HAPUSKAN ISA DAN YANG SAMA SEPERTINYA SERTA KEMBALI MENERAP SYARIAH 100%!
KUALA LUMPUR 15 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). Dalam perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2011, Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa dua undang-undang baru akan digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.
Selain itu, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959, di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Di samping itu, tambahnya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dikaji semula dengan pembaharuan tahunan dihapuskan dan digantikan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan. Najib berkata, selain itu kajian semula komprehensif turut melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan seksyen 27 Akta Polis 1967, mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
Sumber : Utusan Malaysia 15/09/11
Perjuangan untuk menegakkan keadilan bukanlah terhenti dengan penghapusan ISA lantas menggubal suatu peraturan (Akta Keselamatan atau Anti-Keganasan) yang seumpamanya dengan menggunakan sumber selain syarak. Jika demikian penghapusan ISA hanyalah suatu kepalsuan, pembohongan dan pengkhianatan terhadap Allah SWT dan umat manusia khasnya kaum muslimin! Sudah pasti Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa menolak keras segala bentuk peraturan hidup yang digubal selain dari perintah mahupun larangan-Nya;
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ Al-Maidah (5): 49]