Kesengsaraan Yang Dibawa Oleh Kapitalisme

Satu bilion penduduk dunia kelaparan

NAIROBI: Ibu bapa kebanyakan negara miskin di Afrika terpaksa mengehadkan perbelanjaan sekolah, pakaian dan penjagaan kesihatan asas semata-mata untuk memastikan anak mereka mendapat makan sekurang-kurangnya sekali sehari.

Tetapi, langkah itu masih belum mencukupi untuk menjamin anak mereka makan sekali sehari, menurut kajian, semalam.

Malah, seramai satu bilion penduduk dunia dilaporkan dalam keadaan berlapar. Laporan terbaru berita menyatakan, bilangan itu akan meningkat jika kerajaan tidak berbelanja lebih untuk pertanian.   Berdasarkan laporan agensi makanan PBB, Program Makanan Dunia (WFP), sebanyak 30 negara kini memerlukan bantuan kecemasan, 20 daripadanya di Afrika.

Keadaan berkenaan berterusan walaupun pemimpin dunia diberi sasaran sembilan tahun lalu untuk mengurangkan bilangan penduduk yang kelaparan sehingga separuh menjelang 2015.

“Ia sebenarnya satu darurat yang menggesa tindakan dari negara maju dan negara membangun,” kata Otive Igbuzor, ketua kempen antarabangsa bagi Action Aid International.   “Kita tahu, seorang kanak-kanak mati setiap enam saat akibat kurang zat,” katanya. Kenaikan harga makanan menambahkan kesukaran terutama di negara terdesak kerana kemiskinan menyebabkan penduduk hanya mampu makan sekali sehari.

Di Somalia, negara yang berhadapan dengan keganasan dan keadaan huru hara hampir dua dekad, perbelanjaan bulanan bagi makanan dan keperluan asas lain bagi sebuah keluarga enam orang meningkat sebanyak 85 peratus sejak dua tahun lalu, kata Grainne Moloney dari Unit Analisis Zat dan Keselamatan Makanan Somalia.
Secara purata, sebuah keluarga berbelanja AS$171 (RM598) pada September tahun ini berbanding AS$92 (RM322) bagi membeli makanan dan keperluan lain yang sama pada Mac 2007, kata Moloney, pakar pemakanan bagi Afrika. – AP

Sumber: Berita Harian: 16/10/09

Kesengsaraan Yang Dibawa Oleh Kapitalisme

Inilah realiti yang dihadapi oleh masyarakat dunia hari ini. Jumlah mereka yang kelaparan mencatat angka yang cukup tinggi di mana kebanyakannya adalah di Afrika. Di zaman kegemilangan Islam, di saat pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, pernah tercatat keadaan di mana tidak ada yang layak menerima zakat di kawasan Afrika. Kita boleh membayang betapa makmur dan indahnya kehidupan manusia ketika itu. Walaupun kita sedia maklum bahawa pada zaman tersebut, kehebatan sains dan teknologi tidaklah secanggih hari ini, namun apabila Islam diterapkan dalam kehidupan umat manusia ia berjaya memecahkan masalah kemiskinan. Berbeda dengan hari ini,  statistik 1 billion orang yang kelaparan ini sudah pasti menimbulkan 1001 macam persoalan kepada dunia yang kini berbangga berada di zaman yang cukup moden dan canggih dalam semua bidang. Angka 1 bilion penduduk dunia yang hidup dalam kelaparan ini adalah suatu angka yang sepatutnya membuka mata kita betapa sengsaranya dunia hari ini. Jika jumlah mereka yang kelaparan itu hanya sebilanganan kecil dari keseluruhan penduduk dunia maka kita bolehlah kita mengandaikannya sebagai kes terpencil yang mungkin berpunca dari masalah individu itu sendiri. Mungkin kerana individu tersebut malas berusaha ataupun kemampuannya terbatas disebabkan kerana kecacatan fizikal dan seumpamanya. Namun jumlah 1 bilion memberikan kesimpulan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem Kapitalisme yang diterapkan oleh dunia hari ini. Inilah sistem yang menjadikan golongan kaya bertambah kaya manakal golongan miskin terus melarat dan menderita.  Apa yang dilaporkan membuktikan keburukan dan kebusukan sistem Kapitalisme ciptaan manusia ini. Ia sudah tidak mampu disembunyikan lagi oleh mana-mana pihak. Suatu bukti yang cukup nyata bagi menggambarkan kegagalan ideologi Kapitalisme dalam memberikan kesejahteraan kepada dunia hari ini.

Wahai seluruh penduduk dunia! Islam adalah mabda yang dijamin oleh Allah SWT akan pasti membawa rahmat ke seluruh alam jika ia diterapkan dalam seluruh aspek kehidupan manusia. FirmanNya

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam “. [TMQ Al Anbiyaa’ (21) : 107].

Dan Allah SWT juga telah mengancam manusia yang berpaling dari cara hidup Islam dengan firmanNya

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Thaahaa (20) : 124].

Sudah tiba masanya dunia hari ini meninggalkanlah kehidupan Kapitalisme yang penuh dengan kerosakan dan kembali kepada mabda Islam. Hanya Islamlah satu-satunya pilihan bagi dunia hari ini.