Guru turut terganggu baju kurung putih yang terlalu jarang

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada cadangan awal untuk menilai pakaian pelajar perempuan di sekolah yang perlu dinilai semula. Masyarakat perlu mengetahui dan melihat bahawa cadangan ini dibuat hanya kepada pelajar perempuan Islam sahaja. Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini adalah berteraskan kepada lima asas yang utama.

Pertamanya, isu ini bukan mahu menyalahkan pelajar perempuan, akan tetapi ia sebagai salah satu kaedah pencegahan (sad zarai’ik) di dalam Islam supaya pelajar perempuan tidak terdedah kepada ancaman luar dan masalah sosial akibat daripada pemakaian yang terlalu jarang. Langkah pencegahan ini sangat penting supaya mereka bebas daripada ancaman persekitaran mereka. Keduanya, cadangan penukaran pakaian berwarna ini ditujukan kepada pelajar Islam, supaya cara pemakaian pelajar Islam selarii dengan Syariah dan tuntutan Islam itu sendiri.

Dalam Islam, baju kurung sahaja tidak lengkap jika masih menayangkan tubuh badan. Pemakaian baju kurung kepada pelajar bukan Islam bukanlah satu paksaan kepada mereka, akan tetapi mereka yang berminat memakai baju kurung berwarna sangat digalakkan. Asas yang ketiga ialah, ramai guru turut mengeluh sebenarnya kerana pemakaian pelajar perempuan yang terlalu jarang menyebabkan tumpuan guru terganggu. Ini akan menyebabkan keadaan yang tidak selesa kepada guru-guru tersebut. Keempat, peranan ibu bapa sangat penting dalam urusan persekolahan pelajar di mana ibu bapa juga berperanan memilih pemakaian yang sesuai untuk anak-anak mereka.

Asas yang terakhir ialah PKPIM tidak menuduh persepsi lelaki Malaysia semua sebagai mata keranjang akan tetapi secara fitrahnya mata lelaki akan mudah teransang dengan pemakaian yang seksi atau yang tidak menutup aurat. Apatah lagi yang melihatnya nanti guru- guru yang bertanggungjawab mendidik mereka. PKPIM berpandangan bahawa pakaian awam ini merupakan salah satu faktor daripada banyak faktor-faktor lain yang menyumbang kepada jenayah seksual. Tidak semua mereka yang berpakaian tidak menutup aurat atau terdedah itu semestinya menjadi mangsa, akan tetapi merupakan salah satu daripada faktor menyumbang kepada masalah gangguan seksual.

Selain itu juga, pakaian yang terdedah itu turut menimbulkan rangsangan kepada lelaki-lelaki di persekitarannya. Sebenarnya, penjenayah itu dapat melihat dan teransang daripada orang yang tidak memakai tudung berbanding mereka yang bertudung atau menutup aurat. PKPIM juga tidak menafikan bahawa mangsa jenayah seksual ada terdiri daripada mereka yang bertudung dan menutup aurat, di mana penjenayah tidak mengenal mangsanya. Tetapi hakikatnya, penjenayah seksual ini telah didedahkan dengan faktor-faktor seperti imej lucah, imej tidak menutup aurat di media, internet, vcd lucah dan sebagainya.

PKPIM bertegas bahawa imej-imej lucah, pendedahan aurat, etika berpakaian ini merupakan antara salah satu faktor menyumbang kepada masalah ini. PKPIM mengharapkan Kementerian Pelajaran dapat mempertimbangkan cadangan ini dan dinilai kembali kerana ia sangat penting kepada semua. Semoga usaha ini mendapat sokongan daripada pihak luar.

Munirah bt Bahari – Naib Presiden HEWI, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Sumber: Harakahdaily

Ulasan:

Sesetengah pihak menyangkal bahawa wanita yang berpakaian menjolok mata atau berpakaian seksi akan mengundang gejala rogol, keganasan seksual dan keruntuhan moral seperti seks bebas. Pendapat mereka ini adalah berpandukan kepada kes-kes rogol yang melibatkan wanita bertudung seperti kes Nor Suzaily pada tahun 2000. Benar, bertudung sahaja bukanlah membawa erti bahawa seseorang wanita itu telah memenuhi kehendak syar’ie dalam menutup aurat. Masih lagi terdapat ramai wanita yang bertudung tetapi memakai baju dan seluar panjang ketat yang menampakkan bentuk tubuh badan mereka. Terdapat juga wanita yang bertudung dan berbaju kurung, namun masih menampakkan dada dan bentuk badan mereka..

Dalam membincangkan hak berpakaian bagi wanita, kaum feminis sering menyarankan bahawa wanita sepatutnya diberikan kebebasan untuk berpakaian sepertimana yang mereka kehendaki. Pada pandangan mereka, kaum lelakilah yang harus mengawal nafsu dan perasaan mereka. Memang benar, kaum lelaki diwajibkan menundukkan pandangan mereka dan tidak membiarkan diri mereka terpengaruh dengan rangsangan luar yang boleh membawa kemaksiatan. Namun hakikatnya, Islam juga mewajibkan wanita (dan lelaki) untuk menutup aurat dengan cara yang bersesuaian dengan hukum syara’.

