GST Vs Cukai Pendapatan – Keluar mulut harimau masuk mulut buaya!
Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, kerajaan perlu meneruskan Program Pendidikan Kesedaran Awam untuk mendidik masyarakat tentang manfaat yang bakal diperoleh menerusi GST. ‘‘Kita perlu melihat penerimaan orang ramai terhadap GST dan kerajaan akan lakukan tinjauan yang tepat. ‘‘Pengumuman mengenai pelaksanaannya akan dibuat apabila sampai masanya agar kadar ditetapkan boleh diterima rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Konsultasi Bajet 2012 di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Ditanya sama ada GST akan dilaksanakan tahun depan, Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diberitahu kemudian. GST yang juga dikenali sebagai VAT atau cukai nilai tambah di kebanyakan negara ialah cukai penggunaan ke atas barangan dan perkhidmatan. Perdana Menteri turut menyarankan agar Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerangkan kepada rakyat tentang kebaikan cukai itu. “Apabila rakyat sudah faham dan ada penerimaan, maka itulah masa yang paling sesuai untuk kita laksanakan GST. Saya akan umumkan apabila tiba masanya,” kata Najib.
Beliau turut membayangkan bahawa orang ramai boleh menjangkakan berita baik pada belanjawan seterusnya kerana kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat. ‘‘Sebagai contoh apabila kerajaan merasionalisasikan subsidi, ia tidak bermakna kami tidak mengutamakan rakyat sebaliknya bertujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan supaya lebih banyak projek dapat dilaksanakan pada masa akan datang,” jelas beliau.
Sumber : Utusan Malaysia 11/5/2011
Cukai, apapun bentuknya adalah haram di sisi syarak. Harta manusia asalnya adalah selamat dan tidak boleh diambil atau dirampas sewenang-wenangnya melainkan dengan izin syarak. Tapi sayang, minda pemimpin sekular dewasa ini sudah sangat jauh menyeleweng dari hukum Allah. Mereka tetap berhukum dengan hukum kufur (termasuk akal/hawa nafsu sendiri) tanpa segan silu terhadap Allah Yang Maha Perkasa. Ironiknya, sampai bila rakyat perlu sedar bahawa sekarang ini mereka telah dan sedang ditipu oleh para pemimpin yang menggunakan sistem buatan manusia ini? Apakah mereka menanti bencana kebuluran, porak-peranda dan huru-hara tiba untuk mereka bangkit memperbetulkan keadaan?