Kekejaman Kapitalisme Terus Terserlah

altBayaran tambahan persekolahan

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Kementerian Pelajaran akan mengenakan bayaran tambahan kepada pelajar bagi sesi persekolahan tahun depan. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, berbeza dengan yuran persekolahan, bayaran tambahan tersebut akan digunakan untuk manfaat para pelajar. Menurut beliau, yuran persekolahan pula akan digunakan untuk menampung hal ehwal pentadbiran sekolah serta penambahbaikan beberapa kemudahan yang disediakan.  Katanya, jumlah bayaran tambahan itu akan diumumkan kelak dan ia boleh dibayar ketika sesi persekolahan bermula. “Bayaran tersebut tidak akan membebankan ibu bapa dan para pelajar. Ia juga akan digunakan untuk kemudahan dan aktiviti mereka.  “Sebagai contoh, duit yuran tambahan itu akan digunakan sebagai insurans dan untuk menjayakan aktiviti kurikulum pelajar sepanjang sesi persekolahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Beliau diminta mengulas hasil perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.  Dalam pada itu, Alimuddin berkata, mesyuarat itu kebiasaannya akan diadakan setiap hujung tahun bagi meneliti persiapan persekolahan serta menangani pelbagai isu yang timbul sebelum bermulanya sesi persekolahan baru.  “Dalam mesyuarat tersebut, apa jua perkara berbangkit seperti infrastruktur, perabot, peralatan dan jumlah guru akan diperbincangkan.  “Ini bertujuan agar para pelajar dapat mengikuti sesi persekolahan dalam keadaan selesa serta memastikan segala kemudahan yang disediakan berada dalam keadaanbaik,” jelasnya.  Sesi persekolahan baru bermula pada 3 dan 4 Januari ini.

Sumber : Utusan Malaysia, 02/12/02

Kekejaman Kapitalisme Terus Terserlah

Suasana cuti sekolah baru bermula namun keseronokan ini direntap dengan kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom bahawa Kementerian Pelajaran akan mengenakan bayaran tambahan kepada pelajar bagi sesi persekolahan tahun depan. Pelbagai alasan diberikan untuk membenarkan tindakan yang akan dilaksanakan dan yang paling popular ialah bahawa “Bayaran tersebut tidak akan membebankan ibu bapa dan para pelajar….”. Apa yang pasti kenyataan sebegitu hanya boleh diterima oleh orang yang tidak rasional sahaja. Inilah “kebaikan” kerajaan dan pemerintahan yang diasaskan kepada ideologi Kapitalisme, di mana mereka tidak akan pernah melihat bahawa pendidikan dan yang seumpamanya itu adalah merupakan tanggunjawab bagi pemerintah untuk menyediakannya secara percuma kepada rakyat.

Benarlah bahawa dalam dunia Kapitalisme, untuk seseorang itu menjadi pandai dan mendapatkan ilmu maka pertaruhannya adalah wang. Jika seseorang itu memiliki wang maka urusannya untuk belajar akan menjadi mudah dan begitulah sebaliknya. Inilah kekejaman dan kezaliman yang dipertontonkan oleh wajah hodoh Kapitalisme. Tidak hairanlah jika di negara-negara Kapitalis Barat kita sering mendengar dan dimomokkan dengan berbagai berita yang cukup memeranjatkan seperti berita bahawa pelajar wanita terpaksa melacur untuk mendapatkan wang bagi membiayai kos pelajarannya.[ Ibu bangga anak akui jadi pelacur: Sumber : Kosmo 19/11/2009].

Inilah kekejaman yang Kapitalisme. Dan ini tidak akan berlaku jika sistem Islam [ termasuk polisi pendidikan Islam] diterapkan oleh pemerintah umat yang ada pada hari ini. Dalam Islam, adalah menjadi kewajiban bagi pemerintah untuk menyediakan pendidikan percuma kepada rakyatnya. [Sila rujuk: SN108 – PEMBIAYAAN PENDIDIKAN : TANGGUNGJAWAB SIAPA?]. Untuk itu sudah saatnya umat pada hari ini bergerak untuk mengembalikan semula Khilafah yang akan menerapkan Islam secara keseluruhan dan menebarkan rahmat Allah ke seluruh alam.