Kapitalisme Menunjukkan Kehancuran Dan Hanya Islamlah Sebagai Alternatifnya

Bilangan pelajar AS sakit mental meningkat

CHICAGO – Satu kajian terbaru mendapati jumlah pelajar sekolah tinggi dan kolej di Amerika Syarikat (AS) yang mengalami tekanan jiwa dan lain-lain penyakit mental meningkat lima kali ganda berbanding golongan muda seusia ketika Zaman Kemelesetan Ekonomi melanda AS pada tahun 1930-an.  Penemuan tersebut dirumuskan berdasarkan borang soal selidik psikologi yang digunakan sejak 1938.  Ia mengesahkan kebimbangan para kaunselor di AS yang telah lama mengesyaki bahawa semakin ramai pelajar negara itu tertekan dengan alam persekolahan dan kehidupan harian mereka.  “Soalnya sekarang, apakah langkah yang perlu dilaksanakan bagi membantu golongan muda pada masa kini,” kata seorang profesor di Universiti Negeri San Diego, Jean Twenge yang juga pengarang utama kajian tersebut.  Hasil kajian itu yang didedahkan semalam akan dipaparkan dalam edisi terbaru jurnal psikologi Clinical Psychology Review. 

Diketuai oleh Twenge, kumpulan penyelidik di lima buah universiti menganalisis maklum balas daripada 77,576 pelajar sekolah tinggi atau kolej.   Ia mencetuskan spekulasi di kalangan pakar kesihatan mental bahawa golongan muda di AS berdepan pelbagai tekanan akibat budaya popular yang memberi penekanan pada aspek luaran kehidupan termasuk kekayaan, rupa paras dan status.  “Sejak dari kanak-kanak lagi, kita telah diajar bahawa kekayaan diukur dengan wang dan apabila meningkat dewasa, kita tertekan untuk belajar bersungguh-sungguh semata-mata kerana wang,” kata seorang pelajar Universiti Miami, Sarah Ann Slater, 21. – AP

Sumber :
KOSMO, 12/01/2010

Kapitalisme Menunjukkan Kehancuran Dan Hanya Islamlah Sebagai Alternatifnya

Berita di atas cukup untuk menggambarkan kepada kita betapa saat ini Kapitalisme yang sedang menguasai dunia berhadapan dengan konflik yang terus berpanjangan.  Krisis kewangan global yang melanda dunia Kapitalisme sehingga kini nampaknya telah melahirkan 1001 macam masalah yang lainnya. Kapitalisme yang dipancarkan dari akidah sekularisme dan menjadi cara hidup yang dianuti oleh Barat dan sebahagian besar dunia terus memberikan kesan negatif dan merosakkan kehidupan manusia. Lihatlah hasil kajian dan laporan statistik jumlah pelajar di AS yang mengalami sakit mental seperti yang dipaparkan di atas. Di katakan, gejala ini telah meningkat lima kali ganda berbanding golongan muda seusia ketika Zaman Kemelesetan Ekonomi melanda AS pada tahun 1930-an.

Bukankah statistik yang dilaporkan ini sudah cukup menggambarkan kepada kita betapa cara hidup Kapitalisme, yang mengagung-agungkan idea kebebasan di mana tolok ukur perbuatan diasaskan kepada manfaat semata-mata dan kebahagian bererti memuaskan hawa nafsu semaksimum yang mungkin, adalah nilai kehidupan yang tidak pernah sesuai dengan fitrah manusia dan tidak akan dapat memberikan ketenangan serta ketenteraman kepada jiwa manusia? Inilah fakta dan realiti dunia Kapitalisme yang telah terbukti membawa kerosakan kepada manusia, alam dan kehidupan. Sayugia itu, sebagai seorang Muslim yang beriman kepada Allah SWT, kita harus meyakini bahawa hanya Islamlah satu-satunya cara hidup yang mampu dan berupaya untuk membawa rahmat ke sekelian alam ini. Sudah sampai masanya kita menolak Kapitalisme dan memperjuangkan cara hidup Islam dengan berusaha menegakkan kembali Khilafah.