Kerosakan Raja Kapitalis Semakin Terserlah

altPolis dan penunjuk perasaan bertempur di Times Square

NEW YORK: Berpuluh-puluh orang ditahan hari ini susulan pertempuran antara polis berkuda dengan penunjuk perasaan anti-korporat di pusat beli belah terkenal New York, Times Square berikutan kemarahan terhadap ketamakan korporat.

Polis yang memantau kawasan itu menahan seramai 71 penunjuk perasaan ke dalam van selepas mereka berarak manakala beribu-ribu lain dipercayai berada bersama pelancong di kawasan beli belah utama yang dipecahkan oleh halangan polis.
Pertempuran berlaku sepanjang hari perarakan yang bermula di Pejabat Kewangan bergerak ke bahagian 46th Street dan Seventh Avenue apabila mengetahui kehadiran polis. – AFP

Sumber : Utusan Online, 15/10/2011

Kerosakan Raja Kapitalis Semakin Terserlah

Tunjuk perasaan serta pertempuran antara polis anti rusuhan di Amerika semakin merebak. Malah dengan penangkapan yang dibuat oleh polis ini semakin memberi bukti akan kerosakan sistem kapitalis di Amerika. Mereka sudah tidak percaya dengan sistem yang hanya menjaga golongan korporat/kapitalis semata-mata; sistem yang telah menaungi mereka sekian lama! Rakyat kebanyakan semuanya ditinggalkan jauh ke belakang berbanding para pemodal yang sentiasa ditatang bak minyak penuh oleh pemerintah kapitalis. Inilah natijah sebenar ideologi ciptaan manusia yang lemah dan terbatas ini.

Sebaliknya, Islam telah lama menyelesaikan kemelut kemanusiaan dengan sistem yang dibawanya. Contohnya, sistem ekonomi Islam menjamin pemenuhan keperluan setiap individu dan bukan hanya melihat kepada nilai perolehan pendapatan sesebuah negara secara perkapita. Ini bermakna, makanan, pakaian serta tempat tinggal merupakan jaminan yang wajib disediakan oleh pemerintah kepada rakyat. Ini tidaklah bererti bahawa negara akan bertindak seperti ibu yang menyuapkan makanan kepada bayi, tetapi negara akan mewujudkan mekanisma yang membolehkan setiap individu memperoleh pekerjaan yang sesuai untuk menyara hidup dan memenuhi keperluan mereka yang lain.

Selain itu, dengan penerapan sistem Islam secara sempurna oleh negara, keperluan setiap rakyat seperti keselamatan, kesihatan serta pendidikan akan terjamin, tanpa mengira tahap ekonomi seseorang itu. Oleh itu, tidak kira sama ada mereka miskin ataupun kaya, mereka tetap akan menikmati layanan yang sama dari pemerintah. Inilah keindahan Islam yang pastinya akan didambakan oleh mereka yang sentiasa ditindas di bawah sistem kapitalis sekarang. Namun begitu, yang lebih utama ialah, ia bukan sahaja sesuatu yang didambakan, ia adalah suatu yang wajib diperjuangkan.