Allah menurunkan Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam. Setiap hukum yang diterapkan barang pasti akan membawa rahmat bagi manusia. Ini termasuklah hukum menutup aurat bagi lelaki dan perempuan. Dari segi bukti empirik, memang terdapat banyak fakta yang menunjukkan bahawa terdapat korelasi antara jenayah seksual dan aktiviti-aktiviti kurang sehat yang melibatkan aspek seksual, termasuklah membuka aurat dan berpakaian seksi.

Sepertimana jenayah rasuah, penipuan, rompakan, kecurian banyak berlaku di kawasan di mana kemiskinan berleluasa, gejala seks bebas, rogol dan keganasan seksual kerap berlaku di mana sahaja terdapat banyak rangsangan seksual seperti berleluasanya wanita yang berpakaian seksi, membuka aurat dan aktiviti pornografi. Di Amerika Syarikat (AS), di mana pornografi dan kelucahan berleluasa, gejala rogol adalah sangat serius – ianya adalah 4 kali lebih tinggi daripada Jerman, 13 kali lebih tinggi daripada Britain dan 20 kali lebih tinggi dari Jepun [http://sa.rochester.edu/masa/stats.php]. Di dalam sebuah laporan daripada U.S. Department of Justice [‘Violence against Women’, Bureau of Justice Statistics, U.S. Dept. of Justice, 1994, http://www.paralumun.com/issuesrapestats.htm] disebutkan bahawa seorang wanita dirogol setiap 2 minit di AS. Dari sebuah lagi laporan, The Help Line USA, Inc., 1.3 wanita dirogol setiap minit di AS. dan seorang daripada tiga wanita di AS terlibat dengan keganasan seksual dalam kehidupan mereka [http://www.thehelpline.net/Abused.html].

Menumpukan perhatian (oleh golongan feminis) terhadap kes-kes rogol luar biasa (isolated cases) yang melibatkan wanita bertudung seperti Nor Suzaily, dan membuat tanggapan bahawa tidak menutup aurat dan berpakaian seksi bukanlah sebab utama gejala rogol dan keganasan seksual, adalah seperti menggangap kesemua 1.5 billion umat Islam adalah pengganas disebabkan 19 orang perampas kapalterbang yang melanggar Pusat Dagangan Dunia di New York juga adalah Muslim (bahkan tanggapan ini masih dipersoal).

Dalam sebuah laporan di dalam akhbar Telegraph pada 21 Februari 2007, dipetik: “The consequences of the sexualization of girls in media today are very real and are likely to be a negative influence on girls’ healthy development,” said Eileen Zurbriggen, the American Psychology Association’s task force chairman. Her comments were endorsed by Dr Jean Kilbourne, the co-author of a forthcoming book So Sexy, So Soon: The Sexualisation Of Childhood, who said clothing, toys and adverts were shaping a child’s gender identity and values in the wrong way. She saw a direct link between what was happening and the rise in under-age sex. (“Natijah daripada imej seksi wanita yang banyak terdapat di dalam media kini adalah suatu yang benar dan mengakibatkan kesan yang negatif terhadap perkembangan wanita”, kata Eileen Zurbriggen, pengerusi American Psychology Association. Komen beliau juga diakui oleh Dr Jean Kilbourne, pengarang bersama buku bertajuk “So Sexy, So Soon: The Sexualisation Of Childhood”, yang mengatakan bahawa pakaian, permainan dan iklan memberikan kesan perkembangan jantina yang negatif terhadap kanak-kanak. Beliau melihat bahawa terdapat perkaitan langsung di antara apa yang berlaku sekarang dengan gejala seks kanak-kanak yang semakin meningkat.”)

Banyak lagi contoh yang boleh dinukil dari media dan laporan-laporan yang menunjukkan bahawa keganasan seksual sangat berkait rapat dengan suasana kehidupan yang berlandaskan kebebasan. Hakikatnya, kebebasan tidak boleh dilihat sebagai manifestasi kemajuan. Memberikan kebebasan kepada wanita untuk tidak menutup aurat dan berpakaian seksi serta membenarkan pergaulan tanpa batasan antara lelaki dan wanita telah menyebabkan gejala-gejala rogol, seks bebas dan keganasan seksual bertambah banyak dan sangat sukar dibendung. Akhirnya, sudah tiada lagi jaminan bagi anak-anak kita dan kaum wanita untuk terselamat dari gejala-gejala ini. Sampai bila ini harus berterusan? Bila lagi hukum Allah akan diterapkan bagi memastikan masalah ini tidak terus menghantui kita?