Hanif Basree bebas dengan dosa
Hanif Basree dibebaskan
KUALA LUMPUR 28 Mac – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan yang melepas dan membebaskan jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Haniff Basree Abdul Rahman, 40, daripada tuduhan membunuh Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Noritta Samsudin, 22, lima tahun lalu.
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi yang mengetuai panel lima hakim memutuskan demikian dengan sebulat suara semasa menolak rayuan pihak pendakwaan bagi mengetepikan keputusan mahkamah rayuan yang mengekalkan keputusan membebaskan Hanif Basree yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sumber: UtusanOnline 28/03/08
Ulasan:
Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, yang merupakan mahkamah tertinggi dalam negara ini, maka bebaslah sepenuhnya Hanif Basree dari tuduhan membunuh Noritta, lima tahun lalu.
Dahulu, Hanif Basree di sambut umpama hero apabila Mahkamah Tinggi melepaskannya dari tuduhan tersebut. Haniff Basree yang mengaku mengadakan hubungan seks (berzina) dengan Noritta, tidak pun dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan tersebut kerana pendakwa gagal membuktikan kesnya. Kes ini menggegarkan tanah air lima tahun lepas kerana dikatakan ramai lagi yang terlibat melakukan hubungan seks dengan Noritta.
Bagaimanapun, oleh sebab perbicaraan ini adalah kes bunuh, maka masyarakat sudah tidak memfokuskan kes zina yang diakui sendiri oleh Hanif Basree. Jika mengikut undang-undang Islam sebenar (bukan undang-undang Islam Malaysia), maka telah lama nyawa Hanif Basree melayang kerana beliau merupakan seorang penzina muhsan (penzina yang telah berkahwin). Pengakuan beliau sendiri bahawa beliau telah berzina merupakan tsabit kepada hukum rejam ke atasnya. Rasulullah saw telah merejam Maiz yang berzina, seperti yang diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah,
“Bahawa seorang lelaki berzina dengan seorang perempuan. Nabi saw memerintahkan untuk menyebatnya, kemudia dikhabarkan bahawa dia adalah muhsan, maka Nabi saw memerintahkan untuk merejamnya”.
Banyak lagi riwayat lain yang menerangkan bahawa penzina muhsan wajiblah direjam hingga mati. Inilah hukum Islam. Dan hukuman rejam ini hendaklah dijalankan di hadapan khalayak ramai. Inilah hukuman yang akan menakutkan orang dari memaksiati Allah khususnya dalam kes perzinaan. Siapa sahaja yang menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri bahawa dia akan direjam jika berzina, dan juga orang lain yang tahu (walaupun tidak menyaksikan) tentang hukuman tersebut, maka hal ini sudah pasti akan menjadi zawajir (pencegah) baginya agar tidak melakukan perbuatan terkutuk itu. Bagi yang direjam pula, ia akan menjadi jawabir (penebus) kepada dosa zinanya di akhirat kelak. Inilah indahnya hukum Allah swt.
Segala hukum yang wajib ini tentunya tidak akan terlaksana dengan adanya pemerintah sekular yang membuat undang-undang sendiri dengan suara majoriti. Pemerintah sekular yang ada lebih kasihkan azab Allah dari rahmatNya, kerana itulah mereka menerapkan hukum yang bukan hukum Allah dan pasti akan mengundang azabNya di akhirat nanti. Hanya dengan terwujudnya seorang Daulah Khilafah, barulah segala hukum Islam itu dilaksanakan sepenuhnya kerana Khalifah yang dilantik nanti adalah di bai’at untuk menerapkan hukum Qur’an dan Sunah.