Hak Anak Kematian Ibu Bapa Dalam Hukum Faraid

Oleh: Syamsiyah Jamil

Muqaddimah

Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib sebahagian kanak-kanak di Malaysia yang telah kematian ibu bapa akibat jangkitan Covid-19. Siapa sangka dalam kepayahan anak-anak hidup dengan norma baru dalam situasi pandemik ini, mereka terus diuji dengan kehilangan orang tersayang yang menjadi tempat mereka bergantung sejak lahir lagi.

Di Selangor, 8 beradik menjadi yatim piatu dalam masa tiga hari. Ibu bapa kepada Nazurah Nabilah Yajeed, berusia 19 tahun pulang ke rahmatullah akibat COVID-19. Pemergian dua insan tersayang  meninggalkan Nabilah bersama tujuh adiknya yang berumur antara 18 hingga 4 tahun.(Sumber: AstroAwani Online, 21/7/2021).

Bagi lima beradik dari Kota Perdana, Seri Kembangan yang berusia antara 3 dan 11 tahun pula, mereka menjadi yatim piatu hanya dalam tempoh dua bulan. Arwah bapanya meninggal dunia Ogos lalu dan kemudian diikuti oleh ibunya yang meninggal pada bulan Oktober.  (AstroAwani Online, 13/10/21).

Turut mendukacitakan, seramai 1,517 pelajar di seluruh negara disahkan menjadi anak yatim atau yatim piatu akibat kematian salah seorang ibu bapa atau kedua-duanya sekali akibat virus COVID-19. (Berita RTM Online, 25/8/21).

Hak Anak-anak Yatim

Sewajarnya nasib anak-anak yatim ini diberi perhatian. Memandangkan mereka masih belum mampu menguruskan diri mereka sendiri, jadi perlu ada pihak yang mengambil amanah menguruskan hak-hak mereka. Selain daripada hak nafkah, hak hadhanah (pengasuhan) dan hak perwalian, hak mereka terhadap harta pusaka yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka juga wajib diberi perhatian serius.

Tanpa pengetahuan yang cukup tentang hukum faraid, pembahagian harta pusaka akan diagihkan sesuka hati. Ini menyebabkan ada ahli waris yang dinafikan haknya terutamanya anak-anak kecil yang tidak mengetahui apa-apa. Kesalahan dalam pembahagian harta pusaka juga merupakan salah satu pelanggaran terhadap hukum Allah SWT. Allah SWT berfirman:

 “Maka terhadap seorang anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya”. [TMQ ad-Dhuha (93): 9]

Keadaan ini boleh berlaku kerana kebanyakan ahli waris tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang bab pembahagian harta pusaka. Ada yang sepakat melantik salah seorang ahli keluarga sebagai pentadbir. Ada yang melantik dirinya sendiri kerana ada niat tertentu.(Sumber: AstroAwani Online, 23/9/21)

Hukum Faraid

Dari sudut bahasa, faraid bermaksud menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Faraid dari sudut syarak pula bermaksud  pembahagian harta orang Islam yang telah meninggal dunia sama ada dia meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya. Harta pusaka adalah baki harta yang ditinggalkan setelah dilangsaikan segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang si mati (zakat, nazar dan lain-lain) dan wasiat yang sah di sisi hukum syarak. Harta yang boleh dibahagikan secara faraid termasuklah tanah, bangunan (rumah), barang kemas (emas, perak dan lain-lain), wang tunai dan binatang ternakan.

Pembahagian harta pusaka bertujuan untuk memberi harta kepada ahli waris yang berhak. Ada enam golongan yang tidak pernah terhalang daripada memperoleh pewarisan harta selama-lamanya iaitu ayah, anak lelaki, suami, ibu, anak perempuan dan isteri.  Perintah Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

 “Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga  daripada harta yang ditinggalkan  oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Bijaksana. Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) setelah dibayar hutangnya. Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperlapan daripda harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua-dua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari’at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.[TMQ al-Nisa’ (4): 11-12].

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa setiap anak lelaki dan anak perempuan mempunyai hak masing-masing terhadap harta pusaka yang ditinggalkan oleh ibu atau bapa mereka. Bahagian yang berhak diterima oleh mereka pun telah ditetapkan dengan jelas mengikut ketentuan dan keadaan-keadaan tertentu dalam hukum faraid.

Bagi anak-anak yang tidak mampu mengurus harta dengan sendirinya, seorang pemegang amanah wajib dilantik.Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian daripada pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.” [TMQ al-Nisa’ (4): 5].

Bagi pemegang amanah itu pula, Islam mengingatkan supaya sentiasa bersikap benar dan adil. Allah SWT berfirman:

 “Dan janganlah kamu dekati harta seorang anak yatim piatu, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga ia dewasa.” [TMQ al- An’am (6): 152].

Khatimah

Begitulah secara ringkasnya hukum faraid yang mesti difahami oleh umat Islam terutamanya mereka yang kematian ahli keluarganya. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak membiarkan umatnya menentukan kadar atau jumlah pembahagian harta sesuka hati sehingga terjadi pengambilan atau pengabaian hak orang lain terutamanya hak anak yang kematian ibu, bapa atau kedua-duanya sekali. Kaum Muslimin diperintahkan untuk  memperhatikan nasib mereka. Sebab itulah lslam memberi kedudukan yang  istimewa bagi mereka yang menjaga hak dan pengurusan hidup anak yatim dengan benar. Rasulullah SAW bersabda:

 “Aku dan orang yang menanggung anak yatim (kedudukannya) di syurga seperti ini,” Kemudian baginda SAW mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengah baginda, serta agak merenggangkan keduanya”[HR. Bukhari].

 

Sumber:

  1. Ibanah Al-Hakam Syarah Bulugh Al-Maram Subulus Salam (Jilid 3), Alawi Abbas Al-Maliki, Hasan Sulaiman Al-Nuri, Sheikh Abu Abdullah bin Abd Al-Salam ‘Allusy (2011)
  2. Ilmu Waris Praktis, Yahya Abdurrahman (2016)
  3. https://berita.rtm.gov.my/index.php/covid19/29511-akibat-virus-covid-19-1-517-pelajar-jadi-anak-yatim
  4. https://www.google.com/amp/s/www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19-ibu-ayah-dijemput-ilahi-lima-beradik-yatim-piatu-dalam-masa-2-bulan-325066%3famp=1
  5. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pembahagian-harta-pusaka-tidak-boleh-sesuka-hati-peguam-syarie-kongsi-3-situasi-321278
  6. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tinggal-kami-8-beradik-dalam-3-hari-yatim-piatu-setelah-ibu-ayah-pergi-akibat-covid-309657?amp=1