Penjara Mewah Dalam Dunia Kapitalisme

altBanduan terima layanan istimewa

JAKARTA 12 Jan. – Kerajaan Indonesia, yang berjanji untuk mengekang gejala rasuah, telah menerima malu hari ini berikutan pendedahan tentang banduan yang kaya dan berpengaruh hidup dalam keadaan mewah di dalam penjara. Laporan berhubung kehidupan mewah banduan-banduan berpengaruh itu disiarkan di muka depan akhbar-akhbar selepas satu pasukan yang ditubuhkan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono untuk menyiasat gejala rasuah telah melakukan satu pemeriksaan mengejut di sebuah penjara yang menempatkan banduan wanita. Seorang ahli perniagaan wanita, Artalyta Suryani, yang dijatuhi hukuman penjara pada tahun lepas atas kesalahan merasuah pendakwa, dilaporkan sedang menjalani rawatan kecantikan laser di dalam sel penjaranya yang berkeluasan 64 meter persegi.  Keistimewaan yang diterima oleh banduan wanita itu termasuk mempunyai sebuah katil berkembar, alat penghawa dingin, televisyen berskrin rata, peti sejuk, dapur kecil, bilik air dan ruang permainan untuk kanak-kanak, menurut akhbar The Jakarta Globe.  ‘‘Kami sangat kecewa mendapati beberapa banduan menerima layanan istimewa,’’ kata jurucakap Presiden, Julian Aldrin Pasha. – AFP

Sumber : Utusan Malaysia, 13/01/2010

Penjara Mewah Dalam Dunia Kapitalisme

Dalam dunia kapitalisme, segalanya boleh dibeli dengan wang. Sehinggakan banduan yang dipenjara pun dapat merasakan kehidupan yang serba mewah seperti di luar apabila wang dijadikan galang gantinya. Jika inilah kehidupan yang dapat dinikmati oleh banduan dalam dunia Kapitalisme, maka tidak hairanlah kelak semakin ramai golongan yang kaya tidak akan merasa takut untuk melakukan jenayah meskipun diancam dengan penjara. Oleh kerana itu tidak hairanlah pada hari ini semakin ramai golongan kaya yang melakukan jenayah di dunia hari ini. Kesannya, dunia semakin rosak dan hancur disebabkan maksiat yang terus dilakukan oleh pelaku-pelaku maksiat ini. Inilah kebobrokan dunia Kapitalisme apabila undang-undang yang diguna pakai adalah undang-undang ciptaan manusia yang boleh dipinda sesuka hati dan dapat dijual beli oleh para kapitalis. Firman Allah SWT:

”Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ Al Maa-idah (5) : 50].

Dalam Islam, segala bentuk hukuman yang dikenakan terhadap pesalah bersifat jawabir dan zawajir iaitu sebagai penebus dosa bagi pelaku kesalahan dan mencegah pesalah dan orang lain dari melakukan kesalahan yang sama. Hukuman ini datang dari Allah. Berbeza dengan hukuman yang lahir dari akal manusia yang bersifat lemah, terbatas, saling bertentangan, berbeda dan terpengaruh kepada keadaan sekeliling, hukuman Islam datang dari Allah, Pencipta manusia. Sekiranya kita terus meletakkan harapan kita kepada sistem dan hukuman ala kapitalisme, kita akan pasti terus melihat manusia tidak lagi takut untuk melakukan kesalahan dan akibatnya dunia ini pasti akan hancur. Hanya syariah dan Khilafahlah yang akan mampu melenyapkan kerosakan dan kebatilan ini.