Perlu Hapuskan Kuota Atau Hapuskan Umno?

Umno hapus kuota

Beri peluang lebih ramai perwakilan buat pemilihan

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno pada dasarnya bersetuju menghapuskan sistem kuota serta memberi peluang kepada lebih ramai perwakilan untuk membuat pemilihan pada perhimpunan agung parti.
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata keputusan itu bertujuan membanteras politik wang serta menjadikan proses pemilihan parti lebih telus dan demokratik, selain menunjukkan Umno sebagai parti yang lebih inklusif dengan membabitkan seberapa ramai golongan.  Perdana Menteri bagaimanapun berkata, MT akan mewujudkan kriteria tertentu untuk jawatan tertinggi yang akan dipertandingkan supaya mereka yang bertanding benar-benar memahami dan menghayati prinsip serta matlamat perjuangan parti.  “Kriteria untuk bertanding mesti tidak mengongkong, tetapi lebih menjurus kepada kebebasan. Maknanya sedikit sebanyak pengalaman dijadikan asas untuk menentukan kriteria yang sewajarnya. Kriteria itu akan ditentukan kemudian,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT di sini, semalam.

Pada mesyuarat lebih tiga jam itu, MT membincangkan cadangan Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Umno yang dipengerusikan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sebelum dikemukakan dalam perhimpunan agung khas, bulan depan.   Antaranya, menghapuskan sistem kuota yang diperkenalkan Umno pada 1988. Sistem itu menetapkan mereka yang ingin bertanding jawatan Presiden perlu mendapat sekurang-kurangnya 30 peratus pencalonan atau 57 daripada 191 bahagian Umno.

Timbalan Presiden, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri pula mesti mendapat minimum 20 peratus pencalonan atau 38 bahagian; Naib Presiden (10 peratus/19 bahagian); Naib Ketua Wanita, Pemuda, Puteri (15 peratus/28 bahagian), manakala ahli MT (lima peratus/10 bahagian).

Pemilihan bagi semua jawatan tertinggi Umno yang akan datang, dijadualkan pada perhimpunan agung parti 2011.

Mengenai jumlah perwakilan, Najib berkata, saiznya belum ditentukan sama ada ia akan dibuka seluasnya atau terhad kepada sejumlah perwakilan tertentu saja.   “Tapi keputusannya nanti tentu sekali jauh lebih besar daripada yang diamalkan sekarang, iaitu sebanyak 2,500 perwakilan… ia mungkin ribuan perwakilan tambahan yang akan diberi hak untuk memilih jawatan tertinggi,” katanya.

Najib berkata, penentuan jumlah perwakilan terpaksa dibincangkan lagi kerana ia membabitkan logistik dan persiapan parti menjelang pemilihan.

Sebelum ini, ada cadangan dikemukakan supaya semua 3.4 juta ahli Umno diberi peluang untuk mengundi, tetapi sesetengah pihak mencadangkan hak mengundi itu diberikan kepada 60,000 perwakilan di 191 bahagian.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat Jawatankuasa Biro Politik akan membincangkan perkara itu sebelum cadangan muktamad dibawa kepada MT untuk diperhalusi dan dibawa ke perhimpunan khas Umno.

Beliau berkata, MT berpendapat perubahan pemilihan dalam Umno perlu dilakukan untuk membendung rasuah.

Sumber: Berita Harian 11/09/09

Perlu Hapuskan Kuota Atau Hapuskan Umno?

Mungkin cadangan untuk menghapuskan UMNO itu sesuatu yang nampaknya terlalu ekstrem. Pandangan ini mungkin begitu melampau jika dilihat dan diadili dengan pertimbangan emosi semata-mata namun tidak sekiranya dilandasi dengan pemikiran Islam. Kenapa pengsyoran ini diketengahkan? Ya, ini adalah kerana berdirinya UMNO itu sendiri adalah didasarkan kepada fahaman ashobiyyah yang amat bertentangan dengan Islam. UMNO juga secara faktanya merupakan mata rantai penjajah British untuk meneruskan pemikiran sekular kufur Barat yang mengenepikan agama (Islam) di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Wahai umat Islam! Terlampau banyak bukti dan fakta yang kita boleh paparkan bagaimana UMNO yang berkuasa saat ini telah gagal dan tidak akan pernah berusaha untuk menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan negara. Sudah cukup sebenarnya tempoh masa 52 tahun UMNO berkuasa di Malaysia dan kita sebagai umat Islam dapat menyaksikan kebenaran hakikat ini. Apa yang kita lihat dari seorang pemimpin UMNO yang berkuasa kepada seorang pemimpin yang lain hanyalah pendekatan bagaimana untuk mengubah Islam supaya tunduk kepada realiti yang ada. Inilah hakikat dan faktanya. Jika dulu Mahathir dengan laungan penerapaan nilai-nilai Islamnya, Pak Lah dengan Islam Hadharinya, kini Najib dengan mentera 1Malaysianya. Semua ini adalah propaganda untuk terus melunakkan dan menundukkan emosi dan pemikiran umat Islam bagi terus merasa selesa dengan kehidupan sekular yang ada seperti mana hari ini.

Cadangan untuk menghapuskan UMNO ini bukanlah bertujuan untuk menafikan  hak dan kedudukan kaum Melayu, namun apa yang ingin kami nyatakan di sini ialah supaya orang-orang Melayu menyedari bahawa hidup mereka seharusnya didahului dengan Islam dan  kesedaran ini sepatutnya mengerakkan mereka untuk berjuang dengan Islam bukan dengan asas ashobiyyah seperti mana hari ini. Bukahkah ikrar ini yang mereka lafazkan dalam solat lima waktu sehari semalam yang mereka kerjakan? Firman Allah SWT:

“Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)”. [TMQ Al An’am (6) :162-163]. 

Najib dan para pemimpin yang lain sewajarnya menyadari bahawa mereka adalah pemimpin umat Islam yang mempunyai hak dan tanggunjawab sebagai seorang pemimpin yang membawa dan memikul amanah Islam, bukannya Melayu. Yakinlah tidak ada hebatnya seseorang itu di sisi Allah SWT melainkan ketakwaan yang ada pada diri-diri mereka.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”. [TMQ Al Hujuraat (49) : 13].

Siapalah Melayu tanpa Islam…