Haram zahirkan hadharah kufur: Halal-haram bukan sekadar status makanan

Polemik yang tercetus susulan pandangan Dr. Akmal Saleh berhubung isu hiasan Krismas di premis yang mempunyai sijil halal wajar ditangani dengan meletakkan sesuatu pada neraca syarak yang betul. Benar, dari sudut teknikal pensijilan, status halal makanan tidak berubah hanya kerana wujud dekorasi bermusim.

‘Sijil halal’ dan ‘menzahirkan kekufuran’ merupakan dua perbincangan yang berbeza, namun secara dasarnya saling terkait. Bab pertama ialah hukum makanan yang diukur dengan sumber dan kaedah penyediaannya. Bab kedua ialah hukum menonjolkan syiar, simbol, dan suasana perayaan agama lain yang dalam perbahasan Islam termasuk dalam wilayah tasyabbuh  bi al-kuffar (menyerupai orang-orang kafir) serta pengiktirafan tersirat terhadap syiar tersebut.

Perlu difahami bahawa isu dekorasi perayaan agama lain bukan sekadar isu kosmetik, tetapi membawa implikasi akidah kerana ia dengan jelas menzahirkan hadharah kufur, meski pun sambutan itu sendiri kini telah ‘disekularkan’ oleh Barat.

Dari sudut pandang yang lain pula, apabila larangan atau teguran pihak berautoriti agama hanya disempitkan kepada premis yang mempunyai sijil halal, ia memberi isyarat seolah-olah syiar agama lain hanya tidak boleh dipamerkan apabila ia ‘bersentuhan’ dengan logo halal sahaja.

Sedangkan dari sudut hukum, penzahiran syiar yang bercanggah dengan akidah Islam adalah sesuatu yang wajib dijauhi oleh Muslim, tidak kira sama ada premis itu bersijil halal atau tidak. Malah, tidak kira tempat di mana ia dizahirkan selagi ia merupakan tempat umum.

Inilah perkara yang perlu diperbetulkan – larangan bukan sekadar soal ‘status’ premis, tetapi soal apa yang dizahirkan dan dinampakkan. Apabila syiar kufur dizahirkan, maka ia menjadi sebuah keharaman untuk seseorang Muslim berbuat demikian, dan keharaman pula untuk negara membenarkannya.

Dari sudut lain, di sini juga terserlah penyakit sistemik yang lahir dari ideologi kapitalisme iaitu dorongan mengejar keuntungan semaksimum mungkin, apatah lagi sempena perayaan, kempen jualan hujung tahun, dan persaingan perniagaan sehingga batas agama dipandang ringan, atau langsung tidak dipandang.

Sistem kapitalisme mendidik manusia menilai sesuatu dengan manfaat dan permintaan pasaran. Apa sahaja dekorasi yang boleh mendatangkan keuntungan, menarik pelanggan atau meningkatkan jualan, walaupun haram, dianggap wajar.

Dalam Negara Islam (Khilafah), penganut agama lain dibenarkan mengamalkan ajaran agama mereka, atau menyambut perayaan mereka dalam ruang kehidupan peribadi dan dalam komuniti mereka sahaja, namun tidak dibenarkan menzahirkan syiar kekufuran mereka di tempat awam.

Kenyataan bahawa hiasan Krismas tidak menjejaskan status halal makanan mungkin benar pada sisi teknikal, tetapi ia tidak boleh dijadikan payung untuk menghalalkan penzahiran hadharah kufur.

Selagi agama Islam diurus secara serpihan dalam kerangka sekular – yang memisahkan ‘makanan halal’ daripada ‘batas syiar’ – selagi itulah kekeliruan dan keharaman akan terus berulang. Penyelesaian hakiki menuntut penerapan Islam secara menyeluruh oleh negara, dengan garis hukum yang jelas, tegas dan konsisten. Hal ini tentunya tidak akan berlaku dalam sebuah negara demokrasi sekular seperti Malaysia.