GST Adalah Haram. Apa Yang Perlu Dikaji?

Pas saran GST dikaji jawatankuasa khas Parlimen

SHAH ALAM 7 Feb. – Pas hari ini meminta kerajaan menangguhkan pembentangan bacaan kali kedua rang undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada persidangan Parlimen yang dijadual Mac ini bagi membolehkan rang undang-undang itu diteliti terlebih dahulu.  Naib Presiden parti, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebuah jawatankuasa khas Parlimen yang dianggotai pihak kerajaan dan pembangkang wajar ditubuhkan bagi tujuan itu memandangkan GST melibatkan kepentingan banyak pihak. Di bawah jawatankuasa khas ini pula wajar ditubuhkan sebuah jawatankuasa kecil yang disertai persatuan pengguna, pengilang, akauntan dan percukaian bagi memperhalusi GST itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan meja bulat berkaitan pelaksanaan GST anjuran parti itu di sini.  “Kami tidak menolak GST secara total tetapi mahu kepastian daripada kerajaan bahawa apabila GST dilaksanakan cukai pendapatan individu, syarikat dan koperasi diturunkan lagi sebab GST akan membebankan pengguna,” katanya.  Beliau berkata, pihaknya juga akan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu.  Rang undang-undang itu telah dibentang untuk bacaan kali pertama pada persidangan Parlimen Disember lepas. – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia, 07/02/10

GST Adalah Haram. Apa Yang Perlu Dikaji?

Sebagai sebuah gerakan Islam sewajarnya PAS melihat isu GST ini dari sudut pandangan syara’. Sebarang bentuk cukai termasuklah GST yang akan dikenakan oleh kerajaan sekular Kapitalis hari ini adalah haram di sisi Islam. Hakikatnya tidak boleh ada istilah “Pas saran GST dikaji”. Sewajarnya PAS (Mahfuz Omar) mengingatkan para pemimpin sekular umat Islam hari ini yang bercita-cita untuk memperkenalkan GST itu agar tidak meneruskannya. Islam sebagai suatu cara hidup yang sempurna dan menyeluruh telah menjelaskan secara terperinci sumber pendapatan bagi sebuah negara Islam. Sumber pendapatan bagi Negara Islam telah pun ditetapkan oleh Allah dan RasulNya, antaranya adalah Ghanimah, Fai’, Kharaj, ‘Usyur, Khumus, Rikaz, Jizyah dan lain-lain. Sumber-sumber ini merupakan sumber yang diredhai oleh Allah SWT dan pasti tidak akan menzalimi rakyat, tidak seperti cukai yang diterapkan di dalam sistem hari ini, yang bukan sahaja merampas harta rakyat, malah akan membawa pemerintah ke neraka berdasarkan hadis.

“Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai (mukus)”
[HR Ahmad, Abu Daud & Hakim]

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka” [HR Ahmad].

Di dalam sistem Kapitalis, sejumlah besar pendapatan bagi sesebuah negara itu adalah dari bayaran cukai. Kini GST akan ditambah dalam senarai cukai-cukai negara.

Seharusnya para pemimpin dari gerakan Islam yang berada di dalam parlimen menggunakan platform parlimen sebagai medium untuk mengingatkan dan memuhasabah pemerintah akan keharaman dan azab yang menunggu mereka di hari akhirat kelak jika mereka terus menerapkan sistem kufur Kapitalisme sepertimana hari ini. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah cadangan saudara Mahfuz agar ditubuhkan sebuah jawatankuasa khas Parlimen yang dianggotai pihak kerajaan dan pembangkang bagi mengkaji GST!! Amat jauh tersasar saranan beliau itu dari sudut pandangan Islam!!