Golongan Anti Islam Semakin Kurang Ajar
BRITAIN memerlukan dasar baru untuk menangani isu berkaitan dengan eksploitasi rasis berikutan kejadian yang berlaku di luar sebuah masjid di London. Setiausaha Komuniti Britain, John Denham memberitahu akhbar The Guardian satu strategi baru daripada kerajaan diperlukan untuk menangani isu yang cuba dieksploitasi oleh pelampau kaum. Beliau membuat kenyataan itu selepas pasukan pencegah rusuhan polis menangkap 10 orang kelmarin dalam satu pergaduhan antara penunjuk perasaan beragama Islam dengan kumpulan anti-Islam di luar sebuah masjid di London.
Menurut Denham, menteri-menteri akan mendedahkan program kerajaan itu yang menjadikan komuniti berkulit putih dan kelas pekerjaan sebagai sasaran. Pada kejadian yang berlaku Jumaat lalu, polis membuat tangkapan dan meleraikan tunjuk perasaan selepas sekumpulan pemuda Muslim membaling kayu dan batu ke arah sekumpulan penunjuk perasaan anti-Islam. Kira-kira 1,000 orang menyertai tunjuk perasaan itu. Seorang penunjuk perasaan, Khairul Khan berkata, penunjuk perasaan Islam sebenarnya tidak menunjukkan perbuatan agresif. “Kami cuma mempertahankan masjid kami. Kami cuba untuk menghentikan mereka daripada menyerang rumah Tuhan kami,” katanya. – AFP
Sumber: Kosmo 12/09/09
Kebencian Barat Kepada Islam Dan Umat Islam Terus Membara
Nampaknya kejadian serangan 11 September 2001 lapan tahun yang lepas terus menjadi pemicu untuk mewujudkan kebencian Barat kepada Islam. Inilah keadaan dan nasib umat Islam di seluruh dunia. Mereka terus dijadikan sasaran oleh golongan yang anti dan benci kepada Islam dan umat Islam. Dalam isu di atas kita dapat melihat bagaimana pihak berkuasa dan keselamatan Britain gagal menjalankan tugasnya untuk menghalang kejadian ini dari berlaku. Umat Islam di Britain diprovokasi oleh golongan-golongan yang anti kepada Islam. Malangnya kita melihat bagaimana akhbar memetik sebagai berkata“sekumpulan pemuda Muslim membaling kayu dan batu ke arah sekumpulan penunjuk perasaan anti-Islam”. Ini seolah-olah umat Islam yang memulakan pergaduhan ini dan mereka berada di pihak yang salah dalam keadaan tersebut.
Pihak anti Islam sering menjadikan perkara yang mulia di sisi Islam seperti nabi Muhammad SAW, al-Quran, masjid, hijab dan sebagainya sebagai sasaran untuk memprovokasi umat Islam agar terpancing dan bertindakbalas dengan apa yang mereka lakukan. Amat hina apa yang dilakukan oleh golongan kufur ini. Pihak kufur tanpa henti akan terus berusaha untuk memadamkan cahaya Islam. Firman Allah SWT
“ Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”. [TMQ At Taubah (9) : 32].
Inilah nasib yang menimpa umat Islam saat ini yang hidup dalam kehidupan yang tidak dinaungi oleh Daulah Islam. Tidak ada seorangpun pemimpin dunia umat Islam yang berani mempertahankan Islam dan umat Islam. Di manakah Mubarak, Raja Abdullah, SBY, dan yang seangkatan dengan mereka di saat umat Islam ditindas? Yang pastinya mereka sedang mabuk dengan kehidupan dunia yang menipu ini. Faktanya saat ini, semenjak serangan 11 September 2001, umat Islam sering dijadikan kambing hitam oleh musuh-musuh Islam yang tanpa rasa jemu terus mengsasarkan serangan mereka samada yang berbentuk pemikiran mahupun yang berbentuk fizikal kepada Islam dan umat Islam.
‘Wahai umat Islam! Sudah sampai masanya Khilafah itu tertegak bagi melindungi dan menjaga kehormatan dan kemuliaan kamu.
Wahai umat Islam! Apakah kamu akan terus berdiam diri dengan membiarkan penghinaan ini terus berlaku?
Wahai umat Islam! Amat malanglah jika kamu terus bersikap sedemikian rupa.
Wahai umat Islam! Di manakah kemuliaan yang kamu miliki?
“Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”. [TMQ Al Munaafiquun (63) :8].
Wahai umat Islam! Kamu wajib untuk terus berpegang teguh dengan Islam. Kamu wajib untuk menyampaikan kebenaran Islam. Kamu wajib untuk menyatakan bahawa Islamlah satu-satu sistem kehidupan alternatif kepada kebobrokan dunia Kapitalisme hari ini.