Kosovo merdeka – keluar mulut buaya masuk mulut harimau

Nampaknya wilayah Muslim Kosovo akan berjaya mendapatkan kemerdekaannya dari Serbia. Para pemimpin Kosovo dan Perdana Menterinya,  Hashim Thaci telahpun memanggil sesi kecemasan Parlimen untuk mendeklarasi kemerdekaan Kosovo. Ini berlaku setelah perundingan  selama lebih 2 tahun antara EU dan Russia, dengan AS sebagai pengantara, menemui kegagalan. Meskipun dijangkakan bahawa anggota utama NATO seperti AS dan Britain, akan mengakui deklarasi Kosovo ini, 3 negara EU, Cyprus, Romania dan Slovakia telahpun membuat kenyataan kepada Negara EU yang lain bahawa mereka tidak akan mengakui kemerdekaan Kosovo.

Kosovo telah pun berada di bawah kawalan PBB sejak 1999 ketika tentera NATO masuk campur bagi memberhentikan serangan Serbia ke atas Muslim Albania yang merupakan majoriti penduduk di sana (90 hingga 95% populasi Kosovo). Serbia tetap konsisten dalam penentangannya, mengharapkan Kosovo terus menjadi ‘wilayah autonomi’nya,  namun golongan Muslim Albania mengharapkan status ‘kemerdekaan yang diselia’ dari AS/EU.  

Meskipun Serbia, yang disokong oleh Rusia, tidak akan menyerah tanpa sebarang penentangan bagi mendapatkan tanah yang mereka tuntut sejak kekalahan total mereka kepada Khilafah Uthmaniyyah dalam peperangan Kosovo pada 1389, posisi AS terhadap Kosovo nampaknya akan berjaya dan kemerdekaan Kosovo akan di deklarasi dalam beberapa minggu ini. Serbia kini sedang ditawarkan keahlian EU sebagai umpan dan sememangnya EU tidak akan melepaskan peluang untuk ‘memikat’ sekutu utama Rusia ini dan mengajaknya ke meja perundingan.

Kaum Muslimin tidak seharusnya tertipu kerana merasa bahawa peperangan Kosovo pada tahun 1999 adalah bertujuan untuk melindungi mereka, sepertimana yang digembar-gemburkan oleh Tony Blair. Amerika kini bukan sahaja sedang bekerja keras untuk membina sebuah pangkalan tentera di tengah-tengah Kosovo (di Ferrizaj), mereka juga sedang berusaha untuk melemahkan Serbia, sekutu utama Russia di wilayah tersebut. Pemisahan Montenegro dari Serbia baru-baru ini mengurangkan lagi pengaruh Serbia/Rusia. Apa yang kita lihat dari polisi yang jelas tidak konsisten terhadap wilayah Balkan (seperti pengabaian permusuhan Serbia ke atas Bosnia) dapat difahami apabila kita melihatnya dalam konteks yang betul. Jelas, semua ini bertujuan untuk menyisihkan pengaruh Serbia hanya kepada tanah yang terpencil (Negara Serbia) dan memecahbelahkan kaum Muslimin di negara-negara lemah seperti Croatia, Bosnia-Herzegovna, Macedonia dan sekarang Kosovo. Salah satu dari syarat Negara Kosovo yang terbatas, yang telah dipersetujui oleh kepimpinannya adalah bahawa Kosovo tidak akan bersatu dengan jiran-jiran  Muslimnya termasuk Croatia dan Albania.

Seperti mana-mana ‘negara’ kaum Muslimin yang didukung Barat (Palestin contohnya) Kosovo yang ‘merdeka’ juga tidak akan dibenarkan untuk memiliki tentera sendiri mahupun polisi luar yang bebas. Anggota NATO seramai 16,000 orang akan tetap berada di sana dan Kosovo akan terus menjadi negara satelit AS dengan pertolongan dari NATO. Kemerdekaan yang diselia ini akan meliputi kawalan ekonomi yang terhad dan bajet yang bergantung kepada bantuan; para ‘penyelia’nya juga akan menuntut kesetiaan yang tidak berbelah bahagi sebagai bayaran kepada pembebasan Kosovo dari pengaruh Belgrade.  

Permainan politik yang tidak keruan di wilayah Balkan, termasuk hasil persetujuan Dayton yang cukup buruk bagi Bosnia Herzegovina, mula tampak jelas apabila ia mampu mengenepikan Serbia dan kekuatan kaum Muslimin. ‘Pembalkanan’ (Balkanization) merupakan satu istilah geopolitik yang sudah terkenal; ia membawa konotasi dan memberikan gambaran kejayaan dalam memecahbelahkan dan melemahkan mana-mana wilayah. Kemungkinan untuk berlaku konflik di masa hadapan bukan sahaja terdapat di Bosnia (dengan wilayah ‘Republika Srpska’ orang-orang Serbia), ia juga boleh berlaku di utara Kosovo (daerah Mitrovica yang diduduki majoriti orang Serbia). Kemungkinan konflik ini akan menyebabkan Kosovo terus mengharapkan dan bergantung kepada sokongan Barat.

Kebanyakan rakyat Kosovo benar-benar menginginkan kemerdekaan dari dominasi Serbia dan ramai juga yang pernah berterima kasih kepada NATO kerana campur tangannya pada tahun 1999. Walau bagaimanapun, segala ‘kebaikan’ dan ‘kegembiraan’ yang pernah mereka rasai sudah mula meluntur dan mereka mula berhadapan dengan realiti buruk rejim baru yang dibawa oleh AS/EU; pengangguran di Kosovo adalah melebihi 60%, industri juga tidak bergerak di mana ‘para penyelia’ rejim ini telah menutup banyak operasi perlombongan dan para pemuda Kosovo terus mendatangi Eropah untuk mencari pekerjaan. Walaupun lebih 3,000 orang berarak di Pristina ketika membuat seruan ‘satu-satunya pilihan hanyalah kemerdekaan’, ungkapan yang lebih layak untuk menggambarkan keadaan Kosovo adalah ‘keluar dari periuk, masuk ke dalam api’.  

Tidak ada negara, kawasan atau wilayah di dalam dunia kaum Muslimin akan dapat merasai kemerdekaan yang sebenarnya sehinggalah Khilafah ditegakkan. Sehingga tibanya saat itu, negara-negara ini akan sama ada terus berada di bawah penguasaan kuasa kolonial secara langsung,  di bawah proksi yang mewakili kuasa kolonial atau di bawah penguasaan ekonomi dan politik kuasa luar. Negara-negara kecil akan terus menjadi hamba kepada kuasa lain, bergantung secara seratus peratus kepada kuasa besar di wilayah tersebut mahupun kuasa besar dunia untuk melindungi diri mereka. Mereka ini akan terus digunakan sebagai bidak dalam permainan politik kuasa-kuasa ini. Sehingga waktu itu (berdirinya Khilafah), seribu satu masalah sudah pasti akan melingkari penduduk Kosovo dalam pelbagai bentuk.