GST: Kami akan tuntut di Akhirat!
Di mana sahaja kita pergi di bumi Malaysia kini akan kedengaran keluhan rakyat akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Itu belum masuk lagi alam maya di mana kritikan dan sumpah laknat dari rakyat sudah tidak terhitung banyaknya ke atas kerajaan hasil pelaksanaan cukai tersebut yang cukup memeritkan. Apa tidaknya, hampir setiap barang dikenakan GST dan sudah semakin banyak barangan dan perkhidmatan yang naik harga kesan dari GST.
Sejak diumumkan akan dilaksanakan sehingga kini, kerajaan pimpinan Najib terus membutakan mata dan memekakkan telinga dengan rungutan dan kritikan dari rakyat untuk menarik semula GST. Nampaknya, jika mengalir air mata darah sekalipun, Najib akan tetap menghisap darah rakyat melalui GST.
Apa pun, ini tidak bererti yang kita akan mengalah dan terus pasrah dengan apa yang dilakukan oleh pemerintah. Muhasabah wajib terus dilakukan ke atas pemerintah yang zalim hinggalah mata kita atau mata pemerintah tersebut ditutup oleh Allah SWT. Usaha untuk menegakkan Islam wajib terus dilakukan bagi menggantikan pemimpin yang zalim ini dengan seorang Khalifah yang bertakwa.
Namun, buat masa ini, apa yang kita boleh katakan kepada Perdana Menteri dan penyokong-penyokongnya ialah, teruskanlah kezaliman kalian, ambillah sebanyak mana cukai dari kami yang kalian mahukan, ambillah duit susu anak-anak kami, ambillah duit lampin dan duit pakaian anak-anak kami, ambillah duit persekolahan anak-anak kami, ambillah duit beras dan duit ikan kami, ambillah harta benda kami semahu kalian, ambillah semuanya…kami tidak akan mengadu lagi kepada kalian, kami hanya akan mengadu kepada Tuhan kami dan Tuhan kalian, Allahu Rabbul Jalil…kami hanya akan mengadu kepadaNya sahaja, bahawa harta-harta kami telah dirampas oleh kalian dengan kejam, tanpa hak dan tanpa belas kasihan.
Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah berfirman,
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu…” [TMQ an-Nisa’ (4):29].
Ya Allah ya Tuhan Kami, sesungguhnya Rasul-Mu juga telah bersabda,
“Harta, kehormatan dan darah seorang Muslim diharamkan ke atas Muslim lainnya” [HR Abu Daud & Ibnu Majah].
Namun para pemimpin kami tidak mendengar firmanMu dan sabda NabiMu ini ya Allah! Oleh itu dengarlah ya Allah, kami mengadu kepadaMu bahawa pemimpin kami telah memakan harta kami secara batil! Pemimpin kami telah merampas harta kami tanpa kerelaan kami! Sesungguhnya pemimpin kami telah menzalimi kami dan memaksiatiMu ya Allah!
Ya Allah ya Tuhan kami, hanya kepadaMu kami mengadu, hanya kepadaMu kami memohon, sebagaimana RasulMu pernah memohon kepadaMu!
“Ya Allah barangsiapa yang ditugaskan mengurusi masalah umat ini, lalu ia berlemah lembut terhadap mereka, maka berlemah lembut jugalah Engkau terhadapnya dan barangsiapa yang memberatkan (menyusahkan) mereka maka Engkau beratkanlah (susahkanlah) juga dia” [HR Muslim].
Sesungguhnya kami akan menuntut hak kami yang dirampas oleh pemimpin yang zalim ini di Akhirat kelak ya Allah!
Amin ya Rabbal alamin.