Haram rampas tanah walaupun untuk pembangunan
Buletin HTM – Isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru menjadi fokus perbincangan program Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM minggu ini. Dengan tajuk “Rampasan Tanah Untuk Pembangunan: Apa Hukum Islam?”, Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman mengupas secara panjang lebar mengenai dalil-dalil yang mengharamkan mana-mana pihak mengambil tanah orang lain tanpa izin pemiliknya.
Dalam kupasannya, Abdul Hakim menegaskan bahawa pengambilan tanah secara paksa untuk tujuan apa sekalipun, termasuk pembangunan, adalah bercanggah dengan syariat Islam meskipun disertai dengan pampasan. Jika kerajaan atau pemaju ingin memajukan sesuatu kawasan yang diduduki oleh orang ramai, izin setiap penduduk wajib diperoleh terlebih dahulu. Jika ada walaupun seorang penduduk yang tidak bersetuju untuk menjual atau menyerahkan hakmiliknya, maka hakmiliknya itu tidak boleh diganggu gugat oleh sesiapa pun.
“Apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru ialah pengambilan tanah secara paksa, kerana sebahagian penduduk tidak bersetuju untuk menyerahkan hakmilik mereka”, tegas Jurucakap HTM itu. Selain menyertakan dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah, beliau turut memetik kisah Amru al-As (ra) yang dilantik sebagai wali di Mesir oleh Khalifah Umar al-Khattab (ra), yang telah merampas tanah seorang Yahudi untuk membangun sebuah masjid. Si Yahudi kemudian mengadu kepada Umar mengenai kezaliman Amru, lalu Umar mengirim pesanan tegas dan keras kepada Amru untuk mengembalikan tanah Yahudi tersebut. Si Yahudi kemudian memeluk Islam kerana melihat keadilan Islam yang ditunjukkan oleh Umar.
Abdul Hakim melanjutkan bahawa dalam Islam, tanah hanya boleh diambil oleh negara jika pemiliknya membiarkan atau tidak memanfaatkannya tanah tersebut selama tiga tahun. Jika tanah sedang diduduki atau dimanfaatkan oleh pemiliknya, maka merupakan satu kezaliman dan dosa apabila tanah tersebut dirampas, walau ia untuk tujuan membina masjid sekalipun.
Beliau menutup kupasan dengan menegaskan bahawa masalah yang berlaku sekarang merupakan sebuah masalah sistemik yakni berpunca daripada sistem dan undang-undang ciptaan manusia yang bercanggah dengan syarak. “Untuk merubah keadaan ini, ia juga memerlukan perubahan sistemik – iaitu perubahan dari sistem sekular kepada sistem Islam sepenuhnya. Jika tidak, maka selama itulah umat Islam akan sentiasa terdedah kepada kezaliman pemerintah. Atas dasar itulah, kita perlukan sebuah negara Khilafah yang akan menerapkan Islam secara kaffah”.
Ustaz Hakim turut melayan beberapa soalan dari odeon sebelum menutup majlis, setelah berlangsung lebih kurang dua jam, yang disiarkan secara live melalui Facebook dan Tiktok Jurucakap HTM.