Hapuskan Israel dalam tempoh lapan minit : Ancaman kosong yang entah bila akan diterjemah kepada tindakan

Gambar BG 010616“Berbekalkan kemampuan dan peralatan yang kita miliki, kita mampu untuk menghapuskan rejim Zionis dalam tempoh kurang daripada lapan minit, sejurus selepas diarahkan oleh Pemimpin Agung (Ali Khamenei),” ujar Ahmad Karimpour, salah seorang penasihat kanan bagi unit Al-Quds, iaitu sebuah unit elit di bawah Pasukan Pengawal Revolusi Iran.

Ancaman dan ugutan sedemikian bukanlah suatu perkara yang baru daripada pemimpin negara tersebut terhadap Israel. Bahkan Ali Khamenei, ketua negara dan tokoh yang paling berpengaruh di republik itu telah berulang-kali mengemukakan ancaman yang sama. Pemimpin Iran berusia 76 tahun itu pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Israel tidak akan wujud lagi pada 25 tahun akan datang, yang sehingga kini hanya menjadi retorik semata-mata.

Jika dilihat secara luaran, kita akan dapati betapa teguhnya pendirian Iran dalam “memusuhi” Israel. Tindakan pembangunan teknologi peluru berpandu balistik Iran dikatakan menimbulkan kegusaran rejim Zionis, sehingga memaksa AS mempertimbangkan semula untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap beberapa syarikat Iran pada bulan Mac lalu.

Namun, jika ditelusuri perkembangan sejak dulu hingga kini, kita akan dapati bahawa Iran tidak melakukan sebarang usaha fizikal untuk menghapuskan Israel. Malah tekanan politik terhadap entiti haram tersebut pun tidak ada. Bahkan sewaktu pemimpin Hezbollat, Mustafa Badruddin terbunuh dalam serangan yang disyaki dilakukan oleh Israel di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik, Iran memilih untuk cuba menghindari konfrontasi secara langsung dengan Israel. Sebaliknya Iran mendakwa bahawa dalang pembunuhan tersebut dilakukan oleh kelompok “takfiri” (merujuk kepada kumpulan bersenjata Salafi-Jihadi) [2]. Sedangkan berdasarkan fakta, hampir mustahil pihak yang didakwa oleh Iran itu mampu melakukannya – berdasarkan jarak kedudukan serta keterbatasan teknologi persenjataan untuk melancarkan serangan sedemikian. Inikah sikap negara yang kononnya mampu menghapuskan Israel dalam tempoh lapan minit?

Apa yang zahir sekarang adalah sikap agresif Iran yang cuba meluaskan pengaruhnya di rantau Timur Tengah, sehingga ke tahap menumpahkan darah umat Islam. Kekuatan persenjataannya dan ketumbukan ketenteraan Iran dihalakan terhadap umat Islam di Iraq dan Syria demi memenuhi cita-citanya untuk menjadi kuasa serantau. Bahkan Iran turut membantu sekutunya dalam perang proksi demi mengukuhkan pengaruhnya, khasnya dalam kalangan penganut Syiah di rantau tersebut.

Dalam pada itu, di sebalik kelantangan mereka menyuarakan kebencian terhadap Amerika Syarikat, sebenarnya wujud hubungan pragmatik yang cuba disembunyikan antara kedua-dua negara ini. Misalnya, tatkala AS menyerang Afghanistan pada 2001, Iran telah berperanan dalam memberikan bantuan dari segi maklumat risikan kepada AS. Selain itu, banyak keputusan yang dibuat antara kedua-dua negara yang menjadi bukti terhadap hubungan pragmatik tersebut.

Jelaslah bahawa retorik berapi-api dan slogan anti-Amerika serta anti-Israel selama ini tidak lebih daripada sekadar sandiwara yang bertujuan untuk meningkatkan kewibawaan Iran di mata umat Islam. Sedangkan hakikatnya Iran mempunyai agenda licik yang pragmatik, serta sanggup melakukan apa sahaja dalam memastikan pengaruhnya selaku kuasa serantau terjamin.

Tiada bezanya antara Iran dan penguasa-penguasa Muslim lain, masing-masing berusaha untuk menonjolkan diri sebagai hero bagi umat Islam semata-mata untuk meraih “political mileage” dan sekali gus cuba menyembunyikan ketundukan mereka terhadap telunjuk AS di mata umat Islam. Tidakkah kalian memperhatikannya?

 

Sumber:

[1] http://english.alarabiya.net/en/News/middle-east/2016/05/23/We-can-destroy-Israel-in-less-than-8-minutes-Iranian-commander.html

[2] http://www.almanar.com.lb/241943