‘Guru Terlampau’ – Antara profesionalisme perguruan dan polisi pendidikan yang berasaskan kapitalisme

Tidak lama dahulu negara ini telah digemparkan dengan tersebarnya kisah seorang guru yang mendenda murid-muridnya secara keterlaluan. Dalam kejadian tersebut, dua murid tahun empat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng di Sungkai, Perak, dilayan seperti seekor lembu apabila digantung loceng di leher dan dipaksa memakan rumput oleh seorang guru sekolah itu pada 23 Januari 2014 yang lalu. 1

Kejadian tersebut mendapat respon daripada pelbagai pihak yang mengecam tindakan tersebut. Ibu kepada salah seorang murid tersebut, Mohd. Izat Iqbal berkata, mereka membuat laporan polis di Balai Polis Sungkai berhubung perbuatan melampau guru berkenaan meskipun guru tersebut telah meminta maaf. [Utusan Malaysia 26/1/2014] 1

Rentetan dari perkembangan tersebut, wakil Pemuda MIC, M Veeran, menyelar tindakan tersebut dan berharap tindakan tegas diambil terhadap guru terbabit dan pihak sekolah berkenaan kerana tidak sensitif dalam perkara seperti itu. [Sinar Harian 26/1/2014] 2
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pula mendesak supaya Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) supaya mengenakan tindakan drastik dengan menamatkan perkhidmatan guru terbabit. Beliau dilaporkan berkata sedemikian sebagai respon terhadap tindakan ‘ringan’ kerana hanya ditukarkan tempat bertugas semata-mata. [Astro Awani 27/1/2014] 3

Sementara itu, Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) meminta agar pihak lain tidak campur tangan berkaitan isu pelajar didenda memakan rumput.

Presiden Pendidik, Normala Sudirman berkata, campur tangan pihak lain akan menyebabkan kementerian hilang integriti dan kewibawaan dalam menangani isu perguruan serta pendidikan tanah air. [Sinar Harian bertarikh 1/2/2014]4

Sebagai seorang yang waras, kita tentu akan memandang bahawa insiden ini merupakan sebuah tindakan yang melampaui batas. Tindakan denda yang berbentuk penghinaan sebegini bukan sahaja mendatangkan imej yang buruk kepada profesion perguruan, malah boleh mendatangkan impak kepada psikologi murid-murid yang dikenakan tindakan tersebut. SJKC-Khai-Meng-guru-terlampau-2

Meskipun murid-murid tersebut telah melakukan kesalahan disiplin kerana gagal menyiapkan tugasan yang diberikan, namun tindakan denda yang menyamakan mereka dengan lembu boleh mendatangkan kesan buruk terhadap perasaan dan perkembangan murid-murid. Tindakan yang bersifat animalistic dehumanisation (menyifatkan manusia dengan sifat kebinatangan) ini boleh mendatangkan kesan terhadap keyakinan dan jati diri murid-murid berkenaan. Selain itu, ibu bapa mana sekali pun pasti tidak akan menerima anaknya diperlakukan sedemikian rupa dan akan pasti marah dengan kejadian seumpama ini.

Memang ada segelintir pihak yang cuba menjustifikasikan tindakan sedemikian, dengan alasan bahawa anak-anak tidak boleh terlalu dimanjakan. Bahkan ada juga pihak yang menceritakan pengalaman mereka yang dihukum lebih teruk daripada bentuk denda yang dikenakan pada hari ini. Pemikiran sebegini merupakan natijah daripada kegagalan mereka dalam memahami peranan sebenar pendidikan di dalam Islam.

Alasan untuk mengelakkan anak-anak daripada menjadi terlalu manja bukanlah satu alasan yang wajar untuk diterima. Ini kerana, Islam telah menggariskan beberapa panduan dalam mendidik anak-anak (tarbiyah al-aulad), baik di rumah mahupun di sekolah. Islam juga telah menggariskan sistem pendidikan yang bersifat membina dan bukannya menghina.

Tujuan pendidikan bukan sekadar untuk melahirkan individu yang hanya mahir dalam membaca, menulis dan mengira semata-mata. Juga bukan bertujuan untuk memenuhi permintaan pasaran kerja, seolah-olah menjadikan sekolah-sekolah sebagai kilang menghasilkan “sumber manusia” demi memenuhi keperluan para pemodal di bawah sistem kapitalis. Tujuan pendidikan dalam Islam ialah untuk melahirkan individu yang bersyaksiyah Islamiyyah yakni cara berfikir dan cara bertindaknya selari dengan apa yang digariskan oleh Islam. Ini bermakna, para pelajar itu dibina bukan sekadar hanya mahir dan berjaya di dalam ilmu duniawi, tetapi juga ukhrawi.

Inilah tujuan pendidikan yang sewajibnya menjadi polisi negara dan untuk mencapai tujuan pendidikan ini, sudah tentu beban pelaksanaan utamanya terletak di bahu para guru. Dengan kata lain, tugas para guru, selain melahirkan insan yang mahir dalam akademik, adalah mendidik anak-anak umat dengan syakhsiyah Islamiyyah. Berbeza dengan sistem pendidikan dalam negara yang mengamalkan Kapitalisme di mana para guru hanya fokus melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik atau ko-kurikulum semata-mata dan boleh memenuhi permintaan pasaran, tanpa memandangkan kejayaan ukhrawi. Hasilnya, murid-murid dididik dengan sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan. Dengan sistem Kapitalisme ini, bukan murid-muridnya sahaja yang tidak akan memiliki syakhsiyah Islamiyyah, malah gurunya terlebih dahulu gagal memiliki sifat yang mulia tersebut.

Sudahnya, kita mendapati kesan yang sangat buruk menimpa guru dan juga murid. Hubungan guru dan pelajar tidak dilandaskan kepada hubungan keIslaman, malah hubungan kemanusiaan juga turut hilang. Maka terjadilah kes-kes disiplin yang sangat kronik yang sudah tidak terkata. Manakala hubungan guru dan pelajar juga jatuh ke tahap yang paling rendah sehingga hilangnya batas-batas kehormatan dan kemanusiaan dalam hubungan tersebut. Kerana itulah, kes-kes guru mendera pelajar dengan sifat di luar batas kemanusiaan sering terjadi. Manakala kes-kes pelajar menumbuk dan mencederakan guru juga tidak kurang kroniknya.

Umum mengetahui bahawa sistem pendidikan yang ada di Malaysia pada hari ini adalah tidak lepas dari hasil peninggalan penjajah. Setelah merdeka, dari masa ke semasa, ia ditukar dan diperbaharui oleh Menteri yang berkenaan, tetapi dengan polisi yang juga tidak berteraskan Islam. Pendek kata, asasnya tetap sekular, yakni memisahkan agama dari kehidupan. Justeru, selama mana asas ini tidak ditukar kepada asas Islam, maka selama itulah kita akan menyaksikan keburukan demi keburukan bakal menimpa bidang pendidikan negara. Wallahu a’lam.

1.    http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140126/dn_05/Guru-paksa-murid-makan-rumput#ixzz2sN02Xz8x
2.    http://www.sinarharian.com.my/nasional/makan-rumput-hukuman-keterlaluan-1.244417
3.    http://www.astroawani.com/news/show/kj-cikgu-lembu-patut-dibuang-dari-perkhidmatan-28992
4.    http://www.sinarharian.com.my/nasional/guru-terlampau-biar-kementerian-pendidikan-urus-1.246619