Hampir Seribu Muslimah Ukraine Menghadiri Seminar Di Simperefol
Seminar kali ini memilih tema berkenaan isu yang menimpa kaum Muslimah pada ketika ini, antaranya tentang pakaian Muslimah yang telah menghantui orang yang berideologi sekular. Seperti yang kita ketahui ketika ini, serangan bertubi-tubi melalui pengharaman pemakaian jilbab semakin agresif dilakukan oleh lembaga-lembaga pendidikan sekular di Eropah. Salah satu daripadanya adalah pengharaman memakai niqab di tempat-tempat awam di Belgium dan ia mungkin akan disusuli oleh di negara-negara Eropah yang lain.
Pembincangan lain meliputi perkara berkaitan serangan media yang telah membentuk pandangan negatif terhadap Muslimah seperti mula mengaitkan Muslimah dengan keganasan sepertimana yang telah berlaku beberapa tahun yang lalu.
Selain itu, di Ukraine terdapat juga beberapa had ditetapkan terhadap kaum Muslimah. Muslimah dilarang daripada mengambil gambar dengan memakai tudung. Usaha Susanna Ismailova untuk mendapatkan kebenaran mengambil gambar dengan memakai tudung hanya menemui jalan buntu. Dia kemudian membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Bagi umat Islam, perintah Allah SWT mengatasi segala-galanya. Pakaian Muslimah seperti khimar (tudung) dan jilbab (pakaian daripada bahu ke bawah) adalah perintah Allah. Oleh sebab itu, kaum Muslimah menyatakan bahawa mereka telah bersiap sedia untuk menerima segala risiko atas pemakaian jilbab dan teguh mempertahankan pendirian yang disandarkan pada keimanan terhadap Allah SWT.
Antara tajuk yang dibahaskan dalam seminar Muslimah itu adalah, “Pakaian syariah, kewajipan kaum Muslimah kepada Allah SWT” yang disampaikan oleh Zachitany Janikowo Elvira. (Graduan Universiti Marmara, Istanbul)
Ini diikuti dengan tajuk “Peranan Media dalam Membentuk Pandangan Negatif Terhadap Islam dan Kaum Muslimah” yang disampaikan oleh Zudievoy Lutfi (Graduan Kimia Krimea). Selain itu, mereka juga membincangkan tentang masalah khimar dalam undang-undang kontroversi demokrasi di Ukraine.
Di akhir seminar tersebut , beberapa resolusi telah dibuat. Antaranya mereka menegaskan bahawa kaum Muslimah di Krimea dan Ukraine telah menyedari bahawa satu-satunya jalan yang benar untuk mengembangkan dan mendidik generasi akan datang dengan cara yang tepat adalah melalui kebangkitan agama mereka.
Sebelum itu, satu seminar tentang isu Muslimah juga telah diadakan di London oleh Hizbut Tahrir Britain pada awal bulan Julai bertujuan untuk menonjolkan identiti mereka sebagai seorang Muslimah. [baca: Konferensi Anak Muda Muslimah di London Pertegas Identitas Muslimah Abad 21].
Demikianlah keberanian Muslimah di Eropah dalam menonjolkan identiti mereka sebagai seorang Muslimah. Kaum Muslimah di negara ini sepatutnya merasa malu. Kenapa? Kerana di kala kaum Muslimah di negara barat diberi tekanan dan serangan dangan bertubi-tubi, tetapi mereka di sana tetap bangkit dan terus berpegang teguh dengan ajaran Islam.
Bagaimana pula dengan wanita ‘Muslim’ di negara ini? Ramai di kalangan mereka yang bukan sahaja memperlekehkan Islam dengan mendedahkan aurat dengan cara yang hina, malah bertingkah laku sama sepertimana orang kafir. Muslimah di negara barat merasa bangga menjadi seorang Muslimah serta berpegang teguh dengan ajaran Islam. Sudah tiba masanya kaum Muslimah kembali bangkit dan memegang teguh ajaran Islam, kerana Allah akan pasti menyelamatkan mereka, insyaAllah.