Hadharah Barat Yang Merosakkan

human-rightDari sehari ke sehari pengaruh peradaban barat  berjaya mendominasi kehidupan masyarakat di negara ini. Slogan yang dilaungkan oleh kumpulan-kumpulan Hak Asasi Manusia berkenaan hak kebebasan bersuara dan hak tingkah laku induvidu  telah menjadi sesuatu yang diagungkan oleh  ketua-ketua pertubuhan, pengarang akhbar, tokoh masyarakat, intelektual, orang-orang yang berpengaruh sehinggalah kepada pemimpin negara.
Idea kebebebasan ini telah lama mendominasi cara berfikir masyarakat di negara ini. Dasar pendidikan yang berakar umbi daripada sistem pendidikan British selepas mencapai kemerdekaan telah banyak membentuk persepsi dan pemikiran masyarakat di negara ini sehingga hari ini. Oleh kerana itu, bukanlah menjadi sesuatu yang aneh apabila ada di kalangan masyarakat yang berpandangan bahawa amalan dan budaya yang terdapat di  barat  seperti gay, lesbian, pengaulan bebas, perkahwinan sesama jenis dan aktiviti seumpamanya harus diberikan kebebasan yang sewajarnya. Rasullulah SAW mengingatkan kita dengan hadisnya:
Dari Abu Sa‘id Al Khudri, ia berkata: “Rasululah bersabda: ‘Sungguh kalian akan mengikuti jejak umat-umat sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal, sehingga kalau mereka masuk ke dalam lubang biawak, nescaya kalianpun akan masuk ke dalamnya.’ Mereka (para sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah kaum Yahudi dan Nasrani?’ Sabda beliau: “Siapa lagi.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Dan Allah SWT juga telah berfirman:

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. ” [TMQ Al Baqarah(2): 120]

Di dalam dunia semasa pada hari ini,  hegemoni barat telah menguasai setiap aspek kehidupan dan ianya telah berjaya mempengaruhi kaum muslimin untuk mengikutinya samada di dalam sedar atau tidak. Ini dibuktikan dengan peranan yang dimainkan oleh akhbar-akhbar harian yang menyiarkan penggunaan kondom yang mampu mencegah penularan penyakit kelamin dan menjamin keselamatan dan kesihatan. Ini adalah contoh penglibatan media yang samada di dalam sedar atau tidak telah terlibat  di dalam mempropagandakan agenda dan menyebar luaskan peradaban dan hadharah barat di negara ini.  Persoalannya adalah; apakah mereka  tahu bahawa Islam telah pun mempunyai kaedah dan penyelesaian di dalam permasalahan ini?

Peradaban Islam yang pernah memimpin dunia daripada abad ke-6 sehingga abad ke-18 telah berjaya menerapkan peraturan dan perundangan yang  mampu menangani isu –isu seperti ini dan isu-isu yang jauh lebih kronik daripada ini.

Kesungguhan  barat untuk mempengaruhi dan mendesak  umat Islam agar mengikut cara hidup mereka boleh dilihat pada tindakan mereka menyokong dan memberi bantuan kepada Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan-pertubuhan yang cenderung menyokong agenda mereka. Baru-baru ini, Institut Hak Asasi Manusia Persatuan Peguam Antarabangsa (IBAHRI) mendesak  kerajaan supaya menghalalkan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dengan meminda undang-undang yang sedia ada.

Itulah sifat dan cara ideologi barat yang memaksa umat Islam menerimapakai  hadharah dan cara hidup mereka di negara ini. Tidak cukup dengan itu, Majlis Peguam menyifatkan dakwaan terhadap Ketua Pembangkang yang berasaskan kepada peruntukan lapuk Kanun Keseksaan iaitu memperuntukkan hubungan seks suka sama suka antara orang dewasa adalah suatu jenayah dan tidak seharusnya dibawa ke mahkamah. Malah Presidennya, Lim Chee Wee turut berharap Peguam Negara tidak akan mengemukakan sebarang rayuan berhubung kes itu dan sebaliknya menumpukan sumber-sumber penting Jabatan Peguam Negara untuk menangani jenayah lebih serius. Di sini dapat dilihat betapa pengaruh pemikiran dan hadharah barat telah mendominasi cara berfikir dan kehendak umat.  Sedangkan di dalam Islam, hubungan seks suka sama suka antara orang dewasa yang tiada ikatan syarie, lebih-lebih lagi hubungan seks suka sama suka antara sesama jenis merupakan dosa besar dan mesti dihukum dengan hukum yang telah ditetapkan oleh Syara’.

Dengan melihat sepintas lalu pada peristiwa di atas sudah memadai untuk kita membuat kesimpulan bahawa penyelesaian permasalahan kehidupan yang dibawa oleh hadharah barat yang menguasai dunia saat ini tidak mampu menjamin ketenangan dan ketenteraman kehidupan manusia. Pelbagai konflik yang tidak berkesudahan terus dimainkan dan diputarkan sehingga menyebabkan wujudnya perselisihan dan bibit-bibit perpecahan di kalangan umat Islam. Pemikiran-pemikiran barat yang sedang mendominasi masyarakat seluruh dunia dan umat Islam pada hari ini adalah pemikiran yang lahir daripada fahaman sekularisme iaitu suatu fahaman yang membawa maksud bahawa agama harus dipisahkan daripada urusan kehidupan. Fahaman ini adalah bertentangan dengan Islam yang diturunkan adalah untuk digunapakai di dalam mengatur urusan kehidupan umat Islam dan manusia seluruhnya.

Justeru, hanya Hadharah Islam yang mampu mewujudkan seluruh nilai-nilai kehidupan dan menjadikan aqidah sebagai titik perhatian dalam kehidupan sekaligus memandang kehidupan berasaskan kepada perintah dan larangan Allah SWT serta mendefinasikan kebahagiaan hidup hanya dapat dicapai dengan meraih keredhaan-Nya. Jadi, sudah tentulah hadharah ini akan mampu menangani pelbagai krisis yang melanda dunia dan mampu menjamin kesejahteraan seluruh umat manusia.

Sumber / rujukan:

1.http://www.utusan.com.my

2. http://www.utusan.com.my

3. Peraturan Hidup Dalam Islam