menyatukan rakyat untuk keluar dan meluahkan isi hati mereka dengan cara melakukan perarakan yang mana sebelum ini ianya jarang-jarang berlaku di negeri-negeri yang diperintah oleh pemerintah boneka negara umat Islam.
 
Rakyat sudah muak dan cukup tersiksa dengan apa yang selama ini menimpa mereka. Kezaliman, kemiskinan, tindakan penguasa yang menyekat  ajaran dan dakwah Islam sudah sampai ke penghujungnya. Oleh kerana itu, rakyat mahukan para pemimpin zalim ini diganti dengan seorang pemimpin (Khalifah) yang  tinggi ketaqwaan dan sekaligus mengembalikan Sistem Khilafah dan menerapkan hukum Allah. Sabda Rasulullah SAW: “ ….seterusnya akan muncul khilafah diatas jalan kenabian” [HR Ahmad].