GST selamatkan Malaysia, tapi selamatkah Najib di akhirat?
Setakat Disember 2015, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan yang kutipan kasar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah menyumbang sebanyak RM37.67 bilion dengan unjuran nilai bersih berjumlah RM27.126 bilion. Walaupun langkah mengenakan GST itu merupakan satu langkah yang tidak popular, tetapi ternyata ia telah menyelamatkan ekonomi negara, kata Najib.
Umum mengetahui bahawa dalam sebuah negara Kapitalis, cukai, baik cukai langsung atau tidak langsung, menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan negara. Setiap tahun, setidaknya 70-80 peratus pendapatan negara adalah dari hasil cukai dan kebiasaannya jumlah tersebut sentiasa meningkat, sama ada kerana kenaikan cukai sedia ada atau pun pengenalan cukai baru.
April tahun lalu menyaksikan pengenaan cukai baru, GST sebanyak 6% kepada rakyat Malaysia, menggantikan cukai lama, SST. Walaupun langkah kejam ini dikritik dan dibantah hebat oleh rakyat, namun pentadbiran Najib Razak hanya memekakkan telinga dan membutakan mata sahaja. Malah kini, Perdana Menteri Malaysia itu berbangga dengan kutipan yang mencecah hampir RM38 bilion itu kerana dikatakan telah menyelamatkan ekonomi Malaysia.
Sesungguhnya cukai yang dibolehkan dalam Islam hanyalah usyur (cukai sempadan, import-eksport) yang dikutip dari pedagang negara kafir harbi yang memasuki negara. Itu pun, ia hanya dikenakan jika negara kafir harbi tersebut mengenakannya kepada pedagang dari Negara Islam yang memasuki negara mereka, dengan kadar yang sama banyaknya atau kurang dari itu. Banyak hadis yang membincangkan tentang hal ini. Jika negara kafir tidak mengenakannya kepada Negara Islam, maka haram bagi negara Islam untuk mengenakannya kepada mereka. Terlebih lagi haram sekiranya cukai dipungut dari kalangan orang Islam, kerana terdapat banyak hadis yang melarang hal ini dengan tegas. Sabda Rasulullah SAW,
“Harta, kehormatan dan darah seorang Muslim diharamkan ke atas Muslim lainnya” [HR Abu Daud & Ibnu Majah].
Semua bentuk cukai (selain usyur yang dibenarkan dengan syarat tertentu), sama ada cukai langsung atau tidak langsung adalah diharamkan dalam Islam kerana ia merupakan bentuk perampasan harta oleh negara ke atas rakyat tanpa izin, sebagaimana larangan dalam hadis di atas.
Oleh yang demikian, haram bagi negara mengenakan cukai tidak langsung seperti GST dan apa sahaja jenis cukai mahupun bayaran yang tidak dibolehkan oleh nas untuk memungutnya kerana ia termasuk dalam kezaliman, bahkan termasuk dalam hadis riwayat Ad-Darimi, Ahmad dan Abu Ubaidah dari Uqbah bin Amir, bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,
“Tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai.”
Walau pun terbukti yang cukai dapat menyelamatkan ekonomi sesebuah negara, sebagaimana juga wang hasil judi, hasil riba, hasil saham, hasil rampasan milik umat seperti minyak, gas dan lain-lain galian yang kesemuanya dapat menyelamatkan ekonomi negara dan ekonomi para pemimpin negara, mereka sepatutnya khuatir yang semua itu tidak akan dapat menyelamatkan mereka di akhirat!!!
Wallahu a’lam.