Kosovo minta diiktiraf, bantuan negara Islam

Kemerdekaan dari Serbia mendapat pengiktirafan segera AS

KAHERAH: Penduduk Muslim Albania yang mewakili majoriti di Kosovo yang mengisytiharkan kemerdekaan dari Serbia seminggu lalu, merayu negara Islam mengiktiraf negara baru itu segera.

Mereka juga merayu negara Islam menyumbang bantuan kepada Kosovo bagi menolongnya membangunkan negara berkenaan.

“Kami merayu kepada dunia Islam untuk mengiktiraf Kosovo,” kata Imam Besar Kosovo, Sabri Bajgora dalam wawancara dengan IslamOnline.net menerusi panggilan telefon.

Perdana Menteri Kosovo, Hashim Thaci mengisytiharkan kemerdekaan negaranya dari Serbia Ahad lalu yang mendapat pengiktirafan segera Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Barat tetapi tidak diiktiraf Serbia dan Russia.

Pengumuman itu disambut dengan kegembiraan di Kosovo tetapi dibantah oleh kumpulan tertentu di Belgrade dengan kedutaan negara Barat, termasuk Amerika menjadi sasaran serangan.

“Kami di Kosovo perlu sokongan politik dengan segera bagi mempertahankan kemerdekaan ini,” kata Bajgora.

“Kami juga perlukan sokongan negara Islam untuk membangunkan negara kami dalam semua bidang,” katanya.

Ketua pemuda parti keadilan Kosovo, Abdullah Klinako bersetuju dengan pandangan imam itu.

“Kami perlukan bantuan dari negara Islam untuk membolehkan Kosovo menyertai badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pada sidang tergempar Majlis Keselamatan PBB Ahad minggu lalu, kuasa Barat menghalang usaha Russia untuk menghalang kemerdekaan negara kecil di Balkan itu yang juga adalah bekas wilayah Yugoslavia yang sudah berpecah.

Kosovo, dengan 2 juta penduduk Muslim Albania mewakili lebih 95 peratus daripada jumlah penduduk negara itu, ditadbir oleh PBB sejak 1999 selepas tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengusir tentera Serbia dari wilayah berkenaan kerana didapati terbabit dengan pembersihan etnik.

Dikelilingi tanah negara lain dan tidak mempunyai banyak sumber semula jadi kecuali deposit galian, kira-kira 45 peratus penduduk Kosovo mengharungi kehidupan di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan 1.5 euro (RM7.15) sehari.

Separuh daripada jumlah pekerjanya mempunyai kerja formal dengan yang lain bekerja sambilan atau menganggur.

Lebih 30,000 pekerja baru memasuki pasaran kerja negara itu setahun, sedangkan Kosovo hanya mampu mewujudkan kerja baru sebanyak 20 peratus daripada jumlah berkenaan.

Kemudahan seperti jalan raya dan landasan kereta api diabaikan sejak zaman Yugoslavia dan sebahagiannya musnah ketika perang 1998-99.

Pengerusi Yayasan Jeta Ne Kasterjot, Luljeta Selim berharap negara Islam membantu berpuluh ribu wanita Kosovo yang dirogol secara sistematik oleh tentera Serbia ketika perang lalu. Agensi

Sumber : Berita Harian 25/02/08

Ulasan:

Walaupun telah mengisytiharkan kemerdekaan sendiri, ini langsung tidak bermakna Kosovo telah keluar dari segala masalah. Ia juga langsung tidak bermakna bahawa Kosovo telah keluar dari keadaan buruk kepada keadaan yang lebih baik. Hakikat bahawa kuffar Amerika menyokong kemerdekaan Kosovo telah memberi seribu satu makna kepada kita. Amerika bukanlah sebuah negara yang bodoh yang akan menyokong apa sahaja yang berlaku jika tidak ada ‘kepentingan’ d sebalik apa yang berlaku.

Kita sememangnya tidak gembira Kosovo berada di bawah Serbia. Kita juga tidak gembira Kosovo berada di bawah pemerintahan PBB. Dan kita juga langsung tidak gembira apabila Kosovo merdeka dan lahir menjadi sebuah lagi negara-bangsa (nation-state) yang sebenarnya menandakan satu lagi perpecahan umat Islam atas dasar bangsa. Begitu juga, tidak ada apa yang akan menggembirakan kita apabila, jika seluruh negara umat Islam yang ada, mengiktiraf dan memberi bantuan kepada Kosovo sekalipun. Pengiktirafan negara kaum Muslimin yang lain ke atas Kosovo hanyalah menunjukkan kaum Muslimin mengiktiraf satu lagi perpecahan sesama sendiri.

Apa yang kita mahukan adalah seluruh kaum Muslimin bergabung membentuk Daulah Khilafah dengan cara melantik seorang Khalifah, kemudian menggabungkan negara mereka satu per satu ke dalam Daulah Islam ini. Umat Islam itu wajib bersatu dan bergabung di bawah satu pemerintahan, bukannya berpecah di atas dasar negara-bangsa. Hanya jika terwujudnya gabungan inilah, barulah kita akan merasa gembira dengan apa yang berlaku. Untuk penggabungan ini, kita tidak perlukan pengiktirafan dari Amerika mahupun PBB. Inilah kemerdekaan sebenar yang akan di capai oleh umat Islam apabila mereka telah keluar dari dominasi dan cengkaman negara-negara kufur musuh Allah yang juga merupakan musuh kita bersama.