Sengsaranya Kehidupan Dalam Dunia Kapitalisme

bayi-matiTidak dapat digambarkan betapa sengsaranya umat dalam kehidupan yang diatur oleh ideologi kapitalisme pada hari ini. Si anak kecil yang tidak berdosa dan langsung tidak mengenal apa erti kehidupan turut menjadi korban. Inilah antara nasib buruk yang terpaksa dihadapi oleh saudara seislam kita di negara jiran apabila bayinya mati selepas dipulau oleh 10 buah hospital. Hanya disebabkan si ayah tidak mempunyai wang yang cukup untuk menanggung kos hospital dan diperparahkan lagi dengan karenah birokrasi yang begitu melelahkan, maka akhirnya si anak kecil itu terpaksa pergi menemui TuhanNya gara-gara kepentingan material para kapitalis tidak dapat dipenuhi. Di manakah perginya para pemimpin umat Islam? Adakah mereka tidak berasa malu dan tersentuh perasaan mereka apabila membaca kisah sebegini?

Ini hanyalah satu kes yang berjaya dilaporkan di dada akhbar, belum termasuk kes-kes lain yang sama yang berlaku pada setiap hari. Bayangkan jika keadaan ini menimpa anak kita, adik kita, saudara-mara kita dan lain-lain. Apakah para pemimpin umat Islam ini belum sedar bahawa kewajiban mereka adalah untuk menjaga seluruh urusan rakyatnya? Tanggungjawab ini termasuklah menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada rakyatnya yang mana dalam pandangan Islam, negara berkewajiban menyediakan perkhidmatan kesihatan secara percuma kepada seluruh rakyatnya. Kewajiban ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW: “Imam adalah pemelihara dan dia bertanggungjawab atas (urusan) rakyatnya” [HR al-Bukhari dari Abdullah bin Umar].

Imam Muslim meriwayatkan daripada Jabir ra bahawa Nabi SAW (sebagai ketua negara) telah menghantar doktor bagi mengubati Ubay. Nabi juga pernah dihadiahkan seorang doktor dari Muqauqis oleh Raja Mesir, lalu Nabi melantik doktor tersebut sebagai doktor umum bagi masyarakat. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Anas ra bahawa serombongan orang dari kabilah ‘Urainah telah masuk Islam lalu jatuh sakit di Madinah. Rasulullah SAW selaku ketua negara telah meminta mereka untuk tinggal di tempat penggembalaan unta zakat yang dikelola oleh Baitulmal berdekatan Quba’ dan dibenarkan mereka untuk berubat dengan meminum air susu unta di situ sehingga sembuh. Al-Hakim meriwayatkan bahawa Khalifah Umar bin Khattab pernah memanggil doktor untuk mengubati Aslam. Semua itu merupakan antara dalil bahawa pengaturan dan pengurusan kesihatan dan perubatan adalah termasuk sebagai  keperluan dasar bagi rakyat yang wajib disediakan oleh negara secara percuma untuk rakyat yang memerlukannya. Pelayanan kesihatan percuma itu diberikan terhadap setiap individu rakyat dalam negara tanpa melihat kepada kedudukan ekonominya. Dalam pandangan Islam, setiap warganegara daulah samada Muslim, kafir dzimmi, kaya, miskin, lelaki mahupun wanita, sama ada yang berkhidmat untuk negara ataupun tidak, kesemuanya layak untuk mendapat kesihatan percuma yang wajib disediakan oleh negara. Tetapi ini pastinya tidak akan dapat kita lihat dan rasai dalam suasana kapitalisme pada hari ini. Oleh kerana itu, Khilafah adalah sesuatu yang wajib bagi mengembalikan semula perlaksanaan kewajiban negara ini secara total.

Sumber : Kosmo, 19/02/12